17 August 2010

RAMADAN : JANGAN SAMPAI RETAK!

“Ala…baru pukul 3. Lambat lagi nak buka.” Kak Ngah bersungut buat kesekian kalinya. Sambil berbaring malas di sofa, sungutan dan keluhan yang sama berulangkali di’zikir’kannya hari ini. Mendengar itu, saya menggelengkan kepala.

“Kak Ngah, tak baik asyik mengeluh lapar…cuba banyakkan sabar,” nasihat saya dengan kerutan di dahi. Tanda kurang berpuas hati dengan sikapnya ini. Mendengar itu dia diam. Bibirnya mencebik masam, wajah dan kepalanya tunduk menekur ke lantai.

“Rasa lapar memang biasa masa berpuasa ni,nak… supaya kita merasai bagaimana orang yang susah dan menderita kelaparan. Kalau nak bandingkan apa yang kita rasa masa puasa ni dengan keadaan mereka, tentulah kita jauh lebih baik. Kita masih boleh berbuka puasa dengan makanan yang sedap-sedap sedangkan mereka, nak dapat makan pun susah,” saya menambah.

“Sebab tu, kena banyak sebut Alhamdulillah dari asyik mengeluh lapar,” saya menyambung kata-kata.

Kak Ngah terus membisu. Namun, raut wajahnya berubah. Kelihatan pilu dan sayu. Mungkin, sedikit sebanyak nasihat saya tadi berbekas di hatinya. Saya tahu, dia seorang yang mudah kasihan belas. Melihat foto-foto kesusahan orang lain sahaja boleh menyebabkan air matanya mengalir deras.

Saya membiarkan Kak Ngah melayan gelodak jiwanya sambil meninjau kegiatan anak-anak lain di ruang bacaan. Khalil leka bermain. Solehah pula telah lama dibuai mimpi, sementara Kak long, seperti biasa, tenggelam dalam keasyikannya melukis dan berkreativiti.



‘TETAMU’ ISTIMEWA
Alhamdulillah, telah hampir seminggu umat Islam seluruh dunia berpuasa. Setelah setahun menghilang, kini, Ramadan muncul kembali. Pada detik ini, riak gembira dan sinar mata ceria pasti terlihat pada diri orang-orang beriman, yang sebelum ini menanti kedatangan’nya’ seumpama menunggu ketibaan seorang tetamu istimewa. Tetamu yang kunjungannya hanya sebulan dalam setahun peredaran masa.

Ia bulan penuh keberkatan yang kunjungannya sebentar cuma, sekitar 29 atau 30 hari dari 365 hari yang ada. Sungguhpun begitu, bermula dari awal hingga akhir kunjungannya, ia sentiasa menyediakan ‘buah tangan’ yang sangat berharga buat hamba-hamba ALLAH SWT yang menghidupkan hari-hari di dalamnya dengan iman, taqwa dan amal soleh yang berterusan.

Di antara hadis Rasulullah SAW tentang kelebihan Ramadan ialah sabda baginda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mendirikan (Ramadan) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)

Dan juga di dalam hadis yang lain, baginda SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya." (Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Semua ini merupakan motivasi yang membangkit semangat dan kesedaran kepada jiwa-jiwa yang mengharapkan keredaan ALLAH SWT untuk mengisi hari-hari yang dilalui di dalam bulan mulia ini dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah, memelihara kesucian bulan ini dengan menjaga pandangan mata, pendengaran telinga dan anggota lainnya serta memantau bisikan hati dari sesuatu yang boleh mencemar kesuciannya kerana puasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata, tetapi hakikat sebenarnya ialah menahan seluruh anggota dari kemaksiatan dan kedurhakaan kepada Pencipta Yang Maha Berkuasa.

MENYINTAI RAMADAN
“Ummi buat apa tu?” soal Kak Ngah sambil mencuri-curi pandang ke arah lukisan bangunan yang sedang saya lakarkan.

“Adalah…,” saya menjawab sambil tersenyum penuh makna. Biarlah rahsia.

Saya menyedari, menyambut Ramadan di rantau orang sememangnya menyediakan pengalaman dan cabaran yang berbeza. Kerana itu, sebagai seorang ibu, saya bersimpati dan sebaik mungkin cuba memahami keadaan yang sedang dilalui Kak Ngah. Tambahan pula, tempoh masa berpuasa di UK tahun ini tiba ketika matahari musim panas memancar indah. Walaupun, ada ketikanya bumi UK basah dengan hujan yang turun mencurah, namun berada di dalam musim panas yang siangnya lebih panjang, bermakna, tempoh menahan lapar dan dahaga juga menjadi lebih lama berbanding ketika di Malaysia.

Namun begitu, saya tidak mahu anak-anak menjadikan puasa sebagai masa untuk mendendangkan keluhan lapar dan haus semata-mata tanpa mengerti dan memahami hikmah di sebalik suruhan ILAHI ini. Saya ingin mereka ‘menyintai’ Ramadan, menghargai setiap detik waktu di dalamnya kerana ia sememangnya bukan bulan biasa.



Sebaliknya, Ramadan merupakan satu bulan yang sangat istimewa, dan hanya orang-orang yang istimewa, yang benar-benar beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA, mampu melaksanakan tuntutan sebenar berpuasa kerana puasa tanpa keimanan, adalah sesuatu yang sangat-sangat memberatkan, sebagaimana firman-NYA :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” ( Surah al Baqarah ayat 183 )

Untuk itu, buat kesekian kalinya, setelah ligat berfikir, mencari-cari cara dan idea untuk menyampaikan mesej ini kepada anak-anak, saya menyediakan dua lakaran bangunan yang ‘sama tetapi tidak serupa’ sebagai bahan bantu fikir, agar apa yang ingin saya terapkan nanti, mudah untuk mereka fahami dan hadam sebaiknya.

Saya berharap dengan kaedah ini akan membantu mereka untuk mendapatkan refleksi yang sedikit berlainan dari ‘cermin’ Ramadan . Walaupun suku pertama bulan berkat ini telah berlalu, tetapi saya yakin , masih ada waktu untuk saya dan anak-anak terutamanya, mengisi dan memaknakan Ramadan yang berbaki. Dengan izin-NYA jua.

Saya hanya berusaha, selebihnya saya pulangkan kembali kepada DIA Yang Maha Esa.

DARI LUKISAN
“ Kak Long, Kak Ngah..mari ke sini kejap, sayang. Ummi ada satu soalan nak tanya .” Saya berkata sambil memandang tepat ke wajah anakanda berdua. Pandangan saya berbalas senyuman manis dari mereka.

“Apa soalannya, Ummi?” Kak Long dan Kak Ngah bertanya. Hampir serentak.

“Cuba teliti dua gambar ni.” Saya menjawab sambil mengeluarkan dua gambar yang ‘sama tetapi tidak serupa’itu tadi.

“Ummi nak Kak Long dan Kak Ngah bezakan antara gambar pertama dan kedua.Ada atau tidak beza antara kedua-duanya,” pinta saya sambil Kak Long dan Kak Ngah mencapai kedua-dua gambar yang diberi. Mereka menatap dan membelek-belek kedua-duanya bersilih ganti.



“Ada beza… sikit.” Kak Ngah lebih dulu memberikan komen setelah beberapa ketika suasana sunyi tanpa patah kata. Kak Long hanya menganggukkan kepala, bersetuju dengan jawapan yang diberikannya. Mendengar itu saya melemparkan senyuman.

“Ok, apa beza yang Kak Ngah nampak ?” Saya bertanya. Pantas matanya melihat kembali kepada dua gambar di hadapan.

“Gambar bangunan yang pertama elok. Tak ada rosak. Tapi gambar bangunan yang kedua ni, macam ada retak-retak dan kotor sikit.” Agak panjang Kak Ngah memberikan komentar.

“Pada pandangan Kak Ngah, agak-agaknya..dari dua bangunan ini, yang mana lebih selamat dan kuat untuk kita berada di dalamnya?” sekali lagi saya melontarkan soalan untuk menduga minda anak-anak.

“Bangunan yang tak ada retaklah Ummi. Yang ada retak, roboh pulak nanti, ” Kak Ngah memberikan jawapan. Penuh yakin diri.

Sekali lagi saya tersenyum dan mengucapkan syukur.

“Alhamdulillah. Betul jawapan Kak Ngah,” saya memuji sebagai ransangan dan langkah untuk lebih menghargai. Kak Ngah turut tersenyum bangga.

UMPAMA BANGUNAN RETAK
“Apa maksud bangunan ni Ummi?” Kak Long bertanya seakan memahami, bukan sekadar itu yang mahu saya beritahu. Saya tersenyum dan menarik nafas dalam.

“Ummi nak berikan satu gambaran sebenarnya, yang ada kaitan dengan puasa,” saya memulakan bicara. Kak Long dan Kak Ngah sabar menanti kata-kata selanjutnya dari ummi mereka.

“Ummi, Kak Long, Kak Ngah dan sesiapa pun tak tahu bagaimana keadaan puasa orang lain, baik atau sekadar ‘main-main’ je. Hanya ALLAH SWT je yang tahu sebaik mana kualiti puasa kita. Betul tak?” soal saya agar perbincangan berlaku dua hala. Kak Long dan Kak Ngah menganggukkan kepala.

“Ha…macam bangunan yang Ummi lukis ni. kita tidak mengetahui kuat atau tidak asas atau tapak sesebuah bangunan, karena tapak itu tertanam di dalam tanah. Akan tetapi kita boleh tahu seberapa kuat tapak bangunan itu dari apa yang nampak dari luar dan di atasnya. Contohnya, kalau tapak bangunan itu kurang kuat, akan ada retak-retak pada dindingnya, atau kadang-kadang, walaupun bangunan itu masih baru, tetapi tiba-tiba je boleh roboh dalam jangka waktu yang tak terlalu lama.

“Kalau bangunan kita boleh tahu kuat atau tidak, dari keretakan yang ada padanya..puasa pula, kita boleh lihat pada sikap dan keadaan kita sewaktu melakukannya. Kalau banyak mengeluh lapar je, malas nak baca Quran, solat wajib dan sunat pun rasa berat, tapi bila makan, berjam-jam lama pun tak kisah…ha…ada ‘retak’ la tu pada puasanya,” saya menjelaskan dengan sedikit nada sindiran.

Mendengar itu, Kak Long tersengih-sengih. Kak Ngah pula, senyum malu-malu. Menyedari butir bicara saya mengena ke batang hidungnya sendiri.

NILAI PRESTASI
Walaupun begitu, saya menginsafi, cetusan ilham dan idea dari ‘bangunan retak’ ini ini sebenarnya lebih terpakai kepada saya dan orang dewasa lain dalam memuhasabah dan menilai prestasi puasa dan ibadah masing-masing di bulan mulia ini.

Adakah, puasa yang dilaksanakan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja atau sebaliknya ia berjaya mendidik kita menjadi seorang manusia beriman yang lebih baik dari sebelumnya. Hakikatnya, matlamat puasa itu bukan hanya ketakat memelihara kewajipan lahiriah ( fizikal ) semata, bahkan ia juga menuntut pelakunya agar memelihara kewajipan batiniah ( rohani ). Antaranya ialah menahan daripada meluaskan pandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikan jiwa dari mengingati ALLAH SWT Yang Maha Esa.

Kerana itu, kita tidak mahu ibadah puasa ini diertikan hanya sebagai bulan mengikat nafsu buat sementara waktu, tetapi setelah Ramadan berlalu, nafsu yang ‘diikat’ kembali lepas bermaharajalela.

Andai ketika Ramadan, kita menambah nilai ibadah sebelumnya dengan mengerjakan ibadah sunat, tadarus al Quran, menjamu orang yang berpuasa, bersedekah, juga menjauhi kata-kata yang tidak bermanfaat seperti berbohong, mengata dan mengumpat, serta lain-lain lagi aktiviti yang berfaedah, maka apakah setelah berakhir Ramadan, kita masih giat mengisi masa dengan aktiviti yang sama?

Apakah kesedaran selama Ramadan ini benar-benar sesuatu yang timbul dari lubuk hati yang ingin menjadi orang bertakwa, atau ia hanya sekadar ikut-ikutan, hanya mahu turut memeriah dan meramaikan sahaja, tanpa menginsafi kepentingan dan keutamaan dari aktiviti Ramadan ke atas orang-orang yang beriman?

Sabda Nabi SAW yang memperingatkan umatnya tentang ‘keretakan’ puasa sebegini, yang bermaksud:

“Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa selain lapar, dan berapa banyak orang yang solat di tengah malam tidak mendapatkan apa-apa, selain berjaga malam sahaja.” (Hadis riwayat Nasa’ie )

Sudah pasti, bukan itu nilai puasa yang kita mahu ‘bangun’kan!

Justeru itu, amat rugi bagi mereka yang gagal menghayati Ramadan, sehingga menyamataraf bulan yang mulia ini dengan bulan-bulan yang lain. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, di dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah )

RAMADAN: JANGAN SAMPAI RETAK!
“ Ummi, Kak Ngah tak rasa lapar pun hari ni.” Pagi ini Kak Ngah tersenyum manis memberikan ‘laporan’.

“Alhamdulillah, bagus la macam tu. Tak mahu mengeluh lapar lagi ye. Kalau rasa lapar, sabar dan isi masa. Banyak benda lain Kak Ngah boleh buat. Main dengan adik ke..baca buku, baca Quran dan lain-lain,” saya menggalakkan.

“Ok, Ummi…,” balas Kak Ngah.

“Ala..lapar la,” tiba-tiba terdengar suara Kak Long mencelah.

“Ha, puasa Kak Long dah ‘retak’,” Kak Ngah mengusik disambut ketawa mereka serentak.

Buat kesekian kalinya, saya menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum sendiri. Di dalam hati saya berbisik :

‘Ramadan, jangan sampai ia retak. Ya ALLAH, bantu hamba-MU ini…’

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


12 comments:

S. Al-Farisi said...

salam,

alhamdulillah,
wah seronoknya baca!

insyaAllah kita semua umat islam sama2 jaga ramadhan kali ini agar tidak "retak", kerana kita tak tahu sama ada kita masih ada peluang atau tidak untuk ramadhan yang seterusnya..

salam ramadhan buat akak sekeluarga :) semoga sentiasa di dalam lindungan rahmatNya

wasalam

NuR said...

Assalamualaikum.. dan salam Ramadhan=)
InshaAllah, semoga puasa dan amal ibadah kita yg lain juga ialah ibadah yg berkualiti dan bukan hanya bersandarkan kuantii semata2.
dan jadikan Ramadhan ini sbagai guru yg datang setahun sekali untuk mendidik kita menjadi yg lebih baik dari sebelumnya..
Amiinn...

akuhamba99 said...

ALhamdulillah, seronok membacanya kak ina. Smoga kita terus istiqamah, terukan menulis kak ina

Syuhairah said...

Alhamdulillah Kak Ina dan terima kasih juga..

almukhlis_su said...

Entri yg menarik..idea dan cara tarbiah kpd anak2 dgn kiasan menjadikan mereka lbh dlm pemahaman.Beruntunglah sesiapa yg memilki anak yg soleh dan solehah..Tahniah kak ina,

Zana's sanctuary said...

Salam..seronok sekali membaca tulisan puan. Kagum dengan kaedah puan mentarbiahkan anak-anak. Tahniah. Saya tak pernah jemu membaca tulisan puan kerana banyak sekali ilmu yang saya perolehi. Syukran!

ibuaiman said...

Salam Kak Ina...kagum kerana Kak Ina pandai mencari idea dalam mentarbiah anak-anak...

Noraslina binti Jusin said...

Salam semua :)

S.AL-FARISI, AKUHAMBA99,SYUHAIRAH : Ameen...Ramadan yang masih berbaki ini, mari kita manfaatkan sebaiknya.

Noraslina binti Jusin said...

NUR : Ye betul, kuantiti yang melimpah tetapi kurang dari sudut kualitinya, tidak akan memberi banyak kesan kepada pelakunya. Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan hanya sekadar ikut-ikutan atau untuk menunjuk-nunjuk, lebih buruk lagi hanya untuk membangga diri...semoga kita dijauhkan dari itu semua.

Bak nasihat Ustaz ketika menyampaikan tazkirah kepada Kak Ina dan anak-anak :

" Perlu pro-aktif dalam melakukan kebaikan tanpa lebih dahulu disuruh atau diminta untuk melakukannya, kerana kebaikan yang dibuat kerana suruhan atau permintaan, dibimbangi tiada keikhlasan di dalamnya...dan amalan tanpa ikhlas, pasti tidak diterima di sisi TUHAN."

Noraslina binti Jusin said...

AL-MUKHLIS_SU, ZANA & IBUAIMAN : Alhamdulillah, yang baik semuanya dari ALLAH SWT.

Kak Ina hanya cuba berusaha melalui pelbagai cara yang baik, sama ada dari bacaan dan pengalaman orang lain untuk diterapkan pula kepada anak-anak Kak Ina.

Melihat suasana dunia hari ini, hati seorang ibu pasti bimbang. Namun, tidak guna risaukan masa depan yang belum pasti, andai saat yang ada hari ini tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Mudah-mudahan, usaha yang sedikit ini diberkati ALLAH SWT, ameen.

ummufawwaz said...

salam ramadhan ustazah ina..
sayu sungguh menatap gambr kanak2 laki2 tu..terasa betapa mewahnya rezeki yg dijamah setiap hari..jauh sekali keadaannya dgn kanak2 tu..

gambran bgunan yg dilakarkan, contoh yg mudah kita sama2 menilai keadaan puasa & ibadah kita hari2..

nasyid tu,nostalgia sgt2..huhu..terasa tul dh tuaaa..huhu

satu said...

Salam kak Ina,

Alhamdulillah kita masih berada di bawah payunganNYA... Bagaimanalah agaknya saudara kita di Palestin berpuasa dan berbuka...

-ibunoor-