REVIEW FILEM : Surga Yang Tak dirindukan




Izinkan saya memberi sedikit pandangan setelah menonton filem ( via online ) yang dikatakan sedang viral sekarang, Surga Yang tak dirindukan, dari seberang.

Ada sisi indah yang ditampilkan dalam kisah kehidupan Arini, Prasetya dan Meirose, tiga peribadi utama yang melalui rumahtangga poligami secara tiba-tiba, tak terduga.

Walaupun, permulaan cerita yang membawa kepada pernikahan Pras dan Mei itu dipertikai sesetengah pihak, namun saya tidak mahu menyentuh itu sebagai fokus dan penelitian kerana pada saya, lumrah hidup, ada ujian yang memang tak terjangka dan terjangkau dek akal yang terbatas. Biarkan itu kepada penulis novelnya, Mbak Asma Nadia, antara penulis 'Bestseller' yang punya jati diri tersendiri lewat karya-karyanya.

Apa yang ingin saya ketengahkan adalah, sebagai manusia, kita selalu khilaf dalam meletakkan sesuatu sesuai tempat dan kondisinya.

Justeru, antara yang amat saya tidak bersetuju apabila berbicara soal rumahtangga poligami adalah label 'tamak' ke atas wanita atau isteri yang sukar atau tidak boleh menerima suaminya untuk berpoligami.

Sedangkan suaminya belum lagi memiliki isteri lain di sisi.

Usah katakan begitu kerana tamak bukan perkataan yang tepat menggambarkan beban perasaan seorang isteri yang mengasihi suaminya untuk menerima kehadiran wanita lain yang nantinya akan dikasihi oleh si suami.

Ia satu pengorbanan yang besar tetapi si empunya diri tidak boleh larut dalam melayan perasaan; jangan memberi ruang kepada syaitan untuk memandu arah kehidupan, kerana apapun, hidup ini ada TUHAN Yang Maha Kuasa lagi bijaksana yang menentukan.

Namun pada saya, amat benar andai perkataan tamak itu diperingatkan untuk dijauhi oleh isteri-isteri yang SUDAH berada dalam rumahtangga poligami...bagi keadaan :

• Isteri yang sukar menerima kebaikan dilakukan oleh suami kepada isteri lain sehingga merasa iri dan cemburu melampau yang menyusahkan.
• Gembira dengan kesusahan yang dialami oleh madunya tanpa usaha untuk membantu/meringankan bebanannya.
• Berharap kecintaan suami hanya untuk dirinya seorang; andai suatu masa dia seolah 'mencium' suasana di rumah madunya yang sedang bergolak, dia tersenyum 'bahagia'.

Ia menggambarkan jiwa yang sakit dan memerlukan rawatan segera. Umpama peribahasa lama : Orang tamak selalu rugi, bagai anjing dengan bayang-bayangnya sendiri.

Inilah yang dapat saya lihat pada diri Arini dan Meirose, mereka seupaya menjauhi dari rasa tamak dengan saling cuba memberi bagi menyerap makna sabar dan ikhlas...Sukar tapi tidak mustahil.

Berkongsi kegembiraan adalah milik jiwa insan yang sedar, yang taman hatinya besar...lantaran yang diinginkannya adalah cinta ALLAH yang sentiasa mekar 🌹

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدَكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ

"Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI <3

Comments

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA