MUSLIMAH 'PUTERI LILIN'

“Kak Long…kalau kita pakai payung dalam cuaca panas ni..bagaimana agaknya orang pandang kita ye?” saya bertanya. Sengaja mahu mengisi masa-masa santai bersama anak-anak sebaik pulang dari sekolah.

“Boleh ke Ummi…pakai payung?” soal Kak Long tiba-tiba. Agak serius nada pertanyaannya. Mendengar itu, saya tersenyum lebar.

‘Alahai…ingatkan saja nak buat kelakar….’bisik hati.

Saya memandang Kak Long yang masih menanti. Agak lucu pula melihat wajah seriusnya menanggapi soalan jenaka saya sebentar tadi.

“Orang-orang di sini pakai payung ketika hujan. Mereka tak biasa berpayung ketika musim panas. Berjemur tengah padang atau tepi pantai tanpa pakaian adalah. Kalau kita pakai payung, mesti ramai yang akan tersenyum geli hati…macam ‘Puteri Lilin’,” luah saya dengan iringan ketawa kecil.

“Puteri Lilin?” tercengang-cengang Kak Long mendengar peribahasa lama. Bagai mendengar bahasa asing yang lansung tidak difahaminya.

“Puteri lilin tu salah satu dari peribahasa Melayu. Maksudnya, orang yang tak tahan dengan panas matahari. Biasanya orang perempuan ramai tak tahan panas. Sebab tu disebut ‘Puteri Lilin’…”saya menjelaskan.




PANAS! PANAS!
Sememangnya semalam, rata-rata kawasan di UK mencatat suhu yang cukup tinggi. Setelah beberapa bulan berada di dalam cuaca sejuk yang menggigit, kepanasan yang diterima semalam cukup setanding dengan kedinginan yang baru berlalu pergi. Cuma bezanya, cuaca kali ini amat panas. Cukup untuk menjadikan seluruh tubuh melengas !

Saya sempat menatap sedikit liputan mengenai ini di guardian.co.uk.

Bacaan suhu di Taman Sukan Olimpik London dilaporkan mencecah 28.8C, mengatasi kepanasan di Rom dengan suhu 26.5C dan Cannes, 23.8C. Cuaca panas, terik dan cerah juga tidak terhad kepada kawasan-kawasan Inggeris selatan sahaja, kerana suhu di Durham, di bahagian Utara England, mencecah sehingga 27.2C, manakala Cardiff, di Wales, mencatat 24.9C, mengalahkan Athens dan Rhodes.

Menurut kajian, iklim panas yang diluar kebiasaan ini berlaku akbat dari daerah bertekanan tinggi yang bergerak dari selatan, membawa hawa panas dan sinar matahari yang kuat. Tambahan pula cuaca di United Kingdom sangat dipengaruhi oleh keadaan mukabuminya yang berbentuk kepulauan dan dikelilingi lautan.

“Suhu telah jauh melangkaui dari apa yang kita harapkan untuk tahun ini iaitu, 18C. Hari ini merupakan hari paling panas di sebahagian besar wilayah Inggeris dan Welsh,” kata Gareth Harvey, seorang peramal cuaca dari Meteogroup.

Pemanasan Global atau Global Warming juga merupakan kemungkinan kepada ketidakstabilan cuaca di seluruh dunia ketika ini. Ia berkait dengan peningkatan suhu atmosfera laut dan daratan yang diakibatkan oleh tangan-tangan manusia sendiri. Semua ini boleh dilihat dari kadar pertumbuhan industri-industri yang banyak menggunakan tenaga tidak mesra alam, selain efek rumah kaca, pembalakan haram dan seumpamanya, sehinggalah kepada kebiasaan yang banyak dilakukan oleh individu atau masyarakat awam seperti membuang sampah di merata tempat maupun membuang sampah ke dalam sungai-sungai yang ada.

Kesan dari pemanasan global ini adalah berlaku perubahan suhu yang sangat melampau. Kerana itu, dewasa ini, seringkali terjadi sesuatu musim semakin sukar untuk diperhitungkan tempoh kehadirannya. Musim kemarau terasa amat panjang sementara musim tengkujuh atau hujan terasa amat sebentar. Begitu juga di UK dan kebanyakan negara empat musim yang lain. Cuaca dingin berlarutan ke musim bunga, sehingga saat dan ketika bunga-bunga melitupi bumi, sebahagian kawasan di utara Scotland masih menerima salji.

Dan semalam, panas yang memancar sungguh tidak dijangkakan.



PENDIRIAN
Keadaan cuaca yang amat panas ini dilaporkan bukan sahaja menyebabkan jualan aiskrim dan bahan-bahan makanan untuk acara barbecue meningkat secara mendadak, bahkan kawasan-kawasan taman dan rekreasi, persisir pantai dan seumpamanya juga turut dibanjiri pengunjung yang teruja menerima curahan terik mentari.

“Kawan-kawan di sekolah tak tanya apa-apa ke lihat Kak Long dan Kak Ngah tetap bertudung panas-panas begini?” saya melanjutkan perbualan.

“Ada…”jawab Kak Long pantas. Kak Ngah sekadar menganggukkan kepala.

“Apa mereka kata?” soal saya.

“Mereka tanya, tak panas ke pakai macam ni?” Kak Long mula bercerita.

“Kak Long kata, tak…rasa sejuk adalah..” tambah Kak Long ceria.

“Ye ke sejuk..” saya mengacah. Sengaja mahu menduga keyakinan dan pendiriannya.

“Ye..Kak Long kata pada kawan-kawan, pakai tudung sebenarnya melindungi kepala dari panas matahari, selain ia boleh digunakan untuk menyejukkan badan macam ni..” jelas Kak Long sambil mengipas-ngipas hujung tudungnya ke arah badan.

“Lagi pun, Kak Long masih ingat, Ummi pernah cakap dulu..practice makes perfect. Bila dah biasa pakai tudung, taklah rasa panas,”hujah Kak Long bernas. Makin melebar senyuman saya mendengar bicaranya.


KASIHAN DAN HAIRAN
Alhamdulillah, saya amat bersyukur mendengar cerita ringkas Kak Long.

Sungguhpun, mungkin tidak banyak yang dapat diperkatakan kepada rakan-rakannya yang bertanya, tetapi sekurang-kurangnya dia telah menjawab persoalan yang pada saya memang banyak berlegar di minda masyarakat tempatan di sini saat melihat saya, anak-anak dan muslimah lain yang masih kekal bertudung dan menutup aurat walau dalam cuaca yang amat hangat.

Bukan sedikit lemparan pandangan seakan-akan kasihan. Dan tidak kurang juga pandangan berbaur hairan, terutama dari kelompok wanita tempatan. Namun, setiap kali bertemu pandang, saya pasti menghadiahkan senyuman dan bertanya khabar. Pada saya, cukuplah itu sebagai penghargaan dari rasa kasihan mereka. Selebihnya, ia adalah bicara tanpa patah kata, tetapi penuh makna bahawa saya tidak apa-apa. Masih boleh berjalan dan mengambil anak-anak seperti biasa. Alhamdulillah..

Mungkin mereka membandingkan penampilan diri mereka yang majoritinya hanya memakai baju atau t-shirt nipis dan sendat, berseluar pendek atau mengenakan skirt singkat, sehingga ada sebahagian mereka yang sanggup menutup tubuh bahagian atas dengan baju ala-ala bikini sahaja. Segala ‘perhiasan’ yang sebelumnya elok tersembunyi, kian terserlah dan terlihat di musim panas menyengat ini!

Lebih mengharukan, terdapat juga sebahagian Muslimah yang belum memahami tuntutan agama turut memeriahkan suasana ‘terbuka’ dan terdedah ini kerana pengaruh suasana masyarakat sekitar mereka.

Walaupun realiti yang dihadapi ini memerlukan segugus tabah, mujahadah dan istiqamah, pada saya berfikir secara positif banyak membantu menguatkan keyakinan dan keteguhan hati terhadap perintah Allah SWT.



PANASNYA API NERAKA

Hakikatnya, kepanasan di dunia ini tidaklah seberapa berbanding kepanasan api neraka Allah sebagaimana firman-Nya :

قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا لَّوْ كَانُوا يَفْقَهُونَ

Maksudnya : Katakanlah,"Api neraka Jahannam itu lebih sangat panas(nya) jika mereka mengetahui." ( Surah At-Taubah ayat 81 )

Dan firman-Nya lagi :

لَّا يَذُوقُونَ فِيهَا بَرْدًا وَلَا شَرَابًاإِلَّا حَمِيمًا وَغَسَّاقًا

Maksudnya : “Mereka tidak merasakan kesejukan di dalamnya dan tidak (pula mendapat) minuman, selain air yang mendidih dan nanah.” (Surah an Naba' ayat 24-25 )

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Api kamu ini hanyalah satu bahagian dari tujuh puluh bahagian api di neraka jahannam.” Para sahabat mengatakan, ”Yang ini pun sudah cukup berat panasnya.” Nabi bersabda, ”Bahkan api neraka itu melebihi sebanyak enam puluh sembilan kali ganda panasnya dari api dunia.”

“Api neraka jahannam telah dinyalakan seribu tahun hingga menjadi merah. Kemudian dibakar lagi selama seribu tahun hingga menjadi putih. Kemudian dibakar lagi selama seribu tahun hingga menjadi legam, seperti malam yang gelap gulita.”
( Hadis riwayat Tirmidzi )

Justeru itu, dari banyak mengeluh dek panas yang tidak tertahan, adalah lebih baik menanggapi kepanasan itu sebagai rahmat dan ingatan dari Allah Yang Menciptakan.

BERTUDUNG DAN SAINS
Walaupun demikian, terdapat kajian mengenai kebaikan bertudung menurut perspektif sains di dalam cuaca panas yang melampau seperti ini. Kenyataan tersebut saya temukan dari satu artikel bertajuk ‘The Science Behind The Veil’ di IslamOnline.net tulisan Karima Burns. Beliau menyatakan :

“ Keputusan dari ujian perubatan menunjukkan, 40-60 % daripada tahap kepanasan badan seseorang hilang melalui kepala, justeru sesiapa yang menutup kepala pada musim sejuk lebih mampu mengawal suhu badannya sekitar 50% berbanding yang lain.”

“Menutup kepala juga menjadi lebih penting ketika berada di dalam cuaca panas. Seorang pakar kajian otak yang terkemuka, V.G. Rocine, mendapati bahawa fosforus otak mencair pada suhu 108 darjah. Keadaan ini dengan mudah boleh terjadi jika seseorang berada secara tetap di bawah terik matahari untuk suatu tempoh waktu yang lama tanpa penutup/pelindung kepala. Ketika ini berlaku, ia boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada otak, kehilangan memori dan kehilangan sebahagian fungsi otak.

Walaupun contoh ini kelihatan ekstrim, kerosakan otak masih boleh diukur dalam julat yang kecil kesan dari pendedahan berterusan dan keadaan kepala yang terlalu panas.”

Walaubagaimanapun, saya yakin dan percaya, walau apa pun alasan dan kajian yang ada, Muslimah yang benar-benar faham akan tuntutan syari’at dan agama, mereka menyarungkan pakaian dan tudung yang sempurna buat menutup aurat, bukanlah kerana pengaruh cuaca dan iklim setempat. Bukan juga kerana ingin meraih manfaat atau kebaikan untuk diri semata-mata. Akan tetapi, pelaksanaan itu lahir dari kepatuhan dan pengabdian seorang hamba kepada Pencipta Yang Maha Hebat. Itulah kemuncak penyerahan diri yang sebenar-benarnya kepada Allah Yang Maha Esa.




MUSLIMAH 'PUTERI LILIN'
“Macam mana kalau dalam musim panas ni, Ummi suruh Kak Long dan Kak Ngah, tak payah pakai tudung ke sekolah?”sekali lagi saya melemparkan soalan.

Kak Long dan Kak Ngah saling berpandangan, seperti selalunya mereka jika pertanyaan yang diajukan menimbulkan kehairanan dan kejutan.

“Tak mahulah…” jawab Kak Ngah.

“ Kenapa pula? Ummi suruh..wajib ikut..”saya menduga lagi. Kak Ngah tersenyum sendiri.

“Kan Ummi pernah ajar di sekolah agama, kalau ibu bapa suruh buat perkara yang Allah tak suka, tak wajib taat. Sebab taat yang pertama mesti kepada Allah dan Rasulullah,” jelas dan terang jawapan Kak Ngah.

“Alhamdulillah, bagus…” saya memanjatkan syukur.

“Betul kata-kata Kak Ngah tadi. Perintah Allah lebih wajib untuk kita ikuti dan patuhi berbanding perintah manusia walaupun ia daripada ibu dan bapa. Ingat, walaupun terpaksa berpanas untuk menutup aurat, InsyaAllah, pahala yang dijanjikan bagi mereka yang taat, lebih banyak kita dapat,” saya menutup perbualan dengan sedikit peringatan dan nasihat.

Biarlah berpanas sedikit di dunia ini, lantaran keyakinan saya, bahawa semua Muslimah mahu digelar ‘Puteri Lilin’ bila mengenang azab di hari akhirat. Andai di dunia kita memiliki payung untuk berteduh dari pancaran sang mentari, namun di sana…dengan apa kita dapat berlindung diri?

Tiada siapa yang mampu teguh berdiri. Terik matahari, jaraknya hanya sejengkal jari. Tidak ada seorang pun yang ampuh dengan julangan neraka Allah. Kepanasannya berpuluh kali ganda berbanding panas dunia yang kian musnah.

Rasulullah SAW mengingatkan :

“Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan siksaannya ialah orang yang diberi sepasang sandal yang talinya diperbuat dari api neraka, lalu mendidihlah otaknya karena panasnya umpama air panas mendidih di dalam periuk. Dia mengira tiada seorang pun yang menerima siksaan lebih dahsyat dari itu, padahal dialah orang yang mendapat siksaan paling ringan.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

Benarlah, azab yang tersedia sungguh menyiksa.

Untuk itu, sementara di dunia ini, walau hangat, tetap beringat. Tutuplah aurat, semoga selamat dunia dan akhirat..ameen.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Tablet Hati said…
salam kak
mohon izin untuk copy artikel yang padat dengan ilmu ni untuk diberikan kepada sahabat2..(^_^)
Ummi said…
salam kak..
mohon copy jugak.nanti sy buh link blog sbg rujukan ye..
Unknown said…
Entri kak Ina pada hari ni mengingatkan tentang cerita saya dahulu semasa di sekolah menengah. Ada antara rakan-rakan seagama bertanya,

"Tak panaskah dalam cuaca yang macam ni?"

Saya dengan kurang berhikmahnya pada waktu itu terus menjawab...

"A'ah ye...tak pernah terfikir pulak tentang panas pakai tudung ni. Tapi, api neraka lagi panas tu rasanya"

Saya pun terus berlalu dari situ. Ada seorang lagi rakannya di situ dan dia pun berkata. "Dah lah jangan layan dia tu, jawapan dia dalam bab-bab ni mesti ekstrim."

Saya senyum sendirian...hanya doa yang saya dapat kirimkan dan sehingga ke hari ini masih saya tertanya-tanya...sudah "berkelubungkah" dia? Semoga kita sama-sama berubah ke arah yang positif. Rindu rasanya pada rakan-rakan di sekolah menengah dulu. Terima kasih kak Ina...tengah mengimbau memori lama...hehe.

-ibunoor-
Salam kak....saya suka baca n3 kakak yang bersahaja...tulisan menarik macam menulis novel ...tapi kak kenapa akak tak buat saja novel berunsur ilmiah...mesti boleh... penulisan akak menarik...saya berminat...
Makbonda61 said…
Salam ina
kagum dengan along dan angah,walau hidup dipersekitaran barat tapi tetap beristiqamah
malu tengok anak2 Islam di kampung makbonda...tudung hanya sebagai uniform sekolah.
umie_456 said…
assalamualaikum...
setuju kak,panas cmne pun kalau kita faham tujuan syariat bertudung segalanya Allah permudahkan.

Dah jadi kebiasaan bila di luar negara kalau musim panas je memang terdedah dgn pandangan menjolok mata, paling menyedihkan yang betudung jadi tak bertudung alasannya sebab panas.
Dandelion said…
mohon copy or link dis entri ye kak.. syukran.
Unknown said…
Salam kak ina,
Minta izin nak copy entry ni gak.
Assalamua'laikum warahmatullah Puan. Alhamdulillah, penulisan di atas perkongsian Puan ini amat bermanfaat, juga untuk dijadikan pengajaran untuk seluruh umat Islam.
Berdasarkan kepada salah satu ulasan daripada Alimaz-Kembara Terasing, ianya merupakan buah pendapat yang saya setuju mengenainya. Buku berunsur ilmiah yang Puan hasilkan. Wallahua'lam, semoga Allah Subhanahu Wataala mempermudahkan urusan Puan dan keluarga untuk mencari keredhaan-Nya, insya Allah.
nisakudat
slm'alaik....kak ina,
mohon copy or link gan entri dalam blog akak.. syukran.
baLQis Zafira said…
salam kak...
menarik entri akk kali ni...
suke sy bace..
mudah2an Allah sentiasa merahmati akk sekeluarga dan anak2...=)
salam wb .

subhaanallah. mg sentiasa dlm jagaan-Nya...

mg akk dan anak-anak sntiasa diberi kkuatan iman dn amal...

salam ukhuwh..
ummu said…
salam ukhuwah kak ummuhusna
moga kakak sekeluarga dalam lindungan rahmat Allah jua
naga-mark said…
terima kasih infonya
sangat menarik dan bermamfaat..

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA