13 December 2010

DALAM TADBIR KUSUSURI TAKDIR-MU


Suara ayah terdengar lemah menerusi ‘speaker’ komputer. Sayup-sayup menembusi corong telinga. Hati ini jadi hiba. Andai saja saya berada di tanahair ketika ini, pasti sudah lama saya mengajak suami pulang ke desa.

“Badan ayah banyak hilang air tu. Ayah muntah-muntah juga ke?” saya bertanya. Bimbang mengenangkan kesihatan ayah yang tidak berapa baik akhir-akhir ini.

“Muntah, cirit birit..semua ada. Sampai doktor masukkan air masa pergi klinik tadi. Tapi, ni dah rasa kuat sikit.” Jawapan ayah sedikit melegakan kerisauan jiwa.

“Doktor kata salah makan…” ayah menambah cerita. Saya mendengar.

“Ayah berehatlah…nanti Ina call lagi,” balas saya.

Niat di hati tidak mahu berbual lama. Kasihan mengenangkan tubuh tua ayah yang lemah dan kurang berdaya dek penangan keracunan makanan dua hari lepas.

“Eh..buku Ina dah ada kat rumah ayah ni. Bolehlah ayah baca…” Tiba-tiba ayah bersuara. Nada suara yang lemah tadinya terdengar sedikit berubah.

Agak bertenaga.

Ceria.


KENANGAN SESAAT
Segala kenangan bersama ayah satu persatu mula menguasai jiwa. Namun, dalam senarai panjang kenangan bersamanya itu, ada satu yang sangat bermakna kepada saya.

Ingatan mula mengimbau peristiwa 17 tahun yang lalu. Andai tidak kerana ketegasan ayah, pasti saya tidak akan melalui satu persatu rentetan pengalaman yang banyak mendidik jiwa dan sedikit sebanyak membina peribadi saya pada hari ini.

Saya tidak dapat menafikan bahawa peristiwa itu adalah pemangkin kepada banyak peristiwa dan pengalaman lain sepanjang saya meniti alam dewasa. Ia hanya kenangan sesaat, tetapi impaknya amat kuat.

Ia menjadi kanvas utama lakaran bertahun kehidupan saya seterusnya.

Ia menambah dan menguatkan keyakinan saya bahawa di sebalik setiap musibah, ujian, rintangan dan cabaran yang berlaku di dalam hidup ini pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Tinggal lagi, hanya manusia yang dikurniakan akal dan nafsu di dalam diri mereka, lemah untuk menyingkapi kebaikan di sebalik keburukan yang tiba.

Dan saya juga tidak terkecuali dari kekurangan ini.


HAMBAR
“Tak apalah, ustaz. Belajar kat sini pun sama je,” lembut tapi tegas suara ayah menjawab.

Ustaz Samurin, guru kelas saya selama dua tahun di Kolej Islam Sultan Alam Shah ( KISAS ) terdiam mendengar jawapan ayah. Ustaz Samurin menoleh seketika ke arah saya. Mungkin mahu mendengar ‘sesuatu’ dari saya sendiri. Akan tetapi mulut saya bagaikan terkunci.

Tengahari itu, ayah dan mak menemani saya ke KISAS untuk mengambil slip keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dikeluarkan semalam. Kerana itu, tidak ramai kelibat rakan-rakan seperjuangan yang mengambil keputusan hari ini. Hanya beberapa orang sahaja yang kelihatan di sekitar dewan besar.

“Betul ke ni Pak Cik? Kalau tengok keputusan SPM dan SKK ( Sijil Khas Kolej ) Aslina ni, layak untuk ke Timur Tengah. Pelajar kita ramai di Mesir. Jordan pun tak kurang juga.”Ustaz Samurin masih berusaha memujuk ayah.

Sejurus, ayah, mak dan Ustaz Samurin memandang saya. Serentak. Bibir ketiga-tiga mereka menguntum senyuman ceria. Terpancar sinar harapan pada setiap wajah mereka. Walau mungkin setiap satunya berbeza, namun saya pasti, penghujung impian mereka tetap sama.

Ingin melihat saya berjaya.

Saya membalas pandangan mereka dengan senyuman. Buat-buat tenang, sungguhpun jauh di sudut hati terlakar sedikit kehampaan bila mendengar kata-kata ayah sebentar tadi, kerana saya tahu angan-angan untuk menuntut ilmu di bumi anbiya’ tidak akan menjadi realiti.

Pasti!

“Ye, ustaz. Biarlah Aslina belajar dalam negeri je. Nilam Puri sana..tak kurang juga bagusnya,” ayah membidas. Masih tegas.

Jawapan ayah sudah saya duga. Saya tersenyum hambar.


RENTETAN PENGALAMAN
Sejak itu, saya menyusuri hari-hari seperti biasa. Jiwa telah mula menerima hakikat. Setiap yang terjadi sudah tersurat di sisi ILAHI. Saya mahu berfikir positif. Menuntut ilmu di dalam negara juga ada kelebihannya. Apa yang penting, kemahuan untuk berusaha gigih demi mencapai kejayaan yang diimpi.

Saya meneruskan pengajian selama dua tahun di bumi tarbiyah Nilam Puri, Kelantan. Mendapat didikan dari para guru yang berilmu, baik budi dan cukup komited dengan tanggungjawab mereka sebagai pendidik. Menikmati keenakan makanannya yang pelbagai di samping dapat melihat dan menyaksikan sendiri kemakmuran, kedamaian dan keharmonian negeri di bawah kepimpinan ulama di negeri jolokan Serambi Mekah ini.

Seterusnya, saya menyambung pula empat tahun pengajian di kampus induk Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Di ketika inilah, saya menemukan cabaran bergelar pelajar, mengenal medan dakwah yang lebih luas dan dalam masa yang sama saya turut dihambat dengan tanggungjawab sebagai seorang anak kepada dua ibubapa.

Armarhumah bonda terlantar sakit akibat serangan angin ahmar pada tahun akhir pengajian saya di universiti. Walaupun sebelumnya, telah beberapa kali emak diserang penyakit yang sama, tetapi serangan kali ini menghilangkan kudrat emak sepenuhnya. Suara keibuan emak hilang, tubuhnya dari pinggang ke bawah bagaikan lumpuh, tidak berdaya untuk digerakkan sehingga emak tidak mampu menguruskan diri tanpa kehadiran orang lain di sisi.

Kebetulan ketika itu, ayah juga tidak dapat bersama emak kerana menemankan adik bongsu di kampung yang sedang berhadapan dengan peperiksaan PMR, sementara seorang lagi adik saya, juga sedang berjuang dengan peperiksaan SPMnya. Kembar saya pula sedang berada di tahap akhir pengajian di maktab perguruan, manakala adik beradik yang lebih tua pula masing-masing mempunyai komitmen kepada kerja dan rumahtangga.

Keadaan ini, membuatkan saya tidak punya pilihan lain selain perlu mengambil keputusan segera untuk ‘bercuti sendiri’ selama sebulan sebelum peperiksaan semester menjelang tiba demi menjaga dan merawat emak di rumah kakak sulung di Tapah, Perak. Saya bersyukur kerana keanjalan masa saya sebagai pelajar ketika itu lebih memungkinkan saya untuk berada di samping emak dan meneladeni keperluannya.

Mungkin inilah salah satu hikmah yang ALLAH sediakan untuk saya belajar di dalam negara. Bagaimana mungkin tanggungjawab ini dapat saya pikul andai saya menuntut di timur tengah, jauh dari ibu dan ayah?

SUBHANALLAH!


KEHIDUPAN BARU
Tanggal 3 Julai 1998, emak akhirnya pergi menemui ILAHI setelah hampir lima tahun menderita angin ahmar.

Sebelum itu, pada bulan Januari 1998, ibu suami meninggal dunia, diikuti bapanya tiga bulan selepas itu.

Pada tahun itu juga Malaysia digemparkan dengan isu reformasi. Namun peristiwa yang paling diingati adalah pada 6 Disember 1998, saya diijabkabulkan dengan suami tercinta. Besar harapan kami agar segala cabaran yang berturut-turut itu dapat diringankan dengan ikatan mulia ini.

Menempuh kehidupan sebagai pelajar tahun akhir, berulangalik dari rumah sewa di Pandan Indah ke universiti dengan motor HONDA EX5 milik suami, menghadapi peperiksaan dengan perut ‘berisi’ dan akhirnya dengan bantuan dan rahmat Yang Maha Esa, saya dan suami berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda.

Saya masih ingat bagaimana gembiranya wajah ayah di belakang dewan Tunku Canselor sambil melambai tangan ke arah saya yang sedang berbaris. Terasa lelah dan semput-semput nafas ketika mendaki tangga pentas konvokesyen dek perut yang besar, hanya menunggu hari untuk melahirkan.



Namun, langit tidak selalu cerah.....


Bersambung

10 comments:

Asiah yusro said...

waiting for the next episode ;)

sal said...

Assalamualaikum.
Kita percaya di sebalik segala cabaran ada hikmah yg tersembunyi.Moga Allah mempermudahkan segala urusan.Ameen-ameen

sal said...

as-salam
Betapa sukarnya kehidupan..tapi tetap ada kemanisannya.Semuanya kerana Allah menyayangi kita dgn mengajak kita berfikir lalu diturunkan sedikit kesulitan utk menguji hambanya. Supaya kita tergolong ant insan yg bersyukur,menjadi hamba yang bertakwa dan memperoleh rahmat dariNya..nice entry..

aNiSaHuRi said...

tak sabar rasanya nak baca kesudahan cerita akak...

nihas said...

Salam,
Kak Ina,
thanx kongsi cerita...
yeah kita tak boleh sombong dengan takdir. tapi tatkala berhadapan dengan rakan yang tidak mahu terima takdir dengan redha, membuat arguement yang bukan2 tentang Pencipta yang Maha Sempurna, rasa diri kecik sangat ilmu nak mendepani kata2 nya yang menyakitkan hati dan telinga. tapi harus positif, mencari ilmu bagi berkongsi, mungkin dia masih belum tahu...ada hikmahnnya, diuji begitu, menjadikan saya lebih ingin mengenali dan menghampiri Allah... alhamdulillah....

wallahualam...

fArhAnA said...

seronok baca kisah ni. pasti ada ibrah yang Allah letakkan untuk kita. :)

teknologipendidikan-islam said...

Salam kak Ina,
Semoga sihat walafiat..
Terima kasih kerana berkongsi cerita...
....waiting for the next episode....

ibnyaacob said...

salam ustazah,pembetulan,tapi tak penting pon,


EX5 motor honda,bukan yamaha...

Makbonda said...

hmmmmm......ina,Makbonda membaca tanpa bernafas.Satu perkongsiat yang sangan bermunafaat.
Harap-harap tersiar di solusi keluaran akan datang.

Noraslina binti Jusin said...

IBNYAACOB : Waalaikassalam, terima kasih atas teguran.

Telah dibetulkan.