MARI MILIKI KEJELITAAN SEJATI
“Ummi….kenapa
kulit adik putih sangat, not fair!” Luah kak long sambil mencubit
lembut pipi mulus adik kecilnya yang berada dalam dukungan.
“Alhamdulillah, kulit kak long pun kecil-kecil dulu putih macam
adik juga…sekarang ni je berubah sikit sebab banyak kena cahaya matahari…nanti
dah macam ummi putih la balik..hehe..” bidas saya sambil tertawa kecil.
Mengerti, bahawa iri anakanda sulung saya ini bukanlah datang dari
hati, hanya mainan bibir sahaja kerana saya meyakini sayangnya pada adik
kecilnya ini tak tergambar dengan kata-kata. Kerana itu, biar pun letih
sebaik pulang dari sekolah, dia tetap melayan adiknya bermain.
“Ye ke? Cuba ummi tengok kulit kak long ni…macam aiskrim
neapolitan…” Ulas kak long lagi dengan sengihan di bibir.
Mendengar itu, meledak ketawa saya. Terbayang aiskrim yang
dimaksudkan…belang kuning, merah jambu dan coklat!
Hmmm…Sememangnya kecantikan dan wanita tidak boleh dipisahkan
terutama dalam dunia hari ini yang mengenengahkan senarai wanita cantik adalah
mereka yang memiliki pesona kejelitaan seumpama artis dan selebriti. Kerana
itu, pada saya, apabila berbicara mengenai kecantikan perempuan, ia adalah sama
sebagaimana fesyen pakaian. Berbicara mengenainya memerlukan dua elemen
utama iaitu kefahaman dan ketakwaan.
Kefahaman penting, kerana ia melibatkan keupayaan untuk mengetahui,
mengerti dan menyelami masalah yang dibicarakan secara adil dan saksama,
sementara dengan ketaqwaan pula, ia memimpin dan mendorong kepada jalan
penyelesaian yang terbaik berlandaskan syari’at demi meraih keredaan-NYA. Pincang
salah satu darinya, maka ‘outcome’ dari perbincangan tersebut
tidak akan memberi faedah apa-apa.
Lebih-lebih lagi apabila isu ini dibangkitkan oleh anak gadis yang
sedang meningkat remaja, persepsi mereka tentang kecantikan yang banyak
dibentuk oleh media massa perlu diletakkan kembali ke landasannya yang benar.
KISAH 'ANAK ITIK' YANG HODOH
“Kak long, kak ngah pernah tak dengar atau baca cerita tentang
angsa yang hodoh?” Saya bertanya. Petang itu, sambil menyusun buku-buku cerita
di bilik anak-anak, saya mengambil peluang berbual bersama mereka.
“Tak….” Kedua-duanya menjawab serentak.
“Eh! Takkan tak pernah…” Saya menyanggah.
“Kan ada satu cerita tentang seekor anak angsa yang dibela oleh
itik. Selepas menetas, dia melihat dirinya tak sama dengan anak-anak itik yang
lain. Mereka semua berwarna kuning, bersih dan cantik, tapi dia…dah lah warna
hitam, besar dan nampak hodoh pulak..” Saya mula berkisah.
“Oh! Cerita tu. Kak long dah baca dah…” Tiba- tiba kak long
mencelah.
“Ha, kalau dah baca, apa jadi lepas tu?” Saya menyoal untuk menduga
ingatannya.
“Dia sedih sebab tak cantik macam anak itik lain. Anak itik lain
pun tak nak kawan dengan dia. Satu hari, anak ‘itik’ tu nampak seekor swan terbang
dekat dengan kolam. Dia kata, kan baik kalau dia jadi macam swan
tu...putih, cantik dan menarik..Rupa-rupanya bila dah besar, 'anak itik' tulah swan sebenarnya...”
Kak long menambah cerita.
BAGAI SANG ANGSA
Saya pasti ramai di kalangan wanita hari ini yang meletakkan diri
mereka seumpama sang angsa di dalam cerita dongeng tadi. Sejak kecil, ramai di
antara kita terperangkap dengan suasana semasa dalam menentukan nilai
kecantikan seorang wanita.
Andai di zaman kanak-kanak, patung Barbie dan seumpamanya
menjadi idola, menjengah ke alam remaja dan dewasa, tanda aras cantik dan
jelita itu terarah pula kepada artis dan selebriti yang menghiasi media elektronik
dan majalah.
Kondisi ini semakin 'melumpuhkan' pandangan mata. Kita bagai tidak
memiliki 'tenaga' untuk mengembangkan daya dan upaya menghargai kecantikan
sendiri yang sebenarnya wujud dalam diri setiap individu di muka bumi ini.
“Cukup sifat, ada mata, hidung, telinga, mulut….cantiklah namanya
tu.” Demikian jawapan ayah bila saya dan adik beradik perempuan lain
membandingkan kelainan yang ada di antara kami. Asalnya mahu bergurau senda,
tetapi tidak sangka pula rupa-rupanya ayah memasang telinga. Kami terdiam dan
berpandangan sesama sendiri. Senyuman terukir di bibir masing-masing, penuh
makna.
Hakikatnya, generasi wanita
yang terperangkap dengan 'neraca' semasa ini akan mewariskan piawaian sonsang
tentang kecantikan kepada anak-anak gadis mereka suatu masa nanti dan
menatijahkan neraca kecantikan yang tidak benar itu berpanjangan dan
berkesinambungan zaman ke zaman.
MENJADI CERMIN
Kerana itu, saya merasakan, pendidikan tentang kecantikan sejati
ini harus dimulai oleh ibubapa di rumah agar perspektif yang songsang itu dapat
diluruskan kembali. Kekeruhan fikiran anak-anak gadis tentang apa itu ‘cantik’
mesti dipandu dengan pengisian jiwa agar tumpuan mereka ketika berada di
hadapan bingkai kaca, bukan lagi tubuh fizikal yang boleh sirna bersama
beredarnya masa, tetapi keindahan hati yang dengannya kekal ingatan dan
sanjungan manusia.
Ringkasnya, ibubapa perlu bertindak dan memberikan respon seumpama
‘sebingkai cermin’ kepada anak-anak gadis mereka. Antara yang boleh dilakukan
untuk tujuan tersebut ialah :
1)
Contoh
daripada seorang ibu iaitu seorang ibu itu perlu berhati-hati ketika mengkritik
bentuk tubuhnya sendiri –
Saya pernah menonton satu rancangan keibubapaan di kaca televisyen,
ketika menetap di United Kingdom suatu ketika dahulu. Rancangan ini
dikendalikan oleh seorang pakar keibubapaan bernama Jo Frost.
Di dalam siri yang menyentuh tentang obses remaja hari ini tentang
penampilan dan kecantikan, Jo menegur segelintir kaum ibu yang begitu
mengkritik bentuk tubuh sendiri akibat membanding-bandingkan penampilan diri
dengan model-model majalah. Akibatnya, anak-anak gadis yang melihat atau
mendengar turut terkesan sama.
Impak panjang dari itu, kecantikan yang ada pada diri terus tidak
dibangunkan, sebaliknya perbandingan dengan orang lain akan terus subur dan
mewarnai kaca mata seorang perempuan.sebaiknya, sebelum membelek-belek wajah
dan tubuh di cermin, sebelum mengkritik itu dan ini pada tubuh sendiri, pandang
dahulu ke kanan dan kiri.
Andai bersendiri di dalam bilik dengan pintu bertutup rapat dan
terkunci, itu lebih molek, kerana lebih terjamin dari penglihatan anak-anak.
Lantaran seringkali sebagai ibu kita terlepas pandang, menyangka anak-anak
sedang leka melakukan aktiviti masing-masing; akan tetapi sebenarnya mereka
menjeling dan men'curi-curi' dengar.
2)
Peranan
seorang ayah iaitu dengan memberitahu kepada anak gadis mereka bahawa dari
sudut pandang seorang lelaki, mereka sudah cukup cantik dan memiliki pesona
diri.
Ketengahkan kepada anak-anak bahawa ‘kejelitaan’ yang dicari dari diri
seorang wanita adalah satu bentuk tarikan dan pengaruh yang terbit dari dalam
jiwa dengan segala kemuliaannya.
‘Perhiasan jiwa’, itulah yang
lebih utama. Ia merupakan aspek budi pekerti yang diterapkan oleh Islam; diawali
dengan sifat keimanan kepada Yang Maha Menciptakan, sebagaimana firman ALLAH
Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud :
“Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan
iman itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran,
kefasikan, dan kedurhakaan.” (Al Quran
surah Al-Hujaraat: 7)
Apabila keimanan telah benar-benar terpatri dalam hati, maka akan
tumbuhlah sifat-sifat indah yang menghiasi diri insan : ketakwaan, berimu, rasa
malu, jujur, terhormat, berani, sabar, lemah lembut, berbudi pekerti, menjaga
silaturrahmi dan sifat-sifat terpuji lain yang dengannya dia membuat kehidupan
lebih beerti dengan ciri-ciri tersebut dari sekadar memenangi ego manusiawi
yang tidak terkendali. Semua itu adalah
nikmat ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang diberikan kepada hamba-hambanya yang
beriman agar dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat.
3)
Perkukuhkan
dalam diri anak gadis sifat BERSYUKUR bahawa setiap manusia yang ALLAH jadikan
di dunia ini mempunyai kecantikan tersendiri.
Tambahan pula, cantik itu sendiri adalah terlalu subjektif dan
relatif bak satu pepatah Inggeris :
Beauty is in the eye of the beholder
Justeru, minta anak gadis agar berhenti dari meminati kecantikan
orang lain dan alihkan kepada membangun potensi diri kurniaan ILAHI.
Beritahu mereka bahawa, wanita adalah umpama kuntuman mawar. Mekar
indah dengan pelbagai warna : putih bersih, merah muda, merah menyala dan
kuning diraja, akan tetapi pada setiap penghujungnya, semua kuntuman mawar itu
akan dihidu dan dinilai dengan cara yang sama, iaitu melalui keharumannya yang
semerbak walau apapun warnanya.
Lalu, begitulah juga kita, dengan pelbagai bentuk tubuh, ketinggian
dan paras rupa, pengakhirannya kita semua memiliki satu ciri yang sama iaitu kecantikan
semulajadi kurniaan Yang Maha Adil lagi Bijaksana.
Bersyukurlah!
MARI MILIKI KEJELITAAN SEJATI
Dan pagi ini, ketawa saya meledak kembali. Apabila seorang teman
memaklumkan sesuatu dan kata-kata itu terngiang di telinga, sukar benar untuk
saya tersenyum sopan begitu sahaja. Mujur juga saya berada di rumah. Jika
tidak, sungguh tidak sesuai tertawa sebegini sebagai seorang muslimah!
Namun, ketawa saya itu mengundang kerutan di dahi kak long. Mungkin
dia tertanya-tanya gerangan apakah yang menyebabkan umminya ini ketawa
sedemikian rupa.
“Kenapa ummi? Dari tadi kak long tengok ummi ketawa kuat macam
tadi…” Kak long akhirnya bersuara. Tidak tahan lagi bersoaljawab sendiri
agaknya. Biar jelas duduk perkara.
“Tak ada apa-apalah sayang…seorang kawan ummi ni, dia beritahu yang
muka ummi ni macam muka seorang pelakon cantik tu..” Ujar saya sambil menyebut
nama seorang selebriti. Ketawa lagi saya usai menyebut namanya.
“Sama ke muka ummi dengan wajahnya?” Saya melontar tanya sekadar
berjenaka. Kak long tersenyum.
“Ada rasanya…tang hidung…” Jawab kak long bersahaja disambut ketawa
kami bersama.
“Kak long nampak tak sayang? Setiap orang memandang kecantikan itu
dari sudut berbeza. Ada orang melihat wajah si polan ini biasa-biasa sahaja,
tetapi ada orang lain melihat si polan ini tersenarai dalam kalangan wanita
cantik menurut penilaiannya. Jadi, akhirnya….” Saya berhenti berkata-kata untuk
melihat respon si anak dara.
“Akhirnya…semua orang adalah cantik sebenarnya.” Kak long
memberikan kesimpulan.
Alhamdulillah….dalam hati saya berbisik dengan kesyukuran ke hadrat
ILAHI :
‘Buat anakku yang dikasihi, tak salah membelek-belek ‘kekurangan’
diri, tapi tak perlu berlebih-lebih, kerana yang mencintaimu tak memerlukannya,
yang membencimu kan jadikan bahan cerita. Bercerminlah melihat diri,
sempurnakah amal ketaatan yang diperintahkan ILAHI; berkaca meneliti hati,
wujudkah mazmumah yang mengaburi cahaya iman dari menyuluh denai hidup ini.
Bercermin tubuh dilihat manusia, bercermin hati dipandang ALLAH Yang Maha
Kaya. Kedua-duanya indah jika akhlak menjadi naungannya. Mari kita miliki
kejelitaan sejati, in sha ALLAH!’
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, in shaa ALLAH.
Comments
maaf atas panggilan ummi jika tidak disenangi.
Semoga Allah merahmatimu ummi
Alhamdulillah moga Allah terus menjadikan hati kita mencari dan berusaha menjadi kejelitaan sejati.
Jazakillahu khair atas perkongsian indah.
Bercermin tubuh dilihat manusia, bercermin hati dipandang ALLAH Yang Maha Kaya...
syukran jazilan ..