PERJUANGAN INI MASIH PANJANG




“Abang…cuba abang tengok ni..ish, geram sungguh rasanya..” saya berkata sambil menunjukkan sekeping foto pada kaca skrin komputer. Foto tersebut tersiar di salah satu laman sesawang persatuan pengguna. Ia memaparkan hasil karya berupa sebuah arca yang juga merupakan sebahagian dari pameran seni di Sepanyol.

Arca itu menampilkan 3 patung yang mewakili tiga penganut agama terbesar di dunia. Patung seorang Muslim yang sedang sujud, patung paderi Kristian yang sedang melutut berdoa dan patung seorang Rahib Yahudi sedang berdiri sambil memegang Kitab Talmud. Apa yang menyakitkan hati saya, pengukir arca sengaja menggambarkan penghinaannya kepada cara ibadat solat umat Islam yang sujud meletakkan wajah dan merendahkan tubuh ke tanah. Di atas badan patung Muslim itu diukirkan patung paderi yang sedang berdoa, dan di atas patung paderi tersebut, berdiri megah rahib Yahudi Laknatullah!

Sempat saya menukilkan luahan sakit hati saya pada salah sebuah blog yang memaparkan gambar tersebut. Saya menulis :

Amat benar peringatan dan amaran Allah tentang tipu daya Yahudi dan Nasrani ini. Yang atas tu mendongak kepala, tanda sombong sedangkan Allah sangat benci kepada orang-orang yang sombong. Yang tengah pula, seolah-olah merayu yang menipu..yang bawah juga paling sesuai dan tepat, tunduk dan sujud kepada Penciptanya.”

JANGAN LAYAN

“Abang dah pernah tengok sebelum ni,” ulas suami. Tiada lansung riak terkejut atau terusik pada nada suaranya.

“Apa pandangan abang?” soal saya. Belum puas hati.

“Pada pendapat abang, gambar-gambar menghina agama seumpama itu tak perlu disebarluaskan. Memang tujuan pengukir atau sesiapa pun yang bencikan Islam, mahu menyakitkan hati penganutnya dengan gambaran-gambaran menghina seumpama itu,” jelas suami sambil memandang sekilas sebelum kembali membaca majalah Solusi yang baru diterima.

Mendengar itu, saya terdiam seketika.

“Jadi, salahkah jika gambar-gambar begini disebarluaskan untuk pengetahuan umat Islam?” saya bertanya. Masih mengharapkan suami memberikan penerangan lebih jelas.

“Salah tu tidaklah, cuma jangan terlalu digembar gemburkan, ‘delete’ saja…” sekali lagi suami mengulangi ketidakperluan gambar-gambar itu diedar kepada umum dan meluas.

KONSENTRASI

“Gambar-gambar itu memang menyakitkan hati dan membuat kita jadi marah, geram dan sebagainya. Tapi, setelah kita melepaskan kemarahan, apa lagi tindakan kita? Kalau sekadar marah-marah, meluat dan kita pula menghamburkan kata-kata menghina, tercapailah tujuan pelukis, pengukir dan orang-orang seumpama mereka yang bencikan Islam. Mereka memang berhasrat menimbulkan sakit hati umat Islam, melancarkan provokasi halus untuk meluapkan api kemarahan dalam diri kita semua sebagai umat Muhammad SAW…” tambah suami tegas.

“Apa yang membimbangkan, penyebaran gambar-gambar, artikel, laman facebook dan web yang menghina Islam ini akan menarik kunjungan ramai termasuk mereka yang masih lemah pegangan agamanya. Kesannya, bukan sahaja lebih ramai umat Islam akan terprovokasi, bahkan kemungkinan ada sebahagian daripada pengunjung yang termakan dakyah jahat ini,” suami meluahkan kerisauan di hati.

Buat kesekian kalinya saya terkesima. Bibir melafazkan istighfar. Memohon keampunan dari Allah andai luahan kemarahan yang terucap dan dinukilkan tidak punya nilai apa-apa pun untuk kebaikan agama yang mulia ini.

Hakikatnya, segala penghinaan yang berlaku kepada Islam dan umatnya hari ini adalah satu kenyataan dan bukti jelas terhadap kebenaran firman Allah SWT yang disampaikan melalui Rasul-Nya sejak dulu lagi. Firman Allah SWT :

وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

Maksudnya : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah Itulah petunjuk (yang benar)". dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” ( Surah al Baqarah ayat 120 )

USAHA DAN TINDAKAN

Golongan yang memusuhi Islam tanpa jemu dan putus asa akan sentiasa berusaha menidakkan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Kerana itu, mereka akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengalihkan konsentrasi umat Islam, menyibukkan mereka dengan hal remeh temeh, menumpukan perhatian kepada sasaran yang tidak tepat sehingga masa dan tenaga mereka semakin kurang dari melunaskan tugas dan tanggungjawab yang lebih utama, yang memberi manfaat kepada umat Islam dan alam seluruhnya.

“Jadi, pada pandangan abang, bagaimana seharusnya sikap umat Islam terhadap penghinaan sebegini?” saya melanjutkan perbincangan.

“Banyak cara yang boleh kita fikir dan laksanakan. Salah satunya ialah dengan memujudkan laman-laman sosial, web dan blog yang mengenengahkan keindahan Islam dan ajarannya. Mereka menghina menggunakan medium tersebut, kita menjawab dan menghadapi mereka juga dengan medium yang sama. Tapi, jangan sesekali merujuk kepada laman penghinaan mereka kerana ia hanya seolah-olah akan mempromosi secara tidak langsung,” balas suami beserta penjelasan.

“Maksud abang ?” saya bertanya.

“Bantahan tetap perlu dibuat, tetapi dengan nada tenang, bijak dan berhemat. Sebarang gambar, lakaran, tulisan atau seumpamanya tidak perlu di’forward’ atau dikongsikan pautannyanya kepada pembaca. Jika ada sesiapa yang secara tidak sengaja terjumpa, cukup setakat itu. Anggap sahaja, segala penghinaan yang dilontarkan itu tidak lebih dari hanya menunjukkan ‘kurangnya’ akal dan kedangkalan mereka terhadap ajaran Islam yang mulia.

Justeru, tidak perlu berlebih-lebihan dalam menyerang mereka dengan kemarahan dan kejian, kemudian mengajak orang lain pula untuk turut sama melihat hasil karya yang menghina dan menyakitkan jiwa, yang hanya boleh menimbulkan masalah lain. Sebaiknya, salurkan bantahan kepada pihak yang berkaitan, kalau gambar itu di Facebook, buat ‘report’ dan begitulah selanjutnya,” jelas suami sambil melemparkan pandangan ke arah anak-anak yang sedang bermain. Leka, tanpa menghiraukan bual orang tua.

ALLAH TELAH MENJAWAB

“Dan satu perkara yang tidak kurang penting untuk kita ingat, cacian, maki hamun dan kata-kata kesat terhadap Islam dan Rasulullah bukanlah perkara baru. Bahkan sejak mula diangkat menjadi utusan Allah lagi, Rasulullah telah menerima penghinaan yang cukup banyak.

Kerana itu, Allah sendiri telah menjawab segala tohmahan dan kejian itu menerusi kalam-Nya yang mulia. Jadi, usaha kita adalah untuk mengajak umat Islam menghayati ayat-ayat Allah ini sehingga tumbuh rasa cinta yang mendalam terhadap sunnah Rasul-Nya dan kemahuan untuk mengamalkan segala ajarannya,” suami menambah dengan nada optimis dan penuh percaya.

Saya mengangguk mengiyakan penjelasan suami. Bagaikan terlihat lakaran ayat-ayat al Quran yang menceritakan keindahan syari’at Islam dan kehebatan Muhammad, Utusan Allah. Keadaan ini bukan tidak dimaklumi oleh musuh-musuh agama Allah, tetapi mereka sengaja mengingkarinya.

Allah SWT sendiri telah menegaskan hal ini didalam firman-Nya :

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءهُمْ وَإِنَّ فَرِيقاً مِّنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya :” Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui. ( Surah al Baqarah ayat 146 )

Tiada siapa dapat menafikan, bahawa andai maklumat, ilmu dan pengetahuan tentang Islam dan Rasulullah sudah kukuh, sebarang cacian dan penghinaan itu bagaikan jentikan kecil sahaja. Ia tidak memberi bekas atau kesan apa pun terhadap keyakinan umat Islam yang telah ampuh. Kalimah dan ayat-ayat Allah di dalam al Quran adalah jaminan dari-Nya bahawa Baginda rasul adalah manusia pilihan yang berbudi pekerti agung, dan tidak mungkin melakukan hal-hal keji sebagaimana yang didakwa.

Bukankah al Quran merupakan mukjizat yang menyerlah pesona kepada sesiapa sahaja yang mencari kebenaran dan hidayah-Nya?

Tidakkah ayat-ayat ini sudah cukup sebagai jawapan balas terhadap semua penghinaan yang dilemparkan ?

JUMLAH vs KUALITI

Namun, saya menyedari, kekuatan inilah yang semakin pudar dari jiwa umat Islam hari ini. Kelekaan dan kemilau dunia terlalu menarik dan menjauhkan mereka dari ajaran agama sehingga jumlah umat akhir zaman ini digambarkan di dalam sabda Rasul Junjungan seumpama buih-buih di lautan.

Ramai tetapi tiada kualiti!

Allah SWT sendiri mengingatkan di dalam firman-Nya :

وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُون َأُوْلَئِكَ الْمُقَرَّبُون َفِي جَنَّاتِ النَّعِيم ِثُلَّةٌ مِّنَ الْأَوَّلِينَ وَقَلِيلٌ مِّنَ الْآخِرِينَ

Maksudnya : “Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dulu (masuk surga). Mereka itulah orang yang didekatkan (kepada Allah). Berada dalam surga kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu, dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian.” ( Surah al Waaqi’ah ayat 10-14 )

Mengenang situasi ini, jiwa saya diresapi kesayuan. Membaca berita-berita tanahair tentang kebejatan nilai akhlak dan moral umat Islam hari ini sahaja sudah cukup menyesakkan dada. Seks bebas, buang anak, dadah, dedah, korupsi, cerai berai, terlalu mengejar kemewahan dunia, pangkat dan harta sehingga nilai keberkatan tidak diambilkira. Terlalu panjang senarainya menggambarkan betapa parah nilai iman dan jatidiri kebanyakan umat Islam di Malaysia.

Bagaimana agaknya cabaran dan tentangan terhadap generasi umat Islam di tahun-tahun mendatang?

PERJUANGAN MASIH PANJANG

Saya menoleh melihat anak-anak yang masih asyik bermain. Tergambar betapa masih banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan. Bila merenung kembali gambar yang tertera di kaca komputer, teringat semula sambungan komentar saya terhadap arca yang terlalu menghina :

“Saya terbayang satu saja, kalaulah orang betul yang digambarkan seperti itu, bila yang paling bawah bangun, habis yang tengah dan atas jatuh bergelimpangan !”

Satu keluhan berat saya lepaskan. Hakikatnya, perjuangan ini belum ada nokhtahnya. Ia masih panjang dan dipenuhi ranjau dari usaha golongan yang memusuhi Islam dan ajarannya. Mereka tidak akan penat selagi usia dunia ini belum tamat.

Lalu, untuk beroleh kekuatan yang mampu menumbangkan lawan, tidak perlu menggunakan kekerasan dan kemarahan.

Api takkan padam dengan api.

Sebaliknya, peneguhan nilai akhlak, penerapan ajaran agama melalui didikan, tarbiyah dan contoh teladan kepada generasi muda mampu melahirkan umat yang berkaliber. Kehormatan Islam dan kewibawaan Rasulullah boleh dijelmakan dengan melaksana risalah dan sunnahnya secara benar dan menyeluruh di dalam aktiviti kehidupan sehari-hari. Semoga dengan cara ini, ia akan membuka mata dan mencelikkan hati-hati manusia yang masih ‘buta ’, InsyaAllah.

Justeru, mari kita mulakan dengan diri dan keluarga. Sama-sama kita saling ingat mengingatkan ke arah IMAN dan TAQWA kepada-Nya.

Mudah-mudahan, di kalangan yang sedikit itu, kita adalah sebahagian dari mereka, InsyaAllah.

“Allahummaj’alna minalqalil…

“Allahummaj’alna minalqalil…

“Allahummaj’alna minalqalil…

Ameen Ya Rabb.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

fizzahyahiya said…
Such a good reminder.. thank you.
Liyana Mujahid said…
syukran ustazah :)
cuma sy terkilan bila tengok muslim sendiri mempermainkan syariat Islam :(
Nadrah Yusra said…
subhanALLAH.. syukran atas perkongsian kak.. semoga hati sentiasa ikhlas dalam perjuangan ini... insyaALLAH
Anonymous said…
teruskan perjuangan !!
nhhas said…
This comment has been removed by the author.
nhhas said…
Assalamualaikum wbt....
hmmm betul...sepanjang saya terima such emel yang mengutuk dan menghina islam itu, saya mmg tak akan fwd kerana saya selalu terfikir "mungkin ini lah yang mereka mahu kta lakukan - tolong promote things like that"... wallahualam...lagi satu, takut2 apa yang kita sebarkan tu blh m'sbbkn kita pula ada "saham" sama....nauzubillah...

daripada kita tlg fwd things like that, baik kita tlg "fwdkan ilmu yang benar ttg islam" - macam yang kak ina buat ne... thanx kak ina :)

p/s:
1. jemput visit, my kek lapis online bisness...
www.keklapisasli-sarawak.blogspot.com

2.Kak, i'm still waiting for the answer ttg emel yang saya hantar sebelum ne, ttg "isu potong rambut dan salam"....


jumpa lagi - insya Allah.
Salam buat semua :)

SCALFYZCHA : Alhamdulillah, terima kasih kembali kerana sudi membaca. Semoga mendapat manfaat darinya.
SRIKANDI MUJAHIDAH : Ws,ye, itulah dunia akhir zaman di mana Islam diperlekeh dan dipandang sebelah mata oleh penganutnya sendiri.

Walaubagaimanapun, jangan kita lupa saranan Allah dan Rasulullah, agar saling nasihat menasihati dan ingat mengingatkan.

Mudah-mudahan, masyarakat Islam yang lebih baik dapat kita jelmakan, InsyaAllah.
ASIAH YUSRO : Ws, dik :) Sama-sama kita berdoa, agar ikhlas dalam meneruskan perjuangan untuk meninggikan Islam.
UKHTIUTMUDA : InsyaAllah, doakan agar kita semua istiqamah.
NIHAS : Ws, ye setuju dengan pandangan Nihas.

InsyaAllah, Kak Ina akan berkunjung nanti. Tahniah. Boleh la tempah nanti ye. Kak Ina ni memang penggemar segala jenis kek ;)

Tentang jawapan pada persoalan Nihas, mohon maaf banyak-banyak. Terlalu banyak emel yang belum Kak Ina respond.

Cuma, untuk jawapan awal, Kak Ina dah jawab ringkas dalam blog. Kebanyakannya pada tajuk berkaitan aurat wanita.
Unknown said…
Salam kak Ina,

Itulah ya kak, risau juga bersawang di hati ini mengenangkan tanggungjawab sebagai ibu yang digalas berpanjangan untuk terus mendidik dan memceri yang terbaik. Doakan saya ye kak. Sekarang dah tak jadi suri rumah lagi seperti 6 bulan lalu...anak-anak perlu di hantar ke pusat penjagaan...untuk memberi laluan kepadaibunya yang perlu sambung belajar. Sungguh saya tidak langsung berbangga dengan perkara ini...

Manusia perlu diingatkan sebegini selalu. Tulislah lagi ya kak supaya ia menjadi penaman yang setia.

-ibunoor-

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA