KENANGAN


“Tangan As ni memang tak boleh apply hand sanitizer la bang..mesti kering dan gatal..sikit pun tak boleh,” Adu saya pada suami.
Suami memandang dengan pandangan simpati.
“Mungkin ke kesan masa duduk kat Irbid dulu ye? As basuh pinggan guna air sejuk kan?” Suami membalas.
Saya terdiam.


PENGALAMAN HIDUP
Mendengar kata-kata suami, ia mengingatkan saya kepada pengalaman hidup di bumi bersejarah Urdun, suatu masa dahulu. Selebihnya, hati gembira kerana terasa dihargai dengan bicara berisi memori bersama tersebut.
Sebagai seorang suri rumah dengan dua cahayamata yang masih kecil ketika itu, rumah yang disewa oleh suami ( yang menyambung pelajarannya di peringkat MA) sudah cukup ‘mewah’ untuk kami berempat beranak huni.
Alhamdulillah.
Hanya sahaja ada sedikit kekurangan yang perlu disabari, antaranya tiada ‘central heating’ untuk memanaskan rumah ( kami hanya menggunakan portable heater yang dipanggil subah, disorong ke sini sana ) dan tiada pemanas air ( sakhanah ) di dapur. Tuan rumah menyediakan pemanas air di bilik air ( hamam ) sahaja.
Kerana itu, apabila musim dingin ( syita’ ) muncul, saya perlu juga memaksa diri membasuh pinggan mangkuk, baju-baju dan melakukan tugas memasak menggunakan air bersuhu dingin beku dari paip. Usai memasak, cepat-cepat saya rendam kedua-dua tangan dalam mangkuk berisi air panas..lega rasanya.


DONUT
Kenangan lain, ialah apabila lidah teringin menjamah donut, saya memang penggemar tegar kuih-muih. Oleh kerana tiada gerai sarapan pagi dan kuih muih di Irbid, mahu tak mahu, diri sendiri mesti mencuba. Masih saya ingat, jika ‘craving’ datang di musim dingin mencengkam, untuk menaikkan doh donut, saya perlu mencari ruang/tempat yang panas, jika tidak doh akan bantat dan donut yang terhasil menjadi keras, tidak gebu. Biasanya ‘subah’ la menjadi pilihan.
Syukur, donut yang di’rehatkan’ sebentar naik dengan jayanya.
Begitulah...
Terasa ‘manisnya’ memori kehidupan, kenangan yang saat menghadapinya terasa payah, tapi setelah bertahun melewatinya, baik ketika senang atau susah, ia menjadi asbab terbentuknya peribadi seseorang hari ini.
Alhamdulillah thumma alhamdulillah ❤️


Donut airtangan ummi untuk sarapan pagi

DONUT SEMPOI
Resepi Oleh : Chef Asma

500 gm tepung roti atau tepung high protein atau tepung gandum ( sebaiknya tepung roti )
10 gm instant yeast atau 1 peket mauripan
1 sudu besar bread softener ~ optional
60 gm mentega
60 gm gula halus
2 sudu besar susu tepung
1 sudu besar susu pekat manis
2 biji telur
1/2 sudu kecil garam atau secubit garam
200 ml air sejuk dari peti ais

  • minyak untuk mengoreng
  • gula kastor atau gula icing ikut kesesuaian untuk menyalut donut


CARA-CARA :

  • Masukkan semua bahan ke dalam bread maker ( kecuali minyak untuk mengoreng dan gula kastor / gula icing untuk salut donut )
  • Set pada button uli doh dan biar bread maker mengambil alih tugas menguli. 
  • Bila doh dah siap, tumbuk-tumbuk manja untuk keluarkan angin.
  • Kemudian, boleh lah bulat-bulatkan.
  • Setelah itu, rehatkan sebentar dalam 10 minit ( pastikan tutup permukaan doh dengan kain atau plastik.)
  • Letak doh di ruang yang agak panas untuk membantu doh 'naik'.
  • Goreng dan salut dengan gula. 

Comments

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA