KECIL YANG BESAR, SEDIKIT YANG BANYAK

“Ya Allah, rasa kerdilnya diri bila mendengar kisah-kisah begini..”saya berbisik sambil menyeka air mata. Entah kenapa, hati ini bagai diasak rasa sayu dan hiba mengenang kelemahan diri.

Mendengar kisah yang sungguh mengkagumkan ini, bagai terbayang di depan mata keikhlasan dan kemurnian jiwa yang dimiliki oleh mereka, wanita-wanita biasa tetapi luar biasa pada pandangan Allah dan Rasul-NYA. Itulah yang menjadikan mereka begitu istimewa.

Sungguhpun ada di kalangan mereka bukan dari kalangan berharta, bukan juga bangsawan ternama atau jauh dari dikenali ramai sebagai golongan ilmuwan dan bijak pandai, namun bakti kecil yang dicurahkan oleh setiap seorang dari mereka untuk Islam tetap terpandang dan dijulang.

Pertama kali saya mendengar kisah ketiga-tiganya iaitu ketika menonton satu rancangan berbahasa Arab bertajuk : al Qawareer, ( Wanita di dalam Islam ) yang dikendalikan oleh Dr Muhammad Abdul Rahman al ‘Arifi. Beliau berkelulusan dari universiti Saudi dan merupakan anak didik beberapa ulama terkemuka seperti Sheikh Abdullah bin Qu'ud, Abd al-Rahman Nasir bin al Barrak dan sarjana-sarjana lain. Berasal dari suku Bani Khalid yang terkenal di Arab Saudi yang juga merupakan keturunan dari salah seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Khalid bin al Walid r.a.

Beliau merupakan figur penting dalam bidang dakwah Islam dan telah menulis lebih dari dua puluh karya yang diterbitkan. Salah sebuah darinya bertajuk : Istamti’ bihayatik ( Nikmati kehidupanmu ) yang dihadiahkan oleh suami sebaik kepulangan beliau dari Bahrin tidak lama dulu.


AS SAUDA’
Wanita ini hanya dikenali sebagai as Sauda’ yang bermaksud wanita berkulit gelap ( hitam ). Telah beberapa kali kelibatnya membersihkan debu-debu tanah di masjid dilihat oleh Nabi SAW. Baginda tidak menegur, hanya memerhati kesungguhannya membersihkan kekotoran pada masjid walau tubuhnya sendiri kelihatan tidak begitu bermaya.

Beberapa ketika, kelibat wanita berkulit gelap itu tiada. Sehari dua berlalu, wajah dan tubuh yang tidak bermaya tetapi cermat membersihkan kotoran dan debu di lantai masjid nabi tidak juga kunjung tiba. Baginda tercari-cari gerangan empunya diri, tetapi hampa. Lalu, baginda bertanya kepada beberapa sahabat yang ada dan jawapan yang diterima sungguh tidak terduga. Wanita itu rupa-rupanya telah meninggal dunia!

"Mengapa kalian tidak memberitahuku?'' soal baginda agak kesal.

Sambil berpandangan kehairanan melihat Rasulullah begitu mengambil berat keadaan wanita berkulit gelap itu, para sahabat menjawab :

“ Wahai Nabi ALLAH, wanita itu mengadap Ilahi pada malam hari. Kami tidak mahu menganggu tidurmu wahai kekasih ALLAH, justeru itu jenazahnya kami uruskan sendiri.”

Mendengar penjelasan tersebut, baginda lantas meminta para sahabat menunjukkan perkuburan di mana jasad wanita berkulit gelap itu disemadikan. Di sana, baginda menadah tangan, berdoa lalu bersabda yang bermaksud :

“ Kuburan ini menyelimuti orang-orang di dalamnya dengan kegelapan, tetapi Allah menerangi mereka hasil dari doaku untuk mereka.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

TERLALU BERALASAN
Beberapa kali saya mengangguk-anggukkan kepala mendengar kisah wanita berkulit gelap ini. Menyetujui kebenaran dari cerita yang disampaikan. Walaupun riwayat tidak mencatatkan nama pemilik jasad mulia ini, namun baktinya membersihkan masjid, disebut-sebut di dalam sabda baginda dan menjadi teladan hingga ke hari ini.

Tiada pengajaran lain yang lebih bermakna dari kisah ringkasnya, selain contoh tauladan yang ditunjukkan bahawa setiap seorang yang menggelarkan dirinya sebagai umat Muhammad SAW harus berusaha sekadar kemampuan yang ada untuk menyumbang sesuatu buat agama tercinta.

Saya menginsafi, betapa selama ini saya, kita dan mungkin ramai lagi umat Islam di luar sana yang terlalu beralasan. Tidak memiliki wang dan harta yang lebih untuk menyumbang, jawatan penting tidak disandang, idea dan ilmu juga masih kurang dan pelbagai alasan lain yang menyebabkan kita merasa semakin jauh dari kelayakan untuk berbuat sesuatu untuk Islam.

Lantas, kita hanya duduk memerhati. Melihat dari jauh dengan hati yang sebal dan sesal…

“Mengapa orang-orang yang dikurniakan harta, punya nama dan banyak idea tidak melakukan sesuatu untuk meninggikan Islam dan umatnya? “ hati kecil kita bertanya sambil menjustifikasikan kelemahan diri sendiri yang ‘kononnya’ tidak memiliki apa-apa.

“Alangkah baiknya, jika aku memiliki wang, pangkat dan ilmu agar dengannya aku dapat berjasa dan melakukan sesuatu..” keluhan di dada berlanjutan dengan angan-angan yang entah bila menjadi kenyataan. Terlalu banyak beralasan !

Sedangkan….

LUMPUH TUBUH TAPI BUKAN JIWANYA
Dia seorang wanita yang lumpuh sebahagian tubuhnya setelah terlibat dalam satu kemalangan jalanraya. Sebelumnya, dia adalah seorang pendakwah yang selalu mengajak orang lain melakukan kebaikan dan amalan-amalan lain yang mulia.

Kemalangan yang menimpa telah meragut sebahagian besar aktiviti biasanya sebagai seorang pendakwah. Jika dahulu dia mampu berjalan dan bergerak sendiri untuk memenuhi jemputan, tapi kini, pergerakannya terbatas dengan berkerusi roda dan memerlukan bantuan orang lain pula untuk membawanya ke sana sini.
Namun begitu, dia merupakan seorang muslimah dan pendakwah yang hanya lumpuh tubuh badannya, tetapi bukan jiwanya. Semangatnya untuk berdakwah dan melihat kebaikan Islam melatari dunia tidak pernah padam, sentiasa membara. Walaupun menyedari dirinya tidak lagi seperti dulu, akan tetapi semua itu tidak pernah menjadi alasan untuk dia mengundur diri.

Dengan keupayaan yang masih bersisa, pendakwah wanita yang lumpuh itu meneruskan beberapa usaha amal untuk mempromosi kebaikan ajaran Islam. Bermula dengan mengumpulkan dana berupa sedekah dan derma dari individu yang datang menziarahinya, seterusnya, beliau mengagihkan dana tersebut kepada golongan fakir miskin dan memerlukan.

Tidak cukup sekadar itu, beliau juga berhubung dengan badan-badan kebajikan dan mengagihkan pula baki wang yang ada. Selanjutnya, beliau mengumpulkan pakaian-pakaian yang masih elok tetapi tidak lagi dipakai oleh saudara mara dan jiran tetangga untuk didermakan kepada orang-orang yang susah dan tidak berkemampuan.

Dengan tenaga dari kedua-dua tangannya yang masih boleh digerakkan, beliau sendiri membuka setiap bungkusan dan mengkelaskan setiap helaian baju yang ada di depan matanya, sama ada untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak, sehinggakan ada kalanya, jika ada baju yang perlu digosok, beliau sendiri akan menggosok setiap helaian pakaian tersebut sehingga rapi dan kemas.

Paling mengujakan, beliau mempunyai maklumat lengkap tentang keluarga-keluarga miskin yang memerlukan bantuannya itu. Bukan setakat bilangan ahli, malahan umur setiap seorang dan keperluan masing-masing turut diketahuinya. MasyaALLAH !

SYAIR PUJANGGA
“Hebat sungguh hamba-MU ini Ya, ALLAH!,” nurani saya berseru, mengagumi usaha yang dilakukan oleh pendakwah wanita itu. Dia lumpuh, tetapi kerja-kerja amal yang dilakukannya melebihi wanita yang sihat dan sejahtera tubuh badan mereka.

Kerana itu, ketika bercerita kehebatan pendakwah wanita yang lumpuh ini, Dr Muhammad Abdul Rahman al-‘Arifi menukilkan serangkap syair pujangga Arab yang bermaksud :

“Orang-orang yang memiliki semangat yang hebat, menyebabkan letih pada tubuh dan jasad.”

Usaha dan ikhtiarnya untuk Islam tidak terhenti setakat derma dan sedekah semata-mata, tetapi beliau juga menjadi orang tengah yang menasihati dan mendamaikan perhubungan dua pihak yang berselisih faham. Sebagaimana saranan Rasul junjungan kepada para sahabatnya yang bermaksud :

“Mahukah kalian aku tunjukkan satu amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan berpuasa?” Baginda bertanya. ”Tentu saja, wahai utusan ALLAH” jawab para sahabat. Lantas baginda menjelaskan :

“Engkau damaikan orang yang bertengkar, menyambung persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, dan ‘membina jambatan’ ( berhubung ) dengan berbagai kelompok dalam Islam serta mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah dia menyambungkan tali persaudaraan (silaturrahmi).” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

KEIKHLASAN
Saya menyeka buat kesekian kalinya airmata yang bercucuran membasahi pipi. Semakin terasa betapa lemahnya saya selama ini untuk menggunakan potensi diri yang ada untuk menyumbang semampunya buat agama tercinta.

Namun, saya pasti, ALLAH SWT yang Maha Adil bukan menilai sesuatu amalan berdasarkan jumlah atau kuantiti, sebaliknya piawaian yang sebenar adalah dari kualiti hati dan jiwa pelakunya. Banyak atau sebesar mana pun amalan tersebut, semuanya akan berpenghujung sia-sia jika tidak diringi keikhlasan semata-mata kerana-NYA.

Firman ALLAH SWT :

فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاء رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Maksudnya : “Barangsiapa mengharapkan pertemuan dengan TUHANnya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada TUHANnya.” (Surah al-Kahfi ayat 110 )

Justeru itu, cerita wanita ketiga di bawah ini juga cukup menyentak mana-mana jiwa kehambaan, yang tidak mengharapkan balasan dan pujian makhluk, tetapi hanya mengharapkan pandangan ALLAH dan penilaian-NYA yang Maha Adil dan saksama.

Begini kisahnya….

Suatu ketika, tersebut kisah seorang raja yang berkuasa dan kaya raya mahu membina sebuah masjid. Semenjak awal pembinaan lagi, Raja tersebut telah menaikkan sebuah papan tanda yang berukir namanya supaya orang ramai mengetahui bahawa beliaulah individu yang bertanggungjawab terhadap pembinaan masjid tersebut.

Sang Raja menolak sebarang sumbangan lain. Beliau mahu, hanya wang dan hartanya sahaja digunakan untuk membangunkan masjid indah itu.

Satu malam, sang Raja bermimpi. Di dalam mimpinya, beliau melihat Malaikat turun lalu memadam ukiran namanya dan digantikan dengan nama seorang perempuan yang tidak dikenali. Mimpinya itu begitu aneh dan menggusarkan hati.

Sebaik terjaga dari lena, sang Raja bergegas ke luar istana untuk melihat papantanda masjid yang dibina.
“Ah…masih ada nama beta di atasnya,” bisik sang Raja lega.

Namun, malam berikutnya, mimpi yang sama sekali lagi mengganggu tidurnya. Dan begitu juga pada malam selanjutnya. Bermakna, telah tiga kali sang Raja bermimpi perkara yang sama, iaitu namanya dipadam dan digantikan dengan nama seorang perempuan.

HANYA ITU YANG KULAKUKAN
Keesokan pagi, sang Raja nekad untuk mencari pemilik nama yang tidak dikenali. Beliau bertanya setiap penghuni istana, namun jawapan yang diterima tetap serupa. Tiada seorang pun pernah berjumpa atau mengenali perempuan yang dicarinya.

Lantas, beliau mengarahkan pencarian di tengah kota. Para hulubalang menjunjung perintah sang Raja. Pencarian mereka akhirnya menemukan hasil. Seorang wanita tua dan miskin merupakan pemilik kepada nama yang dicari-cari baginda Raja.

Sang Raja memerintahkan wanita itu mengadapnya di istana.

“Wahai perempuan tua, adakah engkau ada menyumbang sesuatu untuk pembinaan masjid ini?” Tanpa berlengah beliau bertanya. Mimpi aneh yang dialami turut diberitakan kepada si perempuan tua.
Wanita itu menggeleng kepala.

“Adakah engkau pernah memberi wang kepada pekerja pembinaan?” soal sang Raja. Sekali lagi wanita tua itu menyanggah. Manakan dapat dia membayar upah, sedangkan dia bukan dari keluarga kaya dan hidup mewah. Sang Raja terdiam. Namun, resah di jiwanya masih belum padam.

“Cuba ingat baik-baik. Mungkin ada sesuatu yang telah engkau lakukan,” tegas sang Raja lagi. Wanita tua menekur kepala ke lantai. Ingatannya laju mengimbas hari-hari lepas.

“Oh! Ya!...” kata si perempuan tua tiba-tiba. Bagai terpancar sinar gembira pada redup mata tuanya.

“Baru aku teringat. Suatu hari, aku melintasi kawasan pembinaan masjid ini dan melihat seekor kuda yang digunakan untuk mengangkut batu bata ke tapak pembinaan begitu letih dan kehausan. Kelihatannya, para pekerja tidak menyedari perkara ini. Lalu, aku membawa sebaldi air dan aku beri kuda tadi minum sepuasnya. Hanya itu yang kulakukan,” jelas perempuan tua mengakhiri ceritanya.

Mendengar pengakuan wanita tua itu, sang Raja tertunduk malu.

“Baru beta mengerti. Wahai perempuan tua yang mulia, engkau telah memberi minum kuda itu kerana ALLAH SWT, kerana itu DIA memadam nama beta dan digantikan dengan namamu. Sedang beta….membina masjid ini hanya untuk kemasyuran dan menunjuk-nunjukkan kemegahan,” bicara sang Raja menginsafi kekhilafan.

KECIL YANG BESAR, SEDIKIT YANG BANYAK
“Alhamdulillah,” saya memanjatkan kesyukuran. Ketiga-tiga kisah wanita mulia di atas cukup menghadirkan inspirasi dan menyuntik motivasi diri.

Terlalu banyak nikmat TUHAN yang dianugerahkan sepanjang kehidupan kita di dunia. ini Dari sinar dan cahaya matahari yang tidak perlu dibeli, udara untuk bernafas yang percuma, bumi yang dipijak, tidak dipungut sebarang bayaran, belum lagi nikmat-nikmat lain yang tidak terhitungkan. Mata, telinga, hidung, hati, makanan, minuman, anak, kejayaan, kekayaan, kesihatan, kelapangan; semua itu adalah pemberian dari-NYA.

Alangkah tidak wajar, andai setelah diberi nikmat yang pelbagai itu, kita kemudiannya tidak mahu atau menjauh dari ‘perintah’ Pemberi nikmat itu. Meskipun ALLAH SWT tidak memerlukan apa-apa balasan dari kita, tetapi selayaknya kita meninjau dan meneliti, dimana rasa syukur dan rasa terima kasih sebagai seorang hamba, jika sekadar untuk melakukan hal yang kecil atas nama Islam sekalipun kita terlalu berkira-kira.

Insafilah, setiap dari kita sebenarnya mampu untuk memberikan sesuatu sebagai tanda sokongan dan dokongan kepada Islam.

Yakinlah, walau sekecil manapun yang dilakukan, andai jiwa ikhlas dan tuntas hanya kerana-NYA semata, maka ganjaran yang besar akan menanti di sana.

Kecil yang besar, sedikit yang banyak…InsyaALLAH.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.


Comments

Ummimusa said…
Thanks for sharing kak ina, dari hati mu telah sampai ke hati ku, walaupun tidak masuk jauh ke dalam....
wah alhamdulillah.. cerita yang menarik untuk teladan semua.. :)
Nisha said…
Assalamualaikum semua,
Terima kasih ummu Husna. Tertitis air mata ini. Semoga ia menjadi titisan keinsafan bukannya titisan yang inginkan simpati dan perhatian.

Wallahu'alam.
anakbongsu said…
Assalamualaikum..
syukran ats artikel yg mnyentuh hati ini..muhasabah dri ke arh yg lbih baik..
Allah...

Alhamdulillah..

Allah telah mengilhamkan kak husna untuk sampaikan perkongsian ini...

Allah MAha Penyayang...sangat2 penyayang kak...

Allahuakbar...

sama2 kt berubah kearah yang diredhai-Nya...krn kt ade mtlamat...

salam ukhwah fillah...menymbung silaturrahim krn Allah...
UMMIMUSA : Salam, Najwa :)Alhamdulillah, yang baik dari-NYA jua.

Terkadang kita lupa bahawa setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita sama ada berupa kebaikan atau keburukan, kegembiraan atau penderitaan, ia adalah didikan ALLAH SWT secara tidak langsung kepada kita.

Semoga kita dapat mencontohi kehebatan, keikhlasan dan kesungguhan mereka melakukan sesuatu untuk agama yang mulia ini, InsyaALLAH.
MENUJU CINTA ILAHI : Ye betul tu Nurul. Cerita yang sangat menarik dan patut kita teladani.

Moga ruang dan nafas yang masih bersisa ini, dapat kita manfaatkan sesuatu untuk tujuan yang sama, iaitu demi melihat kemuliaan dan keagungan Islam dinikmati oleh semua.

ALLAHHU RABBUNA...kurniakan kami kekuatan dan keikhlasan..ameen.
KAK NISHA : Ameen..ameen..InsyaALLAH kak :)

Jazakillah.
ANAKBONGSU : Wslm, dik :)Alhamdulillah, semua yang baik dari Allah jua. Banyak sisi baik dan buruk yang berlaku pada orang lain yang mampu kita jadikan panduan, ambil iktibar, sebagai pedoman dan pengajaran untuk kita pula melayari kehidupan ini.

Tinggal lagi kita buka mata, telinga dan mata hati seterusnya bersedia untuk melakukan perubahan. Semoga hari ini lebih baik dari semalam yang telah berlalu. Dan esok pula bakal menjadikan kita insan yang lebih beriman dan bertaqwa kepada-NYA.

Moga Ramadan kali ini adalah permulannya ye, InsyaALLAH :)
MUSLIHAH ZAKI : Jazakillah dik :)Semoga kita semua beroleh manfaat yang ada padanya.

Terima kasih kerana sudi membaca. Salam ukhuwwah juga dari Kak Ina.
Amoi Ida said…
Jazakillah dan terima kasih atas perkongsian kak Ina..menginsafkan :)
Unknown said…
Salam kak Ina,

MasyaAllah... jauh lagi diri ini dari cerita2 wanita yang luar biasa pandangan Allah terhadapnya....

Terima kasih kak Ina, insyaallah kita sama-sama menyumbang ke arah kecil yang besar, sedikit banyak.

-ibunoor-
-ISMIYAN- said…
Salam Pn. terima kasih wujudkn blog ni..terima kasih..sy baru..baru sgt..(T_T)..maaf saya.. kerana ada copy entry Pn dlm blog saya..maaf saya..
Ummuafiq Hashim said…
o...mcm tu ceritanya... tadi kat fb tak faham...

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA