SEDIKIT PENJELASAN

Sebenarnya, saya berazam untuk tidak melanjutkan perbincangan tentang rumahtangga selepas entri : Sinergi 1,2 dan 3 yang lalu, tetapi memang sukar nampaknya; kerana berbicara tentang perkahwinan dan hubungan suami isteri tidak ada satu pun yang remeh dan kecil. Semuanya penting dan besar bagi saya.

Tidak pernah saya lupa kepada peribahasa ‘orang-orang’ kita, It takes two to tango :)

Bertepuk sebelah tangan, manakan ada bunyinya!

Kerana itu saya tidak pernah menafikan peranan dan tanggungjawab lelaki ( suami ) untuk mengemudi bahtera rumahtangga. Lebih-lebih lagi lelaki dihalakan di dalam masyarakat dan agama yang mulia ini sebagai teraju utama kepimpinan sesebuah keluarga.

Firman Allah Ta'ala:

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang baik ( solehah ) itu ialah yang taat (kepada ALLAH dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan ALLAH dan pertolongan-NYA dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi, lagi Maha Besar.(An-Nisa: 34)

Mafhum ayat di atas, jika di pandang sekilas, memperlihatkan seolah-olah para suami diberi keistimewaan dan anugerah. Namun hakikatnya ia adalah sebuah amanah dan tanggungjawab yang sangat berat dari ALLAH.

Lelaki beriman yang membaca ayat ini pasti menginsafi bahawa kehadiran isteri di dalam hidupnya bukan sekadar hadiah, sebaliknya isteri adalah cubaan dan ujian. Seorang suami akan diperhitungkan dengan segala tindak tanduk isteri. Dia akan ditanya sama ada telah menyempurnakan tugasnya memimpin, memberi nafkah, didikan agama, tempat tinggal, pakaian dan lain-lain keperluan asas atau tidak.

Ringkasnya, ujian isteri bukan calang-calang langkah menghadapinya kerana ia mencabar seorang suami untuk bijak membawa isterinya taat kepada ALLAH.

Silap perhitungan, seorang isteri boleh menjadi punca dan sebab seorang suami terheret ke neraka yang membakar!

KETAATAN ISTERI

Lantaran itu, Islam menggariskan kepatuhan yang tidak berbelah bagi daripada isteri kepada suami. Iaitu membantu suami untuk melaksanakan perintah ALLAH dan meninggalkan larangan-NYA.

Isteri diibaratkan seperti sayap kiri kepada suami, bagi membantunya terbang menyusuri hayat di dunia ini. Ini kerana tugas suami bukan sahaja membentuk keluarganya menjadi sebuah keluarga yang bertaqwa kepada ALLAH SWT bahkan ia melangkaui lebih jauh dari itu, iaitu ke arah membentuk masyarakat dan negara yang diredai.

Saya fikir, semua wanita beriman telah memahami bahawa ketaatan yang dikehendaki oleh ALLAH SWT keatas seorang isteri terhadap suaminya adalah penyerahan yang bulat dalam memimpin dirinya dan segala hal ehwal yang berhubung dunianya selama tidak menyalahi hukum agama, di setiap masa dan dalam apa jua suasana. Situasi ini antaranya apabila isteri mempunyai pendapat dan pilihan sendiri dalam sesuatu perkara sedangkan ia berlawanan dengan kehendak suami, maka hendaklah ia akur dengan pilihan dan kehendak suaminya dan lain-lain seumpama itu.

Akan tetapi, jika suami tidak lagi melaksanakan peranannya, tanggungjawab sebgai ketua rumahtangga diabaikan sewenangnya, bahkan menzalimi isteri, sama ada dengan melakukan kekerasan, menghina, memeras tenaga isteri untuk menyara keluarga sedang suami masih mampu, sihat dan bertenaga, sehingga ada suami dengan mudah menggunakan alasan agama untuk melakukan keganasan terhadap isterinya, maka ketika itu ketaatan tidak lagi terpakai.

Jangan sesekali mengalah kepada keazaliman!

Jangan terpedaya dengan emosi sayang dan kasih yang bukan pada tempatnya dengan diri rela menanggung sakit ditendang dan dipukul tubuh badan, bahkan sehingga ada isteri yang sanggup melanggar hukum ALLAH semata-mata kerana menyangka ia satu ketaatan kepada suami.

Saya sangat kesal andai situasi ini dibiarkan berlarutan tanpa apa-apa tindakan. Ini bukan ketaatan yang dikehendaki syari’at, ia juga bukan tanda sayang, tapi ini adalah cinta yang membuta tuli dan jauh dari rahmat ILAHI.

Justeru, selain bersabar, ikhtiar dan berusahalah untuk menghentikan kezaliman suami kerana membiarkannya terus melakukan kesilapan itu adalah juga satu dosa.

MENGENAI HADIS

Memang acap kali saya menekankan, bahawa tidak mudah untuk melaksanakan saranan Rasulullah SAW dalam zaman yang penuh dengan cabaran pemikiran dan ideologi, yang berbaur antara timur dan barat, bertembung pula antara kehendak budaya dan agama sehingga tidak kurang wujud gerakan pembebasan wanita Islam yang memandang peringatan-peringatan Nabi SAW lewat hadis dan sabdanya itu sebagai ancaman kepada kemajuan wanita moden hari ini dengan gaya bahasa memperleceh dan menghina.

Sedangkan, bagi individu yang beriman, apabila datang perintah ALLAH kepada mereka, kepatuhan segera dilaksana. Ia terserlah dari slogan yang amat mudah," Kami mendengar dan kami patuh."

Berbeza dengan orang munafiq yang menyebut, "Kami mendengar tetapi kami engkar".

Semoga kita tidak tergolong dalam kelompok yang tersasar ini.

Saya suka memberi satu contoh beberapa hadis yang kerap disalahtafsir oleh golongan pembenci hadis-hadis Nabi SAW.

Contoh-contoh beserta huraian hadis ini saya dapatkan dari sini.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Aku menjenguk dalam syurga dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah orang miskin dan aku menjenguk dalam neraka dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita. ( Sahih: Hadis daripada Imran bin Husain radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5198 (Kitab Nikah, Bab tidak berterima kasih kepada al-‘Ashiir.............)

Kemusykilan:Mengapakah di dalam neraka terdapat banyak wanita ?

Penjelasan:Hadis ini termasuk dalam bab al-Targhib wa al-Tarhib, iaitu memberi anjuran dan ancaman terhadap sesuatu perkara. Dalam hadis di atas Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memberi peringatan bahawa neraka berkemungkinan akan dipenuhi dengan wanita. Sebab-sebabnya telah diterangkan baginda dalam beberapa hadis yang lain, antaranya:

Abdullah ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Kemudian aku lihat neraka, dan tidak sebelum ini aku melihat sesuatu yang sangat menggerunkan, dan aku nampak kebanyakan ahli neraka adalah wanita. Bertanya para sahabat: Wahai Rasulullah, apakah sebabnya ? Rasulullah menjawab: Kerana mereka kufur. Ditanya lagi: Adakah mereka kufur kepada Allah ? Baginda menjawab:

Mereka kufur (yakni tidak berterima kasih) kepada suami mereka dan kufur (tidak bersyukur) ke atas kebaikan yang telah diberi kepada mereka (oleh para suami). Sekalipun dibuat baik kepada seseorang mereka sepanjang hayat, apabila dia (isteri) melihat sesuatu (keburukan) pada kamu, dia akan berkata: Saya tidak pernah melihat sebarang kebaikan padamu.” ( Sahih: Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 1052 (Kitab Solat Gerhana, Bab Solat Gerhana berjamaah )

Abdullah ibnu Umar r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: Wahai wanita, bersedekahlah kalian dan perbanyakkanlah beristighfar kerana aku melihat kalian sebagai penghuni nereka yang terbanyak. Bertanya kaum wanita: Kenapa kami yang terbanyak dalam neraka wahai Rasulullah ? Rasulullah menjawab: Kerana kalian banyak mengutuk dan mengingkari (kebaikan) suami. ( Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, di atas dengan lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 79 (Kitab Iman, Bab Berkurangnya Iman........)

Dalam hadis-hadis di atas Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa sikap wanita yang mungkin akan mengakibatkan dirinya diazab dalam api neraka. Di sini penulis berkata mungkin kerana hadis-hadis ini bersifat memberi peringatan dan ancaman, bukan menetapkan. Peringatan akan beberapa sikap tercela dan ancamanbahawa sikap tersebut jika tidak dijauhkan akan menyebabkan diri seseorang itu diazab dalam neraka.

Perkara lain yang perlu dipertimbangkan dalam hadis di atas adalah kadar ketegasan teguran Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Sabda baginda: Aku menjenguk dalam neraka dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita mudah diterima oleh muslimah di zaman baginda kerana mereka sering mengingat dan diingatkan tentang Hari Kebangkitan, Padang Mahsyar, titian Sirat, Syurga dan Neraka. Justeru teguran Rasulullah di atas tidak memeranjatkan mereka, malah mereka berusaha untuk bertanya kepada Rasulullah kenapa dan bagaimana cara mengelakkannya.

Hadis seterusnya pula, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan tetapi masih belum daripada kalangan wanita yang telah mencapai kesempunaan kecuali Maryam binti Imran dan Asiah isteri Firaun.” ( Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang daripada Abu Musa al-‘Asy‘ari radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain, lihatSahih al-Bukhari – no: 3433 (Kitab Para Nabi, Bab Firman Allah: Ketika berkata para malaikat “Wahai Maryam !...............3:45-47 ).

Kemusykilan:Bagaimanakah dapat dikatakan bahawa lelaki lebih sempurna daripada wanita ? Bukankah hal ini relatif kepada tiap-tiap individu dan boleh berubah-ubah ? Bahkan di masa kini kita lihat bahawa banyak wanita yang lebih sempurna daripada lelaki dari sudut agama, ilmu, akhlak dan sebagainya.

Penjelasan:Hadis di atas sebenarnya bermaksud memberi motivasi kepada kaum wanita agar mereka sentiasa berusaha ke arah kesempurnaan atau setepatnya menjadi insan yang kamil. Dalam memberi motivasi ini Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memberi beberapa contoh sebagai model teladan, iaitu lelaki dan dua orang muslimah yang agung dalam sejarah manusia, iaitu Maryam binti Imran ibu kepada Nabi Isa ‘alaihi salam dan Asiah isteri Firaun, radiallahu ‘anhuma.

Petunjuk kepada lelaki sebagai model mungkin bersifat umum dan mungkin juga bersifat khusus kepada generasi sahabat di zaman baginda SAW. Akan tetapi petunjuk kepada Maryam dan Asiah sebagai model adalah sesuatu yang bersifat khusus lagi tetap kerana dua muslimah yang agung ini telah pun diabadikan keistimewaan mereka di dalam beberapa ayat al-Qur’an.

Firman ALLAH SWT :

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ آمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِندَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : "Dan Allah membuat istri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: ""Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam surga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim."

وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ الَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَاتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِ وَكَانَتْ مِنَ الْقَانِتِينَ

Maksudnya : "dan Maryam putri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari roh (ciptaan) Kami; dan dia membenarkan kalimat-kalimat Tuhannya dan Kitab-kitab-Nya; dan adalah dia termasuk orang-orang yang taat." ( Surah at Tahrim ayat 11 dan 12 )

HANYA MEMBANTU

Lalu, atas dasar saya juga merupakan seorang wanita yang pernah merasai pengalaman suka duka, pahit dan manis sebagai isteri, maka saya merasakan dengan mengecilkan topik perbincangan hanya kepada peranan seorang isteri, diharapkan tiada sebarang unsur emosi yang menganggu ketika membicarakannya iaitu :

1. 1. Rasa kecewa, kesal dan sedih dengan kegagalan ramai lelaki hari ini mengemudi bahtera rumahtangga sebaiknya.

2. 2. ceramah-ceramah agama oleh sebahagian para ustaz ( BUKAN SEMUA ) yang tidak mengenengahkan keistimewaan seorang isteri di sisi Islam, tetapi hanya membaca hadis nabi dalam konteks yang salah sehingga watak isteri hanya menjadi modal bahan ketawa para suami yang mendengar. Sangat sedih mengamati pembawaan ceramah agama sebegini!

Saya akur dan menyedari hakikat kewujudan dan kejadian sebagai wanita yang dikurniakan beberapa sifat kelemahan yang menjadikan mereka sasaran nafsu, iblis dan syaitan. Saya tidak pasti bagaimana pengakuan wanita lain terhadap realiti ini, tetapi selama pengalaman yang pernah ditempuhi oleh diri sendiri, hakikat ini tidak dapat saya tolak ke tepi.

Kerana itu, wanita memerlukan bimbingan, didikan dan perlindungan ( SEPATUTNYA DIISI OLEH LELAKI BERNAMA SUAMI ).

Jika tidak mereka dapatkan ia dari seorang suami yang sepatutnya menjadi pembimbing, maka pertanyaan dan harapan yang mengiringi lewat emel-emel yang dikirimkan, saya merasa amat bertanggungjawab untuk melontar sedikit buah fikiran, berkongsi sedikit pengalaman dan buah fikiran, semata-mata agar kita sama-sama BERFIKIR DAN MERENUNG DENGAN MATA HATI BERSULUH IMAN dan mendapat manfaat darinya.

Semoga ia tersenarai sebagai antara usaha-usaha yang berfaedah di akhir zaman ini yang membuahkan taqwa dalam diri wanita yang membacanya, InsyaALLAH. Ia tidak lebih bertujuan melorongkan para isteri umumnya, dan mereka yang mengirimkan emel khususnya, sedikit kalaupun tidak banyak,kepada jalan keluar bagi menyelamatkan mereka dari azab ALLAH SWT.

Juga untuk menanamkan keyakinan kepada wanita-wanita yang belum berumahtangga bahawa perkahwinan tetap berfungsi sebagai sistem yang menaiktaraf martabat wanita di sisi Islam. Ia pelengkap kepada sebahagian urusan agama yang tidak dapat disempurnakan semasa berada di alam bujang trang tang tang :)

Saya bimbang, andai terlalu diasak dengan cerita-cerita kemusnahan institusi perkahwinan yang ada, ramai wanita mula beranggapan sebaliknya, iaitu, apa guna berkahwin jika yang tersedia adalah neraka dunia!

Andai pemikiran sebegitu telah mula dicerna, tunggulah sahaja kehancuran dan kemusnahan yang sangat dahsyat sebagaimana perspektif buruk masyarakat barat terhadap institusi rumahtangga dan keluarga hingga terlalu ramai di kalangan generasi muda mereka yang lebih selesa hidup bersama pasangan masing-masing tanpa ikatan perkahwinan.

Bagi mereka ia lebih mudah kerana tidak terikat. Sungguh, fahaman sebegini adalah fahaman yang sesat dan merbahaya.

Sedangkan sistem pernikahan dari kacamata Islam tidak begitu. Ia sama sekali tidak wajar dipersalahkan, yang silap adalah kegagalan individu menjayakannya.

SEDIKIT PENJELASAN

Akhirnya, ingin saya nyatakan, sebagai wanita, kita tidak mampu mengubah apa-apa yang telah diperingatkan oleh baginda Rasul SAW itu, seperti ramainya wanita menghuni neraka dan lain-lain. Namun itu bukan alasan untuk kita tidak keluar dari statistik tersebut dan mengorak langkah untuk menjadi seorang wanita yang solehah.

Fahamilah, sekian banyak hadis tentang wanita dan amaran baginda, menunjukkan betapa kasih dan prihatinnya baginda kepada kita. Sambutlah kasih sayang ini dengan mengikuti saranan-saranan agama tentang peranan dan tanggungjawab seorang muslimah yang sebenarnya termasuk sebagai isteri kepada lelaki bernama suami.

Saya percaya kepada keberkatan. Dan saya amat yakin kepada rahmat dan bantuan TUHAN.

Justeru itu, apabila seseorang isteri berusaha dengan ikhlas dan mengharapkan pertolongan dari ALLAH SWT atas usahanya untuk memakmurkan rumahtangga itu, semoga dia akhirnya berjaya memikat hati suami, menjadi buah hatinya serta beroleh reda dan kasih suami, maka syurga tempatnya sebagaimana jaminan Rasulullah SAW sendiri.

Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata : Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda :

"Sesiapa pun wanita yang meninggal dan suaminya reda kepadanya, maka ia masuk syurga." ( Hadis riwayat Tirmizi, hasan sahih)

Wallahu’alam.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi InsyaALLAH.

Comments

HZI said…
Assalamualaikum..
Kakak, saya ada pertanyaan..
Kenapakah makin kurangnya rasa hormat isteri zaman sekarang kepada suami mereka.. Tidak seperti isteri2 zaman dahulu.. Adakah kerjaya mereka menjadikan mereka begitu.. Bukankah keutamaan tanggungjawab seorang isteri ialah terhadap suaminya.. Si suami akan lebih menyanyangi isterinya apabila isterinya tahu menghormatinya dan tahu meletakkan kedudukan suaminya di matanya..
Mohon penjelasan kakak.
Salam..
norakashah said…
Salam usatazah. Disini sy ingin utarakan satu pertanyaan. Bagaimana jika kita mengetahui bahawa jiran kita tidak menunaikan solat. Bahkan mereka itu pula adalah sedara kita sendiri.Yg lebih memilukan adalah mereka ini telah lanjut usia.
Makbonda61 said…
Salam Ina,

Masa usia muda dulu,akak selalu juga mempertikai keadilan suami isteri tapi setelah mendengar ceramah dari ustaz Daud C Ngah semasa kursus haji 14 tahun yang lalu "Suami dlihirkan untk nikamat tapi isteri dilahirkan untuk rahmat"
Seiap gerak wanita adalah mendapat rahmat.Untuk mendapat pahala terlalu banyak peluang,tapi ramai isteri yang tak mahu.

Wallahuaalam.
Anonymous said…
Assalamualaikum,tulisan yg bermanfaat dan berguna.
Hazu~ said…
Salam...

untuk mengubah manusia adalah sesuatu yang sangat sukar tetapi kita boleh mengubah diri sendiri. semoga dengan perubahan diri, orang sekeliling juga turut terubah..
saya nak berubah...InsyaAllah..tq ustazah..
Salam semua,

HAFIZI : Banyak sebab dan punca yang membentuk sikap seorang isteri kepada suaminya. Cuma pada saya, bila berbincang tentang peranan suami isteri untuk membina hubungan rumahtangga yang harmoni,ia perlu kepada pendekatan bersama, saling memberi dan menerima.

Ini kerana jika masing-masing mempersoalkan siapa perlu dulu memahami, siapa perlu lebih dulu menyayangi dan lain-lain, maka tiada penyudah kepada persoalan yang diperolehi, malahan ia akan menjadi umpama teka teki: antara ayam dan telur yang mana wujud dulu..kan susah tu.

Justeru, bersama-samalah berusaha untuk saling melengkapi, menambah apa yang baik dan menyeimbangi kekurangan yang ada.

Suami yang soleh, akan bersabar mendidik isterinya, manakala isteri yang solehah akan berusaha mentaati suaminya selama tidak bertentangan dengan syari'at agama. InsyaALLAH, sakinah, mawaddah wa rahmah akan hadir menaungi rumahtangga mereka.
Unknown said…
Salam... Kak ina,
Saya ada pertanyaan, bagaimana jika si isteri mahu berhenti bekerja untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga dan bimbang dengan bekerja lebih mendekatkannya dengan keburukan seperti contoh pergaulan antara lelaki dan wanita ditempat kerja yang lebih bersikap terbuka, kadangkala tersentuh antara satu sama lain walaupun tidak disengajakan, suara yang kadang-kala tidak dapat dielakkan daripada bercakap kuat, kadang2 terpaksa duduk atau berdiri berdekatan dengan lelaki dan lain-lain lagi. Ini adalah gambaran/kenyataan terutama bagi wanita-wanita yang bekerja dalam bidang engineering dan beberapa bidang lain yang banyak dimonopoli lelaki. Adakah dikatakan derhaka jika seseorang isteri itu mahu berhenti bekerja bagi mengelakkan perkara-perkara sedemikian sedangkan suaminya mahu dia bekerja untuk membantunya mencari nafkah keluarga. Adakah isteri tersebut dikira derhaka jika si isteri berhenti kerja tanpa persetujuan suaminya. Harap akak dapat membantu dan memberikan pandangan. Terima kasih.

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA