21 August 2010

BICARALAH ATAS NAMA KASIH

Semuanya bermula pada pertengahan Mac yang lalu, iaitu ketika saya menerima satu emel daripada seorang editor sebuah syarikat penerbitan di Malaysia. Berulangkali saya mengamati isi kandungan yang termuat di dalamnya. Bukan tidak percaya, cuma tidak menduga, bahawa impian dan hasrat yang saya pendam selama ini, bakal menjadi kenyataan dengan izin-NYA.

Setelah beberapa perbincangan lewat emel dilakukan, akhirnya saya dan pihak penerbit, Karya Bestari Sdn. Bhd. bersetuju untuk menjalin kerjasama.

Seiring itu juga, saya menerima lamaran tersebut dengan linangan mutiara jernih dari kolam air mata. Ia manifestasi dari rasa gembira yang melaut di dalam jiwa, beriring segunung kesyukuran ke hadrat Yang Maha Esa.

Segala puji bagi-MU Ya ALLAH !

BERAKHIR
“As cemburulah dengan abang,” luah saya sambil menatap lakaran kulit buku terbaru suami.

Bagai terngiang-ngiang luahan rasa cemburu saya itu setahun yang lalu. Ketika itu suami baru sahaja menerima emel berisi cover depan buku terbarunya, Untukmu Wanita.

“Bila la masanya akan tiba, As pula dapat menghasilkan buku seperti ni,” tambah saya lagi mengingatkan diri.

“InsyaAllah, As sedang berusaha ke arah itukan ?” suami memujuk.

“ Ye, suatu masa nanti, InsyaAllah,” saya menyemat azam.

Alhamdulillah, hari ini, keazaman itu bakal sampai ke penghujungnya. Pada tanggal 10 Ramadan yang lalu, saya pula menerima emel, persis seumpama emel yang pernah diterima suami dahulu. Bahkan, ia tiba dengan tambahan berita gembira bahawa buku pertama saya itu akan keluar menemui pembaca berkebetulan saat umat Islam sedang sibuk untuk membuat persiapan hari raya.

Ala-ala ‘buah tangan’ untuk lebaran.

Awal September depan, InsyaALLAH, jika diizinkan TUHAN, buku pertama saya ini akan berada di pasaran.

TENTANG BUKU
Sebahagian besar kandungannya adalah merupakan artikel-artikel dari blog saya sendiri iaitu, ummuhusna99, dengan tambahan bonus berupa dua artikel dari suami yang dikasihi. Diharapkan, dengan menghimpun dan mempersembahkannya dalam bentuk sebuah buku akan lebih memudahkan rujukan dan bacaan secara santai tanpa perlu membuka komputer.

Saya menginsafi, usia yang ada ini, hanya DIA yang Maha Mengetahui bilakah akan bertemu titik penamatnya di dunia ini. Berakhir hayat saya di dunia, bermakna blog ummuhusna99 yang menjadi medan saya berdakwah berwahanakan pena juga akan sampai ke penghujungnya.

Lalu, membukukan artikel-artikel yang ada adalah langkah yang amat baik agar kebaikan yang ada padanya tetap boleh ditatap oleh generasi pewaris saya di masa depan, InsyaALLAH.

Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama dengan setiap satunya mengandungi beberapa sub-topik yang bersesuaian dengan tajuk-tajuk artikel di bawahnya.

Walaupun tema utama yang mengisi setiap artikel merupakan cerita dan ragam saya meneladani suami dan anak-anak, akan tetapi selamilah rentetan kisah kehidupan kami ini dengan tujuan mencari kebaikan yang boleh dimanfaatkan bersama. Sebagaimana saya cuba berusaha untuk memaknakan institusi keluarga sebagai ‘syurga’ yang menghadirkan bahagia di dunia, diharapkan para pembaca juga dapat mengambil apa jua manfaat yang tergambar dari penulisan ini untuk diaplikasikan pula di dalam keluarga masing-masing.

Hakikatnya, yang baik itu dari ALLAH Yang Maha Kaya sementara kelemahan itu datang dari diri saya sebagai manusia biasa.

Demikian juga, oleh kerana suami menghadiahkan dua tulisannya untuk dimuatkan ke dalam buku ini, saya meminta jasa baik pihak penerbit untuk turut meletakkan nama suami sebagai penulis bersama. Selebihnya, ia adalah sebagai penghargaan kepada beliau atas dorongan, masa yang dicurahkan untuk menyemak fakta dan isi penulisan ketika fasa awal bertatih sebagai penulis di alam maya.

Dan yang paling utama adalah bual bicara dan sembang-sembang bersamanya di dalam rumahtangga yang banyak mencetuskan ilham dan idea menulis kepada saya sepanjang setahun bergelar blogger.

BICARALAH ATAS NAMA KASIH
Sukar saya menggambarkan perasaan sendiri tika ini. Sungguhpun, detik inilah yang amat saya nanti-nantikan, namun, sejurus berita gembira itu tiba, perasaan saya berbaur antara hiba dan gembira. Hiba mengenangkan, dua insan yang paling penting di dalam hidup saya tiada di samping untuk berkongsi kesyukuran ini.

Terbayang wajah tua ayah yang jauh di tanahair tercinta. Terimbau, wajah lembut ibu yang telah kembali menemui Maha Pencipta.

Justeru itu, buku ini saya dedikasikan kepada mereka atas nama cinta seorang anak yang membesar bernaung kasih sayang ibu dan bapanya. Daripada kedua-dua mereka, saya mengenal pahit maung kehidupan. Meniti susah dan payah sebelum sampai ke destinasi impian.
Saya berdoa agar ada titisan pahala darinya yang dapat membantu mereka. Semoga, dengan rahmat dan kasih sayang ILAHI, kebahagiaan hakiki akan menjadi milik mereka nanti, ameen.

Tidak dilupa suami tercinta dan empat permata hati yang mengisi masa-masa indah saya sebagai seorang isteri dan Ummi. Mereka pembangkit semangat untuk saya terus berusaha mendidik diri dan mentarbiyah hati, sehingga menjadikan saya 'seseorang' di dalam kehidupan sementara ini.

Akhirnya, kepada team penerbitan, buat sahabat-sahabat yang tidak jemu memberi nasihat dan sokongan, para pelawat dan pembaca blog ummuhusna99, yang tidak jemu melontar komen membina, kalian juga ada saham dalam kebaikan penulisan ini.

Sebelum kembali kepada Yang Maha Mencipta, mengharapkan redha-NYA, moga kebahagiaan di dunia, bertali penghujungnya di akhirat sana.

Terima kasih semua. Terimalah dari saya :

‘BICARALAH ATAS NAMA KASIH’



Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

18 comments:

izwah said...

Salam, Tahniah kak ina. semoga ilmu yang disampaikan akan terus mengalir sehingga kembali ke pangkuan Ilahi kelak. Insya-Allah.

Ummu Ammar said...

Salam Kak Ina..

Mabruk atas kelahiran karya sulung akak..sememangnya amat dinantikan oleh peminat2 setia blog akak macam saya ini..mesti dimiliki..Semoga terus berdakwah melalui tinta..moga berjaya..

Schalfyzcha said...

Tahniah.... insyaAllah akan dapatkan satu untuk bacaan emak dan abah di kampung (sebab anaknya dah khatam blog ummuhusna99 ni :)

Min said...

nak satu... nanti nak soh adik kat msia belikan dan kirim dgn brg2 yg depa nak kirim... tahniah kak ina! semoga terus tabah dan bertenaga menulis. kongsikan dengan kami apa yang ada di dada dan di minda agar ianya dapat dimanfaatkan bersama...

ummumishkah said...

salam
congrats kak ina!
sememangnya niat yg ikhlas akan dipermudahkan oleh Allah..
for sure I'll add it as my personal collection and will request the library to purchase it as light reading material!

Menuju Cinta Ilahi said...

Tahniah kak ...:) moga menjadi amal soleh yang diterima di sisi ALLAH. hmm wah..ada orang jeles jugak nih..

tinta_nurjannah said...

tahniah akak...saya silent reader blog akak selama ni...saya doakan akak akan terus menulis artikel-artikel yang membangun jiwa..

Syuhairah said...

Salam

Tahniah untuk akak.. Semoga ini akan menaikkan lagi semangat akak dalam berdakwah.. Insyaallah

Nisha said...

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah dan Tahniah Ummu Husna.

Najibah Mustaffa said...

Assalamualaikum Kak Ina.

Tahniah atas kelahiran 'buah hati' pertama ini. Saya pun sangat teruja untuk mendapatkan buku ni. :-).

Membaca blog akak, dari 'cerita-cerita biasa' tentang rumahtangga, menghadirkan semangat yang luarbiasa untuk saya memaknakan kehidupan berumahtangga dengan acuan al-qur'an dan as-sunnah.

Terima kasih kak atas perkongsian yang sungguh bermakna.

ibuaiman said...

Tahniah Kak Ina...Publishernya tak sama dgn buku Ustaz pula yer...Karya Bestari...Saya kena contact publisher untuk dptkan buku akak utk dijadikan koleksi buku di website saya pula..:)...Kepada sesiapa yang sudi jemputlah kewebsite saya di http://www.kasihbuku.com . Banyak buku2 agama dan buku kanak-kanak yang menarik untuk anda dapatkan...:)

rose@ila said...

salam,tahniah...
moga makin bercambah berkat ilmu ilahi buat semua..amin

Adriana said...

Saya silent reader blog Kak Ina. Tahniah, Kak Ina.

hanna wm said...

kak ina, tahniah!
salam dari notts

eCcentric eL said...

Assalamualaikum!!
Tahniah akak!! Alhamdulillah... sudah agak berbulan2 juga menantikan sesuatu yang boleh saya bawa ke hulu hilir di dalam beg. InsyaAllah akan 'diburu' buku ini :D

teknologipendidikan-islam said...

Salam kak ina,

Alhamdulillah dan tahniah.

Tak sabar nak dapatkan buku ni....

ustazah said...

salam, Tahniah! moga peluang ini menjadi medan Ummuhusna untuk terus menyebarkan ilmu dan pengalaman sebagai muslimah mujahidah

satu said...

Salam kak Ina,

MasyaAllah...pucuk dicita ulam mendatang...dah lama dinantikan saat 'kelahiran' dari kak Ina ini.

Ya Allah tak sabar hendak membelinya.

Semoga kak Ina sukses dalam dunia penulisan...

-ibunoor-