RAKAMAN PERJALANAN MASTER OF ISLAMIC STUDIES OUM (Tugasan)

 Tugasan Metodologi Dakwah (Semester Januari 2023)


TUGASAN 1

 

1.0 PENGENALAN

Usaha menyeru dan mengajak manusia untuk berbuat kebaikan dan bersungguh-sungguh pada meraih hidayah Allah dengan melaksanakan amar makruf nahi mungkar merupakan satu usaha yang lebih dikenali sebagai dakwah (Siti Rohmatul Fatihah, 2018). Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya, Thaqafah al-Da’iyyah menyatakan bahawa dakwah ialah usaha membawa orang lain kepada Islam, agar dia dapat mengikut petunjuk agama, melaksanakan semua ketetapannya, juga mengkhususkan segala bentuk penghambaan diri dan ketaatan kepada Allah semata-mata serta menjauhi segala belenggu yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seterusnya berjihad pada jalan-Nya (Ab.Aziz Mohd Zin, 1997). Al-Fayumi pula berpandangan bahawa maksud dakwah adalah menyeru kepada suatu matlamat yang mulia bagi memperoleh keredhaan Allah SWT melalui teladan Rasulullah SAW dalam sunnahnya (Aminudin Basir & Akila Mamat, 2012).

 

Dalam konteks ini, umat Islam diseru oleh Allah SWT untuk menyebarkan keindahan dan hidayah Islam sebagaimana firman-Nya :

 

وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

 

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

                                                                                            (Surah Ali Imran: 104)

Ini juga dapat difahami dari firman Allah SWT yang menyatakan bahawa semua manusia merupakan sasaran dakwah, firman-Nya :

 

وَمَآ اَرْسَلْنٰكَ اِلَّا كَاۤفَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيْرًا وَّنَذِيْرًا وَّلٰكِنَّ اَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُوْنَ

“Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.”                                              

                                                                                             (Surah Saba’ ayat 28 )

 

Konsep dakwah diterjemahkan menerusi gabungjalin yang erat beberapa sudut yang antara satu dengan yang lainnya saling melengkapi, iaitu merangkumi bentuk, sasaran dan kaedah dakwah. Menelusuri perbincangan mengenai bentuk dakwah, ia terbahagi kepada dua iaitu dakwah Islamiyyah dan dakwah Islahiyyah. Cakupan dakwah Islahiyyah lebih khusus kepada komuniti Muslim bertujuan untuk memperbaiki dan menambahbaik kualiti keislaman dalam diri mereka berbanding dakwah Islamiyyah yang lebih umum meliputi masyarakat non Muslim (Abu Dardaa et.al, 2014).

 

Selanjutnya, klasifikasi sasaran dakwah pula tidak jauh berbeza dari pembahagian bentuk dakwah tersebut iaitu kumpulan pertama digelar sebagai mad’u ijabah iaitu merujuk kepada kumpulan orang Islam yang telah menerima seruan Islam serta melaksanakan peraturan-peraturan di dalamnya.  Manakala kumpulan kedua pula dikenali sebagai mad’u dakwah yang merujuk kepada golongan non Muslim yang belum menerima petunjuk kebenaran Islam dan masih berada dalam kesesatan lantaran penolakan mereka terhadap Islam atau pun kerana seruan dakwah belum lagi disampaikan kepada mereka (Khairul Azhar Meerangani, 2019).

 

Tambahan lagi, berdakwah kepada orang lain adalah sebahagian daripada tugas sosial dan kemanusiaan supaya masyarakat memperoleh kebahagiaan hidup dalam kebenaran. Ini kerana, berpandukan penelitian oleh Fajeri Arkiang dan Rabiatun Adwiah (2019), antara objektif utama dakwah adalah berkongsi risalah Islam dengan orang lain serta menyediakan kesempatan dan ruang bagi golongan sasaran tersebut untuk memahami dan mempelajari hakikat sebenar Islam dan ajarannya, sehingga sampai kepada satu fasa mereka mampu membuat keputusan melalui penilaian yang berinformasi serta adil lagi saksama tentang deen yang mulia ini. Ia bertujuan agar manusia seluruhnya mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dalam kata lain, melalui usaha dakwah yang dilaksanakan, masyarakat akan mampu mempertaut kembali fitrah kemanusiaannya dengan agama serta menghadirkan kesedaran untuk memperakui kebenaran Islam dan mengamalkan ajaran-ajarannya sehingga kesejahteraan hidup benar-benar terwujud.

 

Lazimnya, kaedah serta perlaksanaan dakwah banyak melibatkan proses interaksi dan komunikasi antara seorang dai’e (subjek dan sumber dakwah) dengan mad’unya yang menjadi objek atau sasaran dakwah (Zulkefli Aini, 2014). Ini kerana pendekatan sedemikian memberikan pengalaman dan ilmu bagi memahami tingkah laku manusia yang terikat kepada sebab musabbab (cause and effect ) dengan kebolehmungkinan yang sangat luas tetapi kekal sistematik. Dalam hal ini, al-Quran melalui firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 menganjurkan keperluan untuk saling kenal mengenal yang sudah pasti ianya bukan sekadar melibatkan perbezaan kaum, bahkan juga perbezaan dari segi agama dan kepercayaan, agar manusia belajar mengurus perbezaan tersebut sebagai medan kenal mengenal dan menjauhi prasangka serta perbalahan.

 

Sehubungan itu, penulisan ini akan memfokuskan kepada memberi jawapan terhadap beberapa persoalan yang sering menjadi tanda tanya kepada masyarakat bukan Islam terutama mengenai konsep ketuhanan dengan berencam tanda soal yang timbul serta membincangkan peranan pendakwah dari aspek kefahaman dan kesedaran terhadap budaya dan kepercayaan agama lain. Tambahan lagi, di saat dunia hari ini sedang berhadapan dengan arus globalisasi di mana pelbagai perubahan berlaku cepat dengan perlbagai persoalan pula menyusul dan memerlukan jawapan segera tetapi tepat dan menyelesaikan.

 

 

2.0 PERSOALAN TENTANG KEWUJUDAN ALLAH SWT

Adakah Allah itu wujud? Apakah perbezaan antara Tuhan dan Allah? Bagaimanakah perasaan menyembah Tuhan yang tidak dapat dilihat?

 

Persoalan kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan yang wujudnya Dia beerti ‘ada’ dan selayaknya disembah, pastinya bukan menjadi satu tanda tanya yang besar kepada orang-orang yang beriman. Keadaan ini berbeza dengan masyarakat non Muslim yang rata-rata menyembah ‘Tuhan’ mereka yang dapat dilihat, termasuk juga golongan ‘free-thinker’ atau ateis yang tidak mempercayai sama sekali kewujudan Tuhan dan banyak terpengaruh dengan idea-idea dan ideologi berteraskan logik akal. Ini kerana, umat Islam yang benar-benar beriman, menyakini kewujudan Allah lantaran perkara tersebut sudah dikhabar dan disampaikan oleh Nabi SAW, sahabat, para ilmuwan dan masyarakat Islam sebelum mereka.

 

Selain itu, kerangka kepercayaan yang paling asas iaitu Allah SWT sebagai Tuhan yang selayaknya disembah, Pencipta, Pemilik dan Penguasa sekalian alam iaitu rukun pertama dalam senarai Rukun Iman, lazimnya sudah mula ditanamkan sejak usia kanak-kanak lagi, sama ada melalui didikan ibu ayah di rumah mahu pun pembelajaran secara formal dan bersilibus di sekolah. Abdullah Nasih ‘Ulwan di dalam karyanya, Tarbiyah al-Aulad Fi al-Islam telah menyenaraikan tujuh elemen yang perlu dititikberatkan oleh golongan pendidik semasa berlangsungnya proses pendidikan terhadap anak-anak, dan elemen pertama serta terpenting adalah pendidikan keimanan (Siti Nurjanah Mastor, Talhah Ajmain & Jimaain Safar, 2019).

 

Menghadirkan keyakinan dalam diri seorang Muslim bahawa Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa dan berbeza dari ‘Tuhan’ lain yang disembah oleh golongan bukan Islam amat penting; sebagaimana signifikannya tugas pendakwah pada memberikan penjelasan akan hakikat perbezaan tersebut kepada golongan non Muslim. Terdapat banyak dalil, petunjuk dan bukti-bukti yang mengarah kepada kewujudan Allah SWT dan perbezaan Allah SWT sebagai Tuhan Yang selayaknya disembah, walaupun pernyataan ini sering dinafikan terutama oleh golongan yang menolaknya. Antara dalil dan bukti-bukti berkenaan ialah :

 

2.1 Dalil dari al-Quran dan Sunnah serta pandangan ulama

Hakikatnya, fitrah yang wujud dalam diri manusia memperakui kewujudan Tuhan yang menciptakan alam ini. Hasan Habannakah ketika menghuraikan tentang fitrah, beliau menjelaskan bahawa seorang manusia yang benar-benar sempurna akalnya mampu merasai hakikat perasaan ini dan meyakininya walaupun dia tidak dapat menemukan apa-apa pengesahan mengenainya. Beliau menyatakan, dalil fitrah tersebut mendahului pengkajian (dalil nazori) pada membuktikan kewujudan Allah SWT bahkan ada masanya ia lebih teliti dan lebih benar (Mohd Fauzi Hamat, Mohd Hasrul Shuhari, Muhammad Hafizi Rozali & Ahmad Hafiz Ali Makdom, 2021).

 

Oleh kerana itu, boleh dikatakan keyakinan masyarakat Muslim tentang kewujudan Allah SWT, diperkukuhkan lagi menerusi penelitian kepada kejadian alam dan manusia, di mana Dia Yang Maha Kuasa telah mengurniakan wahyu dan akal fikiran yang digandingkan seiringan dalam menghayati keagungan dan kekuasaan-Nya, seterusnya mendekatkan diri kepada-Nya. Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buthi dalam penulisannya, Kubraa al-Yaqiniyyat al-Kauniyyat, beliau menyatakan di samping hujah fitrah dan sejarah, proses untuk memperoleh hakikat keyakinan tentang kebenaran wujudnya Tuhan iaitu Allah SWT dapat dicapai melalui dua jalan berikut (Muhammad Rashidi Wahab, 2018) :

 

1.Memerhati dan mengamati melalui pancaindera terhadap perkara-perkara yang diciptakan oleh-Nya seperti penciptaan alam semesta yang semuanya bermanfaat untuk manusia, tidak sia-sia.  Dengan melakukan analisis menerusi kaedah berfikir (mantik) yang tepat, seseorang itu akan berkeyakinan melewati bukti-bukti kewujudan Allah SWT, dan secara tidak langsung pula membuktikan kebenaran para rasul yang menjadi utusan Allah SWT. 

 

2.Mengkaji kewujudan Allah SWT berdasarkan perkhabaran yang disampaikan kepada manusia melalui al-Quran dan hadis mutawatir serta hadis sahih. Penulis bersetuju dengan kenyataan ini kerana satu hakikat yang tidak kurang penting untuk disedari ialah bagi membuktikan sesuatu itu wujud, keboleh capaiannya tidak hanya terbatas kepada pencaindera yang lima sahaja, sebaliknya pemakluman serta pemberitahuan daripada sejumlah orang sehingga bilangan yang menyampaikan sesuatu khabar itu sukar dinafikan, ia juga merupakan suatu kaedah pembuktian kewujudan yang tidak boleh dinafikan.

 

Berhubung perkara ini, Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran ayat 4-5, Surah al-Jaathiyah :

 

وَفِيْ خَلْقِكُمْ وَمَا يَبُثُّ مِنْ دَاۤبَّةٍ اٰيٰتٌ لِّقَوْمٍ يُّوْقِنُوْنَۙ وَاخْتِلَافِ الَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمَآ اَنْزَلَ اللّٰهُ مِنَ السَّمَاۤءِ مِنْ رِّزْقٍ فَاَحْيَا بِهِ الْاَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَتَصْرِيْفِ الرِّيٰحِ اٰيٰتٌ لِّقَوْمٍ يَّعْقِلُوْنَ

 

“Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya. Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.”       

              

Jelas dari maksud ayat-ayat yang disebutkan di atas, gesaan Allah SWT untuk melihat penciptaan alam selain diri manusia sendiri adalah bagi membuktikan bahawa faedah dan manfaat kejadian alam ini seluruhnya akhirnya kembali semula kepada manusia (Kamarul Azmi, 2018). Sebagai contoh:

 

(a) Bumi dicipta oleh Allah SWT dengan peredaran siang dan malam agar di siang harinya manusia boleh beraktiviti dan berusaha serta bekerja mencari rezeki, sementara malam harinya pula mereka mendapat kerehatan dan tidur.

 

b) Penciptaan langit dan awan yang menurunkan hujan sebagai minuman kepada haiwan dan manusia selain dapat dimanfaatkan untuk mengairi tanaman agar dapat hidup subur bagi memberikan manusia sayuran, buah-buahan dan makanan. Tumbuh-tumbuhan lain yang mendapat siraman air hujan juga seperti rumput-rumput dan lain-lain dapat dimakan oleh binatang ternakan yang akhirnya manusia boleh menggunakan binatang ternakan sebagai makanan dan kenderaan mereka.

 

Sementara itu, al-Quran juga membentangkan banyak ayat-ayat yang menjelaskan ‘siapa’ Dia dan bagaimanakah sifat-sifatNya yang membezakan Allah SWT sebagai Tuhan berbanding ‘Tuhan-Tuhan’ selain-Nya. Paling pertama adalah surah terawal di dalam al-Quran iaitu surah al-Fatihah.  Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :  

 

“Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Ia (surah al-Fatihah) adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku.” 

                                                                                      (Riwayat al-Bukhari (5006))

 

Kandungan surah ini juga mengenengahkan penelitian bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang yang memiliki keutamaan dan ditujukan kepada-Nya puji dan puja selaku ‘Rabb’ seluruh alam, Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memiliki, Yang Disembah, Yang Maha Menentukan dan Pemberi Petunjuk (Khatijah Othman & Muhammadul Bakir, 2022).

 

Seterusnya surah al-Ikhlas, merupakan surah yang menjelaskan secara ringkas tetapi tepat dan padat tentang Allah SWT iaitu Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa, Dia tempat meminta pertolongan, tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesuatupun yang menyamai-Nya. Di dalam satu hadis ada menceritakan keadaan di mana musyrikin Mekah bertanya kepada Baginda Nabi SAW akan ‘siapakah’ ALLAH?  Lalu Nabi SAW memberikan jawapan sebagaimana yang telah disuruh oleh ALLAH dalam surah al-Ikhlas (Luqman Tarmizi, 2019). Syeikh Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur turut mengenengahkan kenyataannya bahawa nama al-Ikhlas lebih dikenali berbanding nama-nama lain seperti al-Tafrid, al-Tajrid, al-Tauhid dan lain-lain, kerana kalimah al-Ikhlas itu telah memadai menghimpunkan makna-makna surah ini iaitu ia mendidik manusia untuk menerapkan sifat ikhlas dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT; satu konsep akidah yang bebas daripada mensyirikkan Allah SWT dalam ketuhanan (Luqman Tarmizi, 2019).

 

Lebih menarik, Firdaus Wong Wai Hung (2016), selaku pengasas dan juga Presiden Muslim Revert Malaysia (MRM), ada menjelaskan bahawa orang-orang bukan Islam yang mengimejkan Tuhan-tuhan mereka dengan alasan untuk memperkuat keyakinan mereka agar lebih fokus dalam beribadat, lantas mereka membuat lakaran, lukisan dan ukiran yang mewakili ‘wajah’ tuhan mereka. Sebagai contoh di dalam agama Hindu, terdapat ukiran tuhan dan dewa-dewi mereka. Demikian juga ukiran patung Buddha dan Kwang Ying bagi agama Buddha; sementara dalam Kristian, penganut-penganutnya percaya bahawa tuhan mengambil bentuk seorang manusia iaitu Jesus. Hakikatnya, mereka telah melanggar disiplin beragama yang menegaskan bahawa Tuhan tidak berjisim dan memiliki rupa dan kenyataan ini amat selari dengan fitrah dalam diri manusia yang memahami bahawa Tuhan itu tidak menyerupai sesuatu ( لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ). Bahkan, isu ini turut tercatat di dalam teks agama-agama dunia berkenaan yang menegaskan tentang tidak boleh mewajahkan Tuhan apatah lagi memberhalakan ciptaan-ciptaan itu.

 

2.2 Bukti dari sains dan analogi

Pandangan dari sudut sains juga menjelaskan bahawa sesuatu itu boleh dilihat sekiranya ia berjisim, sedangkan Allah SWT tidak berjisim kerana jisim itu sendiri adalah ciptaan Allah. Jelasnya, Allah itu wujud tanpa menyamai sesuatu pun di alam ini sama ada jisim ataupun sifat jisim (Zulkifli Muhammad al-Bakri, 2021). Oleh kerana itu, Allah SWT sendiri melalui al-Quran telah mengenengahkan jawapan kepada persoalan tentang kewujudan-Nya yang tidak dapat dilihat dengan mata; firman Allah SWT :

 

لَا تُدْرِكُهُ الْاَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الْاَبْصَارَۚ وَهُوَ اللَّطِيْفُ الْخَبِيْرُ

 

 Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.                                                                  

                                                                                        (Surah al-An’am ayat 103 )

 

Berpandukan ayat di atas, akal yang sejahtera dan sempurna dapat dimanfaatkan untuk menuntun manusia bagi memahami bahawa Allah SWT tidak menciptakan manusia atau makhluk lainnya dengan kapasiti atau kemampuan untuk melihat-Nya ketika di dunia ini. Keadaan tersebut bukan beerti menafikan kewujudan Allah SWT, bahkan ia sebagai petunjuk bahawa Allah Maha Besar sehingga makhluk ciptaan-Nya yang lemah tidak akan mampu untuk melihat secara langsung dan terus dengan mata kepala mereka (Anik Masriyah, 2020).  Apabila Allah SWT tidak berada dalam ruang lingkup unsur-unsur yang berjisim tersebut, maka sudah pasti Dia tidak dapat dilihat oleh makhluk yang diciptakan-Nya, yang semuanya merupakan unsur berjisim. Lebih dari itu, manusia hanya mampu membayangkan sesuatu yang pernah dilihat atau diketahuinya sahaja yang berada dalam ruang masa dan berjisim sedangkan Allah berada di luar dari ruang masa tersebut.

 

Hakikatnya, bagi golongan non Muslim yang tidak terdedah dengan ayat-ayat al-Quran berkait alam semesta ini, mereka masih mampu memperakui bahawa setiap sesuatu yang wujud dan apa-apa peristiwa yang berlaku dalam kehidupan di sekitar mereka pasti ada pelaku atau penyebabnya. Walaupun ‘kewujudan’ sesuatu atau seseorang tersebut tidak dapat mereka lihat, namun mereka masih dapat merasai keberadaannya juga menikmati faedah atau kebaikan yang ada. Contohnya :

 

a) Bila melihat makanan terhidang di atas meja rumah, biarpun makanan tersebut dibeli dari kedai atau restoran luar, sudah pasti ada orang yang membeli bahan-bahan masakan tersebut, menyediakannya dan kemudian memasaknya. Ia tidak akan ‘terwujud’ sendiri. Bahkan, makanan yang siap terhidang itu, sebelumnya ada seseorang yang telah meletakkannya di pinggan dan meja makan untuk dinikmati.

 

b) Jika seseorang yang baru tiba di tepi pantai, melihat ada jejak kaki di atas pasir-pasir yang memutih; pastinya dia percaya bahawa kesan tapak kaki tersebut telah ditinggalkan oleh seseorang lain yang lebih dahulu melalui pantai tersebut, walaupun dia tidak melihat orang dan kejadian berkenaan berlaku. Pastinya, jika dikatakan kepadanya bahawa kesan tapak kaki tersebut terjadi sendiri atau secara kebetulan terbentuk akibat ombak dari laut yang menghempas pantai, dia tidak akan mempercayainya sama sekali.

 

c) Perkakasan elektrik di rumah seperti kipas, lampu, peti sejuk, televisyen, cerek elektrik, gajet dan semua peralatan yang menggunakan tenaga elektrik, walaupun manusia tidak dapat melihat arus elektrik dengan mata kasar, namun manusia percaya ia wujud apabila alat-alat elektrik di sekeliling mereka tersebut berfungsi dan boleh digunakan dengan baik.

 

Situasi seumpama ini adalah sebagaimana yang dialami oleh orang-orang Islam yang beriman yang menyembah Allah SWT sebagai Tuhan yang wujud tetapi tidak dapat dilihat dan disaksikan oleh mata fizikal namun dapat ‘dirasai’ oleh hati (rohani), yang bukti kewujudan serta keagungan-Nya memadai dengan mengamati alam semesta serta penciptaan makhluk lainnya termasuk manusia. Oleh kerana itu, jika ciptaan-ciptaan lain itu pun manusia masih diselubungi keraguan pada fikiran, justeru mereka perlu mengamati pada ciptaan yang mereka tidak mampu meraguinya, iaitu diri manusia itu sendiri (Muhammad Rashidi Wahab, 2018).

 

Berkait isu ini, terdapat satu kisah yang masyhur tentang dialog Imam Abu Hanifah dan golongan Dahriyyah (Ateis) yang berpendirian bahawa alam ini terjadi sendiri tanpa ada yang menciptanya, atau dalam kata lain mereka menafikan kewujudan Allah SWT Yang Maha Mencipta. Sungguhpun kisah tersebut tidak dapat dipastikan kesahihannya, namun ia diriwayatkan oleh ramai ulama berwibawa dalam karya-karya mereka, antaranya : Imam Fakhr al-Din Muhammad bin Umar al-Razi dalam tafsirnya, Tafsir al-Kabir wa Mafatih al-Ghaib, jilid 2, mukasurat 108 dan Imam Ibn Kathir, menerusi karyanya, Tafsir al-Quran al-Azim, yang telah ditahqiq oleh Sami bin Muhammad al-Salamah, jilid 1, mukasurat 197 (Muhammad Rashidi Wahab, 2018).

 

Kisah dialog tersebut berlaku apabila seorang ilmuan besar golongan Dahriy dengan penuh kesombongan bertanyakan persoalan kewujudan Tuhan kepada Imam Abu Hanifah yang pada ketika itu masih dalam usia kanak-kanak. Berikut adalah dialog tersebut :

 

Dahriy : Apakah Allah itu wujud? Jika wujud di manakah Allah?

Abu Hanifah: Ya, wujud dan Allah tidak bertempat.

Dahriy: Bagaimana  wujud tetapi tidak bertempat itu?

Abu Hanifah : Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Bukankah kamu ada nyawa? Di manakah letaknya nyawa atau roh kamu itu? Di kepala, perut atau kaki kamukah?

Ulama Dahriy tersebut diam membisu mendengar pertanyaan Abu Hanifah.

Abu Hanifah : Bukankah air susu itu mempunyai minyaknya?

Dahriy : Ya

Abu Hanifah : Di manakah tempat minyak itu, di dalam susu? Di sebelah atas susu atau di sebelah bawahnya?

Sekali lagi ulama Dahriy tersebut tidak mampu menjawab soalan Abu Hanifah.

Abu Hanifah : Sebagaimana roh itu tiada tempat di tubuh badan dan minyak tidak bertempat di dalam susu, justeru demikian jugalah Allah SWT tidak bertempat di alam dunia ini.

Dahriy : Apa yang ada sebelum Allah SWT dan selepas Allah SWT, apakah buktinya?

Abu Hanifah: Tiada sesuatu sebelum Allah SWT dan tiada sesuatu selepas Allah SWT. Buktinya ada pada anggota badan kamu. Tiada sesuatu pun yang mendahului ibu jari tanganmu dan tiada sesuatu pun yang ada selepas jari kelingkingmu. Demikian juga dengan Allah SWT. Tiada sesuatu sebelum-Nya dan tiada sesuatu selepasnya-Nya.

 

Dalam hal ini, Allah SWT menempelak keadaan orang-orang yang menolak keimanan kepada-Nya dengan mengembalikan persoalan sinis untuk mereka memikirkan tentang kejadian diri mereka sendiri sebagaimana maksud firman-Nya dalam Surah al-Tur ayat 35-36 :

 

اَمْ خُلِقُوْا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ اَمْ هُمُ الْخَالِقُوْنَۗ

 

“(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?

 

اَمْ خَلَقُوا السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضَۚ بَلْ لَّا يُوْقِنُوْنَۗ

 

Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).”

 

 

3.0 KEPENTINGAN PENDAKWAH MEMAHAMI, MENGUASAI DAN MENDALAMI AGAMA SERTA KEPERCAYAAN LAIN SEBAGAI ILMU DAN HUJAH.

 

Allah SWT dalam ayat-ayatNya amat menegaskan kepentingan berdakwah sebagaimana firman Allah SWT :

 

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ ۗ وَلَوْ اٰمَنَ اَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ ۗ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُوْنَ وَاَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُوْنَ

 

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

                                                                                             (Surah Ali Imran: 110)

 

Senario ini menjelaskan bahawa pendakwah yang memahami, menguasai, dan mendalami agama dan kepercayaan lain akan dapat membantu mereka untuk memberikan penerangan yang meyakinkan. Ia juga memberi nilai tambah kepada seseorang daie itu bagi membantu mereka dalam melaksanakan dakwah yang efektif selain dapat membangun hubungan yang baik dengan masyarakat.

 

Selain itu, pendakwah yang berkeahlian dalam ilmu dan hujah juga menyediakan mereka dengan hikmah atau kebijaksanaan untuk memahami pandangan dari perspektif yang berbeza sehingga mereka dapat membina komunikasi yang konstruktif seterusnya memberikan jawapan yang tepat. Antara contoh pendakwah yang baik selain daripada Rasulullah SAW dari kalangan sahabat ialah Musab bin Umair yang telah diutus oleh Baginda ke Madinah sebelum berlakunya hijrah sehingga dikatakan bahawa beliau telah berhasil mengislamkan hampir sepertiga penduduk Madinah. Demikian juga perutusan dakwah Muaz bin Jabal ke negeri Yaman (Zulkifli Muhammad al-Bakri, 2022).

 

Selanjutnya, seorang pendakwah yang berjaya adalah dinilai dari sudut keilmuan dan kemahirannya dalam aktiviti pendakwahan. Kerana itu, Dr Yusuf al-Qaradawi dalam karyanya, Thaqafah ad-Daiyah telah menggariskan keperluan seseorang atau sekumpulan pendakwah untuk mengimbangi antara ilmu agama Islam yang dimilikinya dengan ilmu-ilmu sokongan yang lain (Ismail Naim Abdullah & Abdul Ghafar Don, 2019). Konsep yang diutarakan oleh Yusuf al-Qaradawi ini meliputi aspek-aspek berikut: 1. Pengetahuan berteraskan Islam (Thaqafat al-Islamiah) 2. Pengetahuan berteraskan Sejarah (Thaqafat al-Tarikhiyyah) 3. Pengetahuan berteraskan Sastera dan Bahasa (Thaqafat al-Adab wa al-Lughawiyyah) 4. Pengetahuan berteraskan Kemanusiaan (Thaqafat al-Insaniah) 5. Pengetahuan berteraskan Ilmiah (Thaqafat al- lmiyyah) 6. Pengetahuan berteraskan Realiti (Thaqafat al-Waqieyyah).

 

Isu yang diangkat oleh Dr Yusuf al-Qaradawi tersebut amat penting bagi mempastikan golongan pendakwah bukan semata mampu menguasai ilmu berkaitan nas, bahkan mereka juga boleh mengendalikan interaksi yang baik antara nas itu dengan alam dan manusia bagi mendepani cabaran semasa. Ismail Naim Abdullah dan Abdul Ghafar Don (2019) menyatakan bahawa ketidakupayaan pendakwah menguasai atau meremehkan keperluan cabang-cabang ilmu yang disenaraikan tersebut, bakal mengundang berencam salah faham bahkan mungkin menggagalkan penyampaian mesej Islam secara lebih berkesan terutama kepada golongan non Muslim yang amat dahagakan kebenaran dalam beragama.

  

4.0 PROPOSAL CADANGAN PENDEKATAN DAN AKTIVITI

Selaku sukarelawan dakwah untuk pertandingan FIFA World Cup 2022 di Qatar, berikut merupakan proposal cadangan pendekatan dan aktiviti dakwah untuk penyokong-penyokong bola sepak yang datang daripada negara bukan Islam :

 

NAMA PROGRAM : To Know Is To Love

 

ASPEK

 

PENERANGAN

 

Pendekatan

 

 

Program ini akan menggunakan pendekatan fitrah dengan merujuk kepada ayat 125 Surah al-Nahl yang bermaksud : “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.

 

Pendekatan ini dipilih kerana Rasulullah SAW sendiri dalam dakwah Baginda memanfaatkan ketiga-tiga metode yang terkandung dalam ayat tersebut meliputi al-Hikmah, al-Mau’izah al-Hasanah (nasihat yang baik) dan al-Mujadalah billati hia ahsan (berdiskusi dengan cara yang terbaik). 

 

Justeru itu, ketiga-tiga cara dakwah berkenaan merupakan pendekatan yang bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan yang sentiasa mahukan kedekatan jiwa dan kemesraan peribadi mendahului apa-apa penjelasan yang lebih mendasar, lebih-lebih lagi ke atas orang-orang bukan Islam.

 

 

Sasaran

 

 

Golongan pengunjung FIFA World Cup 2022 terutama daripada negara-negara Barat, Eropah dan Asia yang menunjukkan minat kepada Islam.

 

 

Topik

 

 

How to connect?

Hablum minallah (hubungan dengan Tuhan), wa hablum min al-naas (hubungan dengan manusia)

 

 

Cadangan aktiviti

 

 

Terdapat dua cadangan aktiviti utama dalam program ini, iaitu :

 

1) ABAHATA (May I introduce you to Arabic (Islamic) alphabet?)

Ia merupakan satu aktiviti yang menyentuh topik : Hablum min al-Naas dengan memperkenalkan pengunjung FIFA World Cup 2022 kepada huruf-huruf hijaiyyah yang juga merupakan huruf-huruf dalam Bahasa Arab yang merupakan asas kepada kemampuan seseorang untuk dapat membaca al-Quran sebagaimana huruf-huruf latin yang mengupayakan seseorang untuk membaca.

 

·       Jika selama ini mereka hanya mengetahui abjad-abjad latin sahaja, maka diharapkan melalui strategi memperkenalkan huruf-huruf hijaiyyah ini akan membuka hati mereka untuk lebih mengetahui kandungan al-Quran yang bertulisan dan berbahasa Arab serta mengenali Islam itu sendiri.

 

·       Aktiviti mengambil pendekatan berbentuk interaktif bagi memperkenalkan huruf-huruf berkenaan dengan teknik pengajarannya lebih memfokuskan kepada medium nyanyian dan pergerakan tangan.

 

·       Semasa aktiviti ini, pengunjung akan diberikan sehelai kertas bersaiz A4 yang memaparkan 28 huruf hijaiyyah dan kemudian paparan video yang menunjukkan bagaimana huruf-huruf berkenaan akan diperdengarkan, dilagukan serta pergerakan yang berkaitan. Pengunjung akan menyanyi mengikut rentak dan melakukan pergerakan yang dipertontonkan kepada mereka bermula dengan huruf :

 

ا ب ح ت ج د س خ ث ذ ص ز ع ش ر ض ط ف غ ظ ك

 م ق ل ه ي ن و

 

Pengenalan teknik ABAHATA :

https://www.facebook.com/watch/?v=105061083166557

 

Titian Ingatan ABAHATA :

https://www.youtube.com/watch?v=wIhIUUNSIVg&ab_channel=KadirManap

 

 

2) A.S.A.R.A. PK (Do you want to know about Allah?)

Aktiviti ini merupakan satu aktiviti yang menyentuh topik Hablum min Allah. Ia merupakan kaedah menyampaikan Islam dan memperkenalkan ‘siapa’ Allah kepada golongan non Muslim secara mudah.

 

·       Kaedah ini diperkenalkan dan dipelopori oleh Tuan Noli Husain, Pengarah Outreach Hidayah Centre Foundation (Hidayah Centre, 2023).

 

·       Penjelasan huruf-huruf pada perkataan ASARA PK adalah sebagaimana berikut :

 

A – Ada (Tuhan Ada) : Penerangan definisi Tuhan serta mengenengahkan dalil aqli dan naqli tentang kewujudan serta keesaan Allah.

 

S – Satu (Tuhan Satu) : Tuhan adalah Pencipta, bukan ciptaan. (Creator not a creation); Siapakah Allah? Ketengahkan penjelasan mengenai Surah al-Fatihah dan Surah al-Ikhlas.

 

A – Al-Quran Wahyu Tuhan : Ia telah diturunkan sejak 1400 tahun yang lampau, dan telah dihafal oleh jutaan manusia. Kandungannya yang menepati ilmu sains dan mengandungi kisah-kisah terdahulu dan akan datang.

 

R – Rasul-rasul Utusan Tuhan : Siapa dan apa tugas para Rasul telah dinyatakan di dalam Al-Quran dengan Nabi Muhammad SAW merupakan Rasul/Nabi yang terakhir.

 

A – Akhirat ada syurga : Setiap perbuatan dan perkara yang berlaku di dunia akan dibalas di akhirat kelak. Cause and effect.

 

P – Pemilik Syurga : menerangkan Pencipta syurga dan info yang terdapat dalam al-Quran mengenai syurga.

 

K – Kunci syurga : Orang yang memiliki kunci syurga (syahadah) sahaja yang boleh masuk syurga.

 

 

5.0 KESIMPULAN

Dakwah merupakan satu usaha yang sangat penting dalam menyebarluaskan nilai-nilai Islam serta ajarannya, terutama kepada golongan bukan Islam. Di samping itu, aktiviti dakwah terhadap golongan non-Muslim juga merupakan satu usaha yang amat signifikan serta perlu dipandang endah pada mengenengahkan aspek ‘rahmatan lil ‘alamin’ (rahmat kepada sekelian alam) melalui bukti-bukti yang banyak sama ada secara aqli mahu pun naqli. Selain ia turut berperanan sebagai wahana dalam memperbaiki hubungan antara kaum bukan Islam dan masyarakat Muslim dengan mempromosikan toleransi dan saling pengertian.

 

Perbezaan dalam anutan atau agama tidak sewajarnya menjadi halangan kepada umat Islam untuk menyantuni dan berbuat kebaikan kepada masyarakat non Muslim berdasarkan seruan Allah SWT agar dakwah dilaksanakan melalui metode hikmah atau kebijaksanaan, memberi peringatan yang baik dan juga berdialog secara baik. Ini kerana, terdapat banyak salah faham tentang Islam yang disebarkan oleh media dan sumber lain. Sehubungan itu, dakwah boleh membantu meluruskan kecelaruan fahaman ini sekaligus menggalakkan perpaduan dan memecahkan tembok buruk sangka dalam kalangan masyarakat.

 

 

6.0 RUJUKAN

Al-Quran

Ab. Aziz Mohd. Zin (1997). Pengantar Dakwah Islamiah. Penerbit: Universiti Malaya

Abu Dardaa Mohamad, Mohamad Zulkifli Abdul Ghani, Anuar Puteh, Mohd Shahrul Nizam Mohd Saron, Razaleigh Muhamat @ Kawangit, Abdul Ghafar Don dan Ahmad Irdha Mokhtar. (2014). Cabaran Dakwah Islamiah Dan Masalah Perapi Di Sarawak. Makalah, Seminar Antarabangsa Dakwah & Etnik 2014, Pusat Kajian Dakwah Orang Asli dan Pribumi, UKM.

Aminudin Basir & Akila Mamat (2012). Dakwah Kepada Masyarakat Bukan Islam Menerusi Interaksi. Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari Jilid 5 (Julai). UKM : 77-89

Anik Masriyah (2020). Bukti Eksistensi Tuhan : Integrasi Ilmu Kalam dengan Filsafat Islam Ibnu Sina. Ilmu Ushuluddin, 19 (2) Jun - Disember 2020 : 137-146

Firdaus Wong Wai Hung (2016, Disember 29). Adakah Tuhan Berjisim?, Facebook : https://www.facebook.com/FirdausWongMRM/posts/1056838674427118:0

Hidayah Centre Foundation (2023, Januari 28). ASARA PK – Kaedah Mudah Sampaikan Islam, Hidayah Centre : https://hidayahcentre.org.my/2023/01/28/asara-pk-kaedah-mudah-sampaikan-islam/

Ismail Naim Abdullah & Abdul Ghafar Don (2019). Kepentingan Aspek Pengetahuan Dan Kemahiran Dalam Dakwah Terhadap Masyarakat Orang Asli. Jurnal Al-Hikmah, UKM : 20-36

Khairul Azhar Meerangani (2019). Cabaran Dakwah Terhadap Golongan Non Muslim Di Malaysia. Jurnal Maw’izzah. Jilid 2. 2019.Kolej Universiti Islam Melaka : 14-22

Kamarul Azmi Jasmi (2018). Bukti Kewujudan Allah SWT dan Kebenaran al-Quran: Surah al-Baqarah (2: 21-25). Siri Buku Tafsir Sempena Budaya Al-Quran. Penerbit : Akademi Tamadun Islam, FSSK, UTM

Khatijah Othman & Muhammadul Bakir (2022). Pengenalan Surah Al-Fatihah : Analisis Surah Al-Fatihah Dari Perspektif Bahasa. Penerbit : Unissa Press

Luqman Tarmizi (2019, Januari 23). Rahsia Penamaan Surah al-Ikhlas, Muftiwp.gov : https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3043-al-kafi-1061-rahsia-penamaan-surah-al-ikhlas

Mohd Fauzi Hamat, Mohd Hasrul Shuhari , Muhammad Hafizi Rozali, Ahmad Hafiz Ali Makdom (2021). Pendalilan Naqli Dan ‘Aqli Tentang Wujud Allah Menurut Al-Ghazali Berdasarkan Kitab Ihya’ ‘Ulum Al-Din. Jurnal Afkar, 23 (1) (2021): 91-138

Muhammad Rashidi Wahab (2018). Ateisme : Satu Penilaian Awal. Penerbit : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Siti Rohmatul Fatihah (2018). Konsep Etika Dalam Dakwah. Jurnal Ilmu Dakwah. 38(2). Julai-Disember 2018. UIN Walisongo : 241-248

Siti Nurjanah Mastor, Talhah Ajmain & Jimaain Safar (2019). Pendidikan Anak-anak Menurut Abdullah Nasih Ulwan. Seminar Kebangsaan Keluarga Sejahtera Negeri Johor, 2019 : 1-14

Zulkifli Muhammad al-Bakri (2021, Disember 16). Allah al-Khaliq, bukan makhluk, Maktabah Al-Bakri : https://maktabahalbakri.com/161-allah-al-khaliq-bukan-makhluk/

Comments

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA