22 November 2010

INGIN JADI APA WAHAI ANAKKU?

Dari tingkap kaca bilik studi suami, saya gemar melihat ke langit yang tinggi, sambil menatap cahaya mentari yang melimpah di siang hari yang cerah. Cukup mempesona. Sangat mendamaikan rasa.

Tatkala awan putih meliputi langit yang membiru, kepulan-kepulan bak kapas bersih itu pasti bergerak ke satu arah yang sama, mengikut arah tiupan bayu. Liang liuk pepohonan turut menambah kemeriahan alam. Sangat menenang dan mengasyikkan.

Memerhati keharmonian alam saat ini, hati diusik kenangan sewaktu kecil. Mendongakkan kepala ke langit yang tinggi. Bermain dan berimaginasi bersama kawan-kawan sebaya. Pelbagai gambaran yang timbul di fikiran kami ketika melihat awan putih yang melata.

Terdapat kepulan-kepulan awan yang besar bagaikan kepala sang gajah. Ada pula kepulan–kepulan kecil umpama asap yang keluar dari serombong keretapi lama. Tidak kurang juga, gandingan kumpulan awan yang membentuk kelopak bunga putih yang indah.

Semua gambaran itu kami ceritakan dan kongsikan bersama.

Banyak kali imaginasi yang diberitahu kepada rakan-rakan menerima reaksi yang begitu mencuit rasa. Diketawakan, diusik dan pelbagai lagi. Namun semua itu tidak sedikit pun mencarik kemesraan yang terjalin antara kami. Memang indah mengimbas keriangan di usia mentah. Tiada apa yang dirisaukan. Tiada gundah dan gelisah.

Kehidupan tika itu dipenuhi hilai tawa dan senyuman yang panjang.

KALAU SAYA SATU BENDA
“Hari ni ustazah nak minta setiap seorang dari kamu menulis satu karangan pendek.” Saya memberikan makluman awal aktiviti yang akan dijalankan di dalam kelas agama anak-anak Melayu Leicester ( MASLEICS ). Kak long dan kak ngah merupakan dua dari empat orang pelajar perempuan yang hadir. Selebihnya, ada seramai enam pelajar lelaki di antara mereka.

“Ala…nak tulis panjang ke ustazah?” Salah seorang dari mereka bertanya. Terdengar sedikit keluhan dari wajah-wajah muda di hadapan saya.

Saya tersenyum.

“Tak perlu panjang. Satu perenggan dah cukup,” saya menjawab.

“Tajuknya : kalau saya satu benda, saya ingin jadi….( apa ?). Tuliskan juga sebab-sebab mengapa kamu pilih benda tersebut dan kemudian lukiskan benda itu. Semuanya mesti ditulis dan dilukis di atas kertas yang ustazah edarkan ini. Faham ye?” Saya memberikan arahan selanjutnya.

“Faham,” mereka menjawab.

“Jangan lupa, tuliskan matapelajaran di bahagian atas. Hari ini kita belajar tauhid,” saya menyatakan sambil menulis matapelajaran yang sedang dipelajari di papan putih.

“Aik…ustazah suruh kita tulis karangan dan melukis. Apa pulak kaitannya dengan tauhid?” Di belakang saya, terdengar bisikan kehairanan seorang pelajar lelaki bersama rakannya yang duduk bersebelahan.

“Buat je lah,” rakannya membalas. Saya mendengar dengan senyuman yang kian melebar.

SEBUAH KISAH
Ada sebuah kisah menarik yang pernah saya baca. Pengajaran yang terdapat padanya sangat baik untuk renungan bersama. Begini kisahnya…..

Suatu ketika ada dua batang pokok yang tumbuh dan membesar di atas sebuah bukit di dalam hutan. Kedua-duanya saling berbicara di antara satu sama lain tentang impian dan cita-cita masing-masing.

“Aku berharap, suatu hari nanti aku akan menjadi peti simpanan harta. Aku akan diisi dengan emas, perak dan barangan kemas yang begemerlapan. Badanku akan diukir dengan ukiran yang indah dan menawan. Semua orang akan memuji kecantikan dan keindahan yang menyerlah pada tubuhku,” kata pohon pertama memasang angan-angan.

“Aku pula mengimpikan akan menjadi sebuah kapal yang besar dan gagah. Di tubuhku ini, aku akan membawa raja dan permaisurinya belayar merentas lautan sehingga ke penjuru dunia. Semua yang berada di atasku akan merasa selamat kerana kekuatan binaanku dan keampuhan tubuhku,”pohon kedua pula menyuarakan impian.

Selang beberapa tahun selepas itu, datang sekumpulan pembalak. Salah seorang dari mereka meninjau ke batang pohok pertama.

“Pokok ini nampak kuat. Aku akan tebang ia dan berikannya kepada tukang kayu…” terdengar bicara si pembalak. Pohon pertama berbunga rasa. Dia pasti, angan-angannya dulu untuk menjadi peti simpanan harta akan menjadi nyata.

Sementara itu, seorang pembalak lain mendekati pohon kedua.

“Pokok ini, batangnya utuh dan teguh. Aku akan tebang ia dan menjualnya ke limbungan kapal,” kata pembalak tersebut. Pohon kedua tersenyum gembira. Dia yakin perjalanan impiannya untuk menjadi sebuah kapal yang besar dan kukuh akan terlaksana tidak lama lagi.


TAKDIRNYA BEGITU
Sebaik sampai di tempat tukang kayu, pohon pertama diambil dan dijadikan sebuah kotak kayu yang digunakan sebagai bekas makanan untuk haiwan ternakan. Ia kemudiannya diletakkan di dalam bangsal. Pohon pertama berduka. Musnah sudah angan-angannya dulu. Dia kini bukanlah sebuah peti simpanan harta yang berukir cantik, tetapi sebaliknya hanya kotak kayu biasa berisi timbunan jerami kering.

Pohon kedua pula sampai ke limbungan kapal. Di sana, dia dipotong dan dijadikan sebuah bot kecil untuk menangkap ikan. Sebagaimana pohon pertama, pokok kedua juga kecewa dan tidak gembira. Dia tahu, impiannya dulu untuk menjadi sebuah kapal yang kuat dan kukuh, hanya tinggal impian semata.

Tiga tahun berlalu, dan kedua-dua pohon itu semakin melupakan impian dan harapan yang pernah mereka semai.


Sehinggalah pada satu hari, sepasang suami isteri yang entah dari mana tiba di bangsal, di mana pohon pertama berada. Di bangsal ini, si isteri melahirkan seorang bayi. Oleh kerana tiada tempat lain yang sesuai untuk meletakkan bayi mereka yang masih kecil, pasangan suami isteri tersebut membaringkan anak mereka pada tubuh pohon pertama yang telah menjadi kotak kayu berisi jerami kering. Hanya kotak itu sahaja yang dapat memberikan sedikit keselesan kepada si kecil yang belum mengerti apa-apa.

Pohon pertama bagaikan turut merasai keperluannya saat ini. Kini dia menyedari, walau tidak dapat menjadi peti simpana harta dengan kilauan emas permata yang berharga, dia kini sedang memegang satu ‘harta’ yang sangat penting dan bernilai sepanjang masa. Seorang anak kecil yang diharapkan akan membesar dan berbakti kepada dua ibu bapanya.

Beberapa tahun selepas itu pula, sekumpulan nelayan menggunakan bot kecil yang diperbuat dari pohon kedua. Nelayan-nelayan itu mula bergerak ke tengah samudera luas untuk menangkap sebanyak mungkin ikan. Tiba-tiba, ribut besar melanda. Lautan yang tenang mula mengganas. Bot kecil itu terumbang-ambing dihempas badai.

Saat itu, pohon kedua yang telah menjadi bot kecil tersebut merasa tidak mampu untuk menyelamatkan nelayan-nelayan di dalamnya sehinggalah dia melihat kesungguhan seorang nelayan mengawal kemudi sambil berteriak memberi arahan kepada rakan-rakannya untuk terus berjuang menentang gelombang.

Ribut yang melanda akhirnya reda. Suasana kembali tenang. Dengan senyuman lega, nelayan itu berkata, “Kita selamat.”

Pohon kedua yang telah menjadi bot kecil itu merasa amat kagum dan gembira. Dia menyedari bahawa di atas tubuhnya kini berdiri seorang ‘raja’ yang gagah dan berjasa.
Begitulah takdir menentukan.


SAYA INGIN MENJADI…
“Kalau saya satu benda, saya ingin menjadi teddy bear.” Kuat dan jelas suara seorang pelajar perempuan di bahagian belakang membacakan karangannya. Rakan-rakan perempuannya yang lain tersenyum-senyum memandang saya. Pelajar-pelajar lelaki di hadapan ada yang berbisik-bisik sesama mereka dengan butiran yang tidak jelas di telinga.


“Kenapa nak jadi teddy bear?” soal saya teruja.

“Saya ingin jadi teddy bear kerana saya ingin disayangi, manusia selalu suka teddy bear. Kadang-kadang, teddy bear menjadi tempat curahan sedih atau gembira..” Pelajar tersebut membacakan karangan ringkasnya.

Terpapar di mata saya lukisan patung beruang yang tersenyum ceria. Saya turut tersenyum sebaik karangan pendek itu habis dibaca.

Saya beralih pula kepada pelajar perempuan lain. Kak long ingin menjadi baju yang direka dengan pelbagai warna dan menarik perhatian manusia, kak ngah pula mahu menjadi sebuah komputer yang dipenuhi dengan perisian canggih semasa manakala seorang lagi pelajar perempuan sebaya mereka mahu menjadi sebuah robot perempuan kerana fungsinya yang tidak jauh berbeza sebagaimana manusia biasa.

Menarik !

Tiba pula giliran pelajar lelaki membacakan karangan mereka.

“Kalau saya satu benda, saya nak jadi pistol,” kata pelajar lelaki yang berdiri betul-betul di hadapan saya. Mendengar itu, saya tertawa. Jawapannya itu agak jauh dari jangkaan saya dan rakan-rakannya yang lain.

Salah seorang pelajar lelaki, yang mula-mula membacakan karangannya mahu menjadi Menara Berkembar Petronas, manakala rakan di sebelahnya pula ingin menjadi sebuah kitab suci al Quran. Pelajar seterusnya mahu menjadi sebuah pintu dan pelajar selepas itu pula mahu menjadi sebuah buku. Semuanya dengan sebab masing-masing yang tidak kurang menariknya.

Tetapi yang seorang ini, mahu menjadi pistol?

“Saya nak jadi pistol sebab kalau ada orang jahat, saya boleh mempertahankan diri dan orang lain,” penuh yakin dia mengulas dan memberikan sebab. Saya tersenyum.


KITA BERUSAHA, ALLAH MENENTUKAN
“Baik…semua jawapan dengan sebab-sebab yang diberi bagus dan menarik. Tapi tentu kamu pelik, apa pulak kaitannya karangan dan lukisan ‘impian’ kamu ingin menjadi benda itu dengan matapelajaran tauhid kita pada hari ini?” saya melontarkan persoalan untuk membuka minda mereka.

Semua pelajar tersebut diam. Mereka tekun mendengar. Kelihatan dari wajah mereka, ternanti-nanti penjelasan selanjutnya.

“Sebenarnya ustazah nak sentuh tentang kekuasaan ALLAH SWT sebagai TUHAN yang menentukan segala-galanya. Dalam rukun iman yang keenam, ia disebut sebagai beriman dengan qada dan qadar.”

Saya berhenti seketika dan menarik nafas. Agak sukar juga membicarakan tajuk yang menyentuh keyakinan kepada ALLAH SWT ini menggunakan bahasa yang mudah difahami.

Pada saya, tidak perlu menghuraikan panjang lebar tentang qada dan qadar dalam bahasa ilmiah yang sukar untuk anak-anak seusia mereka mencerna dan mengerti, tetapi cukup hanya dengan contoh ringkas beserta aktiviti yang menarik perhatian mereka sebagaimana permulaan yang saya lakukan tadi.

Itu harapan saya.

“Kita semua ada impian dan harapan yang tersendiri. Ramai yang mahu selalu disayangi, dimanja macam teddy bear tadi…”

Terpamer senyuman manis pada wajah pelajar perempuan yang dimaksudkan.

“Tidak kurang juga yang mahu menjadi perhatian ramai macam Menara Berkembar Petronas. Dan ada juga yang mahu menjadi orang bijak dan selalu menjadi tempat rujukan orang lain seperti sebuah buku yang penuh dengan ilmu. Cuma, satu perkara kita kena ingat, tak semua yang kita impikan akan berlaku sebagaimana yang kita mahu sebab ALLAH SWT mempunyai perancangan lain yang kita tak tahu.

Ada sebab mengapa berlaku sebegitu. Allah dah beri kita semua keupayaan untuk berikhtiar dan berusaha sebaik mungkin. Kita ada akal untuk berfikir, ada tenaga, badan yang sihat untuk bekerja. Bila dah berusaha sehabis daya, namun hasil yang kita dapat tidak sebagaimana yang kita mahukan, itulah ujian dan dugaan yang ALLAH datangkan supaya kita melipatgandakan lagi usaha yang ada.

Bukan dengan berserah semata-mata atau menyalahkan takdir atas setiap keburukan yang menimpa. ALLAH berikan bermacam ujian itu untuk melihat sama ada kita akan terus beriman atau tidak, sama ada kita masih tetap meminta bantuan dari ALLAH atau kita akan jadi semakin jauh dari-NYA.

ALLAH nak lihat bagaimana usaha kita berdepan ujian yang diberi. Adakah masih patuh dan taat mengikut syari'at ALLAH atau terus melakukan perkara yang ALLAH benci.
Kerana itu, Rasulullah SAW mengajar kita bagaimana orang yang beriman bila datang ujian dan cabaran dalam hidup, iaitu bersabar bila diberikan ujian keburukan serta bersyukur jika diberi ujian kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sungguh, amat mengagumkan keadaan orang mukmin itu, karena semua urusannya itu baik baginya. Bila ia mendapat ni’mat (kebahagiaan), dia bersyukur, maka itu menjadi kebaikan baginya. Dan bila ditimpa musibah, dia bersabar, maka itu menjadi kebaikan baginya.” ( Hadis riwayat Muslim)

Itulah maksud beriman kepada qada dan qadar, iaitu kita hendaklah yakin dan percaya dengan sebenar-benarnya bahawa apa sahaja yang berlaku di dalam hidup kita sama ada yang baik atau buruk, semuanya berlaku dengan kehendak dan kekuasaan ALLAH. Kita sebagai manusia hendaklah berusaha sebaik mungkin, tetapi hasilnya nanti tetap ALLAH SWT yang menentukan.”

Saya mengakhiri penjelasan dengan satu helaan nafas yang cukup dalam. Wajah-wajah bersih di hadapan terus saya tatap sepenuh jiwa.

“Semoga pelajaran hari ini sedikit sebanyak menambah meklumat mereka tentang kebesaran-MU Ya ALLAH, memupuk iman di dalam jiwa mereka yang masih bersih dari karat-karat dosa.” Saya berbisik memanjangkan munajat ke hadrat Yang Esa.


‘DIA’ PENENTU SEGALA
Sememangnya perjalanan hidup memang tidak selalu seiring sejalan sebagaimana yang kita harapkan. Tiada di antara kita menginginkan keburukan dan kekecewaan berlaku di dalam hayat yang sementara ini. Bahkan apa yang kita mahukan adalah semua yang mulus dan baik-baik belaka.

Akan tetapi, dunia dengan segala isinya merupakan ujian dan masalah yang tidak berpenghujung. Ia bersilihganti menemui kita sepanjang perjalanan usia ini dalam bentuk kesulitan atau kemudahan, dengan ‘rupa’ kebaikan atau keburukan, sebagai satu hikmah untuk ALLAH SWT menyaring di antara sekian ramai umat manusia yang ada, siapa yang benar-benar berjihad dan bersabar di jalan-NYA.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud :


وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Maksudnya : ”Dan sesungguhnya KAMI benar-benar akan menguji kamu agar KAMI mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar KAMI menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu”. ( Surah Muhammad [47] ayat 31 )

Sebagaimana kisah dua pohon hutan, seumpama impian anak-anak yang masih belum punya banyak pengalaman kehidupan, manusia memang boleh berharap dan berencana tentang apa saja, tetapi ALLAH jualah yang menentukan hasil akhirnya.

Justeru itu, walau apapun yang sedang kita lakukan, impikan atau angan-angankan, wujudkan satu ruang di dalam jiwa untuk DIA. Sebuah ruang yang bergemerlap dengan cahaya keimanan berisi keyakinan yang ampuh terhadap segala kehendak-NYA. Lantaran apa yang ada dalam pengetahuan ALLAH SWT sebagai Pencipta, benar-benar berada di luar kuasa dan jangkauan manusia. Hanya ikhtiar yang tidak mengenal putus asa, doa, raja’ ( harapan ) dan tawakal kepada-NYA, menyediakan kita dengan jiwa hamba yang tenang dan reda atas setiap ketentuan Yang Maha Esa.


PADA MANUSIA DAN ALAM INI
Saya menginsafi dengan segala kekerdilan diri, bahawa setiap kejadian-NYA tidak ada yang sia-sia. Walau ada ketikanya, sesuatu yang dirancang kelihatan tersasar dari matlamat yang diimpi, saya pasti bahawa ALLAH SWT memiliki rencana untuk diri ini.

Tinggal lagi, untuk saya meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada DIA Yang Maha Mengetahui. Selamanya, kita sebagai manusia tidak akan pernah tahu apa perancangan ALLAH untuk kita. Kita hanya tahu bahawa ‘cara-cara dan jalan-jalan NYA’ merupakan yang terbaik untuk diyakini dan dipercayai.

Saya masih merenung ke langit yang tinggi, namun cahaya yang melimpah kian sirna ditutupi awan mendung yang tidak lagi bersih memutih. Sang angin terus setia bertiup, membawa bersamanya lebih banyak awan mendung nan kelabu.

Sungguhpun begitu, hati ini tetap disiram kedamaian dan kebahagiaan kerana saya tahu, sebentar lagi akan jatuh titis-titis jernih. Membersih kotoran debu dan habuk-habuk yang berterbangan di udara.

Sesungguhnya pada diri manusia dan alam ini terserlah kebesaran TUHAN yang tidak terungkapkan.

Maha suci-MU Ya ALLAH!

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

8 comments:

nihas said...

Assalamualaikum wbt..
subhanallah...
buah pandangan yang sangat baik.
di saat diperlukan.
sy mohon di copy dan share dgn rakan ya...

Ummu Auni said...

Assalamu`alaikum warahmatullah.
Terima kasih atas artikel ini. Kebetulan baru membelek buku untuk ajar anak saya bab tauhid. Alhamdulillah, lebih mudah untuk mengajarnya

mujahadah said...

Syukur ya ALLAH kerana dengan menjadikan aku manusia..aku lebih dekat denganMU..Sujud cintaku padaMU mengasyikkanku sehingga mengalir mutiara jernih membasahi pipiku...terima kasih ustazah ats perkongsian ini..

nur izzati ramli said...

salam..perkongsian yg begitu bermakna buat sume.kite hnye mentadbir tp Dia yg menentukan..

Alasmal said...

Salam,

Apa yg diceritakan bagai tepat pada masanya...saya berhadapan dengan seorang sahabat yg tidak dapat menerima kenyataan dengan apa yg telah Allah sediakan untuknya...
Mohon share...thanks so much .

wawa said...

satu catitan yang bermakna...dapat idea utk didik anak2 dan manfaat utk diri juga. Jzkllah.

am0i Ida said...

Alhamdulillah..

maceh kak, kreatif kak ina..senang guna kaedah camni utk ajar anak2 tentang tauhid.. :)

balqis wilson said...

begitu bermakna tulisan husna, banyak ilmu di dalamnya..insyallah akan saya cuba untuk dikongsikan bersama sesiapa sahaja, semuga kita akan dapat bersama keberkatannya..