Renungan POLIGAMI

Setiap kali saya menerima persoalan daripada kaum sejenis saya tentang poligami, setiap kali itu juga saya termenung panjang usai meneliti ayat-ayat harapan yang diungkapkan: baik ia daripada isteri sedia ada atau pun daripada wanita yang bakal melangkah ke alam rumahtangga unik tersebut. Ada beberapa point sahaja yang saya ingin mereka fikir sedalam-dalamnya, antaranya :



✅ Lelaki yang layak melaksanakan poligami adalah lelaki yang MATANG lagi BIJAKSANA iaitu yang menyedari bahawa poligami itu bukan hak mereka tetapi ia adalah hak ALLAH yang diletakkan tanggungjawabnya ke atas lelaki. Kerana itu, MAMPU BERLAKU ADIL digarisatas sebagai syarat ketat untuk seorang lelaki/suami pertimbangkan sebelum poligami terjadi; sifat adil yang intinya melindungi dan mengasihi bukan menzalimi lagi tidak ambil peduli.

Andai berlaku penganiayaan pada satu pihak, sedangkan satu pihak lagi ditatang penuh mesra, maka ketika itu kezaliman berlaku dan ia satu maksiat yang dimurkai ALLAH. Mana mungkin rasa bahagia akan menaungi rumahtangga sebegini.

✅ Jika wujud masalah rumahtangga pada perkahwinan sedia ada sehingga membawa kepada perkahwinan seterusnya, sedarilah bahawa masalah itu hadir kerana tekanan dan beban tanggungjawab ( anak-anak, kewangan dan sebagainya ) yang mengiringi mana-mana perkahwinan pun. Justeru itu, bukan sesuatu yang pelik bila 'keindahan rasa' padanya pudar seketika, berbanding perkahwinan baru yang belum lagi ada tanggungjawab mengiringi lalu ia terasa segar dan indah mewangi.

Oleh itu, amat mendukacitakan andai seorang lelaki/suami menjadikan poligami sebagai jalan keluar tanpa terlebih dahulu bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah yang berlaku pada rumahtangga sedia ada. Bukankah nanti setelah lahirnya anak-anak pada perkahwinan baru, bermakna bertambahnya tugas serta tanggungjawab lalu akan timbul juga tekanan dan bebanan rasa sebagaimana perkahwinan sebelumnya?

✅Beberapa individu yang saya kenali dari sahabat-sahabat 'sekapal' mengalami masalah kemurungan, dan bukan sedikit di kalangan mereka perlu bertemu pakar bagi mendapatkan rawatan; proses ini pastinya tidak boleh dipandanga enteng, mengambil masa dan paling penting ia memerlukan kefahaman yang sangat mendalam daripada orang sekeliling.

Seorang isteri dan ibu yang tertekan sehingga tidak mampu mengawal sihat akal fikirnya, amat memerlukan dokongan daripada suami, anak-anak serta keluarga terdekat demi membangun keluarga yang sejahtera dan harmoni. Kita tidak mahu lagi mendengar berita-berita sedih kehancuran keluarga terutama di pihak anak-anak bersebab dari perlaksanaan poligami yang tidak mengikut garispanduan syara' walau memang banyak juga kes-kes sama terjadi dari perkahwinan monogami.

Justeru, suka saya menyeru kepada para suami/lelaki yang berhasrat untuk berpoligami, telitilah sebaiknya kesediaan seorang isteri untuk menerima. Anda dan dia telah hidup bersama sekian lama, maka kenali isteri dengan benar dan bagaimana kesediaannya, jika dia menerima, berikan satu tempoh untuk dia bertenang. usah terburu-buru atau dengan tiba-tiba mengajukan keinginan dan memberitahu isteri,

"Abang dah ada calon...".

Ia tidak membantu, malah mungkin menatijahkan tekanan emosi di hari-hari mendatang.

Demikian juga kepada wanita seterusnya yang anda PILIH menjadi pendamping hidup, dia juga mengimpikan layanan yang sama baik dan mesra tanpa menafikan haknya sebagai isteri. Kebijaksanaan anda menangani apa-apa 'aduan' daripada isteri sedia ada atau isteri-isteri lain rentetan hati yang 'dibakar' cemburu dan ragu, banyak membantu dalam merapatkan hubungan dua, tiga atau empat hati ini.

Baik isteri sedia ada, mahupun isteri yang hadir kemudian...memang amat bermujahadah untuk berada pada tahap REDHA tanpa merasa 'tidak diperlukan lagi', diketepi, tidak disayangi dan lain-lain perasaan negatif dengan adanya wanita lain sebagai surihati seorang suami.

✅Perkahwinan...baik ia monogami atau poligami, biasanya ia dipandang penuh keindahan sebelum benar-benar berada di dalamnya. Ia umpama melihat bukit menghijau atau pergunungan bersalji dengan tasik membiru dari kejauhan, semakin hampir dan setelah mendekat baru tersingkap cabaran yang bukan sedikit untuk memanjat dan mencapai puncak.

Oleh itu, kepada wanita yang dilamar sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat, bagaimana respond dan usaha anda meneliti makna sebuah perkahwinan poligami yang di dalamnya perlukan pengorbanan rasa untuk sedia berbagi, in shaa ALLAH ia boleh menentukan rasa-rasa positif sentiasa meyelubungi rumahtangga PILIHAN anda itu nanti. Bersabar, bersyukur dan cuba memahami pedih rasa isteri sedia ada amat membantu untuk anda dan dia menelusuri kehidupan bersama penuh timbangrasa berhias bahagia.

Rumahtangga poligami pasti boleh berjaya sebagaimana perkahwinan monogami juga andai setiap petunjuk ALLAH Yang Maha Esa serta didikan Rasullullah Sallallahu 'alaihi Wasallam diletakkan di hadapan pada melaksanakan AMANAH dan TANGGUNGJAWAB sebagai suami/isteri dan ibu/ayah dalam keluarga.

Akhirnya, jadikan TAQWA sebagai neraca pertimbangan; lantaran ia membezakan ke mana hala destinasi perkahwinan...TILL JANNAH, itulah impian dan harapan yang wajib diusahakan.


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI <3

Comments

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA