MERASAI UNTUK MEMAHAMI
Usai bersalaman
dan mengucapkan selamat tinggal, saya segera menuju ke kereta. Tidak saya nafikan, sayu terasa saat kaki meninggalkan jejak terakhir di pintu
pagar, namun saya juga akui ada rasa teruja di hati untuk bertemu insan-insan
tersayang yang menanti di rumah, penuh sabar.
Anakanda
Maryam, yang menemani, saya letakkan di tempat duduk bayi di belakang. Syukur,
si kecil itu tidak banyak ragam. Sebaik kereta bergerak, matanya yang sedia
layu tadi, terus tertutup. Maryam nyenyak dalam alunan nasyid Asma al Husna
dendangan Sami Yusuf.
“Betul ke As
nak datang Cheras pagi ni? Kalau susah, abang boleh balik ke Gombak,”
Terngiang-ngiang suara suami menerusi perbualan telefon pagi tadi.
“Tak apa, bang.
As nak ke Cheras. Boleh bawa Maryam jalan-jalan ke sana sekejap.” Saya
membalas. Ada senyuman saya sisipkan sewaktu menyatakan itu; walau suami tidak
melihat, saya yakin dia tahu.
“Kalau macam
tu, pandu baik-baik ya. Arah ke Cheras dalam jam-jam begini, tak berapa sesak
dah. Cuma arah balik ke Gombak nanti…tak dapat dijangka. Kadang ok, kadang jem
juga..” pesan suami mengingatkan. Tanda ambilberat.
“In shaa ALLAH,
As ok...” Saya menjawab sekaligus memberi kepastian untuk menghantar sendiri barang
peribadi suami yang tertinggal sebelum pulang ke Cheras semalam.
RUTIN
Raheem,
Kareemun, 'Adheem, 'Aleemun, Haleem, Hakeemun, Mateen,
Mannaan,
Rahmaanun, Fattaah, Ghaffaarun, Tawwaab, Razzaaqun, Shaheed…..
Dendangan
nasyid indah mengagungkan nama-nama ALLAH itu saya putar berulangkali di dalam
kereta. Dari Jalan Inang, saya melanjutkan pemanduan ke Persiaran Mahkota
Cheras, lalu terus menyusuri Lebuhraya Cheras-Kajang menuju ke Gombak. Cuaca
tika itu agak terik walau jam di tangan telah pun menunjukkan angka dua
setengah petang.
Kereta yang
bersusun di hadapan menuju destinasi yang entah ke mana, sesekali memperlahankan pemanduan. Anakanda kecil di
belakang masih tidak terusik lenanya
walau acapkali juga trafik yang bergerak terhenti tiba-tiba sehingga
memaksa saya menekan brek agak kuat.
Memandu
menyusuri jalanraya yang agak padat dengan kereta walaupun pada hari minggu
sebegini, ada masanya kereta dapat dipecut laju, di saat lain pula, sangat
perlahan. Pertukaran situasi yang bersilihganti ini, agak meletihkan badan dan
fikiran.
Akan tetapi
tiada pilihan selain sabar dan meneruskan perjalanan.
Entah kenapa,
dalam situasi begini, hati sebak tiba-tiba. Kesayuan yang terbit ketika
meninggalkan insan yang dikasihi sebentar tadi mulai berombak rindu dan cinta
yang padu. Terbayang…betapa setelah setahun lebih suami berada di alam
poligami, dengan kehadiran seorang lagi isteri di sisi, situasi ini hampir
setiap hari ditempuhinya demi kembali kepada insan yang menanti.
Baik saya dan
anak-anak di Gombak, atau adinda madu saya, yang berada di Cheras, berhadapan kesesakan
jalanraya untuk pergi dan pulang kepada kedua-dua keluarga ini menjadi rutin
sehari-hari suami demi melangsaikan amanah dan tanggunjawabnya sebagai ketua
keluarga.
Sebenarnya, sudah
sekian lama saya ingin merasai pengalaman ini. Merasai apa yang dialaminya
saban hari. Meninggalkan insan yang disayangi untuk kembali pula kepada insan
lain yang dikasihi. Sekali pandang, bagai tiada apa-apa yang menyentuh jiwa,
tetapi bagi yang mengalami, usaha ini sangat besar dan hanya mampu ditangani
oleh seseorang yang jiwanya penuh kesedaran tentang tanggungjawab serta cinta
dan kasih sayang terhadap keluarga.
ERTI
PERKAHWINAN
“Jika
melihat Roger Federer bermain dengan melakukan pukula-pukulan yang hebat, maka
kita terasa amat kagum. Namun, kekaguman itu akan menjadi lebih lagi, sekiranya
kita sendiri bermain dan cuba melakukan pukulan sebagaimana yang dilakukannya.
Ia ternyata sukar dan tidak mudah! Dan tatkala kita berusaha mencontohi corak permainannya,
juga kehebatan pukulan tersebut, maka kita pasti akan menjadi bertambah kagum
mengenangkan kesungguhan dia berlatih sehingga akhirnya melayakkan dirinya
diangkat sebagai pemain terbaik dunia dalam sukan tenis.” Kata-kata suami ini
kembali menerjah tangkai hati.
Saya yakin,
suami menuturkan perumpamaan ini sebagai satu nasihat buat dirinya dan
isterinya ini, supaya kami bersama-sama menyedari dan bersedia terhadap cabaran
yang sedang dan bakal dihadapi di alam poligami.
Menurut suami, hubungan
yang terjalin antara suami isteri dalam satu ikatan pernikahan, bukanlah bermakna antara mereka saling
dibebani dengan tanggungjawab rumahtangga yang semakin mencabar dari sehari ke
sehari.
Hanya sekadar
itu.
Akan tetapi ia
lebih kepada percantuman dua jiwa untuk mereka saling terus tersenyum; memahami
dalam kelembutan nurani bahawa simpulan yang termeteri itu mampu menjadikan
mereka seorang hamba ILAHI yang lebih baik dari sebelumnya.
Bertambahnya
tanggungjawab bermakna potensi untuk meningkatnya kualiti mereka sebagai
khalifah di muka bumi juga terbuka luas, asal sahaja tanggungjawab itu
dilaksana bersungguh-sungguh mengikut piawaian agama yang mulia ini.
Begitu juga yang
saya yakini sejak mula suami membincangkan topik poligami dalam perbualan kami;
ada ketikanya santai dan cuit-cuit mesra memenuhi suasana, ada masanya serius
dan hanya saling bertatapan mata, menghadam bahasa jiwa tanpa suara dalam memahami persoalan-persoalan berbangkit
terutama apabila ia berkait emosi seorang isteri.
Justeru
itu, saya mengambil kata-kata suami itu sebagai satu inspirasi, iaitu bagaimana
wanita hari ini yang selalu berbicara tentang kehebatan para isteri Nabi,
ketabahan, kesabaran mereka menempuh kehidupan bersama seorang suami yang
ranjau hidupnya bukan sedikit dan menjadikan mereka contoh teladan terbaik
sepanjang zaman, maka poligami adalah satu usaha ke arah itu.
Maksudnya,
apabila seorang wanita menempuh hidup berpoligami, apa yang harus diyakini
ialah mereka sebenarnya sedang merasakan bagaimana hebatnya isteri-isteri Nabi
melalui kehidupan ‘berkongsi’ ini. Mereka cemburu, namun kecemburuan tersebut
tidak pernah menghalang mereka dari menjadi antara muslimah terbaik dunia
dengan kualiti ilmu, akhlak dan keperibadian yang membanggakan.
MERASAI
UNTUK MEMAHAMI
Namun, semua
itu sudah berlalu. Dan dari pengalaman yang masih sedikit ini, semakin saya
menginsafi bahawa suasana hati memang banyak dibentuk oleh bagaimana akrab
hubungan hati insani dengan ILAHI, Pencipta Yang Maha Tahu segala-galanya.
Seumpama
layang-layang yang terbang di awan biru…
Layang-layang
mampu terbang kerana adanya angin yang bertiup dan tali yang menghubung sebagai
kendali agar layang-layang tetap utuh; melianglintuk tanpa jatuh..
Begitulah
perumpamaan hidup..angin adalah cabaran yang perlu dihadapi dengan matang,
manakala tali yang mengikat persis hubungan antara manusia dengan TUHAN;
tanpanya manusia akan jatuh saat berhadapan ujian, namun dengannya manusia
teguh kerana cinta-NYA mengikat, mengendali dan memandu kehidupan.
Kerana itu, andai
jalan poligami ini ditakdirkan menjadi wadah kepada saya, suami, adinda madu
dan anak-anak untuk lebih hampir kepada keredhaan ALLAH, maka saya pasti
pandangan kasih-NYA sentiasa ada untuk membantu kami ke arah tujuan yang mulia.
Sebagaimana
firman-NYA dalam Al-Quran :
( وَالَّذِينَ
جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا (العنكبوت 69
Maksudnya : Mereka
yang berjihad dan bermujahadah dalam (sampai ) untuk kami (ALLAH), pastinya
kami akan memandunya ke arah jalan kami (redhai).
Merasai untuk
memahami…moga cinta-MU ILAHI, menjadi milik diri yang lemah ini…
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.
Comments
akhirnya... dapat juga saya jumpa salam ngn akak... hihihi....
alhamdulillah