24 June 2010

BELAJAR DARI PASIR


Kali pertama melihat aksi dan tari dari jemarinya yang lembut, tetapi pantas dan tajam melakarkan suasana, saya terpaku seketika. Tanpa suara, tanpa bilah kata. Hanya lakaran peristiwa berlatarkan muzik penuh dramatik menjadikan penceritaannya dilimpahi pelbagai ‘rasa’. Berbaur suka dan duka, tangis dan ceria.

Mata menumpu penuh teruja menanti satu demi satu babak cerita yang akan dibawanya.

Sejarah menjadi tema persembahannya. Pada awal pengkisahan, dia menghamparkan suasana damai penuh keindahan. Sejurus itu, konflik mula berlaku.Ia menggambarkan detik penaklukan Jerman terhadap Ukraine di dalam perang dunia kedua. Peperangan yang telah memisahkan orang-orang yang dikasihi, hidup dan mati yang tidak pasti.

Penonton kelihatan terbuai dengan gaya dan ragam suasana yang dibawakannya sehingga ramai menitiskan airmata hiba.

Dan hari ini, buat kesekian kalinya, saya sekali lagi menonton persembahan seni pasir dari Kseniya Siminova ini di laman Youtube. Beliau merupakan seorang pelukis berasal dari Ukraine yang telah mengungguli pertandingan : Ukraine’s Got Talent 2009.

Mengagumi bakat yang ada padanya, sekaligus kebesaran Ilahi yang pastinya Maha Berkuasa mengurniakan apa sahaja kepada manusia.

Subhana Allah!

MAIN PASIR
“Wah! Seronoknya,” laung saya agak kuat dari ruang tengah, bila mendengar gelak tawa anak-anak yang asyik bermain pasir di belakang rumah.

Saya meninggalkan meja kerja, menuju ke pintu dapur melihat keriangan mereka bermain bersama. Khalil dan Solehah menyeringai ketawa. Kak Long dan Kak Ngah turut bergembira.

Sudah menjadi kebiasaan, sebaik pulang dari sekolah, setelah selesai makan dan solat, Kak Long dan Kak Ngah banyak menghabiskan masa dengan bermain dan berehat.

Waktu persekolahan yang panjang dengan bermacam aktiviti sekolah, bermula dari jam 8.50 pagi hingga ke jam 3.15 petang, menjadikan fizikal dan minda mereka letih sebaik menjejak kaki ke rumah. Ditambah pula cuaca panas ketika ini yang mencecah 28 darjah, menyebabkan tubuh mereka lesu tidak bermaya.

Namun, saya tetap berusaha sedapat mungkin untuk menyelitkan suasana mendidik dalam daya dan tenaga yang masih bersisa dalam diri mereka, terutama untuk anakanda berdua. Sayang amat rasanya, jika masa yang ada terbuang tanpa pengisian yang bermakna.

Namun, hari ini fikiran saya seakan buntu. Turut letih dan lesu.

PANDANGAN
Tidak mahu mengganggu keriangan anak-anak, saya kembali ke meja kerja. Mengadap komputer. Satu demi satu laman blog dan sesawang yang menceritakan kehebatan Kseniya saya buka dan baca.

Saya tertarik tatkala membaca pandangannya ketika ditemuramah oleh media Russia Today,mengenai perbezaan menjadi seorang pelukis pasir ( sand animator ) berbanding pelukis biasa ( painter ):

“Actually, it differs a lot from usual painting because it is something very, very special. The most important thing is you have to feel the sand. You have to speak to it, to talk to it. It is alive, it is your partner. Sometimes it’s cruel, sometimes it’s civil, sometimes it’s amazing, it’s very, very warm."

Dengannya dia 'mengenali' dan 'memahami' butiran pasir yang dianggap sebagai pasangan yang akrab. Gabungan kemahirannya melukis dan pepasir yang lembut membentuk, menghasilkan sebuah cerita yang cukup menguja dan mempesona.

Saya menyetujui kata-kata Kseniya. Juga tercabar dengan bakat luar biasanya.

Sebagai seorang Muslim yang mengimani kekuasaan Allah SWT sebagai penguasa seluruh alam, pasir adalah antara makhluk yang diciptakan, yang kewujudan dan keberadaannya di dunia ini sudah pasti ada nilai tersendiri.

Tidak sia-sia.

Banyak pengajaran boleh diambil walau hanya dari sebutir pasir yang melata.

Andai Kseniya mampu menggunakan kelebihan akal anugerah Tuhan dengan menjadikan pasir sebagai bahan seni yang mengkagumkan; sehingga video aksinya itu ditonton hampir 13 juta orang di seluruh dunia, mengapa tidak saya juga mengambil butiran pepasir sebagai ‘rakan’ yang boleh memberi manfaat? Lebih-lebih dalam mendidik dan mentarbiyah anak-anak dan diri sendiri agar lebih taqarrub kepada Ilahi.

Lantas, ilham menjelma dengan kehendak-Nya! Alhamdulillah…

PASIR BASAH
“ Kak Long, Kak Ngah…mari ke sini kejap. Ummi ada sesuatu nak tunjuk,” pinta saya. Kak Long dan Kak Ngah menyahut segera.

“Ummi nak tunjuk apa?” soal Kak Long teruja. Terlebih dulu, saya tersenyum bersahaja.

Di tangan kanan saya, sebiji mangkuk berisi sedikit pasir tersedia. Butiran halus berwarna kehitaman itu saya dapatkan dari kampit pasir permainan anak-anak. Ia bersih dan telah dinyahkuman.

“Kak Long dan Kak Ngah nampak tak pasir ni?”saya bertanya. Anak-anak menganggukkan kepala.

Saya buka pili air di sinki dan membasahkan sebahagian pasir yang ada dengan sedikit air. Sebahagian lagi saya biarkan tetap kering.

Terlihat riak tertanya-tanya di wajah anakanda berdua.

“Cuba tengok pasir yang terkena air tadi, bagaimana keadaannya?” sekali lagi saya bertanya.

“Basah…,” Kak Ngah menjawab sepatah.

“Pasir serap air..” Kak Long menambah.

“Bagus…sekarang cuba lihat ini pula,” saya berkata sambil membuai lembut mangkuk tersebut ke kiri dan kanan. Berkali-kali. Sehingga puas hati.

Kelihatan pasir yang kering tidak berair, beralih mengikut arah mangkuk dihayunkan. Bila ke kiri, ke kirilah ia. Jika ke kanan, ke kanan pula arahnya.

Namun, pasir yang basah tidak bergerak sedikit pun. Tetap setia di tempatnya.

IBARAT PASIR
“Kak Long, Kak Ngah nampak tak apa yang berlaku pada pasir tadi?” buat kesekian kalinya saya menyoal mereka berdua.

“Nampak…”mereka menjawab serentak.

“Apa agaknya yang Ummi cuba maksudkan dari pasir tadi?” saya mengajak Kak Long dan Kak Ngah berfikir. Memerah otak.

“Pasir itu kita…” Kak Long cuba meneka. Saya tersenyum penuh makna. Anggukan kepala mengiyakan kata-katanya.

“Air?” soal saya. Kak Long dan Kak Ngah diam. Kelihatan mereka berusaha berfikir, tetapi agak sukar menemukan patah kata.

“Air ini adalah ilmu,” saya menjelaskan bila melihat mereka seakan buntu.

“Pasir yang basah, umpama orang yang berilmu, dan kemudian mengamalkan pula ilmu yang dimilikinya. Dan orang sebeginilah yang patut dijadikan contoh dan ikutan. Sementara pasir yang kering pula adalah perumpamaan golongan yang sebaliknya.

Orang yang berilmu dan beramal, ada prinsip dan pegangan hidup yang tetap. Tidak mudah terikut suasana dan ragam semasa. Akan tetapi, golongan yang tidak berilmu..mereka mudah mengikut suasana yang ada. Goyang, tidak ada pendirian.

Golongan sebegini tidak banyak memberikan manfaat kepada dirinya dan orang lain, bahkan paling dibimbangkan, mereka jadi sesat dan menyesatkan orang lain pula. Bahaya!” tegas saya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Kak Long dan Kak Ngah yang melihat juga berkerut muka. Serius!

KUALITI DAN POTENSI
Sememangnya, manusia diciptakan oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik ciptaan, berperibadi dan hidup di tengah-tengah alam dan makhluk lain. Mereka memiliki fungsi terhadap diri mereka sendiri, juga fungsi sebagai anggota masyarakat dan persekitaran yang melingkunginya. Mereka dibekalkan dengan kualiti serta potensi, baik berupa fizikal, mental dan spiritual yang berbeza dengan makhluk yang lain.

Manusia dianugerahkan upaya untuk membezakan antara kebaikan dan kejahatan, ketaatan dan kedurhakaan. Di dalam naluri manusia, Allah SWT menanamkan kehendak dan daya memilih.

Selaku Pencipta Yang Maha Mengetahui, Allah SWT, dengan segala kuasa, ilmu dan kehendak-Nya, telah menyenaraikan ciri-ciri manusia yang mulia dan bertaqwa, juga sebaliknya.

Firman Allah SWT :

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَافَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَاقَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَاوَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا

Maksudnya : “…dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” ( Surah as Syams ayat 7-10 )

Manusia mampu belajar. Manusia boleh dididik. Segala prasarana ke arah itu telah ada dalam diri mereka: akal untuk menilai, mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan hati untuk meneliti. Lantaran itu, Allah SWT banyak mengajak manusia agar menggunakan prasarana yang ada ini untuk berfikir dan bertafakkur.

Justeru itu, secara jelas Allah SWT menegaskan di dalam al Quran, bahawa dengan segala kelebihan dan kurniaan yang ada di dalam hidupnya, manusia harus berupaya menyuci, mengembang dan meninggikan potensi diri agar mereka berada dalam keutamaan dan kemuliaan. Dengan segala kelebihan dan nilai tambah inilah menjadikan manusia sebagai makhluk yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifatullah.

Ironinya, ramai manusia terutama umat Islam hari ini, yang menafikan segala kurniaan itu. Lalai, malas, culas, lebih sukakan hiburan dari menimba ilmu yang menambah pengetahuan, dan banyak lagi sikap negatif yang beraja di jiwa sehingga menjadi budaya dan kebiasaan di mana-mana.

KELEBIHAN
“ Sebab tu Ummi tak gembira bila Kak Long, Kak Ngah banyak main game atau menonton video je,” saya mencuit. Kak Long dan Kak Ngah tersenyum kelat, lalu tunduk menekur lantai.

“Nak jadi orang berilmu perlu banyak membaca. Bila membaca, maklumat dan pengetahuan bertambah. Akal akan berfikir, menilai mana yang baik dan mana pula yang buruk.

Orang yang berilmu tak sama dengan orang yang tidak berilmu, seperti juga orang yang boleh melihat dengan orang yang buta,” saya menerangkan selanjutnya.

“Kalau game : Islamic Playground tu ok tak Ummi?” tiba-tiba Kak Ngah bertanya.

‘Alahai anak-anak,’saya berbisik di dalam hati.

Game yang berbentuk kuiz dan menambah maklumat begitu ok. Tapi, yang untuk berseronok semata-mata tu…kalau boleh kurangkanlah. Cuba tengok ni..” saya menggesa sambil mencurahkan sedikit pewarna sirap pada pasir yang lembap.

“Jadi warna merah…” pantas Kak Long mencelah.

MANFAATKAN ILMU
“Betul…kalau Ummi letak air coklat ke, kopi atau air teh…pun juga akan diserap oleh pasir. Ia akan menyerap apa sahaja yang dicurahkan ke atasnya,”jelas saya

“Maksudnya, Ummi?”

“Maksudnya, ilmu yang ada di dunia ni banyak dan bermacam-macam. Boleh didapati di mana sahaja, dan daripada sesiapa pun. Ada yang betul, ada yang salah. Jadi, apa pun ilmu yang kita dapat, pastikan ilmu tersebut merupakan ‘sesuatu’ yang boleh memberi manfaat. Baik kepada diri, mahupun masyarakat. Barulah jadi manusia hebat, Allah beri berkat dan rahmat,” saya menambah beriring kata-kata nasihat.

“Dan satu lagi yang tak kurang pentingnya, bila dah ada ilmu, jangan pula meninggi diri…” ulas saya, masih belum mahu berhenti.

“Apa tu…tinggi diri?” soal Kak Ngah tersengih sendiri. Ketawa kecil saya mendengarnya.

“Tinggi diri tu maksudnya sombong. Orang berilmu tak boleh sombong. Tak payah beritahu orang lain, yang kita tahu. Biar mereka sendiri yang menilai. Orang berilmu tidak perlu apa-apa pengakuan pun, kecuali dia berharap kepada keberkatan dan reda daripada Allah dengan ilmu yang diamanahkan,” saya mengakhiri kata-kata dengan satu keinsafan.

BELAJAR DARI PASIR
Alhamdulillah, kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah. Dari ketakjuban dengan kelebihan Kseniya dan seni pasirnya, saya terlupa bahawa Allah SWT telah mengurniakan kemampuan yang sama kepada semua manusia.

Akal untuk berfikir. Dan tambahan nilai sebagai seorang Muslim tentu sahaja fikir yang baik ialah yang beriring zikir kepada Allah Yang Maha Adil, Maha Berkuasa dan Maha segalanya.

Mata saya tertancap terus kepada butiran pepasir halus.

Pasti banyak lagi yang boleh saya dan anak-anak pelajari darinya.

Sahabat-sahabat ada idea? Jom kita kongsi bersama…

Mencari dan terus mencari cinta ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

7 comments:

ummumishkah said...

Subhana Allah!
Pasir yang bertaburan itu pun blh menjadi pengajaran buat kita kan?

Mommy Lyna said...

salam Ummu Husna,

nak berkongsi juga.. Cuma buah fikiran saya saja :)

Pasir2 tu... Walaupun kecil tp kalau tak ada ia, tak ada rumah batu, bangunan besar2 :D

Pasir sungai bulat dan besar,kerana perjalanannya dari hulu singgah di tebing2. Pasir pantai halus dan kecil, kerana ombak memukul saban waktu. Jadilah pasir sungai yang berani memula sebuah perjalanan. Jadilah seperti pasir pantai yang tabah dipukul badai.

Ewah, lawan tokei pula :)

makbonda said...

” orang yang tidak memiliki sesuatu maka tidak bisa memberikan kepada orang lain”
Ambillah pengajaran dari apa sahaja ciptaan Allah di atas muka bumi ini. Walaupun ianya hanya sebutir pasir .....as-Syahid Imam Hassan al-Banna,

ahmad al-Libi said...

alHamdu lilLah..

hari ini saya dapat belajar dari pasir..

~(^_^)~

satu said...

Salam kak Ina,

Alhamdulillah diberi juga kesempatan untuk meneguk kalam ilmu di sini.

MasyaAllah kak Ina...amat baik didikan tersirat tersebut. Memang benar, pasir amat penting...we get wonders from it. Dari pasir juga terseninya kaca, cip komputer kerana di dalamnya mengandungi elemen silikon. Walau ia kecil, tp yang kecil itulah yang penting sebagai blok pembentuk yang besar.

Umpama generasi muda yang penting untuk pembangunan ummmah. Jika benar digunakan kelebihan yang ada dalam diri maka cantik dan hebatlah suatu hari nanti.

Wallahua'lam...terima kasih sekali lagi kak Ina.

-ibunoor-

Al-Fakir Hamidi said...

Assalamualaikum.

terima kasih atas perkongsian atas 'kehebatan pasir' ciptaan Allah yang sukar untuk dilihat melainkan mereka yang melihatnya dengan mata hati. InsyaAllah kita semua tergolong dari golongan itu.

Satu perkongsian, juga belajar dari alam, tapi ini BELAJAR DARI POKOK. ini pengalaman yang saya peroleh sepanjang hidup saya. suka saya berkongsi bersama. InsyaAllah sama-sama renungkan.

http://hamidi-muslim.blogspot.com/

sireh hijau said...

Salam ukhuwah..
Alhamdulillah, moga org mengamalkan ilmu itu adalah ilmu yg bermanfaat dan disukai oleh Allah serta di sebarkan kpd org lain...
Sungguh indah nikmat alam yang Allah beri kpd kita, untuk kita berfikir dan menilai perjalanan kehidupan kita seharian..syukur kpd Nya yang masih memberi nikmat ini kpd hamba2Nya...
p/s: mohon izin forward pd rakan2 saya..thanks in advanace