DOAKU BUAT MEREKA


“Ummi dah sampaikan ?” satu suara menyapa.

Saya menoleh. Terlihat Kak Long berdiri di sisi dengan senyum simpul yang manis. Agak terkejut dengan pertanyaan yang tiba-tiba, ditambah keasyikan memberus kotoran pada baju, suara Kak Long itu menyedarkan saya.

“Mengelamun la tadi ni,” saya berbisik sendiri bila mengenangkan kehadiran Kak Long, lansung tidak saya sedari. Cepat-cepat saya membalas senyumannya.

“Belum lagi. Lepas ni Ummi sampaikan, InsyaAllah,” saya membalas ringkas lalu kembali meneruskan tugasan harian.

“Ummi jangan lupa ya,” Kak Long sekali lagi mengingatkan. Saya berpaling dan menggangguk perlahan.

“Ya…Ummi tak lupa.”

Mendengar itu, Kak Long seakan lega. Wajahnya ceria sambil berlalu ke bilik komputer yang juga merupakan perpustakaan mini buat anak-anak membaca, bermain dan bergembira bersama.

HASRAT

Melihat keceriaan di wajah Kak Long, hati saya sebak tiba-tiba. Bagai terngiang-ngiang perbualan telefon dengan ayahanda tercinta malam sebelumnya.

“Macam mana ayah? Jadi tak ?” saya bertanya. Walaupun jawapan ayah sudah dapat saya tebak, memikirkan kekangan dan halangan yang ada, saya menyedari amat sukar untuk ayah menyatakan ‘ya’.

Namun saya masih menaruh sedikit harapan. Mana tahu, rezeki saya sekeluarga…

“Hmm…tak dapatlah Na…” ayah menjawab ringkas. Saya dapat menangkap sedikit kesayuan pada suaranya. Agak bergetar.

Berbeza sekali nada suara ayah berbanding ketika saya menghubunginya sebelum ini, semasa menyampaikan hasrat saya dan suami. Ceria yang menyelubungi ketika itu, tiada lagi waktu ini.

“Macam mana ayah nak ke sana…yang nak ditinggalkan di sini pun, tak berapa upaya,” ayah menjelaskan lemah. Bagai serba salah.

Saya cuba memahami gelodak jiwa ayah. Antara memenuhi hasrat anak dan menantu, dengan tanggungjawab dan tugas terhadap isteri yang tidak lagi secergas dulu.

“Tak apalah ayah. Ina faham…Mak De pun tak berapa sihatkan?”saya cuba menenangkan perasaannya, sekaligus perasaan saya juga.

Saya maklum akan kesukaran ayah meninggalkan Mak De di rumah. Sudah 12 tahun mereka hidup bersama. Susah dan senang dikongsi tanpa kesal dan duka. Kini, kecergasan Mak De semakin menurun kesan dari penyakit saraf yang dihidapinya. Sebagai seorang isteri, andai saya berada di tempat Mak De, saya juga amat mengharapkan kehadiran suami di sisi.

Keberadaannya sudah cukup memberi semangat di dalam diri ini.

BUAT AYAH

“Ummi…dah hantar pada ayah tak?”pertanyaan Kak Long sekali lagi memutuskan lamunan. Saya menghembus nafas perlahan. Hampir terlupa.

Saya melangkah ke meja kerja, menarik kerusi dan menghadap skrin komputer. Kotak emel saya buka. Emel yang diminta saya baca terlebih dahulu, namun saya menangkap sesuatu yang tidak kena.

“Kak Long, e-kad yang Kak Long minta Ummi hantar ni tak boleh bukalah, sayang. Kena buat lain nampaknya..” saya menyampaikan kepada anakanda yang dari tadi sibuk bertanya.

“Hmm…tak apalah. Kak Long boleh buat semula,” jawab Kak Long tanpa riak kecewa.

Mendengar itu, saya berdiri memberikan tempat kepadanya untuk duduk dan menggunakan komputer. Permintaan dan hasratnya itu harus saya rai. Walau mungkin nampak remeh, namun jika dibiarkan tanpa layanan, luka yang terhasil di dalam jiwanya, manakan dapat saya kesan.

Jemari Kak Long pantas menekan papan kekunci. Dalam masa sekejap sahaja, sekeping e-kad sempena hari bapa sudah siap direka.

“Alhamdulillah…kad Kak Long ni mewakili adik-adik lainlah ye. Baik emel terus pada ayah,” saya mencadangkan. Kak Long menurut, tidak membantah.

“Bertuah anak-anak zaman ni. Jangan lupa doakan ayah juga ya….”saya mengingatkan. Kak Long tersenyum. Saya tersenyum. Penuh makna di dalamnya.

DOAKU BUAT MEREKA

Pagi ini, dengan kesayuan yang masih sedikit bersisa, saya mencapai mikrofon kecil di tepi komputer. Sebagai seorang anak, saya juga tidak mahu ketinggalan memberikan ucapan untuk seseorang yang amat berjasa.

Kak Long telah menunjukkan kesungguhannya. Justeru, saya juga patut melakukan hal yang sama.

Walau kerinduan untuk menatap wajah ayah yang dikasihi di bumi UK, tidak menjadi nyata, namun saya tetap bersyukur. Dengan adanya teknologi terkini, suara ayah masih terasa dekat pada diri ini.

“Ayah, selamat hari bapa. Terima kasih atas segala-galanya,” kalimah demi kalimah meluncur dengan genangan air mata.



“Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, kupanjatkan doa buat dua insan ini,

Insan yang menjadi sebahagian dari hidupku yang sementara,

Moga berkekalan hendaknya mereka di sisiku hingga ke syurga sana,

Seorang suami yang penuh cinta mencurah kasih kepada isteri dan anak-anaknya,

Seorang ayah yang penuh juang mencari nafkah buat keluarga,

Nama mereka sentiasa kujulang dalam setiap munajat,

Lantaran namaku juga sentiasa basah di bibir mereka kala berdoa,

Mereka menasihatiku ketika aku lupa dan alpa,

Mereka menyayangiku seadanya ‘aku’ sebagai seorang manusia,



Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang,

Aku memberikan senyumku buat merawat duka di hati mereka,

Dan aku memerlukan senyuman mereka buat mendamai resah di jiwa,

Aku memberikan dokonganku buat meneguh impian mereka,

Dan aku juga memerlukan dokongan mereka buat mencapai impian dan cita-cita,



Wahai Dzat yang Maha Mendengar,

Lantaran itu, aku berdoa untuk mereka, memohon dari jiwa hamba yang hina,

Hadirkanlah keikhlasan dan keteguhan iman dalam setiap tindakan mereka,

Kurniakan kekuatan dan ketabahan buat mereka mendepani badai kehidupan,

Anugerahilah keberkatan usia sepanjang perjalanan mereka di dunia,

Agar mereka bertemu-Mu kelak dengan usia dan usaha yang tidak sia-sia



رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya :"Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” ( Surah al Ahqaaf ayat 15 )

Ameen Ya Rabbal ‘alamin.

*********************

Buat suami yang dikasihi, Zaharuddin bin Abdul Rahman dan ayahanda tercinta, Jusin bin Batin :


Not a day goes by,

When I don’t think of you,

And wish the very best for you,

And I just want you to know that…

In my heart, you’re always with me..


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Zaharuddin said…
This comment has been removed by a blog administrator.
Ummu Mishkah said…
Selamat Hari Bapa...
Anonymous said…
wishing the same for my walid... my arwah walid..
Unknown said…
Salam kak Ina,

Dapat menyelami perasaan akak yang berada beribu batu jauhnya dari ayahanda tercinta. Kami yang dekat di sini pun masih rindu-rinduan.

Moga Allah memelihara dan mensejahterakan orang-orang yang kita kasihi dan cintai. Moga dinanti kepulangan akak dan peluang di waktu yang lain dengan penuh sabar.

-ibunoor-

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA