KUN ANTA TAZDAD JAMAALA ❤
Pengalaman perih dan pedih yang dilalui pasti terlalu sulit untuk diceritakan. Ini kerana, untuk beroleh kebahagiaan, keyakinan dan kejayaan sebagaimana individu-individu yang menjadi sebutan ramai itu, jalan kesungguhan, kegigihan, muhasabah, hijrah dan tidak mengenal putus asa adalah jawapan.
Untuk itu, jadilah diri sendiri!
Iaitu dengan berusaha dan cuba untuk menjadi seseorang yang memiliki keperibadian tersendiri dalam sempadan keharusan ILAHI. Ini kerana, seruan menjadi diri sendiri tidak akan bermanfaat jika sifat dan sikap yang ada dalam diri bukan sebagaimana yang diinginkan oleh ALLAH dan Nabi.
Dalam kata lain, jadilah diri sendiri yang berjatidiri soleh/solehah.
Menjadi soleh/solehah adalah termasuk dalam makna bahawa setiap orang ada ciri-ciri dan sifat diri yang tersendiri.
Siapa itu? Kitalah
Usah melihat orang lain dengan pandangan emas, sedang memandang diri sendiri umpama kaca yang tiada nilai!
Selagi karektor kita tidak bertentangan syari'at, maka Islam tidak memerintahkan penganutnya mengubah sifat khas dirinya ketika dia mengambil keputusan untuk melaksanakan Islam seluruhnya.
Bukankah sahabat-sahabat Rasulullah juga memiliki karektor yang berbeza? Abu Bakar seorang yang lembut peribadinya, mudah belas dan lunak jiwanya; manakala Umar seorang yang tegas, keras dan pernah membuat empat orang makmum jatuh terlentang kerana bersinnya sewaktu memeriksa saf sebelum menunaikan solat
Khadijah radiyallahu ‘anha pula sangat keibuan sifat dirinya, Aisyah pula sangat manja dan ceria orangnya, Nusaibah seorang pahlawan wanita yang siap sedia melindungi Rasulnya, manakala Ummu Salamah wanita yang berani berhijrah seorang diri di belantara padang pasir yang melata.
Semuanya unik dan istimewa!
Oleh itu, bukan beerti andai mahu menjadi soleh/solehah, kita tidak lagi boleh menjadi seorang yang ramah tamah, bukan beerti menjadi solehah tidak membenarkan kita bergembira dengan pertemuan yang diisi tertawa dan jenaka gembira. Dan bukan bermakna wanita solehah itu perlu selalu serius dan masam muka.
BUKAN BEGITU!
Apa yang penting ialah kita tahu batas, kadar keperluan dan kesesuaiannya.
Indahnya pelangi kerana ia terdiri dari warna warni yang saling bersinergi. Justeru, tidak perlu meniru orang lain atau mengimpikan untuk menjadi orang lain hingga membuang keunikan diri walaupun kita mahu menjadi seorang soleh/solehah.
Teruskan menceriakan suasana dengan pelangi akhlak sesama kita.
Setiap warna menambah indah pada warna di sebelahnya, barulah meriah !
Benarlah…
Kun anta tazdad jamaala
Comments