31 March 2010

TERIMA KASIH ANA...

Mata saya tidak berganjak melihat jarum jam. Waktu menunjukkan hampir pukul 3.30 petang. Sejurus, kedengaran deruman kereta suami di luar rumah. Saya bersegera menuju ke muka pintu. Menyambut kepulangan anak-anak dan suami yang menjemput mereka dari sekolah.

“Macam mana ? “ tanpa bertangguh saya bertanya. Kak Long dan Kak Ngah berpandangan sesama mereka. Melihat riak ceria di wajah kedua-duanya, saya tersenyum lega.

“Cikgu kata apa ?” soal saya lagi sambil mengambil beg dan bekalan dari tangan mereka.

“Cikgu kelas Kak Long tak kata apa-apa, tapi Miss Chapman dan kawan-kawan di kelas Math ada bertanya: Who are you dressed up as?” jawab Kak Long sambil menceritakan pengalamannya.

“Ha..cikgu kelas Kak Ngah, Miss Hannon pun tanya macam tu juga,” celah Kak Ngah teruja.

“Apa Kak Ngah jawab?” pantas saya bertanya. Tidak sabar mahu mengetahui reaksi guru kelasnya.

“Kak Ngah tunjukkan gambar pada cikgu. Dia kata, that’s nice..” jawab Kak Ngah sambil tersenyum manis.

“Alhamdulillah, baguslah..”saya melafaz tahmid dan syukur ke hadrat Allah. Atas limpah rahmat dan inayah-Nya, pengalaman hari ini berjaya dilalui oleh anakanda berdua.


BERBEZA
Sememangnya pengalaman persekolahan anak-anak saya di Leicester ini agak berbeza berbanding ketika mereka di Lampeter, Wales dahulu.

Jika di Lampeter, mereka terasa ramai kerana rakan-rakan dari Malaysia semuanya berada di sekolah yang sama. Namun di sini, mereka hanya berdua. Ditambah pula jumlah pelajar Muslim yang kurang berbanding pelajar dari agama lain, keadaan itu pada mulanya menimbulkan ketidakselesaan di hati anak-anak saya.

Walaubagaimanapun, saya bersyukur kerana mereka dapat melalui debaran dan kebimbangan tersebut. Kini, mereka mempunyai sejumlah rakan-rakan sekolah yang rapat dan saya sendiri mengenali ibu bapa mereka. Dari anak tempatan hinggalah teman-teman Muslim dari berbilang bangsa. Arab, Pakistan, Somalia, Gujarati, Kurdish dan India.

Kepelbagaian ini walau ada kalanya menimbulkan banyak pertanyaan dari anak-anak saya kerana melihat perbezaan amalan dan budaya, namun pada saya, itulah hikmah dan kebaikannya. Saya perlu menambah pengetahuan, sementara anak-anak pula dapat menimba pengalaman.

Bukan sedikit persoalan mereka tentang pakaian, aurat, pergaulan dan lain-lain yang memerlukan penjelasan dari saya dan suami. Nasihat dan pesan dari kami berdua, ambil mana yang baik dan tinggalkan apa-apa yang tidak selari dengan agama.

AKTIVITI
Demikian juga dengan masa-masa persekolahan anak-anak saya di Leicester ini, setiap hari ada sahaja aktiviti yang dijalankan. Berencam bentuk dan pendekatan. Ada yang berkisar tentang pelajaran dan tidak kurang juga yang melibatkan keagamaan.

Oleh kerana tempoh waktu mereka di sekolah agak panjang, bermula seawal 8.50 pagi dan berakhir pada pukul 3.15 petang, maka variasi pengisian yang bersifat menghibur dan tidak membosankan sangat dititikberatkan di sekolah. Kerana itu, anak-anak tidak jemu untuk hadir dan melibatkan diri.

Biasanya, surat rasmi tentang sesuatu aktiviti akan diberikan kepada ibu bapa sebagai makluman awal. Dan kebiasaan ini memberikan manfaat kepada saya dan suami untuk memantau dan mengenal pasti aktiviti yang boleh diikuti oleh anak-anak atau sebaliknya.

Pada saya, sebagai seorang Muslim, tiada kompromi pada sebarang program yang jelas berbentuk ritual keagamaan. Akan tetapi untuk aktiviti-aktiviti lain, selagi ia tidak melampaui aspek agama, saya dan suami memberikan kebebasan kepada anak-anak untuk menyertainya. Cuma, kami selalu mengingatkan mereka agar soal pakaian dan pergaulan tetap sentiasa dijaga.

HARI BUKU SEDUNIA
“Macam mana ni Ummi. Nak pakai apa nanti?” luah Kak Ngah. Cemas bunyinya.

“Wajib ke? Kalau tak wajib, pakai seragam sekolah…cukuplah,” balas saya mudah.

Mendengar itu, Kak Ngah tidak melanjutkan bicara. Wajahnya sedikit masam. Tidak gembira mendengar cadangan saya. Akan tetapi, timbul pula rasa bersalah di hati saya. Bungkam. Kak Long pula sedari tadi masih tidak bersuara.

Masing-masing diam memikirkan pakaian yang sesuai untuk aktiviti ‘Dress up as your favourite book character’ bersempena Hari Buku Sedunia.

Saya pasti, Kak Long dan Kak Ngah teringin untuk memakai kostum yang istimewa di samping rakan-rakan lain di sekolah mereka. Akan tetapi, masalah yang timbul ialah tidak ada satu pun karakter di dalam buku-buku yang ada di sini bersesuaian dengan mereka.

Watak Cinderella, Aurora, Snow White dan puteri-puteri lain dari buku dongeng masyarakat tempatan bukan lagi sesuatu yang asing di kalangan kanak-kanak. Begitu juga watak-watak lebih kontemporari dari buku-buku terkini seperti Barbie, Angelina Ballerina, Felicity dan lain-lain lagi. Cuma, pakaian yang dipakai dan watak yang diagungkan itu tidak sepadan dengan prinsip akhlak dan nilai-nilai Islam.

Lantaran itu, pada saya tidak perlu terlalu mengikut budaya yang ada dan lebih elok hanya berpakaian sekolah seperti hari-hari biasa.

KAK LONG DAN IDEANYA
Namun sikap saya ini bagaikan mengenepi keinginan anak-anak dan impian mereka untuk turut serta memeriahkan aktiviti yang ada. Saya menyedari itu dan kembali berfikir untuk mencari jalan penyelesaiannya.

“Kak Long ada idea,” tiba-tiba Kak Long memecah sunyi kami semua.

“Idea..bagaimana?” saya bertanya.

“Ayah kan ada beli novel Ana Muslim masa balik Malaysia tempohari. T-shirt labuh pun ayah belikan juga. Kak Long, Kak Ngah boleh pakai dan 'jadi Ana muslim’ je lah,” Kak Long melontar idea yang mencerahkan mata, melapangkan minda.

“Ha..bagus cadangan tu. Baru sesuai dengan watak seorang perempuan Islam. Nanti Ummi tolong gosokkan baju-baju tu ye,” saya menawar diri dengan perasaan lega di dalam hati.

‘Mengapalah tak terfikir sebelum ini,’ saya berbisik sambil tersenyum sendiri melihat Kak Long dan Kak Ngah mulai sibuk memilih t-shirt labuh yang akan dipakai nanti.

TERIMA KASIH ANA…
Alhamdulillah, berakhir sudah satu lagi pengalaman saya dan anak-anak dalam menjayakan aktiviti mereka di sekolah.

Syukur kepada Allah SWT di atas kemurahan-Nya dengan mengilhamkan jalan keluar yang tidak melanggar batas-batas syari’at Islam. Semoga dengan usaha kecil itu mampu meneguhkan keyakinan anak-anak terhadap tuntutan agama sebagai 'Way Of Life' yang boleh diaplikasi walau di mana pun mereka berada.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Akan tetapi, jangan dilupa, tepuk dada tanyalah dulu iman dan keyakinan.

Buat akhirnya:

Terima kasih Ana …We are proud to be Muslimah.

*******************************************************************************
“Ya Allah, tolonglah daku agar dapat berzikir mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperelokkan ibadah kepada-Mu”

“ Ya Allah, sepertimana Engkau mencantikkan kejadianku, maka perbaiki pula akhlakku”

“Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini dicintai pada hati orang yang beriman, dan jadikanlah mereka menyintai orang yang beriman.”


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

18 comments:

Kak Ummi said...

Salam.

Tahniah buat Kak Long dan Kak Ngah!Kalian berdua secara tak langsung dah menjadi da'i cilik buat teman-teman dan guru-guru di sekolah.Suka Auntie dengar cerita ni..

Tahniah juga buat Ummu Husna@Dik Ina..kisah-kisah didikan agama yang dititipkan buat anak-anak akan sentiasa dijadikan pedoman dan contoh buat Kak Ummi dan semua pembaca,InsyaAllah..

Terimakasih dik...semoga rahmat dan keberkatan Allah sentiasa melimpah buat Dik Ina sekeluarga.

Syuhairah said...

Salam Kak Ina...

Saya selalu tersenyum sendiri setiap kali saya baca entry yang Kak Ina tulis... Dan terselit rasa bangga... sebab di Malaysia kesusahan yang sedikit pun dijadikan alasan.... sedangkan saya dapat bayangkan macam mana persekitaran di sana tidak menjadi halangan buat Kak Ina dan keluarga... Saya doakan yang terbaik dan terima kasih kerana berkongsi kisah ni bersama-sama

Wassalam

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua,
Setuju dengan komen-komen di atas. Pengalaman mendewasakan/mematang/mengajar kita. Terima kasih Allah atas tunjuk ajar-Mu. OLeh itu hargailah pengalaman yang diperolehi walaupun ia kekadang amat sukar untuk diatasi.

Wassalam.

pak long said...

assalamualaikum...
moga terus mendapat keberkataan ALLAH

atie said...

Salam Lina..

Semoga sihat dan diberkati Allah SWT selalu........

Alimaz-Kembara Terasing said...

salam kak lina...

UmmuAhmads said...

UmmuHusna,

Aktiviti tersebut memang ada setiap tahun di kebanyakan (mungkin semua) sekolah di sana. Betul, saya kira agak sukar untuk mereka yang ada anak perempuan berbanding dgn saya yang kesemuanya lelaki. Alhamdulillah...kak long dapat idea yang bagus.... Selain itu, banyak buku cerita kanak-kanak di library sekolah juga mengandungi cerita ketuhanan yang tidak selari dengan Islam. Malah ketika anak saya dalam year one, mereka ada subject on religions in the world, di mana mereka belajar semua agama & tuhan mengikut agama. Memang mencabar membesarkan anak di sana bila anak-anak bersekolah. Tapi Insya Allah, saya yakin ummuhusna & ustaz lebih banyak ilmu & pengalaman yang banyak membantu.

Musafir said...

Tahniah, Kak Long...moga selalu dapat ideas yg creative n innovative cmtu coz Islam itu tidak statik...
Tahniah ats didikan ummuhusna dan UZAR melahirkan anak spt kak long...

qaseh mas said...

Alhamdulillhirabbila'lamin
dikurnikanNya jalan keluar kala kebuntuan melanda, Maha baiknya Allah..

Iffah(islami98) said...

Salam Auntie Ina....
Saya ni budak baru belajar....Kalau boleh tnye,mcmmn Auntie buat 'baca selanjutnya' dan 'semoga beroleh manfaat' tu?Mohon maaf krn mengganggu masa Auntie..

Dan klu berkesempatan jemput ke 'laman' sy...

Ikhlas salam buat keluarga Auntie,
Iffah

Anonymous said...

salam.. cmne nk tny soalan kt ummuhusna if ad kemusykilan.....
maaf, org baru

Ummu Husna said...

Salam,

KAK UMMI, SYUHAIRAH & KAK NISHA : Alhamdulillah, semuanya ilham dan bantuan dari Allah. Semoga ada manfaat yang boleh kita kongsikan bersama.

Terima kasih atas doa :) Ameen. Semoga Allah SWT memberikan hidayah-Nya buat kita semua

Ummu Husna said...

PAK LONG, ATIE & ALIMAZ : Terima kasih atas skongan dan doa yang dititipkan.

Ummu Husna said...

UMMUAHMADS : Terima kasih atas perkongsian pandangan :)

Benar..cabaran membesarkan anak-anak yang bersekolah di UK dan negara barat lain adalah pada memberikan penjelasan dan menetapkan yang mana boleh dan tidak pada anak-anak.

Di sini, peranan ibu bapa, komuniti Malaysia lain amat peting dalam memberikan kerjasama untuk menjayakan pendidikan agama dan budaya ( menulis dan membaca jawi ) kepada anak-anak.

Semoga amanah ini dapat kita laksanakan sebaiknya, InsyaAllah.

Ummu Husna said...

MUSAFIR : Doakan kami dan ibu bapa lain juga :)

Perjalanan masih panjang. Banyak cabaran di hadapan yang bakal ditempuh. Kami juga masih belajar dan terus belajar. Sentiasa mendoakan bantuan dan inayah-Nya. Salah dan silap pasti ada. Hanya dengan petunjuk-Nya, jalan yang selamat di dunia dan akhirat akan berjaya dilalui.

Moga nilai dan sikap yang baik ini berkekalan dan dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan umat, ameen Ya Rabb.

Ummu Husna said...

QASEH MAS : " Allahumma a'inna 'ala zikrika, wa syukrika, wa husni 'ibadatik "

Sesungguhnya rahmatMu tidak terhitung Ya Allah.

Ummu Husna said...

IFFAH : Alhamdulillah..boleh. Iffah boleh ke laman ini: www.amoiida.blogspot.com ( Perindu Cinta Ilahi )

Di sana ada disediakan tutorial cara-caranya.

Semoga membantu ye. Selamat berjaya :)

Ummu Husna said...

ANONYMOUS : Ahlan wa marhaba :) Boleh add YM Kak Ina : noraslinaj. Emel : noraslina.jusin@gmail.com

InsyaAllah mana yang boleh Kak Ina bantu, Kak Ina cuba bantu.

Walaubagaimanapun, mohon maaf terlebih awal. Kerana mungkin emel lambat menerima balasan. Kak Ina cuba jawab sedikit demi sedikit emel-emel yang lebih dahulu diterima, InsyaAllah.

Allahumma yassir wa la tu'assir, Ya Rabb