HADIAH TERINDAH


“Siapa di antara kamu suka dapat hadiah ?”saya bertanya ketika mengajar di kelas agama untuk anak-anak warga Malaysia, Leicester.

Mendengar sahaja perkataan hadiah, semuanya bagaikan teruja. Masing-masing mahu bercerita keseronokan menerima hadiah dari ibu bapa tercinta.

“Kalau hadiah..rasanya semua suka, ustazah,” jawab Amir, mewakili rakan-rakan lain. Beliau merupakan pelajar paling besar di kalangan seramai hampir lima belas orang pelajar pelbagai usia di hadapan saya.

“Waktu bila biasanya kamu dapat hadiah ?”soal saya semula.

“Masa birthday…” Lembut jawapan dari seorang pelajar perempuan di bahagian belakang.

“Lagi?” soalan saya masih bertali.

“Bila dapat nombor satu dalam exam..”celah Arif dan Rasyid hampir seiring. Jawapan mereka disambut anggukan dan senyuman oleh rakan-rakan yang lain.

“Tentu seronok dapat hadiah,bukan ?” saya bertanya. Ternyata pertanyaan saya menambah meriah suasana. Tidak menang telinga saya mendengar keriuhan setiap seorang dari mereka.

HADIAH TANDA CINTA
Saya yakin, sesiapa pun jika ditanya soalan yang sama pasti akan menjawab ceria. Siapa yang tidak suka menerima hadiah sebagai tanda kasih dan cinta. Lebih-lebih lagi jika yang memberi adalah orang yang paling dikasihi. Sama ada ibu bapa, suami, isteri, sahabat karib, anak-anak dan orang-orang yang menyayangi.

Bukan setakat anak-anak kecil, orang dewasa juga tidak terkecuali mempunyai perasaan dan naluri ingin disayangi dan dihargai.


Saat menerimanya, mata bersinar tanda gembira. Senyuman berbunga lambang bahagia. Rasa seronok tidak tergambar walau dengan kata-kata berjela.

“Kita semua suka dapat hadiah. Kita rasa bahagia dan gembira kerana hadiah yang diterima tanda kita dihargai, dikasihi dan disayangi,” saya melanjutkan perbincangan. Semua mata bulat memandang saya. Agak teruja dengan topik hadiah yang sedang diperkata.

“Tetapi pernah atau tidak kita menyedari,bahawa Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Menyayangi dan Maha Mengasihani memberi kita hadiah setiap hari. Tinggal lagi kita mahu menerima atau tidak sahaja,” saya melontar kata-kata yang menimbul tanda tanya.

JASAD DAN RUH
“Hadiah dari Allah tu.. macam mana ?” soal Kak Long yang turut belajar bersama rakan-rakannya.

“ Hadiah dari Allah tu adalah ibadah yang diperintahkan kepada kita, seperti solat, puasa, membaca al Quran, hadis Nabi dan seumpamanya,” ulas saya bersahaja. Walaupun agak ringkas, tetapi ia merupakan perkara yang sangat signifikan dengan kehidupan manusia.

“Tak faham la ustazah..macam mana ibadah boleh jadi hadiah pula?” soal Rasyid, penuh persoalan di minda.

“Begini…kita hidup di dunia kerana adanya dua unsur utama. Unsur jasad iaitu tubuh badan, dan ruh yang ditiupkan oleh Allah kedalamnya. Agak-agak kamu, apa akan jadi kalau kita hanya ada badan tetapi tiada ruh?” saya bertanya ingin menduga.

“Matilah.. jawabnya, ustazah,”hampir serentak mereka berkata. Terselit ketawa di hujungnya.

“Betul tu…sebab itu kita perlu faham, kedua-dua perkara yang menyebabkan kita hidup dan bernyawa ini, masing-masing memerlukan makanan sebagai sumber tenaga.

Tubuh, yang dicipta dan dijadikan dari tanah, memerlukan makanan yang berunsurkan tanah untuk memberi kekuatan. Oleh sebab itulah,kita makan nasi, sayur, ikan, ayam, kambing dan lain-lainnya. Semuanya untuk beri kita tenaga,” jelas saya.

“Tapi haiwan bukan tanah..,” jelas kedengaran nada hairan pada suara yang berkata. Saya tersenyum. Anak-anak zaman millennium, semuanya bijak berfikir logik atau tidak sesuatu perkara.

HADIAH TERINDAH
“Ayam kan makan gandum dan kambing makan rumput…semua tu tumbuh atas tanah juga..” jelas saya sambil menjegilkan mata. Ketawa mereka melihatnya.

Sengaja saya berjenaka untuk menarik perhatian mereka. Bimbang jika pembelajaran tanpa selingan jenaka dan cerita sebagai hiburan, akan menyebabkan anak-anak ini mudah jadi bosan.

Saya biarkan mereka ketawa seketika. Setelah suasana kembali tenang,saya menyambung semula.

“Sementara ruh pula, oleh kerana ia dari Allah, maka sumber kekuatannya juga datang dari Allah Yang Maha Esa.

Cuba beritahu ustazah, apa akan berlaku jika sepanjang hari kamu tak makan..dari pagi sampai ke petang ?” soal saya. Sekali lagi mengasak minda mereka untuk berfikir sama.

“Tentulah lapar…,” jawab seorang pelajar.

“Tak ada tenaga,” kedengaran yang lain pula bersuara.

“Ha..begitu juga yang terjadi pada ruh jika tidak diberikan makanan. Ia akan jadi lemah, sakit dan mungkin akhirnya akan mati.

Kerana itu, semua ibadah..yang perintah dan suruhan mengerjakannya datang dari Allah merupakan ‘makanan’ paling ideal untuk ruh dan jiwa.

Lakukan sesempurna dan sebaik-baik pelaksanaan. Fokuskan tujuan mengerjakannya hanya kerana Allah SWT. Mudah-mudahan, ruh, hati dan seterusnya tubuh badan kita akan sentiasa sihat.

Mudah melakukan ketaatan dan dijauhkan dari maksiat.

Semoga kita tergolong dalam kumpulan orang-orang yang sedar dan insaf. Yang mampu melihat bahawa ibadah adalah ‘sumber tenaga’ yang dianugerahkan Allah untuk kebaikan.

Jadi, ustazah berharap..selepas ini, kita semua akan lebih menghargai ibadah yang telah diperintahkan. Terima ia dengan senyuman yang ceria.

Ibadah bukanlah beban yang menyusahkan, tetapi sebaliknya adalah hadiah terindah dari Pencipta Yang Maha Kaya.” Saya mengakhiri nasihat sebagai peringatan untuk pelajar dan diri saya sendiri yang juga banyak silap dan dosa.

Sesungguhnya yang baik dari-Mu,Ya Allah..sementara kekurangan yang ada adalah dari kelemahan diri ini sebagai manusia.

"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah kamu ke dalam syurga-Ku."
( Surah Al-Fajr ayat 27-30)

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi

Jumpa lagi, InsyaAllah

Comments

nurul said…
"Ibadah bukanlah beban yang menyusahkan, tetapi sebaliknya adalah hadiah terindah dari Pencipta Yang Maha Kaya.”

Syukran jazilan atas tazkirah yang sangat bermanfaat ni ..
Kak Ummi said…
Alhamdulillah.Dah rindu nak tatap dan hayati tulisan Ina.Sungguh bermanfaat.Terkadang kitapun tak menyedari bahawa ibadah itu adalah hadiah terindah dari Sang Pencipta...Terimakasih Dik Ina...
eL said…
Artikel ini juga hadiah untuk saya hari ini yang sentiasa perlu disedarkan :-)
nhhas said…
assalamualaikum,

hmm kerja juga satu ibadah. dan kalau dihayati betul juga ia akan jadi HADIAH. bekerja dengan hati yang ikhlas, pahala dapat, hati senang, gaji pun masuk...
thanx ustzh.
Mechygirl said…
Alhamdulilah...
Sesungguhnya Allah Maha Besar, Maha Pengasih & Maha Penyayang.
Cuma kita kekadang tak nampak krn terlalu leka dgn dunia.
Ustazah,
Terima kasih atas kata2 tersebut.
Amoi Ida said…
Salam Kak Ina

Ada musykilah sket nak tanya akak..
Apa hukum giveaway yer macam yang selalu para blogger buat sekarang terutamanya WAHM..

Syarat yang ditetapkan ialah seperti mengiklankan iklan giveaway diblog masing2 lepas tu linkkan blog tuan punya giveaway, jadi follower dan tinggalkan komen..cabutan akan dibuat untuk menentukan pemenang...ada lagi ikut kehendak masing2..

Harap kak Ina dapat bagi pendapat/solusi sebab nak buat juga giveaway nie kalau dibenarkan...

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA