UKHUWWAH INI UNTUK DISANTUNI

Beberapa waktu kebelakangan ini, pintu kotak berbual saya di ‘Mukabuku’ sering diketuk oleh beberapa orang wanita yang belum berumahtangga; mereka meminta pandangan apabila dilamar sebagai isteri kedua. Termenung saya membaca dan meneliti bicara hati mereka, antara dilema menerima dan menolak, antara kasih yang sedang mekar dan hakikat yang difahami penuh sedar.

Sementara di pihak saya sendiri, walau sudut pandang dan jawapan sudah dapat saya fikirkan, namun soal berkongsi kasih dan cinta dalam rumahtangga poligami, saya akui, ia mudah untuk dilafaz dan ditinta, namun untuk melaksana dan menjayakannya, amat memerlukan mujahadah dan semangat yang dipandu oleh DIA Yang Maha Kuasa.

Lalu, sedikit jawapan dari diri yang masih mentah di alam rumahtangga 'bertiga' ini, saya hulurkan :

PERTAMA : Ia satu perkara yang besar dan memerlukan mujahadah yang bukan sedikit terutama bagi isteri-isteri dalam mengurus emosi dan perasaan. Di pihak suami, sudah pasti yang paling utama adalah keadilan dalam mentadbir lebih dari sebuah keluarga.

KEDUA : Para isteri dalam poligami perlu bahu membahu untuk membantu suami berlaku adil, tanpa ‘teamwork’, ia sesuatu yang sukar diperkasa. Kedepankan redha terhadap apa-apa keputusan suami ( selagi tiada kezaliman berlaku ) berbanding semata-mata menuntut hak demi hak.

Dalam hal ini, para isteri perlu memandang tindakan suami dari perspektif berbeza dari apa yang difikir/dirasa kerana sering berlaku apa yang dirasa/difikir itu meleset dek sangka-sangka semata.

KETIGA : Sentiasa berusaha dari sehari ke sehari untuk menyayangi siapa dan apa yang disukai oleh suami, in shaa Allah setiap usaha untuk kebaikan bersama tersebut pasti dinilai dan diganjari di sisi ILAHI.

Namun, apa yang perlu difahami bahawa senarai di atas tetap tinggal sebagai teori dan jauh dari realiti andai tiada kesedaran bagi merealisasikannya demi kebaikan bersama. Ini kerana, tindakan dan tingkah dalam mengisi hari-hari sentiasa memungkinkan untuk menjadi asbab kesedihan atau kegembiraan kepada peribadi-peribadi yang terlibat.



SENSITIVITI



“Kawan saya di sekolah, ada seorang tu hidup bermadu, kak Ina…” Seorang kenalan bercerita saat bertandang ke rumah saya.

“ Alhamdulillah, awal mula rumahtangganya nampak ok dan tiada masalah, tetapi apabila suami dan madunya mengerjakan umrah, lalu kemudian madunya memuatnaik gambar-gambar mesra mereka ketika di Mekah dan Madinah, kawan saya ini menjadi kecewa..sehingga dia ‘unfriend’ madunya di Facebook…” Tambah kenalan tersebut dengan wajah tidak ceria.

Saya yang mendengar menarik nafas dalam.

“Bagaimana sebenarnya ye, kak? Boleh atau tidak memuatnaik gambar-gambar peribadi dengan suami sehingga melukakan hati isteri yang lain? ” Satu soalan dilontarkan.
Saya tersenyum hambar.

“Hakikatnya, setiap isteri punya ruang privasi masing-masing. Walau mungkin tiada salah apapun memasukkan gambar peribadi di akaun Facebook atau mana-mana laman sosial untuk tatapan keluarga dan rakan-rakan terdekat, namun mahu atau tidak, oleh kerana telah memilih hidup dalam rumahtangga poligami, masing-masing perlu sangat menyedari ‘di bumi mana mereka berpijak’ iaitu dengan saling menjaga sensitiviti.

Dalam gembira yang ingin ditampilkan, ada hati lain yang menahan kepedihan. Sementara di pihak seorang lagi, dalam menghendaki pihak madu memahami kecemburuan diri, perlu juga cuba ‘memakai kasut’ madu agar dapat sedikit sebanyak memahami sekeping hati yang mahu merai kegembiraan bersama suami yang dikasihi.

Ia satu mujahadah di pihak isteri-isteri, dan ia tidak mudah. Kerana itu, pada Kak Ina, tindakan ‘unfriend’ tersebut wajar dan kena dengan kehidupan berpoligami demi memelihara dua hati ini asalkan nilai ukhuwwah di alam sebenar tetap terpelihara. Biar tidak berkawan di alam maya, tetapi masih mesra dan bersaudara di dunia sebenar, jangan pula tidak berteman di FB hingga terbawa-bawa membenci lalu bermusuh pula akhirnya, walya’uzubillah…” Saya menjelaskan dengan suara sedikit ditekankan lantas disambut anggukan bertalu daripada kenalan di hadapan.



SUCIKAN HATI

Kerana itu, dalam hal ini, satu usaha jitu yang perlu diperhati oleh setiap diri yang terlibat dalam poligami adalah menguat dan mensucikan hati dengan sentiasa memperbaiki ibadah fardu sebagai ikhtiar untuk lebih akrab kepada ALLAH, Pemilik setiap jiwa sebagaimana pesanan-NYA lewat sebuah hadis Qudsi. ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala berfirman yang bermaksud :

“Tidak seorangpun hamba mendekatkan diri kepada-KU dengan sesuatu yang paling aku cintai, melainkan dengan apa yang telah AKU wajibkan kepadanya. Hamba-KU adalah orang yang selalu mengerjakan ibadah-ibadah nawafil (amalan-amalan sunnah) sehingga AKU mencintainya. Ketika AKU telah mencintainya, maka AKU-lah yang akan menjadi telinga yang dia gunakan untuk mendengar, mata yang dia gunakan untuk melihat, tangan yang dia gunakan untuk memukul, kaki yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-KU, pasti AKU berikan, dan jika dia perlukan perlindungan-KU, pasti AKU lindungi...”

Setiap kali menelusuri bait-bait inspirasi ini, jiwa sebak dalam harapan yang tinggi kepada ILAHI, agar terus membimbing dan memberi taufik-NYA kepada diri ini, suami, madu, anak-anak, kaum keluarga serta sahabat yang dikasihi, untuk menjadi manusia yang diberkahi.

Lantaran, manusia yang berkah itu..adalah manusia yang tumbuh, berkembang dan meluas manfaat serta kebaikannya buat diri, keluarga dan masyarakat. Terkenal di langit tinggi, walau mungkin tidak dikenal di bumi.

Munajat malamnya, menjadi wadah dia menyelesaikan masalah, hingga yang ditonton oleh manusia pada dirinya di siang hari hanyalah senyuman yang indah. Dia tidak bahaya untuk didekati, kerana dia tidak menyakiti dengan lisan atau perbuatan. Mendengar bicaranya, manusia beroleh teladan kesolehan..melihat dia bergerak, membangkit motivasi kepada amal soleh.

Dia yang mendekat dan terus mendekat kepada ALLAH, kerana ALLAH paling suka didekati oleh hamba-NYA melalui ibadah yang difardukan.

Lantas, ALLAH terus membuka kesempatan untuk hamba yang menuju hampir kepada-NYA  dengan yang fardu kemudian ditambah dengan ‘nafilah’ serta ‘sunnah’ lagi dan lagi…hingga akhirnya ALLAH memanggil Jibril lalu mengumumkan :

“Wahai Jibril, AKU mencintai orang ini maka cintailah dia, lalu jibril pun mengumumkannya kepada seluruh makhluk di langit!”



BUKAN PERTANDINGAN

Seperkara lain yang juga perlu difahami dalam menjayakan poligami ialah, rumahtangga ini bukan pertandingan tentang siapakah yang terbaik dalam melayani suami dan menyayanginya, masakan siapakah yang lebih lazat dan menepati citarasa, hadiah siapakah yang paling memenuhi keperluan insan nan seorang yang dicintai bersama itu atau lain-lain lagi.

Kerana, andai keadaan ini yang berlaku, ia amat mendukacitakan!

Isteri-isteri bagaikan cuba saling menyaingi antara satu sama lain. Seumpama mereka menyertai pertandingan sukan sahaja. Individu yang menang tersenyum puas melihat lawan lain yang kecundang.

Sedangkan…’Fastabiqul khairaat’ yang digalakkan oleh Deen mulia ini bukanlah perlawanan yang bersifat saling menjatuhkan, sebaliknya ia berkait rapat dengan sikap saling membantu ke arah ketakwaan dan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa dan janganlah kalian tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” ( Surah al Maidah ayat 2 )

Andai seorang isteri yang lebih maklum citarasa makanan kegemaran suami dan ingin berkongsi tentangnya kepada isteri lain, itulah yang sebaiknya dilakukan, berkongsilah manfaatnya tanpa merendah-rendahkan kemampuan dan upaya isteri lain tersebut. Sementara kepada isteri yang masih belum berpuas hati dengan apa-apa sahaja berkait rumahtangga, belajarlah daripada madunya dengan ikhlas tanpa membuat perbandingan sesama mereka.

Pada saya, para isteri tidak sepatutnya saling cuba menyaingi antara satu sama lain. Kemahiran menghias rumah, memasak, mendengarkan masalah suami dan lain-lain bukanlah satu pertandingan yang sifatnya berlumba-lumba untuk menang ke atas lawan bagi meraih perhatian yang tersayang, sebaliknya ia adalah ‘perlumbaan sihat’ untuk meraih keberkatan dari-NYA dalam keadaan tetap menjaga ukhuwwah dan nilai persaudaraan sesama Islam.

Boleh menjadi kompetitif, tapi bukan dengan menjatuh dan melekeh!

Untuk itu, yang paling utama…cukuplah, sekadar menjadi peribadi yang terus berusaha untuk menebar sebanyak mungkin manfaat dalam rumahtangga, baik kepada suami, madu dan anak-anak serta keluarga terlibat. Sebagaimana bicara puitis yang diterjemah dari bahasa ‘syurga’ ini :

🌹Jadilah seumpama pintu yang masuk melaluinya kebaikan...
🌹Andai tidak mampu...jadilah seumpama jendela, yang membenar lalunya cahaya...
🌹Andai tidak mampu...jadilah seumpama dinding, yang bersandar padanya mereka yang letih tidak bermaya...

Kejayaan bukan diukur dari keseronokan berdamping pasangan dan anak-anak sendiri semata, tetapi ia dinilai dari kebahagiaan ketika madu dan anak-anaknya turut serta bersama...

Kejayaan bukan dilihat dari gambar-gambar kebahagiaan dan status romantis di media sosial, tetapi ia dipandang dari sikap ‘kota apa yang dikata’, iaitu tidak boleh berhenti setakat perkataan, bahkan lebih dari itu, ia diukir indah melalui perbuatan.

Lantaran rumahtangga mukmin itu sifatnya bukan seperti tong kosong yang gah berbunyi di luar tapi kosong di dalam. Akan tetapi ia bagai padi yang menunduk kerana semakin berisi...pro-aktif dalam mengasihi, empati mendepani emosi, meredhai melebihi meminta-minta itu ini.



UKHUWWAH INI UNTUK DISANTUNI




Akhirnya, buat peribadi-peribadi yang sedang dan masih berjuang menyantuni ukhuwwah unik ini…hayatilah  :

“Tak perlu hairan mengapa insan yang satu-satu ketika membuat kita ketawa, adalah insan sama membuat kita menangis hiba...
Yang pernah menjadikan kita bersemangat, pernah juga menjadikan kita rasa lemah bagai tiada kudrat..
Yang pada masa indah menjadikan jiwa tenang, juga yang pada masa ribut membuat jiwa berserabut...

Kerana...
Itulah insan di dunia...
Tiada keadaan yang kekal serupa sepanjang masa....
Ada masa langit cerah beriring kicau burung...
Ada waktu pula langit kelam beriring awan mendung...

Kerana...
Itulah insan di dunia...
Yang turut berdepan ujian dan cabaran pada hari-harinya...
Yang utama adalah saling memahami dan menerima...
Bahawa setiap situasi, akan berlalu pergi...
Dan dia..mereka...insan-insan yang tetap di sisi menemani...

Bagi kita...
Kebaikan itu latihan untuk bersyukur dalam kesabaran...
Keburukan pula adalah latihan untuk bersabar dalam kesyukuran...
Terima kasih dia, mereka...”

Sesungguhnya wajah kebenaran dalam ukhuwwah itu tetap satu...iaitu ceria seiring bahagia saudaranya, dan berduka bersama kesedihan saudaranya.

Yakinilah... Persaudaraan dalam poligami itu adalah usaha berpasukan bukan lawan melawan untuk 'kemenangan'...

Insafilah.... Ukhuwwah dalam poligami itu adalah saling menyantuni, bukan membanding dan menandingi....


Itulah kejayaan …


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH. 



Comments

nhhas said…
Terbaiklah pesanan ni Kak Ina.

Assalamualaikum
Tablet Hati said…
subhanallah,memberi inspirasi.
Unknown said…
Subhanallah..semoga beriringan menuju syurga

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA