KOTAK PERKAHWINAN

"Susahkah untuk taat pada suami, kak Ina?" 

Soalannya di kotak mesej petang semalam bagai terkenang-kenang. Seorang rakan FB yang jarak usianya hanya muda beberapa tahun daripada saya. 

Sudah berumahtangga dan memiliki empat cahayamata. Memiliki kerjaya sebagai seorang pendidik bangsa serta bersuamikan seorang lelaki bergelar usahawan berjaya. Perjalanan hidupnya tampak lancar, hanya sahaja dua tahun kebelangan ini, jiwa wanitanya cepat sedih dan hiba lantaran suaminya memilih untuk bernikah kali kedua. Walau diawalnya dia merelakan, namun akhir-akhir ini jiwa perempuannya diasak penyesalan. 



"Kenapa isteri diminta taat kepada suami?" Soalan kedua menyusul.

Perbualan yang bermula dengan perkenalan ringkas berlanjut ke topik rumahtangga. Sementelah menurutnya, dia peminat blog kecil saya : ummuhusna99, sejak ia dibuka. 


PERUMPAMAAN

Saya memahami, dalam perkahwinan, menampilkan kebaikan ketika suasana tenang dan aman, begitu mudah lagi menyenangkan...

Ketika suami meminta belaian daripada isteri, lalu dengan penuh senang hati permintaannya dipenuhi; demikian pula, tatkala isteri meminta bantuan itu dan ini, dengan gagah bantuan dihulur oleh si suami. 

Lancar, harmoni...

Umpama otot yang memerlukan latihan jasmani untuk kekal sihat dan tegap, demikian juga sikap baik terhadap pasangan. Ia memerlukan kerja keras dan latihtubi yang acap; jika tidak sebelum sampai ke penghujung hayat, cahaya kebahagiaan mungkin malap...

Namun, ramai yang sukar menunjukkan kebaikan ketika amarah menyelubungi diri...apatah lagi bagi wanita yang diuji dengan cabaran hidup berpoligami. Luka, pedih, kecewa dan pelbagai rasa yang negatif lebih mudah menguasai andai emosi dilayan, lebih-lebih lagi tanpa prihatin dan peduli seorang suami. Sehinggakan tanpa sedar ia 'meracuni' hati dan membuang waras pada akal kurniaan ILAHI. 

Untungnya, suami adik ini tidak sebegitu. Malah menurutnya, si suami berusaha sebaik mungkin untuk memenangi hatinya kembali, memujuk jiwanya semula.

Untuk itu, tidakkah patut hulurannya itu wajar disambut penuh gembira?


LOGIK

"Hurufnya hanya empat, tapi untuk melaksana memang agak berat...itulah taat, dik. Suruhan dari Allah, juga saranan daripada Nabi. Ia bukan untuk mengurangi nilai dan harga diri isteri tapi bagi melengkapi kebaikan dalam hidup suami. " Begitu mukadimah saya kepadanya. 

"Dalil al Quran dan hadis tersebut, saya tahu…Cuma, kalau kita disakiti, masihkah perlu taat kepada suami?" Dia bertanya tanpa sempat saya menulis kedua kali. 

Saya melepaskan nafas seketika saat membaca pertanyaannya. Bagai terbayang-bayang rona wajah seorang isteri yang sedang diasak oleh rasa-rasa yang menekan untuk berterusan dalam hiba dan tangisan. 

"Rasa sakit hati singgah kerana kita yang menjemput ia bertamu, dik...kalau kita tidak membuka pintu, masakan ia dapat mengganggu?" Kali ini, saya pula memulangkan soalan balas kepadanya.

Melihat dia tidak membalas, saya meneruskan taipan. 

"Pada kak ina, kalau pun kita sebagai wanita belum mahu mengambil dalil sebagai isi perbincangan tentang ketaatan kepada seorang suami, beberapa logik akal sudah memadai...hanya saja, buka hati seluasnya dan ketepikan ego seketika.” Laju saya menyudahkan kata.

Namun sebelum sempat menyambung, melihat tanda dia sedang menaip, saya berhenti dan menunggu sebentar.

“Logik? Logik bagaimana tu kak Ina?” Agakan saya mengena. Itulah persoalan yang akan dikemukakannya.

“Kita semua ada seorang ibu, dan ketaatan kepadanya adalah tiga kali ganda berbanding seorang ayah, betul tak? “ Saya mengajukan tanya. Dia membalas dengan emoticon senyum dan ‘thumbs up.’

“Bayangkan…seorang lelaki bergelar anak yang juga telah menjadi seorang suami itu dahulunya dibesarkan oleh ibu yang sangat mengasihinya. Bukan sehari, seminggu, sebulan atau setahun…tetapi untuk seumur hidup. Akan tetapi apabila dewasa, dia memilih mencintai isterinya yang mungkin belum tentu mencintainya seumur hidupnya.”

“Dia juga dibesar dan dibiaya makan pakai serta nafkah oleh ayah ibunya sehingga dewasa dan bekerja. Namun, sebelum dia mampu membalas jasa bakti kedua ibubapa, dia telah bertekad menanggung nafkah isterinya, seorang perempuan asing yang diikat dengan akad tanpa ikatan rahim seperti ayah dan ibunya.” Saya menaip itu dengan sedikit sendu di kalbu. Terkenang wajah ayahanda dan bonda mertua sendiri yang telah pergi menemui ILAHI.

 “Seorang suami walau dia sedar ketaatan anak-anaknya kepadanya tidak sama sebagaimana ketaatan mereka kepada isterinya, namun tidak pernah sekalipun dia merasa iri kerana dia mencintai isteri bahkan dia tetap rela dan bangga menafkahi isteri serta anak-anak yang dikasihi tanpa minta dibalas atau diingati….” Saya berhenti seketika untuk menegangkan jari-jari yang sudah lenguh kerana menaip laju.

Tidak lama, muncul emoticon menangis di skrin komputer. Saya turut hiba…

“Dik, seorang suami yang baik…dia berusaha seboleh mungkin untuk merahsiakan masalahnya dan melakukan ikhtiar untuk menyelesaikannya sendiri, sedangkan seorang isteri…sudah terbiasa mengadukan masalah kepada suaminya dengan harapan dia mampu memberi solusi. Padahal, kemungkinan saat isteri mengadu itu, si suami sendiri sedang memiliki masalah yang lebih besar. Ah…biasanya, masalah isterilah yang diutamakan berbanding masalah yang dihadapi sendiri...” Sengaja saya menaip dengan ayat sedikit sinis sebegitu. Buat kesekian kalinya, emoticon ‘thumbs up’ muncul mewakili dirinya.

“Dan yang paling utama dik…seorang suami…tatkala isteri melakukan dosa, dia juga ikut bertanggungjawab, bahkan mungkin terheret sama ke neraka….walya’uzubillah, kerana isteri itu adalah di bawah tanggungan didikannya. Namun bila dia sendiri melakukan dosa, isteri tidak akan pernah dituntut ke neraka kerana apa yang dilakukannya di bawah tanggungannya sendiri. Lalu, dengan logik-logik tadi, tidakkah seorang suami itu wajar ditaati?” Saya menutup bicara.

Tiada balasan daripadanya.


UBAT JIWA

“Saya faham semua logik yang kak Ina berikan tadi…ye, saya bersetuju…tanggungjawab seorang suami itu sangat besar dan berat sekali. Kerana itu, agama memuliakan suami untuk ditaati.” Selang beberapa ketika, dia membalas kata.

Membaca itu, saya tersenyum lega.

“Cuma kak ina…bagaimana mahu merawat rasa pedih, sakit dan cemburu terhadap suami dan madu? Walau bagaimana baik pun mereka terhadap saya, tetap ada terselit pedih melihat mereka bersama-sama. “ Jujur dia meluahkan perasaannya. Sekali lagi, saya menghela nafas…dalam dan penuh makna.

“Dengan berdoa, itulah ubat jiwa…” Ringkas saya menyarankan.

“Berdoalah yang terbaik untuk kedua-duanya. Kebahagiaan, kemudahan, kesenangan dan apa-apa kebaikan lainnya, dengan harapan agar manfaat dari doa tersebut turut membawa kita kepada kebaikan yang sama. Bukankah Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam pernah bersabda :

Dari Abu Ad-Darda’ radiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” ( Hadis riwayat Muslim no. 4912 )

Dalam riwayat lain, baginda bersabda :

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Doa seorang muslim untuk saudaranya (sesama muslim) tanpa diketahui olehnya adalah doa mustajabah. Di atas kepalanya (orang yang berdoa) ada malaikat yang telah diutus. Sehingga setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan, “Amin dan kamu juga akan mendapatkan seperti itu.” Saya menambah penjelasan.


KOTAK PERKAHWINAN

“Dah dapat jawapan kepada persoalan tadi?” Sebelum menutup perbualan saya bertanya soalan yang diajukannya pada awal-awal tadi.

“Saya rasa saya dah dapat kak…” Dia menjawab ringkas beriring emoticon senyum dan senyum dan senyum.

Saya membalas kembali dengan sekuntum bunga. Walau sekadar emoticon, tetapi ia mewakili rasa hati wanita yang berseni ini.

Saya meyakini bahawa hakikat perkahwinan adalah seumpama kotak kosong pada fasa awal memasukinya. Setiap dari suami dan isteri perlu memasukkan sesuatu ke dalamnya sebelum mereka boleh mengambil sesuatu darinya.

Cinta tidak wujud dalam perkahwinan, cinta wujud pada peribadi yang menjayakannya. Cemburu, pedih, sakit hati, juga romantik, belas dan empati, semua itu tiada dalam perkahwinan kecuali individu-individu di dalamnyalah yang mengadakannya.

Kerana itu, setiap pasangan perlu belajar dari semasa ke semasa akan erti memberi sebelum menerima bagi memenuhkan ‘kotak cinta dan kasih’ yang mereka masuki; lantaran jika yang diambil lebih banyak dari yang diisi, pasti kotak tersebut akan kosong kembali.

Untuk isteri, isilah sebanyak mungkin ketaatan ke dalam kotak perkahwinanmu selagi mana ia dalam keharusan ILAHI, lantaran seorang suami itu tugas dan tanggungjawabnya berat tidak terperi. Permudahkan dia untuk mengasihi, moga dengannya suami isteri dapat berpaut tangan meniti kehidupan yang penuh mencabar ini.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH. 


Comments

Unknown said…
Salam ustazah... bagaimana saya dpt berhubung dgn ustazah ye... tq. Farina Mohd Yahya
Ws, ukhti Farina :))

Boleh emel saya di : noraslina.jusin@gmail.com

Salam ukhuwwah.
Unknown said…
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA