ANTARA MALU DAN MAHU


Gambar demi gambar saya tatapi. Dengan pelbagai gaya dan berencam warna, terdapat lebih seratus foto silih berganti mengambil ruang pada skrin komputer.

Tidak sukar, tidak perlu menyelak lembar demi lembar. Hanya menekan mouse di bahagian kiri, keseluruhan foto-foto yang ada dapat saya lihat sepuasnya. Jika ingin mengulang tatap, teruskan sahaja menekan, pusingan gambar akan terus beredar. Satu demi satu.

Saya akui, kesemuanya cantik, comel dan ayu. Sememangnya, mereka gadis-gadis yang bertuah kerana memiliki kecantikan wajah. Mungkin kerana itu, mereka berusaha menampilkan gambar dalam pose terbaik dan tercantik untuk beradu nasib dalam pertandingan menggayakan tudung itu.

Akan tetapi, jauh di sudut hati, saya sedih dan gundah.

Bagai ada sesuatu yang terbuku di dada saya rasakan, tetapi tidak terluah.

Saya melanjutkan pandangan mata pada komen-komen yang bertemali di bawah setiap gambar. Ada kata-kata pujian serta pujuk rayu agar gambar mereka diundi. Gulana saya bertali sehinggalah saya menemukan komen dari seorang lelaki di bawah foto seorang gadis berpakaian t-shirt panjang tetapi agak ketat, bertudung kepala yang tidak cukup melindungi dada dengan legging hitam menutupi kakinya :

“Ini bukan hijab.”

Kata-katanya itu, disambut satu pertanyaan :

then what?”



KEGHAIRAHAN
Saya yakin, sudah terlalu banyak peringatan dan nasihat yang diberikan tentang muslimah dan gambar. Dan saya pasti, gadis-gadis yang menyertai pertandingan tersebut juga ramai yang telah sedia maklum tentang batas sempadan untuk gambar-gambar indah mereka dipertontonkan.

Sayangnya, keghairahan mempamer gambar masih tidak berkurang, malah ia kian menjadi-jadi. Perlumbaan demi perlumbaan diketengahkan. Tidak cukup dengan televisyen dan majalah, saluran internet menerusi laman-laman sosial menjadi sarana efektif yang melebarkan pesona muslimah.

Situasi Ini ditambah lagi dengan kemunculan kerjaya dan hobi yang dijalankan secara full-time atau part-time, yang banyak berasaskan kepada elemen kecantikan, dandanan dan paparan wajah seperti model busana muslimah, jurumekap dan jurugambar ( photographer).

Permintaan dari pasangan raja sehari untuk mengabadikan momen bersejarah dengan pelbagai aksi dan sisi juga tidak kurang hebatnya terutama ketika musim cuti sekolah di mana banyak majlis resepsi dan perkahwinan diadakan.

Tidak mengapa andai ia sekadar untuk simpanan peribadi dan tatapan kaum keluarga semata-mata, akan tetapi bila ianya dikongsi untuk tatapan umum di laman maya, maka sudah pasti ada keburukan tanpa sedar tercipta darinya.


HIKMAH YANG HILANG
Melihat perkembangan kurang sihat ini, saya sangat kecewa. Terlalu ramai di kalangan wanita Islam hari ini yang turut terkena tempias obses kepada kecantikan dan menyebarluas keindahan yang sewajarnya diperlihatkan hanya kepada yang halal.

Mereka menamakan tabarruj sebagai hijab dan menamakan maksiat sebagai ketaatan. Bukankah ini sangat tersasar? Kerana itu, saya membenar dan menegaskan komentar dari seorang lelaki di atas bahawa :

”Ini bukan hijab!”

Hakikatnya, semakin galak golongan muda belia ini mempertontonkan kecantikan, maka semakin sirnalah hikmah dan pesona kebaikan dari tujuan menutup aurat ( hijab ) yang sebenarnya sebagaimana yang diwar-warkan oleh syari’at yang mulia.

Antaranya :

1) Hijab itu adalah pesona kemuliaan ( ‘iffah ). Ia bertindak sebagai benteng yang kukuh untuk menjauhkan seorang gadis dari maksiat, gangguan lelaki jahat dan seterusnya meninggikan darjat kemuliaannya di tengah-tengah masyarakat.

Inilah yang menjarakkan darjat kemuliaan antara muslimat mukminat dan wanita-wanita jahililiah kerana wanita jahiliah, tatkala keluar dari rumah, mereka ingin tampil berbeza dan lebih dari wanita yang lain. Pujian dan sanjungan adalah matlamat utama terutama dari lelaki-lelaki yang tertarik dengan kejelitaan dan keindahan mereka.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud :

“Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak akan diganggu.” ( Surah Al-Ahzab ayat 59 )

Ingin juga saya kongsikan satu riwayat menginsafkan berkenaan muslimat mukminat di zaman Rasulullah SAW.

Dari Safiyah binti Syaibah, beliau berkata: “Ketika kami bersama Aisyah r.a, Aisyah berbicara : “Aku terkenang akan wanita-wanita Quraisy dan keutamaan mereka.” Lalu Aisyah melanjutkan : “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki keutamaan, dan demi ALLAH, aku tidak melihat wanita yang lebih percaya kepada kitab ALLAH dan lebih meyakini ayat-ayat-NYA melebihi wanita-wanita Ansar. Ketika turun kepada mereka ayat: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya.” ( Surah An-Nur ayat 31 ), maka para suami bersegera mendatangi isteri-isteri mereka dan membacakan apa yang diturunkan oleh ALLAH kepada para muslimah. Mereka membacakan ayat itu kepada isteri, anak gadis, saudara perempuan dan kaum kerabat. Dan tidak ada seorangpun di antara wanita itu kecuali mereka semuanya segera berdiri mengambil kain tirai dan menutupi kepala dan wajah mereka, lantaran percaya dan beriman kepada apa yang diturunkan ALLAH dalam kitab-NYA. Sehingga mereka (berjalan) di belakang Rasulullah SAW dengan kain penutup seakan-akan di atas kepala mereka terdapat burung gagak.”

2) Hijab itu adalah pesona kesucian hati. Peranan ini diiktiraf sendiri oleh ALLAH SWT kerana dengan ‘hijab’ yang benar, ia mampu melindungi pemakainya dari dilihat oleh lelaki secara tidak wajar seterusnya meleburkan keinginan-keinginan syahwat yang mungkin timbul dari pandangan mata tersebut. Dengan ini, mata yang ter’hijab’ dapat menjamin kesucian hati pemiliknya dan orang-orang yang berurusan bersama mereka. Inilah manfaat yang boleh difahami dari Firman ALLAH SWT yang bermaksud :

“Apabila kamu meminta suatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.” ( Surah Al-Ahzab ayat 53 )

3) Hijab itu adalah pesona akhlak. Muslimah yang baik dan bertaqwa adalah muslimah yang mendahulukan malu dari mahu untuk mempamer foto-fotonya yang indah itu. Tindakan ini bukan sekadar dapat menjaga imannya dari diganggu, malahan ia telah menyelamatkan iman para jejaka dari dirobek gejolak nafsu, juga iman para muslimah lainnya dari cemburu melulu.

Selanjutnya, bila keimanan masing-masing terpelihara, maka ketinggian akhlak juga akan turut terus melata. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Malu dan iman itu bergandingan bersama, bila salah satunya diangkat maka yang lainpun akan terangkat.”


BEAUTY AND THE BEAST
Melihat kepada obsess muda mudi kini kepada kecantikan, saya teringat kepada satu rancangan dokumentari bertajuk : Beauty and the beast: ugly face of prejudice, yang baru saja ke udara baru-baru ini menerusi satu saluran televisyen di UK.

Siri ini mengenengahkan investigasi tentang perbezaan dua individu yang ditakrifkan oleh cara mereka menanggapi, melihat dan menilai sesuatu.

Episod pertama rancangan ini menampilkan Leo, seorang lelaki di awal usia 60 yang memiliki wajah, tangan dan kaki kiri yang cacat akibat kebakaran sewaktu berumur 14 tahun, manakala seorang lagi ialah Yasmin, seorang gadis di awal usia dua puluhan yang terlalu obses dengan kecantikan. Hampir 40 hari setahun, iaitu lebih dua jam sehari masanya diperuntukkan di hadapan cermin. Ribuan pound juga dibelanjakan sebulan hanya untuk membeli peralatan solekan.

Sebelum keluar, wajahnya yang sedia jelita dioles sesempurna mungkin agar dapat berhadapan masyarakat dengan wajah tidak polos tanpa warna.

Berbeza dengan Yasmin yang sangat teruja melakukan apa sahaja demi kecantikan agar dapat tampil mempesona seperti selebriti dan artis ternama, Leo sebaliknya sangat menentang pembedahan plastik untuk tujuan kosmetik. Menurut Leo, secara khususnya seorang wanita sanggup menekan dirinya sendiri untuk cuba meniru kesempurnaan fizikal yang banyak ditampilkan di media. Dan inilah yang sedang dialami oleh Yasmin, seorang ‘penagih’ kecantikan paras rupa.

Di akhir rancangan, dengan bantuan Dr. Laxmi Kathuria, seorang pakar psikiatri yang mengkhusus kepada citra tubuh, Leo dapat menjeroka alasan sebenar di sebalik keghairahan Yasmin.

Perbualan demi perbualan dari pengisian masa bersama Leo, menyedarkan Yasmin bahawa kecantikan bukanlah segalanya kerana ia tercerna dari persepsi yang diinginkan oleh masyarakat ramai. Sedangkan kecantikan asli yang ada sepatutnya sudah cukup untuk dihargai dan lebih membebaskan dirinya dari menyia-nyiakan masa, tenaga juga wang ringgit untuk memenuhi persepsi massa.

Leo yang telah berkeluarga dan ayah kepada tiga cahaya mata juga berjaya membuka mata Yasmin bahawa pasangan yang baik adalah yang boleh menerima dia seadanya kerana sikap positif dan nilai hidup yang baik lebih diperlukan untuk kelansungan perhubungan yang bahagia.


SECARA ZAHIR
Untuk apa gadis-gadis muda remaja itu melakukan hal tersebut hanya mereka yang dapat menjawabnya. Pada saya, untuk menelah atau meneka-neka niat dan tujuan yang tersembunyi di dalam hati seseorang bukanlah sesuatu yang dituntut untuk dilakukan oleh mana-mana muslim/muslimah yang berusaha mencapai taqwa, lantaran Rasulullah SAW sendiri menetapkan sesuatu hukum berdasarkan apa yang didengar dan dilihat oleh zahir mata sahaja sebagaimana penegasan baginda menerusi sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain: Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )

Hadith di atas jelas menunjukkan bagaimana sikap seorang hakim ( dalam Islam ) melaksanakan hukum, iaitu berdasar kepada info dan bukti zahir yang diberikan.

Demikian juga dalam masalah penyebaran gambar-gambar muslimah menutup aurat tetapi masih bersolek cantik dalam gaya yang kurang manis. Insafilah, bahawa dengan penonjolan dirinya itu, setiap lelaki yang melihat dengan syahwat akan memperoleh dosa.

Sedang di pihak si gadis jelita, dia bukan setakat mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan mempamerkan diri setiap hari.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya..” ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )


ANTARA MALU DAN MAHU
Sungguh pilu memikirkan betapa Rasulullah dan para sahabat dahulunya bermandi keringat dan darah demi mempertahankan maruah Islam termasuk adanya peperangan akibat cemburu atas seorang wanita dan untuk menjaga kehormatannya.

Kini, muslimah sendiri yang mengurangi nilai diri mereka dengan berlumba-lumba menyertai pertandingan kecantikan demi meraih gelaran, pengiktirafan dan ganjaran.

Islam datang membawa penawar, agar penyakit masyarakat dapat diubat, tetapi dengan gejala kurang sihat yang melanda ini, penawar akan hilang berganti tuba yang akan mematikan hati manusia.

Justeru, muslimahku, tanyalah hatimu. Antara malu dan mahu, yang manakah kalian perlu?

Kutinggalkan kalian dengan barisan kata-kataku yang lahir dari lubuk hati ini :

“ Menatap foto-foto indah mu, terbit persoalan dihatiku: Sudah semakin pudarkah kecemburuan seorang suami terhadap isteri, telah sirnakah kecemburuan ibu bapa terhadap anak dan telah hilangkah kepedulian sahabat dan teman? Beruntunglah andai suami menegur, bertuahlah andai ibubapa menasihati, bersyukurlah andai teman menegur silap diri, itu tanda masih ada cemburu pada mereka, kerana cemburu itu tanda mereka sangat menyintai dan menyayangi anda.”


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

Comments

Misty Melor said…
Salammualaikum.. alhamdulillah.. bagus isinya... terima kasih kerana berkongso :)... semoga rasa malu pada diri dipertingkatkan lagi
Assalamualaikum Ustazah,

Saya sangat setuju. Jika suami masih mahu menegur kita, kita patut bersyukur kerana dia mahu kita terus mendapat keredhaan. Saya pun kesian tengok gadis/wanita yang salahertikan pemakaian tudung, sekarang lebih kepada berhias daripada berhijab....wallahualam...
1000lan said…
Salam,
Terima kasih atas peringatan yg diberi...namun berapa peratus agaknya pesanan ini sampai kpd yg "terbabit"?

Lebih berkesan artikel ini jika turut mengupas dilema yg dialami oleh ibubapa (suami) yg tidak putus2 menegur anak (isteri) yg liat utk mendengar kata.
Bersyukur lah bg mereka yg dihadiahkn org dibawah tanggung jwb nya yg senang mengikut kata & lembut hati utk mendengar peringatan yg diberikan..

Tambahan dalam keadaan skrg sering mudah diKELIRUkan utk menilai antara kaca & permata..dimana dpt dilihat kemunculan "ustazah2" di mata ramai yg berhujjah mengenai agama & kebahagiaan keluarga tampil dengan gaya yg cukup mempesonakan mata memandang & fitrah manusia sukakn keindahan & kecantikan...

Allahua'lam
HuNNy said…
terima kasih atas artikel ini...mmg benar apa yg dinyatakan...tp syang....sukar nak bendung masalah spt ini..

kalau kita sedar dan perasaan senario yg belaku sekarang, di mana2 shj sgt kerap iklan,rancangan hiburan serta berunsur fesyen yg menyogok muslimah dgn fesyen yg tdk memenuhi tuntutan syariah..

mmg la bertudung juga boleh bergaya..tp kelihatannya..gaya yg ditonjolkan..tdk lengkap dan ketat2 belaka....syg....
Min said…
tima kasih kak ina...

sangat bermanfaat... moga usaha kecil kita ini akan dilihat Allah di sana nanti... mungkin tak semua dapat access info ni. tapi sekurang2 kita berusaha untuk menyampaikan... keep it up!
Nadrah Yusra said…
Buat para wanita... adalah sebaiknya apabila kita memilih pakaian untuk dipakai... kita tengok depan cermin, tanya diri kita sendiri... ALLAH redha tak dengan penampilan kita itu.. ataupun bayangkan apabila kita bertemu Rasulullah SAW, adakah Baginda tidak sedih melihat kita berpenampilan sedemikian??

Syukran Kak Ina =)
Wallahualam
Salam akak..
Thanks untuk artikel ini.
Sangat2 memberi kesan yang mendalam dalam hati sy.
Terima kasih banyak banyak..
Anonymous said…
Salam. Terima kasih kerana selalu memberikan nasihat dan motivasi untuk muslimah menutup aurat dengan sempurna

Satu soalan: Apa hukum menjadi jururawat yg sememangnya tugas merawat itu mulia tetapi pakaian tidak menutup aurat - tudung masuk dalam baju, baju mengikut bentuk tubuh dan ketika melakukan prosedure tertentu lengan dimestikan dilipat hingga ke siku. Sedangkan nurses di Islamic hospirals seperti Pusrawi boleh je tutup aurat dengan sempurna. Mohon penjelasan

Jika salah, dan sudah bekerja, apa yg perlu dilakukan?
salam,
ustazah klau pakaian kte dh menutup aurat n gmbar2 2 cume d kongsi ngn teman2 rapat yg dh dketahui perangai mereka baek..
adekah msih berdosa??

artikel nie lg bagus klau d kongsi dlm website iluvislam @ majalah d mne lebih ramai golongan muda yg membaca..=)
imanulhassan said…
terima kasih ustazah kerana memberi ilmu dan nasihat yang sangat berguna, lebih-lebih lagi di zaman kita ini di mana agama islam itu tidak dipraktikkan sepenuhnya. ramai salah faham islam itu hanya mencakupi hal ibadah, walhal islam itu ad-deen, mencakupi segala perkara, dari sekecil2 perihal adab makan hinggalah sebesar2 perihal pentadbiran negara.

saya merupakan silent follower blog ustazah selama ini, dan hari ini saya nak 'un-silent' kan diri sebentar. kepada semua pelawat blog ustazah, jangan risau jikalau artikel2 ustazah tidak mendapat liputan yang meluas, kemungkinan skop 'friends list' anda tidak ramai tahu blog ustazah ini, maka takdelah ia kerap 'appear' di news feed facebook anda. alhamdulillah, di news feed facebook saya, entry latest ustazah ini merupakan antara top link sites yang dipost oleh rakan2 saya.

blog ustazah ini sendiri semakin hari, semakin ramai yang meminatinya. bahkan ustazah juga telah menerbitkan sebuah buku yang sangat saya sukai, kerana gaya tulisan ustazah yang mudah difahami dan menusuk qalbu. walaupun saya seorang muslimin, tetapi bagi pendapat saya, menyebaran buku ustazah itu sendiri dapat memberi booster kepada muslimat yang mencari erti 'muslimah sejati'.

insyaAllah, tugas setiap pembaca blog ini juga adalah dengan mempromosikan blog ustazah kepada rakan2. jikalau anda rasa blog ustazah ini tidak dikenali di friends list anda, maka jadilah orang pertama dalam mempromosikannya. anda akan lebih beruntung kerana menjadi pencetus utama dalam menyebarkan artikel yang bermanfaat kepada your circle of friends. nabi s.a.w juga telah bersabda, jika kita buat kebaikan dan orang ikut, maka pahala kita bertambah2 sebanyak mana orang yg mengikutinya. dan juga sebanyak mana juga keburukan yang kita ajarkan kat orang lain, dan orang lain ikut, sebanyak itulah dosa2 yg terkumpul selagi mana mereka melakukan dosa tersebut.

maka, saya sarankan agar kita semua memainkan peranan dalam menyebarkan semua artikel yang bermanfaat untuk disebarkan kepada orang ramai, agar pahala yg kita peroleh berlipat ganda. dan juga tujuan utama kita hidup di dunia ini adalah untuk mendapat keredhaanNya.

sekian, wassalam.
Anonymous said…
salam

syukran kak ina :)
Aslamualaikum.
tertarik benar dgn tajuk..lantas diri terus membaca artikel saudari..jauh di sudut hati saya sangat bersetuju dengan kata-kata saudari..hidup yang semakin menuju ke penghujungnye makin penuh dengan onak dan ranjau..mohon muge diri ini di jauhkan dari golongan yang diperalatkan oleh dunia sebegini..namun terkadang kaki selalu tersadung dek onak yang makin menjalar..muga..melalui pembacaan sebegini bnyak memberi ikhtibar untuk kaum kita..Ya Allah selamatkanlah hambamu dan tunjukkan kami jalan yang benar..
ShimaSyim said…
Salam Kaka Ina..terima kasih atas artikel yg sgt kena pada masanya ini. Memamg diakui, terutama di facebook, terlalu byk gambar rakan2 perempuan sy yg bertudung, tp berbaju ketat, menampakkan benda2 terlarang dsb. Hingga mmg ada rakan lelaki yg sengaja download gmbr2 seksi mereka untuk dibuat koleksi peribadi. Sy akui perbuatan tersebut mmg mengundang dosa & agak di luar tabii. Sy cuba menasihati rakan2 perempuan terbabit & rakan2 lelaki yg terlibat dgn dosa sebegini, tp nampaknya tidak mendatangkan kesan. semoga hidayah Allah dtg kepada mereka, & sy ingin meminta izin utk postkan entry ini sebagai peringatan kpd mereka. Syukran.
alieya0302 said…
izinkan saya share post ni,agar menjadi peringatan kepada muslimat di luar sana..
Subhanallah, Alhamdulillah, :)

Saya pernah masuk contest sedemikian, contest ni dianjurkan utk sspa yg memakai shawl yg paling kreatif.

bagi pendapat saya, kadang2 kita nak cuba contest macam ni, honestly nak tengok siapa lagi cantik (bagi saya). terus terang ini lebih kepada untuk kepuasan sendri untuk mendapatkan pujian, "awak cantikla, saya vote" ..
(ini antara pnyebab saya nak masuk) :/

agak terperanjat terjumpa contest utk muslimah..
Mohon maaf jika ada yang terasa.. Assalam .
Anonymous said…
assalamualaikum....sgt bermakna contents nye....oleh itu sya menyeru kpd diri saya dan muslimah2 di luar sana...marilah kita melakukan perubahan utuk diri kita.....sayangi lah diri kita...jagalah maruah kita...dekat kan diri kepada YANG MAHA ESA....agar kita insan yang terpilih disisi ALLAH kelak....amin..
assalamualaikum, content yang sungguh padat dengan ilmu yang amat perlu dibaca oleh golongan wanita terutamanya remaja. Kadang-kadang wanita leka dengan dunia, bukan tak tau apa yang buruk dan baik. Apapun,pakaian itu memainkan peranan besar dalam pembentukan akhlak. Bila berpakaian decent, hati susah nak tergoda untuk buat benda yang tak senonoh. Saya doakan wanita di luar sana akan insaf dan menerima petunjuk drpd ilahi.
ummu uswah said…
subhanallah. tarbiyah drp Allah menjadikan saya insan yg menutup aurat. smg Allah menetapkan saya di atas jln yg benar. Amin.
Terima kasih kerana mencipta blog ini. Teruskan menyebarkan dakwah dan menasihati. Saya sangat memerlukannya. Terima kasih lagi. :)
Adilah Hamdan said…
"...seakan-akan di atas kepala mereka terdapat burung gagak..."

Apa maksud excerpt di atas? ada sesiapa boleh terangkan?
marziana said…
mohon share untuk kesedaran diri dan rakan2
syr, just syr. said…
alhamdulillah, terima kasih. mohon share hadith Rasulullah yg telah penulis masukkan. Salam.
ummiraihan said…
Satu artikel yang lahir dari hati nurani seorang mukminat yang sejati. Alhamdulillah. Sangat menarik dan benar2 menyentuh qalbu. Keperihatinan dan ketelitian ustazah dalam menyorot hati manusia khususnya muslimah begitu mengkagumkan saya. Saya jarang berkesempatan membuka blog ustazah, tetapi sekali buka ada saja artikel yang mencuit rasa dan mengundang minat saya untuk mencoret sesuatu.
Kesedihan ustazah sama dengan apa yang saya rasakan apabila menyentuh tentang pakaian wanita pada hari ini.Bukan terbatas kepada para artis,gadis2 remaja dan para isteri bahkan saya lihat sudah menular kepada golongan yang bergelar 'ustazah'.MasyaAllah....apa dah jadi ni? Jika dahulu kita mudah mengenali ustazah melalui cara dia berpakaian (eg: jubah yang berwarna suram) dengan tudung labuhnya tetapi sekarang amat sukar kita menemuinya di mana2. Ustazah juga tak mahu kalah dengan trend pakaian masa kini yang cenderung berseluar dan bertudung pendek. Dah tu ada pula ustazah2 yang muncul di kaca TV dengan penampilan yang cukup menawan dengan pakaian yang bergermerlapan dan make-up yang persis seorang artis sehingga digelar sebagai 'ustazah glamour'. Cakap berdegar2 dan hujjah berpetah2...namun kalau 'cakap tak serupa bikin' apa gunanya?
Sebenarnya iman wanita setipis kulit bawang, mudah tercarik dan robek dek tantangan segala macam arus yang melanda.Terlalu sedikit yang mempunyai mata hati yang tuntas yang meletakkan hukum Allah pada tempat yang tertinggi dan aula.
Syabas ustazah Noraslina...teruskan mujahadah anda dalam usaha mentarbiah para muslimah menerusi mata penamu.
P said…
assalamualaikum ya Ummu.. trima kasih atas kata2 bernas dan kupasan hadis serta analogi yang menarik utk trus ditatapi rencana ini. semoga Allah mengurniakan kita dengan segala nikmat dan himah dari sisiNya. dialah jua sebaik2 pelindung dan pemberi Hidayah..
assalamualaikum...tahniah ustazah atas hasil nukilan yang berguna ini...semoga ia menjadi sumber inspirasi kepada muslimah di luar sana untuk berhijab sesempurna mungkin...
Unknown said…
mohon share ustazah untuk peringatan diri dan muslimat di luar sana ;)
Salam, mohon share ustazah, syukran =)
Nanie said…
Salam, mohon untuk share dalam blog. TQ

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA