25 August 2010

SERAHKAN KEYAKINAN KEPADA TUHANMU

Telah beberapa kali saya meninjau ke luar tingkap, namun kelibat suami masih juga belum terlihat. Sesekali angin dingin musim sejuk di penempatan Hayyu at Tibba’ itu datang menyapa.

Tidak mahu berlama-lama dengan kedinginan yang menggigit, saya kembali menutup daun tingkap, lantas duduk bertimpuh di sofa arab melihat kak long dan kak ngah bermain. Hati yang risau bagaikan terubat melihat telatah dua anak kecil saya bergembira bersama.

Menatap wajah mulus kedua-duanya, jiwa diselubungi sayu dan hiba. Mereka bakal saya tinggalkan untuk tempoh lebih dua minggu andai perancangan untuk menunaikan haji tahun ini berjalan lancar. Tanpa apa-apa halangan, dengan izin-NYA.

Semua urusan telah diuruskan. Permohonan visa telah pun diluluskan. Persiapan pakaian dan kelengkapan yang perlu dibawa juga telah saya bereskan. Adik-adik akhawat yang tinggal berdekatan juga telah menyatakan kesediaan untuk anak-anak yang ditinggalkan.

Cuma perkara yang satu ini sahaja, menghadirkan resah dan gelisah.

“Ya ALLAH, moga ada jalan keluarnya untuk masalahku ini,” saya memanjatkan pengharapan.


EMEL TENTANG HAID
Hari ini, telah masuk hari kelima belas Ramadan 1431 hijriah. Bermakna, separuh bulan yang berkat ini berlalu sudah.

Seperti hari-hari sebelumnya, selepas menunaikan solat sunat dhuha dan mentadabbur lembaran kitab suci al Quran, saya membuka komputer untuk membaca berita-berita semasa tanahair secara atas talian, menjenguk blog, membaca emel dan tidak ketinggalan, membuka laman fb.

Dari kotak pesanan fb, satu pertanyaan daripada salah seorang kenalan menarik perhatian saya pagi ini. Persoalan itu berbunyi :

“….maafkan saya, ingin bertanya kepada Kak Ina. Saya ada kemusykilan berkaitan wanita yang dalam keadaan haid semasa malam 10 terakhir Ramadan. Bagaimanakah mereka dapat merebut pahala sama seperti orang-orang yang dapat beribadat semaksima mungkin semasa itu?

Wanita yang dalam keadaan haid, mereka tidak dapat membaca al Quran, tidak berpeluang utk qiamullail, juga tidak boleh beriktikaf di masjid, solat terawikh dan bermacam ibadah yang tidak boleh dilakukan semasa haid.


( sumber )

Selain berzikir dan mendengar bacaan ayat-ayat suci al Quran, apakah ibadah lain lagi yang boleh mereka lakukan? Adakah pahala mereka juga sama dengan orang-orang yang dapat beribadah semasa itu? Sudah pasti wanita-wanita dalam keadaan haid ini akan merasa rugi jika tidak dapat beribadah sebanyak mungkin ketika 10 malam terakhir Ramadhan ini, kerana pahala ibadah semasa ini amat berganda..

Saya memohon jasa baik Kak Ina untuk meleraikan kemusykilan saya ini.

Sekian terima kasih.”

Saat membaca persoalan yang diutarakan di atas, kenangan menunaikan haji 7 tahun yang lalu kembali terbayang pantas.


PANJATKAN DOA
“Abang dah jumpa doktor di klinik universiti tadi…” luah suami sebaik duduk melepaskan lelah. Kata-katanya terhenti seketika. Air kosong dari gelas yang tersedia di hadapannya diminum untuk menghilangkan dahaga. Kakinya dilunjurkan ke depan. Terpancar riak keletihan pada wajah suami kerana perjalanan yang agak jauh dari universiti. Hampir 15 minit, berjalan kaki.

“Alhamdulillah. Apa dia jawab bang? Dapat tak ubat tu?” saya bertanya, sedikit mendesak. Tidak sabar untuk mengetahui jawapan balas doktor tersebut terhadap permasalahan saya ini.

“Dia nasihatkan, tak perlu makan ubat tahan haid tu,” jawab suami ringkas. Saya mengerutkan dahi.

“Habis, macam mana kalau masa haji nanti As datang haid…” saya meluahkan kerisauan yang sejak tadi bersarang di dalam hati.

Terasa amat gundah diri ini saat membilang hari, mengenangkan tempoh haji nanti sangat bertepatan dengan tarikh kitaran haid saya.

Suami tidak segera menjawab. Pandangannya dilepaskan keluar tingkap. Beberapa ketika, kami diam tanpa kata. Hanya melayan resah yang melanda jiwa.

“Macam mana bang?” saya bertanya sekali lagi memecah sunyi. Suami menoleh.

“Kita berdoa sahaja kepada ALLAH. Mudah-mudahan permohonan kita diterima oleh-NYA,” balas suami lembut.

“Itu juga nasihat doktor pada abang tadi. Dia kata, ubat-ubat menahan haid seumpama itu ada kesan sampingannya. Lagipun, rawatan sebegini bukan 100% berkesan. Pendarahan boleh berlaku pada ketika ubat itu diambil. Jadi, dia nasihatkan, langkah terbaik, berdoa dan yakinlah dengan pertolongan ALLAH,” suami menambah.

Saya terus diam tanpa sepatah kata. Hanya jiwa tidak putus berdoa. Seluruh raga diserahkan bulat-bulat mengharap bantuan Yang Maha Kuasa.


PANDANGAN ULAMA
Berkat doa dan pengharapan yang tidak putus kepada ALLAH SWT, saya diizinkan juga oleh-NYA untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu. Cukup semua rukun haji saya kerjakan, darah haid keluar seperti biasa. Hanya, tawaf wada’ sahaja tidak dapat saya tunaikan sebelum melangkah pulang meninggalkan Makkah.

Alhamdulillah!

Saya memahami, setiap Muslimah yang beriman dan mengharapkan keredaan ILAHI amat mendambakan agar dirinya berterusan dalam keadaan suci untuk melipatgandakan ibadah di bulan yang mulia ini terutama pada sepuluh malam yang terakhir.

Kerana itu, ada sebahagian mereka yang sanggup mengambil ubat untuk menahan haid dari keluar. Mereka melakukan tindakan itu, agar dapat melaksanakan puasa dengan sempurna dan demi memastikan ganjaran dan pahala yang berlipat ganda itu dapat mereka raih sebanyaknya.

Saya tidak menafikan, wanita juga punya keinginan untuk menikmati keberkatan lailatul qadar di sepuluh hari terakhir bulan ramadhan sehingga ramai di kalangan mereka yang menggunakan ubat-ubatan tersebut untuk menghalang dari datang bulan.

Terdapat beberapa pandangan ulama silam dan kontemporari dalam membahaskan permasalahan ini. Di antaranya ialah pandangan Imam Ahmad sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah :

رُوِيَ عَنْ أَحْمَدَ رَحِمَهُ اللَّهُ ، أَنَّهُ قَالَ : لَا بَأْسَ أَنْ تَشْرَبَ الْمَرْأَةُ دَوَاءً يَقْطَعُ عَنْهَا الْحَيْضَ ، إذَا كَانَ دَوَاءً مَعْرُوفًا

Maksudnya : Diriwayatkan dari Imam Ahmad rahimahullah, beliau berkata, “Tidak mengapa seorang wanita mengkonsumsi ubat-ubatan untuk menghalangi haid, asalkan ubat tersebut baik (tidak membawa kesan negatif).” [ Al Mughni, 1/450, terbitan Dar ‘Alam Kutub.]

Dr Yusof al-Qardhawi juga memfatwakan keharusan pengambilan ubat untuk menangguhkan kedatangan haid ini dengan alasan, tiada dalil yang melarangnya. Dan, ia dibenarkan selama mana ubat tersebut tidak mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan.

Beliau menambah, para ulamak mutaakhirin turut membenarkan pengambilan ubat pencegah haid ini. Syeikh Mar'ie di dalam kitabnya Dalil al-Thalib yang bermazhab Hanbali menyatakan, kaum wanita dibenarkan memakan ubat sama ada bertujuan untuk mendatangkan haid atau menghalang pengeluaran biasanya. Beliau menjelaskan di dalam kitab syarahnya, bahawa asal setiap sesuatu itu adalah harus sehingga ada dalil yang mengharamkannya. Dan, di dalam masalah ini ( mengambil ubat untuk haid ) tiada dalil yang mengharamkannya. [Fiqhu Shiyam, halaman 40]

Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad bin Salih Al ‘Utsaimin rahimahullah berpandangan sebaliknya apabila beliau menyatakan :

“Di dalam masalah ini saya berpandangan bahawa hendaklah wanita tersebut tidak melakukan sedemikian. Sebaliknya, hendaklah dia menjalankan ketetapan Allah yang telah digariskan ke atas setiap wanita. Kebiasaan datang haid setiap bulan di sisi ALLAH memiliki hikmah yang amat banyak jika kita mengetahuinya. Hikmah yang dimaksudkan adalah bahawa kebiasaan datang haid ini termasuk rutin yang normal, di mana haid ini terjadi bertujuan mencegah wanita dari pelbagai bahaya yang dapat memudaratkan dirinya. Para pakar kesihatan telah menjelaskan kesan negatif dari penggunaan ubat seumpama itu, bahkan Nabi SAW juga telah bersabda:

Laa dharara wa laa dhiraar ( tidak ada bahaya dalam syari’at ini dan tidak boleh mendatangkan bahaya tanpa alasan yang benar.)” [Sumber: Fatwa Al Islam Soal wa Jawab no. 7416, http://islamqa.com/ar/ref/7416/]


TERIMALAH KETETAPAN-NYA
Demikian juga pandangan saya sendiri. Dalam menangani persoalan yang ditanya di atas, saya suka menasihatkan para Muslimah agar berlapang dada menerima ketetapan-NYA. Antara ciri wanita yang beriman dan solehah ialah reda dan sabar dengan setiap aturan yang telah disusun oleh ALLAH SWT. Ia merupakan satu ibadah kerana kepatuhan dengan hati yang tidak berbelah bahagi dalam menerima ketetapan ILAHI juga adalah satu ketaatan yang menyediakan ganjaran yang tidak kalah berbanding mereka yang dapat melaksanakan puasa di bulan mulia ini.

Banyak lagi kebaikan yang boleh dilaksanakan sebagai ganti dari ibadah puasa, solat dan lain-lain yang tidak dapat dikerjakan kerana haid, seperti :

  • memperbanyak berzikir dengan bacaan tasbih (subhanallah), tahlil (laa ilaha illallah), tahmid (alhamdulillah) dan zikir lainnya
  • memperbanyak istighfar
  • melipatgandakan doa
  • memperhebat sedekah
  • membantu menyediakan juadah berbuka
  • menolong kerja-kerja yang agak berat agar orang-orang lain yang berpuasa dapat berehat
  • dan lain-lain lagi kebaikan dan kebajikan yang semuanya ada nilaiannya di sisi ALLAH.

Justeru itu, Dr Yusuf al Qaradawi menyatakan di dalam fatwanya, adalah lebih baik untuk para wanita mencontohi muslimat mukminat di zaman salafus soleh yang pasrah terhadap fitrah yang dikurniakan ALLAH ke atas mereka ( yakni dalam permasalahan haid ). Mereka berpuasa dan berbuka apabila datang haid dan tidak pernah menyusahkan diri mereka supaya dapat berpuasa sebulan penuh (dengan menghalangi datangnya haid ).

Setiap ketetapan ALLAH pasti ada hikmah yang luar biasa di sebalik semua itu sebagaimana pujukan baginda Rasul SAW tatkala melihat tangisan isteri yang dikasihi, Sayyidatina ‘Aisyah r.a.


KISAH ‘AISYAH
Suatu masa, ‘Aisyah didatangi haid sebelum memasuki kota Makkah. Ketika itu, beliau sedang menemani Nabi SAW mengerjakan haji wada’. Apabila beliau mendapati keadaannya itu, dia menitiskan air mata. Lantas, Nabi SAW bertanya:

“Apa yang membuat dirimu menangis?”

“Demi Allah, pada tahun ini aku tidak boleh melaksanakan haji,” jawab ‘Aisyah dalam sendu sedan menyelubungi diri.

“Barangkali dikau mengalami haid?”baginda bertanya lagi.

“Benar,” ‘balas ‘Aisyah ringkas.

Lalu, Rasulullah SAW bersabda :

فَإِنَّ ذَلِكَ شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ ، فَافْعَلِى مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِى بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِى

Maksudnya : “Yang demikian itu adalah perkara yang sudah Allah tetapkan buat anak-anak perempuan dari keturunan Adam. Maka lakukanlah apa yang dilakukan orang yang berhaji kecuali tawaf di Ka’bah hingga kamu suci.” ( Hadis riwayat Bukhari no. 305 dan Muslim no. 1211 )


SERAHKAN KEYAKINAN KEPADA TUHANMU
Akhirnya, saya ingin membawa satu petikan video di bawah ini yang cukup membuka jiwa. Walaupun ia tidak begitu kena mengena dengan permasalahan haid wanita dan kegusaran mereka mengenainya di bulan mulia ini, tetapi kandungannya amat bermanfaat bagi memahamkan kita tentang apa itu rasa thiqqah ( yakin dan percaya ) serta baik sangka kepada ALLAH SWT.




Setiap peraturan dan ketetapan ALLAH SWT yang bentuknya pelbagai, berupa fitrah kejadian, ibadah, larangan, kesenangan, kesusahan dan lain-lain yang berlaku di dalam hidup kita adalah merupakan ujian bagi menilai keimanan.

Insafilah, tiada yang sia-sia dari-NYA.

Untuk itu, serahkanlah keyakinan kepada ALLAH SWT, pasti DIA membalas keyakinan itu dengan rahmat, berkat dan ganjaran yang melimpah ruah dari sisi-NYA, TUHAN Yang Maha Pemurah.

Moga beroleh manfaat.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

p/s : Untuk maklumat mengenai ubat pencegah haid dan kesannya, boleh baca di sini. Dan juga, hukum membaca al Quran ketika haid di sini.

22 comments:

Min said...

subhan Allah! masya Allah! yakinlah kita dgn bantuan Allah! terharu dgn cerita wanita tu...

sakura said...

Salam buat kak ina..JAzakalllah ALhamdulillah persoalan saya selama ini terjawab..memandangkan kami juga InsyaAllah akan ke tanah suci makkah November ini selama 2 minggu (juga bertolak dari Uk)Semoga Allah permudahkan segala urusan kita di sana..Minta jasa baik kak Ina utk lampirkan artikel2 berguna untuk ke Tanah suci nanti memandangkan kami pergi melalui Travel Agensi dan tak ada kursus haji seperti di MAlaysia sekadar bacaan sendiri dan nasihat2 dari Ustaz di sini..Ibah CArdiff

sophietarmizi said...

Assalamualaikum.. Mudah-mudahan perjalanan anda dipermudahkan.. Niat yang suci sudah tentu akan dipermudahkanNya.. InsyaAllah.

nuryyn deanna said...

salam k ina..........

Subhanallah..Allahuakbar...terima kasih dengan perkongsian yang sangat2 bermakna...pengajaran buat saya, ikhlaskan hati dan yakinlah dgn Allah...sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya...

Saya doakan semoga perjalanan k ina ke tanah suci dipermudahkan. Moga memperolehi haji mabrur...aminn

Klinik Ummi said...

Alhamdulillah.Jazakillahu khairan kathira Dik Ina atas artikel ini.Apalagi dengan lampiran rujukan untuk hukum membaca al-qur'an semasa haid yang disertakan.Kak Ummi memang duk tercari-cari artikel ni sebab pernah dulu Abi kasi Kak Ummi baca tentang perbahasan dalil terhadap topik ini.Tiba-tiba bila persoalan tersebut dikemukakan dalam usrah baru-baru ni,tak dapat Kak Ummi menunjukkan perbahasan dalilnya kerana dah kehilangan artikel tu.Syukur sangat-sangat kerana dah dapat balik rujukannya.

almukhlis_su said...

Moga2 Allah swt permudahkan segala urusan Kak Ina sekeluarga.Entri kali ini memberi jln keluar y terbaik kpd muslimat dlm menjalani situasi sedemikian.Setiap yg Allah swt jadikan disebaliknya ada hikmah yg sukar ditafsir.Walaubagaimnapapun sbg umat Islam sentiasalah kita bersangka baik.Wassalam..

Nisha said...

assalamualaikum semua,

Subhanallah..., dan Tahniah ummu Husna.

Selamat berangkat.

drwati said...

assalamualaikum ustazah

saya sudah baca link yg ustazah beri, semua hadis yg menegah wanita membaca Quran ketika haid itu dhaif atau palsu, dan menurut hadis yg ustazah beri di atas, Rasulullah saw tidak melarang Aisyah ra membaca Quran

ini bermakna wanita yg haid bolehlah membaca Quran? ketika ramadhan ini bolehlah bertadarus? dan jika ada kematian bolehlah membacakan yasin dsbg?...lebih2 lagi AlQuran boleh terus dibaca dari PDA atau Iphone sekarang

seorang rakan saya dari Somalia berkata apa salahnya memegang Quran (walaupun tidak digalakkan kerana menghormati kitab suci itu) kerana pada zaman Rasulullah saw Quran tidak dibukukan lagi, jadi larangan itu bukannya datang dari Rasulullah saw sendiri

jadi ustazah, apakah betul kesimpulan saya?

Tahniah atas penerbitan buku sulung. Sangat tersentuh dengan video yg ustazah kongsi. Semoga keluarga ustazah sentiasa diberkati Allah swt.

Noraslina binti Jusin said...

Salam, semua :)

MIN :Selama ini mungkin ramai beralasan, bahawa pertolongan ALLAH di zaman moden ini terlalu sukar untuk diperolehi, tidak sebagaimana ketika hayat Rasulullah dan para sahabat dahulu. Suasana hari ini tidak sama seperti suasana di zaman baginda Nabi SAW, maka alasan demi alasan dicipta sehingga semakin ramai terhakis keyakinan dan sangka baik mereka kepada ALLAH.

Justeru, kisah wanita di dalam video ini diharapkan dapat membuka mata kasar dan mata hati kita bahawa walau zaman apa sekalipun, selagi keyakinan dan kepercayaan yang sebenar digantungkan kepada-NYA, DIA pasti menurunkan bantuan-NYA dari jalan yang tidak disangka-sangka. Sebagaimana hadis baginda SAW yang bermaksud :

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasulullah saw bersabda : “Sesungguhnya ALLAH berfirman : “Aku menurut sangkaan hambaKU kepadaKU, dan AKU bersamanya apabila ia ingat kepadaKU. (Tirmidzi).

Noraslina binti Jusin said...

SAKURA ( IBAH ) : Alhamdulillah, semoga perjalanan ukhie Ibah dirahmati ALLAH.

Pengalaman saya dan suami mengerjakan haji suatu masa dulu juga lebih kurang sama, iaitu melalui agensi, tanpa apa-apa kursus, hanya melakukan pembacaan dari kitab-kitab dan bertanya pengalaman orang lain yang pernah menunaikan haji.

Cuma, suami yang lebih dulu pergi setahun sebalumnya, banyak membantu saya memahami suasana dan tatacara ibadat haji yang bertepatan dengan ajaran agama, bukan ikut-ikutan kerana terlalu ramai umat Islam yang mengerjakan haji dalam keadaan tidak berilmu. Ukhti Ibah akan saksikan perkara ini bila sampai di sana nanti, InsyaALLAH.

Yang penting, sebelum berangkat pergi, perbanyakkan memohon keampunan ALLAH dengan solat Taubat dan seumpamanya.

Seterusnya, ketika di sana, jagalah setiap tinkan dan perkataan kerana apa yang terbit dari mulut, mudah dikabulkan. Bersabar dengan setiap peristiwa yang dialami, jangan mementingkan diri sendiri, hulurkan pertolongan kepada yang memerlukan jika mampu dan dahulukan baik sangka kepada ALLAH SWT.

InsyaALLAH, niat yang baik pasti akan mendapat bantuan dari-NYA.

Noraslina binti Jusin said...

SOPHIE : Benar :)

MURYYN : Alhamdulillah, Kak Ina dah pergi 7 tahun yang lalu. Cerita dalam artikel ini adalah sebahagian pengalaman sebelum bertolak ke tanah suci.

Namun, dalam hati ini, terlalu rindu untuk menjejakkan kaki ke sana lagi terutama bersama anak-anak pula. Mudah-mudahan, diizinkan-NYA suatu hari nanti, InsyaALLAH TAALA.

Noraslina binti Jusin said...

KAK UMMI : Alhamdulillah, terima kasih kembali pada Kak Ummi :)

SU : Tiada yang sia-sia dari-NYA.

KAK NISHA : Alhamdulillah, saya dan suami sudah diizinkan menjadi tetamu-NYA 7 tahun lalu kak. Doakan kami agar dapat ke sana lagi ye.

Iffah Nabiha Ahmad Jailani said...

Salam Auntie,

Berkenaan dengan hadith auntie di atas, usrah yang baru ini saya hadiri telah perlaku perbahasan tentang perlukah kita mengambil wudu' untuk memegang Al-Quran. Ustazah kami mengatakan sunat, tetapi ustazah di sekolah saya dahulu mengatakan wajib. Andai punya masa dan waktu, harap Auntie dapat jelaskan ya. :)
-Iffah-

ingintahu said...

assalamualaikum wbt

akak,terima kasih untuk artikel yang bermanfaat.
akk, saya nak tanya macam hukumnya dengan istihadah?
maksudnya ambil ubat untuk halang turunnya darah? sebabnya istihadah perlu ambil wuduk setiap kali solatkan kak? jadi kalau nak solat di masjid macam susah sikit kak. kalau setiap kali solat terawikh tu nak kena ambil wuduk ke kak?

satu said...

Salam kak Ina,

Alhamdulillah... terima kasih kak Ina atas pendedahan ini. Masyaallah entri yang 'complete and compact'... penuh pengisian serta rujukan.

Saya pun belum lagi dikurniakan untuk boleh sama-sama mengerjakan haji sekeluarga buat masa ni kak...

Entri ini boleh menjadi panduan buat saya dan semua bila sampai masanya nanti serta boleh berkongsi informasi kepada sesiapa yang belum tahu.

-ibunoor-

Noraslina binti Jusin said...

Salam anakanda Iffah :)

Mengenai persoalan yang Iffah utarakan, kedua-dua pandangan, sama ada dari ustazah di dalam usrah atau dari ustazah di sekolah lama, adalah benar.

Ini kerana, ustazah yang menyatakan hukum berwudhuk untuk membaca al Quran adalah sunat sahaja, beliau berpegang kepada pendapat ulama' yang mengharuskan memegang al Quran walau tanpa wudu' dan dalam keadaan haid sekalipun. Manakala ustazah yang mewajibkan, berpegang kepada pendapat ulama yang tidak membolehkan memegang al Quran kecuali dalam keadaan suci ( berwudu').

Walaubagaimanapun, auntie lebih cenderung kepada pandangan kedua.

Cuba baca riwayat ini :

1)Suatu ketika, Mus’ab bin Sa’ad bin Abi Waqash berkata, “Aku sedang memegang mushaf ( kitab al Quran )di hadapan Sa’ad bin Abi Waqas kemudian aku menggaru-garu. Maka Sa’ad berkata: ‘Apakah engkau telah menyentuh kemaluanmu?’ Aku jawab, ‘Ya.’ Dia berkata, ‘Berdiri dan berwudhuklah!’ Maka aku pun berdiri dan berwudhuk kemudian aku kembali.” (Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al Muwatta’ dengan sanad yang shahih)

2)Ishaq bin Marwazi berkata, “Aku berkata (kepada Imam Ahmad bin Hanbal): ‘Apakah seseorang boleh membaca tanpa berwudhu terlebih dahulu?’ Beliau menjawab:"Ya, akan tetapi hendaknya dia tidak membaca pada mushaf sebelum berwudhu."

3)Daripada Alqamah : "Kami bermusafir bersama Sulaiman al-Farisi, lalu dia menunaikan hajatnya (buang air). Kami berkata kepadanya : "Berwudhuklah supaya kami boleh bertanya kepadamu tentang ayat al Quran." jawabnya : "Tanyalah, dalam kadaan aku tidak menyentuhnya." Lalu kami membaca (bertanya) apa yang kami kehendaki." Di dalam riwayat yang lain Sulaiman al-Farisi berkata : "Tanyalah kepadaku dan aku tidak memegangnya (al Quran), sesungguhnya al Quran tidak menyentuhnya melainkan orang-orang yang suci." (Musnaf Ibn Abi Syaibah)

Ijma' ulama' juga menyatakan tidak harus memegang al Quran dalam keadaan berhadas, dan perbuatan ( berwudhuk sebelum menyentuh al Quran ) itu juga merupakan amalan para sahabat radiyallahu'anhum.

Wallahu'alam. Semoga membantu.

Noraslina binti Jusin said...

INGINTAHU : Untuk masalah istihadah, wudhuk hanya perlu diambil untuk setiap solat fardhu sahaja. Solat sunat tidak perlu dan boleh solat dengan wuduk sedia ada.

Manakala hukum makan ubat untuk tahan darah ketika istihadah, jika doktor menasihatkan perlu makan ubat, maka hukumnya harus.

Noraslina binti Jusin said...

DR WATI : Ye, berdasarkan hujah dari hadis-hadis yang diberikan, kesimpulannya, harus membaca al Quran ketika haid.

Walaupun demikian, menyebut nama Allah atau membaca al-Quran di dalam keadaan suci ( dari hadas kecil dan besar ) adalah lebih utama ( afdal )berdasarkan hadis di bawah ini yang bermaksud :

Dari Muhaajir bin Qunfudz, sesungguhnya dia pernah datang kepada Nabi SAW dan beliau sedang buang air kecil, lalu dia memberi salam kepada baginda akan tetapi baginda tidak menjawab (salam)nya sampai beliau berwuduk. Baginda SAW bersabda : "Sesungguhnya aku tidak suka menyebut nama Allah (berzikir) kecuali dalam keadaan suci." [Hadis sahih riwayat Abu Dawud dan lain-lain]

Jika berzikir sahaja, Rasulullah SAW sangat menekankan berada dalam keadaan suci, apatah lagi untuk membaca ayat-ayat al Quran, tentu lebih-lebih lagi.

Menurut Imam Nawawi, meninggalkan yang afdal adalah makruh.

Justeru, pada saya, membaca al quran ketika haid, ialah bila benar-benar ada keperluan untuk melakukan itu seperti ketika mengajar membaca al Quran, untuk menghafal ayat-ayatnya dan juga kepada pelajar sekolah ketika sesi pembelajaran agama supaya mereka tidak menjadikan haid sebagai alasan untuk mengelak membaca al Quran.

Jika tiada keperluan, maka tidak membacanya adalah lebih baik. Sebagai ganti, banyakkan mendengar bacaan dari orang lain, kaset atau lain-lain dan juga membaca tafsiran ayat.

Berkenaan memegang al Quran ketika haid, saya lebih cenderung kepada pandangan Imam empat mazhab iaitu tidak boleh kecuali benar-benar terpaksa, untuk menjaga kehormatan dan kesucian al Quran. Mereka berdalilkan hadis yang bermaksud :

“Tidak boleh memegang al-Quran kecuali yang ‘thahir’ / suci. ” (Hadis riwayat Malik dan at-Tabrani, lafaz dari Malik )

Jadi, jika wanita yang haid membaca al Quran, hendaklah tanpa memegang mushaf apatah lagi ayat-ayat di dalamnya. Boleh gunakan al Quran terjemahan atau tafsir yang mana ayat-ayat al Quran ada di dalamnya. Tambahan pula, di zaman serba canggih ini, dengan kemudahan iphone, PDA dan seumpamanya.

Semoga membantu :)

Noraslina binti Jusin said...

IBUNOOR : InsyaALLAH, Noor. Semoga niat yang baik itu akan dimakbulkan ALLAH suatu masa nanti :)

nabms89 said...

Assalamualaikum..

ustazah, sy ingin bertanyakan sesuatu.. berdasarkan kenyataan ini: "Jadi, jika wanita yang haid membaca al Quran, hendaklah tanpa memegang mushaf apatah lagi ayat-ayat di dalamnya. Boleh gunakan al Quran terjemahan atau tafsir yang mana ayat-ayat al Quran ada di dalamnya. Tambahan pula, di zaman serba canggih ini, dengan kemudahan iphone, PDA dan seumpamany." kiranya, tafsir al-quran boleh dipegang oleh wanita dlm haid dan dlm keadaan tiada wuduk? harap ustazah dpt membantu. terima kasih.

quantumna82 said...

terima kasih ustazah, sesuai dengan keadaan na sekarang. NaUpm

Alia Basirah said...

assalamualaikum ustazah. Boleh ustazah perincikan tentang peranan wanita dalam dakwah.adakah terhad kepada keluarga sahaja atau boleh dipanjangkan pada masyarakat. Apa pendapat ustazah tentang wanita yang menyertai jemaah untuk berdakwah, kadang-kadang sibuk berprogram dan terpaksa mengorbankan masa dengan suami. Selain itu, kan kita tahu jihad wanita yang besar adalah suami rumahtangga melalui kisah Asmak bin yazid. Jadi saya keliru lah ustazah. Boleh tolong saya?