10 March 2010

SELAMA HAYAT INI.....

“Barakallahu lakuma....wabaraka ‘alaikuma..wajama’a bainakuma fikhair..” Meriah berkumandang lagu daripada Maher Zain,mengingatkan saya kepada kemeriahan majlis pernikahan sebelas tahun yang lalu. Kenangan indah penyatuan hati antara saya dan suami.

Masih terbayang saat-saat manis ketika baru bergelar seorang isteri. Bagai terasa kekalutan dan rasa bimbang yang menyelubungi diri bila memikirkan tugas dan peranan seorang suri, sedang dalam masa yang sama tanggungjawab dan amanah sebagai seorang penuntut universiti masih tergalas di bahu ini.

Andai semasa belum berpunya, saya bebas ke sana sini bersama sahabat-sahabat Muslimah mengisi masa dengan kegiatan dan aktiviti kampus, namun setelah bergelar isteri, semua itu kian terbatas dan memerlukan keizinan suami. Dalam banyak keadaan, keakraban bersama teman-teman yang masih bujang tidak lagi seperti dulu. Saya memahami dan mereka mengerti. Saya kini telah dimiliki.

Walaupun perubahan itu telah saya maklumi dan sematkan ke dalam akal dan sanubari, namun melalui detik-detik sebagai pasangan berkahwin ketika masih bergelumang buku-buku dan kuliah agak menekan kehidupan sehari-hari. Syukur, suami banyak memberi dorongan dan kekuatan sehingga peperiksaan akhir berjaya saya lepasi walau dalam letih dan lesu kerana ‘berbadan dua’.

SUATU ANUGERAH
Sesungguhnya perkahwinan dan kehidupan berumah tangga merupakan suatu anugerah dari Yang Maha Esa. Setiap manusia mahu disayangi dan menyayangi, ingin menyintai dan dicintai. Itulah fitrah yang tidak dapat dinafi. Kerana itu, jalan pernikahan menyediakan ruang seluasnya untuk merealisasi apa yang diiimpi.

Di dalamnya ada pertemuan antara dua jiwa, mencipta rasa aman dan tenteram, cinta, sayang dan kasih mesra. Telah ramai yang yang memperolehinya, tidak kurang juga masih ramai yang sedang berusaha untuk mendapatkannya. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” ( Surah ar Rum ayat 21 )

Dari ayat di atas, dapat difahami bahawa sesebuah pernikahan itu dasarnya adalah ketenangan. Darinya, hubungan yang diharamkan di antara lelaki dan perempuan menjadi halal selepas akad pernikahan. Ia menghubungkan dua keluarga berbeza dengan tali persaudaraan dan persahabatan, terutama kepada suami dan isteri yang baru memasuki mahligai perkahwinan.

Andai ada syurga di dunia, maka rumahtangga yang dihiasi sakinah, mawaddah dan rahmah di itulah syurga dunia. Namun, jika wujud neraka di dunia, maka rumahtangga yang porak peranda dengan berencam masalah di dalamnya itulah neraka dunia. Justeru, untuk menjayakannya, Islam menjelaskan ada hak-hak isteri yang harus dipenuhi oleh suami sebagai suatu bentuk kewajipan dan tanggungjawabnya, dan ada pula hak-hak suami yang harus dipenuhi sebagai kewajipan ke atas isteri. Allah SWT menegaskan hal ini melalui firman-Nya yang bermaksud :

“Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang ma’ruf. akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” ( Surah al Baqarah ayat 228 )

MASALAH
“Banyak betul kes cerai, minta cerai dan krisis rumahtangga di Malaysia sekarang ni. Tak henti-henti kita menerima soalan” Pernah suatu ketika suami meluah rasa. Suatu keluhan berbaur kebimbangan. Saya turut berkongsi rasa yang sama terutama bila menerima banyak emel mengenai pelbagai masalah rumahtangga. Dan tidak kurang juga beberapa komen di dalam blog menceritakan perkara yang sama. Saya bersimpati dan cuba memahami gelodak jiwa yang melanda.

Tidak ada sesiapa pun yang bergembira apabila berhadapan dengan konflik di dalam hidupnya. Apatah lagi bagi pasangan suami isteri yang memang sudah berikrar akan sehidup semati, ingin bercinta hingga ke akhir usia dan jauh dari itu mahukan kebahagiaan kekal hingga ke syurga. Akan tetapi, untuk menzahirkan sebuah ikatan yang harmoni, aman dan sejahtera tidak semudah menutup dan membuka mata. Dengan pelbagai perbezaan yang wujud, jika tidak ditangani sebaiknya, boleh saja menjadi punca perbalahan yang menjarakkan keintiman kedua-duanya.

Perbezaan selera makanan, latar belakang pendidikan, cara berfikir, sikap dan kebiasaan, bahkan corak asuhan keluarga saja sudah cukup meledakkan konflik di dalam keluarga.

”Pinggirkan angan-angan dan tanggapan bahawa pasangan suami isteri yang sakinah adalah pasangan yang tidak memiliki masalah, tetapi semaikan keyakinanan bahawa keutuhan ikatan yang terjalin akan dapat diteruskan melalui cara bagaimana pasangan suami isteri tersebut mengupayakan kemampuan dan ruang yang ada sebaiknya untuk mengelola masalah yang terjadi di dalam rumahtangga.”
Begitu nasihat ringkas saya kepada seorang isteri yang meluahkan masalahnya.

TANGANI MASALAH
Cukup kerap didengari keadaan seperti berikut:

”Bagusnya kalau abang macam suami si K tu. Rajin tolong isterinya di rumah. Ini tidak..saya berperang di dapur, abang sedap-sedap duduk di sofa sambil minta minuman,” leter seorang isteri yang kepenatan. Sebaik sampai di rumah, rutin rumahtangga sudah setia menunggu untuk dilaksana. Memasak, membasuh, memandikan anak dan tugas-tugas lain yang turut mengerah tenaga.

Si suami membisu, buat-buat membaca buku. Kerutan pada wajahnya cukup membayangkan fikiran yang terbeban.

”Aku tengah serabut fikir bagaimana nak menyelesaikan masalah kerjaya ini, dia pula bising-bising membingitkan telinga. Bukan cuba nak memahami,” mungkin begitu rungutan dan bisikan si suami.

”Abang...saya bercakap dengan awak ni. Saya pun bekerja juga, nak tambah pendapatan keluarga. Letih, sengal, semua ada..Takkan bantu sikit pun tak boleh,” tambah si isteri semakin geram melihat suami hanya diam.

Suasana di atas mungkin hanya sebahagian kecil krisis yang kerap berlaku di dalam rumahtangga, terlalu banyak lagi yang mungkin tidak termampu untuk dicoretkan semuanya di sini.

Saya pasti, dalam menangani kehidupan yang mencabar pada hari ini, di mana rata-rata pasangan suami isteri bekerja dan memiliki kerjaya, tekanan pastinya akan memberi kesan kepada hubungan kedua-duanya. Isteri yang keletihan setelah penat menjalankan tugas di pejabat mengharapkan bantuan suami untuk melangsaikan tugasan di rumah. Manakala suami, sebagai ketua dan pemimpin keluarga pula, sentiasa berfikir keras bagaimana untuk menjana pendapatan yang lebih buat menampung perbelanjaan rumahtangga.

”ACT LIKE A LADY, THINK LIKE A MAN”
Demikian tajuk sebuah buku hadiah dari suami sewaktu kepulangannya ke Malaysia baru-baru ini. Buku ini dibeli oleh beliau ketika transit beberapa jam di Dubai.

Sememangnya antara lelaki dan perempuan, ada perbezaan yang ketara di antara kedua-duanya. Lelaki kelihatannya lebih ’simple’ berbanding wanita yang lebih teliti dalam banyak perkara.

Saya tertarik kepada suatu ’pengakuan’ oleh penulis buku tersebut, Steve Harvey. Beliau menjelaskan secara santai dan agak humor mengenai cinta, hubungan, intimasi dan komitmen seorang lelaki di dalam kehidupan. Bagaimana dengan memahami corak dan pola fikir seorang lelaki akan banyak membantu wanita menangani permasalahan yang timbul di dalam perhubungan mereka.

Menurut Steve, lelaki akan sentiasa dipacu oleh tiga perkara penting di dalam hidupnya, iaitu :

1) Siapa mereka ( who they are )
2) Apa yang mereka lakukan ( what they do )
3) Berapa banyak yang mereka capai ( how much they make )



Walau siapa pun seseorang lelaki itu, dia akan sentiasa dibayangi oleh gelarannya ( WHO HE IS ), bagaimana dia dapat mencapai gelaran itu ( WHAT HE DOES ) dan senarai anugerah atau pencapaian yang diperolehi dari gelaran tersebut ( HOW MUCH HE MAKES ). Selama mana ketiga-tiga perkara ini belum dipenuhi sebaiknya, selagi itulah seorang lelaki kelihatan terlalu sibuk dan sukar untuk menumpahkan sepenuh perhatian kepada pasangan.


Dan keadaan inilah yang amat perlu dimengerti dan difahami oleh wanita atau isteri. Memahami apa yang menjadi motivasi seorang suami di setiap detik hidupnya sebagai seorang lelaki, yang mana kerana motivasi tersebut dia kurang ’berada’ di rumah bersama anak isteri, atau pun dia lebih banyak menyediakan masa untuk menelaah dan membaca berbanding saat bergembira bersama keluarga dan lain-lainnya.


Justeru, jika seorang isteri kurang memahami kenyataan ini, jiwanya akan sentiasa dibelenggu rasa tidak puas hati dan kecewa. Suami yang didambakan selama ini, iaitu seorang yang penyayang, penuh perhatian, sentiasa menghulurkan bantuan dan sebagainya hanya terjelma di alam fantasi semata-mata. Yang berada di depan mata, hanyalah seorang suami yang bagai mementingkan diri sendiri dan tidak bersimpati dengan keresahan seorang isteri.



IRONINYA

”Keadaan ini akan bertambah teruk apabila isteri merasa terpisah dengan kejayaan dan sasaran suami. Sepatutnya sikap suami yang menumpu kepada tugasannya sehingga KURANG MEMBERIKAN PERHATIAN kepada isteri sama sekali tidak boleh dianggap sebagai ’pentingkan diri sendiri’. Sebaliknya, kejayaan suami adalah juga kejayaan isteri, dan senyap sunyi seorang suami ketika memikirkan ’dunia’ tugas dan kerjayanya, perlu dirasakan seumpama dia memikir dan memberi tumpuan untuk kebahagian isteri dan keluarga.

Malangnya hari ini, kelihatan semakin ramai isteri yang mencebik bibir apabila diungkapkan harapan ini, ramai yang semakin tidak percaya dengan suami masing-masing dan diam si suami kerap dilihat sebagai negatif dan berfikir sesuatu yang negatif,” demikian komen dan ulasan suami tercinta.

Memang benar, ia juga merupakan kelemahan suami yang gagal memahat dan membentuk keyakinan isteri terhadap dirinya. Oleh itu, kedua-dua pihak perlu berubah di dalam hal ini. Sebelum suami ’bertapa’ dalam dunianya yang tersendiri bagi mencapai objektif yang disasarkan, perlu baginya meyakinkan si isteri bahawa dia boleh dipercayai dan tidak lupa kepada perasaan isteri yang ingin dibelai dan dirai.



APA LANGKAH PENYELESAIAN?

Oleh itu, pada saya, perkara pertama dan utama yang menjadi titik awal kepada penyelesaian konflik rumahtangga ialah tidak membandingkan pasangan dengan orang lain di luar perkahwinan. Lebih-lebih lagi jika individu yang dijadikan perbandingan itu dikenali oleh pasangan, baik suami mahupun isteri. Ia pada saya merupakan satu sikap yang mesti dilaksana terutama apabila berlaku masalah berkisar peranan dan tugas kedua-duanya. Kalaupun mahu memberikan contoh, cukuplah dengan menyatakan secara umum tanpa merujuk kepada individu tertentu.

Buat permulaan, sangat penting kepada suami dan isteri untuk mengawal emosi diri dan cuba bertanya pada diri sendiri. Berfikir tentang masalah yang dihadapi, adakah ia benar-benar perlu dipersoalkan atau mungkin, masalah yang dirasakan sangat berat itu hanya sekadar luapan emosi. Saat tekanan memuncak, memang mudah emosi mengungguli akal dan mata hati. Sabar menjadi cair dek kemarahan yang menjulang bagai api. Justeru, belajar mengawal tekanan amat penting untuk memelihara dan mengekalkan rumahtangga yang harmoni.

Selain itu, satu prinsip yang tidak kurang pentingnya di dalam hubungan suami isteri adalah tidak boleh mengesampingkan pasangan. Ramai orang pada hari ini,melakukan kesilapan dengan menganggap bahawa pasangan hidupnya tidak mampu menampung perasaannya. Akibat dari itu, ia mulai mencurah semua yang dirasa kepada orang lain. Lebih menyedihkan, jika teman curahan masalahnya itu bukan dari jantina yang sama, lalu tidak hairan seiring berlalunya masa, akan muncul benih-benih asmara antara keduanya, tanpa dipinta, tanpa perlu dipaksa.

Kerana itu, setelah suami mahu pun isteri dapat menenangkan emosi, usahakan ruang berbicara dari hati ke hati, kerana tidak ada insan yang dapat menebak dan meneka fikiran orang lain. Lalu, komunikasi adalah jalan keluar agar pasangan mengerti. Komunikasi bukan sekadar untuk memberitahu, tetapi lebih dari itu, ia berlaku menerusi dua arah iaitu meluah dan mendengarkan, lantas mencari titik pertemuan yang kembali menyatukan.

Namun apa yang kerap menjadi masalah dan kegagalan dalam komunikasi adalah apabila ruang berbincang bertukar menjadi ruang sangka buruk, pasangan membuat konklusi separa matang, dihiasi dengan desakan meminta cerai, tuduhan itu dan ini dan membongkar kesalahan pasangan. Akhirnya, komunikasi bukan lagi sebuah penyelesaian malah ia adalah umpama minyak yang semakin memarakkan nyalaan ’api’.


MENGHARGAI

Seterusnya, belajarlah menghargai dan menghormati pasangan. Namun, perlu diingat, kemahuan untuk menghargai bermula dari sikap besar hati dan merendah diri. Jika tiada, pasti sulit bagi seseorang untuk menyatakan penghargaan. Dengan kebesaran dan kerendahan hati, suami atau isteri bersedia menerima pasangan seadanya.


Isteri akan cuba memahami situasi suami yang sedang berkerut dahi manakala suami memberi reaksi dan luahan simpati agar isteri rasa dihargai. Pendekatan psikologi seperti suami memujuk dengan kata-kata pujian, membelai dan melakukan sentuhan fizikal, mampu menenangkan hati ketika isteri sedang menjeruk perasaan, sekaligus menimbulkan rasa hormat antara pasangan. Sifat memaaf dan bersedia mengakui kesilapan adalah sesuatu yang mudah dilafaz.


Itulah yang didambakan oleh seorang wanita. Namun amat ramai lelaki yang terasa amat payah untuk melaksanakan malah dikatakan bertentangan dengan naluri mereka. Justeru, kedua-dua pihak perlu mengorbankan keinginan, kebiasaan dan ketidakbiasaan masing-masing. Hanya dengannya, kedamaian dan ketenangan mampu dijelma.



TEMPATKAN AL QURAN DAN SUNNAH

Ingatlah sebagai seorang yang mengakui Allah sebagai Tuhan sekelian alam, dan Rasulullah SAW sebagai utusan akhir zaman, tiada panduan yang terbaik dalam melayari bantera kehidupan melainkan panduan al Quran dan Sunnah Rasul Junjungan. Tempatkan kedua-duanya di dalam rumahtangga, nescaya setinggi mana pun badai yang melanda, semuanya akan dapat ditangani dengan saksama, berkat rahmat dan bantuan Yang Maha Esa.


Saya pernah bertanya kepada suami akan jalan penyelesaian ini, dari banyak-banyak jawapan yang diberikannya, ada satu yang boleh dikongsikan di sini.


“Memahami tugasan dakwah dan islah yang ditanggung adalah satu lagi formula untuk mengecil dan mengurangkan tekanan dan segala masalah dalam rumahtangga, kerana apabila tugasan dakwah dan islah itu mampu menjadi agenda utama bagi pasangan, isu-isu seperti kurang menerima pujian pasangan, masakan kurang sedap, kurang bantu mengemas baju, angkat baju, lipat baju, kurang itu dan ini akan terasa amat remeh dan kecil berbanding agenda memulihkan pegangan umat Islam yang kian terhakis. Semua isu tersebut akan terasa ‘tidak padan’ untuk menggoyahkan sebuah rumahtangga” demikian tegas suami tanpa menafikan semua itu masih perlu diperbaiki namun beliau meyakini gugatan dan tekanan perasan akan dapat ditangani dengan lebih baik dan lebih berhati-hati



SELAMA HAYAT INI...

Akhirnya, insafilah..kurniaan seorang suami atau isteri melalui perkahwinan hanyalah satu jalan dari jalan-jalan menuju redha Tuhan. Sesungguhnya kehidupan ini tidak lain hanyalah pengabdian kepada DIA yang memiliki segala-galanya.


Selama hayat ini, curahkanlah ketaatan kepada Allah melalui khidmat bakti kepada pasangan. Cinta kepada suami atau isteri akan sentiasa mekar mewangi dengan berpaksikan cinta kepada-Nya.


Buat isteri-isteri yang terus berusaha menabur wangian bahagia di dalam rumahtangga mereka, saya dedikasikan lagu ini. Dan tidak dilupa, buat suami tercinta yang sentiasa memahami dan seiring bersama untus terus mengecap nikmat pernikahan ini.


Terima kasih atas segalanya.



Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

19 comments:

mai said...

salam kak,
syukran k ina :)

notes: lagu da'wah maher zain telah menjadi fenomena di dubai

ps: k ina, saya suka layout yg berlatarkan warna putih ini, sangat jelas utk membaca isi tulisan k ina. syukran sekali lagi atas perkongsian ilmu yg sangat bermanfaat, dan terima kasih for everything :)

-love u, sis!

Nurul said...

Assalammu'alaikum ummu husna~

Syukran jazilan atas perkongsian bermanfaat, tazkirah untuk kami para pembaca lebih baik sebagai isteri dan manager rumahtangga ... :)

Saya pun dah baca buku Act Like A Lady, Think Like A Man,.. kalau kita ada kekuatan untuk praktik pesanan2 pengarang, kita boleh memperbaharui cinta dan mengukuhkan rumahtangga kan, insyaALLAH...

Tapi seringkali di sebalik kekuatan jawatan, harta, kelayakan akademik, kecantikan, kita kecundang rumahtangga kerana tak ada kekuatan hubungan dengan ALLAH yang menganugerahkan cinta dan rumahtangga..

Moga terus kita mendalamkan ilmu, iman dan amal...!

Alimaz-Kembara Terasing said...

salam kak....saya tak tau nak komen apa....tapi blog akak banyak beri palajaran dalam berumahtangga kepada saya...terima kasih ya kak...

ija said...

artikel yg sgt bermanfaat dan bertepatan dgn apa yg sedang berlaku dlm rumahtangga saya ketika ini... MINTA IZIN COPY PASTE UTK SIMPANAN PERIBADI(jadi panduan utk saya memujuk hati sendiri) :-)

UmmuFarhan said...

Salam,

Terima kasih dari saya di atas entri yang menambah ilmu berumahtangga:) .

Manjakusayang said...

Salam ummu Husna...

Susahnya nak berkata2. Betul apa yang ummu Husna cakap tu. time kasih untuk ilmu kali ini.

fathinz md nor said...

terima kasih kakak..

tajnur said...

Salam!
Bagi saya, asas perkahwinan dlm Islam adalah dlm Surah AlBaqarah:230 ...sekiranya mrk berdua ingin kahwin (ruju`)sesunguhnya berat sangka (dzon) kami bahawa kedua2nya mesti menegakkan hukum Allah..` Dalil ini jugalah yg menyebabkan ramai Imam Mujtahid spt Imam Syafie rh.a. Imam Nawawi rh.a dan ramai imam2 mazhab yg tidak kahwin. Maaf cakap, sepanjang perkahwinan seseorg tu, berapa bykkah suami telah mengajar mentadabbur AlQuraan(Surah AnNisaa:82) dan sejauhmanakah telah menghubungkaitkan AlQuran dgn AlQuran dan AlQuran dgn Hadis supaya wujud kebenaran dari Allah (Surah Al`Araaf:52). Wallahualam

ibunoor said...

Alhamdulillah...apa yang kita lalui ada persamaan ya ustazah...berpeluang menikmati sekaligus matang dgn usia perkahwinan walau masih belajar... InsyaAllah akan diingati susah senang bersama suami masing2 krn hidup ini perlu saling melengkapi. Terima kasih atas perkongsian ini sekali lagi.

Silalah ziarah ke http://www.ibunoor.com

Ummu Husna said...

Salam, semua..

MAI : Alhamdulillah. Semoga segala urusan Mai dipermudahkan Allah.

Love U too Mai :)

NURUL : Betul, InsyaAllah sama-sama kita berusaha.

Ummu Husna said...

ALIMAZ : Segala yang baik dari Allah jua. Kak Ina hanya menyampaikan, dan kita sama-sama mengambil manfaat darinya.

IJA : Silakan. Saling ingat mengingatkan dan bantu membantu ke arah ketaqwaan, InsyaAllah :)

Ummu Husna said...

UMMUFARHAN : Kak Ina juga banyak belajar dan mengambil manfaat dari artikel di blog Ummu Farhan. Teruskan berkongsi.

Terima kasih kembali.

MANJAKUSAYANG & FATINZ : Terima kasih kembali atas kunjungan :)

Ummu Husna said...

TAJNUR : alhamdulillah. Syukran atas perkongsian pandangan.

Ada banyak sebenarnya ayat yang boleh dijadikan asas dalam perkahwinan. Sementelah Islam melihat rumahtangga ( bait Muslim ) sebagai salah satu komponen yang sangat penting untuk penubuhan masyarakat Islam yang sejahtera.

"Baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur"

Antaranya juga, ialah ayat di dalam Surah An Nisa' ayat 21. Perkahwinan seumpama satu ikatan yang kukuh ( mithaqon gholizo ).

Sama-sama kita mentadabbur ayat-ayatNya.

Ummu Husna said...

IBUNOOR : Terima kasih :) Saya telah linkkan blog Ibunoor.

Semoga sama-sama kita mengambil manfaat dari perkongsian yang ada.

Siti Salbiah said...

Syukran for the post puan~ this blog has teach me a lot..insyaallah..semoga Allah merahmati puan sekeluarga...Alhamdulillah~ sedikit sebanyak , this blog banyak tolong saya membentuk siapa saya hari ini..alhamdulillah.To change for good is not easy..but somehow, u ve do help me a lot all this while..Syukran

Afaire Noah said...

alhamdulillah,terima kasih atas artikel tulisan ini..sebenarnya,saya masih muda,saya kira dibandingkan dgn ustazah,saya baru 18,namun,akhir-akhir ini,saya ada pemikiran bahawa saya rasa mengapa perlu berkahwin?dan mungkin juga,dengan kehidupan kini yang dilingkungi kawan-kawan yang dalam majoriti pengikut yang berpengaruh,saya kadang2 jadi 'kecil' untuk menegakkan prinsip sendiri berdasarkan Islam..cabaran maha hebat sy kira,namun..

alhamculillah,atas doa dan usaha,sampai ke hari ini,sy masih aman di bawah rahmat-Nya..

cuma,sy berterma kasih atas tulisan ustzh yg membuka mata saya tentang perkara-perkara seperti ini..

sy sendiri,bolehkah sama2 membantu dakwah,sedangkan sy ambil jurusan perubatan?sy ada keinginan dan sedikit ilmu,tapi sy kira msih sgt kurang utk join dakwah..benarkah?adakah perlu tunggu sedikit dewasa lagi,baru mula menulis tentang dakwah?..jadi,bagaimana?

dan kedua,sy kadang2 takut,bagaimana untuk menyeimbangkan kerjaya sy suatu hari nanti(doktor)dgn kehidupan berkeluarga?sy takut andai pilihan sy utk jadi Dr,adalh kurang tepat..

mohon pendapat ustzh..harap ustazah dpt menolong insan hingusan ini..

blog saya:http://shafiramuhamadnoh.blogspot.com

al_ankabut said...

ustzh minta izin copy dan paste article yg sgt berguna ini utk manfaat rakan2 sya:>
jazakillah~

anna_hanhis said...

Terima kasih ummuhusna..semoga keluarga akan sentiasa diberkati Allah..byk benda berguna dpt saya pelajari dan praktikkan..

cilipadi said...

Asm.Nak cari buku tu...Act like a lady,think like a man.Cuma nak komen sedikit pasal 3 soalan yang katanya menguasai lelaki...Those questions appear 'very selfish' , 'very narcissistic' , 'very nonislamic' ...Maybe men who believe in Allah should replace these questions with more islamic-relevant questions...or make sure their answers are more syariat-compliance...