KERANA SAYA SEORANG IBU

Cuaca petang itu agak panas. Sesekali sahaja angin sepoi-sepoi bahasa bertiup, membawa bersamanya rasa dingin yang cukup menyamankan. Saya, adik kembar dan dua adik yang masih kecil, sedang leka bermain masak-masak menggunakan bekas plastik dan sudu di dapur.

Dalam keasyikan itu, tiba-tiba, bagai terdengar derap tapak kaki seseorang menuju ke rumah.

Saya menjengahkan sedikit kepala, meninjau-ninjau ke luar. Dari mulut pintu dapur yang terbuka luas, saya melihat kelibat emak menyusuri lorong bersemak di belakang rumah. Langkahnya kecil-kecil tetapi pantas. Kelihatan wajah emak sedikit cemas dan agak tergesa-gesa berjalan.

“Eh! Kejapnya mak…dah selesai ke ’rewang’ di rumah Mak Cik Senah tu?” soal kak Eton yang masih di bangku sekolah menengah, kehairanan.

“Belum lagi….” Ringkas jawapan emak sebaik duduk di kerusi makan melepaskan lelah.

Saya juga tertanya-tanya. Rasanya, baru sahaja emak keluar ke rumah Mak Cik Senah membantu kerja-kerja memasak untuk hidangan kenduri esoknya.

“Habis tu, kenapa mak balik?” kak Eton melanjutkan tanya. Emak tersenyum manis.

“Mak ni cemburu orangnya,” luah emak dengan lirikan mata.

Saya perasan emak sedang memandang ke ruang depan. Kebetulan, abang sepupu yang tinggal bersama kami sedang tekun menelaah dan membaca buku. Oleh kerana jarak rumahnya yang agak jauh, juga peperiksaan SPM yang semakin hampir, menyebabkan ibu bapanya meminta keizinan ayah dan emak untuk menumpangkan beliau sebulan dua.


RISAU

Itu antara kenangan bersama almarhumah bonda yang tidak mungkin luput dari imbauan, dengan izin-NYA. Emak yang tidak begitu tinggi pendidikan dan pengajian, tetapi cukup prihatin memelihara adab sopan serta sifat malu pada anak-anak perempuan.

Bukan sekadar menjaga makan dan pakai, malahan cara duduk, bersimpuh dan menyidai ‘pakaian dalam’ diampaian juga turut emak perhatikan. Jangan sesekali ‘menampakkan’ sesuatu yang patut dilindungi dari menjadi perhatian orang lain terutama lelaki ajnabi. Jika tidak, meriah suasana di rumah dengan ‘zikir’ nasihat emak sepanjang hari.

Saya pasti, ramai bersetuju dengan kehebatan kasih seorang ibu. Rasa sayang yang tiada tandingan, bukan palsu. Cinta tanpa syarat yang dihulurkan demi memastikan kebahagiaan dan keselamatan anak-anak yang pernah dikandungnya selama sembilan bulan.

Perasaan itulah yang menyelubungi diri saya saat ini. Apatah lagi melihat ajaran Islam yang mulia semakin dimomokkan sebagai outdated. Ditambah pula ‘zon’ kelabu yang kian melebar, cukup membuatkan hati seorang ummi ini gusar.

Bukan sedikit tidur malam yang terganggu dek risau yang bertukar menjadi mimpi ngeri. Tidak kurang juga air mata yang tumpah saat menatap wajah mulus anak-anak selepas bercerita dan berbicara sepatah dua sebelum mereka terlena. Tidak terhitung rintihan kepada Yang Maha Esa, agar mereka sentiasa di bawah pemeliharaan-NYA walau di mana mereka berada.

Sungguh, jiwa ini bergelodak, tertanya-tanya.

‘Bagaimanakah suasana zamanmu wahai anak bila kalian dewasa kelak?’


MENGONGKONGKAH INI?

“Ha…dengar lagu apa tu?” Tegur saya tatkala mencuri-curi dengar kak ngah dan teman sekolahnya, Shahad yang datang berziarah, menyanyikan sebuah lagu barat dari laman Youtube.

“Ni lagu kat sekolah, ummi. Lagu ni tentang be strong, Miss Bodycote pasang untuk anti-bullying campaign di sekolah,” kak ngah menjelaskan. Mendengar itu, saya menganggukkan kepala.

Sejurus habis lagu tersebut diperdengarkan, Shahad segera mencari lagu-lagu lain yang lebih meriah dan rancak. Saya amati lirik yang berkumandang ke udara.

Baby, baby, baby ohhh..”

‘Hmm..ni mesti lagu cinta...’ saya berbisik sendiri.

“Cuba kak ngah pasang lagu sami Yusuf ke, Maher zain ke. Biar Syahad dengar,” saya menyarankan. Kak ngah segera menukar’haluan’. Lagu InsyaALLAH menjadi pilihan.

“Owh! This kind of song just make you cry, isn’t it?” rungut Shahad.

“Yea, of course..because it reminds you of ALLAH,” kak ngah mencelah.

Saya tersenyum. Namun, saban kali berdepan suasana begini, pasti terbit persoalan di hati : adakah saya ini terlalu mengongkong?


HANYA BIARKAN?

Melihat keasyikan generasi kecil ini menghayati lirik lagu yang tertera, terkenang seketika kepada usia remaja belasan tahun saya dahulu yang begitu teruja pada lagu-lagu cinta Melayu.

Tanyalah kepada sesiapa sahaja seusia saya ketika itu. Pasti kenal dengan lagu-lagu seperti, Sampai hati, Teratai layu di tasik madu dan Suci dalam debu.

Memang ‘melayu’!

Bak bahasa orang-orang muda, tangkap lentok! Sehinggakan sebahagian teman-teman yang terkena virus cinta monyet bagai mewiridkan lagu-lagu sebegini sebagai penyampai rindu dendam dan cinta yang membara di hati. Natijahnya, tidak kurang pelajaran yang terganggu. Cinta sementara yang entah ke mana haluannya diburu tanpa jemu, alasan demi alasan yang memenangkan nafsu dipalu.

Sedangkan, tidakkah ini sesuatu yang melalaikan? Bahkan, ia menjarakkan mereka dari mengingati tanggungjawab sebagai hamba-NYA dan tidak mendatangkan manfaat apapun kepada kemajuan iman? Ini belum lagi melihat corak pergaulan, penampilan fesyen dan arus penutupan aurat yang dikenakan oleh generasi Y.

Adakah sebagai ibu bapa kita hanya melihat sahaja atas alasan, kita juga pernah muda?


BAIK SANGKA ?

Jika benar, maka tidak hairan wujud orang tua yang memberikan peluang kepada anak-anaknya untuk meneroka dunia sementara ini seluas-luasnya. Membiarkan mereka mengikut arus semasa yang ada. Bila anak perempuan yang telah baligh tidak menutup aurat, si ibu dengan rela membela. Alasannya :

“Anak dara saya ni walaupun pakai ketat, tak tutup aurat, tapi solat dia jaga, mengaji al Quran dan puasa. Mungkin ini berkat doa saya setiap hari agaknya. Alah, ustazah yang pakai litup pun ada yang buat tak senonoh…”

Bila anak lelaki membawa keluar anak dara jiran tetangga berdekatan, si ayah dengan senang hati melepaskan. Alasannya:

“Saya dah kenal ibu bapa mereka. Lagipun, saya percaya pada anak saya. Dia takkan buat benda-benda yang saya tak suka.”

Situasi ini dihangatkan pula oleh teman-teman yang menabur kata-kata sokongan :

“Pedulikan je orang yang suka jaga tepi kain orang ni. Kita lebih kenal anak kita kan? Orang sekarang ni ramai yang berfkiran sempit sangat, tak terbuka. Tak sedar, dia sendiri pun buat dosa.”

Sikap seumpama ini diatasnamakan pula sebagai understanding dan toleransi sehingga dengan senyum dan yakin ibu bapa ini berkata :

“Ye, betul tu. Alah…sampai masa nanti, mereka akan dewasa, lebih matang dan menjadi manusia yang lebih baik. Kita dulu macam tulah juga…”

Inikah yang dinamakan baik sangka ibu bapa?


LETAKKAN SEMPADAN

Mengapa mesti membiarkan anak-anak melakukan kesilapan yang sama yang pernah kita sebagai ibu bapa lakukan dahulunya?

Memang tidak salah melepaskan anak-anak terbang meneroka alam yang luas, akan tetapi letakkan sempadan dan batas. Hulurkan kata-kata pedoman sebagai panduan. Pertahankan kewajipan yang mesti, dan berikan alternatif pada keharusan yang diberi ILAHI.

Jangan kerana ingin membela anak sendiri, perintah TUHAN di’anaktiri’.

Pada saya, ada tiga perkara yang sangat perlu kita fahami sebaiknya :

1) TUHAN yang memiliki rasa malu untuk tidak menghampakan permohonan hamba-hambaNYA, adalah juga TUHAN yang mengungguli rasa cemburu atas setiap perlakuan hamba-hambaNYA yang melakukan dosa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya ALLAH cemburu dan seorang mukmin juga cemburu. Kecemburuan ALLAH adalah jika seorang mukmin melakukan apa yang dilarang-NYA.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

2) Iblis yang melata di sekeliling manusia dan mengajak kepada maksiat pada Yang Maha Esa, adalah juga iblis yang pernah menjerumuskan seorang ahli ibadah sehingga tersungkur di pintu neraka ALLAH!

Ia berusaha tanpa jemu. Ia bekerja tanpa putus asa kerana kesabarannya mengatasi kesabaran kita untuk taat, mendepani ketabahan kita menjauhi maksiat. Dengarkanlah sumpahnya ini :

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِي لأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Maksudnya : Iblis berkata, "Ya Tuhanku, oleh kerana ENGKAU telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya" ( Surah Al Hijr ayat 39 )

3) Nafas yang ada ini entah bila akan berpenghujung tarikannya. Andai kita sempat melalui umur tua, bertaubat dari segala dosa serta berazam tidak mengulangi silap ketika muda, adakah kita yakin, anak-anak kita juga akan punya kesempatan untuk melalui proses yang sama?

Sedangkan hayat ini, bukan kita yang menentukan panjang pendek tempohnya, ia tertakluk pada qudrat dan iradat Yang Maha Kuasa. Hanya DIA Yang Maha Tahu, antara 'pucuk muda' dan 'daunan tua', siapakah bakal pergi lebih dulu.


KERANA SAYA SEORANG IBU

Saya hanya dapat menegur dan menasihati anak-anak sendiri ketika keberadaan mereka. Sementara ketika tidak bersama, orang di sekitarlah yang saya harapkan untuk membantu. Impian murni di hati ini, agar masyarakat terutama mereka yang bergelar ibu bapa di luar sana dapat menjadi ‘mata, telinga dan mulut ’ terhadap perilaku anak-anak saya di luar lingkungan rumahtangga.

Andai melihat anakanda saya melakukan kesilapan, mereka akan membetulkan dengan sopan.

Bukan menyebar umpatan.

Andai mendengar anakanda saya mengeluarkan kata-kata yang tidak baik, mereka akan mendidik.

Bukan mengherdik .

Akan tetapi, akan terlaksanakah harapan ini?

Jika cahaya mata sendiri tidak mereka risau, inikan pula anak orang lain, terlebih tidak mereka hirau.

Akhirnya, saya kembali melihat ke ‘dalam’ diri. Mengumpul kekuatan sambil merenung keputihan awan. Bagai ada bisikan yang memujuk :

“Jangan jemu mengetuk ‘pintu’ langit TUHAN-mu. Dahulukan baik sangka pada-NYA, berusahalah tanpa rasa putus asa dan berdoalah penuh harap terhadap bantuan-NYA.”

Sesungguhnya, tiada sebab lain yang menolak gelodak jiwa ini hingga terluah menjadi tinta. Hanya satu :

"Kerana saya seorang ibu….."


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


Comments

Misty Melor said…
bermacam perasaan apabila menjadi ibu yaa...

begini agaknya perasaan ibu ana..

syukran ukhti.. berkongsi kisah... ana harap rezeki ana dimurahkan.. teringin ana menjadi ibu :)
Nadrah Yusra said…
teringin jadi ibu.... =)
picairin said…
penulisan pengalaman yang berguna untuk panduan akan datang...i love ur writing ustazah...=)))
masyaAllah..sungguh!saya terkesan dgn kata-kata ustazah w/pun belum bergelar ibu..saya juga selalu terfikir,bagaimana zaman bakal-bakal anak saya kelak?zaman ini sudah banyak halangan yg mempesonakan dr membutakan iman seseorang itu..
bagaimana saya ingin mendidik anak saya kelak?gusar memikirkan..terima kasih atas perkongsian yang menyedarkan saya..
Liyana Mujahid said…
assalamualaikum.
ustazah, sy nak bertanya.
benarkah hanya seorang ibu yg dpt menyelami hati ibu?
sebagai seorang anak, sy benar2 harap dapat menyelami hati bonda.
tapi org selalu berkata: 'dah jadi ibu baru tahu apa yg ibu rasakan'.
Allah...beginikah jiwa nurani seorang ibu...syukran ustazh perkongsian yang penuh ilmiah dan penghayatan hati...moga saya bakal menjadi ibu yang sejati...insyaallah
change said…
salam
saya mohon share di fb saya ye
Ummuafiq Hashim said…
memang hati ibu tak pernah tenang dari merisaukan keselamatan anak2nya dunia akhirat..
ALLAH saja yang tahu dan ALLAH saja yang mampu membantu.
Umm Najiyya said…
terima kasih k ina :-) teruskan menulis tentang pendidikan anak2 khasnya.. saya jadikan ia sebagai salah satu rujukan utk mendidik najiyya
perihal anak2 kena ambik hal dengan teguran jiran2.... untuk kebaikan anak2....
Nisha said…
assalamualaikum semua,
Menitis air mata bila mengenangkan anak-anak tambahan pula akak baru kehilangan suami(telah bertemu Penciptanya). Memang amat sukar menjadikan mereka seorang muslim sejati. Alhamdulillah akak terus berada di medan perjuangan. sekarang sayalah ibu, sayalah bapa dan matlamat akak hanya satu, menang(berjaya mendidik anak-anak) atau syahid(mati dalam perjuangan). ameen.
idah azim said…
salam ustazah..tepat apa yg ustazah luahkan..bila menjadi ibu, inilah perkara yg paling merisaukn... semoga sy juga diberi kekuatan spt ustazah...terlalu amat risau hati ini memikirkn zaman anak kelak pula mcmn..teruskan menulis ye ustazah... bc setiap tulisan ustazah terasa bagaikan ada teman suka duka..wlu kita x penah bersua muka. Alhamdulillah :)
Unknown said…
ustazah.. bila jadi ummi, mcm2 yang terfikir2.. kdg2 teringat salah2 sendiri dan risau anak2 akan ikut jejak kita semula....


hari2 berdoa.. skrg baru faham kenapa mak kita slalu bising2...
UMMU NUH said…
Dalam usaha mendidik anak-anak, sentiasa berusaha untuk meletakkan cinta Allah dalam hati mereka..walaupun diri sendiri masih terus berusaha untuk itu..antara tulisan yang turut membuka mata hati dalam mujahadah meletakkan Dia di hati:
http://genta-rasa.com/2010/03/25/di-mana-dia-di-hatiku/
Makbonda61 said…
"ibu,ibu engkaulah ratu hatikau"


Layakkah kita diletak dimakam itu?
Mama Marcello said…
TQ k.ina....moga pengalaman dan pesanan k.ina dpt beri sy tunjuk ajar dlm mendidik anak2 nnt..
insyaAllah kurang dr 3bln lagi sy juga akan bergelar seorg IBU...
nhhas said…
Assalamualaikum wbt,

Kak Ina, kalau boleh dikongsikan some writings atau guideline with the scope of "entertainment in islam?"
atie said…
salam

Ibu bapa saya juga ada sikap cemburu kpd anak2 itu membuatkan saya juga bersikap begitu agaknya... pada saya mengongkong anak tu perlu sebab mereka adalah amanah dari Allah kpd kita..... tiada perkataan terlalu naif menjadi ayah dan ibu kalau mengongkong anak..... tapi kalau ibu bapa sendi tak suka di kongkong bagai mana pula anak2 tepuk dada tanya selera............
semut merah said…
Salam,

Terima kasih atas penulisan ini. Memiliki anak2 yg meningkat usia remaja sememangnya merunsingkan..bimbang mereka tidak kebal iman kerana kurang ilmu, bimbang mereka lalai kerana pengaruh rakan..bimbang mereka terjebak dengan kegiatan yg tidak bermoral dan sebagainya..Hanya DOA dan DOA dan DOA serta leteran peringatan serta kasih sayang yg menggunung - Hanya Allah yg dapat melindungi mereka..

Semoga penulisan ukhti membuka mata masyarakat dan membawa 1000 kebaikan. Ingat mengingatkan atas nama kasih sayang..Insyallah.
Kaktiny said…
As Salam kak ina..

ya.. saya juga berperasaan sedemikian.. juga menginginkan masyarakat yang mampu menegur dan melarang anak2 saya dengan hemah dan amanah... beralun rasa rindu dan cemburu, risau dan gusar.. doa sering dibibir, tangan sentiasa menadah mengetuk pintu langit Allah.. tanpa jemu..

BENAR.. saya merasakan rasa-rasa itu..

.....kerana saya juga seorang ibu..

Ya Allah.. dengari doa kami.. para ibu-ibu ini.. ameen.
Unknown said…
Salam ta`aruf,
k.ina,tq atas perkongsianni,artikel yang sangat bagus..saya yang masih lagi belum kahwinni pun sangat risau dengan generasi anak2 saya akan datang...dengan dunia yang penuh pancaroba skrangni...mampukah saya mendidik anak2 saya mengenal & mengamalkan islam yang indah itu sendiri..penulisan k.ina ni sungguh menyentuh hati nurani bagi mereka yang manghalusinya..insyaAllah,teruskan melakar pena akak,masih ramai mak ayah yang perlu di buka mindanya di luar sana..saya meminati penulisan akak...semoga saya terus dapat mengutip mutiara2 yang berharga dari akak as a mujahidah,anak,isteri & ummi yang patuh & taat kepada agamaNYA...insyaAllah
hafizmohd.com said…
Assalamua'laikum Ummu Husna.

Alhamdulillah. Satu pengisian yg cukup bermakna buat saya di pagi hari ini. Saya cukup cukup gusar memikirkan bgaimanakah zaman yg akan dilalui oleh anank2 saya nanti.

Akhirnya, kegusaran itu sedikit reda bilamana saya membaca titipan ayat ini "Jangan jemu mengetuk ‘pintu’ langit TUHAN-mu. Dahulukan baik sangka pada-NYA, berusahalah tanpa rasa putus asa dan berdoalah penuh harap terhadap bantuan-NYA.”

Serta merta air mata laju mengalir mengingatkan yang Allah itu sentiasa ada utk kita.

Semuanya hanya kerana "saya seorang bapa"..

Terima kasih Ummu Husna
nhhas said…
Assalamualaikum wbt...
kak ina, sorry, saya lagi :)

nak tanya, akak atau pembaca yang lain,

1. Hadis ne diriwayatkan oleh siapa?
"Sebaik-baik dikalangan kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya".

2. Surah pertama yang diturunkan adalah Al-Alaq (kalau tak silap saya lah), tapi kenapa dalam Al-Quran disusun dimulakan dengan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Al-Baqarah dan seterusnya...

kalau ada info tentang ne, harap ada yang sudi berkongsi...
terima kasih banyak
shee said…
assalamualaikum wbt..
menitis air mata ana mengenangkan bonda di kampung. telah banyak air mata bonda mengalir kerana ana. tak terbalas jerih perih bonda melahirkan, membesarkan dan mendidik ana hingga anakmu dewasa kini...
Unknown said…
Assalamualaikum...
Sesungguhnya apa yg ditulis adalah benar..dan saya sebagai seorang ibu sangat risau....sentiasa berdoa kepada Allah semoga saya diberi petunjuk bagaimana nak mendidik anak-anak saya mengikut jalan yang benar.
Mengikut perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya...kita berusaha keras di rumah dan berserah kepada Allah apabila anak2 di sekolah....
semoga kita semua dilindungi Allah...dan dapat melahirkan generasi yg soleh/solehah...insyaallah...
Amoi Ida said…
Terima kasih kak Ina..

Rasa sebak pula bila nak beri komen..

Teringat dulu2 selalu buat ibu menangis..kadang2 rasa kasih-sayang tak sama rata..malas tolong didapur..dan sebagainya..kalo bole undur masa mmg Ida tanak buat semua tu..nak jadi anak solehah betul2..tapi bila dah kawen dan ada anak baru sedar apa yg ibu buat semua ni kerana dia syg kat kita..

Cuba bayangkan..seekor nyamukpun seorang ibu tak izinkan melekap kat kulit anaknya..bila terlelap tidurkan anak, sanggup berjaga semula semata2 nak pastikan tempat tido ada nyamuk ke tak..ada semut tak..kipas perlahan ke kuat sangat ke..padahal menda tu remeh je..bayangkan macamana perkara yg lebih berat lagi..sudah tentu bertambah remuk bila anak yg dikandung, dilahir dan dibesarkan membuat onar..

Memang Ida setuju, HANYA YANG SUDAH MENJADI IBU sahaja yang boleh memahami naluri seorang ibu..sebab kita merasai sendiri bagaimana mengandungkannya..kemana2 bawa je kandungan tu..melahir dgn penuh kepayahan..dan membesarkan dgn penuh pengorbanan...berjaga malam bila anak sakit...kdg2 mengalir air mata bila tak mampu nak kawal kemarahan kpd anak2..

kalo nak berkongsi perasaan sbg ibu mmg tak penah selesai dan takkan cukup..bersyukurlah bg sesiapa yg masih mempunyai ibu, mereka diberi kesempatan utk berbakti lagi..walopun ibu itu ada kekurangannya tapi takkan dpt dibalas jasa yg dia curahkan buat kita anaknya...
Ana Ibrahim said…
Assalamualaikum Ummu Husna,

Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi di atas bait-bait tulisan yang begitu menyentuh hati dan perasaan insan-insan yang bergelar ibu.

Hanya setelah bergelar ibu, barulah seseorang individu itu dapat merasai dan menyelami hati, perasaan, kesedihan, kedukaan, kerisauan, kegembiraan seseorang ibu.

Begitu besar pengorbanan seorang ibu untuk sesebuah keluarga dan hanya Allah S.W.T saja yang mengetahuinya.

Sayangi dan kasihanilah ibu-ibu kita sewaktu masih ada hayatnya kerana dia seharusnya menerima layanan yang terbaik dari kita.

Kak Ana
Sungai Petani
www.rianaibrahim.blogspot.com
UMMU NUH said…
Amat membimbangkan generasi kanak-kanak kini. Pernah kawan menceritakan bahawa ketika dia mengajar kelas KAFA darjah satu, ada beberapa orang budak lelaki dan perempuan main kejar-kejar.. Yang lelaki ni bila dapat kejar yang perempuan dipeluk & diciumnya yang perempuan tu..Kelas jadi bising dengan jeritan dan tawa mereka. Lalu kawan saya ni jerit kuat-kuat: "NI MAIN APA NI?!" Kanak-kanak yang masih jahil lagi kurang akalnya menjawab spontan: "Main rogol-rogol". Ya Allah saya yang mendengar pun terkejut. Dia cerita masa tu dia beristighfar panjang..pastu dia pun bagi ceramah sikit, cakap pada anak-anak muridnya pasal dosa pahala. Benda macam ni salah. Jangan Main mcm tu lagi.. Lelaki & wanita kena ada adab.. Jangan bebas bergaul.. Tapi dia pun tak tahu, entah faham ke tidak budak-budak tu.. moralnya; kita kena perhatikan betul-betul anak2 kita..media massa kena tapis..apa yg didengar, dibaca& dilihat oleh mereka yang mungkin belum mumayyiz amat membahayakan rohani mereka..wAllahul musta'an..
benar.. sentiasa lah berbaik sangka dengan Allah.. sesungguhnya Dia lah sebaik2 penjaga kepada kita & anak2..
anak2mama said…
assalamualaikum. salam ukhuwwah buat ummuhusna dan ummahat yg dikasihi. Benar sekali bahawa bila kita menjadi ibu sifat cemburu tu kena ada. Bila menegur anak2 esp yg remaja jgn lupa berikan alasannya.Kita sewajarnya mengingatkan diri kita dan juga anak2 bahawa ALLAH itu sentiasa melihat hatta dlm hati sekalipun. mengetuk pintu Illahi dgn doa adalah sebaik2 cara ,kerana hati2 manusia adalah milikNya. Pohon padaNya Agar dipelihara kita dan zuriat keturunan kita dr pergaulan bebas,zina ,mendedahkan aurat dan segala macam maksiat.
ummu uswah said…
hanya yg menjadi ibu yg memahami perasaan si ibu kerana tahu dan rasa itu berbeza.
hitammanis said…
assalamualaikum, saya juga seorang ibu kepada 4 org cahaya mata. amat bimbang dgn masalah sosial zaman kini. ada terfikir, bagaimanakah keadaan di zaman mereka dewasa nanti? masyaAllah....takut utk dibayangkan, cuma didikan agama dan doa yg dpt seorang ibu berikan kpd anak2 tersayang selagi hayat dikandung badan.insyaAllah.
cik_i said…
Salam mohon share di fb =)
Syukran
Jazakallahukhairo

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA