NASIHAT UMMI

GAMBAR : Kek Pelangi Ummi

Saya sering mengusik anak-anak dara saya tentang bab kahwin...sengaja 'mengenakan' mereka apabila malas malas untuk membantu ummi memasak di dapur.


"Nanti kalau dah ada orang berkenan, ummi tak bagi lepas kalau tak pandai masak..." Saya membulatkan mata. Anak-anak solehah ummi ayah ni sekadar tersengih malu-malu. 


"Ummi ni..." Paling tidak, itu jawapan mereka. 


Selepas itu, panjanglah 'ceramah' ummi buat anak-anak tercinta ini ❤


PERKAHWINAN

Ye, bebelan yang bukan saja-saja dilontar tetapi mau mengingatkan bahawa perkahwinan bukan sekadar untuk memiliki pasangan yang halal bagi memenuhi fitrah manusia, akan tetapi lebih dari itu ia merupakan satu tanggungjawab yang berintikan komitmen yang besar, baik di pihak suami mahupun di pihak isteri. 

 Untuk yang dikasihi

Suami dengan tugas hakikinya mencari nafkah sementara isteri pula berperanan di rumah, dengan antaranya menyediakan masakan buat hidangan keluarga. 


Sementelah, sifat seseorang itu tidak kita ketahui melainkan hanya setelah hidup sebumbung. Ada suami yang tak kisah setiap hari makan makanan luar, ada pula yang mudah berlapang dada jika dia sendiri 'turun gelanggang' menyinsing lengan menyiang ikan dan berbau bawang, namun ada suami yang memang mendambakan airtangan isterinya baik untuk santapan pagi, tengahari dan malam... maka apa-apa persediaan bagi menyubur cinta dan kasih dalam rumahtangga itu penting bagi melahirkan keserasian serta keharmonian. 


Walaupun, ia bukan kewajipan mutlak seorang isteri, tetapi saya tetap meyakini sejak dulu, bahawa kasih sayang dalam keluarga mampu dijana oleh seorang isteri dan ummi melalui masakannya...ikhlas dari hati. 


TELADAN ARWAH MAK

Teladan yang ditunjukkan oleh arwah mak dan ayah. Boleh dikatakan, maklah chef utama di dapur rumah kami. Namun, sesekali apabila keadaan memerlukan, contohnya ketika arwah mak dalam pantang selepas melahirkan, ayahlah yang mengambil tugas memasak untuk anak-anak di rumah. Masakan mak, sedap tiada bandingan, masakan ayah pula wah! nasib tak sampai jilat tangan je hehe..


Alhamdulillah hampir 40 tahun mereka diizinkan bersama...


Kerana itu, saya tidak pernah menafikan bahawa kerjasama antara suami dan isteri dalam melengkapi urusan rumahtangga sesama mereka juga boleh menjadi satu terapi yang menyuburkan lagi sakinah, mawaddah wa rahmah, seterusnya menjadi contoh buat anak-anak yang sentiasa belajar dengan 'melihat'. 


"Sayang...tak mau memasak berbeza dengan tak pandai tapi sentiasa mahu belajar. Memasak ini kemahiran, maka bila ia kemahiran ia boleh dipelajari, in shaa ALLAH...practice makes perfect you know..." Begitulah selalunya saya mengakhiri bebelan manja buat mereka. 




#kasihummi

#mogaadamanfaat

Comments

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA