10 December 2014

DOAKU PADA-MU TUHAN....


"Ustazah, boleh tak saya berdoa supaya suami kahwin lain, dengan seseorang yang lebih baik daripada saya?" Seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an mengajukan soalan.

"Ustazah, boleh ke kita berdoa agar cinta dan kasih suami hanya untuk seorang isterinya sahaja?" Soal seorang wanita lain pula yang lebih muda, baru menginjak usianya ke angka 30.

Itu adalah antara dua soalan yang pernah diajukan kepada saya dalam salah satu sesi perkongsian dan ceramah saya bersama para muslimat.

Jika direnung-renung, kedua-duanya tidak banyak berbeza, kerana ia berkisar pada topik yang sama, iaitu tentang poligami. Dan, saya yakin, rata-rata wanita menganggap topik ini sebagai sesuatu yang agak sensitif dan pedih untuk menghadapinya.

Saya tidak menafikan keadaan itu, cuma untuk menjawab kedua-duanya dalam waktu yang terbatas dan tidak mengguris perasaan kewanitaan yang halus, saya cuba mengalih perhatian mereka kepada persamaan yang wujud pada inti persoalan iaitu berkait doa; kerana pada saya, kekecewaan yang dihadapi oleh kebanyakan manusia muslim hari ini, salah satunya adalah berpunca dari kesalahfahaman tentang konsep doa yang dipanjatkan ke hadrat ILAHI.

MENGAPA BERDOA?

“Mengapa kita berdoa?” Saya melontarkan satu persoalan mudah kepada jemaah muslimat yang santai bersimpuh di atas karpet merah.

“Untuk menyampaikan apa yang kita hajatkan, ustazah…” Jawab salah seorang wanita di hadapan saya.

“Maksudnya, kita nak beritahu ALLAH apa yang kita mahu, begitu?” Saya menambah rencah.

“Hmm..lebih kurang begitulah agaknya, ustazah.” Wanita tadi menjawab dengan senyuman, namun ada sedikit kerutan terlihat pada dahinya. Sementara itu, jemaah muslimat lain hanya mendengar penuh minat.

“Kita nak beritahu ALLAH, atau nak order sesuatu daripada-NYA?” Saya masih meneruskan persoalan buat mencambah fikir dan renungan.

Order? Maksud ustazah?” Kerut di dahinya kian jelas terlihat.

Melihat itu saya senyum. Satu demi satu wajah di hadapan saya perhatikan. Sambil menarik nafas dalam-dalam, saya diam sebentar bagi mencari patah kata yang sesuai. Melihat riak ingin tahu pada wajah mereka, diam-diam saya berdoa di dalam hati agar penjelasan saya nanti, mampu menatijahkan kefahaman yang sebenar.

Biar ringkas, tetapi padat dan tepat, In shaa ALLAH.

PETUNJUK-NYA

“Saya yakin, kita selalu pergi ke restoran untuk menjamu selera, dan pasti nya sebelum dapat menikmati makanan yang diinginkan, kita lebih dulu buat order apa yang kita mahu makan dan minum kepada pelayan restoran. Sebentar kemudian, apa yang kita order akan sampai di hadapan mata; jika roti canai telur yang kita minta, roti canai telur yang akan dihantar ke meja kita. Jika ‘Teh Tarik lebih buih’ yang kita inginkan, minuman itu juga yang akan dihidangkan kepada kita. Ringkasnya, apa yang kita dapat, adalah apa yang kita order. Bukan begitu?” Sekali lagi saya bertanya.

Para Jemaah muslimat di hadapan saya mengangguk-ngangguk tersenyum.

“Namun, kita selalu lupa. ALLAH bukan seperti restoran mamak, jauh sekali dapat disamakan dengan restoran makanan segera atau selainnya. Kita berdoa, bukan untuk memberitahu ALLAH apa yang kita mahu, bukan juga untuk order apa-apa yang kita impi dan inginkan dalam hidup ini, tetapi berdoa adalah sebagai bukti kita ini hamba-NYA. Ia manifestasi perhambaan kita kepada Yang Maha Esa bahawa kita sangat memerlukan DIA dalam menjalani kehidupan setiap masa.

Tambahan pula, cara ALLAH mengabulkan apa yang diminta oleh hamba-hambaNYA sangat jauh berbeza berbanding permintaan kita kepada makhluk selain-NYA. Kita meminta begitu, tetapi ALLAH memberi begini, kerana DIA mengurniakan apa yang manusia perlu, bukan apa yang mereka mahu. “ Saya sedikit berfalsafah.

Terlihat wajah-wajah di hadapan saya menunduk ke karpet merah.

“Jika puasa bertujuan menambah takwa, maka berdoa pula adalah untuk meraih petunjuk ALLAH, sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :

Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu tentang AKU, maka (jawablah), bahawasanya AKU adalah dekat. AKU mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-KU, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-KU) dan hendaklah mereka beriman kepada-KU, agar mereka selalu mendapat petunjuk (berada dalam kebenaran).” ( Surah al Baqarah ayat 186 )

Justeru, semakin banyak kita berdoa, semakin banyak juga petunjuk dari ALLAH yang akan kita perolehi. Sebaliknya, jika kurang berdoa, maka dibimbangi kurang juga hidayah yang akan mendatangi.” Saya berhenti seketika bagi melihat reaksi jemaah di hadapan saya.

PILIHAN

“Tapi tak salah kan ustazah, kita meminta apa yang kita rasakan baik untuk kehidupan kita? Seperti doa tadi, supaya suami tidak beralih kasih daripada isteri dan anak-anaknya. Tak salah kan?” Wanita yang bertanya tadi meminta kepastian.

Buat kesekian kalinya, saya tidak terus menjawab. Saya hulurkan senyuman terlebih dahulu.

‘Hati wanita mana yang dapat menerima dengan mudah seruan poligami,’bisikan kecil menerjah ke dalam hati saya.

“Begini, saya tidak kata salah untuk berdoa sebegitu. Akan tetapi, Rasulullah SAW mengajar kita untuk istikharah iaitu pilihan yang dilakukan dengan mengikat setiap urusan atau perkara yang kita rasakan baik tersebut dengan kebaikan untuk agama, kehidupan dan urusan akhir kita, sebagaimana doa yang pernah diajar oleh baginda kepada sahabat melalui sabdanya yang bermaksud :

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-MU dengan ilmu-MU, memohon ketetapan dengan kekuasaan-MU, dan aku memohon kurniaan-MU yang sangat agung kerana sesungguhnya ENGKAU berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, ENGKAU mengetahui sedangkan aku tidak, dan ENGKAU yang mengetahui hal yang ghaib. Ya ALLAH, jika ENGKAU mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika ENGKAU mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut. ( Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1162 )

Melalui berdoa sedemikian, maka seseorang itu dapat melapangkan jiwanya dari apa jua keinginan peribadi yang berlandaskan hawa nafsu. Sebaliknya, urusan tersebut akan dipulangkan ke hadrat Yang Maha Mengetahui; kepada ilmu-NYA yang amat luas dan tidak terbatas.

Individu yang beriman dan menyerahkan urusannya kepada ALLAH, harus menyedari bahawa ada ketikanya, solusi yang dipilih oleh ALLAH SWT  untuk dirinya tidak selari dengan keinginan hawa nafsu atau pada tanggapan seseorang tersebut bahawa ia adalah sesuatu yang tidak baik bagi dirinya, lantaran hakikat kebaikan atau keburukan sesuatu itu hanya ALLAH jua yang mengetahui. Firman-Nya yang bermaksud :

“…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”  ( Surah al-Baqarah ayat 216 )

DOAKU PADA-MU TUHAN…

“Saya suka untuk mengajak sahabat muslimat semua untuk merenungi satu perkara agar kita insaf bahawa kita ini hanya hamba yang berada di bawah takdir-NYA. Kita mentadbir kehidupan ini dalam batas kudrat yang diberikan-NYA, tetapi ia tetap tidak dapat mengatasi ketentuan DIA Yang Maha Berkuasa.


Berbalik kepada soalan tadi, kita boleh berdoa agar suami tidak beralih kasih. Kita meminta bersungguh-sungguh pada ALLAH. Namun, tanpa kita sedar, di luar pengetahuan kita, ada wanita lain yang turut menadah tangannya, bermunajat penuh pasrah agar dikurniakan seorang suami yang soleh dan dapat membimbingnya di dunia dan akhirat. Antara dua doa tadi, dalam ilmu dan kehendak-NYA, ALLAH mengangkat doa wanita tadi sebelum doa kita sendiri dikabulkan dan lelaki yang ditakdirkan menjadi pendamping wanita tersebut adalah suami kita sendiri melalui jalan-jalan yang tidak pernah kita jangka.

Lalu, ada baiknya kita merendah diri ketika berdoa kehadrat Yang Maha Esa. Kepasrahan kita dalam menyerahkan untung rugi kehidupan kepada Yang Maha Kaya pasti tidak sia-sia kerana kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan ALLAH akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Saya tunduk menginsafi kata-kata sendiri, sambil hati berbisik :

Doaku pada-MU TUHAN agar KAU bimbing kami yang lemah ini, dan usah sesekali membiarkan kami menentukan urusan hidup kami sendiri, walau untuk sekelip mata pun…ameen, amen Ya Rabb.


 Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, In shaa ALLAH.


1 comment:

maryamsiddiqah said...

Salam ustazah.. saya suka membaca artikel2 ustazah.. cuma, izinkan saya utk berbeza pandangan pada topic berdoa ini. Mohon betulkan jika ada tersalah silap ye.

Saya berpandangan, doa adalah salah satu usaha seorang hamba kepada Allah, untuk dirinya (dan lain2), mengikut kesesuaian dirinya sendiri. Tak semua wanita/lelaki boleh menerima/berpoligami, hence poligami itu sendiri tidak wajib utk semua jenis muslimin/muslimat, kerana sifat Islam itu sendiri yang flexible, dan merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk kehidupan berumahtangga yg pelbagai.

Jadi, jika seorang wanita berdoa dan mengharap kepada Allah, supaya dirinya kekal didalam kehidupan monogami bersama suaminya, di dunia dan akhirat, dengan izin Allah. Adakah salah beliau meminta kepada Yang Maha Mendengar?. Itupun jika layak untuk masuk ke syurga Allah...

Mohon maaf ustazah jika ada tersalah tutur kata.

MS, ibu anak 3.