KU INGIN JADI BIDADARI ITU...

Sumber


Kereta MPV Honda Shuttle berwarna biru meluncur laju menyusuri lebuhraya. Cuaca dingin sejak pagi mulai beransur hangat. Matahari bersinar terang memancarkan cahaya. Saya dan keluarga bermusafir ke Lancaster untuk menjayakan ‘Kem Solat’ bersama warga Malaysia di sana.

Sepanjang perjalanan, saya mengambil peluang menikmati keindahan alam. Padang rumput yang menghijau. Juga, bunga-bunga Daffodil kelihatan tumbuh melata dengan kembang kuning yang menambah ceria. Damai. Menghilangkan resah dan risau.

Suami pula tenang memandu di sisi. Sesekali dia tersenyum sendiri. Mungkin tercuit hati dengan isi ceramah yang didengarnya melalui MP3. Ceramah tentang syurga dari Syeikh Anuar Awlaki.

“Hai..apalah yang disenyumkan tu?” usik saya, sengaja mahu mengajak suami bercerita.

Suami menoleh. Senyumnya belum lekang dari bibir. Bahkan makin melebar saat melihat saya menjeling sinis. Belum mahu menjawab, suami kembali memberi tumpuan kepada pemanduan dan isi ceramah.

Anak-anak di bahagian belakang, telah lama lena dibuai mimpi. Jarak perjalanan dari Leicester ke Lancaster, sememangnya agak jauh . Iaitu lebih kurang 2 jam 55 minit, mengikut anggaran navigator berjenama ‘Tomtom’ kami.

NIKMAT SYURGA
“Jangan lupa kongsi dengan As ya..” luah saya bila melihat suami ketawa kecil seakan geli hati. Sambil itu, saya menyua makanan dan minuman yang dibawa kepadanya. Itulah tugas saya setiap kali kami berkelana jauh begini.

Maklum dengan keletihan perjalanan jauh sebegitu, sekurang-kurangnya saya dapat berperanan menghilangkan jemu dan rasa mengantuk suami ketika memandu.

“Ada pendengar wanita menyoal Syeikh Anuar..” suami mula mahu berkongsi. Saya sabar menanti sementara menunggu suami menghabiskan bicara.

“Dia bertanya: mengapa al Quran tidak menerangkan SECARA JELAS kenikmatan yang diperolehi wanita di syurga?” tambah suami.

Saya mengangguk. Kepala ligat mengingati ayat tentang kenikmatan syurga yang disediakan bagi lelaki beriman dan bertaqwa. Bidadari syurga yang digambarkan sebegitu indah menerusi kalam-kalamNya yang mulia.


BIDADARI SYURGA
“Rasanya, kelebihan yang dimaksudkan tu ialah bidadari kan bang?” saya bertanya suami untuk meminta kepastian darinya. Kerana setakat pengetahuan saya, tiada kelebihan lain yang berbeza antara lelaki dan wanita di dalam syurga melainkan hanya bidadari yang disebut oleh Allah SWT menerusi ayat-ayat-Nya.

Di antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud :

”Dan ( di dalam syurga itu ) ada bidadari-bidadari bermata jeli, laksana mutiara yang tersimpan.” ( Surah Al-Waqi’ah ayat 22 – 23 )

“Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) secara khusus, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya” ( Surah Al-Waqi’ah ayat 35 – 37)

“Di dalam surga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni surga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Mereka (bidadari) seumpama yaqut dan marjan.” ( Surah Ar-Rahman ayat 56 – 58 )

“Ya..hanya itu sahaja yang berbeza. Selain itu, baik lelaki mahu pun perempuan, kedua-duanya menerima ganjaran yang sama,” jawab suami bersahaja.

“Orang perempuan ini abang…bila sebut bidadari, pasti ada rasa cemburu terhadap mereka,” balas saya mencebik. Sekadar bergurau untuk bermanja dan bermesra.

“Dalam syurga nanti, tak akan ada rasa cemburu tu. Kalau kerana cantik, mereka akan jadi lebih cantik dari bidadari, malah di syurga tiada semua perasaan negatif seperti sedih, terkilan dan seumpamanya. Semua yang dihajati akan diperolehi,” spontan suami membalas semula sambil ketawa kecil melihat saya.

CEMBURU
Saya merenung kehijauan rumput dan pohon-pohon kayu di tepi jalan. Di dalam hati saya membenarkan kata-kata suami. Walau di akhirat sana tiada lagi cemburu, namun ketika masih di dunia ini, perasaan itu sukar dipinggir dari sanubari.

Cemburu yang terbit dari rasa cinta kepada lelaki bergelar suami.

Cemburu yang lahir dari kegelisahan mengenang diri yang banyak dosa dan khilaf ini. Layakkah untuk bersamanya di syurga nanti?

Cemburu yang menghantui kala mengenang sabda junjungan mulia yang bermaksud :

“Janganlah seorang perempuan menyakiti suaminya di dunia, jika tidak, maka bidadari-bidadari yang menjadi isterinya di syurga akan berkata kepadanya : Janganlah kamu menyakitinya, sesungguhnya ia adalah tamu bagimu yang sebentar lagi akan meninggalkanmu untuk berkumpul bersama kami.” ( Riwayat Ahmad dan Tirmidzi dari Mu’adz bin Jabal ra )

ISTERI PENDAMPING SUAMI
Namun, bila merenung ingatan dari Rasulullah SAW mengenai peranan seorang isteri di sisi suami, hati saya kembali tenang. Yakin dengan janji-Nya bahawa, seorang isteri yang solehah kepada seorang suami, akan kekal menjadi ratunya di syurga di samping bidadari.

Peranan seorang isteri beriman amat penting dalam memantap dan membantu suami untuk taat kepada Allah, sebagaimana motivasi yang terkandung dari kabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Harta yang utama adalah lisan yang senantiasa berzikir, hati yang senantiasa bersyukur dan isteri beriman yang membantu suami dalam menegakkan bangunan imannya.” ( Riwayat Ibnu Majah )

Seorang isteri yang solehah, di samping bersikap menghargai suami, lemah lembut di hadapan suami, sama ada dari tindakan yang sopan, tutur kata yang manis dan manja, serta menampakkan pandangan yang tenang, bening dan jernih, dia juga akan selalu berusaha membantu suaminya untuk menguatkan keimanan kepada Allah dengan amalan-amalan soleh.

Dia menyedari cabaran besar lelaki dengan dunia luar hari ini, lantas berusaha menjaga daya tarik dirinya bagi suami yang dikasihi. Isyarat dari para bidadari yang menggambarkan keindahan dan keadaan penuh cinta mereka terhadap bakal suami yang ditunggu penuh setia.

Tidakkah keadaan ini sewajarnya menjadi cabaran kepada para isteri untuk memperbaiki layanan, penampilan dan segalanya ?

SUAMI SOLEH, ISTERI SOLEHAH
“Tapi perlu diingat satu fakta yang sering terpinggir dari perhatian ramai bagi seorang isteri untuk jadi solehah,” tiba-tiba suami kembali bersuara.

“Apa dia, bang?”saya menyoal penuh tanda tanya.

“Formula terbaik untuk menjadi isteri solehah adalah mempunyai suami yang soleh, kerana jika seorang isteri ingin menjadi solehah, ia amat sukar tanpa suami yang soleh,” tegas suami.

“Malah segala kebaikan isteri dan ciri-ciri solehahnya boleh sahaja disalah gunakan oleh si suami yang tidak soleh hingga akhirnya dia dizalimi,” tambah suami lagi sambil membetulkan cermin matanya.

Saya membenarkan kata-kata suami. Berapa ramai wanita hari ini yang kelihatan jauh dari ciri wanita solehah, tetapi dengan kehadiran seorang suami yang soleh, wanita itu berjaya dibentuk dan berubah kepada yang lebih baik. Nasihat kepada suri hatinya tentang penampilan seorang wanita Muslimah sentiasa dititikberatkan. Pergaulan isteri bersama lelaki yang bukan mahram, diselia sebaiknya agar tidak timbul fitnah yang merosakkan.

Dan tidak kurang juga, ramai wanita yang sebelum berkahwin merupakan wanita yang baik beragama, tetapi sejurus melangkah ke alam rumahtangga, semakin terhakis nilai keagamaannya kerana sikap suami yang tidak mementingkan penjagaan syari’at. Kecantikan dan aurat isteri dijaja dengan penuh bangga. Pemergian isteri bersama lelaki lain tidak pernah dipandang curiga dan lain-lain lagi.

Kerana itu, untuk melahirkan lebih ramai wanita solehah ialah dengan melahirkan lebih ramai lelaki soleh. Jika tidak, peluang ini akan semakin menipis dan mengecil. Fikirkanlah..

KU INGIN JADI BIDADARIMU…
Akhirnya, tiada wanita beriman yang melupakan cita-cita yang satu ini. Untuk menjadi bidadari bagi seorang suami di dunia dan akhirat adalah kemuncak impian seorang isteri. Mengharapkan destinasi cintanya akan sampai ke pengakhiran di dalam syurga yang abadi di sana. Kembali bersatu atas nama kasih, kekal selamanya dengan rahmat Allah Yang Maha Kaya.

Buat suamiku, terima kasih atas kiriman emel beserta alunan dari Munif yang amat membakar semangat diri ini untuk menjadi ‘bidadari’. Bantu isterimu untuk mencapainya..

Moga cinta kita membawa ke syurga, ameen Ya Rabb.



Bidadari, bidadari…temanilah resahku
Bidadari, bidadari…tenangkanlah jiwaku

Sumpah setia hidup mati
Selamanya…kerana kau isteriku
Isteriku tercinta pelengkap rusuk kiriku

Bidadari, bidadari..jadilah pedampingku
Bidadari, bidadari…jadilah sang setia

Kerna cinta cinta suci, buktinya tidak pernah sepi
Sepi daripada cubaan yang tak terduga
Kau umpama bintang utara, penunjuk jalan yang terang
Kau beri harapan…saat ku jatuh…bangun semula

Dan berikan sakti cintamu, penawar racun berbisa
Dan ikatan kita.. cinta abadi hanya di syurga.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.


Comments

ummu ridhwan said…
Terima kasih atas artikel ni. Saya pun kadang-kadang terfikir pasal bidadari di syurga dan rasa cemburu. Barangkali lelaki diberikan motivasi sedemikian kerana fitrah.
Ummu Auni said…
terima kasih akak untuk pengisian ni. terkadang orang laki selalu mendambakan nak isteri begini dan begini, tapi dia sendiri lupa untuk jadi suami yang baik.
Kak Ummi said…
Subhanallah...ya Allah...

Dik Ina,doakan juga Kak Ummi agar mampu menjadi bidadari syurga di samping suami tercinta...
Najibah said…
Kak Ina,

Terima kasih atas perkongsian yg sangat bermanfaat. Sebenarnya saya pun tgh terfikir2 nak tulis entri baru blog saya pasal ni,tengok2 akak dah tulis kat blog akak...kebetulan lagi..=), alhamdulillah..

semoga penyatuan dua hati ini akan terus kekal bersatu di syurga sana. terbit juga rasa cemburu andai bidadari syurga yg mengisi hati suami, bila baca artikel akak ni, terasa bahawa kita yg perlu berusaha utk jadi bidadari syurga itu...
ibunoor said…
Ya ustazah...rasanya semua isteri jg pernah berfikir ttg perkara yg sama...

Thank you very much ustazah, for putting it in a very delicate manner...

Percaturan hidup amat indah...tp sama sekali ketentuan Illahi tidak dapat dipertikai...

Moga kita dapat menjadi isteri solehah tamsilan iman suami...

p/s: Minta tolong ustazah balas email saya tempohari ya.
nashwa said…
takpe kak ina.. kita semua jgn cemburu cemburu.. (hehe.. pandai la cakap :P )
kita jadi bidadari di dunia lagi.. betul2 layan n taat pada suami.. :)
like this entri..penuh informasi yang bermanfaat..walaupun saya belum berkahwin, namun saya berharap beroleh seorang suami yang soleh dan menjadi bidadari syurga disampingnya..amin..
Makbonda61 said…
Ya Allah,temukanlah anak-anakku dengan pasangan yang soleh dan berilmu,agar dapat menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat
nhhas said…
Salam...
kak ina,
sangat bermanfaat...
Ummimusa said…
salam kak & kawan2

romantik giler lagu ni? lagu siapa ya...?
diri ini said…
salam kak ina..

saya selalu membaca coretan-coretan kakak di blog nie...dan saya suka sgt kerna coretan-coretan ni banyak membuat saya sentiasa muhasabah diri saya..terasa diri ini banyak kekurangannya...terasa masih jauh untuk menggapai tittle muslimah solehah itu....
nur cahaya said…
salam ziarah kak ina..(^_^)

jzkk atas pengisian yang mantap..

teruskan menulis ye..


“Formula terbaik untuk menjadi isteri solehah adalah mempunyai suami yang soleh, kerana jika seorang isteri ingin menjadi solehah, ia amat sukar tanpa suami yang soleh,” tegas suami.

doakan sy mendapat suami yang soleh agar dia dapat membentuk sy menjadi isteri yang solehah walaupun saya masih lagi dalam "foundation" ke arah itu...

wallahuallam

wassalam w.b.t
Syuhairah said…
Salam Kak Ina..

Saya sangat tersentuh membaca nukilan kali ini... Apa yang dicoretkan membuatkan saya muhasabah diri balik dan akan cuba untuk perbaiki diri lagi..

Sesungguhnya saya berdoa moga bertemu jodoh dengan lelaki yang mampu membimbing saya ke jalan yang diredhai Allah SWT... Insyaallah
Anonymous said…
ye, betul, sokong dan cadangan ditutup! :)
Apa yg kak inan nukilkan kali ni, mmg sgt2 menjadi harapan dan cita semua para isteri muslimah di dunia ni.
Moga kita tergolong di antaranya. Ameen!
Anonymous said…
Kak ina, sayu nye hati ini apabila mengenangkan janji ALLAH itu. adakah saya layak untuk mendapatkannya....terima kasih di atas artikel kak ina. jzkk. sue wan abdul kadir.
gia said…
Salam kak,

terimakasih atas perkongsiannya. Semoga kecintaan itu sentiasa menguatkan kecintaan kita kepada-Nya.
insyaAllah.
Hazu~ said…
Salam...

rasanya pertama kali bagi komen walaupun sering mengikuti penulisan di sini. Alhamdulillah.. penulisan ummu husna sering mengingatkan saya kepada Allah.

sebagai penghargaan, saya nak beri award pada ummu husna.
harap sudi terima..
http://journey2ilahi.blogspot.com/2010/04/1st-award-beautiful-blogger.html
mAryAm yAseerAh said…
salam kak ina.. Ya aLLAH, bergetar hati ni bila baca entri kak ina ni.. Ya Allah, fahamkan aku ttg Islam yang sebenarnya, bantulah aku utk memahami tanggungjawabku sbg seorang isteri dan seterusnya bantulah aku utk melaksanakannya.. Engkau sebaik2 penolong yA Rahman...
ummu balqis said…
salam..jazakillah atas kunjungan tempohari..moga ukhuwwah yg baru terbina akan terus kembang mekar keranaNya..

tulisan ina seolah memberi semangat baru utk menggilap kembali minda yg semakin membeku dek kurangnya santapan rohani...jazakillah

agaknya k.an pengunjung blog ina yg terkini...sesungguhnya kita di medan yg sama...seorg hamba Allah..dan insan yg memikul amanah yg pelbagai sementara menemui KhaliqNya...jazakillah atas ingatan dan perkongsian ilmu yg dicurahkn..

salam ukhuwwah..
k.An, Lampeter
ummu said…
salam ummu husna
"Dan tidak kurang juga, ramai wanita yang sebelum berkahwin merupakan wanita yang baik beragama, tetapi sejurus melangkah ke alam rumahtangga, semakin terhakis nilai keagamaannya kerana sikap suami yang tidak mementingkan penjagaan syari’at. "

perkara ini juga saya pernah saksikan...
Al-Atiff said…
salam kak ina yang amat saya sanjung..

terima kasih atas artikel yang sebegini.. :) mengingatkan diri yang kadang2 alpa..

semoga kitalah bidadari antara bidadari syurga itu.. amin..

p/s : terima kasih atas doa akak di blog saya..
Amoi Ida said…
Salam Kak Ina..

Macam biasa suka dengan entry akak..

Terasa jauhnya nak gapai title isteri solehah tu..mungkin hati nie susah nak berubah jadi bersih..banyak lagi kotoran degil yang susah nak ditanggalkan..

Syukurlah dapat suami yang soleh dan baik..

Tapi kak, berdosa ke kalau kita tanak sayang suami lebih-lebih, gitu2 je sebab takut dikecewakan..patut ke buat macam tu?

Menjalankan tanggungjawab sebagai isteri atas dasar taatkan Allah dan suami dan hormat dan bukan atas dasar cinta..mungkin kerana bimbang apabila memupuk cinta itu akhirnya apabila terlalu sayang nanti selalu cemburu dan selalu berfikiran yang bukan-bukan

Tak mahu berfikir yang bukan-bukan tetapi latarbelakang dan sejarah keluarga membuatkan mind setnya begitu..atau adakah isteri seperti ini perlukan rawatan atau kaunseling?

Ada siapa-siapa mengalami situasi seperti ini tak? :)
Deeeee said…
Salam Kak Ummi,

Artikel ini sangat berguna,
Sebelum itu salam perkenalan.
Saya Dayah.
Akak, saya membaca dengan genangan airmata. Terfikir saya sempatkah saya merasa cemburu itu dan apakah saya akan boleh menjadi lebih dari bidadari2 itu.

Mencari dan terus mencari diri
syireen said…
salam kak ina, mintak izin copy masuk dalam blog sy ye en3 ni...
Anonymous said…
Salam kak,

Minta izin copy yer entry ni....it really meant a lot...
Pencari CintaNya said…
Indah & bahagia nya hidup jika cinta kita sentiasa berlandaskan cinta kpd Nya...Subhanallah...
Nabil&Suzana said…
Salam.

Ustazah, saya jumpa artikel ini semasa lewat di FB suami ustazah. Sangat sejuk membacanya.

Ya, seperti juga ustazah, saya takut jika belum mendapat reda suami, selama menjadi isterinya. Saya cemburu jika nanti ditempelak bidadari syurga yang saya menyakiti suami saya sendiri.

Tetapi yang lebih saya cemburukan, dara-dara hari ini yang tidak segan-segan beraksi persis bidadari pada suami orang atau mana-mana ajnabi yang belum halal bagi mereka.

Saya sedih melihat kalimah 'ukhuwah fillah' dilacurkan untuk menghalalkan tegur-sapa, beramah-mesra, bergurau-canda.

Dan saya istighfar, andai saya juga pernah khilaf dan lalai.
Anonymous said…
Salam..

Saya memang ada cita-cita nak jadi antara pendamping suami di syurga (Insya Allah) tetapi layakkah saya jika suami tidak mempunyai impian begitu..saya isteri kedua yang dikahwini bukan atas dasar cinta tetapi suami perlukan seseorang sebagai penjaga anak-anaknya setelah kematian isteri..dia sering membuat perbandingan antara saya dan isterinya. Malah dia pernah berkata isteri impiannya adalah spt isterinya dulu...dan SAYA TIDAK SAMA. Sebagai wanita biasa kenyataan itu agak memedihkan, saya sering memujuk hati..suami itu anugerah, dan saya tidak memiliki..Suami seorang yang baik, anak soleh..dan hamba Allah yang taat.

Hikmahnya..saya sering bangun malam (Insya Allah)memohon, merayu pada Allah moga Allah mengasihi saya..kerana cinta Allah itu yang utama..dalam doa solat hajat juga saya selitkan doa moga ada ruang untuk saya di hati suami. Kerana sesungguhnya jodoh kami adalah aturan Allah melalui perantara teman2. Cinta saya kepadanya lahir selepas diijabkabulkan..pilihan dari tangisan istikharah..

Mampukah cinta berakhir ke syurga andai ianya impian saya seorang.
farah said…
terima kasih ustazah
Anaz@ZR said…
Benar apa yang ustazah katakan.. Sebelum saya mendirikan rumahtangga dulu., saya bukannya tergolong dalam gadis yang solehah. ALLAH Maha Mengetahui segalanya dan jodoh saya ditentukan pada seorang pemuda yang soleh dan beriman. Alhamdullillah.. Sudah 12 tahun usia perkhawinan kami dan saya masih lagi berusaha dengan gigih untuk menjadi 'ratu'nya di syurga nanti. Doakan ya uatazah..
ash_mza said…
Salam.. terima kasih atas pkongsian...
Mohon izin link ke blog=)

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA