28 August 2010

ANDAI RASULULLAH BERSAMA KITA....

Wanita itu menangis.Walau wajahnya terlindung di sebalik purdah, dan hanya menampakkan sepasang matanya yang bening, tetapi suaranya yang sayu dan sebak beserta linangan airmata yang tumpah menggambarkan segala rasa yang menggigit tangkai jiwanya.

Melihat itu, saya turut mengalirkan air mata.



Sudah banyak kali saya menyaksikan petikan video yang satu ini. Jika diulang tayang berkali-kali pun, ia masih menghadirkan keinsafan di dalam diri. Kolam air mata mana yang mampu menampung limpahannya, jika persoalan yang bermain di kepala membuak kesayuan yang tiada taranya.

Persoalan yang sukar dijawab tetapi juga adalah impian setiap muslim dan muslimah yang beriman.Inilah yang berlaku kepada diri saya setiap kali menonton petikan video yang menampilkan satu rancangan berbahasa arab bertajuk : Lau kaana bainana. Rancangan ini mengenengahkan persoalan bagaimana sekiranya Rasulullah SAW, hidup dan berada di tengah-tengah kehidupan moden hari ini.

Bersama-sama kita!

BUKAN JEMU
Hampir sebulan lamanya saya tidak menulis artikel berkait aurat wanita setelah entri terakhir mengenainya yang bertajuk: Di sebalik cebisan kain itu. Bukan sudah jemu untuk saling mengingatkan, jauh sekali dari rasa bimbang akan menerima emel berisi kata-kata menusuk hati seperti sebelum ini, tetapi demi menghormati pandangan suami agar saya tidak terlalu mengasak minda pembaca dengan tajuk yang sememangnya menghadirkan kontroversi bila diperkata.

Namun, dari sehari ke sehari, saya melihat perkembangan fesyen busana Muslimah hari ini terutama pada cara dan gaya bertudung, kian menjarak dari sempadan Islam dan syari’atnya.

Memandang dari ilmu yang sedikit ini, saya merasakan fesyen dan gaya bertudung yang muncul dan menjadi pilihan ramai muslimah hari ini, tidak begitu menepati ciri-ciri menutup aurat yang telah digariskan agama. Rata-rata trend bertudung yang dikenakan, sekadar menutup kepala, tetapi mendedahkan bahagian dada, bahkan membuka leher hinggakan terdapat juga fesyen yang hanya menutup sebahagian rambut di kepala sahaja seperti gaya bertudung ( menutup kepala ) yang diperagakan oleh selebriti dan artis terkenal di Malaysia.

Ditambah pula dengan penjenamaan style bertudung yang menonjolkan elemen ‘glamour’ Timur Tengah seperti tudung Dubai dan Indie Syiria yang dipaparkan di dalam majalah-majalah berunsur Islam oleh model-model busana muslimah dan ‘cover girl’ majalah.

Sungguhpun, ia dikatakan kelihatan sopan, tetapi objektif menutup aurat sebagaimana yang digariskan Islam masih belum terlaksana. Ia tidak mencapai maksud untuk melindungi aurat yang sepatutnya disembunyikan dari pandangan umum, terutama mata jejaka.


ZON KELABU
Kerana itu, saban waktu saya mengulang tatap dan menonton rancangan yang bertemakan cinta kepada Nabi SAW ini, persoalan tentang aurat ini turut berlegar-legar di dalam jiwa. Keadaan ini sedikit sebanyak mengganggu ketenangan minda, lalu mendorong saya untuk kesekian kalinya berbicara mengenainya.

Sungguh menyedihkan, apabila majalah-majalah yang mengangkat nilai Islam pada hari ini mengenengahkan gaya penutupan aurat berlabelkan ‘busana‘ muslimah, menjadikan ramai wanita Islam, terutama para remajanya menyangka penampilan sebegitu sudah menepati kehendak penutupan aurat yang sempurna.

Di antaranya ialah seperti contoh di bawah :


Saya teringat kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

An-Nu'man bin Basyir berkata : ‘Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, itu adalah hati.” ( Hadis riwayat Bukhari )

Tanpa sedar, industri fesyen yang tumbuh bak cendawan selepas hujan pada hari ini sudah banyak melangkaui zon putih yang dibenarkan agama dan berada di dalam zon kelabu yang samar-samar kehalalannya sehingga jika diamati dari kacamata iman dan ilmu, ia lebih menjurus kepada tidak boleh ( haram ), sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis di atas.


KATA TAK DIKOTA
Berapa ramai umat baginda dari kalangan wanita yang memperkatakan tentang kasih dan cinta kepada Rasul SAW, tetapi penghayatan terhadap apa yang dibawa tidak nyata terserlah. Bagai tidak diambil kesah.

Sewajarnya kita memahami, bahawa cinta Nabi SAW bukan sesuatu yang berupa kecenderungan pada ketika-ketika khusus semata-mata, seperti ketika merayakan kelahiran baginda, sewaktu tiba bulan Ramadan yang mulia, atau saat dihujani dengan peringatan-peringatan di dalam majlis ilmu.

Akan tetapi, cinta itu haruslah benar-benar murni dari lubuk hati dan sentiasa terpatri kukuh di dalam jiwa seorang yang beriman kerana dengan cinta itulah hati menjadi hidup, menatijahkan amal soleh dan seterusnya menjadi benteng yang menahan dirinya dari kejahatan dan dosa.

Sepanjang masa, walau di mana pun jua.

Justeru itu, untuk mengekspresikan cinta kepada Rasulullah SAW, kita tidak boleh melakukannya mengikut selera dan hawa nafsu, beralasankan suasana, trend semasa yang mendominasi, atau bimbangkan tanggapan manusia sekeliling, tanpa terlebih dahulu memperdulikan syari'at agama. Ketika itu, jika nafsu yang lebih diutamakan, andai saranan manusia yang menjadi perhatian, maka bukan pahala yang bakal kita terima, tetapi hanya menuai dosa.

Seolah berdusta, apa yang dikata, tidak dikota. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Tidaklah (sempurna) iman salah seorang di antara kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada orang tuanya, anaknya dan segenap umat manusia." (Muttafaq Alaih)


JALAN SELAMAT
Justeru itu pada saya, demi menzahirkan kepatuhan kepada junjungan mulia, juga untuk menjamin pakaian dan tudung yang tersarung ditubuh adalah patuh syari’ah ketika berada di luar rumah ialah dengan terus bertahan memakai fesyen yang ramai orang sekarang melabelkannya sebagai ketinggalan zaman iaitu bertudung labuh seperti contoh di bawah ini :

Tudung-tudung ini boleh disuaipadan bersama baju kurung, jubah, abaya, blouse labuh dan skirt panjang, t-shirt labuh dengan seluar yang longgar dan seumpamanya, asal sahaja syarat-syarat yang digariskan oleh Islam sudah ada, iaitu tidak jarang, tidak ketat, labuh baju yang melepasi bahagian punggung dan peha bersama tudung yang labuh melepasi bahu dan dada.

Juga satu perkara yang tidak kurang pentingnya, setiap muslimah mesti ‘mengenali’ batang tubuhnya sendiri agar pakaian yang dikenakan itu dapat memainkan peranannya, menutup dan melindungi bentuk tubuh.

Saya meneliti bahawa tudung segera yang banyak terjual hari ini, jika pemakainya bertubuh kecil dan sederhana, ia tidak mengapa, akan tetapi jika dikenakan ke tubuh yang agak besar dan gempal, ia kelihatan tidak sesuai. Walaupun labuhnya sudah menutupi dada, tetapi dek material yang agak melekat pada tubuh, ia masih tidak mampu menutupi ‘bentuk’ yang tersembunyi di sebaliknya.

Perhatikan gambar-gambar di bawah ini. Adakah pakaian kita termasuk di dalamnya?


Kerana itu, pada saya, penjelasan yang tepat tetapi sederhana adalah seperti contoh di bawah ini :


Mungkin, kata-kata Sayyidatina Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah ini dapat menjadi renungan bersama :


"Seandainya Rasulullah SAW sempat menemui apa yang diada‑adakan oleh para wanita (saat ini) nescaya beliau akan melarang mereka sebagaimana dilarangnya wanita‑wanita Bani Israil." (Hadis riwayat Bukhari hadis 869 dan dikeluarkan juga oleh Muslim 445 )


Larangan yang dinyatakan oleh Sayyidatina Aisyah r.a. ini merujuk kepada keharusan yang diberikan baginda Rasul kepada kaum wanita untuk solat berjamaah di masjid.


Di dalam riwayat Muslim, ada menukilkan : Salah seorang rawi bertanya kepada Amrah binti Abdirrahman (murid Aisyah r.a. yang meriwayatkan hadis ini darinya) : "Apakah para wanita Bani Israil dilarang ke masjid?" Amrah menjawab : "Ya, adapun hal‑hal baru yang diperbuat para wanita Bani Israil di antaranya memakai wangi‑wangian, berhias, tabarruj, ikhtilat, dan kerosakan‑kerosakan lainnya."


Insafilah juga, bahawa pakaian sunnah yang diperagakan oleh muslimat mukminat ketika hayat Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan kerana mereka mendapat didikan, tarbiyyah, teguran serta perakuan secara langsung dari baginda junjungan. Maka, tidak hairanlah, jika muslimat mukminat ketika itu menjadi suri tauladan yang unggul sepanjang zaman.



ANDAI RASULULLAH SAW BERSAMA KITA…

Akhirnya, andai benar Rasulullah SAW bersama kita, adakah baginda akan tersenyum senang melihat gaya berpakaian yang tersarung di tubuh kita saat ini.


Atau….


Adakah baginda hanya mendiamkan diri dengan wajah diselubungi duka, lantas berpaling dan berlalu pergi meninggalkan kita…


Kerana itu pada saya, apa yang boleh diusahakan sekarang ini adalah, kepada mereka yang punya kesedaran ini, mainkan peranan anda walau siapa dan di mana anda berada untuk menyampaikan kebenaran ini. Ikhtiarkan walau sedikit, walau sekadar hanya mampu menunjukkan contoh melalui pakaian yang tersarung di tubuh sendiri, dan sudah pastinya diseiringkan pula dengan akhlak dan peribadi seorang Muslimah yang sebenarnya.


Jika benar kita menyintai Nabi SAW, mari kita buktikan bahawa rasa cinta kepada baginda SAW adalah cinta yang bukan didahului hawa nafsu. Akan tetapi, ia demi mentaati perintah agama beriring keyakinan bahawa rasa cinta kepada baginda ini akan membuahkan cinta kepada Yang Maha Esa sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :


“Katakanlah ( wahai Muhammad), ‘Jika kamu (benar-benar) menyintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH menyintaimu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( Surah Ali ‘Imran ayat 31 )


Menyintai dan mengasihi baginda SAW mampu menjadi asbab untuk meraih hidayah dan petunjuk-NYA. Mengasihinya juga boleh menyelamatkan kita dari azab api neraka, dengan izin-NYA.


Benarlah, baginda merupakan rahmat terbesar yang dikurniakan ALLAH SWT kepada alam semesta. Firman ALLAH SWT yang bermaksud :

Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat untuk sekelian alam.” ( Surah Al-Anbiya ayat 107 )

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

25 comments:

kakchik said...

salam ina. insaf kakchik membaca tulisan ina ni. isu aurat tak pernah puas membacanya.

ummu luqman said...

sangat teringin untuk memakai tudung labuh tapi masih belum ada kekuatan.. bimbang tak mampu istiqomah.. :(

puteri said...

Terima kasih kak....Insyallah saya berusaha ke arah tersebut cuma sebelum ini byk terfikir, boleh kah suami terima? agak kurang keyakinan apabila hidup dlm berpoligami...Insyallah, Allah berikan petunjuk dan hidayah kpd saya sebelum terlambat.....Ye...spt yg ustaz n ustazah bgtau kat saya, jgn fikir apa yg org fikir hanya krn nak jaga hati mrk jika apa yg kita lakukan mmg tidak di sukai Allah tp lakukan sesuatu krn Allah...Terima kasih sekali lg kak atas teguran khilaf saya....

A.F.A. said...

Assalamualaikum warahmatullah Kak,
sy nk tnya sikit.Ramai skrg pakai tudung segera yg mcm akak ckp tu.menutup dada semua tp pin kat belakang, kat leher tu nampak ketat sket.kalo tgk dr blkg nmpk mcm 'sister' sket. sy pun pernah pakai mcm tu., tp ditegur mak mentua sbb menyerupai sesuatu kaum yg lain. Pendapat akak & hukumnya ?

mamdoh said...

.: mamdoh suka video nih, dan saya suka posts Ummu yg ini. Sungguh mamdoh juga tak tertahan mengalirkan air mata mndengarkan bicara wanita itu. mula2nya saya terlihat di facebook, sekarang pun ALhamdulillah sudah ada di blog Ummu Husna. :-D

mamdoh minta maaf awal2, cuma bila membaca komen Ummu Luqman, satu aja ingin mamdoh tanyakan. Kenapa bertangguh sesuatu yg baik? Masa kita di dunia ini kita tidak tahu sampai bila, pedulikan istiqomah ke tidak, yg penting pakai. Pakai atas nama Allah, istiqamah tdk perlu dtggu, ia akan hadir sendiri, insyaAllah. yg penting jgn bertangguh sesuatu yg baik.

bg mamdoh sendiri, aurat wanita itu sesuatu yg indah, ttp jg sesuatu yg merbahaya. kdg iman ini tahan dugaannya, kdg2 tdk.. mamdoh na tanya Ummu Husna, bgmana hikmahnya cara utk mamdoh mngajak ibu, adik perempuan dan teman wanita agar berpakaian yg labuh? Syukur mereka sudah bertudung, cuma mamdoh agak kurang ckit dgn tudung ala2 artis nih. hendak dikeraskan suara dan nasihat secara baik, mereka sudah tahu, sudah mdgr, tp tdk dbuat. kebingungan mamdoh. minta agar diajar cara hikmah atau rahsia2 serta doa2 agar mereka lembut hati untuk bertudung labuh. Terima kasih kerana membaca, Wassalam.

almukhlis_su said...

Entri yang sgt baik.Byk yg berlaku sekarang ini semacam menjadi trend dan ikutan.Tetapi hakikat yg sebenarnya tersasar.Terima kasih Kak Ina,Insya Allah sama kearah kebaikan.Moga2 niat utk berbuat baik kerana Allah swt dipermudahkan-oleh-NYA...Ameen.Teruskan berkarya ...

ummu fatimah said...

Teruskan menulis mengenai aurat muslimah kerana jika dilihat kini berbagai2 fesyen yang ditonjolkan utk muslimah namun ia tidak menepati ciri2 sebenar yang dikehendaki. Walaupun diri ini bukanlah yang terbaik namun kita perlu sentiasa berubah untuk jadi yang lebih baik.
Komen2 yang mungkin kurang menyenangkan jadikan ia satu kekuatan bukan melemahkan. Setiap perjuangan pasti ada cabaran. Begitulah yang dihadapi oleh para Rasul dan Nabi dalam menegakkan hukum Allah. Teruskan menulis.

zuraihan said...

Alhamdulillah..teruskanlah usaha kak.. Sebelum ni sy jg tidak ada kesedaran utk menutup aurat dgn sempurna (tudung jarang & tk pakai stoking) tp krn kerap membaca tulisan ustaz dan akak, dan juga peristiwa yg berlaku dlm hidup sy, sy sedar perlunya menutup aurat dgn sempurna ...
Cuma masalahnya sy masih menangguhkan hasrat tersebut krn masih tk berkesempatan mencari material yg sesuai spt stoking tebal dn kain tudung yg tk jarang/singkat
Dan sy yakin dgn keputusan apatah lg apabila baca puisi akak "Muslimah Solehah itu berbeza".

aisy said...

salam buat ukhtie yg dimuliakan Allah SWT. Ana bila baca tajuk jer dah rasa sebak...betullah kita hari nie banyak kena tipu dan tertipu dgn dunia yang sementara. Asal niat dah baik nak tutup aurat sempurna tapi masih ikut nafsu bukan utk sukakan Allah dan Nabi.
ana sendiri kena banyak2 istighfar n doa dgn Allah semoga diberikan kekuatan iman dan amal utk berusaha dpt taat segala perintah Allah dan dpt amal sunnah nabi saw. Ana sendiri kena doa nangis2 utk diri sendiri dapat istiqomah blaja pakai purdah sempurna dan merayu merintih dgn Allah agar wanita2 yg belum dapat tutup aurat Allah beri hidayat kepada mereka dapat kembali taat kepada Allah dan dapat tutup aurat sebelum Allah tutup bumi ni dgn hari kiamat yg pasti dan pasti akan brlaku :(. Trkadang sedih pulak lebih2 lagi dibulan ramadhan yg mulia yg penuh dgn keberkatan masih lagi ade yg tak malu2 tak tutup aurat. Puasa tapi tak tutup aurat. Puasa tapi tak solat. Sedihkan.... ana kesian n sedih sesangat bila terjumpa, terlihat wanita2 di luar sana. Itulah hidayat....silap ana juga sebab amal tak betul n tak dakwah mereka untuk tutup aurat. Doakan utk ana n umat seluruh alam

nihas said...

Assalamualaikum wbt...

Kak Ina,
Mohon kalau boleh akak catatkan lah dosa- dosa/ hukuman/ balasan Allah kepada wanita yang tidak menutup aurat ini.... Mudah2 an dpaat beri panduan dan kekuatan....

Walau pun sesungguhnya rahmat Allah itu mengatsi kemurkaan Nya...

wallahualam....

satu said...

Salam kak Ina,

MasyaAllah kak... janganlah jemu mengingatkan kami tentang aurat kak... ingatan-ingatan sebegini amat perlu sekali, kala kita lafaz 'merdeka' sebagai seorang individu yang hakikatnya tetap hamba kepada Allah.

Memang sedih sekali menonton video tersebut

-ibunoor-

kakchik said...

assalamualaikum ina. kakchik singgah lagi membaca kembali artikel ini. harap ina halalkan sebab kakchik nak salin dan post di Keluargaku Sayang untuk Perkongsian. Insyaallah artikel ni akan beri manfaat kepada lebih ramai orang di luar sana.

terima kasih kakchik dahulukan.

namlu.ahmar said...

Salam..
Semoga ukhti terus dikurniakan ilham yang baik dari Allah untuk terus menulis dan menyedarkan masyarakat..Mohon izin untuk share di blog ana.

Fesyen-fesyen busana muslimah yang TIDAK PATUH syariah sangat banyak di pasaran..sama ada pihak pengeluar/pengguna tidak ada pengetahuan atau tidak ambil peduli..hanya mementingkan unsur2 keduniaan (untung banyak/ ingin cantik..?).

Wallahualam.

ida_zy said...

assalamualaikum kak ina

saya cadangkan kak ina hantar surat terbuka pada majalah-majalah 'muslimah' yang memaparkan fesyen 'menutup aurat'
saya sebenarnya pernah terfikir hendak hantar surat pada editor
tapi ilmu saya tidak sebanyak kak ina
bimbang hujah saya dangkal
sekadar cadangan
terima kasih selalu mengingatkan

z said...

Ya ALLAH..rindu sangat pada Rasullullah...layakkah diri ini untuk bertemu beliau..sangat ingin melihat beliau tersenyum melihat diri ini berada di hadapannya... ='(

Satu Perjuangan 2009 said...

Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh. Jazakallahu khairan kathiira di atas perkongsian ilmu pengetahuan dari ustazah. Mohon maaf, saya mohon menanyakan soalan insya allah jika berkesempatan untuk menjawabnya, iaitu, apakah hukum bagi seorang perempuan untuk mengenakan seluar pada dirinya. Apakah kewajarannya dan nilaiannya pada sisi Islam. Untuk dijadikan contoh juga, seperti jubah seluar, serta 't-shirt' labuh dengan seluar dan yang sekutu dengannya. Wallahua'lam, terima kasih.

shafiyya_mujahidah said...

ukhtiku...bila pakai tudung labuh dan pakaian tidak bertabarruj,rasa selamat drpd dipandang mata yang berlandaskan nafsu..panahan mata daripada syaitan....yang lebih pnting lg rasa selamt dengan adanya kehadiran redha Allah..walaupun diuji dgn rasa ter ‘asing’ oleh manusia sekeliling..,namun kekuatan cinta Illahi membuatkan diri terus tegar utk membutakan nafsu yang mengotori perjuangan muslimah sejati..

shafiyya_mujahidah said...

salam ustazah..sya baru jer menjdi peminat blog ustzh..saya tertarik dgn blog ni..satu saluran dakwah yang bagus bagi wanita utk mengislahkan dirinya kpd lebih baik.insyaAllah..sya salah seorang hambaNYa yang telah mendapat pencerahan driNya,,saya lebih faham knapa kena tutup aurat..kenapa kena bersusah-payah utk menjaga aurat sbg wanita..alhamdulillah setelah hampir 3 tahun saya bermujahadah utk mengislahkan diri, kini saya diberi kekuatan utk memakai tudung labuh..baju labuh...tinggalkan tabarruj yg sebati dgn saya dulu..

shafiyya_mujahidah said...

salam ustazah..saya nak minta pandangan ustzh..bagaimana kita nak memahamkan family untuk menerima perubahan diri kita yg semakin 'labuh' dalam berpakaian dan tidak 'ceria' dgn perhiasan tabarruj kerana penampilan saya yang dahulunya memang berfikrah seperti itu..agak bertabarruj..apakah cara terbaik yg kita boleh lakukan sebagai seorang anak..jazakillahukhairankathiro..

amkaron said...

Salam Ustazah,

saya tidak faham dgn aurat yg mengatakan sehingga menutupi dada tapi dlm artikel ni pula kata kena melepasi bahu.Tudung ekspres sekrg yg di pakai saya semuanya menutupi depan dada tetapi tidaklah tudung labuh yg bulat itu..harap ustazah dapat terangkan

husna_as0326 said...

salam...ustzah nk mnt izin nk amb hdis2 n mksd ayt al-Quran dlm artkel ni..nk share ngan shbt2..mnt izin ek..

FATIMAH said...

Assalamu'alaikum wbt ustazah...
subhanaAllah..sy sendri tharu n mnangis bila tgk video di atas...

saya setuju dgn kata2 ustazah..sbbkan fesyen2 ini lah remeja kita tjerumus dlm konsep aurat yg salah...

izinkan sy share ye...

sahila said...

Salam...Jazakallah Ustazah... Alhamdulillah tidak sia2 apa yang ustazah sampaikan..

'SriKanDI aFinA' said...

salam...pabila membaca article ini.. airmata saya terus berlinangan.... sgt2 tersentuh di sudut hati sye.. dulu saye memakai tdung labuh..tetapi bertukar ke arah tdung pendek pula selepas beberapa hari menuntut di pengajian tinggi....ibu saya pnah menegur perubahan saye...saya sdih pabila ibu saya menegur dan menangis akan perubahan anak nya yang mana dulu jauh lebih baik...selepas berfikir saya menunai kan solat dan didalam solat saya menangis smpai meghabis solat itu....terlalu syahdu ketika itu....rasa hina di depan tuhan... alhamdulillah saya telah kembali seperti dahulu....perubahan saya sekarang lebih menenangkan hati saya......mengharap keredhaian dr allah....agar diri ini di terima di sisi nya....amin...

sesedap coklat said...

Assalamu'alaikum. Saya suka baca tulisan ustazah dlm Solusi.Ayat simple dan mudah difahami. Buku pertama 'Bicaralah Atas Nama Kasih' pun menarik. 'Lau kana bainana' syok. Wassalam.