13 July 2010

BILA USIA BERTAMBAH....


“Masa bidan rasa-rasa perut mak dan beritahu, eh! Ini ada seorang lagi ni, muka mak dah pucat…tak sangka ada dua orang rupanya dalam perut ni.” Emak tersenyum panjang mengimbau kenangan lama.

Pada zaman awal dan pertengahan tujuh puluhan, di kawasan perkampungan dan felda ketika itu, kemudahan perawatan dan kesihatan yang ada hanyalah sebuah klinik desa. Hospital yang paling hampir terletak di Tanjung Malim. Itu pun memakan masa hampir sejam berkereta dari Felda Gedangsa.

Ditambah pula, ketiadaan ‘scanner’ dan lain-lain gajet moden yang canggih seperti hari ini, amat memungkinkan dua janin yang sedang menghuni rahim emak tidak dapat dikesan walau oleh bidan Klinik Desa yang melakukan rawatan bulanan.

“Ingatkan lepas Ina lahir tanpa berbidan, dah selamat dahlah. Ayahlah yang jadi ‘bidan terjunnya’,” ayah menambah. Saya dan adik kembar mendengar penuh minat.

“Alhamdulillah, selepas tiga jam Ina lahir, barulah Nora selamat melihat dunia. Itu pun, kulit badan semua dah kecut, sampai terpaksa mandi minyak selama seminggu.” Sekali lagi, saya dan adik kembar berteleku sambil membulatkan mata mendengar mak terus bercerita.

Menurut emak, selama mengandungkan kami, terdengar sindiran sinis dan cakap-cakap orang di sekelilingnya. Jika ketika mengandungkan lima anaknya sebelum kami, emak masih tangkas ke sana sini, namun kali ini emak bagai tidak berdaya. Lelah dan lemah sekali.

“ Bila jiran-jiran tahu je mak melahirkan kembar, barulah mereka berkata, patutlah baru 5 bulan mengandung, Som dah nampak tak larat. Ada dua rupanya,” emak berbicara, masih tidak jemu mengenang kisah lama sambil bibirnya terus menguntum senyum manis memandang kami berdua.

BERBEZA
Saya bersyukur, kerana di antara nikmat-Nya yang tidak mampu dihitung dan dikira, inilah satu-satunya yang amat istimewa bagi saya. Dilahirkan berteman, tidak berseorangan sebagaimana biasa.

Kami membesar dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Tidak cukup susu ibu, susu tepung pula bersilih ganti.

Kami bermain, bergaduh, dan kembali ketawa mesra. Segala kenangan semasa kami membesar mengalir segar di dalam ingatan.

Sejak kecil kami menunjukkan minat dan kecenderungan yang berbeza. Adik kembar lebih aktif dan tahan lasak, manakala saya lebih minat menolong Mak memasak. Adik kembar lebih mahir jahit menjahit dan menata rias manakala saya lebih gemar mengisi luang masa dengan membaca majalah dan buku cerita.

Walaupun kami pasangan kembar, namun rupa paras dan fizikal kami jauh berbeza. Sama-sama perempuan, tetapi wajah tidak serupa. Tidak seiras.

Akan tetapi nama yang diberi ayahanda dan bonda kepada kami sangat hampir, lebih kurang sama. Hanya dua huruf membezakan, iaitu ‘S’ dan ‘Z’. Adik kembar, diberi nama Norazlina, dengan panggilan pendeknya, Nora, manakala saya, Noraslina, dengan panggilan ringkas, Lina atau Ina.

Kerana itu, saya dan kembar sudah lali bila guru-guru di sekolah sering tersalah panggil nama penuh kami. Andai pasangan kembar lain, mereka memiliki paras rupa yang saling tak tumpah, kami pula, nama yang hampir sama, menyebabkan guru-guru selalu tersalah.

35 TAHUN DAHULU
Mengenangkan detik cemas tetapi bermakna itu, dapat saya bayangkan perasaan emak tika itu. Hati ibu mana yang tidak kaget. Menyangka hanya seorang bayi yang ditunggu kehadirannya, rupa-rupanya ada satu nyawa lagi yang bakal tiba. Perjuangan melahirkan yang sudah pasti berbeza dari lima kelahiran sebelumnya.

Namun, kegembiraan menerima dua orang cahaya mata pada satu masa sangat menguja. Cukup istimewa.

Sehingga kini, masih terngiang-ngiang ketawa kecil emak dan kisahnya mengapa saat mengandungkan kami, terasa lebih berat dari biasa. Mahu bangun sahaja, tangan mesti berpaut pada dinding. Tidur malam terlalu sukar bertemu lena dek jari jemari yang banyak menguit-nguit di dalam perut.

“Macam ulat,” begitu kata-kata emak beserta senyuman yang sarat dengan cinta dan kasih saat menceritakan detik-detik sukar yang dialami.

Alhamdulillah. Kini, saya dan adik kembar telah berusia 35 tahun, sama seperti usia emak sewaktu melahirkan kami dahulu.

Walau emak telah tiada, pengorbanannya melahirkan dan seterusnya membesarkan kami dengan penuh cinta dan kasih sayang, hanya Allah SWT yang mampu memberi sebaik-baik ganjaran dan balasan.

BILA USIA BERTAMBAH…
Buat akhirnya, di hari ulangtahun kelahiran ini, saya terus mengingatkan diri. Mungkin ramai orang berbangga bila semakin bertambah usia. Kerana ia melambangkan kedewasaan, kematangan dan kedudukan dalam masyarakat.

Namun bagi saya, biarlah angka ini menjadi muhasabah dan peringatan, bahawa masa yang ada semakin singkat, perjalanan yang jauh kian dekat.

Yang dihitung bukanlah usia yang banyak, akan tetapi amalan soleh yang dapat diraih, sebagai manfaat dari sekian banyak nikmat Tuhan yang tidak terhitungkan...yang membawa pemiliknya semakin 'rapat' kepada Allah Yang Maha Hebat.

"Ya Allah, bantu hamba-Mu, berkati usiaku agar bila aku kembali kepada-Mu, walau tanpa pahala melimpah tetapi bersama rahmat dan berkah."

Buat kesekian kalinya, saya memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa.

Mencari dan terus mencari cinta Iahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

15 comments:

a kl citizen said...

Selamat menyambut hari lahir

moga terusan diberkati dan dalam rahmat Allah untuk keduanya

Jom baca entri terbaru saya : makan pil

Ros Illiyyuun said...

Salam :)

Sanah helwah ya ukhtie al-mahbubah. Semoga diberkati usia...salam ukhuwwah berpanjangan :)

kakchik said...

assalamualaikum sahabatku ina. sanah helwa ya ukhti. kakchik doakan hidup ina sentiasa dirahmati dan diberkati Allah SWT. kirimkan ucapan yang sama untuk kembar ina. baru kakchik tau yg ina ni kembar. sepupu kakchik ada yg kembar tak seiras dan tak sama jantina, ada juga kembar sama jantina dan tak seiras juga. masa kecik2 dulu selalu berangan nak ada kembar hehe.

Min said...

selamat hari lahir, semoga terus tabah dan diberi kekuatan oleh Allah untuk terus menulis...

Klinik Ummi said...

Assalamualaikum.

Buat Dik Ina dan Dik Nora;

Semoga dipanjangkan usia yang berkat dan dilimpahi rahmat dan barakahNya sentiasa...Amin

:)Kak Ummi

kak mas said...

cerita ibu kak lina mirip cerita ibu mertua saya. bezanya anak lelaki.
ibu mertua saya tinggal di felda soeharto. berjiran nmpknya dengan felda gedangsa.. :D

Ummu Ammar said...

Sanah Helwah ya ukhti..kullu sanah waanti bikhair..Semoga beroleh ketenangan dan kebahagiaan diiringi keredhaanNya..dunia dan akhirat..jua utk kembar akak..saya baru tau yg akak ada kembar...:D

syanashwa said...

oo.. birthday kak ina rupanya.. happy belated birthday..!! :) nashwa doakan kesejahteraan dlm rahmat Allah berterusan buat kak ina dn org2 tersayang.. :)

Ummu Husna said...

Salam, semua :)

Kak Normah ( a kl citizen ):Alhamdulillah, terima kasih banyak Kak Normah. Saya dah baca entri tersebut. Maklumat baru bagi saya, menarik.

Semoga Kak Normah juga terus menulis dan berkongsi maklumat.

Ummu Husna said...

Ros : Jazakillah ukhtie atas sokongan dan doa yang dititipkan. Ros juga, teruskan menulis ye :)

Ummu Husna said...

Kak Chik : Terima ksih Kak Chik :)Background keluarga sebelah ayah memang ada kembar, iaitu sepupu dan mereka juga kembar tidak seiras ( lelaki dan perempuan ).

Memandangkan ramai orang mengusik kami ( Ina dan adik kembar ) yang kami ada potensi besar untuk dapat anak kemnar, ayah selalu mencelah dengan satu pesan : Kalau dapat, Alhamdulillah, jagalah elok-elok. Tapi jangan mintak-mintak..ayah dah ada pengalaman. Bukan mudah nak jaga dua orang satu masa :)

Pesan orang tua yang lebih dulu makan garam, ada baiknya kita sama-sama renungkan.

Ummu Husna said...

Min, Kak Ummi, Ummu Ammar & Nashwa : Ameen, Ya Rabb. Terima kasih atas doa, ucapan dan sokongan selama ini.
Saya terus berada di sini juga kerana doa kalian.

Semoga Allah SWT merahmati kita semua :)

Ummu Husna said...

Kak Mas : Wah! Nampaknya kita berjiran ( sekampung ), Felda Gedangsa dan Soeharto sememangnya sebelah menyebelah je, di Gugusan Sg Dusun termasuk Felda Sg Tengi.

Saudara mara saya juga masih ada di sana. Mana tahu, ada rezeki kita berjumpa juga suatu masa nanti :) InsyaAllah.

Mujahidah said...

salam... Selamat hari jadi..
Selamat panjang umur..
selamat menambah ilmu, selamat menambah amal, selamat mengeratkan silahturrahim, selamat menambahkan sedekah, selamat menambahkan rasa takut kepada Allah..

satu said...

Salam kak Ina dan kak Nora,

Selamat bertambah dan genap usianya...moga selalu berada dalam keberkatan.

Teruja membaca yang kak Ina ini ada kembar yang tidak seiras...masyaAllah...selalu berdua walau berbeza. Hati dekat tetap terpaut.

Happy belated birthday again akak-akakku. May you have more...amin...

-ibunoor-