BAHAGIAKAN DIRIMU...


Saya mengenali seorang wanita yang kerap menjalin hubungan istimewa bersama lelaki. Sebaik hubungan sedia ada menemui titik buntu, dia pasti mencari cinta yang baru. Hidup bersendirian bukanlah pilihan kerana baginya kesunyian bermakna tiada kebahagiaan. Dia sentiasa ingin menyintai dan dicintai, menyayangi dan disayangi.

Suatu ketika, dia bersama seorang lelaki yang dilihat sangat sesuai untuk dirinya. Cuma sayangnya, lelaki itu tidak memberikan sepenuh cinta yang didambakannya. Namun dia membiarkan sahaja perkara itu terjadi tanpa mahu memutuskan ikatan yang terjalin.

Apabila ditanya, mengapa? Jawapannya, dia tidak punya pilihan lain, kerana padanya bersendirian bukanlah sesuatu yang diinginkan. Bersendirian bagai suatu penanggungan yang amat memeritkan berbanding kurangnya kasih dari kekasih. Walau itu tidak sebagaimana yang diimpikan.

Sampai saatnya, hubungan itu menjadi bertambah buruk. Perpisahan terjadi jua. Di ketika itu, dia bersedia menghadapi kemungkinan yang berlaku dan terpaksa juga hidup tanpa teman. Sungguhpun dia amat benci hidup sendiri, namun akhirnya dia kelihatan boleh menjalani saat-saat getir itu tanpa kekecewaan yang memusnahkan. Dia bagaikan baru sedar bahawa sebenarnya dia mampu hidup sendirian.

Sembilan bulan berlalu, sehinggalah dia menemui seorang jejaka yang amat baik budi. Kali ini, lelaki tersebut mahu menjalin ikatan lebih serius dan tinggal bersamanya, dan itulah yang sering diharapkan dari semua kekasihnya sebelum ini. Akan tetapi, entah mengapa, kali ini dia menolak. Dia menyedari, terlalu banyak keseronokan dapat dinikmati walau hanya hidup bersendiri.



THE RULES OF LOVE
Kisah di atas adalah cerita benar yang diberitahu oleh seorang wanita kepada Richard Templar, penulis buku The rules of love. Buku ini, buat kesekian kalinya merupakan hadiah dari suami yang saya kasihi.

Saya tertarik dengan kesimpulan Templar pada akhir pengkisahan wanita berkenaan. Menurut Templar, sungguhpun pada awalnya wanita itu bagaikan tenggelam dalam hubungan yang tidak kesampaian, namun dia hanya membiarkan dirinya lemas lantaran takut hidup bersendirian.

Akan tetapi, saat menyedari bahawa dia mampu hidup lebih gembira dan bahagia walau tanpa seseorang di sisi, dia mula meletakkan standard yang jauh lebih tinggi.

Andai nantinya, dia hidup berpasangan, kehidupan itu harus lebih membahagia dan menyeronokkan berbanding ketika dia bersendirian. Jika hidup berdua lebih menjamin itu, barulah dia sanggup menggadaikan kehidupan bersendiriannya.

Seterusnya, Templar merumuskan, untuk beroleh bahagia seseorang itu perlu belajar untuk merasa bahagia dan gembira dengan dirinya sendiri, tanpa campur tangan pihak lain. Dengan itu, barulah seseorang itu dapat mengatasi dan menghadapi rasa takut apabila tiba saatnya dia ditinggalkan berseorangan.

SITUASI BERBEZA
Kisah dan rumusan dari Templar itu amat menguja dan membantu. Saya sebenarnya pernah menerima satu emel dari seorang wanita yang menghadapi situasi berbeza dari kisah wanita di atas. Saya petik sebahagian isi emel dengan sedikit pengubahsuaian ayat tanpa mengubah maksud asal pengirimnya. Beliau menulis :

Dan ketika ini saya baru membaca artikel kakak bertajuk SELAMA HAYAT INI. Saya masih tidak faham kenapa seseorang perlu berkahwin.

Jujurnya, dari umur 13 tahun, saya telah membuat keputusan untuk tidak /mahu berkhwin. Tahun ini saya sudah berusia 25 tahun, dan orang yangg paling tidak senang duduk ialah ibu saya.

Saya masih tidak percaya dengan sebuah ‘perhubungan’( relationship ).

Saya ada bertanya kawan-kawan, kenapa mereka ingin sangat berkahwin? Kebanyakan jawapan yang saya dapat, kerana mahukan anak. Dan saya bagai tak percaya, apa? Sekadar itu? Kemudian, setelah itu, apa pula ?

Berpandukan ayat-ayat yang kakak nyatakan pada artikel tersebut, saya masih juga tidak mengerti,

WHY we need to get marry?

Dua kisah berbeza dari dua wanita muda. Yang pertama tidak boleh hidup sendiri dan sentiasa cuba untuk memiliki seseorang bagi mencurahkan kasih mesra, manakala yang kedua pula merasa cukup dengan bersendiri, tidak memerlukan seseorang untuk didampingi.

Seorang percaya bahawa bahagia hanya apabila ada seseorang untuk berkongsi suka duka, manakala seorang lagi tidak percaya bahagia hanya bila ada perhubungan dan cinta.

Saya cuba memahami erti bahagia dari perspektif kedua-duanya, dan di sinilah saya menemukan dua titik penting yang dapat saya ketengahkan dari kisah wanita di atas dan rumusan yang dibuat oleh penulis untuk membantu menjawab persoalan dari emel yang saya terima.

APAKAH ITU BAHAGIA?
Berapa ramai manusia hari ini yang kelihatan bahagia, namun realitinya mereka masih mencari-cari kebahagiaan yang hakiki.

Mereka mengandaikan kebahagiaan boleh diperolehi dengan menikahi wanita kerana parasnya yang cantik rupawan atau jejaka dek wajah yang tampan, atau kerana harta yang melimpah ruah, keturunan yang baik-baik, yang punya pendidikan tinggi, bekerjaya cemerlang dan seumpamanya, namun setelah bergelar suami isteri, terasa masih ada kekurangan.

Berapa ramai pula yang mengandaikan kebahagiaan akan terbit dari kehadiran anak yang ramai. Anak-anak yang sewaktu kecilnya, mulus, comel, bijak dan menghiburkan. Akan tetapi, setelah dewasa, dengan pelbagai masalah yang melanda, rasa bahagia semakin hilang dan sirna.

Ketika itu, mereka bagaikan tersedar, kecantikan dan ketampanan pasangan bukan lagi kebahagiaan. Harta yang melimpah bagaikan tiada gunanya, keturunan yang baik, pangkat dan kerjaya, pun tidak menjamin rasa gembira. Dan ketika itu juga, mereka bagaikan tersedar, anak-anak yang ramai tidak semestinya boleh menjadi punca tenang dan damai.

Semua itu tidak mencerminkan kebahagiaan !

Jiwa mulai runsing, resah dan gelisah. Duduk tak senang, berdiri tak tenang, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Pendek kata serba serbi rasa tak kena.

ERTI BAHAGIA
Justeru itu, saya agak bersetuju dengan rumusan dari Templar tentang bahagia. Penilaiannya itu walau tidak sepenuhnya bertepatan dengan nilai agama, namun ia boleh diubahsuai bagi memenuhi kehendak dan ‘ruh’ dari didikan Islam, bahawa untuk mencapai kebahagiaan di dalam hidup, seseorang itu perlu terlebih dahulu bahagia dengan dirinya.

Namun, perlu diingat, bahagia dengan diri bukan bermakna keseronokan dan kegembiraan dikelilingi perkara-perkara berbentuk material dan kebendaan, akan tetapi bahagia dengan diri ialah tenang dan bahagia yang lahir dari rasa ‘bertuhan’.

Inilah peraturan cinta Islami.

Bahagia atas setiap perintah Allah. Gembira dengan menjauhi semua larangan-Nya. Baik susah atau senang, tawa atau tangis hiba, ketenangan dan kebahagiaan itu sentiasa mengiringi kerana keyakinan dan kefahamannya bahawa dirinya ‘ada’ DIA Yang Maha Mengasihi, Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha segala-galanya untuk dia mengadu untung nasib diri.

Firman Allah SWT :

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya : “(Iaitu ) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenang.” ( Surah Ar Ra’du ayat 28 )

Inilah manfaat yang paling agung. Mentaati Allah SWT dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan. Mengenali Pencipta yang setiap perbuatan-Nya amat berbeza dari makhluk yang ada. Memahami setiap kebaikan dan keburukan yang diberi-Nya adalah ujian keimanan. Menginsafi betapa hikmah yang tersurat dan tersirat dari segala yang berlaku dalam hidupnya adalah di dalam pengetahuan dan kehendak Tuhan. Semua ini menjadi pendorong dan motivasi untuk dia tampil tenang. Inilah ‘rasa’ kebahagiaan yang berkekalan.

Ringkasnya, ketenangan dan kebahagiaan yang diperolehi adalah hasil dari ingatan yang berterusan kepada Allah ar Rahman.

BERKAHWIN UNTUK BERKONGSI
Jika dari kisah wanita pertama, setelah menemui rasa bahagia dengan bersendirian, dia menolak hidup berpasangan, maka di dalam Islam, perkara sebaliknya pula yang dianjurkan.

Berkahwinlah untuk berkongsi kebahagiaan.

Tujuan dari perkahwinan di dalam Islam, bukan semata-mata untuk menghalalkan kasih cinta si Uda dan Dara, atau untuk beroleh cahaya mata dan zuriat penyambung warisan keluarga. Tetapi lebih dari itu ia adalah manifestasi kesyukuran yang terbit dari kebahagiaan dan ketenangan diri untuk sama-sama dinikmati oleh orang lain sebagai menyahut seruan Allah dan Rasul yang dicintai.

Berkahwin demi mengambil manfaat dari janji Allah SWT bahawa sakinah, mawaddah dan rahmah, semua itu tersedia di dalam sebuah ikatan yang sah.

Firman-Nya :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir.” ( Surah ar Rum ayat 21 )

Berkahwin juga sebagai mengikut satu jalan ( sunnah ) dari jalan-jalan yang dianjurkan oleh Rasul-Nya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud :

“Daripada Anas r.a, katanya telah bersabda nabi S.A.W bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku.”

Bila peraturan ini difahami sebaiknya, maka seorang wanita yang bahagia akan menjadi isteri yang membahagiakan suami dan anak-anaknya. Begitu juga, seorang lelaki yang bahagia, akan melebarkan kebahagiaan itu kepada isteri dan cahaya hatinya.

Keluarga yang bahagia melahirkan masyarakat yang bahagia. Masyarakat yang bahagia mewujudkan sebuah negara yang bahagia. Bahagia bernaungkan rahmat dan berkat dari Tuhan Yang Maha Esa.

Alangkah besar kesan yang lahir dari individu yang bahagia dengan dirinya! Maha Suci-Mu, Ya Allah !

BAHAGIAKAN DIRIMU…
Akhirnya, insafilah, bahawa insan yang disayangi, baik pasangan ( suami atau isteri ), anak-anak, saudara mara dan sahabat handai, bukanlah punca dan sumber bahagia. Mereka hanya lah satu juzuk dari kebahagiaan di dunia.

Being alone is great, but being with them is even better!

Begitu juga harta, pangkat dan kesenangan yang ada. Ambillah manfaat yang tersedia darinya tanpa melupakan akhirat yang lebih kekal di sana, sebagaimana Allah SWT berfirman :

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya : “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.” ( Surah Al-Qashas ayat 77 )

Ingatlah dua perkara ini : 1) Bahagiakan dirimu dan 2) Berkongsilah rasa bahagia itu.

InsyaAllah, kebahagiaan dan ketenangan akan sentiasa memayungi, kerana bahagia sebenar adalah dari ‘jiwa kehambaan’ yang sejati.

Hidup bahagia bersama-Nya, walau tanpa atau bersama mereka yang tercinta.




Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Min said…
artikel yg penuh dan padat dengan ilmu... tq kak ina!
Guru said…
bersendirian kekadang boleh menjadi indah
FA said…
terima kasih akak for this entry..saya mesti mencapai individu bahagia dulu..=)
Anonymous said…
salam k.ina...
tak try baca "qimya' al-sa'adah" imam al-ghazzali? boleh buat perbandingan
Salam, Min..

Alhamdulillah, yang baik dari-Nya jua.

Terima kasih kembali kerana sudi membaca :)
a kl citizen : Ye, bersendirian memang indah dan sungguh menenangkan, andai ia diisi dengan sesuatu yang boleh menghampirkan diri kepada-Nya.

Solat bersendirian di sepertiga malam, zikir munajat beserta tangisan kerinduan.

Atau boleh juga bersendirian sambil merenung kebesaran Tuhan dari keindahan alam. Mendengar aliran air yang tenang,kicauan merdu burung dan nyanyian dedaunan kala ditiup angin sungguh mengasyikkan. Semua itu mencipta keindahan kala bersendirian :)
FATIEN : Alhamdulillah dan syabas atas semangat yang baik itu.

Namun, jangan lupa berkongsi kegembiraan yang diperolehi ;)

Ia adalah satu perjalanan ketika hayat di dunia ini, menuju matlamat yang abadai dan hakiki.

InsyaAllah, sama-sama kita usahakan ye :)
ANONYMOUS : Jazakillah. Terima kasih atas cadangan.

Sedang cuba menghalusi kitab, Mukasyafatul qulub dari pengarang yang sama.

InsyaAllah, akan dikongsi bersama pembaca. Yang baik dari Allah jua :)
Anonymous said…
Kai Ina, terima kasih..
Anonymous said…
salam ukhwah

kak ina, artikel yg sgt bagus...congretz...

mintak izin copy ek...lily letak reffer akak nye blog... syukran
tajnur said…
Assalamulaikum wbt
Saya lebih suka beri pendapat mengenai perkahwinan dari sudut Usul Fikh mengenai asas perkahwinan dlm Islam iaitu Surah AlBaqarah:230 أَن يَتَرَاجَعَآ إِن ظَنَّآ أَن يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ‌ۗ وَتِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ
Daripada Istidlal (menjadi dalil qot`ie tsubut dari dzoni dilalah) bahawa ramai Imam Mujtahid termasuk Imam Shafi`e rh.a. dan Imam Nawawi rh.a. sampai akhir hayat mrk tidak kahwin, kerana Allah SWT menggunakan perkataan `dzon` atau berat sangka dlm masalah ini. Bukanlah mrk menafikan Sunah Rasulullah saw mengenai perkahwinan tetapi syaratnya `kedua2 pasangan mesti dapat menegakkan hukum Allah` أَن يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ‌ۗ
Denga dalil itu jugalah, tidak hairanlah apabila Saidina Abu Bakar r.a. wafat, jandanya diambil oleh Saidin Ali r.a. dan Saidina Omar AlKhattab mengahwini anak Saidina Ali krw tanp mengambilkira sekuffu dari segi umur! Wallahualm
AKU PENULIS : Alhamdulillah, pujian hanya untuk Allah.

Terima kasih kembali atas kesudian membaca. Semoga beroleh manfaat darinya.
NORDALILY : Alhamdulillah, silakan. Semoga pa yang baik dapat kita kongsi bersama.

Terima kasih kembali.
TAJNUR : Alhamdulillah dan terima kasih atas perkongsian pandangan.

Pada hemat saya, ramai dari kita telah memaklumi bahawa hukum asal di dalam perkahwinan adalah mubah ( harus ) sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama' Mazhab Syafi'e. Alasan hukum adalah bersumberkan ayat-ayat al Quran yang mulia dan hadis Rasulullah SAW.

Nabi SAW pernah mengecam segolongan sahabat yang menyatakan hasrat untuk ber'kasi' dan terus membujang sepanjang hayat bagi menumpukan sepenuh masa dan usia mereka kepada ibadat dan mengerjakan solat malam.

Baginda menasihati mereka: ``Kahwinlah kamu dengan wanita yang penyayang dan ramai anak. Sesungguhnya aku berbangga dengan ramai bilangan umatku pada hari kiamat.''

Jika dilihat kepada perjalanan hidup para Rasul dan Nabiyullah, mereka juga berkahwin dan mempunyai zuriat, sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah ar Ra'd ayat 38 :

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلاً مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً وَمَا كَانَ لِرَسُولٍ أَن يَأْتِيَ بِآيَةٍ إِلاَّ بِإِذْنِ اللّهِ لِكُلِّ أَجَلٍ كِتَابٌ

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka istri-istri dan keturunan. Dan tidak ada hak bagi seorang Rasul mendatangkan sesuatu ayat (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Bagi tiap-tiap masa ada Kitab (yang tertentu).


Ketetapan hukum di dalam Islam adalah mengambil kira manfaat dan maslahah umum dan bukannya berdasarkan pegangan sebahagian kecil atau seseorang individu semata-mata. Jika pun ada sebagaimana yang dinyatakan di atas, ia bukanlah hujjah untuk tidak menggalakkan perkahwinan sebagai penyelesai dan jalan keluar bagi pelbagai masalah umat hari ini.

Antara tujuannya ialah memenuhi keperluan biologis,membina keluarga dan pastinya keselamatan serta kesejahteraan hidup beragama.

Walaubagaimanapun, saya sedia maklum bahawa keharusan ini tetap melihat kepada kondisi dan keadaan orang yang akan melaksanakannya.

Maka hukumnya boleh menjadi wajib, haram, sunnat, mubah dan makruh.

Selanjutnya, sepanjang pengetahuan saya, ada riwayat bahawa Imam Syafie berkahwin, cuma perkahwinannya berlaku pada usia yang agak tua. Elok, kita sama-sama kaji perkara ini terlebih dahulu :)

Dan saya bersetuju, ramai ilmuwan Islam silam tidak berkahwin, bukanlah kerana mereka menolak perkahwinan,akan tetapi kerana sibuknya mereka dalam menuntut ilmu dan meninggikan peradaban ummat.

Di antaranya, ialah Ibn Jarir al-Tabari (224-310H), pengarang kitab Tafsir al-Quran yang terkemuka, pakar dalam bidang sejarah dan pengasas sebuah mazhab Fiqh pada zamannya. Imam al-Din al-Suyuti (849-911H)dan termasuk juga Imam Nawawi, seorang pakar hadis dari tanah Syam.
MuslihahR said…
Artikel ni menjawab persoalan saya, terima kasih akak! Sejak akhir-akhir ni saya sering tertanya-tanya, kenapa perlu berkahwin, bila kawan-kawan sekeliling dah mula masuk ke alam ni.Kadang-kadang tekanan datang sebab saya tak rasa tujuan yang saya ada untuk berkahwin dah mencukupi untuk membawa saya melaluinya. Selagi belum berjumpa jawapan, saya rasa belum bersedia untuk ini. Terima kasih sekali lagi!
Isteri Pertama said…
Khusus untuk wanita Islam,

wanita yang tidak menempuh poligami, sukar baginya untuk mendapat title Isteri Solehah. kerana hanya bepoligami bukti wanita itu berjaya menundukkan nafsu amarahnya. poligami merupakan pakej yang Tuhan buat untuk melayakkan wanita menjadi mukmin sejati.

Wanita yang tidak berpoligami, nafsunya belum diuji...
Surau Al-Ghafur said…
wah..menarik..mendalam sungguh kupasan ni..moga dpt trus berkongsi lagi di masa akan dtg

salam ziarah :)
Amoi Ida said…
Jazakillah kak Ina..sangat bermanfaat untuk Ida..betul, hari tu pun Ida tengok siaran ulangan kupasan oleh Dr. Robiah memang sama..kita bahagiakan diri kita kerana diri kita, bukan oranglain..tapi kata-kata kak Ina mengenai berkongsi kebahagiaan itu memang best!

Ya, cinta kepada Allah tetap tak pernah menghampakan kan kak..cuma ia perlukan tingkat iman yang teguh dan kefahaman kerana pernah Ida kata pada sorang kawan nie..'Bahagia bukan dengan memiliki semua benda, tapi bahagia ialah dengan redha apa yang kita miliki..'

Tapi kawan Ida balas balik, dia kata, 'Memang betul, tapi ramai yang tak puas hati/tak redha..kalau tidak takkan orang sanggup buat macam2 nak dapatkan duit, kebahagiaan, buat itu buat ini...'

Kalau dah dia cakap camtu, kitapun diam aja..susah nak cakap dgn golongan sebegini..huhu..
ibunoor said…
Salam kak Ina...sekali lagi saya memohon maaf kerana tidak sempat membalas YM kak Ina tempohari...tiba depan monitor rupanya dah terlambat...

Saya amat bersetuju dan menyokong 'sharing' kak Ina...perlu utk seseorang itu mencari damai atau ketenangan hakiki sebelum belajar untuk menzahirkannya pada orang lain.

Jika tidak dikhuatiri penzahiran itu berbentuk sementara dan tidak dapat untuk dikekalkan olehnya.

Itulah antara rasa rahmat dan kasih sayang yang Allah turunkan.

Thank you very much kak Ina....hati terasa teramat bahagia!
nik said…
akak, terima kasih byk2 utk artikel yg bagus nih..

mintak izin berkongsi artikel nih ngn rakan2 lain..terima kasih =)
CACIM POKODOT : Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.

Teruskan usaha. Banyakkan berdoa dan memohon petunjuk dari-Nya agar dikurniakan pasangan yang soleh dan sesuai, yang baik untuk dunia dan akhirat.

InsyaAllah, semoga segala urusan adik dipermudahkan oleh Allah SWT :)
ISTERI PERTAMA : Terima kasih atas pandangan. Cuma, pada saya neraca untuk menentukan solehah atau tidak seorang wanita bukan dilihat pada dia berpoligami atau tidak.

Piawaiannya adalah pada ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, juga ketaatan kepada suami dengan menjadikan sifat malu sebagai benteng utama, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." ( Hadis Riwayat Ahmad )

Juga sabda Baginda yang bermaksud:

"Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Inilah piawaian yang dapat menentukan solehah atau tidak seseorang wanita itu. Baik dia berpoligami atau tidak, keempat-empat syarat yang dinyatakan oleh Nabi terpakai kepada semua Muslimah untuk bergelar wanita solehah.

Dari semua wanita yang pernah wujud di dunia ini, hanya empat yang menjadi pilihan sebagai seutama-utama wanita di sisi Allah. Mereka ialah Sayyidatina Khadijah, Fatimah bintu Rasulillah, Maryam dan Asiah.

Sewajarnya mereka dijadikan teladan sepanjang zaman.

Poligami adalah satu ujian dari ujian-ujian Allah ke atas hamba-hamba-Nya, untuk menguji keimanan, meningkat ketaqwaan seterusnya meraih ganjaran yang berlipat kali ganda di sisi Allah Yang Maha Kaya.

Bersyukurlah ke atas mereka yang berjaya melaluinya dan berwaspadalah sentiasa dari tipu daya nafsu dan syaitan durjana. Satu cubaan berjaya dilalui, banyak lagi yang menanti untuk menguji.

Kepada Allah selayaknya kita berserah.
MOHD FIRDAUS : Alhamdulillah, yang baik dari Allah. Semoga beroleh manfaat.

Insyaallah, semoga dikurniakan istiqamah dan kekuatan oleh Allah.
IDA : Alhamdulillah, Ida..tak mengapalah. Sekurang-kurangnya Ida dah menyampaikan nasihat yang baik.

Mudah-mudahan ia akan memberi bekas juga di dalam hatinya suatu masa nanti dengan izin Allah, InsyaAllah.
IBUNOOR & NIK : Alhamdulillah. Teruskan usaha mencari bahagia yang hakiki.

Nik, silakan :) Terima kasih. Semoga manfaatnya lebih melata.
al-thollib said…
sangat bagus dan bermanfaat.
tq
ummu nuha said…
Salam kakak...

rasa syukur kerana jumpa blog kakak di internet ni. rasa sgt tenang bila baca entry-entry kakak..tambah2 lg utk org yg mcm sy ni, yg masih tercari-cari panduan utk menjadi isteri, ibu dan juga anak yg solehah. rs tak terkejar nak jadi seperti kakak.

teruskan menulis ye kakak kerana saya antara pembaca setia....
tajnur said…
Assalamualaikum
Jazakallah, apa yang ingin saya utarakan disini adalah kaedah dimana utk dibincangkan mestilah dari nas AlQuran atau Hadis Mutawatir sesuatu topik terlebih dahulu. Dalam masalah perbahasan mazhab mengenai perkahwinan, yang menjadi dalilnya adalah Surah AlBaqarah:230 dimana 2 kalimah yang penting dlm ayat `dzonna` dan `aiyuqimma huddudallah`. Kita bukanlah nak menjadi Imam Mazhab, tetapi mengupas sedikit apa yg Imam Syafie (dlm kes kita org melayu khususnya) huraikan dari ayat tersebut. Barulah kita huraikan sebagaimana kita membuat tesis `master` dan PhD dimana kita sokongkan dengan hadis `ahaad` dan pelbagai rujukan sebagai satu entry utk diperbualkan. Sebagaimana hadis Rasulullah saw,`Sesungguhnya binasalah org sebelum kamu ini krn melaga2kan ayat Alah sebhgn dgn sebhgn. Sesungguhnya Allah menurunk kitab ini supaya sebhgn membenarkan sebhgn` Jika tidak kita menulis atas dasar `biraa`ihim` Wallahualam
Zaharuddin said…
TAJNUR :

Pertama : tiada sebarang masalah pada tulisan ummuhusna kerana setiap artikel bukanlah tesis phd atau MA yang perlu ikut flow secara akademik. Ia hanyalah secebis artikel dari satu perspektif, soal pendekatan dalam menyampaikan nasihat & teguran adalah terbuka dalam islam.

Jadinya tiada isu 'terlebih dahulu mesti itu atau ini. Malah Al-Quran juga menyebut perkahwinan untuk mawaddaha dan rahmah. dan point itu terkandung di dalam artikel.

Kedua : ayat yang sdr jadikan concern dan isu juga pada hemat saya kurang tepat dari sudut dalalah, ayat Al-Baqarah 238 menyebutkan perihal Ruju' selepas Talaq.

Ketiga : sememangnya semua tujuan perkahwinan untuk mengeakkan hukum Allah, dan maksud hukum Allah itu adalah begitu luas. Apa yang ummu husna tulis termasuk dalam sebahagiannya. Tidak sama sekali bertentangan dengannya.

Keempat : sdr perlu memahami target group bila menulis dan berdakwah, tidak semua jenis ajakan mesti berikan hukum dan ayat quran terlebih dahulu. Sbeagai contoh, berdakwah kepada ahli sukan, kita terlebih dahulu perlu memahami latar bahasa dan sukan yang diminati terlebih dahulu. Untuk fahami bab ini lebih mendalam, , ikhlas saya nasihatkan sdr boleh ambil subject dakwah dalam semester depan (jika ada).

Apapun, terima kasih atas komentar

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

p.s. sekadar makluman, ucapan terima kasih kepada perempuan 'jazakillah' bukan 'Jazakallah'

iaitu dengan berbaris bawah pada huruf 'kaf'.
Alhamdulillah, terima kasih abang atas pencerahan.
Amoi Ida said…
Alhamdulillah...

Macam-macam :D

Apapun moga kak Ina tidak putus asa dalam menyampaikan kebaikan..

Ida sentiasa sokong kak Ina dan minta izin nak copy komen kak Ina yang kat atas-atas tu..memang best..

Ada juga aktivis wanita dalam dakwah yang keras dengan gerak kerja dakwah namun dalam rumahtangga just gitu-gitu dan seadanya..mungkin bagi meka, suami sure faham kerana ikut jalur yang sama..apapun hadis yg kak Ina beri tu mungkin kerna selalu refresh agar kita sentiasa faham tugas/tanggunjawab sebenar seorang isteri/ibu..

Apapun berdiam diri bukan beerti salah dan berdebat tak berkesudahanpun tidak ada gunanya malah mengundang dosa pula nanti dan syaitanpun akan bersorak riang...

Yang pasti penjelasan dari Kak Ina/Uzar dapat sampai kepada pembaca di sini..jazakumullah...

Wallahu'alam..
Anonymous said…
Assalamualaikum wbt..
Salam ziarah..artikel yang amat menarik.. teruskan berkarya. insyaAllah bermanfaat dan semoga beroleh kebahagiaan sentiasa. ameen =)
zeta aziz said…
Assalamualaikum...

Terima kasih di atas artikel yang menarik.

Semoga sentiasa dijadikan peringatan & panduan buat semua.

Insyaallah.
Cik biru said…
Salam, saya sudah lama membaca entri ini...
Terlalu banyak manfaat yang sy peroleh...
Terima kasih...

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA