ANAKMU BUKAN MILIKMU

“Kakak risau la ustazah. Membesarkan anak-anak di zaman dunia tanpa sempadan hari ini terlalu besar cabarannya bagi kita sebagai ibu ayah.” Keluh seorang kenalan sewaktu saya minum pagi bersamanya di sebuah restoran usai menghantar anak-anak ke sekolah.

“Apa yang kakak risaukan?” Saya bertanya.

“Macam-macam, ustazah. Masa kecil, terasa mudah untuk menasihati anak-anak; tambahan mereka juga tidak banyak karenah dan baik-baik sahaja pada penglihatan saya dan suami. Tetapi, setelah meningkat remaja dan memasuki alam universiti, lain pula kisahnya,” dia menambah dengan wajah gelisah. Seakan ada sesuatu yang berbuku di dada, belum terluah.

Saya diam, sekadar memberi respon dengan anggukan; memberikan masa untuknya berfikir. Biar dia sendiri yang membuat pilihan, sama ada mahu meneruskan bercerita atau sebaliknya, tanpa apa-apa paksaan atau permintaan.

Tambahan pula, masa yang masih berbaki sebelum pulang ke rumah untuk memasak juadah tengahari, agak selesa juga untuk kami meneruskan perbualan.

“Entahlah ustazah….Sejak kecil, kakak dan suami sudah memilih sekolah yang baik pada penilaian kami untuk anak-anak. Di rumah juga, kami sendiri mengajarkan al Quran dan adab sopan. Harapan kami, suasana yang baik di rumah dengan kesinambungannya di sekolah dalam bi’ah yang baik dan guru-guru yang berakhlak mulia dapat memberikan kesan yang baik juga di peringkat tumbesaran  anak-anak. Namun, dengan masalah yang berlaku hari ini, kakak jadi keliru dan tertanya-tanya, apakah silap dari semua yang telah kami berikan kepada anak-anak dahulunya?”

PERIBADI CONTOH

Dalam hati saya membenarkan kata-katanya. Betapa banyak persoalan berkisar anak-anak hari ini yang memerlukan mata fikir dan mata hati bagi menemukan jawapannya. Sikap baik anak-anak, mendengar kata dan sangat menyejukkan hati ketika kecil mereka, tidak beerti ia akan kekal begitu menjelang usia dewasa mereka. Justeru, persoalan inilah yang perlu ditangani dan difikirkan bersama.
Oleh itu, pada saya, bila memperkatakan tentang remaja, perkara pertama yang sangat penting untuk  diambil peduli adalah, orang dewasa perlu 'melihat' dirinya sendiri, bahawa mereka adalah umpama cermin kepada individu yang masih muda di bawah mereka. 

Bagaimana mereka berperilaku, refleksi dari tindakan mereka akan terpantul kepada anak-anak yang melihat dan memperhati.

Contohnya, bagaimana ibu bapa memanfaatkan ruang bersosial di internet seperti FB, YM atau seumpamanya bersama lawan gender dalam keadaan tidak mengawal kata-kata, pertanyaan yang meleret-leret tanpa keperluan, maka keadaan yang sama juga boleh berlaku di antara anak-anak dan rakan-rakan mereka atau mungkin mereka menjadi lebih jauh lagi dari apa yang dilakukan oleh ibu bapa.

Menyebut tentang ini, saya teringat kepada pengalaman sendiri ketika berusia awal 20-an dan masih menuntut di sebuah IPTA tempatan. Imbauan masa lalu yang saya rasakan baik untuk diteladani oleh orang dewasa terutama mereka bergelar ibu bapa.

Ketika itu, saya menelefon seorang tuan guru yang alim serta amat saya hormati cara pergaulannya dan penghormatannya kepada kaum wanita. Sebaik mengangkat gagang telefon, beliau terus bertanya apakah keperluan saya menghubunginya. Bila saya melontarkan persoalan, beliau terus menjawab pertanyaan itu tanpa bertanya lebih lanjut seperti pertanyaan : “Saudari belajar di mana, jurusan apa,” dan seumpamanya . Sebaliknya, sebaik sahaja selesai memberikan jawapan, beliau terus meminta maaf, memberi salam dan lantas mengakhiri perbualan.

Pada saya, inilah contoh yang amat tepat agar pergaulan antara dua jantina dapat dijaga sebaik-baiknya. Walaupun jarak usia antara keduanya mungkin jauh, namun syaitan tidak memandang itu semua. Asal saja ada ruang, fitnah yang merosakkan boleh saja mengetuk jendela rasa.

Amanah dalam menjaga batas perhubungan, sama ada di hadapan orang lain atau ketika bersendirian inilah yang menjadi ujian semua orang baik seseorang itu bergelar agamawan terkenal sekalipun.

Seorang suami atau isteri, boleh saja menahan diri atau mengawal perbualannya ketika berchatting bersama seseorang lain berbeza jantina sewaktu di rumah atau ketika pasangan dan anak-anak ada bersamanya, akan tetapi bila bersendirian di pejabat atau ketika berjauhan dari pasangan dan anak-anak, maka kawalan itu sudah longgar, lantaran itu tidak sedikit yang tersasar dari batas dan sempadan pergaulan yang disyari’atkan.

Situasi sebegini hakikatnya menuntut kejujuran seseorang kepada ALLAH Subhanahu wa ta’ala dalam mengukur sejauhmana urusannya itu satu keperluan atau mengikut nafsu semata-mata. Dan kejujuran itu pula bergantung kepada sejauh mana keimanannya kepada Yang Maha Esa. Jika muraqabatillah seseorang itu kuat ( yakni merasa diri sentiasa dalam pandangan ALLAH ), maka itu yg akan menjadi pengawal dirinya. Jika tidak maka kemungkinan besar, dia hanyut bersama dengan teknologi moden ini.

POSESIF DAN EGOIS
“Satu kemungkinan lain adalah, kesan sebegitu datang dari sikap  negatif ibu bapa sendiri dalam mendidik. Setiap ibu bapa menginginkan yang terbaik untuk anaknya. Tidak ada yang salah dengan pernyataan tersebut. Namun, tidak sedikit ibu bapa menggunakan alasan tersebut untuk bersikap posesif dan egois terhadap anak.” Saya memberikan pandangan selanjutnya.

“Maksud ustazah?” Soalnya penuh perhatian. Sambil itu, air bandung cincau yang dipesannya dihirup penuh sopan. Ada sedikit kelegaan pada wajahnya setelah kami berbalas pandangan tentang pengaruh gajet-gajet moden dalam pembesaran anak-anak tadi.

“Posesif’ iaitu ibu bapa merasakan ‘pemilikan’ mereka pada diri anak-anak menjadikan mereka boleh memperlakukan anak-anak itu sesuai dengan keinginan mereka sebagai ibu bapa. Lantas, anak-anak seakan dipaksa mengikut kehendak mereka. Semua perilaku dan sifat anak haruslah sesuai dengan keinginan ibu bapa. Semua obsesi orang tua dilimpahkan kepada anak-anak sehingga jika lain yang ditunjukkan maka mereka terus melontarkan kata-kata yang membandingkan diri mereka sendiri dengan anak-anak ketika mereka berada pada usia yang sama. Inilah ego namanya. Membuat perbandingan dek sedikit kesilapan anak-anak tanpa lebih dulu melihat sisi kebaikan mereka yang pernah dan sedang mereka lakukan.” Saya berusaha menjelaskan. Kelihatan dia termenung, bagai mengingat-ingat sesuatu.

“Terasa macam saya pernah buat pula apa yang ustazah sebutkan tu. Saya dulu ketika bersekolah menengah dan rendah, boleh dikatakan antara pelajar cemerlang juga. Jadi, bila melihat perkembangan pelajaran anak-anak yang kurang berprestasi saya selalu mengatakan begini: 

“Kenapalah anak-anak mak tidak seperti mak dulu; walaupun susah, tapi selalu sahaja beroleh nombor satu di sekolah.” Dia mengakui khilaf diri.

PILIHAN DALAM PANDUAN
“Benar kak. Kita sebagai ibu bapa, selalu tidak menyedari hal ini. Terlalu egois jika ibu bapa boleh bertindak sewenangnya terhadap anak-anak. Bukankah mereka juga adalah manusia yang memiliki perasaan dan keinginan sendiri.” Saya menambah. Dia membalas dengan anggukan kepala.

“Jadi, sepatutnya apa yang ibu bapa boleh lakukan, Ustazah? “ Buat kesekian kalinya, dia bertanya.


“Saya berpandangan, adalah lebih bijak jika ibu bapa mengarahkan dan membina anaknya sesuai minat dan kecenderungan mereka. Akan tetapi, ini bukan bererti ibu bapa menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada anak-anak tanpa memberi panduan atau mengabaikan aspek lain di luar minat dan kecenderungan tersebut. Sebaliknya, manfaatkan minat itu sebagai sarana belajar  yang membantu untuk mengembangkan sesuatu aspek yang kurang pada diri anak. Contohnya, jika seorang anak suka menyanyi tetapi kurang mahir membaca al Quran, maka ibu bapa boleh menggunakan teknik berlagu untuk mengembangkan keterampilan dan minat si anak membaca al Quran melalui pengenalan huruf dan hukum hakam berkait membaca kitab suci itu. Demikian seterusnya bagi kecenderungan lain.” Saya melontarkan pandangan.

ANAKMU BUKAN MILIKMU…
Saya menginsafi, berasaskan kerisauan dan kebimbangan dengan suasana hari ini, ibu bapa banyak mengarah itu dan ini. Tujuannya mahu memberi nasihat, pandangan dan buah fikiran buat pedoman anak-anak dalam kehidupan. Namun, tanpa sedar mereka bagaikan mahu anak-anak bertindak, bergerak dan membesar mengikut acuan yang telah mereka tentukan.

Ironinya, buah dari sikap posesif dan egois ibu bapa hanya akan menghancurkan masa depan anak-anak tercinta. Apa yang dibimbangkan, anak-anak hakikatnya menjadi baik dalam terpaksa akibat tidak punya pilihan, impian dan kebebasan.

Justeru, hanya sikap bijaksana yang dapat menyelamatkan mereka dari merasa dipaksa dan terpaksa. 

Biarkan anak-anak meneroka dunia, dan dalam masa yang sama, iringkan dengan peringatan dan pesan ke arah kebaikan. Walau nantinya, anak-anak melakukan kesilapan, tetapi silap ketika dalam kawalan ibu bapa lebih mudah untuk diperbetulkan agar kembali ke landasan kebenaran.

Hakikatnya, anak-anak bukan milik mutlak ibu bapa.

Mereka tidak akan selamanya berada di keliling ibu bapa. Sampai saatnya mereka akan lepas pergi. Berdikari dan mandiri menentukan haluan hidup mereka sendiri.

Sungguhpun, seorang anak memang terlahir di dunia melalui mereka tapi usah lupa bahwa seorang anak adalah titipan sekaligus ujian dari ALLAH Subhanahu wa ta’ala yang harus dijaga, dibina dan dibimbing dengan penuh rasa bertanggungjawab dan cinta.

Sebagaimana firman ALLAH Subhanahu wa ta’ala yang bermaksud :

“Dan ketahuilah bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi ALLAH-lah pahala yang besar.”
( Surah Al Anfaal 8:28)

Justeru, temukan cinta antara ibu bapa dan anak-anak dengan saling memahami, komunikasi yang beerti dan berdoa ke hadrat ILAHI. Semoga, sikap baik yang ditunjukkan anak-anak sewaktu membesar bukanlah kerana terpaksa bagi memenuhi selera ibu bapa, tetapi sebaliknya ia adalah pilihan mereka sendiri; datang dari hati yang mahu menjadi muslim mukmin sejati.

Dengan ini, walau di mana sahaja mereka berada kelak, walau suasana sekitar ‘gelap gelita’ dan rosak, anak-anak yang memilih untuk menjadi baik ini bakal menjadi ‘cahaya’ yang menebarkan kebenaran seterusnya memulih suasana ke arah yang diredai-NYA, insya ALLAH.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI
Jumpa lagi, in shaa ALLAH.


Comments

zaranor said…
Assalamualaikum Kak Ina .. apa khabar? RIndu sangat pada kak Ina ..
Wslm, Zarah :))

Alhamdulillah kak ina sihat, baby pun dah besar, setahun lebih dah ;))

In shaa ALLAH, moga ada izin-NYA untuk kita berjumpa suatu masa nanti, ameen.

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA