25 September 2010

MOGA BARAKAH ITU KITA RAIH

Ramadan semakin jauh pergi. Syawal juga bakal berakhir, tidak lama sahaja lagi. Kehangatan sambutan Aidilfitri di Leicester juga sudah berlalu, tidak sehangat sebagaimana Syawal pertama, kedua dan ketiga dua minggu yang lalu. Kalaupun ada, mungkin suam-suam kuku sahaja panasnya, kerana meneruskan ibadah puasa enam, juga melunaskan hutang puasa Ramadan bagi kaum perempuan.


Semuanya kembali normal. Rentak hidup kini mengulangi rutin biasa pada bulan-bulan sebelum Ramadan tiba.


Sedangkan saya….

Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali sejak hari-hari terakhir Ramadan, hanya membuka dan merenung kosong ke arah paparan utama blog ummuhusna99 dengan hasrat agar keinginan untuk menulis kembali menjelma. Beberapa emel yang tiba, yang di antaranya mengenengahkan persoalan tentang barakah di dalam rumahtangga, juga belum cukup mencuit jiwa saya untuk membalasnya. Persoalan yang ada hanya saya baca di dalam jiwa :


“Assalamualaikum wbt Kak Ina,

Dah lama dah saya membaca blog Kak Ina dan alhamdulillah
banyak yang saya belajar dari situ...
Saya cuma nak tanya pada Kak Ina
tentang apa yg dimaksudkan dengan 'barakah' dalam perkahwinan. Selalunya bila
ada pernikahan, kita akan ucapkan 'barakallahu lakuma', apa yang kita maksudkan
dengan doa itu? adakah kebahagiaan, keredhaan Allah dan zuriat sahaja?

Harap akak dapat bantu saya, ataupun jika ada artikel yang
boleh saya baca berkaitan ini. Kalau Kak Ina sibuk sekarang,bolehlah
ditangguhkan dulu sampai Kak Ina berkelapangan.

Semoga Kak Ina sekeluarga dirahmati Allah.”


Terasa amat bersalah, namun, keinginan menulis nampaknya belum menyerlah. Idea ada, tetapi upaya dan daya kurang membara. Ditambah, halangan untuk menterjemah idea di kepala sering tergendala dek berebut menggunakan komputer dengan anakanda bertiga. Kak Long, Kak Ngah dan Khalil yang sudah memulakan semester baru persekolahan di bulan September ini.

Komputer yang biasa mereka gunakan entah mengapa tidak berfungsi tiba-tiba, lalu komputer desktop saya menjadi sasaran mereka. Lagi pula, niat untuk melipatgandakan amalan dan ibadah di penghujung bulan yang barakah itu, turut mengurangkan hasrat untuk menulis dan berkarya.

Selesai menyambut Syawal, saya cuba pula menukar ‘layout’ dan penampilan blog. Mana tahu, semangat untuk meninta di layar kaca berubah cuacanya..dari mendung kepada bersinar cerah semula. Tetapi, masih hampa. Awan mendung belum mahu berarak pergi, masih tebal menyelubungi diri.


Sehinggalah…


KEJUTAN
“Eh! Kita nak pergi mana ni bang?” saya menyoal suami sebaik sahaja kereta yang dipandunya membelok ke kiri, bukan ke arah kanan menuju ke rumah kami di nombor 18, Barbara Avenue. Suami hanya tersenyum.


Sangkaan saya, setelah selesai membeli barangan dapur di kedai Pakistan berhampiran, kami akan langsung pulang ke rumah. Akan tetapi, kelihatannya suami sudah ada perancangan lain yang tidak saya ketahui.


Saya menjeling suami. Senyumannya masih menguntum. Sesekali matanya beralih memandang cermin sisi. Saya semakin tertanya-tanya di dalam hati. Ada kejutan barangkali ?


Melihat suami mendiamkan diri, saya hanya menanti dan menyusuri pemanduannya ke destinasi yang tidak saya pasti. Dahi berkerut kerana cuba memikirkan arah tujuan.

Namun, sebaik sahaja kereta memasuki perkarangan meletak kereta di pusat membeli belah St. Georges Retail Park, kerutan di dahi saya bertukar kepada senyuman yang panjang. Melihat deretan kedai di hadapan, iaitu Currys, PC world dan Comet, saya sudah dapat meneka barangan yang akan dibeli oleh suami tercinta.

“He..he..kenapa tak cakap awal-awal,” saya mengusik sambil melangkah bersamanya. Berada di tengah antara saya dan suami, si kecil Solehah yang sentiasa ceria menemani ayah dan Umminya ke sini dan sana.


Terasa hati berbunga indah bila janji yang diucapkan suami suatu ketika dulu, bakal dikotakannya sebentar sahaja lagi.



JAWAPAN
Alhamdulillah, petang ini, dengan bantuan ‘si kecil’ berwarna merah muda ini, saya mula menulis dengan menjawab persoalan barakah yang diutarakan. Jawapan saya :


“ Waalaikumussalam warahmatullah wabarakaatuh, ukhti.

Terima kasih atas persoalan yang diutarakan. Mudah
menjawabnya, tetapi tidak semudah melaksanakannya.

Hakikatnya, lafaz baarakallah itu adalah suatu doa yang diajar
oleh raslullah SAW sendiri untuk pasangan lelaki dan wanita yang menjadi raja
sehari. Mengucapkannya merupakan satu bentuk pengharapan kepada ALLAH SWT, agar
ikatan pernikahan/perkahwinan yang terjalin diwarnai dengan amalan yang
menerbitkan barakah kerana keberkatan inilah yang akan menatijahkan reda ALLAH
kepada pasangan mempelai ini dalam menelusuri perjalanan hidup sebagai suami
isteri.

Ia adalah ucapan yang indah kepada pasangan yang akan memulakan
bahtera cinta rumahtangga, dan ia juga secara tidak langsung menghadirkan
kebaikan dan pahala kepada individu yang melafazkannya kerana menuruti sunnah
rasul yang mulia. Justeru, kurangkan keutamaan ucapan-ucapan yang tidak memberi
makna bahagia yang hakiki seperti, ‘semoga bahagia hingga ke anak cucu’,
‘selamat pengantin baru’ dan seumpamanya. Sebaliknya ucapkanlah kalimah munajat
ini agar manfaat yang terkandung padanya menyerak bahagia kepada semua manusia.
Hanya dari satu ucapan ringkas tetapi berasas dari junjungan agung,
Muhammad SAW. “


بارك الله لك وبرك عليك وجمع بينك في خير


Maksudnya : “Allah memberkati untukmu dan berkat ke atasmu serta mengumpulkan kamu berdua dalam kebajikan.” (Hadith Riwayat Ashabus Sunan kecuali An Nasai dan lihat Shahih Tirmidzi 1/317)



BERMULA BARAKAH
Saya akur tidak ramai pasangan yang mahu melangkah ke alam rumahtangga dewasa kini, sibuk memikirkan tentang keberkatan pernikahan. Berawal mula dari perhubungan lelaki dan perempuan di dalam tempoh pertunangan, seterusnya persiapan dan penyediaan majlis kenduri perkahwinan yang selari dengan ajaran agama, hingga membawa kepada cara dan nilai hidup yang diamalbudaya di dalam rumahtangga.

Rata-rata, ramai bermula dengan kebimbangan pada memilih jodoh yang sepadan. Yang cantik biarlah sama padan dengan si tampan. Yang berharta biarlah sesuai dengan yang berpangkat dan ternama. Seterusnya, kerisauan itu bertali pula kepada memikirkan belanja untuk perjalanan majlis resepsi yang bakal dilalui. Mereka menginginkan ia berjalan penuh kehebatan, pakaian yang gah berseri, jemputan VVIP dan lain-lain lagi.

Pendek kata, serba serbi ingin melebihi majlis perkahwinan pasangan lain sebelum ini. Jika boleh, biarlah pengalaman menjadi raja sehari ini, adalah unik dan tersendiri. Maka lahirlah pelbagai tema dan konsep majlis bagi memenuhi impian ini. Antaranya, garden weddings, fairy tales, Arabian Nights dan pelbagai lagi.

Andai barakah di dalam perkahwinan itu diukur dari padanan rupa, harta dan keturunan, juga kehebatan majlis perkahwinan, maka sudah pasti Rasulullah SAW menggesa umatnya berbelanja besar lagi mewah untuk meraih keberkatan yang dijanjikan TUHAN.

Namun, hakikat sebenar keberkatan itu bermula dari bagaimana ikatan serta perhubungan dua jiwa itu disempurnakan. Sebagaimana penegasan rasulullah SAW di dalam sabda baginda yang bermaksud :

“Wanita yang paling agung keberkatannya, adalah yang paling ringan maharnya.” (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, Al-Baihaqi dengan sanad yang sahih)

Juga sabda baginda yang bermaksud :

“Sesungguhnya, kata Rasulullah SAW : ‘termasuk dari keberuntungan perempuan adalah mudah lamarannya, ringan mas kahwinnya dan subur rahimnya.” ( Hadis riwayat Ahmad)

Selanjutnya baginda juga mengingatkan di dalam sabdanya yang lain, yang bermaksud :

“ Seseorang yang menikahi wanita kerana kedudukannya, Allah akan menambahinya kehinaan, yang menikahinya kerana kekayaannya, Allah hanya akan memberinya kefakiran, yang menikahinya kerana nama besar keturunannya, Allah justeru akan menambahkan ke atasnya kerendahan. Namun, lelaki yang menikahi wanita hanya kerana menjaga pandangan mata dan memelihara nafsunya atau untuk mempererat hubungan kasih sayang (silaturrahmi), maka Allah akan memberkati lelaki itu dan memberi keberkatan yang sama kepada wanita itu sepanjang ikatan pernikahannya.” ( Hadis riwayat at Tabarani )

Untuk itu, sewajarnya, bukan rupa, harta,keturunan dan kehebatan majlis resepsi yang dikejar, tetapi kelangsungan jalinan yang dihiasi ketaqwaan dan keimanan itu yang harus diusahakan. Mewah dan gah tetapi menyalahi syari’at ALLAH, tidak akan menghadirkan barakah, bahkan menempah murka ALLAH SWT semata. Na’uzubillah min zaalik.

RUMAHTANGGA YANG BARAKAH
“Abang, apa kayu ukur pada keberkatan dalam sesebuah rumahtangga? Adakah rasa bahagia hanya bila tiada masalah? Kalau rumahtangga yang bermasalah, adakah itu bermakna tiada keberkatan di dalamnya?” Suatu ketika saya cuba bersoal jawab dengan suami.

“Tak semestinya…” Ringkas jawapan suami.

“Macam mana pula tu…ada masalah tapi masih barakah?” Saya menyoal semula.

“Ada masalah atau tidak bukan penentu keberkatan dalam rumahtangga. Tapi, tanda arasnya ialah sejauh mana ajaran agama digunapakai oleh pasangan suami isteri dalam menghadapi cabaran dan dugaan yang melanda. Jika masalah yang hadir menghampirkan mereka kepada pelaksanaan hak dan tanggungjawab terhadap agama, ia tanda berkat. Sungguhpun begitu, jika masalah yang berlaku itu sehingga meruntuhkan sebuah rumahtangga yang terhalang dari pelaksanaan tanggungjwab agama, itu adalah masalah yang membawa berkat juga..seperti firman Allah, “bala yang membawa kebaikan” Suami membalas dengan merujuk kepada firman Allah dalam surah al-Anfaal ayat 17.

“Yelah bang…rumahtangga Nabi pun ada cubaan dan dugaannya, inikan pula rumahtangga manusia biasa. “ Saya mencelah. Suami menganggukkan kepala, mengiyakan kata-kata saya.

“Sebab itu walaupun faham memahami, kepercayaan, cinta dan kasih sayang itu merupakan keperluan dalam perkahwinan, namun tidak boleh tidak, ia mesti diikat dengan iman dan taqwa kepada ALLAH SWT. Kalau tak, maka jadilah nilai faham, percaya, kasih dan cinta itu rapuh dan mudah gugur bila digoncang ujian. Kasih sayang yang lahir bukan kerana ALLAH, sehingga jika pasangan melanggar suruhan agama pun didiamkan sahaja. Rumahtangga yang begini, bukan berkat yang dapat, sebaliknya laknat dan murka ALLAH kerana mengingkari ajaran-NYA.” Suami mengingatkan. Saya hanya tunduk membenarkan.

Saya menginsafi, perkara penting yang menentukan barakah atau tidak di dalam sesebuah perkahwinan ialah komitmen suami isteri. Ke mana hala tuju rumahtangga mereka mahu dibawa. Setiap perkara yang wujud di dalam rumahtangga harus menjadi sumber yang menghampirkan ahli-ahli di dalamnya kepada Yang Maha Berkuasa. Bukan persoalan mahal atau murah, bagus atau tidak tetapi apakah ia dapat atau tidak dipertanggungjawabkan di sisi ALLAH kelak.

Baik harta, suasana di dalam rumah, perhiasan yang digunapakai, bahkan dalam mengalunkan lagu di rumah juga biarlah sesuai dengan apa yang disukai ALLAH SWT. Ringkasnya, rumahtangga yang wujud itu adalah rumah yang berorientasikan ALLAH, demi mengharap cinta, rahmat dan keredaan-NYA.

Semoga dengan aliran reda-NYA itu, ia akan berubah menjadi limpahan barakah yang dapat pula dinikmati oleh orang lain di sekitar mereka.


MOGA BARAKAH ITU KITA RAIH
Saya mengakhiri jawapan balas tersebut dengan beberapa kesimpulan.

1) Rumah tangga yang barakah adalah rumah tangga
yang paling banyak nilai kebaikan, keimanan dan ketaqwaan di dalamnya, yang
dijana oleh setiap ahli di dalam
rumahtangga.

2) Kasih, cinta, faham
dan percaya di antara suami isteri itu satu keperluan, namun ketaqwaan di dalam
diri mereka adalah satu kemestian.

3)
Tidak salah memiliki rumahtangga yang berharta. Akan tetapi, harta yang ada itu
bukan untuk bermegah-megah dan memperkaya diri, tetapi sebaliknya ia sebagai
sumber dan tabungan untuk kebaikan umat
Islam.

4) Akhirnya, kayu ukur untuk
keberkatan di dalam sesebuah perkahwinan itu bukan dilihat pada limpahan harta.
Tidak juga pada deretan cahaya mata, juga bukan pada pangkat dan jawatan yang
menjadi sanjungan manusia. Akan tetapi, kayu ukur pada sebuah keberkatan di
dalam perkahwinan itu adalah pada memaknakan setiap nikmat kurniaan ALLAH SWT
itu, baik ia harta, anak pinak dan jawatan sebagai usaha-usaha kebaikan dan
kebajikan untuk meningkatkan iman dan taqwa pada diri penghuninya.


“Alhamdulillah…” Saya mengucapkan tahmid ke hadrat ALLAH. Saya menekan butang ‘reply’ dan kembali mengulit ‘si kecil’ berwarna merah muda, sebuah Netbook berjenama HP Mini 210, hadiah dari suami yang dikasihi.

“Terima kasih abang.”

Mudah-mudahan ia menjadi salah satu sumber keberkatan di antara kita dengan saling bantu membantu ke arah iman dan taqwa kepada-NYA. Moga barakah itu dapat kita raih bersama.

Ameen, Ya Rabbal ‘alamin.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

14 comments:

Min said...

terima kasih kak ina...

miSs Hazzi said...

alhamdulillah.. bertambah satu ilmu. semoga dapat di aplikasi bila masanya tiba nanti insya Allah..

baru saya faham, selama ni saya suka lagu barakallahulakuma by maher zain je tapi tak faham erti sebenar barakah yang di maksudkan.. ;)

almukhlis_su said...

Alhamdulillah...ilmu yg bermanfaat.panduan dlm mencari keberkatan dlm hidup berumahtangga.terima kasih Kak Ina sbb berkongsi.Moga alam rumahtangga yg bakal sy lalui akan mendapat Baarakallah jua..ameen..doa2 kan ye Kak Ina..

Nisha said...

assalamualaikum semua,
Selamat menjalankan ibadah di bulan Syawal. Dah lama tak komen blog ummu Husna. Sangat-sangat setuju dengan apa yang ummu Husna dan Ustaz Z.. katakan. Akak nak ambil sikitlah artikel ni, nak ulas cara akak pula kak blog akak. Bolehkan?

Terima kasih atas perkongsian dan ilmu yang diberi.

Schalfyzcha said...

Thanks kak atas perkongsian ni... :)

Ummi said...

salam kak husna..selalu singgah sini,cuma jarang tinggalkan komen..link blog kak juga ada di blog saye..nak copy sikit content akak ni di blog saye dan akan saye kreditkan blog ni..mohon izin ye kak..

semut merah said...

Salam,

Setuju dengan pandangan ukhti. Barakah dalam rumahtangga memandu ke arah keluarga sakinah. Bertolak ansur, faham memahami, bersih hati dan tiada prasangka.

Cuma saya ada satu permintaan/soalan - bagaimana nak handle perasaan anak dengan lebih berkesan jika dimarahi oleh ayahnya?

husniyyah said...

Saalam...Bacaan yang cukup bermakna di pagi hari...

Ummu Noor said...

Salam kak Ina,

Tertunggu-tunggu saya entry terbaru kak Ina.. Alhamdulillah.. entry kali ini amat berguna dalam mecari barakah dalam rumahtangga..
Terima kasih Kak Ina...

Noraslina binti Jusin said...

Salam semua :)

Jazakunnallah kerana sudi membaca. Memang keberkatan itulah yang mahu kita raih, namun seringkali kita lalai dari menyuburkannya di dalam usaha-usaha menyemarak cinta rumahtangga.

Yang banyak, hanyalah ikhtiar berbentuk keduniaan semata tanpa dihubungkan dengan akhirat yang bakal kita jejaki nanti. Semoga sedikit perkongsian ini dapat sama-sama kita renungi dan melakukan langkah mula.

Belum terlambat untuk kita mendapatkan barakah dalam rumahtangga, walau dahulunya mukadimah perkenalan dan perkahwinan kita dan pasangan dimulai dengan perkara-perkara yang tidak syar'ie menurut pandangan agama.

Berubahlah kerana ALLAH, demi mendapatkan reda-NYA.

InsyaALLAH, dengan bantuan dari ALLAH SWT, kita mampu melakukannya :)

Noraslina binti Jusin said...

KAK NISHA : Silakan kak. Semoga ada sisi pandang lain yang dapat Kak Nisha kongsikan bersama.

Terima kasih kak.

ZaujahSaifullah said...

salam alaik...

syukran jazakiLlah khair..

Alina said...

terima kasih diatas perkongsian cerita :)

@ze said...

Alhamdulillah....saya amat meminati tulisan k.ina...sgt memberi kesan...insyaAllah....terima kasih atas perkongsian yg bermanfaat ini...alhamdulillah....