MENGGENGGAM BARA API...

“……I can’t invest in alcohol related products because of the religious reason, so I’m going to declare myself out, Jeff..” luah James Caan kepada salah seorang peserta yang sedang cuba meraih perhatian lima panel penilai bertaraf jutawan di hadapannya untuk melabur di dalam perusahaan membuat arak dari ladang anggur organik ( organic vineyard ). Mereka ialah Duncan Bannatyne, Peter Jones, Deborah Meaden, Theo Paphitis dan James Caan sendiri.

Lima botol arak dengan label bertinta nama lima jutawan tersebut, seolah-olah menggambarkan bahawa itulah jenama yang akan diletakkan pada perusahaan dan botol minuman berkenaan sekiranya mereka melabur kelak. Ia jelas menampakkan kesungguhan Jeff untuk ‘mengambil hati’ kelima-lima mereka.

Ok..i understand,” balas Jeff sedikit terkilan bila mendengar penarikan diri James Caan.

Saya dan suami berpandangan. Kami saling berbalas senyuman. Terserlah kekaguman pada sinar mata suami. Saya apatah lagi. Kagum bercampur syukur atas pendiriannya itu. Perasaan ini kami kongsi bersama ketika menonton episod pertama, Dragons Den siri ke 8 pada hari Rabu, 14 Julai yang lalu.

Ia adalah sebuah siri realiti tv di mana lima orang pelabur yang juga merupakan pengusaha berjaya ditugaskan mengadili para peserta yang memerlukan dana untuk memulai atau mengembangkan perniagaan mereka. Kelima-lima pelabur itu diberi jolokan The Dragons, sebagai melambangkan kejayaan dan kekuasaan mereka dalam arena perusahaan dan bisnes walaupun rata-rata mereka memulakan perniagaan dari angka sifar.


PENDIRIAN
“Alhamdulillah…” ucap suami sambil memberikan isyarat ibu jari.
“Macam nilah orang Islam yang berpendirian,” tidak habis-habis suami memuji. Senyumannya melebar hingga ke pipi !

“Kalau fikir mudah, boleh saja dia nak bagi alasan lain tanpa kaitkan dengan agama, tapi, nampaknya….James Caan ni ada pendirian agama juga orangnya dan dia berani meyebutnya tanpa berselindung,” suami menambah lagi.

Saya hanya mengiyakan kata-kata suami. Saya pasti tidak mudah bagi seorang public figure seperti beliau untuk menyatakan penolakannya dengan menjadikan agama sebagai landasan utama. Tambahan lagi ia dilakukan di dalam rancangan yang amat digemari ramai, menerusi salah satu saluran utama televisyen di UK pula (BBC).

Namun melihat wajah tenangnya ketika menegaskan pendiriannya itu, dan kemudian dilanjutkan pula dengan penolakan secara lembut untuk merasai air arak yang disaji oleh peserta berkenaan, kami memanjatkan lagi kesyukuran.


PURDAH
James Caan atau nama sebenarnya Nazim Khan, dan Dragons Den merupakan salah satu dari dua program tv yang menarik tumpuan saya pada minggu lalu. Walaupun sehari sebelumnya, hati saya sebagai seorang wanita Islam diruntun hiba, akan tetapi pendirian beliau ini amat membanggakan sekaligus mengembalikan semula keceriaan pada jiwa yang suram semalam.

Hati wanita yang mengaku beriman, pasti akan tersentuh tatkala mendengar pengumuman tentang undian yang telah dibuat oleh sebahagian besar ahli parlimen Perancis pada perhimpunan kebangsaan negara itu ( pada tanggal 13 Julai ) bagi meluluskan rang undang-undang yang mengharamkan pemakaian purdah ( niqab atau burqa ) di semua kawasan awam.

“Allah…pakai purdah pun salah…” komen saya sejurus mendengar pengumuman tersebut lewat siaran berita di saluran BBC.

Dianggarkan terdapat lebih kurang 2,000 orang wanita Islam yang mengenakan purdah di Perancis dan berita pengharaman itu dibantah oleh sejumlah besar dari hampir 5 juta penduduk Muslim di sana.

Sebelum itu, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy menyifatkan pemakaian purdah sebagai bertentangan dengan harga diri wanita.


TUTUP = DENDA


“Dedah tak bertentangan dengan harga diri wanita ke? Hmm, terbalik betul …” saya mengomel lagi sambil mengalihkan mata dari kaca tv. Sedih berbaur benci dengan berita berbaur penghinaan kepada wanita Islam seperti itu.

“Di UK rasanya tak akan ada undang-undang seperti tu. Penduduk Muslim di sini lebih ramai dan dah established. Kerajaan UK tak akan sewenang-wenangnya buat larangan macam tu…” celah suami bila melihat wajah tegang saya.

Menurut rang undang-undang tersebut, wanita yang memakai purdah atau pakaian penutup muka lain, di tempat-tempat awam, bukan sahaja akan didenda sebanyak 150 Euro ( GBP 119 ), malah perlu dihantar mengikuti kursus mengenai nilai kewarganegaraan Perancis.

Lebih menyesakkan dada dan menyakitkan telinga saya mendengarnya, bila berita berkenaan turut melaporkan bahawa para suami atau ahli keluarga yang memaksa isteri atau anak perempuan mereka memakai purdah, akan dikenakan hukuman penjara setahun atau denda sebanyak 30,000 Euro.

Walaubagaimanapun, rasa sakit di hati saya sedikit terubat dengan laporan selanjutnya yang menyebut bahawa seorang pengusaha Perancis, Rachid Nekkaz, menyatakan beliau bersedia menyiapkan dana sebanyak 1 juta euro untuk membantu wanita berpurdah membayar denda yang dikenakan mengikut undang-undang baru berkenaan.

Inilah yang dinamakan persaudaraan dan ukhuwwah dalam Islam. Muslimin dan muslimat saling membantu menegakkan yang ma’ruf, dan saling bekerjasama mencegah kemungkaran.

MasyaAllah ! Kagum saya mendengarnya.


BERBEZA
Saya merenung kembali dua rancangan tv yang telah ditonton itu berkali-kali. Mengenangkan betapa berbezanya mereka sebagai kaum minoriti di negara bukan Islam, dalam menyatakan ketegasan pendirian mereka bersangkut paut dengan agama. Tanpa berbelah bahagi, jauh sekali dari bimbang dengan kemungkinan-kemungkinan buruk yang menanti, berbanding sebilangan umat Melayu Islam di negara sendiri.

Banyak persoalan yang berlegar di benak fikiran memikirkan perbezaan ini. Andai di negara-negara barat seperti UK, Perancis dan lain-lain, umat Islamnya begitu lantang menegakkan hak dan jati diri mereka, mengapa perkara ini dipandang bagai endah tak endah oleh oleh sebahagian besar saudara seagama mereka di Malaysia?

Saya masih teringat kepada pengakuan beberapa orang artis beragama Islam di Malaysia yang terpaksa membuka tudung semata-mata untuk memenuhi kehendak pengarah. Dan paling terbaru, seorang artis lelaki Muslim sanggup beraksi tanpa seurat benang di tubuhnya, dengan alasan demi menjadikan cerita yang dilakonkan benar-benar hidup. Betul-betul menjadi dan menepati realiti.

“Saya dan watak yang dibawa di dalam cerita, adalah ‘dua individu’ yang berbeza,” kerap begitu komen balas mereka bila tindakan di layar filem dan drama tersebut dipersoalkan.

Demikian juga suasana menutup aurat di kalangan wanita dan gadis-gadis muslimah Di Malaysia yang kebanyakannya lebih teruja memperlihatkan kecantikan tubuh dan rupa untuk dilihat oleh seramai mungkin lelaki dan jejaka.


IKTIBAR AKHIR ZAMAN
Hakikatnya, di sebalik dua perkongsian peristiwa yang saya ketengahkan di atas, apa yang perlu direnungi dan dihayati adalah ada iktibar dari situasi umat akhir zaman yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud :



"Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api” ( Hadis dari Anas bin Malik, riwayat Tirmizi )

Di dalam hadis ini, Rasulullah SAW memperingatkan, bahawa akan tiba suatu tempoh masa yang sangat mencabar kepada umat Islam, sehingga sesiapa yang hendak mengamalkan ajaran agamanya ia terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat menekan. Andai berhati lemah dan mudah mengalah, nescaya agamanya akan terlepas dari genggaman. Ini adalah disebabkan suasana di sekeliling tidak menyokongnya bagi melaksanakan kewajipan agama, bahkan apa yang wujud di sekitarnya, lebih mendorong untuk dia melakukan kemaksiatan sehingga mampu meruntuh aqidah dan tembok keimanan.

Lihat saja di sekeliling kita pada hari ini. Terlalu banyak dalih dan kekeliruan yang sengaja ditimbulkan untuk menyesatkan umat Islam tentang pemahaman agama yang benar. Jihad disama ertikan dengan keganasan, riba disamakan dengan jual beli, sementara kegiatan seni sebagai lapangan aktif untuk mempertontonkan nafsu berselindung di sebalik agenda menjulang budaya pertiwi. Individu yang sewajarnya menjadi tuntunan hanya sekadar menjadi tontonan.

Daerah putih semakin kelam, daerah hitam kian digenggam, sehingga sebahagian umat Islam sendiri sudah mulai merasa asing dengan syari’at Islam yang seharusnya mereka pegang ampuh dan teguh, tanpa sedikitpun keraguan.

Inilah suasana yang amat jelas kita lihat di sebilangan besar dunia Islam sekarang. Umat Islam telah meninggalkan seruan yang benar dan sahih bersumber dari al Quran dan sunnah Rasul junjungan. Seakan-akan Islam berada di suatu tempat, sedang muslimin berada di suatu tempat lain yang berjauhan. Ramai umat Islam hanya membawa Islam pada nama dan kad pengenalan. Akan tetapi dalam praktik sehari-hari, perjalanan dan cara hidup mereka langsung tidak menepati nilai-nilai didikan Islam yang murni. Arahan dan suruhan Yang Maha Esa, dipandang sebelah mata. Norma-normanya yang mulia tidak lagi terhormat dalam diri mereka.

Benarlah apa yang diucapkan oleh Umar bin al Khattab, yang bermaksud :

"Kita dahulu adalah kaum yang terhina lalu Allah memuliakan kita dengan Islam, maka jika kita mencari kemuliaan dengan selainnya nescaya Allah akan menghinakan kita".


MENGGENGGAM BARA API…
Saya suka untuk berkongsi sebuah klip video di bawah ini yang memaparkan ikhtiar dan usaha seorang muslimah di Perancis untuk mempertahankan wajah indahnya dari dilihat oleh lelaki ajnabi. Saya kagum dan mendoakan kekuatan buatnya dan semua muslimah berpurdah di sana.



Saya bimbang jika isu ini berlarutan, muslimah di UK yang berpurdah juga akan menerima tempias yang sama. Namun, saya bersyukur kerana hasil sokongan dan dokongan umat Islam mengenai isu ini, beberapa hari selepas itu, menteri di Jabatan Imigrasi, Damian Green, menyatakan bahawa langkah tersebut tidak akan dilakukan di UK. Beliau menegaskan :

“Kita adalah masyarakat yang toleran dan saling menghormati.” Alhamdulillah…..

Akhirnya, Andai kita masih punya iman di dalam dada, hulurkanlah sokongan kepada saudara seakidah kita yang sedang berjuang mempertahankan nilai beragama di dalam diri mereka, walau hanya dengan sekalung doa ke hadrat Yang Maha Esa.

Seterusnya berazamlah untuk mencontohi mereka yang sedang ‘menggenggam bara api ini’, mudah-mudahan kita juga beroleh kekuatan untuk melakukan hal yang sama demi keselamatan yang hakiki, kebahagiaan yang berkekalan abadi di sisi ILAHI.

******************************************************************************
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
إِنَّ الْإِسْلَامَ بَدَأَ غَرِيبًا


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Islam diawali dalam keadaan asing.” ( Hadis Riwayat Ahmad no. 3596 )

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

Comments

Ros Illiyyuun said…
Salam Kak Ina :)

Terima kasih,entri yang menarik ...cuma tulisan makin mengecil lah...Berpinar-pinar mata membacanya... :):)
Anonymous said…
salam,

terima kasih akak :D
Mardhiah said…
salam,kak ina..

zaman skang, y jht diapprove or dibiarkn..y baik direject or dipersoalkn.

moga sume muslim dn muslimah tabah mmpertahankn aqidah dn iman..insyaAllah.

tq for the entri :)
Ros Illiyyuun said…
...Thanks Kak Ina...baru besar mata ni celik :)
Anonymous said…
alhamdulillah...membuka mata walaupun sememangnya mata sentiasa terbuka..tetapi mata hati yg perlu lebih diberi cahaya...thanks kak ina...entry yg baik...demi kebaikan bersama..
kak aishah said…
salam dik..boleh tak dihuraikan brkenaan hukum purdah..jazakillah khaira katsira..

kak Aishah
Durratul Husna said…
Berpegang pada agama seperti menggenggap bara api. Namun cahaya dari agama itu yang menyuluh bahagia dalam hidup. Jadi untuk apa melepaskan bahagia kerana sakit di dunia hanya seketika.
Nadrah Yusra said…
Assalamualaikum kak lina.. syukran.. entry yang memberi semangat pada adik.. terima kasih :)
ibuaiman said…
Salam K'Ina...
Saya ada satu soalan, lari dari topik, blh kan...:)..Saya nak tanya brp byrn iklan kat website Ustaz Zaharuddin. Saya tengah survey untuk iklan kami punya bisnes. Harap K'Ina sudi bg maklumbalas. TQ
Salam, Ibuaiman :)

Untuk pertanyaan tersebut boleh emel ke webmaster@zaharuddin.net. InsyaALLAH ada yang akan membantu.

Apapun, tahniah dari Kak Ina ye :)
Unknown said…
Wah salute! Alhamdulillah ada juga yang mahu mempertahankan agama secara terang-terangan...kena tulis surat pada dia ni...minta bantuan sikit...:)

-ibunoor-
MUX SPARROW said…
Salam alaikum,
MasyaAllah... memang benar adanya peringatan hadis itu.
Well, bagi kita semua para muslim..hendaknya pegang kuat bara itu sampai panasnya menjadi dingin di tangan.. insyaAllah..

Salam persaudaraan dari muslim Indonesia ^_^

I follow this blog ..

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA