3 July 2010

WALAU SEBESAR ZARAH...


Pemilik wajah berkulit putih dan berambut perang itu, dari jauh kelihatan tersenyum. Setiap hari, sementara menunggu bas untuk pulang ke rumahnya, saban kali ketika berpapasan dengan saya dan anak-anak yang sedang berjalan kaki, Jessica pasti melemparkan senyum manisnya.

Hello, Jessica,” saya membalas dengan iringan ucapan ringkas. Saya tahu, bibirnya yang menguntum ceria itu sebenarnya diberikan kepada kawan sekelasnya, Kak Ngah.

Saya menoleh ke sebelah kiri saya. Bagaikan sedikit terkejut bila melihat Kak Ngah yang masam mencuka. Wajah Jessica yang sedang tersenyum lansung tidak diendahkannya.

“Kenapa Kak Ngah tak senyum pada Jessica tadi?” saya bertanya setelah berjalan jauh sedikit. Sengaja saya tekankan nada suara sebagai tanda kurang senang dengan perlakuannya sebentar tadi.

“Malaslah Ummi…Jessica selalu buat tak elok pada Kak Ngah. Hari ni di sekolah, dia minum air Kak Ngah tak minta izin pun,”Kak Ngah meluahkan punca masalah.

Mendengar itu saya diam. Ada sesuatu yang saya fikirkan…

SEDIKIT PAHALA

“Dear Allah, You are so compassionate and so merciful and answer all our prayers. Thank you Allah, for listening and taking care of all our needs, ameen” saya mengakhiri slot bercerita sebelum tidur dengan sisipan doa dari buku yang dibaca. Kak Long dan Kak Ngah turut sama mengaminkan.

Khalil dan Solehah, telah lama diulit mimpi. Lena dan nyenyak sekali.

“Ok, tidur ye. Dah pukul berapa dah ni…nanti susah pula nak gerak bangun Subuh,” saran saya sambil menutup buku cerita ‘My Quran friends’.

Walaupun rutin membacakan anak-anak sebuah cerita sebelum tidur bukanlah sesuatu yang saya lazimi sebenarnya, tetapi jika ada kesempatan dan ruang masa, saya pasti melakukannya.

Jemu membaca kisah dan peristiwa, sesekali saya menukar ‘menu’ dengan mengajukan soalan-soalan berbentuk pengetahuan agama. Setidak-tidaknya, pengetahuan anak-anak dapat diperkukuhkan, di samping menambahbaik maklumat sedia ada.

“Ummi, betul ke kalau pahala kita sikit, kita masuk neraka?” tiba-tiba satu soalan menerobos masuk ke cuping telinga. Saya menoleh. Kelihatannya mata Kak Ngah masih bersinar cerah. Belum mahu tidur.Kak Long yang berbaring di sebelahnya juga, belum melelapkan mata.

“Siapa yang cakap macam tu?” saya menjawab dengan soalan.

“Kawan Kak Ngah, Fatimah..” balas Kak Ngah disambut anggukan kepala Kak Long di sebelah. Saya memandang kedua-duanya. Niat di hati ingin melangsaikan pembacaan novel, Imam Syafie : Pejuang kebenaran, saya tolak ketepi. Lembaran yang telah dibuka, segera saya tutup kembali.

Pada saya, persoalan berkait dosa, pahala, syurga dan neraka dari anak-anak seusia mereka, harus dijawab sebaiknya, bukan sambil lewa. Tambahan pula, sikap Kak Ngah petang tadi masih belum saya tangani dengan nasihat yang berguna.

Mungkin, ini peluangnya!

KISAH DARI RASULULLAH

Akan tetapi, bukan mudah mencari keserasian antara perkataan dan usia anak-anak yang masih hingusan. Suami sering mengingatkan saya tentang ini, agar penjelasan yang diberi bukan bersifat ‘syok’ sendiri. Kerana itu, agak lama juga saya diam untuk mengatur patah perkataan.

Namun, melihat jarum jam yang terus bergerak, saya tahu saya harus segera mencari jawapan. Bimbang, mengambil masa tidur anak-anak.

“Kak Long, Kak Ngah tahu tak…Rasulullah SAW pernah cerita dalam satu hadis..”saya memulakan jawapan dengan sebuah kisah dari sabda Rasul Junjungan.

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Sesungguhnya, aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling ( bergembira ) di dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang menganggu manusia.” ( Riwayat Muslim )

Hadis di atas menjelaskan kisah seorang lelaki yang sedang melalui satu jalan yang biasa digunakan oleh kaum Muslimin. Ketika melewatinya, dia melihat sebatang dahan yang berduri, bergelayut seakan-akan mahu jatuh. Bimbang memikirkan dahan itu mungkin menimpa orang ramai, lelaki itu bertekad untuk memotong dahan tersebut dan menjauhkannya dari jalan.

Tujuannya tidak lain adalah untuk mengelakkan sesuatu yang menganggu dari jalan yang dilewati oleh kaum muslimin. Oleh kerana tindakannya itu, Allah SWT mengampuninya dan memasukkannya ke dalam syurga. Menikmati kemewahan dan kesenangan yang tiada bandingannya di dunia.

SEBAB MASUK SYURGA

“Pada pandangan Kak Long, Kak Ngah…apakah yang menyebabkan lelaki tu masuk syurga?” soal saya menguji akal anakanda berdua.

“Sebab dia dapat pahalalah Ummi…” pantas Kak Long memberikan jawapan.

“Ye..sebab dia dah buat baik, tolong orang…” tambah Kak Ngah, penuh keyakinan.

Saya tersenyum. Kak Long dan Kak Ngah ikut tersenyum.

“Jawapan Kak Long, Kak Ngah tu betul dah…cuma ada satu lagi jawapan yang lebih tepat,”jelas saya. Berkerut dahi kedua-duanya mendengar kata-kata saya.

“Betul, Allah akan beri pahala atas perbuatan baik yang kita lakukan, tetapi Kak Long dan Kak Ngah kena ingat juga, sebenarnya bukan kerana amalan baik semata-mata yang menyebabkan seseorang masuk syurga, tetapi Rahmat Allah lah yang menentukan apakah dia masuk syurga atau neraka. Macam lelaki tadi, dia buat sedikit sahaja kebaikan, tapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan syurga yang penuh kenikmatan.”

Patah demi patah saya atur sebaik mungkin agar anak-anak dapat memahami dan mengerti. Melihat Kak Long dan Kak Ngah diam, saya menambah penjelasan.

“Mulianya seorang manusia boleh dilihat dari amal soleh dan kebaikan yang dilakukannya. Walau di mana dan dalam keadaan apapun. Semakin banyak perbuatan baik yang dilakukan, maka akan semakin tinggi nilai kemuliaannya. Sebab itu, Allah galakkan kita untuk berlumba-lumba mengerjakan kebaikan sebagaimana firman Allah:

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا فَاسْتَبِقُواْ الْخَيْرَاتِ أَيْنَ مَا تَكُونُواْ يَأْتِ بِكُمُ اللّهُ جَمِيعًا إِنَّ اللّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya : "Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu." ( Surah Al Baqarah ayat 148 )

KEBAIKAN YANG KECIL

“Tapi, kita juga mesti faham bahawa Allah tidak melihat secara luaran dan fizikal semata-mata, tetapi Allah juga mengadili dan melihat apa yang ada di dalam hati. Kerana itu, buat sesuatu kebaikan hendaklah ikhlas kerana Allah dan bukan mahukan pujian. Ikhlas merupakan sebab turunnya rahmat Allah.

Oleh kerana itu juga, kita tidak tahu amal baik yang manakah di antara amal-amal kita yang mendatangkan rahmat Allah. Mungkin saja, rahmat itu datang ketika kita membaca al Quran, atau boleh juga ketika kita memberi salam dan senyum kepada kawan-kawan, atau menyingkirkan gangguan di jalan seperti kisah tadi,” kali ini saya berhenti seketika dan melihat sekilas ke arah Kak Ngah. Kelihatannya dia mengingat-ngingat sesuatu.

“Jadi tak boleh pandang remeh kepada kebaikan-kebaikan yang ‘kecil’, kerana mana tahu kebaikan-kebaikan ‘kecil’ itu lah yang akan mendatangkan pahala yang besar kerana keikhlasan kita ketika melakukannya,” saya menerangkan.

“Sebab tu, Ummi lebih suka jika Kak Ngah cuba seikhlas mungkin untuk senyum pada Jessica petang tadi, walaupun Jessica dah buat Kak Ngah marah. Mana tahu, dengan hanya senyuman Kak Ngah padanya, Jessica akan berubah menjadi lebih baik dan lebih hormat pada Kak Ngah,” saya menambah.

Kali ini, Kak Ngah tersengih dan tertunduk malu.

Sementara bagi saya, suasana seperti itu menghadirkan suatu ketenangan bila kata-kata nasihat dan bermanfaat dapat dititipkan sebagai peringatan kepada anak-anak tercinta dan diri sendiri yang sering lupa.

WALAU KECIL

Saya menginsafi, kita selalu menanggapi sesuatu yang ‘kecil’ sebagai sesuatu yang remeh dan tidak mendatangkan apa-apa kesan jika melakukannya, baik ia berupa kebaikan atau keburukan. Mungkin ramai yang lupa bahawa tidak ada satu pun yang besar, kecuali diawali oleh sesuatu yang kecil.

Sejauh manapun pengembaraan, ia pasti bermula dengan langkahan pertama. Seluas manapun lautan, ia terhasil dari titis-titis air. Semegah dan setinggi manapun sebuah gunung, ia pasti tertegak dari batuan-batuan kecil. Demikian juga, sebagus apapun sebuah buku, ia pasti tersusun dari jalinan kata-kata. Sebuah jalinan kata, terdiri dari rangkaian huruf. Dan sebuah huruf adalah rangkaian titik.

Titik adalah tanda terkecil yang biasa dilihat oleh manusia. Walaupun kecil, tapi pengaruhnya amat besar. Sebagai contoh, di dalam bahasa Arab, sebuah titik mampu mempengaruhi makna dan kata. Huruf ha, yang tiada sebarang titik padanya, akan tetapi jika ditempatkan satu titik ditengahnya, ia berubah menjadi huruf ‘jim’. Dan bila titik itu diletakkan pula di atas, maka ia berubah menjadi huruf ‘kho’. Sementara huruf ba, jika ditambah satu titik lagi di sebelahnya, maka ia menjadi huruf ‘ta’. Bila ditambah satu titik lagi berubah pula menjadi ‘tsa’. Andai salah meletakkan titik, maka cara membaca dan maksud sesuatu kata juga turut berbeza.

Lantaran itu, ada ketikanya amal kebaikan yang kecil, yang hanya dipandang sebelah mata, sebaliknya memberi kehormatan besar dan keselamatan bagi kebaikan manusia. Bahkan, ada ketikanya juga, amal yang besar, yang dibangga-bangga, apalagi menjadi sebutan dan pujian ramai, boleh jadi tidak memberi manfaat apa-apa, bahkan kadang-kadang mengundang fitnah pula.

Demikian juga peringatan daripada Rasulullah SAW agar tidak memandang remeh sesuatu dosa, sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud :

“Berhati-hatilah kalian terhadap dosa kecil, sebab jika ia berkumpul dalam diri seseorang akan dapat membinasakannya.” ( Hadis riwayat Ahmad dan Tabrani dalam Al Awsath )

Dari Ibnu Mas’ud r.a, dia berkata : “Sesungguhnya seorang mukmin, ia melihat dosa-dosanya seolah-olah dia duduk dibawah gunung, dia takut kalau gunung itu jatuh menimpanya. Dan sesungguhnya seorang fajir (yang banyak berbuat dosa) melihat dosa-dosanya bagaikan lalat yang hinggap di hidungnya maka dia menggerakkan tangannya lalu mengusirnya.”

WALAU SEBESAR ZARAH…

Akhirnya, ambillah peringatan dari kalam Ilahi yang mulia ini, sebagai pedoman dan petunjuk kepada kebenaran-Nya. Firman Allah SWT :

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya : "Barangsiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” ( Surah Az-Zalzalah ayat 7-8 )

Justeru itu, jangan sesekali mengabaikan kebaikan yang kecil, dan jangan pula memandang kecil keburukan yang remeh.

Sungguh! Sesiapa pun mampu menjadi mulia hanya dari kebiasaan yang kecil dan mudah, seperti mengucapkan terima kasih kepada orang lain, mendahului ucapan hormat dan salam, memohon maaf dan melempar senyuman ikhlas.

Begitu juga, kehinaan dan kerendahan boleh menimpa sesiapa pun jua hanya dari kekerapan biasa-biasa seperti berbalas sms dan emel yang tiada keperluan apa-apa dengan berlainan jantina, memasang kuat ‘speaker’ atau bunyi suara televisyen dan radio hingga mengganggu jiran tetangga, dan seumpamanya lagi.

Mungkin ia kecil menurut penilaian kita, tetapi belum tentu ia kecil pada pandangan Allah SWT.

وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللَّهِ عَظِيمٌ

Maksudnya : “Dan kamu menganggapnya ringan sahaja, padahal di sisi Allah adalah besar.” ( Surah An-Nur ayat 15 ).

Semoga nasihat ini berbekas di hati saya dan di hatimu yang membaca..

Allahu Rabbuna…bantu kami, tunjuki kami..ameen.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

15 comments:

akuhamba99 said...

jazakillah kak ina, berkongsian yang bermanfaat diselitkan juga dengan cara menegur dan mendidik anak2.

teruskan menulis.

makbonda said...

Terimakasih Allah yang terus memberi kekuatan pada Ina untuk membiuskan keinsafan kepadaku.

Slave of Allah waaniijazz said...

waaniijazz
tersenuh hati saya pabila membaca coretan puan kali ni... esp part yg berlaku pd kak ngah.. kerana ituah yg sy hadapi masa di Universiti ni.. sy seringkali dituduh dgn pelbagai tuduhan melalu emel2 yg dihantar oleh seorang ukhti ini... sampai kdg2 terasa tawar hati utk kembali TERSENYUM n SENYUM... namun hanya Doa yg snts ku kirim buat ukhti ini... dan juga agar diri ini cube seIKHLAS mungkin utk memberi salam dan senyum kepadanya.... ameen ya rabb. ~syukran puan (^_^)~

Nisha said...

Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah dan terima kasih ummu Husna atas peringatan. Walaupun bukanya mudah untuk berubah terutamanya keburukkan yang ada pada diri tapi akan akak usahakan.

lynnlyana said...

terima kasih kerana menulis entry ini..good info..! ianya membuatkan saya berfikir sejenak tentang apa yang saya dah buat, samaada boleh memberikan kebaikkan ataupun sebaliknya kpd org sekeliling.

jnt said...

Assalamualaikum..

mmg berbekas di hati sy tulisan k.Ina. terima kasih kerana berkongsi.

tilmiizun said...

terima kasih atas tulisan akak nih...
boleh dijadikan panduan untuk mendidik anak2..

daya said...

terima kasih atas perkongsian ini. Amat bermakna.

d said...

salam pn,saya first time membaca blog ini.banyak makna post ini.susunan ayat yg indah juga.(banyak faedah)akan terus membaca.td

Santun Suri said...

Assalamualaikum...
Penulisan yang baik..ringkas dan mudah difahami..sekaligus mengingat kan kita sudah kah kita memberi salam kepada jiran tetangga,sudah kah kita melemparkan senyuman buat sanak saudara hari ini...:)

Ummimusa said...

salam kak ina, afwan menyapa di sini, dah lama benar tak dpt buka blog uzar, yg lain ada mslh yg sama tak?

satu said...

Salam kak Ina,

Alhamdulillah...terima kasih atas perkongsian ini. Moga Husna dan Najwa termasuk adik-adiknya menjadi anak-anak yang solehah.

Dokan kita selalu beradadalam rahmatNYA insyaAllah.

Ummimusa: Rasanya tiada masalah utk musuk ke blog UZAR. Memang selalunya boleh.

-ibunoor-

'ain said...

salam...yup, na pun tak dapat nak masuk web Ustaz Zaharuddin...

www.zaharuddin.net
This site is temporarily unavailable.
Please notify the System Administrator

Kaim Islam said...

Jazakillah. Teringin benar ingin menjadi sebahagian dariapda kehidupan menjalinkan ukhuwah fillah.

Semoga karya penuh keberkatan dan menegur sesama insan.
Amin

muhammad hafizi said...

Alhamdullilah, karya penulisan yang menarik dan diselitkan sedikit motivasi utk diri