1.0 PENDAHULUAN
Isu khurafat merupakan isu yang sudah sekian lama berlaku
serta berlegar dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang mana ia
menjurus kepada praktis, amalan atau aktiviti yang menyimpang dari ketulenan ajaran
agama yang mulia ini; sedangkan dalam Islam, akidah merupakan pasak utama yang
memegang keyakinan serta keimanan umat Islam terhadap agamanya. Definisi khurafat sebagaimana tercatat dalam Mu’jam al-Wasit
ialah kisah-kisah yang mampu mengujakan yang telah dicampuraduk dengan
unsur-unsur dusta padanya (Mohd Kamel Mat Sallehi, 2021). Manakala menurut
Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat pula, khurafat ialah kepercayaan yg
karut, dongeng, tahyul (Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2023).
Khurafat sama sekali tidak didasari oleh nas-nas syarak sama ada
al-Quran atau al-Hadis sehingga menatijahkan unsur-unsur negatif pada akidah
dan syariat; malahan ia cenderung bersumberkan kepada adat dan kepercayaan lama
yang bercanggah dengan Islam seperti pemujaan dan permohonan kepada makhluk
halus bagi mendatangkan mudarat dengan menggunakan objek-objek tertentu seperti
kubur, pokok dan sebagainya (Pejabat Mufti
Negeri Sabah, 2019). Ringkasnya, khurafat berlaku pada aktiviti dan
amalan sama ada ia berupa cerita-cerita rekaan atau khayalan, pantang larang,
ramalan, adat istiadat, pemujaan atau kepercayaan yang membawa kepada
penyimpangan keyakinan umat Islam dari ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana
bagi umat Islam, mereka seharusnya memahami bahawa apa jua isu yang
bersangkutan dengan perkara-perkara ghaib seperti sejarah lampau, ramalan
tentang masa depan, malapetaka yang akan menimpa, pengetahuan mengenai makhlus
halus dan lain-lain lagi, ia merupakan satu kerangka keyakinan yang terbit
daripada tiga sumber sahaja iaitu al-Quran, hadis yang sahih/hasan dan fitrah
kejadian alam (sunnatullah). Jika selain dari itu, keyakinan yang wujud tersebut
amat berpotensi membawa kepada amalan menilik serta meramal perkara ghaib yang
hakikatnya hanya Allah SWT sahaja mengetahui tentangnya (Zaharuddin, 2023).
Kendati demikian, masih ramai umat Islam yang mewarisi serta
melazimi amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam dan berpotensi membawa
mereka kepada perbuatan syirik, bid’ah dan dosa. Sebagai contoh, perbuatan meminta
izin kepada roh, jin atau hantu ketika melalui kawasan-kawasan tertentu seperti
sungai, hutan atau pokok-pokok besar, termasuk juga aktiviti pemujaan pantai
kerana percaya tempat-tempat sedemikian memiliki penunggu yang boleh mengganggu
anak cucu mereka sekiranya tidak dilaksanakan ritual pemujaan bagi menghormati
roh, semangat atau hantu berkenaan. Demikian pula kepercayaan membuang sial
dengan mandi safar dan mandi bunga, aktiviti bagi memulihkan semangat rumah
dengan menanam besi, perak atau tembaga pada tiang seri rumah yang kemudiannya
ditepung tawar dan lain-lain lagi. Ini ditambah pula dengan bacaan jampi
serapah, mantera dan seumpamanya yang jelas mengandungi unsur syirik. Keadaan-keadaan
tersebut bukan sekadar dapat dilihat dalam kehidupan seharian masyarakat
Melayu, bahkan rata-rata filem Melayu klasik yang dipertontonkan ketika itu juga
banyak dipengaruhi oleh pengamalan sedemikian. Antara contoh filem lama yang
memaparkan unsur-unsur khurafat dan penyimpangan akidah tersebut ialah Panca
Delima.
Sehubungan itu, kajian ini akan memperinci dan meneliti unsur-unsur
khurafat yang terdapat dalam filem yang dinyatakan di atas dengan membawakan
contoh-contoh berkaitan serta penghujahan mengapa ia bertentangan dengan akidah
Islam. Seterusnya, kritikan sosial yang diselitkan secara tersirat di dalam
filem tersebut juga akan turut dikaji, demikian pula penjelasan mengenai
bagaimana kefahaman akidah yang tidak betul mampu membawa kepada pembentukan
ajaran sesat di Malaysia serta contoh-contoh semasa yang berkaitan.
2.0 KESALAHAN AKIDAH DALAM FILEM PANCA DELIMA
Filem Panca Delima adalah salah sebuah filem hitam putih yang
diterbitkan pada tahun 1957 di Singapura dan diarahkan oleh P.Ramlee, seorang
pelakon yang juga sutradara terkenal pada zamannya (Wikipedia, 2023). Ia mengenengahkan watak seorang pemotong kayu bernama
Karma yang hidup miskin bersama tiga anak gadisnya iaitu Anggerik, Tanjung dan
Teratai. Mereka bertiga merupakan adik beradik sebapa berlainan ibu di mana
Teratai sebagai saudara paling kecil (bongsu) sering menjadi mangsa buli oleh
dua kakaknya. Walaubagaimanapun, Teratai memiliki seutas rantai hikmat yang
diwarisi daripada ibunya yang telah meninggal dunia, Puspa Anggeriani.
Perkenalan Teratai dengan Suria Kencana, watak seorang putera raja
yang telah disumpah menjadi seekor ular oleh ibu tirinya, Cemara Jingga, bermula
di dalam hutan, iaitu semasa Teratai merasa tidak mampu membantu ayahnya, Suria
muncul menggunakan kuasa saktinya membantu
Teratai mengalihkan dahan pokok yang menimpa Karma ketika dia mencari
kayu di hutan. Bermula detik itu, Teratai dan Suria sering bertemu tetapi hanya
pada waktu malam sahaja. Akan tetapi lama kelamaan, aktiviti pertemuan tersebut
telah dapat dikesan oleh kedua-dua kakak Teratai. Akibat dari itu, mereka
dihalang dari berjumpa.
Filem ini turut menampilkan watak ibu tiri yang jahat iaitu
Permaisuri Cemara Jingga, individu yang memiliki kuasa sakti dan telah
mengenakan sumpahan ke atas Suria Kencana serta empat pengawal setianya menjadi
ular pada siang hari, dan malam bertukar kepada manusia semula lantaran Suria
menentang kehendak Cemara Jingga agar ayahandanya yang menjadi raja ketika itu
menandatangani surat penyerahan kuasa kerajaan Kukila Kencana kepadanya. Namun,
kuasa dan hikmat kalung Panca Delima akhirnya dapat mengalahkan sihir Cemara Jingga
dengan cara mencampakkannya ke dalam Batu Telaga Sabda.
Berdasarkan adegan-adegan dari filem Panca Delima, dapat diperhatikan
terdapat beberapa paparan yang boleh dikategorikan sebagai menyalahi akidah dan
menyimpang dari ajaran Islam. Penilaian terhadap isu khurafat yang dianggap
sebagai penyimpangan akidah dalam filem ini dibuat berdasarkan contoh, bentuk
dan ciri-ciri yang telah dinyatakan sebelum ini, antaranya :
2.1 Memperlihatkan bahawa barang-barang yang tidak bernyawa seperti
rantai, cermin, pokok dan batu telaga yang diyakini memiliki hikmat atau kuasa
sakti serta keajaiban. Bukan sekadar itu, objek berkenaan juga dipercayai mampu
menghadirkan manfaat jika digunakan dengan betul, namun sebaliknya jika jatuh
ke tangan individu yang menyalahgunakannya ia akan mendatangkan mudarat. Situasi
ini dipaparkan melalui adegan-adegan berikut :
a. Minit 10:50 - Mimpi yang dialami oleh Teratai, di mana ibunya,
Puspa Anggeriani berpesan bahawa kalung Panca Delima yang berada pada leher
Teratai adalah kalung hikmat. Oleh kerana itu, si ibu mengingatkan anaknya
Teratai agar menjaga kalung tersebut dengan baik.
b. Minit 44:05 – Oleh kerana Karma menepati janjinya untuk
membawakan anaknya sebagai ganti, maka sang ular yang merupakan jelmaan
daripada Suria Kencana menghadiahkannya pokok sakti yang boleh dipetik daunnya
sehelai sehari, namun jika lebih dari itu maka ia akan membawa binasa.
b. Minit 53:09 – Memperlihatkan cermin ajaib seumpama televisyen
pada masa kini, dikenali sebagai Citra dan Daga yang dapat menayangkan kejadian
masa lalu dan menjelaskan kepada Teratai alur kisah sebenar mengapa dan
bagaimana Suria Kencana serta rakan-rakannya mengalami nasib sedemikian
rupa.
c.Minit 1:05:31 - Seorang pendeta tua secara tiba-tiba menjelma di hadapan
Suria Kencana dan empat pengawal setianya yang turut disumpah menjadi ular,
memaklumkan bahawa sumpahan mereka akan berakhir dengan hikmat dari kalung
pusaka Pancha Delima. Walaubagaimanapun, kalung berkenaan tidak boleh sama
sekali disentuh oleh mereka lantaran ia akan menjadikan sumpahan tersebut kekal
selama-lamanya. Demikian juga pesanannya bahawa kalung Panca Delima dapat
mengalahkan sihir Permaisuri Cemara Jingga dan pada minit 1:38:25, apabila
Teratai mencampakkan kalung tersebut ke dalam Batu Telaga Sabda, maka sihir Permaisuri
Cemara Jingga dapat dikalahkan.
d. Minit
1:02:37dan minit 1:03:25 – Permaisuri Cemara Jingga menggunakan kuasa Batu
Telaga Sabda untuk mengenakan sumpahan kepada menteri-menteri kerajaan Kukila
Kencana yang menentangnya dengan sihir yang menukar mereka; malam menjadi
manusia dan siang menjadi lembu; juga dengan menggunakan Batu Telaga sabda dia
mengenakan sumpahannya ke atas Suria Kencana dan empat pengawal yang merupakan
kawan baik Suria iaitu siang menjadi ular dan malam kembali menjadi manusia.
Adegan-adegan di atas adalah beberapa contoh yang menunjukkan kepada
keyakinan serta kepercayaan terhadap objek keramat dan hikmat ini yang boleh
menjatuhkan pengamalnya kepada dosa syirik kerana mempercayai ada satu kuasa
lain selain kekuasaan Allah SWT, yang mampu memberi manfaat serta mudarat ke
atas makhluk. Syirik, sebagaimana yang diperincikan takrifannya oleh Dr. Yusuf
al-Qaradhawi iaitu mewujudkan tuhan lain selain Allah SWT sama ada dengan menyembah,
mentaati atau meminta pertolongan kepadanya, mencintai tuhan tersebut dan
melakukan perilaku lain yang hampir menyerupai perbuatan syirik kepada Allah SWT (Sidek, 2022)
Kepercayaan sebegini amat mirip kepada amalan mempercayai tangkal (al-tamimah),
azimat dan barang-barang pelaris yang diyakini oleh pengamalnya mampu
melindungi mereka dari perkara buruk, gangguan jin dan juga sebagai daya
penarik bagi melariskan jualan bagi peniaga. Rasulullah SAW bersabda dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud r.a yang bermaksud :
“Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan
‘tiwalah’ itu adalah syirik.”
(Hadis riwayat
Imam Ahmad (3615), Abu Daud (3883) dan Ibnu Majah (3530))
Dalam hal ini, perbuatan-perbuatan tersebut disenaraikan sebagai amat
menyimpang dari landasan akidah yang sahih dan dikategorikan sebagai perbuatan
syirik kerana pengamalnya meyakini objek-objek berkenaan memiliki kekuatan, kemampuan
memberi kesan juga pengaruh (Rahman, 2023).
Ini secara tidak langsung membawa pengamalnya kepada kebergantungan terhadap
objek tersebut yang mana menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi lagi, hanya Allah SWT
sahaja Tuhan yang selayaknya untuk seseorang hamba menyerahkan diri, bergantung
kepada-Nya serta Dia sebagai tuhan sekalian alam yang mampu mendatangkan
manfaat dan mudarat kepada hamba-Nya (Sidek,
2022).
Situasi ini juga membabitkan aspek tawakal kepada Allah SWT bersebab
dari kebergantungan serta pengharapan yang diberikan kepada objek yang dianggap
memiliki keramat berkenaan. Ia secara tidak langsung membawa kepada tergugatnya
akidah sedangkan konsep tawakal merupakan antara perkara besar yang membezakan
seorang muslim dan seorang kafir sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud (Siti Norain Amir, 2015):
“Berkatalah dua orang laki-laki di antara mereka yang
bertakwa, yang telah diberi nikmat oleh Allah, “Serbulah mereka melalui pintu
gerbang (negeri) itu. Jika kamu memasukinya niscaya kamu akan menang. Dan
bertawakallah kamu hanya kepada Allah, jika kamu orang-orang beriman.”
(QS al-Maidah 4:23)
Demikian juga kefahaman yang tepat berkenaan istilah ‘Rabb’
dan ‘Ilaah’, lantaran konteks kedua-duanya berbeza dan ia memberi kesan
besar terhadap akidah serta keimanan seseorang. ‘Rabb’ itu lebih
menjurus kepada tuhan sebagai pencipta, pemilik dan penguasa alam ini manakala ‘Ilaah’
pula mengarahkan kepada sesuatu yang lebih khusus iaitu Tuhan yang
sebenar-benarnya layak disembah, dikasihi, diserahkan sepenuh ketundukan dan
ketaatan; juga bermakna tidak sah sebarang ibadah dan penyerahan melainkan
kepada-Nya (al-Salmi, 2023). Penelitian serta kefahaman terhadap
perbezaan definisi dan makna pada dua istilah tersebut amat penting agar tidak
berlaku salah faham dan sangkaan bahawa dengan beriman kepada Tauhid Rububiyyah
telah memadai bagi seorang kafir yang percaya kepada Rabb itu menjadi ahli
tauhid yang sebenar, berdasarkan sangkaan dan kefahamannya iaitu makna Rabb
dan Ilaah itu adalah sinonim. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Orang-orang Arab Badui berkata, “Kami telah
beriman.” Katakanlah (kepada mereka), “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah
‘Kami telah tunduk (Islam),’ kerana iman belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika
kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun
(pahala) amal perbuatanmu. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
(QS al-Hujurat 49:14)
2.2 Menampilkan kuasa sihir, di mana
seseorang yang mengamalkannya dianggap sebagai berkuasa dan ditakuti. Berikut merupakan adegan-adegan
dari filem Panca Delima yang memaparkan praktis sihir :
b. Minit 1:03:25 – Buat kesekian kalinya Permaisuri Cemara Jingga
mengenakan sumpahannya ke atas Suria Kencana dan empat pengawal yang merupakan
kawan baik Suria dengan sihir yang menukar mereka, siang menjadi ular dan malam
kembali menjadi manusia.
Melalui kuasa sihir tersebut sama
ada dengan menggunakan jampi-jampi, bacaan secara lisan mahupun
tulisan, atau melakukan sesuatu
yang boleh mempengaruhi badan,
hati atau akal orang
yang terkena sihir dengan menggunakan simpulan atau ikatan, tanpa
berhubung langsung dengannya (Hamzan, 2022). Perbuatan-perbuatan sebegini ini boleh menjadi asbab kepada
berlakunya kesan negatif seperti perceraian antara
suami isteri, wujud kebencian antara dua pihak, sakit, bahkan sehingga ada yang
mati oleh sihir yang dikenakan ke atasnya.
Ini kerana sihir merupakan praktis yang
mengarah kepada wujudnya kerjasama antara seseorang
tukang sihir dengan syaitan yang akan melaksanakan tugasnya seperti yang
diingini oleh tukang sihir berkenaan dengan syarat si penyihir juga memenuhi
kehendak syaitan (Zaharuddin,
2023).
Pernyataan ini senada dengan takrifan yang dikemukan oleh Abdul Rahman
Juza’, iaitu sihir terjadi apabila seseorang mendekatkan diri kepada
syaitan dan meminta bantuannya bagi mencapai
sesuatu tujuan (Hamzan, 2022). Oleh kerana itu, dalam Islam, amalan sihir disenaraikan
sebagai satu dari tujuh dosa besar kepada pelakunya sebagaimana
penegasan oleh Rasulullah SAW sendiri melalui sabda baginda yang diriwayatkan
oleh Abu Hurairah r.a. secara marfu’ :
"Jauhilah oleh kalian tujuh dosa yang
membinasakan!" Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Apa
saja dosa-dosa yang membinasakan itu?” Beliau menjawab, “Menyekutukan
Allah, sihir, membunuh jiwa yang telah Allah haramkan melainkan dengan sebab
yang benar, memakan riba, memakan harta anak yatim,
berpaling (lari) dari medan pertempuran, dan menuduh wanita yang
beriman lagi suci yang menjaga kehormatannya dengan tuduhan berbuat zina."
(Muttafaq ‘alaih, hadis sahih)
Meneliti hal ini, terdapat berencam sebab mengapa seseorang
mengenakan sihir ke atas seorang yang lain antaranya untuk membalas dendam, perasaan iri serta hasad,
hasutan jin dan syaitan, mahu meraih keuntungan
peribadi dan sebagainya selain kejahilan terhadap ilmu
akidah itu sendiri. Antara
contoh amalan sihir yang masyhur ialah santau. Menurut Tuan Haji Mohd Kasan,
salah seorang pakar rujuk mengenai santau di Darussyifa’, sebuah pusat rawatan
dan pengubatan alternatif Islam yang terkenal di Malaysia, terdapat tiga
komponen bagi menjayakan santau, iaitu ramuan, mantera (sihir) dan makhluk
halus (jin). Sihir santau yang ditujukan kepada seseorang boleh menyebabkannya
sakit sehingga membawa kepada kematian (Mohd
Yusoff, 2022).
Sehubungan itu, beberapa Jabatan
Fatwa Negeri di Malayia telah mewartakan pengharaman amalan sihir dan
penggunaannya berpandukan perspektif Islam, bahkan sebarang pelanggaran
mengenainya dikira sebagai satu kesalahan jenayah serta boleh dikenakan hukuman
takzir atau qisas (Hamzan, 2022).
2.3 Meminta bantuan jin, sama ada untuk menjadikan
seseorang itu memiliki harta kekayaan, kekuasaan, pengaruh dan lain-lain. Adegan
yang memaparkan perkara ini ditampilkan pada minit ke
1:12:25 iaitu ketika Karma memetik daun emas dari sebatang pokok di atas bukit
yang mana ia menjadi punca kekayaan Karma dan dua anak perempuannya setelah
pemergian Teratai yang disangkakan telah mati. Akan tetapi, perasaan tamak yang
menyelubungi Tanjung setelah melihat pokok sakti berkenaan, lantas dia memetik
pucuknya dan terus pohon yang merupakan jelmaan daripada seekor jin menjadi
marah lalu membunuh Tanjung. Adegan berkenaan dipaparkan pada minit 1:13:39.
Menelusuri hal ini, Islam amat melarang perbuatan meminta dan
mendapatkan pertolongan jin kerana ia membawa pelakunya
kepada syirik kepada Allah serta menyimpang dari akidah yang benar. Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Haitami (w. 974H) menyatakan
bahawa wujud kolerasi antara penggunaan jin dalam amalan sihir sebagaimana
penjelasannya seperti berikut :
“Hubungan dalam
bentuk kerohanian melalui pertolongan
daripada raja-raja jin (sesudah orang tersebut memenuhi apa-apa
syarat yang ditentukan oleh jin kepada mereka) adalah bentuk sihir” (Ahmad Najaa'
Mokhtar, 2018)
Tambahan lagi, para ulama menyatakan bahawa golongan jin tersebut terbahagi
kepada dua iaitu kafir dan Islam (al-Bakri,
2023); oleh itu, praktis sedemikian akan
menjadikan golongan tersebut lebih sombong dan bertambah keburukan yang
dilakukannya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud (Rahman, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar,
2023) :
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah
perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan
meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan
itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”
(QS al-Jin 72: 6)
Selain itu, amalan perbomohan dalam rawatan
spiritual Islam adalah antara praktis yang amat berpotensi serta cenderung
menggunakan khidmat jin dalam menjayakan rawatan mereka sama ada dengan cara mengenakan
pengeras (bayaran yang dikenakan sebagai syarat penerimaan rawatan), puja hajat
(kerana menyangka perawat (bomoh) berkenaan mempunyai hubungan yang akrab dengan
wali-wali Allah), alin telur (terdapat objek seperti jarum, tulang dan
lain-lain atau telur berubah kepada warna hitan atau warna darah setelah dipecahkan)
dan seumpamanya (Ahmad Najaa' Mokhtar, 2018).
Kemasyhuran dan penerimaan sebahagian masyarakat terhadap pusat-pusat rawatan
sebegini sama ada dibangunkan oleh sesebuah organisasi atau individu bagi
membantu dalam ‘proses penyembuhan’ atau bagi tujuan manfaat kehidupan mereka
dapat diperhatikan melalui paparan di dada-dada akhbar. Sebagai contoh, suratkhabar
Utusan Malaysia bertarikh 5 Januari 2022 menampilkan tajuk :Raja Bomoh kembali
lagi, melaporkan Ibrahim Mat Zin yang menerima jolokan sebagai ‘Raja Bomoh’
menjalankan ritual untuk menolak musibah banjir (Bakri,
2023)
Sehubungan itu, bagi merungkai permasalahan ini, masyarakat perlu
diberikan kefahaman bahawa di antara manusia dan jin terdapat perbezaan yang
amat nyata iaitu dari aspek penciptaan kedua-duanya oleh Allah SWT sebagaimana
maksud sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Saidatina Aisyah
radiyallahu’anha daripada Rasulullah SAW iaitu jin diciptakan dari nyala api sementara
Adam diciptakan dari apa yang disifatkan bagi kamu (iaitu dari tanah).
Sementelah lagi, golongan manusia diciptakan kemudian daripada golongan jin sebagaimana
yang disebutkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Hijr ayat
26-27 yang bermaksud (Rahman,
https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar, 2023):
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia
(Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah
warna dan baunya (26) Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari
angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma (27).”
(QS al-Hijr
15:26-27)
Selain itu, pengetahuan tentang aspek persamaannya dengan iblis atau
syaitan yang dilaknat oleh Allah SWT di samping perbezaan antara keduanya juga
boleh membantu agar kefahaman yang lebih teliti dan mendalam dapat diperolehi
sebaiknya. Antara persamaan dan perbezaan kedua-dua golongan ini ialah (al-Bakri, 2023):
a) Kedua-duanya diciptakan daripada api sebagaimana firman Allah SWT
dalam surah al-Hijr ayat 27 yang bermaksud :
“Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari
angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.”
(QS al-Hijr 15:27)
Hanya sahaja iblis dan syaitan adalah kafir manakala jin terbahagi
kepada dua sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini iaitu jin kafir dan
jin Islam.
b) Jin dan syaitan, kedua-duanya tidak dapat dilihat dengan mata
kasar kecuali Allah SWT mengizinkannya sebagaimana tafsiran yang diketengahkan
oleh Imam Mujahid terhadap perkataan (وَقَبِيلُهُ) dalam ayat 27 surah al-‘Araf iaitu perkataan tersebut merujuk kepada
golongan jin dan syaitan.
c) Allah SWT juga mengenakan taklifan (pertanggungjawaban) ke atas
golongan jin dan syaitan sebagaimana manusia. Walaubagaimanapun, syaitan diberikan
penangguhan atas maksiat dan kejahatan mereka oleh Allah SWT sehingga hari
kiamat manakala jin tidak sedemikian kerana syaitan merupakan golongan yang
dilaknat oleh Allah SWT sementara jin tidak.
3.0 KRITIKAN SOSIAL DALAM PANCA DELIMA
Selanjutnya, satu sudut lain penelitian yang dapat diperhatikan dari
filem termasuk filem Melayu lama ialah sisipan unsur-unsur kritikan sosial yang
mengungkap sisi serta isu-isu masyarakat yang relevan ketika itu. Dalam hal
ini, Menurut Mana Sikana (Siti Zubaidah binti Raja Mhd Shahnuddin, 2021) kritikan sosial
dapat difahami sebagai penghayatan yang menyeluruh, menggunakan kaedah
interpretasi serta penilaian secara rasional yang mana ia merupakan satu bidang
ilmu saintifik. Tambahan lagi, filem-filem di bawah arahan lagenda seni,
Allahyarham P.Ramlee yang sememangnya terkenal sebagai sutradara yang banyak
menyisipkan pesan-pesan moral kepada massa lewat karya-karyanya.
Hal ini juga kerana, filem menjadi wahana
komunikasi yang efektif bagi membentangkan mesej-mesej dengan bersumberkan apa-apa
peristiwa atau kejadian yang berlaku dalam masyarakat itu sendiri (Zairul Anuar Md. Dawam, 2022) . Ia juga
memperlihatkan bahawa media massa mampu memberi pengaruh pada pembentukan
karektor masyarakat. Ini kerana, peranan media dalam menambah wawasan
kepada kehidupan masyarakat sehingga dengannya berlaku perubahan yang
menjadikan sesuatu budaya itu muncul (Rina Ade
Saputri, 2022). Untuk itu, boleh dikatakan bahawa kritikan sosial melalui
filem dapat diteliti dengan jelas melalui teladan dan pengajaran yang
disampaikan.
Salah satu mesej berkait kritikan sosial yang disampaikan melalui
filem Panca Delima ialah hubungan kekeluargaan yang
diatasnamakan sebagai ‘tiri’ oleh masyarakat sama ada hubungan antara anak-anak,
mahu pun hubungan antara anak dan ibu tiri yang sering ditonjolkan sebagai
bermasalah, tidak baik, kurang mesra dan berlaku penindasan serta
wujud kesenjangan sosial satu pihak ke atas satu pihak yang lain. Suasana
ini membawa kepada timbulnya perasaan iri, dengki dan tamak dan kebencian yang
akhirnya membawa kepada mengorbankan pelakunya sendiri. Sebagaimana
peribahasa Melayu menyebut : Orang tamak selalu rugi dan sifat iri pula
seumpama : Orang yang meminum racun tapi mengharap orang lain yang mati.
Demikian pernyataan keburukan sifat mazmumah yang selalu ditegaskan oleh
Rasulullah SAW dalam sabda Baginda, antaranya (Safar,
2023):
“Sesungguhnya Nabi SAW bersabda : “Jauhilah hasad
(dengki), karena hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar.”
(HR Abu Daud No:4257)
Keadaan-keadaan ini dapat disaksikan dalam beberapa adegan pada filem
Panca Delima ini iaitu :
b) Minit 4:56 - Karma balik
dari hutan dan membawa bersamanya buah-buahan. Anggerik dan Tanjung masing-masing
makan dengan banyak manakala bahagian untuk Teratai hanya sebiji sahaja, itupun
setelah diperingatkan oleh si ayah agar menyisakan sedikit buah untuk adik
mereka tersebut.
c) Minit 1:20:23 – Anggerik
yang diselubungi perasaan dengki lagi iri terhadap adiknya Teratai yang akan
berkahwin dengan Suria Kencana berhasrat mencuri kalung Panca Delima dan mahu
menyerahkannya kepada Permaisuri Cemara Jingga.
d) Minit 1:03:25 – Permaisuri Cemara Jingga yang merupakan ibu tiri Suria
Kencana menggunakan kuasa Batu Telaga Sabda untuk mengenakan sumpahan ke atas anak
tirinya itu dengan sumpahan siang menjadi ular dan malam kembali menjadi
manusia.
Adegan-adegan yang mewakili kritikan berkenaan membuktikan bahawa memang
berlakunya prasangka sosial terhadap ketidakadilan yang
dialami antara saudara tiri dan hubungan ibubapa serta anak tiri yang sekaligus
menyentuh tentang kemungkinan berlakunya sikap tidaksetia antara keluarga. Tambahan
lagi, filem-filem Melayu dari dahulu hingga yang bersifat kontemporari banyak mengenengahkan
mesej-mesej sosial yang relevan dengan isu-isu semasa dalam masyarakat tempatan
sebagai contoh, perkahwinan poligami (perkahwinan seorang lelaki dengan dua,
tiga atau empat orang isteri pada satu masa) yang biasanya bercakaran, sikap ibu
‘tiri’ yang yang negatif terhadap anak-anak tirinya, termasuk juga hubungan antara
saudara tiri yang buruk sedangkan hakikatnya masih wujud keluarga sebegini yang
bahagia dan harmoni cuma ia tidak mendapat liputan yang meluas kerana kurang
mendapat reaksi positif masyarakat.
Untuk itu, pengkaji berpandangan, masyarakat perlu memahami bahawa penilaian
mengenai kritikan sosial ini boleh bervariasi dan bersifat subjektif. Ini
kerana, ada masanya menurut penelitian pengkaji, berlaku satu keadaan yang
disebut dalam ilmu psikologi sebagai ‘negativity bias’ iaitu satu
fenomena psikologi yang turut dikenali sebagai asimetri positif-negatif serta
memberi pengaruh yang sangat besar pada kehidupan manusia atau masyarakat; di
mana ia merupakan satu kecenderungan untuk mengutamakan
aspek negatif dari satu-satu peristiwa, orang atau keadaan berbanding sisi
positif atau neutral darinya (Ramirez, 2023),
sebagaimana contoh yang telah disebutkan di atas. Ini secara tidak langsung perspektif
masyarakat lebih banyak dibawa kepada hal-hal yang negatif terhadap pengamalan
dan bentuk perhubungan sedemikian bahkan pernah timbul kenyataan yang mempertikaikan
keperluan sesuatu syariat contohnya poligami, sama ada ia relevan atau tidak
pada masa kini (Jamilin,
2023).
Sehubungan itu, salah seorang pensyarah di Universiti Glasgow yang
banyak mengakaji tentang falsafah bahasa dan pemikiran, Dr.Jennifer Corns (Corns, 2018), menyebut bahawa jika bias
negatif diterima, di mana pengaruh dan kesan yang setara bagi etika dan
psikologi moral yang sepatutnya lebih besar daripada sekadar negatif berbanding
positif seperti sakit berbanding keseronokan, buruk berbanding kebaikan belum
diteroka sepenuhnya, maka keperluan yang salah ini perlu dinilai semula. Menurut
beliau, kebiasaannya sesuatu isu atau keadaan yang
berada di bawah senarai bias negatif adalah dirumus secara bermasalah, justeru
ia memerlukan sokongan empirikal melalui hipotesis alternatif yang boleh
dipercayai.
Tambahan lagi menurut pengamatan pengkaji, sejak dahulu sehingga
kini, masih berlanjut salah tanggapan hubungan dan ikatan
adik beradik yang digelar sebagai tiri dalam kalangan masyarakat, sedangkan
fakta yang benar adalah adik beradik yang lahir daripada ibu ayah yang sama,
adik beradik sebapa berlainan ibu atau adik beradik seibu berbeza bapa, semua itu
sebenarnya tersenarai di bawah adik beradik kandung. Mereka dihukumkan sebagai
mahram antara satu sama lain dan tidak wajib menutup aurat. Sementara adik beradik
tiri yang sebenar ialah apabila seorang perempuan dan lelaki berkahwin dan
masing-masing telah memiliki anak-anak daripada perkahwinan sebelumnya, maka
hubungan antara anak-anak berkenaan adalah ajnabi dan anjabiyah antara
satu sama lain. Sehubungan itu, mereka wajib menutup aurat antara mereka (termasuk
bertudung), tidak harus bersalaman, tidak dibolehkan berdua-duaan dan mereka
boleh berkahwin kerana tiada ikatan mahram antara mereka (Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, 2023).
4.0 BAGAIMANAKAH
KEFAHAMAN AKIDAH YANG TIDAK BETUL MAMPU MEMBAWA KEPADA PEMBENTUKAN AJARAN
SESAT?
Selanjutnya, sesuatu yang relevan untuk difikirkan ialah bagaimana
pembentukan ajaran sesat serta kefahaman yang menyeleweng sebenarnya bersumber
dari kefahaman akidah yang tidak betul. Ini kerana, semua umat Islam memaklumi
bahawa akidah yang benar mesti berasaskan al-Quran dan hadis yang sahih. Akan
tetapi, sejak sekian lama masih berlaku dan berleluasa isu-isu yang melibatkan akidah
di Malaysia disebabkan beberapa keadaan yang kurang diambil perhatian oleh
sebilangan umat Islam. Antaranya :
4.1 Pendidikan agama yang kurang
berkualiti sehingga menatijahkan kejahilan terhadap ilmu agama yang sahih:
Keadaan ini berlaku apabila masyarakat atau individu tidak
mempunyai akses yang boleh mengarah mereka kepada ilmu serta pengetahuan agama
yang benar seperti kelas-kelas pengajian berstruktur atau masjid dan surau
yang ada menjemput asatizah yang memiliki kepakaran dalam sesuatu bidang ilmu
seperti al-Quran, hadis, fiqh dan lain-lain. Ini ditambah pula tiada usaha untuk belajar serta mencari info yang berintegriti
dan boleh dipercayai sumbernya terutama di medium atas talian (internet) bagi
menambah ilmu serta pengetahuan yang bermanfaat, bahkan rata-ratanya lebih berkecenderungan melihat perkongsian ringkas atau video-video
pendek di sosial media seperti TikTok dan Facebook sehingga kefahaman yang
diperolehi hanya sekerat-sekerat dan tidak lengkap.
Tidak dinafikan bahawa di era globalisasi hari ini, media sosial memainkan
peranan penting dalam membentuk pandangan dan kefahaman seseorang terhadap
agamanya. Oleh kerana itu, jika medium berkenaan tidak digunakan dengan waspada
serta bijaksana, ia boleh mencetuskan kekeliruan dan salah faham. Lebih dari
itu, kekurangan info serta ilmu yang sahih ini membawa pula kepada gejala penafsiran
yang salah terhadap teks agama. sehingga menjurus kepada pemahaman yang menyimpang.
Keadaan ini secara tidak langsung melahirkan kejahilan terhadap info agama yang
benar walaupun rata-rata individu terlibat memiliki ijazah dalam bidang
profesional lain (Yatim, 2023).
Situasi ini juga menyebabkan mereka akan mudah
terpengaruh dengan ajaran-ajaran daripada kelompok-kelompok tertentu atau individu
yang menyebarluaskan pemahaman salah serta menyeleweng dari ajaran agama. Sebagai contoh, akhbar Utusan Malaysia secara atas talian bertarikh
22 Disember 2022 melaporkan terdapat 14 ajaran sesat aktif di Selangor yang
berada di bawah pengawasan serta pemantauan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Ajaran-ajaran berkenaan antaranya ialah ajaran Millah Abraham,
Syiah, Al-Arqam@Rufaqa’ dan Qadiani@Ahmadiah (Mohamed, 2023).
4.2 Kebergantungan yang melampau terhadap individu lain untuk memahami dan mendalami agama merupakan
punca kepada ketaksuban, pemujaan, sehinga sampai ke tahap meyakini ‘kemaksuman’ seseorang tokoh yang
dikagumi tersebut dan menganggap dia adalah tali penghubung antara pengikut dengan agama mereka. Keadaan
ini banyak menjadi punca lahirnya ajaran sesat kerana keyakinan pengikut
terhadap kata-kata pemimpin atau ketua mereka walaupun ianya bercanggah dengan
kandungan Islam yang sebenar.
Dalam konteks
Malaysia contohnya, wujud beberapa gerakan yang terlalu
meng’agung’kan tokoh-tokoh mereka sehingga setiap patah katanya dianggap benar
serta wajib ditaati. Antara kumpulan berkenaan yang telah diwartakan sebagai
sesat oleh Kerajaan Malaysia berpandukan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan
ialah pertubuhan al-Arqam (Ismail,
2023) dengan dakwaan Bani Tamim serta ajaran Aurad
Muhammadiyah yang menyeleweng, juga gerakan al-Ma’unah yang membenarkan kekerasan
serta merampas senjata milik ketenteraan negara (Ismail I. R., 2023). Kedua-dua
pemimpin pertubuhan dan gerakan ini iaitu Asyaari Muhammad dalam al-Arqam dan
Muhammad Amin untuk al-Ma’unah, beroleh kepatuhan yang tinggi di kalangan
pengikut masing-masing.
Kebergantungan terhadap seseorang bagi urusan
agama, walau pada awalnya ia bermula dengan satu perkara yang dianggap
kecil, namun hakikatnya dengan perkara yang kecil-kecil, kian
menular lalu menjadi besar; bahkan sehingga amalan yang khurafat juga boleh dianggap
sebagai amalan agama. Hakikatnya, situasi seumpama ini
merupakan punca kepada wujudnya penyembahan berhala. Allah SWT mengingatkan hal ini dalam al-Quran sebagai ibrah dan
mengambil iktibar dari kisah umat Nabi Nuh ‘alaihissalam, firman-Nya yang bermaksud :
“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu
meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan
Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.”
(QS Nuh
71: 23)
Dalam tafsir
Ibnu Kathir, sahabat Baginda Rasulullah SAW, Abdullah
bin ‘Abbas dan ramai dari kalangan ulama tafsir lain menyatakan
bahawa kaum nabi Nuh a.s merupakan
golongan terawal yang menyembah berhala. Ini berlaku apabila masyarakat di
waktu itu membina masjid-masjid di atas kubur orang-orang soleh dalam kalangan
mereka yang meninggal dunia dan mereka membuat gambar individu-individu soleh berkenaan
dengan tujuan mengingati ibadat serta keadaan peribadi-peribadi tersebut untuk dicontohi. Namun, berlalunya masa, gambar
tersebut ditukar kepada ukiran patung; dan melewati beberapa tempoh zaman pula,
tujuan awal patung-patung itu dibuat mula dilupakan oleh generasi seterusnya
tetapi patung-patung itu mula disembah
dan diberikan nama mengikut nama individu-individu soleh berkenaan antaranya Waddan,
Suwa’an, Yaghuth, Ya’uuq dan Nasr. Sehubungan
dari kesyirikan yang mula melebar ini, maka Allah SWT mengutuskan Nabi Nuh a.s
dan mengarahkan mereka semua supaya kembali mentauhidkan Allah SWT (Kadir, 2023).
Sehubungan itu, umat Islam hari ini sewajarnya
mengambil pengajaran dari lembaran sejarah yang dipaparkan dalam al-Quran ini
iaitu syirik dan penyimpangan akidah bermula daripada pemujaan kepada
individu-individu yang baik dan dianggap soleh, sehingga bentuk ‘penghargaan’
itu diterjemahkan dalam rangka yang tidak diajar oleh agama berjustifikasikan
untuk dikenang, diingati dan dicontohi. Namun, apabila generasi
baru menyusul dan pengetahuan tentang tujuan asal ‘tugu peringatan’ itu dibina
telah ‘pergi’ bersama matinya generasi awal yang membina patung-patung tersebut,
maka kesyirikan yang membinasa mula melata. Ini berlaku apabila agama dilaksana
secara ikut-ikutan, tanpa ilmu.
5.0 KESIMPULAN
Bagi menyimpulkan perbincangan di atas, berpandukan
semua bentuk penyimpangan akidah yang dipaparkan dalam filem Panca Delima serta
kritikan sosial yang disajikan bersamanya, pengkaji berpandangan, amat
signifikan bagi masyarakat Muslim untuk menggunakan pertimbangan dan pemahaman
agama yang tepat ketika menilai kandungan atau konten sesuatu filem. Hal ini kerana, tanpa kefahaman akidah yang mantap, info serta
maklumat yang salah mudah mempengaruhi individu yang rentan atau tidak kritis
terhadap informasi yang mereka terima. Tambahan pula, kefahaman yang tersasar
amat memungkinkan berlakunya kekeliruan serta menyebabkan lahirnya
ajaran-ajaran yang menyeleweng dari panduan agama yang sahih.
Jumlah perkataan : 4930
6.0 RUJUKAN
Al Quran.
Ahmad Najaa' Mokhtar, J.
S. (2018). ISU DAN MASALAH AKIDAH DAN SYARIAH DALAM PENGUBATAN SPIRITUAL ISLAM
DI KALANGAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA. Jurnal Ushuluddin Adab dan Dakwah
(2018) 1 (2), 131-154.
al-Bakri, Z. M. (14. July
2023). https://maktabahalbakri.com/384-perbezaan-antara-iblis-dan-jin/.
Von https://maktabahalbakri.com: https://maktabahalbakri.com/384-perbezaan-antara-iblis-dan-jin/
abgerufen
al-Salmi, A. R. (15. July
2023). al-Farqu baina al-Rabb wa al-Ilaah. Von https://shamela.ws/book/37795/315:
https://shamela.ws/book/37795/315 abgerufen
Bakri, M. H. (14. July
2023). Raja Bomoh Datang Lagi. Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Corns, J. (15. February
2018). Review Of Philosofy And Psychology. Rethinking the Negativity Bias,
S. 607–625.
Dewan Bahasa Dan Pustaka.
(24. JUN 2023). Von khurafat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=khurafat
abgerufen
Hamzan, M. b. (2022).
GARIS PANDUAN MENGENAI AMALAN SIHIR MENURUT PERSPEKTIF ISLAM. Islam Universalia-International
Journal of Islamic Studies and Social Sciences. Volume 3, Number 3, Jan 2022,
312-327.
Ismail, I. R. (16. July
2023). https://www.sinarharian.com.my. Von
https://www.sinarharian.com.my/article/73757/berita/jenayah/al-maunah-tewas-di-bukit-jenalik:
https://www.sinarharian.com.my/article/73757/berita/jenayah/al-maunah-tewas-di-bukit-jenalik
abgerufen
Ismail, M. K. (16. July
2023). https://www.malaysianbar.org.my. Von
https://www.malaysianbar.org.my/article/news/legal-and-general-news/general-news/pengaruh-kuat-ashaari-al-arqam:
https://www.malaysianbar.org.my/article/news/legal-and-general-news/general-news/pengaruh-kuat-ashaari-al-arqam
abgerufen
Jabatan Mufti Negeri
Pulau Pinang. (27. JUNE 2023). http://ekemusykilan.penang.gov.my. Von
PERSOALAN : KELIRU TARAF SAUDARA KANDUNG SATU IBU LAIN BAPA (00681):
http://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=681 abgerufen
Jamilin, K. (16. July
2023).
https://www.facebook.com/1743258955902336/photos/a.1749272925300939/1927454914149405/?type=3&locale=ms_MY.
Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Malaysia.
Kadir, A. (16. July
2023). https://binsahak.com. Von https://binsahak.com/index.php/sirah-dan-kisah-umat-terdahulu/698-asal-usul-penyembahan-berhala:
https://binsahak.com/index.php/sirah-dan-kisah-umat-terdahulu/698-asal-usul-penyembahan-berhala
abgerufen
Mohamed, I. S. (16. July
2023). https://www.utusan.com.my/nasional/2022/12/mais-pantau-14-ajaran-sesat-aktif-di-selangor/.
Shah Alam, Selangor, Malaysia.
Mohd Kamel Mat Sallehi,
M. F. (2021). UNSUR KHURAFAT DALAM AJARAN SESAT DI MALAYSIA: ANALISIS PANDANGAN
HUKUM JAWATANKUASA MUZAKARAH. Jurnal Pengurusan dan penyelidikan Fatwa,
144-157.
Mohd Yusoff, A. N.
(2022). Kesan dan Amalan Santau dalam Budaya Masyarakat Nusantara. ANPJOURNAL
OF SOCIAL SCIENCE AND HUMANITIES VOL.3SPECIAL ISSUE(2022), 17-29.
Pejabat Mufti Negeri
Sabah. (2019). Panduan Mengenali Khurafat Dan Azimat. Sabah: politin @
wenen bin mobiji, A.s.d.k., A.d.k., B.S.K., jabatan cetak kerajaan.
Rahman, A. (14. july
2023). https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar. Von https://muftiwp.gov.my:
https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/2705-al-afkar-21-bolehkah-menggunakan-khidmat-jin
abgerufen
Rahman, A. (10. Julai
2023). IRSYAD AL-FATWA #257: HUKUM AMALAN PELARIS OLEH PENIAGA. Von
https://muftiwp.gov.my: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2676-irsyad-al-fatwa-siri-ke-257-hukum-amalan-pelaris-oleh-peniaga
abgerufen
Ramirez, W. (15. July
2023). Bias negatif: apakah itu dan bagaimana ia mempengaruhi pemikiran kita.
Von https://ms1.warbletoncouncil.org/sesgo-negatividad-5187:
https://ms1.warbletoncouncil.org/sesgo-negatividad-5187 abgerufen
Rina Ade Saputri, L. A.
(2022). Peran Media Massa dalam Mempengaruhi Public Trust di Masyarakat. PANDITA:
Interdisciplinary Journal of Public Affairs, 13-22.
Safar, J. B. (15. July
2023). https://people.utm.my/ajmain/2015/12/26/koleksi-hadis-112-jauhi-hasad-dengki/.
Von https://people.utm.my:
https://people.utm.my/ajmain/2015/12/26/koleksi-hadis-112-jauhi-hasad-dengki/
abgerufen
Sidek, M. M. (2022). PANDANGAN
YUSUF AL-QARADHAWI TERHADAP KONSEP SYIRIK : ANALISIS TAWAKAL DAN AMALAN
MASYARAKAT ISLAM DI mALAYSIA. Prosiding Bicara Dakwah Kali Ke 23 – Seminar
Kebangsaan Tokoh Dakwah Antarabangsa (S. 1-9). Bangi: Pusat Kajian Dakwah
dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Siti Norain Amir, S. H.
(2015). GUGATAN AKIDAH : BERTAWAKAL KEPADA SELAIN ALLAH. Prosiding Seminar
Pemantapan Akidah 2015 (S. 1-16). Skudai, Johor: Fakulti Tamadun Islam,
Universiti Teknologi Malaysia.
Siti Zubaidah binti Raja
Mhd Shahnuddin, R. S. (2021). PANCARAN KRITIKAN SOSIAL MELALUI KARAKTER DALAM
CERITA RAKYAT MELAYU. Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan
(PASAK ke-6) (S. 488-503). Kajang, Selangor: Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor.
Wikipedia. (27. June
2023). https://ms.wikipedia.org. Von Pancha Delima:
https://ms.wikipedia.org/wiki/Pancha_Delima abgerufen
Yatim, M. N. (16. July
2023). https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/02/jahil-punca-terpengaruh-ajaran-sesat/.
Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Malaysia.
Zaharuddin, A. R. (25 June, 2023). http://zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/465-kesilapan-umat-islam-dalam-kepercayaan-a-aqidah.html.
Retrieved from http://zaharuddin.net: http://zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/465-kesilapan-umat-islam-dalam-kepercayaan-a-aqidah.html
Zairul Anuar Md. Dawam,
I. A. (2022). HISTORIOGRAFI FILEM MELAYU DALAM KONTEKS TRANSFORMASI SOSIAL DAN
SOSIOBUDAYA MASYARAKAT MALAYSIA. Gendang Alam, Jilid 12 (1), 2022, 24-47.
No comments:
Post a Comment