ZURIAT BERKAT

“Tak apa ke ni?” suami bertanya sambil merenung ke anak mata saya, meminta jawapan pasti.

“InsyaAllah, As ok..” balas saya. Si kecil Husna, terus leka bermain. Manakan dapat dia memahami resah dan debar yang sedang membelenggu jiwa ayah dan ummi.

“Rasanya, lambat lagi ni. Lagipun, tempat kuliah abang malam ni tak berapa jauh kan…abang pergilah. Kasihan pula para jemaah yang menunggu,” saran saya dengan nada memujuk bertujuan menenangkan debar dan ragu.

Sembilan bulan berlalu, dan hasil pemeriksaan doktor sewaktu rawatan antenatal petang tadi menunjukkan kemungkinan untuk saya melahirkan pada malamnya. Saya sendiri tidak menduga secepat itu, lantaran tarikh jangkaan akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Tambahan pula, saya lansung tidak mengalami rasa sakit yang mengganggu, sama sekali tidak sama seperti pengalaman melahirkan anak pertama lebih kurang dua tahun yang lalu.

Namun, ketentuan Allah mengatasi segala andaian dan jangkaan manusia. Bermakna, dalam tempoh beberapa jam sahaja, saya dan suami bakal menimang cahaya mata kedua.

Kerana itu suami agak keberatan untuk pergi. Bimbang, saat ketiadaannya, saya akan melahirkan tanpa sesiapa di sisi. Lebih-lebih lagi, doktor yang merawat menyarankan agar saya segera masuk ke wad bersalin sebaik selesai pemeriksaan petang tadi.

PRIHATIN AURAT
“Kalau macam tu, As rehat dulu..tak payah buat kerja-kerja lain. Selesai je kuliah, abang terus balik ke rumah. As ready ya,” suami berjanji. Masih dengan debaran yang belum reda.

Saya tersenyum. Rasa kasih menjalar ke sanubari melihat belas yang ditunjukkan suami. Betapa saya bersyukur memiliki suami yang amat prihatin sepertinya. Sejak dari anak pertama lagi, beliau tidak pernah gagal menemani saya ke klinik untuk rawatan dan pemeriksaan antenatal.

Juga, seperkara yang tidak mungkin saya lupa, kesungguhan dan ketegasannya menjaga aurat seorang isteri.

Walau dalam keadaan kewangan yang begitu sederhana, dengan hanya suami seorang bekerja, sementara saya masih bergelar surirumah sepenuh masa, beliau tetap berusaha dan memastikan saya beroleh rawatan terbaik dari ‘sentuhan’ tangan seorang doktor perempuan. Doktor Muslimah, pastinya satu keutamaan.

Lantaran itu, beliau sanggup mengeluarkan peruntukan yang lebih untuk mendapatkan khidmat rawatan dari hospital swasta Islam. Padanya, biar berlebih sedikit mengeluarkan duit, asal hukum berkait aurat isteri tetap terpelihara dan terlaksana.

Dan pada kandungan kali ini, merupakan yang kedua kalinya saya akan melahirkan di Pusat Rawatan Islam Kohilal di Taman Melawati. Memandangkan jarak di antara pusat rawatan ini dengan rumah kami di Taman Sri Gombak tidak berapa jauh, hanya mengambil masa beberapa minit sahaja, juga harga bagi pakej bersalin yang ditawarkan amat berpatutan dengan mutu perkhidmatan yang baik dan meyakinkan.

MENGAMBIL MUDAH
Peristiwa di atas telah lama berlalu. Anak kedua yang dilahirkan juga telah genap berusia sembilan tahun pada 26 Jun yang lalu. Dan, dengan rezeki dan kurniaan dari Allah, cahayamata ketiga dan keempat yang menyusul selepas itu juga selamat melihat dunia dengan doktor dan jururawat Muslimah yang menyambut ‘ketibaan’ mereka.

Alhamdulillah.

Namun…

Perasaan saya berbaur. Terkilan, kesal dan sedih yang amat bila menerima dan membaca emel yang diterima dari seorang wanita. Beliau ingin meminta pendapat dan pandangan saya mengenai seorang ahli keluarganya, yang bergelar seorang ustazah, tetapi masih terus mendapatkan rawatan dan pemeriksaan bulanan kandungannya daripada doktor berlainan jantina.

Walau telah ditegur dan dinasihati memandangkan beliau dan suaminya bekerja serta mempunyai pendapatan yang agak besar, tetapi beliau tetap mempertahankan tindakannya dengan menyatakan pendapat bahawa, untuk tujuan perubatan, harus bagi seorang wanita Islam mendapatkan rawatan dari seorang doktor lelaki dan begitu juga sebaliknya. Khidmat rawatan yang diperolehi dari doktor yang sama jantina hanyalah afdal ( lebih baik ) sahaja, tidak lebih dari itu. Itu pandangannya.

Allahu Rabbi…dunia hari ini. Mereka yang ‘sepatutnya’ berilmu turut menjahilkan diri.

KERANA DARURAT
“Hari ni ustazah ada satu soalan uji minda untuk kamu semua,” saya berkata dengan wajah ceria. Para pelajar yang duduk sopan di dalam barisan, ramai yang tersenyum girang. Namun tidak kurang juga yang mengerutkan dahi tanda kurang senang. Bimbang soalan yang diberi, payah dan sukar sekali.


Ketika itu, topik yang dibincangkan ialah mengenai makanan yang halal dan haram dimakan. Ia merupakan salah satu tajuk perbincangan dari silibus Pendidikan Islam tingkatan satu.

“Baik…katakanlah suatu masa kamu sesat di dalam hutan. Dah masuk hari ketiga kamu tak makan. Dalam keadaan amat lapar itu, tiba-tiba melintas seekor anak babi. Nampak sedap. Kerana lapar, kamu tangkap anak babi tu dan kamu makan…” saya berhenti seketika memerhatikan gelagat anak murid di hadapan.

Ada yang saling berpandangan, ada yang menahan ketawa dan tersenyum-senyum sendirian. Tidak kurang juga yang mempamerkan riak muka geli geleman.

‘Eeeii…makan babi!’ mungkin itu lintasan di dalam hati.

“Ketika itu, apa agaknya hukum kamu makan babi tersebut?” saya mengajukan soalan. Ingin menguji akal dan pengetahuan para pelajar di hadapan.

“Mana boleh makan babi ustazah..haram,” getus satu suara di belakang.

“Bolehlah…kan keadaan macam tu dikira ‘darurat’. Kalau tak makan, boleh mati,” penuh yakin jawapan seorang pelajar di bahagian tengah.

BOLEHKAH?
Saya tersenyum senang. Jawapan yang diberi menandakan telah ada sedikit maklumat yang mereka fahami dan maklumi.

“Baik. Kita buat undian. Siapa yang kata hukumnya haram?” soal saya. Beberapa pelajar mengangkat tangan. Ada yang mengangkat setinggi yang boleh, menandakan keyakinan terhadap kebenaran jawapan, manakala sebahagiannya nampak malu-malu, hanya menebak dan mengikut kawan.

“Siapa pula yang bersetuju hukumnya boleh sebab darurat?” Sekali lagi saya bertanya. Soalan kali kedua ini memperlihatkan lebih ramai pelajar mengangkat tangan. Jumlah yang ada saya kira.

Hanya segelintir pelajar yang tidak mengangkat tangan pada kedua-dua soalan yang ditanya. Berkecuali. Kurang pasti barangkali.

“ Apa jawapannya ustazah?” Terdengar satu pertanyaan dari seorang pelajar di hadapan. Melihat sinar mata mereka, bagai menggambarkan rasa teruja dan tidak sabar untuk mengetahui jawapan sebenar.

“Jawapannya, mestilah haram…tak boleh..,”saya menjawab ringkas. Riuh rendah seketika suasana kelas bila mendengar jawapan yang tidak terduga itu.

Sengaja saya biarkan begitu, untuk melihat reaksi seterusnya. Kelihatan ramai yang terpinga-pinga. Tidak kurang juga yang ketawa gembira. Mungkin tak menyangka, jawapan ‘sekadar teka-teka’ mereka mengena.

BUKAN DARURAT
Senyuman di bibir melebar lagi. Saya pasti, baik yang memberikan jawapan haram atau tidak, masing-masing tidak mengetahui sebab sebenar mengapa dalam keadaan sesat di hutan seperti itu, masih juga tidak dibolehkan untuk makan babi.

“Keadaan seperti itu belum dikira darurat lagi. Ini kerana, terdapat banyak binatang lain yang masih boleh dimakan sekadar untuk menutup kelaparan. Siput babi adalah lebih baik dari babi, cacing tanah, pohon kayu, buah dan lain-lain semuanya masih perlu diutamakan dari memakan babi," saya membentangkan hujah agar mereka lebih memahami.

"Bukankah di hutan terdapat pelbagai benda yang boleh dimakan yang jauh lebih baik dari babi?" Saya menambah.

“Oleh kerana itu, tidak harus jika kamu yang sedang sesat ingin makan babi juga hanya kerana ia lebih sedap, menyelerakan dan gemuk berbanding cacing," tegas saya lagi disambut deraian ketawa semua.

Demikian juga keadaan yang perlu difahami dan disedari dalam situasi rawatan dan perubatan.

DARURAT YANG SEBENAR
Saya maklum bahawa di dalam keadaan darurat seseorang itu diharuskan melakukan sesuatu yang dilarang, sesuai dengan kaedah fiqhiyyah, ad-dharurat tubiihul mahdzurat. Contohnya, di dalam perubatan, bila berlaku hal-hal mendesak dan kecemasan, lebih-lebih lagi yang bersangkut nyawa dan kesakitan yang boleh melarat tanpa rawatan segera, dan keadaan tersebut tidak mungkin dihindari, juga tiada alternatif lain ketika itu, maka dibolehkan seorang doktor lelaki merawat pesakit perempuan, dan begitu juga sebaliknya.

Syeikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah, bekas Mufti Besar Arab Saudi, juga pernah menegaskan :

"Doktor wanita hanya merawat wanita sahaja, dan doktor lelaki hanya merawat lelaki sahaja, melainkan di dalam kes yang darurat, jika seseorang lelaki yang menghidapi penyakit di mana pada masa itu tidak kedapatan doktor lelaki, maka di dalam kes ini adalah dibenarkan.” ( Fataawa 'Aajilah li Mansuubii al-Sihhah, m.s. 29 )

Situasi darurat yang membolehkan keadaan rawatan sedemikian juga berlaku di zaman Rasulullah SAW sendiri di mana para wanita Islam memainkan peranan sebagai jururawat di medan peperangan. Mereka ditempatkan di bahagian logistik dan juga perawatan. Mereka merawat dan mengubati anggota tentera yang luka dan parah.

Dalam kondisi sebegini, tidak dapat tidak, pasti berlaku sentuhan kulit dan anggota lainnya, namun hal ini dibolehkan ketika itu, untuk sementara waktu, kerana sifat peperangan yang darurat dan mencemaskan.

Selain itu, di dalam kitab Fathul Qadir jilid 8 halaman 98 ada menyatakan bahawa seorang sahabat Nabi SAW bernama Abdullah ibnu Az-Zubair pernah mengupah dan membayar khidmat seorang wanita tua yang merawat dirinya.

HILANG
Wajar difahami, bahawa kondisi darurat bukanlah sesuatu yang rutin dan berlaku setiap hari. Justeru, ia hanya bersifat sementara dan perlu diisi sekadarnya sahaja. Tatkala sebab yang menjadikan sesuatu itu darurat, telah luput dan hilang, maka hukum pengharamannya kembali semula.

Ini bersesuaian dengan satu lagi kaedah fiqhiyyah: ad-dharurat tuqaddar bi qadariha, iaitu sesuatu yang darurat itu harus diukur sesuai kadarnya.



Lantaran itu, bagi seorang perempuan yang mengandung, dalam situasi biasa tanpa apa-apa komplikasi, keadaan itu bukanlah sesuatu yang ‘darurat’ yang membolehkannya mendapatkan khidmat rawatan dan pemeriksaan bulanan dari seorang doktor lelaki.

Apa yang amat perlu difahami, tidak ada seorang pun yang dihalalkan untuk melihat aurat seorang wanita, kecuali suaminya. Apatah lagi, aurat ‘besar’nya. Maruah, kehormatan dan harga dirinya, semua itu terhimpun di ‘situ’.

Siapa lagi yang lebih layak dan dapat melindungi, kalau bukan seorang lelaki bernama suami?

Tambahan pula dewasa kini, sudah ramai doktor dan pakar sakit puan Muslimah, termasuk doktor wanita bukan Islam di Malaysia. Justeru, apa lagi alasan untuk tetap bermudah-mudah dalam hukum dan terus tegar menerima rawatan dari doktor berlainan jantina ?

Pada saya, hanya satu : Tepuk dada, tanyalah iman di dalamnya!

ZURIAT BERKAT
Akhirnya, marilah kita sama-sama merenungi, bahawa Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada umatnya untuk selalu berdoa, memohon kepada Allah SWT agar diberi rezeki yang barakah.

“Ya Allah, anugerahkanlah keberkatan kepada rezeki kami, dan peliharalah diri kami dari api neraka.”

Anugerah anak dan zuriat adalah salah satu dari sekian banyak rezeki yang diberikan ILAHI. Justeru, tidak dapat dinafi, bahawa jiwa yang insaf dan sedar untuk memelihara hukum dan menjaga kadar keperluan terhadap keringanan yang ada padanya, InsyaAllah akan menjamin hadirnya keberkatan seiring dengan anugerah yang dikurniakan ini.

Moga-moga, dengan keberkatan yang dilimpahkan oleh Allah SWT sewaktu kelahiran seorang anak, akan memudahkan pula segala usaha ibu dan bapa untuk melahirkan zuriat yang soleh dan solehah. Seterusnya, berjaya pula menjelmakan generasi Rabbani yang tetap teguh berpegang kepada ajaran dan panduan ILAHI.

Ameen, Ya Rabbal ‘alameen.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Min said…
Syukran kak ina atas perkongsian yang bermakna ini...
faireen adam said…
salam kakak...
nak bertanya, maksud perenggan ini
"Tambahan pula dewasa kini, sudah ramai doktor dan pakar sakit puan Muslimah, termasuk doktor wanita bukan Islam di Malaysia. Justeru, apa lagi alasan untuk tetap bermudah-mudah dalam hukum dan terus tegar menerima rawatan dari doktor berlainan jantina ?"

bukankah aurat muslimah itu juga tdak boleh dipaprkan pada wanita yg bukan Islam..?
ape pndapat akk..?
faireen adam said…
oh, lupa pula nak mngenalkan diri.
saye Farahin.
salam
Anna Qawina said…
Assalamualaikum...terima kasih untuk peringatan, Alhamdulillah setakat ini saya sendiri pun mengikat perut sedikit demi mendapatkan rawatan di klinik swasta yg Doktornya Wanita...bersalin di hospital kerajaan & dapat pula doktor wanita...Syukur...
Nurrillahi said…
Salam kakak...

Saya hidayah sekadar nak bertanya...

Andai kite telah berusaha dari awal peringkat kandungan untuk dapatkan doktor perempuan..tetapi pada ketika ingin melahirkan tiba2 doktor perempuan yg sepatutnya menyambut kelahiran kita ada hal yg tidak dapat dielakkan dan digantikan dengan doktor lelaki...

Bagaimana keadaan ini ye?sedangkan kite mengharapkan doktor perempuan dan dlm keadaan genting hanya doktor lelaki yang available...

terima kasih kakak...

wassalam
Unknown said…
Salam kak,

saya mendapatkan rawatan bersalin swasta untuk mendapatkan doktor perempuan dimana kedua2 anak saya bersalin secara caesarian.

untuk anak ke 3, saya bersalin dgn doktor lelaki dimana inilah satu2 nyer doktor yg bersetuju membenarkan saya bersalin secara normal delivery.

saya survey semua doktor perempuan dan masing2 mengatakan saya harus barsalin secara caesarian juga kerana telah 2 kali menjalani pembedahan.

alhamdulillah saya berjaya bersalin secara normal delivery untuk anak ke 3. check up utk bln ke 2- 7 semua dgn doktor perempuan, cuma ketika hampir bersalin jumpa doktor lelaki... try to minimize jumpa dr lelaki..

saya dan suami amat berharap dapat melahirkan zuriat seramai yg mungkin untuk berjuang di jalan Allah... tetapi sekiranya bersalin secara caesarian.. peluang mempunyai ramai anak adalah maksimum 4 org.. dari segi perubatan juga, pembedahan ketika bersalin adalah terlalu berisiko..

adakah saya ini di kategorikan sebagai darurat yer...
onedurrani said…
Salam kak as..

Saya ingin tahu mcmane dgn situasi sy...sy sekarang berada di Jepun..sambung belajar..sy mengandung anak yang ke-2..Alhamdulillah..anak yang 1..dpt bersalin di tgn mak cik sendiri..di kawasan yg saya tinggal ini Dr perempuan sangat2 ckit..hanya ada 5org saje dan Dr perempuan ini hy ada di Hospital Swasta..tetapi bkn bhgn o&g..Memandangkan sy n suami adalah student..dan kewangan di sini amatlah minima..sy tidak mampu utk pergi ke hospital swasta..

Jd...sepanjang check up ini sy hanya pergi ke gov hosp...itu pun msh perlu dibayar disebabkan sy bkn warga negara jepun..setiap kali checking dekat rm200+++..dan Dr yg available di sini hy Dr lelaki n bukan muslim...

Maka..apakah status sy?boleh tak akak terangkan..sy amat memerlukan jawapan dr akak...apakah status sy..
Salam, Min :) Alhamdulillah, terima ksih juga kerana sudi membaca. Semoga kita sama-sama beroleh manfaatnya ye.
Farahin : Ws, Farahin :) Perbincangan di dalam artikel ini adalah berkaitan dengan situasi rawatan dan perubatan yang mana harus memperlihatkan aurat walau kepada doktor lelaki sekiranya keadaan mendesak, darurat dan tiada alternatif lain ketika itu ( sebagaimana yang diterangkan dalam artikel ).

Jika dengan doktor lelaki diharuskan, maka dengan doktor wanita bukan Islam pasti lebih tiada bermasalah kerana sama jantina.

Tambahan pula, ulama khilaf dalam menentukan hukum wanita Muslimah membuka auratnya kepada wanita non-muslim berdasarkan perbezaan pandangan pada memahami kalimah "au
Nisaa'ihinna" (atau wanita-wanita mereka) ( surah an Nur ayat 31 ) dan
"Wala nisaa'ihinna" dalam surah al Ahzab ayat 55.

Mazhab Syafie menetapkan hukum aurat Muslimah terhadap wanita non-muslim adalah sama seperti ketika bersama lelaki ajnabi, manakala mazhab Maliki dan Hambali, harus Muslimah membuka aurat mereka sebagaimana dengan wanita Islam lainnya.

Imam al-Ghazali dan al-Fakhrul Razi, dua ulamak tokoh dari mazhab Maliki turut mengesahkan pandangan ini. Imam al-Fakhrul Razi berkata:“Pendapat ini adalah lebih lembut dan sesuai dengan manusia pada hari ini yang hampir-hampir tidak mungkin lagi bagi para wanita Islam melindungi diri mereka daripada pandangan wanita-wanita dhimmiyah.”

Namun, dalam situasi biasa ( bukan untuk tujuan rawatan ) saya memilih pandangan al Maududi, seorang ulama kontemporari, yang mana beliau menyelaraskan di antara dua pandangan tersebut iaitu neraca keharusan ( membuka aurat di hadapan wanita non-muslim )tersebut adalah berdasarkan kepada asas akhlak, bukan asas agama. Lantaran itu, apabila wanita Islam berhadapan dengan wanita fasik ( walaupun seorang Islam )yang tidak mempunyai sifat malu, tidak berakhlak dan beradab sopan, maka wajiblah ke atas mereka menutup auratnya kerana mendampingi mereka tidak kurang bahayanya daripada mendampingi lelaki ajnabi yang mungkin merosakkan akhlaknya.

Justeru itu, kesimpulannya, untuk situasi rawatan dan perubatan, turutan prioriti yang rajih untuk seorang Muslimah ialah:

1: doktor perempuan Islam
2: doktor perempuan non-muslim
3: doktor lelaki muslim
4: doktor lelaki non-muslim.

Wallahu'alam.
Anna : Alhamdulillah, tahniah atas usaha yang bersungguh-sungguh itu. InsyaAllah ada ganjarannya di sisi Allah SWT.

Semoga terus dilimpahi keberkatan :)
Nurrul : Ws, keadaan ketika bersalin dikira darurat dan keutamaan yang diberi adalah kepada keselamatan nyawa ibu dan anak.

Justeru, jika telah berusaha untuk mendapatkan dooktor perempuan, tiba-tiba pada masa melahirkan yang ada hanyalah doktor lelaki, maka ketika itu harus menerima khidmat rawatan dari doktor lelaki tersebut.

Semoga membantu :)
Cikgu Mardhiah : Alhamdulillah, Kak Ina bersetuju dengan pandangan Cikgu :)

Tujuan Kak Ina menulis artikel ini bukanlah untuk 'memaksa' muslimah mendapatkan rawatan dari hospital swasta Islam atau seumpamanya, tetapi ia sebagai peringatan kepada kita ( dan para suami) agar berusaha terlebih dahulu untuk mendapatkan khidmat rawatan doktor perempuan terutama ketika antenatal check-up ( rawatan berkala )walau dari mana-mana klinik atau hospital, baik kerajaan atau swasta.

Perkara aurat bukanlah perkara remeh dan boleh dipandang mudah.

Sekiranya telah berusaha, tetapi di saat akhir doktor lelaki juga yang ada, maka ketika itu hukumnya adalah harus sebagaimana yang telah diterangkan di atas.

Islam itu mudah, tetapi bukan untuk dipermudah-mudahkan. Berpegang teguh dan tegas memegang hukum itu adalah satu kemuliaan dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
Muslim Princess : Ws, dik :) Jika telah berusaha, maka keadaan itu dibolehkan. Sememangnya, melahirkan melalui ceaserian lebih berisiko dan lebih sukar tempoh pulihnya berbanding bersalin biasa.

Apa yang Kak Ina ketengahkan menerusi artikel, adalah perkara asas. Justeru, sebarang perkara atau isu berbangkit selepas itu, boleh dinilai dengan melihat keadaan dan sitiasi yang sedang dihadapi.

Alhamdulillah, atas usaha mendapatkan rawatan berkala dari doktor perempuan dan kesedaran tentang hukum tersebut.

InsyaAllah, semoga kehidupan saudari dan keluarga dilimpahi keberkatan dan berjaya menjadi aset yang berguna buat umat di masa depan.
Onedurrani : Ws, dik :) Semoga selamat melahirkan.

Jika begitu keadaannya, maka ia adalah harus berdasarkan keperluan dan tiada alternatif lain yang memungkinkan untuk menerima rawatan dari doktor perempuan.

Cuma, setiap kali rawatan suami perlu hadir menemankan isteri, juga nurse wanita di hospital berkenaan.

InsyaAllah semoga semuanya selamat dan dapat melahirkan bayi yang sihat :)
m6hidrogen said…
maknanya isteri yang nak melahirkan anak mesti cari hospital yang ada doktor dan nurse perempuan untuk menyambut kelahiran anak. tak boleh pandang ringan hal ni.
onedurrani said…
Salam kak ina...terima kasih byk2 diatas jawapan kak ina..ye..sy mmg sgt risau pd mulenya apabila disahkan mengandung...setelah mengetahui..Dr perempuan hy ada 5org saje...suami pun mencari2 jika ada hospital yg mempunyai Dr perempuan utk maternity check...tp amat mengecewakan...

Alhamdulillah...setakat ini...sepanjang checking..suami dan anak menemani saya disamping adanya nurse perempuan yg membantu sebagai jurubahasa disini...

terima kasih byk2 ye kak ina...;)
Hazu~ said…
Salam..

sangat berguna artikel ini. saya pun bersalin di pusat rawatan islam kohilal.
ibuaiman said…
Salam K'Ina, dah lama saya tidak mencoretkan sesuatu di blog akak, tapi saya tidak miss untuk sentiasa datang berkunjung ke blog akak. Isu ini amat bertepatan dengan kerjaya saya sebagai pegawai perubatan. Memang amat setuju dengan apa yang diutarakan oleh akak namun kekadang ia terlepas pandang oleh para pesakit Islam dan juga para pegawai perubatan Islam juga di dalam perkara ini. Bekerja di hospital kerajaan menyulitkan sedikit keadaan ini kerana pesakit tidak boleh memilih doktor dan doktor tidak boleh memilih pesakit juga. Apa pandangan akak?Adakah ianya dikirakan darurat?
Unknown said…
Salam kak Ina,

Alhamdulillah...diberi Allah untuk kita sama-sama saling ingat mengingati.

Saya juga alhamdulillah telah melahirkan kedua-dua mujahid cilik ini di Pusat Perubatan Naluri yang mana kedua-dua doktor pakar wanita adalah wanita. Jika tak dapat yang satu ini, yang satu lagi juga wanita.

Itulah yang saya dan suami titik beratkan. Bukan hendak menunjuk yang kita berkemampuan tetapi memang jika itu niatnya dari awal, insyaAllah Allah akan membantu dan permudahkan. Kami dulu juga perlu mengumpul wang sedikit demi sedikit semata-mata untuk tidak memandang remeh perkara sebegini.

Moga kita semua terhindar dari segala maksiat. Terima kasih kak kerana mengetengahkan isu ini.

-ibunoor-
ummi nazihah said…
salam k.ina...
saya dah 3 kali bersalin di hospital kerajaan. Alhamdulillah yang sulung di'bidankan' suami dan 2 orang nurse, yang kedua pun hanya 3 orang nurse dan suami. dan yang ketiga pun 3 orang nurse dan suami. apabila disahkan mengandung saya dan suami tak putus-putus berdoa kepadaNya dimudahkan urusan sebelum, semasa dan selepas bersalin.

apabila kita berusaha bersungguh menjaga aurat kita, insyAllah Dia akan menjaga kita
Anonymous said…
salam ya ustazah...
Masa melahirkan anak pertama, saya dibidankan oleh doktor lelaki.. masa tu saya masih naif pasal hukum dr lelaki membidankan perempuan bersalin. Tetapi lama selepas itu, barulah saya faham dan tahu tentang hukum-hakamnya. Anak ke-2 dan ke-3, saya berusaha mencari doktor perempuan dan sanggup menunggu lama untuk diperiksa oleh dr perempuan. Harapnya Allah ampunkan dosa saya dahulu....
MaSpiRanHa said…
assalamualaikum,

saya ingin bertanya. bagaimana pula aurat di antara wanita muslim & wanita bukan muslim? apakah haram atau tidak jika mendapatkn rawatan dari doktor wanita bukan muslim?

regards,
yg ingin mengetahui.
alQasam said…
Askum Kak Ina

Apakabar

Semoga inshALLAH kita dapat buat yang terbaik memelihara aurat dan maruah sebagai muslimah.

Saya juga ada dapat soalan-soalan tentang momografi yang dilakukan lelaki etc. Kesian wanita-wanita kita begitu juga sistem yang tidak membantu. Paling penting perkemaskan ilmu dan amal. InshALLAH
..Taty Tahir.. said…
saya pernah bersalin dibidankan doktor lelaki, di sebuah klinik swasta, asalnya mmg kami suami isteri mahukan doktor perempuan sayangnya tika kelahiran shif doktor tersebut berakhir dn kami diganti doktor lelaki, ketika tu mmg tiada doktor lain yg bertugas, darurat kah itu, sbb ia diluar kehendak kami.. :( dan kerana kesempitan wang, sy bakal melahirkan di hospital kerajaan, dimana doktor xdapat dipilih sesuka hati... buleh diterima daruratkah semua tu?
Amoi Ida said…
Alhamdulillah walaupun lambat baca entry kak ina nie tp ida sgt gembira..kerana isu spt ini jrg diperbincangkan, walaupun ada..

Alhamdulillah ketiga2 anak ida doc O&G perempuan..cuma masa anak pertama tu kena c-section jd masa nyawa2 ikan tu ternampak staff lelaki dan pakar bius pun lelaki..tp ida redha sb menda tu diluar jangkaan kerana last minit baby dikhuatiri lemas..

ida bersyukur sbb suami sgt menjaga aurat ida dan ida sendiri rasa malu sgt kalao doc lelaki yg jadi bidan..pernah sekali tu bleeding dan terpaksa ke hospital kerajaan..ada MO lelaki cina yg bertugas, mujurlah yg periksa bukaan ialah MO wanita non muslim ..ida rasa mgkin dia melihat penampilah muslimah kita dia sendiri tahu kita tak selesa/tak mahu dgn doc lelaki...

ida hrp isu camnie diperluaskan lagi sb masih ramai wanita di luar sana tanpa segan silu jumpa doc lelaki walaupun meka mampu berjupa doc wanita..

ida sendiri sbb takde pilihan di utara takde doc O&G wanita swasta (kat kerajaan tak bole pilih doc) jadi terpaksa bersalin kat KL dimana di sana ramai doc O&G muslimah..
Unknown said…
Salam kak as,
sebenarnyer sy dh bace artikel ni beberapa bln sblum ni... tp sy kembali terpanggil untuk mencari semula artikel ni... mase anak sulong sy pernah membuat pemeriksaan kandungan dengan seorang doktor singh lelaki... mase tu perasaan sy ada yg x kena... rase x tenang... sempat 2 kali jgk... tp Alhamdulillah lepas tu sy dh x dptkan khidmat dia... lepas bace artikel akak sy rase ckp bersalah... InsyaALLAH selepas ni xkan berlaku lg... untuk pengetahuan akak sy sdg mengandung anak ke-3... Alhamdulillah... dan sy bercadang untuk membuat pemeriksaan antenatal n bersalin di hospital al-islam kg baru... semoga ALLAH mempermudahkan rezeki... takut jgk... yela kite x jangka kos sepenuhnyer...
bila bersembang dgn kawan ttg pemilihan tempat bersalin n doktor sy cukup kecewa bila ada antara kita yg mengatakan doktor sakit puan lelaki lebih kepakarannya berbanding doktor sakit puan wanita... Ya ALLAH takutnyer bila mendengar hal tersebut... kak, apa yg membuatkan sy terpanggil untuk mencari blk artikel ni adalah untuk tanya akak ttg apa hukum seorang lelaki memilih kerjaya sbg doktor sakit puan... dan diharapkan UZAR pn dapat menyelitkan artikel ttg pemilihan kerjaya seperti ini dan pentingnyer memilih doktor wanita sebagai perawat... semoga menjadi panduan buat para suami dan bakal suami serta isteri2 yg belum tahu... maklumlah para suami ramai yg mengunjungi blog UZAR... semoga perkara yg dianggap remeh ini menjadi kesedaran buat semua...
Terima kasih kak ina atas artikel berguna di atas...
Unknown said…
Assalamualaikum Kak Ina.
Terima kasih banyak-banyak pada kak Ina kerana telah menghasilkan artikel yang amat berguna ni... Saya kekadang merasa amat kecewa dengan sesiapa sahaja yang dekat dengan diri saya yang melahirkan anak di pusat bersalin swasta tetapi memilih doktor lelaki. Pada saya, jika sudah memilih yang swasta, perlulah memilih doktor wanita. Dalam situasi ini sang suami bertanggungjawab untuk menjaga aurat sang isteri.
Saya pernah mengalami situasi di mana saya menemui seorang doktor wanita di sebuah hospital swasta. Beliau telah mendiagnos yang bayi saya (pada masa itu) mengalami masalah kekurangan air ketuban dan perlu dikeluarkan dengan kadar segera. Saya bertugas di JB pada masa itu dan beliau mencadangkan saya bertemu dengan rakannya yang juga seorang pakar tetapi lelaki berbangsa India. Dalam hati saya berkata, tidak sedarkah beliau yang saya pergi menemuinya untuk mengelakkan saya daripada menemui doktor lelaki, lagi-lagi non-muslim. Suami saya bertegas supaya saya tidak pergi menemui doktor lelaki tersebut. Suami berusaha mengaturkan temujanji saya dengan doktor wanita yang lain di hospital swasta yang lain dan semestinya doktor wanita. Alhamdulillah, pada tanggal 17 November 2008 saya selamat melahirkan anak saya di sana dengan bantuan doktor wanita tersebut. Saya bersyukur kerana suami amat menjaga aurat saya.
Sebenarnya, selain kesedaran daripada seorang suami, kesedaran juga perlu ada pada seorang doktor wanita. Seorang doktor wanita perlulah mengetahui kenapa beliau dicari-cari oleh pesakitnya yang mengandung. Terima kasih sekali lagi kak Ina. =))
S-N-B said…
Salam, sy check up dan bersalin di hospital kerajaan.
Setiap kali check saya minta doktor perempuan. Dapat atau tidak, sekurang kurangnya saya berusaha. Kalau kena marah sbb request pun sy senyum ajer sbb saya tahu saya tak salah. Masa bersalin saya minta yang perempuan, kalau tak de doktor, bidan / midwife pun tak apa, sy berserah pafa Allah atas keselamatan saya dan anak sy. Sy tak bersalin di private kerana lebih yakin dgn kelengkapan di hospital kerajaan kerana sy ada bberapa masalah semasa mengandung.
Haslina Mohamad said…
Assalamualaikum..

Kak ina, mohon share di fb.

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA