MENYINTAIMU KERANA ALLAH...

“Ustazah, saya sedih…” Lirih suara wanita berusia hampir lima puluh tahun yang saya panggil Kak Ni ( bukan nama sebenar ) melalui telefon bimbit. Saya mendengar dan cuba memahami perasaannya yang baharu sahaja menerima kehadiran seorang teman baharu sebagai pendamping bersama suami yang dikasihi.

“Saya reda dan telah merestui, akan tetapi apabila ada teman dan saudara mara yang meluah rasa kasihan melihat saya yang ‘kehilangan’ suami setelah berpuluh tahun susah senang bersama. Kata mereka, yang untung isteri barunya. Tak perlu menempuh perit hidup. Apa yang dinikmati kini semua yang terbaik dari suami. Mendengar semua itu, saya jadi tak menentu. Entah mengapa, saya seolah mengiyakan kata-kata mereka.” Tambah Kak Ni sayu.

Saya mengesan nada suaranya yang sedang ‘sakit’ menahan hiba.

Saya akui, kebelakangan ini, sudah beberapa kali saya menerima panggilan telefon daripada  individu bergelar isteri meluahkan suara hati, meminta pandangan tentang keadaan mereka yang sedang bermujahadah menempuh alam rumahtangga serupa; hidup bermadu yang manisnya SUKAR wujud TANPA usaha bersama.

Luahan Kak Ni tidak terus saya jawab, sebaliknya saya beristighfar dan memohon kekuatan dari ALLAH terlebih dahulu agar apa yang terlafaz mampu menghurai kekusutan bukan menambah ribut perasaan.



JIWA PENYAYANG
“Kak Ni, boleh saya tahu dah berapa lama Kak ni dan suami berumahtangga?” Saya memulakan bicara setelah diam seketika.

“Hmm…dah 25 tahun. Entahlah…Kak Ni rasa sesal pula mengizinkan suami berkahwin lain. Kami ni dah sama-sama menuju ‘senja’.” Kak Ni menyuarakan kekesalannya.

“Mengapa Kak Ni mengizinkan sebelum ini?” Saya bertanya lagi.

“Sebenarnya, madu Kak Ni ni anak yatim piatu. Dibesarkan di rumah anak yatim sejak usianya lapan tahun lagi. Ditakdirkan ALLAH, suami dan Kak Ni berkunjung ke rumah anak yatim tersebut untuk memberikan sedikit sumbangan. Di situlah pertemuan pertama kali kami dengannya. Kak Ni akui dia seorang gadis yang baik, bersopan santun dan berbudi bahasa sehingga Kak Ni tergerak hati untuk mengambilnya sebagai anak angkat kami. Namun, memikirkan dia perempuan dan bukan mahram pula kepada suami, ditambah lagi Kak Ni tak punya anak lelaki dewasa, Allah menghadirkan ilham kepada Kak Ni untuk menawarkan kepada suami mengahwininya sekaligus dapat memenuhi keperluannya untuk belajar lagi. Dia masih muda, sayang jika masa yang ada tidak diisi dengan ilmu,” lancar bibir Kak Ni bercerita; menerbit kekaguman saya kepadanya.

Walau hatinya sedang menderita, namun terpancar kebaikan jiwanya untuk membantu sesama saudara. Pengasih dan penyayang. Itu penilaian awal saya terhadap Kak Ni. Luka yang sedang dirasa tidak menjadikannya ‘bisu’ dari berbicara secara adil terhadap madunya yang terlebih dulu telah dicurahkan kasihnya sebagai seorang ibu.

Untuk itu, saya merasakan tidak adil perasaan Kak Ni yang sedang luka di’simbah cuka’ pula dengan kata-kata seolah menghasut daripada insan sekelilingnya.

Saya akui, dalam situasi masyarakat yang rata-rata masih memandang negatif kepada perlaksanaan poligami, sukar menemukan orang-orang yang mampu memberikan nasihat serta penilaian yang adil lagi benar terhadap individu yang berazam menjalaninya.

Justeru itu, saya merasakan perlunya ‘suntikan’ kesedaran diberikan kepada individu-individu yang sedang berhadapan cabaran poligami ini agar mereka meyakini bahawa rasa sukar, payah dan susah berhadapan kata-kata orang sekeliling yang tidak faham dan tiada ‘common sense’ itu, sebenarnya adalah ‘lubuk pahala’ yang wujud dalam poligami berasaskan takwa dan taqarrub kepada ALLAH Yang Maha Esa.

TERBAIK
“Tentu Kak Ni dan suami dulu banyak mencipta kenangan hidup bersama…” Saya kembali membuka kata.
Tiada suara dari sebelah sana menjawab kenyataan saya tadi. Sunyi.

Namun saya meyakini, Kak Ni sedang termenung mengimbau detik penuh warna warni dia dan suami memulakan hidup bersama.

“Hmmm….banyak, Ustazah. Terlalu banyak kenangan.  Memulakan hidup berdua dengan hanya bermotosikal sahaja ke sini sana, menumpang rumah saudara sementara mencari rumah sewa, dikurniakan anak ketika suami baru sahaja mendapat kerja tetap, sambil itu kami cuba berniaga dan syukur, rezeki anak-anak bertambah seiring rezeki kewangan sehingga kami dapat membeli rumah dan membesarkan lagi perniagaan. Jatuh bangun berniaga itu lumrah dan kami hadapi semuanya bersama.” Tenang Kak ni menuturkan perjalanan cintanya bersama suami yang dikasihi.

“Bagaimana pandangan Kak Ni tentang suami Kak Ni ketika itu?” Saya cuba memasukkan lagi perbincangan sebelum sampai kepada tujuan yang saya inginkan.

Kak Ni menarik nafas…

“Jujur Kak Ni katakan, suami Kak Ni seorang yang sangat bertanggungjawab, penyayang dan mengambil berat kebajikan Kak Ni dan anak-anak. Tidak pernah kami berlapar walau sesusah manapun, anak-anak bersekolah seperti anak-anak orang lain juga..sebagai suami dan ayah, dia sanggup bersusahpayah. Biar harirayanya tanpa baju baru, tetapi anak isteri tetap dibelikan yang terbaik semampunya ketika itu. Dan kini, walau telah beristeri baru, Kak Ni masih dapat merasakan kasih sayangnya. Tidak berkurang, malah makin bertambah…” Kak Ni berhenti seketika dan bagai terdengar di telinga saya, esakan halus yang ditahan-tahan.

“Kak Ni, kalau saya katakan…sebenarnya Kak Ni sangat bertuah kerana segala sudut ‘yang terbaik’ dari diri suami Kak Ni telah dicurahkannya kepada Kak Ni dan anak-anak sebelum beliau berpoligami lagi. Biarlah orang lain menilai yang terbaik itu dari sudut material semata-mata, asalkan sebagai isteri Kak Ni menilainya dari sudut yang jauh lebih mulia…kesungguhannya membina mahligai bahagia untuk Kak Ni dan anak-anak. Tenaga, masa dan kerehatan masa mudanya…semua itu adalah yang terbaik daripada seorang suami. Dan kini, ternyata, sisi terbaik itu tidak pernah hilang, malah masih kekal diberikannya buat Kak Ni, isteri yang dicintainya.” Selembut mungkin saya cuba mengatur patah kata agar isinya direnungi oleh wanita berhati baik ini.

Kak Ni masih diam, sesekali sahaja saya mendengar keluhan dan esakan bersilihganti.

Entah mengapa, saya turut terharu. Terbayang kelibat suami sendiri dengan segala kerja kerasnya untuk kebahagiaan saya dan anak-anak tercinta.

USAH SESAL, TETAPI SABAR


“Kak, memang poligami tidak mudah terutama kepada kaum hawa seperti kita. Ia melibatkan pengorbanan perasaan yang bukan sedikit, tetapi yakinlah..bertuhankan nafsu menjadikan manusia lesu, tetapi berTUHANkan ALLAH, manusia tidak akan mudah lemah dan menyerah kalah. Selagi mana kita bertawakal kepada ALLAH setelah berazam melaksanakan keputusan menerima poligami, semoga DIA jua membantu menunjukkan jalan-NYA, melapangkan jiwa, meringankan beban perasaan yang menimpa dan menambah keberkatan dalam setiap perjalanan hidup kita setelah itu. “ Tambah saya lagi.

“In shaa ALLAH ustazah. Kak Ni memang telah reda dengan ketentuan-NYA setelah melakukan perbincangan yang lama juga dengan suami serta beberapa ahli keluarga terdekat yang Kak Ni yakini agama mereka. Juga selepas istikharah dan munajat kepada ALLAH..tapi dengan kata-kata daripada orang sekeliling, Kak Ni jadi keliru dan menyesal pula...” Beliau meluahkan dengan sebak di dada.

Saya tekun mendengar sambil berfikir ligat menyusun kata agar bicara yang terlafaz menatijahkan kedamaian jiwa wanita mulia ini. Mudah-mudahan.

“Semoga ALLAH memudahkan Kak Ni. Kak, tidak sepatutnya rasa sesal itu dibiarkan menjalar dan mengakar dalam jiwa, sebaliknya apa yang wajar adalah tentangi rasa sesal yang bertandang dengan syukur, reda dan mengisi waktu-waktu selepas berpoligami ini dengan sebaiknya bagi bekalan akhirat.

Kata kunci yang pada saya amat baik untuk kita hayati adalah, cintai suami kerana ILAHI, kak…bukan kerana apa-apa tujuan dunia yang tidak kekal ini. Jangan sampai, kerana terlalu cintakan suami, ketentuan ALLAH dinafi. Usah kerana cinta suami, kesal dan kecewa merajai hati, kak. Sedangkan, cinta kepada suami hanyalah jalan untuk meraih cinta ALLAH jua, tidak lebih dari itu.

ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala berfirman :

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan (daripada) berjihad untuk agama-NYA, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusan-NYA (azab seksa-NYA); kerana ALLAH tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” ( Surah at Taubah ayat 24 )

Dengan ini, lebih mudah untuk kita menyedari bahawa kekesalan dalam cabaran sebesar ini hanyalah refleksi dari bisikan dan waswas dari Syaitan, jin atau manusia lain yang tidak tunduk kepada hukum ILAHI yang mesti dilawan. Selagi suami bertanggungjawab, baik serta bersungguh-sungguh menjaga keadilan dan perasaan isteri-isteri,  maka rasa kesal  itu patut berkubur berganti dengan syukur yang sentiasa disubur. Ujian dan cabaran hidup, usah kita jadikan ia sumber sesal, sebaliknya jadikan ia sumber sabar. Alangkah beruntungnya, kerana ALLAH sendiri berfirman bahawa DIA bersama orang-orang yang sabar. Semoga kita sentiasa diberikan taufiq dan hidayah dari ALLAH agar jalan yang lurus menjadi laluan hidup kita hingga akhir hayat nanti ye kak…amen.“ Saya tersenyum saat menuturkan ayat–ayat hujung itu; terasa menyusup rasa indah dalam jiwa saat menuturkannya.

“Ye, betul ustazah….alhamdulillah, lapang sedikit perasaan Kak Ni. “ Saya yang mendengar juga terasa lega, alhamdulillah.

MENYINTAIMU KERANA ALLAH
Setelah mengucapkan salam dan berjanji akan berhubung semula, Kak Ni mengakhiri perbualan. Dan, saya sendiri….terdiam lama. Berfikir, merenung…

Saya menginsafi…bahawa, inilah aturan hidup insan ciptaan-NYA. Manusia hanya diminta beribadah kepada-NYA, memohon pertolongan-NYA agar mampu menyempurnakan ibadah pada-NYA.

Sejalan itu juga manusia bermohon petunjuk ‘sirat al mustaqim’ iaitu jalan orang-orang yang  diberi nikmat ikhlas di dunia serta nikmat reda-NYA di akhirat sana.

Maka, benarlah….segala puji bagi ALLAH yang hanya dengan kurniaan ikhlas kepada-NYA lalu menjadi sempurna segala ketaatan dan kebajikan di dunia yang sementara.

Saya meraup dua tangan ke wajah sambil hati berbisik indah :


“Suamiku…diri ini menyintaimu hanya kerana ALLAH.”


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, in shaa ALLAH.

Comments

cilipadi said…
Alhamdulillah...saya ketemu artikel puan dalam pencarian saya menghadapi isu poligami.Saya sedikit iri membaca kisah Kak Ni dan Ustazah.Saya membenarkan suami kahwin lagi memandangkansuami nekad berbuat demikian.Dia tercari2 calun kerana ingin mencapai cita2 kawin lagi.Dia bukanlah orang yang punya penasihat atau tuan guru.Saya memang putus asa yang dia akan berubah.Cuma saya berharap dia akan berubah dalam menjalani kehidupan bersama isteri baru.Saya akui suami sebenarnya tidak layak/mampu berpoligami,cuma saya mohon perdamaian dalam bentuk ikatan perkahwinan kami dikekalkan dan saya cuma tuntut nafkah untuk anak-anak.Saya sayangkan ikatan persaudaraan yang telah saya bina bersama anggota keluarga yang lain.Saya membawa diri dan anak-anak bukan kerana kecewa tetapi demi mengurangkan interaksi supaya kami tidak lagi dizalimi dan supaya saya juga tidak menzalimi suami dan isteri baru.Saya bahagia dengan cara saya,tetapi tetap saudara-mara terdekat berbunyi dan berkisah tentang poligami kami yang dilabel 'pelik'.Mereka tetap mahukan penyelesaian konvensional iaitu perceraian atau kembali bersama dan suami berusaha adil.
maryamsiddiqah said…
Salam ustazah, dalam konteks monogami pun boleh mencintai suami kerana Allah juga kan?

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA