7 March 2014

SUAMIKU TAK ROMANTIK...



“Suamiku tak romantik...
Kerana jarang-jarang kuterima jambangan bunga... Tanda ingatannya..

Suamiku tak romantik...
Kerana sukarnya untuk dia mengutus sekeping kad berisi bicara puitis kasih dan mesra...
Suamiku tak romantik... 
Kerana tak pernah berguling-guling atas rumput memujuk isterinya... Berkeliling pohon rendang membuat kejutan istimewa... Berlari-lari mengejarku di taman bunga...

Suamiku tak romantik...

Kerana lafaz 'I love U' jarang benar meniti bibirnya...”

_________________________________________________________________


Pada saya, inilah tanggapan ramai wanita bergelar isteri yang jiwa mereka dianugerahi ILAHI dengan kaya emosi. Jika di awal pernikahan, romantis seorang suami begitu menyerlah, berpimpinan tangan kala berjalan berdua, menatap penuh mesra anak mata isteri tercinta, ucapan maaf dan terima kasih cepat terlafaz saat berbicara dan sebagainya, namun seiring berlalunya masa, dengan pertambahan tanggungjawab kepada keluarga suasana seperti itu mungkin sudah jarang-jarang kewujudannya. 

Ditambah pula, jika perbandingan demi perbandingan dibuat antara suami dan watak-watak penuh romantisme ‘suami idaman’ yang ditampilkan di kaca televisyen :

“Wah, bestnya heroin tu dapat jambangan bunga, surprise pula tu!”

“Alahai, romantiknya hero Hindustan ni..pantang kekasih hatinya menangis, cepat je dia menyeka airmata di pipi...so sweet..”

“Oh, lembut sungguh hati suami dalam drama ni, isteri yang salah, dia dulu minta maaf…bahagianya…”

Andai inilah neraca romantik yang didamba, mungkin ada yang semakin menjeruk rasa :

“Hmmm…suami saya tak begitu..bagai langit dengan bumi…” 

“Kalaulah abang cepat memujuk macam hero ni…alangkah seronoknya hati..” Keluhan demi keluhan mengenang nasib diri. 


HARAPAN

Sebagai seorang wanita, saya amat memaklumi bahawa belaian jiwa dari seorang suami yang dijelmakan melalui tindakan penuh emosi kasih dan mesra seumpama yang ditunjukkan dalam novel-novel cinta, filem dan drama TV menjadi harapan rata-rata wanita kerana ia tidak dinafikan, mampu memberi kesan dan ransangan yang positif terhadap keutuhan rumahtangga yang dibina.

Namun, dalam dunia hari ini, ketika tiada manusia yang sempurna serba serbi termasuk wanita bergelar isteri, kita perlu meluaskan jiwa agar tidak meninggikan harapan. Sebaliknya, harapan itu diusahakan menjadi satu kesungguhan untuk memberi; memenuhi komitmen agar saling memperbaiki, bantu membantu dalam meningkatkan ketakwaan kepadaNYA. 

Ini kerana, komitmen yang terisi penuh tanggungjawab oleh suami atau isteri dapat menjadi wadah terbaik untuk lebih berlapang dada menerima keadaan, sekaligus pada ketika yang sama memperjuangkannya ke tingkat yang lebih baik.

Ia juga mampu menghasilkan penyatuan jiwa yang membawa kepada ikhtiar bersama bagi menyempurnakan kekurangan yang ada. Ini dapat lebih menjamin kebahagiaan dari ‘perjuangan’ yang penuh dengan tuntutan semata-mata.


KACAMATA IMAN



Untuk itu, saya suka mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan isteri yang dikasihi, ada ketikanya, sifat romantik seorang suami itu telah lama ada; hanya sahaja kita yang kurang menyedari kerana kurang menghargai. Lantaran kewujudannya, bukan dalam bentuk yang kita inginkan tetapi ia hadir dalam cara yang kita perlukan. 

Sekiranya keadaan ini yang berlaku, maka kita perlu bimbang akan peringatan baginda Nabi Sallallahu’alaihi wasallam tentang wanita ( isteri ) yang memiliki sifar ‘kufr ‘aasyir’ sebagaimana sabda baginda :


رأيت النار فإذن اكثر أهلها النساء, قالت امرأة يا رسول الله ما بال النساء قال يكفرن قيل يكفرن الله قال يكفرن العسير ويكفرن العنة لو أحسنت إلى أحد هن الدهر ثم رأت منك شيء قالت ما رأت منك خيراقط

Maksudnya : “Aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Justeru, mari kita meneliti dan menilai romantik suami dari kacamata iman, iaitu seorang isteri yang sentiasa menginginkan kebahagiaan dan ketenangan di dalam rumahtangganya pasti akan berusaha mengerti, meneliti secara jujur dan yakin diri bahawa tanda-tanda cinta seorang suami terhadap isteri ada pelbagai sudut dan segi.

Kasih sayang, sama ada ia boleh diimplimentasikan dengan kalimah indah dan menyejuk jiwa, ia juga boleh dijelmakan dari perilaku yang baik, pandangan yang mendamaikan, juga sentuhan dan belas ihsan. 

Dan yang paling utama, peranan dan tugasnya sebagai ketua keluarga telah dilaksana sebaik-baiknya. Walau tanpa bicara pada banyak ketikanya, seorang suami itu cuba untuk menterjemahkan perasaan dalamannya yang dipenuhi rasa cinta dan kasih mesra terhadap isteri dan cahaya matanya dengan cara yang diyakininya. Sungguhpun cara ini mungkin kelihatan agak sederhana pada penilaian ramai wanita, tetapi ia tetap bernilai secara makna, lebih-lebih lagi kepada sebuah institusi keluarga.


SUAMIKU TAK ROMANTIK

Akhirnya, mari kita ubah ayat-ayat keluhan di atas kepada bicara berisi pujian yang menyubur cinta.


”Suamiku memang tak romantik.. Kerana...

Romantiknya dia tak persis hero Hindustan pujaan semua...

Romantik suamiku amat berbeza dari pencinta wanita dalam sinetron dan cerekarama..

Lantaran... 

Romantik suamiku adalah pada meneliti pakai dan gayaku sebelum menjauh dari penglihatannya... Agar dengannya aku menjadi seorang muslimah; 'afifah dan solehah...walau di mana aku berada..

Romantiknya suamiku... 
Pada senyuman, lawak jenaka dan pelukan eratnya setiap kali bertemu... Dengannya aku merasa begitu disayangi dan dihargai.. Hilang penat mengurus ragam anak-anak yang begitu begini...

Romantiknya suamiku...
Pada nasihat dan teguran... Agar aku tidak melewati batasan sebagai isteri dan ummi... Kerana katanya aku ini contoh ikutan anak-anak gadis kami...

Romantiknya suamiku...
Pada setianya dia di sampingku...menemani setiap kali rawatan mengandungku di klinik...Dan ketika berjuang melahirkan zuriat kami... tak pernah terlepas walau sekali....

Romantiknya suamiku...
Pada menyediakan keperluan selesa untukku dan permata hati tercinta...

Romantiknya suamiku…
Pada mendidik anak-anak dan mengatur peraturan...Agar mereka mengenal batas dan sempadan kebenaran...

Dan romantiknya suamiku... 
Walau lafaz sayang jarang diucapkan...Namun bicaranya tika aku keraguan : 
"Cinta kita cinta orang lama, namun segarnya masih terasa...."

Hanya Allah yang dapat membalas kebaikan dan kesungguhannya di dunia yang sementara hingga ke akhirat yang kekal di sana..



Alhamdulillah wa syukrulillah! 

Bukankah begini lebih molek? Semoga kita menjadi isteri-isteri yang mensyukuri kebaikan suami.

Jumpa lagi, in shaa ALLAH.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.


4 comments:

Ros Illiyyuun said...

Assalamualaikum :)

Menarik...

Selamat kembali ke dunia blog Kak Ina, dah lama menanti hidangan baru ni :)...Apapun terima kasih.

Noraslina binti Jusin said...

Waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh, Ros :))

Alhamdulillah 'ala kulli hal, jazakillah khairan dik. menambah semangat k ina untuk menulis lagi walau sedikit bertatih..

Norliney Ghazali said...

Assalamualaikum..
Salam perkenalan.. Nice topic! Sgt bermanfaat..

http://lineyghazali.blogspot.com

katy daud said...

Terima kasih. Menepati apa yg berlaku. Sgt kena dgn situasi.