ENGKAU TERBAIK UNTUKKU (2)


Dari tadi kak long asyik tersenyum-senyum memandang saya. Entah apa yang di fikirkannya saat itu, hanya dia dan ALLAH yang tahu.

“Kenapa kak long, nak cubit?” soal saya dalam nada bergurau. Senyumannya kian melebar.

“Tak ada apa-apa…” Kak long menjawab ringkas, tapi lirikan manis yang menguntum di bibirnya masih terlihat jelas.

Saya membiarkan kak long dengan senyuman misterinya dan meneruskan kerja-kerja rutin di dapur. Periuk belanga, pinggan dan cawan yang digunakan untuk memasak hidangan tengahari tadi masih belum di cuci. Kain baju yang memenuhi bakul biru dan kuning di hadapan bilik air juga belum terusik sedikitpun.

“Ummi dan ayahkan….macam orang bercinta…” Tiba-tiba kak long meluah bicara, malu-malu sahaja lontaran nada yang masuk ke telinga. Terpempan seketika saya mendengarnya. Mujur pinggan di tangan tidak terlepas ke sinki kaca.

“Kenapa kak long cakap macam tu?” saya bertanya. Aliran darah bagai deras menerjah ke wajah. Panasnya terasa. Paras rupa merah merona. Sejurus, saya menguntum senyum ceria.

Segan sebenarnya !

“Hari tu, masa kita jalan-jalan, kak long dan kak ngah tengok ummi ayah pegang-pegang tangan, senyum-senyum pulak tu,” ucap kak long berterusterang. Kata-katanya itu saya sambut dengan ketawa panjang.

Tiada jawapan balas yang dapat saya berikan. Hanya bibir melafaz takbir dan tahmid. Cukuplah itu menjadi pengukuh terhadap pandangan luhur seorang anak, yang lahirnya ke dunia ini menjadi bukti ikatan kasih yang terpatri. Sayang seorang suami, cinta seorang isteri.


BERBEZA
Bukan mudah menelusuri kehidupan bersama individu yang berbeza segalanya. Dalam hal ini, situasi dan persepsi perkahwinan antara pasangan yang belum dan sudah berumahtangga pasti tidak sama.

Bagi pasangan yang sedang dilamun gelora cinta, mereka melihat alam perkahwinan sebagai tapak menyemai harapan nan indah, menambah erat kasih dan cinta yang sedang membara. Namun bagi sekian ramai pasangan suami isteri yang telah, sedang dan masih dalam perjuangan melakar tadbir harmoni dan bahagia, cinta yang mengikat dua jiwa pada awalnya bukan penentu kelansungan ikatan yang didamba.

Bahkan, irama permulaan yang gembira dan mendamaikan, tidak akan pasti berkesudahan dalam rentak yang sama. Mungkin saja, keriangan bertukar duka, cinta berganti benci, kasih berubah simpati.

Andai tiada usaha dan ikhtiar untuk menyubur rasa kasih mesra, ikatan yang tersemat ampuh pada awalnya pasti mudah terlerai; binaan cinta yang utuh pada permulaannya, boleh sahaja berpenghujung sirna, runtuh seterusnya hancur berkecai.

Seumpama pasangan sejoli menyaksikan panorama pergunungan dari kejauhan. Hijau pepohonan yang melitupi kaki pergunungan, sungguh menyegarkan. Kicau sang burung memecah keheningan. Gumpalan awan putih menyapa puncak nan tinggi, amat mempesona pandangan. Bersama tamparan lembut angin sepoi-sepoi bahasa pada batuan kukuh dan pejal, segalanya terlihat begitu indah dan mengasyikkan.

Akan tetapi, bagi mereka yang bergerak mendekat, pasti banyak cabaran terpaksa didepani. Hutan di sekitarnya sahaja sudah cukup meletihkan untuk diharungi sebelum sampai ke kaki gunung.

Ketika pendakian dimulai, diri perlu lebih berhati-hati. Mata mesti tajam memerhati, telinga pula perlu sentiasa peka mengawasi. Jika salah kaki berpijak dan mendaki, tubuh boleh jatuh ke batuan yang pejal dan menyakitkan. Andai tidak berwaspada dengan persekitaran yang asing dan penuh kejutan, bahaya dari binatang buas dan berbisa boleh sahaja menyebabkan kecederaan dan kemalangan yang tidak terjangkakan.



BERMULA DI SINI
Itulah alam perkahwinan. Penuh mehnah dan tribulasi di sepanjang perjalanannya menuju bahagia abadi. Suka duka bersilih ganti. Tawa dan tangis hiba bergiliran mengisi hari. Saya dan suami juga tidak terkecuali dari pengalaman ini, sementelah kami bermula ketika masih bergelar penuntut universiti.

Dalam kondisi kewangan yang minima, suami datang melamar. Tanpa ragu dan tangguh, ayah memberikan persetujuan. Kenduri perkahwinan kami raikan dengan berkongsi kemeriahan majlis resepsi adik kembar saya dan pasangannya.

Warna hijau pucuk pisang menjadi tema pakaian kami di hari bahagia. Suami berbaju melayu dan bersongkok sementara saya mengenakan jubah dan tudung labuh yang dijahit sendiri oleh teman sekuliah. Kad jemputan juga begitu santai dan mudah. Tidak perlu ditempah. Semuanya hasil cetusan idea suami dan sentuhan kreatifnya.

Biarpun segala persiapan penuh sederhana, kami tetap bahagia.

Bermula detik itu, laluan panjang di hadapan kami selusuri bersama. Ada ketikanya, kami melewati jalan yang indah berbunga dengan senyum dan tawa ceria. Di ketika lain pula, kami meniti jambatan ‘perasaan’ yang sempit lagi menyesakkan dada. Dan banyak juga masanya, kami lelah mendaki bukit ‘cabaran’ dalam laluan perkahwinan.

Namun, dengan keyakinan dan usaha untuk melakar sakinah, mawaddah dan rahmah di sepanjang perjalanan, pegangan tangan tidak sesekali kami lepaskan. Malahan, dengan rahmat dan kasih sayang-NYA, ia menjadikan pautan jari jemari kami kian kejab dan saling erat menggenggam.

KENANGAN SEMUSIM LALU
“Abang ingat tak masa kita baru kahwin dulu. Bila balik kampung je, motor mesti rosak.” Suatu ketika saya bercerita mengenang kisah lama.

Saat-saat manis tetapi penuh ‘adventure’ bermotor berdua. Untuk memiliki kereta sendiri ketika itu, kemampuan belum ada. Dengan kenderaan dua tayar itulah, kami ke sini dan sana.

Suami tersenyum. Mungkin sedang membayangkan kekalutan kami saat berdepan ujian kecil itu. Saban kali pulang ke kampung halaman saya di Felda Gedangsa, motor yang kami naiki pasti mengalami masalah yang tidak terduga.

“Satu hari, tayar motor pancit kat lebuhraya. Mujur di tepi lebuhraya tu ada penempatan masyarakat India. Tanpa pilihan, kita turun ke kampung tu. Abang terpaksa tinggalkan As sorang-sorang kat satu pondok, sementara abang pergi ke bengkel berhampiran dengan bantuan seorang penduduk di situ. Bimbang sungguh As…Rasanya lama juga menunggu abang. Dah lah sunyi tempat tu...yang As dengar hanya bunyi anjing menyalak. ALLAH jelah tempat As berlindung. DIA lah yang menjaga.” Saya terus berkisah mengingatkan detik-detik cemas dan mendebarkan.

“Tu belum lagi kita berpanas menunggu kat tepi lebuhraya tu sebab enjin motor mati tiba-tiba…” Suami pula menambah disambut ketawa kecil kami berdua.


POTENSI DAN UPAYA
Sememangnya kenangan itu amat mencuit hati bila diimbas kembali. Sebutir pengalaman bermakna dari rantaian pengalaman dalam rumahtangga saya dan suami yang telah mencecah usia 12 tahun kini.

Hanya kepada ALLAH saya memanjatkan kesyukuran atas limpahan inayah-NYA yang tidak putus sepanjang saya bergelar isteri.

Pada saya, sungguhpun alam perkahwinan itu diibaratkan mendaki gunung yang tinggi, dengan langkah demi langkah penuh waspada untuk menawan puncak menggapai awan, namun, potensi dan upaya untuk mencapai matlamat tersebut hakikatnya dimiliki oleh semua pasangan suami isteri.

Tinggal lagi, keyakinan pertama yang mesti dipasak iaitu ALLAH SWT tidak akan mengubah nasib sesiapa, kecuali mereka sendiri perlu berusaha mencoraknya. Firman-NYA :



Maksudnya : “Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain DIA.” (Surah ar Ra’du ayat 11 )

Ingatlah, bahagia itu tidak hanya ditemui di penghujung jalan, akan tetapi ia ada di sepanjang perjalanan kehidupan. Kesediaan untuk saling menyokong, bantu membantu dan bahu membahu perlu sentiasa disuburkan, bermula dari meredah belukar dan belantara sebelum sampai ke kaki pergunungan, memulakan pendakian sehingga sampai ke puncak impian.


ENGKAU TERBAIK UNTUKKU
Akhirnya, sekalung cinta buatmu suami kerana terus mengakar sabar dalam mendidik, mengajar dan menunjuki isterimu ini jalan kebahagiaan berpaksikan kasih ILAHI.

Pada tanggal bahagia ini, apa lagi yang dapat diucapkan selain kesyukuranku yang tidak berpenghujung ke hadrat Yang Maha Kuasa atas kurniaan seorang suami, sahabat dan teman sejati di dalam hidup ini.

Tiada bicara seindah doa yang dapat dilafazkan. Munajatku pada Yang Maha Esa, agar keutuhan ikatan ini tetap erat mengikat hati-hati kita untuk seiring sejalan melakar bahagia hingga ke syurga-NYA.

Terima kasih atas segala pengertianmu…sungguh, engkau terbaik untukku!


Mencari dan terusmencari cinta ILAHI.


Jumpa lagi, InsyaALLAH.



Comments

Min said…
Happy Anniversary ke-12 Kak Ina & Ustaz, moga kebahagiaan terus bersama hingga ke Syurga Allah!
Nadrah Yusra said…
subhanALLAH... selamat ulang tahun perkahwinan ke 12 buat sang murabbi dan murabbiyah... ustaz Zaharuddin dan KakLina... semoga menjadi pasangan bahagia hingga ke syurga.... amin

doakan saya juga bertemu mujahid yang bisa memimpin tanganku ke syurga .. amin
Amoi Ida said…
Salam kak Ina..

Selamat ulangtahun ke 12 buat akak dan uzar..semoga terus menggenggam SaMaRa dan beroleh zuriat yg soleh/ah..

Doakan Ida juga kak.. :)

Jazakillah for sharing..

Memang bagus berpimpin tangan bak kata Ustaz Kazem, takde malu untuk pahala..nie kita malu2 last2 pahalapun terlepas begitu saja...sedangkan muda-mudi yg tiada ikatan takde rasa malu langsung utk berbuat seperti suami-isteri...
melatiblossoms said…
Salam Kak Ina,

selamat ulangtahun perkahwinan, semoga terus menggapai Mawaddah wa Rahmah InsyaAllah...
Unknown said…
salam...

semoga berbahagia selamanya buat kak Ina dan UZAR.
Fihan said…
Aslmkm kak, maaf out of topic. Saya sebenarnya carik artikel dalam ustaz zaharuddin punya site pasal ASB. Lepas tu jumpa tajuk 'Terkini Hukum ASB dan ASN' dalam tu ada ulasan dan link link tentang ASB hasil tulisan dari ustaz sendiri, tapi bila saya klik link tu macam dah broken sbb dia kata 404 - Error 404 untuk ke tiga tiga link tu. Jadi saya minta jasa baik akak tolong tengokkan atau pun saya yang salah?

Saya nak tanya kat ustaz saya segan, jadi saya tanya pada akak. Harap akak pertimbangkan.

Maaf ye kak susah kan akak.

Wassalam.
Mama Marcello said…
salam.

sungguh sronok bc entry kali ni...hehe~ terase berbunga2 hati sy
walaupon org lain yang bercinta...hikhik...
hepy 12th anniversary kak...(^_^)
May Allah bless us..
alhamdudlillah...love both of u... :)
faiez said…
Salam..mohon ambil sepatah 2 ayat...utk berongsi..sungguh puitis...
Tahniah buat Umi & Ustaz, cepatnya masa berlalu. rasa macam baru je melihat Umi sebagai pengantin berjubah pink dan bermahkotakan bunga. Majlis cukup ringkas dan penuh makna. Semoga jodoh kalian berkekalan dan berbahagia di dunia dan di akhirat.
Terima kasih kerana tidak jemu berkongsi pengalaman dan nasihat.
Unknown said…
tahniah ummu husna & ustaz. moga kekal berpanjangan ke akhir hayat. i like the cake. sungguh suci and romantik gitu. nanti cb nak ciplak gak lah. boleh yer...hehehe.
Salam semua :)

Terimakasih atas ucapan dan ingatan. Semoga setiap permohonan dan doa yang baik, kalian juga turut beroleh yang sama dari-NYA.
FIHAN : Boleh klik pada link berikut,

http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=224&Itemid=63

dan

http://www.zaharuddin.net/pelaburan-&-perniagaan/805-terkini-hukum-asb-dan-asn.html

dan

http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=663&Itemid=95

Semoga membantu :)
ANI : Alhamdulillah :) Tapi, jubah pink tu masa kahwin orang lain kot? Tertukar ;)

Umi pakai jubah satin putih dan bunga dengan lace kelabu semasa majlis nikah. Pink memang tak pernah.

Apapun, terima kasih Ani atas ingatan tulus seorang sahabat :)

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA