21 February 2015

MERASAI UNTUK MEMAHAMI


Usai bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal, saya segera menuju ke kereta. Tidak saya nafikan, sayu terasa saat kaki meninggalkan jejak terakhir di pintu pagar, namun saya juga akui ada rasa teruja di hati untuk bertemu insan-insan tersayang yang menanti di rumah, penuh sabar. 

Anakanda Maryam, yang menemani, saya letakkan di tempat duduk bayi di belakang. Syukur, si kecil itu tidak banyak ragam. Sebaik kereta bergerak, matanya yang sedia layu tadi, terus tertutup. Maryam nyenyak dalam alunan nasyid Asma al Husna dendangan Sami Yusuf.

“Betul ke As nak datang Cheras pagi ni? Kalau susah, abang boleh balik ke Gombak,” Terngiang-ngiang suara suami menerusi perbualan telefon pagi tadi.

“Tak apa, bang. As nak ke Cheras. Boleh bawa Maryam jalan-jalan ke sana sekejap.” Saya membalas. Ada senyuman saya sisipkan sewaktu menyatakan itu; walau suami tidak melihat, saya yakin dia tahu.

“Kalau macam tu, pandu baik-baik ya. Arah ke Cheras dalam jam-jam begini, tak berapa sesak dah. Cuma arah balik ke Gombak nanti…tak dapat dijangka. Kadang ok, kadang jem juga..” pesan suami mengingatkan. Tanda ambilberat.

“In shaa ALLAH, As ok...” Saya menjawab sekaligus memberi kepastian untuk menghantar sendiri barang peribadi suami yang tertinggal sebelum pulang ke Cheras semalam.

RUTIN
Raheem, Kareemun, 'Adheem, 'Aleemun, Haleem, Hakeemun, Mateen,
Mannaan, Rahmaanun, Fattaah, Ghaffaarun, Tawwaab, Razzaaqun, Shaheed…..

Dendangan nasyid indah mengagungkan nama-nama ALLAH itu saya putar berulangkali di dalam kereta. Dari Jalan Inang, saya melanjutkan pemanduan ke Persiaran Mahkota Cheras, lalu terus menyusuri Lebuhraya Cheras-Kajang menuju ke Gombak. Cuaca tika itu agak terik walau jam di tangan telah pun menunjukkan angka dua setengah petang.

Kereta yang bersusun di hadapan menuju destinasi yang entah ke mana, sesekali  memperlahankan pemanduan. Anakanda kecil di belakang masih tidak terusik lenanya  walau acapkali juga trafik yang bergerak terhenti tiba-tiba sehingga memaksa saya menekan brek agak kuat.

Memandu menyusuri jalanraya yang agak padat dengan kereta walaupun pada hari minggu sebegini, ada masanya kereta dapat dipecut laju, di saat lain pula, sangat perlahan. Pertukaran situasi yang bersilihganti ini, agak meletihkan badan dan fikiran.

Akan tetapi tiada pilihan selain sabar dan meneruskan perjalanan.

Entah kenapa, dalam situasi begini, hati sebak tiba-tiba. Kesayuan yang terbit ketika meninggalkan insan yang dikasihi sebentar tadi mulai berombak rindu dan cinta yang padu. Terbayang…betapa setelah setahun lebih suami berada di alam poligami, dengan kehadiran seorang lagi isteri di sisi, situasi ini hampir setiap hari ditempuhinya demi kembali kepada insan yang menanti.

Baik saya dan anak-anak di Gombak, atau adinda madu saya, yang berada di Cheras, berhadapan kesesakan jalanraya untuk pergi dan pulang kepada kedua-dua keluarga ini menjadi rutin sehari-hari suami demi melangsaikan amanah dan tanggunjawabnya sebagai ketua keluarga.

Sebenarnya, sudah sekian lama saya ingin merasai pengalaman ini. Merasai apa yang dialaminya saban hari. Meninggalkan insan yang disayangi untuk kembali pula kepada insan lain yang dikasihi. Sekali pandang, bagai tiada apa-apa yang menyentuh jiwa, tetapi bagi yang mengalami, usaha ini sangat besar dan hanya mampu ditangani oleh seseorang yang jiwanya penuh kesedaran tentang tanggungjawab serta cinta dan kasih sayang terhadap keluarga.

ERTI PERKAHWINAN
“Jika melihat Roger Federer bermain dengan melakukan pukula-pukulan yang hebat, maka kita terasa amat kagum. Namun, kekaguman itu akan menjadi lebih lagi, sekiranya kita sendiri bermain dan cuba melakukan pukulan sebagaimana yang dilakukannya. Ia ternyata sukar dan tidak mudah! Dan tatkala kita berusaha mencontohi corak permainannya, juga kehebatan pukulan tersebut, maka kita pasti akan menjadi bertambah kagum mengenangkan kesungguhan dia berlatih sehingga akhirnya melayakkan dirinya diangkat sebagai pemain terbaik dunia dalam sukan tenis.” Kata-kata suami ini kembali menerjah tangkai hati.

Saya yakin, suami menuturkan perumpamaan ini sebagai satu nasihat buat dirinya dan isterinya ini, supaya kami bersama-sama menyedari dan bersedia terhadap cabaran yang sedang dan bakal dihadapi di alam poligami.

Menurut suami, hubungan yang terjalin antara suami isteri dalam satu ikatan pernikahan,  bukanlah bermakna antara mereka saling dibebani dengan tanggungjawab rumahtangga yang semakin mencabar dari sehari ke sehari.

Hanya sekadar itu.

Akan tetapi ia lebih kepada percantuman dua jiwa untuk mereka saling terus tersenyum; memahami dalam kelembutan nurani bahawa simpulan yang termeteri itu mampu menjadikan mereka seorang hamba ILAHI yang lebih baik dari sebelumnya.

Bertambahnya tanggungjawab bermakna potensi untuk meningkatnya kualiti mereka sebagai khalifah di muka bumi juga terbuka luas, asal sahaja tanggungjawab itu dilaksana bersungguh-sungguh mengikut piawaian agama yang mulia ini.

Begitu juga yang saya yakini sejak mula suami membincangkan topik poligami dalam perbualan kami; ada ketikanya santai dan cuit-cuit mesra memenuhi suasana, ada masanya serius dan hanya saling bertatapan mata, menghadam bahasa jiwa tanpa suara dalam  memahami persoalan-persoalan berbangkit terutama apabila ia berkait emosi seorang isteri. 

Justeru itu, saya mengambil kata-kata suami itu sebagai satu inspirasi, iaitu bagaimana wanita hari ini yang selalu berbicara tentang kehebatan para isteri Nabi, ketabahan, kesabaran mereka menempuh kehidupan bersama seorang suami yang ranjau hidupnya bukan sedikit dan menjadikan mereka contoh teladan terbaik sepanjang zaman, maka poligami adalah satu usaha ke arah itu.

Maksudnya, apabila seorang wanita menempuh hidup berpoligami, apa yang harus diyakini ialah mereka sebenarnya sedang merasakan bagaimana hebatnya isteri-isteri Nabi melalui kehidupan ‘berkongsi’ ini. Mereka cemburu, namun kecemburuan tersebut tidak pernah menghalang mereka dari menjadi antara muslimah terbaik dunia dengan kualiti ilmu, akhlak dan keperibadian yang membanggakan.

MERASAI UNTUK MEMAHAMI


Namun, semua itu sudah berlalu. Dan dari pengalaman yang masih sedikit ini, semakin saya menginsafi bahawa suasana hati memang banyak dibentuk oleh bagaimana akrab hubungan hati insani dengan ILAHI, Pencipta Yang Maha Tahu segala-galanya.

Seumpama layang-layang yang terbang di awan biru…

Layang-layang mampu terbang kerana adanya angin yang bertiup dan tali yang menghubung sebagai kendali agar layang-layang tetap utuh; melianglintuk tanpa jatuh..

Begitulah perumpamaan hidup..angin adalah cabaran yang perlu dihadapi dengan matang, manakala tali yang mengikat persis hubungan antara manusia dengan TUHAN; tanpanya manusia akan jatuh saat berhadapan ujian, namun dengannya manusia teguh kerana cinta-NYA mengikat, mengendali dan memandu kehidupan. 

Kerana itu, andai jalan poligami ini ditakdirkan menjadi wadah kepada saya, suami, adinda madu dan anak-anak untuk lebih hampir kepada keredhaan ALLAH, maka saya pasti pandangan kasih-NYA sentiasa ada untuk membantu kami ke arah tujuan yang mulia.

Sebagaimana firman-NYA dalam Al-Quran :

( وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا (العنكبوت 69

Maksudnya : Mereka yang berjihad dan bermujahadah dalam (sampai ) untuk kami (ALLAH), pastinya kami akan memandunya ke arah jalan kami (redhai).

Merasai untuk memahami…moga cinta-MU ILAHI, menjadi milik diri yang lemah ini…

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, In shaa ALLAH.

4 comments:

sayidah napisah said...

Subhanallah. Hebatnya jiwa yg dekat dgn Allah :')

nhhas said...

Kak ina... sy (huda) yg jumpa kak ina di forum @mampu hari ini.
akhirnya... dapat juga saya jumpa salam ngn akak... hihihi....
alhamdulillah

maryamsiddiqah said...

Ujian yang hebat untuk orang yang hebat2 juga. Moga ustazah dan keluarga dikurniakan rahmat dan kemudahan di dalam kehidupan

Tablet Hati said...

Subahat Allah.. Sangat menyentuh hati dan memberi inspirasi