BERJUANGLAH WAHAI ISTERI

“Ummi, tadi opah jatuh.” Kak ngah bercerita. Saya hanya menganggukkan kepala. Bukan tidak peduli, tetapi cerita itu telah lama saya maklumi. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali dalam sehari, wanita tabah yang digelar ‘opah’ itu terjatuh tanpa sengaja.

Salah mengatur langkah, mudah amat badannya yang kecil dan kurus itu jatuh ke lantai, tanpa dapat dikawal. Namun, tidak pernah saya melihat kesedihan dan riak kecewa pada wajahnya setiap kali menemukan adegan serupa.

Walau berulangkali dalam sehari.

Andai ada orang yang melihat keadaannya ketika itu, dia hanya tersenyum manis sambil berusaha bangun semula tanpa meminta bantuan apatah lagi belas kasihan.

“Kak ngah buat apa bila nampak opah jatuh?” saya bertanya setelah beberapa ketika.

“Mula-mula kak ngah tak tahu..tapi, masa kak ngah on the way ke dapur, kak ngah nampak opah atas lantai, she was trying to get up,” jawab kak ngah jujur.

Buat kesekian kalinya, saya hanya menganggukkan kepala bersama perasaan yang berbaur ritmanya.Simpati, kagum sekaligus menambah syukur ke hadrat Yang Esa. Ada sesuatu yang saya dapatkan dari sekian banyak pengalaman mendengar dan melihat sendiri peristiwa ini.

Ketabahannya menanggung ujian hidup. Kesabarannya meladeni ayahanda yang sudah tua, kesungguhannya mengambil hati anak-anak tiri dan cucu-cucu, semua itu membekas dalam diri saya sebagai seorang isteri dan ibu yang lebih sempurna berbanding dirinya.

MAK DE

Itulah yang saya dapatkan dari kehidupan insan berstatus bonda muda ( ibu tiri ), yang saya dan adik beradik lebih memesrainya dengan gelaran Mak De.

Rumahtangga yang dibina merupakan kali kedua buat ayah dan Mak De. Di pihak ayah, setelah pemergian bonda tercinta, manakala di pihak Mak De, setelah beberapa tahun kehilangan suami yang dikasihi. Pergi yang tidak akan kembali lagi.

Sepanjang tempoh pernikahan ayah dan Mak De, saya mengenalinya sebagai seorang yang ringan tulang, tidak banyak bercakap tetapi pandai mengambil hati. Air tangannya sedap serta kena dengan selera seisi keluarga, cekap menguruskan rumahtangga dan cukup disenangi oleh jiran tetangga.

Mungkin kerana Mak De berdarah Jawa, justeru kerajinan dan semangat kuat bekerja di kalangan rumpun ini yang rata-ratanya adalah juga ,merupakan jiran sebelah menyebelah rumah ayah di Felda Gedangsa sememangnya telah diketahui.

Lebih dari itu, sedikit sebanyak kehadirannya sebagai seorang ‘ibu’ mengubat rindu saya dan adik beradik kepada almarhumah bonda yang pergi setahun sebelumnya.

Namun saya menyedari, bukan mudah untuk seseorang yang sebelumnya dipandang sebagai ‘orang luar’ untuk menyesuaikan diri dan memahami anak-anak, menantu dan cucu-cucu tiri, terutama yang telah dewasa dan berkeluarga. Lebih-lebih lagi dalam keadaan diri Mak De yang sejak awal berkahwin telah pun menderita penyakit Parkinson.

Inilah antara ujian besar yang diterima dengan pasrah oleh Mak De, setelah ujian kehilangan dua insan yang disayangi iaitu suami pertama dan anaknya yang masih bayi.

Dia hadir di dalam kehidupan ayah dan kami adik beradik tanpa rezeki ‘orang baru’. Dia hadir hanya berbekalkan keyakinannya kepada kasih sayang ALLAH yang mentakdirkan segalanya.

NILAI DIRI

“Tak pernah sepatah pun Mak De korang tu mengeluh,” kata ayah sejurus saya bertanya keadaan Mak De.

Masih jelas tergambar tubuhnya yang bergoyang kuat ketika kami solat berjamaah bersama semalam. Namun, Mak De terus gagah berdiri pada setiap rakaat sehingga selesai memberi salam. Linangan airmatanya turut dapat saya kesan kala mengaminkan doa.

“Macam tulah Na keadaan Mak De kat rumah ni. Bila jatuh, dia bangun semula. Tak boleh buat apa dah. Ubat-ubat, dimakan. Berjumpa doktor juga dah selalu. Itu suratan untuk Mak De,” ayah menambah.

Saya diam. Sebak, terharu, kagum. Tidak surut, malah semakin bertaut.

Saya yakin, sesiapa sahaja yang pertama kali bersua muka dengan Mak De pasti tidak menyangka, pemilik tubuh berusia 54 tahun itu, walau dengan ketar dan menggigil, kerap tersadung, banyak ketikanya tersungkur tanpa sempat berpaut, Mak De masih mampu memasak, menyapu, membasuh, mengangkat kain, menggosok baju dan lain-lain tugasan rumahtangga setiap hari.

Biar berapa kalipun Mak De jatuh terjelepuk, baik di dapur, di bilik air atau di mana-mana sudut rumah, kewajipannya sebagai isteri tetap dilaksanakan sebaik mungkin. Dan, setiap kali berpeluang pulang ke kampung halaman, saya pasti merenung ke dalam diri saat melihat kesungguhan tangan kurus itu mengurus rumahtangga.

Walau dalam serba ketidaksempurnaan, keadaan itu tidak sama sekali menjadi alasan untuk Mak De menangguh-nangguh kerja, apatah lagi menyerahkan tanggungjawabnya kepada anak-anak tiri yang ada.

Semampu mungkin, Mak De sendiri yang lebih dulu ‘turun ke gelanggang’.

Pada saya, sikap inilah yang meninggikan ‘nilai’nya di mata kami adik beradik. Memang jika dilihat dari pandangan zahir, Mak De kurang dari wanita-wanita lain disebabkan penyakitnya itu, akan tetapi jika dinilai dari pandangan mata hati, Mak De tahu mengangkat harga dirinya di mata anak-anak, lebih-lebih lagi di mata ayah sebagai suaminya kini.

Ia sebagai contoh ikutan yang amat baik dalam meraih kebahagiaan rumahtangga.

BELAJAR DARI SEKITAR

Saya percaya dan meyakini bahawa di dalam hidup ini, andai sahaja seseorang itu membuka mata dan telinga seluasnya, dunia dan apa yang berlegar di sekitarnya sentiasa menyediakan ruang dan peluang untuk seseorang itu belajar, menambah ilmu dan seterusnya melonjakkan dirinya kepada satu lagi tahap untuk memperbaiki diri.

Apa jua yang dilihat dan didengarnya menerusi sisi positif sesuatu objek, individu dan suasana sekeliling, pasti mampu menjadikan dia seorang yang lebih baik dari sebelumnya .

Demikian juga dalam memaknai kehidupan berumahtangga. Sebagai seorang isteri yang menyayangi suami, dia pasti tidak akan menolak apabila disua tips-tips berguna untuk memperbaiki, memperbaharui, menyubur dan lebih membahagiakan lagi mahligai kasih yang dibina.

Walaupun, mungkin sebahagian tips yang diberi agak 'terkena ke batang hidung sendiri', tapi ia sebagai satu cabaran yang memacu peribadi seorang isteri agar menjadi 'somebody' di hati suami.

Pada saya, tidak wujud istilah ‘rugi’ bagi seorang isteri untuk menyahut cabaran agar menjadi seorang yang lebih baik pada hari ini dari semalam yang ditinggal pergi seterusnya berkesinambungan pula ikhtiar itu pada keesokan hari. Ini kerana, kemanisan pasti akan dirasai di setiap penghujung usaha insan yang mencari keredaan TUHAN nya dalam setiap nadi kehidupan.

Jika tidak di sini, di 'sana' pasti menanti.

Kerana itu, seperkara yang penting dalam menanggapi antara hak dan tanggungjawab sebagai seorang isteri ialah semestinya dia tidak terlalu memikirkan apa yang diinginkan, tapi lebih dulu memikirkan apa yang boleh dilakukan.

Sewajarnya seorang isteri yang solehah dan bertakwa, harus memenuhi fikirannya kepada dua perkara iaitu :

1) Bagaimana hatinya mampu bersih, tulus, dan bening sehingga tetap ikhlas melakukan apapun rutin rumahtangga.

2) Meningkatkan ilmu dan kekuatan untuk terus berbuat yang terbaik demi keharmonian rumahtangga.

PENINGGALAN RASULULLAH

Saya suka berkongsi kisah seorang wanita solehah yang sangat dikenali. Namanya tersenarai indah sebagai salah seorang dari empat wanita pilihan ALLAH sebagai yang terbaik di dunia. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"Empat wanita yang terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepda Firaun." ( Riwayat al Hakim )

Kecekalannya mengurus rutin harian rumahtangga hingga melecet kulit tangan, sakit dadanya mengangkat air, kotor bajunya menguli tepung untuk dijadikan roti dan hitam wajahnya memasak di dapur arang, sudah cukup menjadi contoh kepada wanita akhir zaman ini agar tidak terlalu beralasan dalam melaksanakan kewajipan.

Tidak terbayang sukarnya menggiling tepung dengan pengisar tangan berbanding pengisar eletrik ( blender ) yang ada di setiap rumah pada hari ini. Apalah sangat susahnya membersihkan lantai rumah yang berdebu menggunakan pembersih hampagas ( vaccum cleaner ), membasuh baju menggunakan mesin basuh automatik dan lain-lain lagi.

Berbanding wanita mulia ini, siapalah kita!

Namun, kesempitan hidup yang dilaluinya bersama keluarga, menyebabkan Fatimah terdetik di hati pada suatu hari untuk bertemu ayahandanya (Rasulullah SAW) dan memohon sedikit bantuan.

“Apalah kiranya andai Rasulullah mendoakan agar Allah memurahkan sedikit lagi rezeki buat kami sekeluarga.”Fikir Fatimah.

Sebaik tiba di rumah ayahanda tercinta, didapati si ayah tiada, lantas hasrat hatinya itu disampaikan terlebih dahulu kepada bonda tirinya, ‘Aisyah r.a. Lalu Aisyah segera menyampaikannya kepada baginda Rasulullah SAW sepulang banginda ke rumah. Mendengar itu, baginda keluar menuju ke rumah Fatimah dan tiba ketika Fatimah sekeluarga sudahpun mahu masuk tidur. Baginda bersabda :

“Tetaplah di tempatmu”. Lalu baginda duduk di tengah antara Ali dan puteri yang disayangi, dan bersabda :


(أَلَا أَدُلُّكُمَا عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ؟ إِذَا أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا أَوْ أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، فَكَبِّرَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَسَبِّحَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، فَهَذَا خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ)

Maksudnya : “Mahukah ayahanda tunjukkan kamu berdua kepada apa yang lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang pembantu? Apabila kamu berdua mendatangi katil, atau kamu berdua mengambil tempat tidur kamu berdua, maka bertakbirlah 33 kali, dan bertasbihlah 33 kali dan bertahmidlah 33 kali. Maka ini adalah lebih baik bagi kamu berdua daripada seorang pembantu.” ( Riwayat al-Bukhari )

Sesungguhnya inilah peninggalan Rasulullah SAW yang amat berharga buat semua wanita bertakwa yang menginginkan kebahagiaan akhirat mendepani keinginannya kepada dunia yang sementara.

BEBERAPA TIPS

Walaubagaimanapun, saya amat menyedari hambatan masa dan tanggungjawab yang pelbagai yang digalas para wanita dalam dunia moden hari ini, ada ketikanya menjadikan mereka kelelahan untuk melaksanakan rutin seharian.

Saya pernah diajukan persoalan bagaimana mahu mengatur masa dalam melaksanakan tugas sebagai isteri, ibu dan dalam masa yang sama bagi yang bekerjaya, turut perlu keluar bekerja. Bagi yang berbisnes, turut sibuk menguruskan perniagaan. Dan pada yang tidak bekerja pula, turut sibuk keluar masuk rumah menghantar dan mengambil anak dari sekolah di samping kerja-kerja rumah yang tidak pernah bernokhtah.

Ditambah pula, tanpa kehadiran pembantu rumah, semuanya perlu dilakukan sendiri, terutama jika si suami jarang-jarang dapat mambantu kerana kesibukan tugas dan tanggungjawabnya mencari nafkah serta berbakti kepada ummah.

Saya pernah membincangkan topik ini di dinding muka buku bagi mencari solusi yang dapat dimanfaatkan oleh semua. Hasil percambahan pendapat dan komen-komen yang diberikan, saya menyenaraikan beberapa tips berguna bagi memastikan urusan rumahtangga berjalan lebih lancar. Berikut adalah beberapa tips yang dapat saya kongsikan :

1) Bagi memudahkan kerja-kerja memasak, kisar bahan-bahan asas seperti bawang, halia dan cili untuk kegunaan seminggu. Bahan-bahan mentah lain seperti ikan, ayam dan daging boleh di’pack’ berasingan mengikut kekerapan menggunakannya dalam seminggu. Sayur-sayuran juga boleh siap-siap dipotong dan disimpan.

2) Rancang menu untuk seminggu dan beli bahan-bahan mengikut menu yang telah dirancang. Ini dapat mengelakkan pembaziran wang dan masa membeli juga dapat diminimakan sebaiknya.

3) Sebelum bertolak ke tempat kerja, alihkan bahan-bahan mentah yang akan digunakan pada hari itu dari tempat dingin beku ( freezer ) ke bahagian bawah peti sejuk. Ia memudahkan wanita yang bekerja, bila balik sahaja ke rumah, tugas memasak boleh terus diselesaikan.

4) Penyusunan jadual kerja mengikut prioriti juga boleh dilakukan bagi memastikan keberkesanan tugas. Mana yang dahulu, didahulukan, yang kemudian, dikemudiankan. Setelah itu, tandakan tugas-tugas yang telah berjaya dilaksanakan.

5) Jika boleh, membasuh baju, mengangkat dan melipat dilakukan pada hari yang sama. Bertangguh menyebabkan kain-kain baju akan ‘menggunung’ tingginya. Untuk mengurangkan beban menggosok, kedai-kedai dobi ada menyediakan perkhidmatan menggosok baju.

6) Memiliki gajet yang baik juga membantu kelancaran tugas rumahtangga. Laburkan sedikit wang untuk membeli pembersih hampagas, pengisar, mesin basuh dan lain-lain peralatan yang berkualiti.

7) Pembahagian tugas antara suami isteri dan anak-anak juga membantu meringankan bebanan dan isteri/ibu dapat fokus kepada tugasnya yang telah dipersetujui bersama.

8) Perbanyakkan doa dan memohon bantuan-NYA bagi menghadirkan kekuatan, kesabaran dan keikhlasan dalam melakukan rutin rumahtangga yang mencabar ini.

BERJUANGLAH WAHAI ISTERI

Untuk itu, berjuanglah wahai para isteri yang budiman. Seandainya kita tidak mengetahui kebaikan berbakti sebagai suri, nescaya kita menemukan betapa menjemukan rutin sehari-hari.

Seandainya tidak tersisip iman dihati nescaya akan terasa beban menjalankan semua ini. Seandainya tidak menggunung harapan kepada permata hati tercinta untuk tumbuh menjadi generasi soleh dan solehah, nescaya kita tidak akan sanggup menjalani hari-hari tanpa upah dan gaji.

Seandainya bukan kerana ingin meraih reda ILAHI, nescaya kita akan mensia-siakan bakti kepada suami. Dan, seandainya tiada bidadari syurga yang cemburu kepada isteri yang solehah, nescaya tidaklah seorang wanita itu bersusah payah.

Buat akhirnya, saya sajikan untaian sajak bertajuk : Mengenangmu Fatimah, buat renungan kita bersama.

Siapalah aku berbanding dirimu....
Tumbuh membesar dari tangan manusia paling mulia....
Bondamu tidak meninggalkan harta,
tapi khazanah peribadi yang sentiasa disebut-sebut sang nabi, ayahandamu nan tercinta....
Kerana itu, dirimu dan bondamu...
tergolong antara empat srikandi pilihan Yang Maha Esa...

Siapalah aku berbanding dirimu....
Maharmu bukan dari wang berjuta....
Cukup nilaian sebatang perisai menyatu cinta....
Episod rumahtanggamu masyhur bahagia...
Bukan kerana harta, tapi kaya jiwa....
Kau meniup obor semangat perjuangan...
Merawat luka ayahanda dan suami di medan peperangan...

Siapalah aku berbanding dirimu...
Ketaatan tidak berbelah bahagi kepada suami,
kesungguhan mengurus rumah sebagai suri,
Mendidik generasimu menyintai ukhrawi...
melebihi dunia dan segala isinya...
Walau kerana semua itu..tubuhmu letih dan lesu....
tidak pernah mengganggumu mengabdi diri
kepada Yang Satu....

Sungguh...siapalah aku berbanding dirimu...
Fatimah bintu Rasulillah...
menyusuri kisahmu, dan aku takjub
atas takdirNya,
kau teguk kepahitan di dunia ini....
untuk kemanisan abadi di akhirat nanti....
Aku tahu, sungguh tidak mudah 'menjadimu'
Kau suri tauladan buat aku wanita biasa....
Buat menjejak makna 'solehah' sebelum jiwa ini menuju Rabbnya.

Namun di sisi lain...
tenggelam dalam ceritamu, menjadikan mataku basah
“Syurga, rasanya masih jauh, sangat jauh..”

Hanya ALLAH SWT sebaik-baik penilai usaha kita…..

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


Comments

Mieza said…
Assalamualaikum Puan, terima kasih dan teruskan menulis, hasil tangan puan sangat dekat di hati. Alhamdullilah.
Salmi said…
Assalamualaikum..
Sayu juga hati bila baca.. Ketabahan dan kesabaran seorang yang bergelar isteri dan ibu. Bagaimana pula nasib kita nanti...
sophietarmizi said…
saya suka sangat entri ni....terima kasih kerana memotivasikan saya...:)
Unknown said…
Alhamdulillah....terima kasih atas tips dan peringatan yang kak ina berikan...
Sesungguhnya pengorbanan Saidatina Fatimah memang terlalu berharga jika dibandingkan kite insan kerdil di bumi Allah ni...beliau sangat tabah dan wanita mulia ini melahirkan zuriat keturunan yang terbaek. Semoga kite menjadikan beliau ikon muslimah sejati..Allahuakbar!
Ummuafiq Hashim said…
Moga kita semua jadi isteri dan ibu yang ikhlas... mohon share kat blog ye...
melatiblossoms said…
Kak Ina, love this so much, Terima kasih ukhti fillah...
Jasmin said…
Assalamualaikum Ukhtie...

perkongsian yang sangat menarik..

saya tertarik dengan ayat yang ini

"alam hidup ini, andai sahaja seseorang itu membuka mata dan telinga seluasnya, dunia dan apa yang berlegar di sekitarnya sentiasa menyediakan ruang dan peluang untuk seseorang itu belajar, menambah ilmu dan seterusnya melonjakkan dirinya kepada satu lagi tahap untuk memperbaiki diri"

terima kasih.
rosfazila said…
salam ya ukhtie

kagum dengan semangat dan ruh mak de.
ya wanita dijadikan hebat dan kuat, iman jadikannya lebih mantap, serulah kasih Allah moga senantiasa bertahta, untuk diteruskan kehidupan dengan redhaNya.

salam maulid ur rasul buat ukhtie dan smeua
Wan Syahida said…
Salam,

Saya suka sgt entry ni. Saya baca banyak kali bila nak cari kekuatan.

Teruskan menulis dan memberi ilham kepada para isteri.. Terima kasih ;)
nohim said…
as salam..

mohon pdgn dari ustazah yg dihormati utk rasa bahagia dan bangga mjadi surirumah? sdgkn sbnrnya saya mampu utk bekerja di luar dan pmegang ijazah master...?

tp mmnuhi kehendak suami yg lbih selesa saya yg mjaga sdiri ank2...

sgt kliru?...kdg2 rs sgt rendah diri, kdg2 rs bangga...

t.ksh byk atas respon/pdgn ustzh.
waniez said…
syukran atas artikel yg sgt bermakna, bnyak antara tips2 yg sudah & akan dipraktikkan! :) Mencari redha suami & Ilahi..insyaAllah.
Nursha said…
jakallahu khairan kathira

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA