NIKMATI SEKARANG..

“Saya mengenali seorang sahabat yang hidup berpoligami. Kerana kerap menahan rasa dia selalu berdoa agar dia tidak dijodohkan kembali dengan suaminya jika ditakdirkan menghuni syurga. Bolehkah doa yang begitu? Jika ustazah ada peluang berkongsi pandangan.”

Saya membaca persoalan yang diselit sedit kisah di atas dengan senyuman pahit bersama rasa simpati, mengerti dan memahami bahawa jiwa seorang wanita bernama isteri, saat emosi menguasai diri, bicaranya biasa begitu; agak melulu, tidak menentu.

Meneliti kisahnya dari mesej yang agak panjang lebar, saya merasakan suami wanita itu bukanlah seorang lelaki yang cenderung menzalimi isteri, bahkan ada sikap baiknya  yang disenaraikan, yang pada saya cukup untuk meletakkan suami itu dalam senarai lelaki yang baik. 

Begitu juga si isteri yang masalahnya dikisahkan kepada saya dari mesej tadi, pastinya seorang suri yang baik juga. Jika tidak, dia tidak akan mengandaikan dirinya menghuni syurga. Cuma, mungkin kerana ada selitan peristiwa pedih dan mengusik jiwa kewanitaannya, dia justeru enggan ‘bertemu jodoh’ semula dengan suaminya itu di syurga.

UJIAN ‘RASA’


Ujian ‘rasa’ sememangnya satu ujian yang besar dan memerlukan mujahadah, sama ada bagi wanita yang berada dalam perkahwinan monogami, terlebih lagi kepada yang sedang berada di alam poligami. Kerana itu, saya pernah menyatakan bahawa cabaran rumahtangga poligami mampu diharungi kerana setiap individu di dalamnya bergerak sebagai satu pasukan, di mana setiap daripada mereka menginginkan kebahagiaan dan kesejahteraan itu dinikmati bersama-sama bukannya secara berseorangan semata. 

Jika ‘team spirit’ berinti iman ni dijadikan landasan,  maka keharmonian dan kedamaian dalam rumahtangga poligami bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dibina seterusnya diperkasa. 

Selanjutnya, saya juga menegaskan bahawa dalam menjalani kehidupan berpoligami ini, peranan menjaga emosi bukan semata-mata terpikul ke atas bahu suami, akan tetapi ia juga berada dalam senarai tanggungjawab kendiri seorang isteri. Jika keadilan ini dibebankan ke atas pundak seorang suami tanpa kerjasama padu daripada pihak isteri-isteri, maka keberhasilan yang manis di akhirnya sukar dicapai dan dinikmati bersama.

SEDIKIT PANDUAN
Untuk itu, melalui pengalaman yang masih setahun jagung usianya ini, saya suka berkongsi beberapa tips atau lebih tepatnya adab, bagaimana seorang isteri dapat menjaga dan mengawal emosinya dari dibakar rasa yang tidak menentu terutama api cemburu :

1)Elakkan dari bertanya soalan-soalan atau mengeluarkan ucapan berbaur provokasi atau sekadar mahu menyakitkan hati pasangan yang akhirnya akan meyakitkan diri sendiri juga. 

Contohnya : "Abang lebih suka makan di rumah sana kan? Ye lah, masakan saya ni sedap manalah..." dan seumpamanya; sedangkan bukankah lebih baik jika inginkan pengiktirafan suami terhadap masakan sendiri atau apa jua kebaikan yang telah dilakukan, ajukan secara berhemah dan membuka hati. 

"Macam mana abang, ok tak masakan saya? Kalau ada yang kurang, abang tolong komen ye, in shaa ALLAH, saya akan perbaiki di lain masa." Sambil diiringi dengan senyuman manja. Bukankah lebih berbaloi dan menyejukkan rumahtangga? 

Ayat cinta ALLAH ini selalu dibacakan suami buat mengingatkan kami agar berhati-hati dalam melontar pertanyaan dan kata-kata :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَسْأَلُواْ عَنْ أَشْيَاء إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْأَلُواْ عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ الْقُرْآنُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا اللّهُ عَنْهَا وَاللّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu Al Qur'an itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.” ( Surah al Maidah ayat 101, 5:101 )

2) Hormati ‘item-item’ peribadi suami seperti telefon bimbit, laptop/komputer peribadi, emel, mesej dan seumpamanya serta elakkan dari berusaha mencuri-curi lihat, sengaja ‘menggodek-godek’ tatkala peluang terbuka di depan mata dengan niat mahu menyiasat apakah yang telah atau sedang dilakukan oleh suami bersama isteri yang lain.

Usaha ini bukan sahaja tidak membawa apa-apa makna untuk kebaikan iman dan jiwa, bahkan lebih dari itu akan menimbulkan cemburu yang membuak-buak dan prasangka yang bukan-bukan. Lebih bimbang, ia juga memungkinkan seorang isteri melakukan tegahan ALLAH iaitu ‘tajassus’, sengaja mencari-cari kesalahan dan silap suami. Akhirnya, hati dan diri sendiri juga yang merana dan kecewa sedangkan di pihak suami, sudah berusaha sebaiknya menjaga. 

Bukankah setiap isteri dan keluarga punya hak yang sama, jadi pastinya ada gambar-gambar dan mesej-mesej peribadi yang disimpan di dalam telefon bimbit atau komputer peribadi suami. 

Sifirnya mudah : “Jika tangan dan kehendak sendiri tak mampu diselia, usah pula menyalahkan orang lain, andai sakit dan pedih yang singgah dalam jiwa.” 

Pada saya, setelah suami mengingatkan tentang ini demi menjaga kemaslahatan semua isteri, adalah ‘berdosa’ bagi seorang isteri jika amanah dan kepercayaan yang diberi dikhianati. Seorang suami berjaya untuk berlaku adil, adalah dengan kerjasama daripada pihak isteri-isterinya juga. 

3)Setiap isteri juga pastinya inginkan ‘ me time’ bersama suami; justeru kepada isteri yang bukan dalam waktu gilirannya pada hari tersebut, elakkan dari terlalu kerap menghantar mesej atau melakukan penggilan telefon kecuali atas sesuatu yang benar-benar perlu, seperti memaklumkan tentang kedatangan ahli keluarga atau rakan-rakan ke rumah, meminta izin untuk pergi ke sesuatu tempat, anak sakit dan seumpamanya.

Walaubagaimanapun, tidaklah menjadi satu kesalahan pula di pihak suami yang baik dan bertanggungjawab dari bertanya khabar isteri dan keluarganya yang bukan pada tempoh giliran tersebut. Kerana, sikap ambil berat suami begini, menjadikan isteri dan keluarga sangat dihargai dan disayangi. Lalu, jika suami menghantar mesej dan melakukan panggilan telefon, kepada isteri balaslah sekadarnya tanpa berlebih-lebih demi menjaga masa isteri lain yang sedang bersama-sama suami ketika itu.

 4)Dahulukan baik sangka dan berikhtiar menjauhi buruk sangka, baik kepada madu, terlebih lagi kepada suami. Sentiasalah memberi ingatan kepada diri sendiri tentang ayat ALLAH yang menyebut tentang prasangka sebagaimana firman-NYA :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” ( Al Hujurat ayat 12, 49:12 )

Setiap orang bertanggungjawab ke atas pilihannya. Jalan bahagia atau sebaliknya, ia bergantung kepada kecenderungan dan pilihan untuk dirinya sendiri. Jika prasangka bukan-bukan yang lebih menempati jiwa, maka bagaimana cahaya bahagia dapat mengambil bahagian padanya?

5) Sesuatu yang paling utama dalam menangani ujian rasa ini ialah meletakkan kembali cinta kepada manusia ( suami ) kepada tempatnya yang sebenar.  Hakikatnya, poligami menyediakan ruang bagi wanita untuk mentadbir cinta yang benar kepada manusia lain, iaitu suami dengan menjadikan cinta ALLAH sebagai paksi. CINTAILAH SUAMI KERANA ALLAH.

Cinta yang berlebihan sehingga menyesakkan suami untuk berlaku adil, berada dalam serba salah seolah sentiasa diperhati dan diadili, bukanlah satu iklim yang sihat untuk sesebuah rumahtangga mencapai harmoni. Yakinlah sebarang nilai yang disandarkan kepada ALLAH, pasti akan ada kebaikan mengiringi. Sesungguhnya tiada yang lebih beerti, melainkan menyintai seorang suami kerana ALLAH dan itu membawa pula kepada bertambahnya keimanan dan ketaqwaan seorang isteri kepada Rabbnya. 

NIKMATI SEKARANG!


Akhirnya, persoalan tentang doa pula, saya suka untuk berkongsi satu doa yang pada saya lebih baik untuk dijadikan amalan agar rasa bahagia yang dapat dijana lebih sederhana sifatnya.

"اَللَّهُمَّ قَنِّعْــنِيْ بِـمَا رَزَقْــــتَــنِيْ، وَبَارِكْ لِيْ فِيْهِ، وَاخْلُفْ عَلَى كُـلِّ غَائِـبَةٍ لِيْ بِـخَيْرٍ"

Maksudnya : “Ya Allah, jadikanlah aku merasa qana’ah (merasa cukup, puas, rela) terhadap apa yang telah engkau rezekikan kepadaku, dan berikanlah barakah kepadaku di dalamnya, dan jadikanlah bagiku semua yang hilang dariku dengan yang lebih baik.” ( Hadis riwayat al Hakim )

 Walaupun berkata tentang ini lebih mudah dari melaksana, namun sesuatu yang perlu diinsafi, hidup ini sememangnya adalah perjalanan yang digariskan memiliki dua rasa, ia hadir silih berganti mewarnai kanvas hidup; sebagai ujian keimanan TUHAN ke atas hamba-hambaNYA: manis dan getir, lapang dan sesak, suka dan duka, nikmat dan musibah; serta sabar dan syukur.

Tidak ada seorang pun yang boleh lepas dari dua rasa itu, termasuk juga mereka yang dicintai-Nya. Sejarah nabi-nabi, para rasul, waliyuLlah dan orang-orang soleh yang sering meniti bibir menukilkan bahawa kian agung nikmat, semakin besar pula musibah dan ujiannya. 

Sesuatu yang pasti, nilai indah kehidupan ini boleh susut dan sirna hanya kerana dua perkara :

1) kekhuatiran yang melampau terhadap hari esok
2) kesedihan serta kekecewaan yang menguasai atas penderitaan semalam

Kerana itu, ramai manusia terikat dalam penjara masa : 'suatu hari nanti', 'moga-moga esok hari..', 'alangkah baiknya jika semalam' , 'bila masa mengizinkan' dan seumpamanya untuk mencicip gembira, mengangankan bahagia...sedangkan hanya satu tindakan sahaja untuk mereka bebas darinya...

Nikmati hari ini, waktu ini...SEKARANG juga!

Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu yang disayangi atau sesiapa pun jua yang dikasihi, walau dia yang paling kita cintai di dunia ini hanya menemani kita pada satu tempoh tertentu sahaja; sampai ketikanya semua itu bakal pergi, sehingga ada di antara kita yang 'terpaksa' meneruskan kehidupan ini seorang diri....

Justeru, biarlah dari saat ini kita telah menginsafi, bahawa hanya DIA, Allah Yang Maha Pengasih, tetap bersama, melindungi dan menjaga hingga akhir hayat kita di dunia....

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.


Comments

CahayaKasih said…
Penulisan dan nasihat yang sangat baik Kak Ina. Alhamdulillah
Unknown said…
Terkesan..smg bahagia milikmu duhai ustazah yg mulia hati
rosfazila said…
assalamu'alaikum ya ukhtie

rasa rindu buat saya datang bertandang ke laman ini. seperti biasa, bait kata ukhtie tetap memberi inspirasi dan membelai hati. tahniah dan mohon panjatkan doa juga buat kami dalam menempuhi kehidupan ini. saya juga ada tulis artikel tentang possessiveness tapi dari isu berbeza, saya setuju dengan kata ukhtie

...Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu yang disayangi atau sesiapa pun jua yang dikasihi, walau dia yang paling kita cintai di dunia ini hanya menemani kita pada satu tempoh tertentu sahaja; sampai ketikanya semua itu bakal pergi, sehingga ada di antara kita yang 'terpaksa' meneruskan kehidupan ini seorang diri....

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA