DI ULANGTAHUN INI....


Hari ini genap usianya setahun. Saya menyambut detik ulangtahun pertama ini dengan pelbagai rasa yang meruntun. Gembira, sayu dan pastinya selaut syukur ke hadrat Yang Maha Esa.

Andai diumpamakan ia seperti seorang kanak-kanak, usia setahun memperlihatkan perkembangan yang banyak. Telatah dan senyum tawanya menghiburkan lelah ibu dan ayah. Dia sudah mula berjalan meninjau persekitaran yang lebih luas. Mengatur jejak demi jejak walau banyak kali terjatuh setiap kali kaki kecilnya cuba melangkah.

Ada ketikanya, kesakitan akibat dari percubaannya itu menghadirkan tangisan. Namun, setelah dipujuk si ibu atau ayah, dia kembali bangun dan terus melangkah.

SAYA DAN BLOG
Demikian perumpamaan saya dan blog yang baru berusia setahun jagung ini. Tanggal 18 Mac 2009, merupakan tarikh saya ‘melancarkan’ blog yang tidak seberapa ini dengan artikel serba ringkas bertajuk : Memaksa diri untuk berjaya.

Sudah agak lama saya tidak menulis. Dan saya juga kurang mahir menulis. Namun, suami selalu memberi galakan dan motivasi.

Saya sedar masih banyak kekurangan di sana sini yang perlu saya perbaiki. Ada masanya saya agak ‘laju’ berkarya dan meluah idea. Akan tetapi, banyak masanya saya ‘kalah’ dengan tugas dan perkara-perkara lain yang tiba. Mungkin benar kata-kata suami, saya belum punya keghairahan yang tinggi untuk menulis dan berkarya. Masih belum ‘sebati’.

Sungguh pun pengunjung blog ini tidaklah begitu ramai, namun rasa bersalah sering menjengah. Apatah lagi, kerap kali juga hampir seminggu, blog saya sepi tanpa sebarang entri terkini.

Bak kata suami, inilah ‘hantu’ yang sering menggangu mereka yang berblog dan mempunyai pelawat kerap. Mereka pastinya resah gelisah apabila tidak menulis artikel baru. Ada yang takut pelawat lari, ada yang bimbang peluang dakwah mengecil dengan kurangnya pengunjung yang tampil, dan tidak kurang juga, ada yang takut bisnes di blog akan jatuh merudum dan pelbagai sebab lagi.

Saya sendiri pernah menulis tentang ini di dalam artikel : Bukan Hiburan. Sekadar meluah rasa yang terbuku di jiwa dan sanubari.


UMUR DAN MASA
Walaubagaimanapun, dengan kekangan dan halangan yang ada, saya bersyukur atas limpah kurnia dari-Nya, hari ini saya masih dapat menulis dan berkarya.

Semuanya datang dari kesedaran dan keinsafan yang disuntik dari kalam Allah Yang Maha Kaya, yang bermaksud :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” ( Surah al-Asr ayat 1-3 )

Juga sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Setiap hamba pada hari akhirat tidak akan dapat mengorak langkah menuju ke mana-mana sehingga ditanya empat perkara iaitu mengenai umur; ke mana dihabiskannya, usia muda; bagaimana dia melaluinya, harta; dari mana dia perolehinya dan bagaimana dia membelanjakannya serta ilmu; apakah dia sudah beramal dengannya.” ( Hadis riwayat Tirmidzi )

Imam Ibnu Qudamah pernah menyatakan : “Manfaatkanlah waktu hidupmu yang sangat berharga, jagalah waktumu yang mulia. Ketahuilah, bahwa masa hidupmu sangat terbatas. Nafasmu boleh dibilang, setiap nafas akan mengurangi bahagian umurmu. Umur itu sangat singkat dan yang tersisa sedikit amat. Setiap bahagian umurmu adalah mutiara yang sangat berharga, tidak ada tandingan dan penggantinya.

Sesungguhnya dalam hidup yang singkat ini pasti akan bermuara pada kenikmatan yang abadi atau azab yang pedih. Maka janganlah engkau sia-siakan mutiara umurmu yang berharga pada perkara yang bukan ketaatan kepada-Nya.”


AIR BATU DAN UMUR KITA
Ada sebuah kisah berbentuk perbualan yang menarik untuk kita renungi. Ia merupakan titipan nasihat dari seorang tua yang bijaksana kepada seorang muridnya yang menunjukkan sekeping gambar air batu.

Air batu yang sering membantu menghilang dahaga kala terik mentari menyengat di atas kepala. Terbayang dingin air yang mengalir dari bekas kaca, masuk ke mulut lantas sampai ke rongga tekak yang kering dek dahaga. Amat melegakan.

“Air batu ini jika dicampur dengan sirap, tentu akan menambah kesegaran sirap yang kita minum,” kata si tua yang bijaksana.

“Jika ditambah ke dalam air kelapa muda, tentu ia juga menambah kesegaran air kelapa muda kita. Pun, jika air batu ini ditambahkan ke dalam teh manis, atau dicampur dengan buah-buahan, ia pasti menambah ‘rasa’ yang nyaman. Walaupun, air batu itu akhirnya cair, namun ia telah melaksanakan fungsinya untuk menambah rasa dingin pada minuman. Ertinya air batu ini bermanfaat kepada manusia,”tambahnya lagi.

“Lalu, seandainya kita membiarkan air batu tersebut seperti dalam gambar ini, apakah air batu akan tetap seperti ini, atau akan mencair?” tanya si tua yang bijaksana cuba memancing.

“Tentulah air batu ini akan mencair,” ringkas jawapan si anak murid.

“Apakah pencairan air batu seperti ini sama manfaatnya jika dibandingkan dengan ketika kita mencairkannya ke dalam minuman?” soal si tua yang bijaksana lagi.

“Tidak. Kalau air batu ini kita campur dengan minuman dan kemudian mencair di dalamnya, ia akan menambah kesegaran pada minuman. Akan tetapi, jika ia dibiarkan mencair seperti ini, ia tidak menambah apa pun, selain hanya akan habis dalam jangka waktu yang tertentu,” balas si anak murid penuh yakin.

Si tua yang bijaksana menganggukkan kepala.

“Sekarang mari kita lihat ke dalam diri kita. Allah SWT mengurniakan kita umur dalam tempoh tertentu agar kita menjalani kewajipan selaku hamba-Nya, dan umur yang diberikan Allah adalah seumpama air batu ini.

Setiap saat ia akan mencair. Setiap detik, ia semakin berkurang. Setiap minit, setiap jam, setiap hari, setiap minggu, bulan dan tahun yang kita lalui. Hakikatnya, ia mengurangi jangka hidup kita di dunia ini, persis umpama lelehan air batu ini,” kata si tua yang bijaksana.

Si anak murid baru tersedar dari ungkapan terakhir gurunya, bahawa umur manusia akan berkurang setiap waktu dan ketika. Pantas dia meneliti kembali kepada gambar air batu yang diambilnya tadi.

“Justeru, kalau kita menggunakan umur kita untuk beribadah kepada Allah, tentu kita akan mendapatkan pahala di sisi-Nya. Begitu juga, kalau kita memanfaatkan umur kita untuk menuntut ilmu, InsyaAllah ilmu dan pengetahuan kita akan bertambah. Pun ketika kita menggunakan waktu kita untuk hal-hal yang bermanfaat, maka umur kita akan memberikan manfaat bagi kita, sebelum akhirnya jangka hayat umur kita itu sampai ke penghujung.

“Sebaliknya, andai kita hanya tidur seharian, hal itu sama sekali tidak akan menambah tempoh umur kita, bahkan ia tetap akan berkurang. Atau andai kita menggunakan umur sekadar untuk berfoya-foya, untuk bermalas-malasan, umur kita tetap akan berakhir sebagaimana mencairnya air batu ini. Ia tidak memberi manfaat apa pun kecuali kerugian,” tambah si tua yang bijaksana.

“Ya, benar. Air batu ini kalau dibiarkan cair sia-sia, lebih baik ia diguna kerana terasa nikmatnya. Demikian juga umur manusia. Andai dipakai untuk ibadah ia akan berkurang, tapi beroleh pahala, sementara jika diguna untuk melakukan maksiat dan kejahatan, pun ia akan habis juga, tetapi hanya menambah dosa,” celah si anak murid, mulai memahami apa yang dimaksudkan oleh gurunya.


AMAL JARIAH
Kisah di atas, walau pun ringkas namun padat dengan pengajaran. Betapa usia yang ada harus diisi dengan perkara-perkara yang berguna untuk agama dan ummah. Saya menjadikannya sebagai ingatan dan penggerak semangat untuk terus bertatih di dunia penulisan dakwah. Biar sedikit tetapi terus istiqamah.

Juga, bila mengenangkan bekal untuk dibawa ke akhirat sana, sumbangan melalui penulisan inilah yang amat saya harapkan mampu membuah pahala berterusan di sisi Allah Yang Maha Esa. Sebagai amal jariah yang akan memberi manfaat jangka panjang walau jasad ini telah berkubur di dalam tanah, InsyaAllah.

Selaku seorang yang tidak punya wang dan harta berjuta, juga jauh sekali dari memiliki emas permata yang menggunung banyaknya. Justeru, kesempatan dan sedikit bakat yang ada untuk menyampaikan kebenaran, harus saya manfaatkan selagi ada nafas dan nyawa di badan.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, yang bermaksud :

"Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak yang soleh yang ditinggalkan, Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang dibinanya atau rumah-rumah musafir di perjalanan yang didirikannya atau anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya (ini berupa wakaf yang berkekalan untuknya)."

( Hadis riwayat Ibnu Majah )


DI ULANGTAHUN INI..
Buat akhirnya, di ulangtahun pertama blog ini, sebagai insan biasa, saya bersyukur kerana masih ada individu di luar sana yang terus sudi mengambil manfaat dari pengisian dan hasil ‘buah tangan’ saya yang tidak seberapa.

Saya sama sekali tidak menafikan, mungkin ada salah dan silap yang kedapatan di dalam artikel dan peringatan yang saya berikan. Ia adalah kelemahan saya sebagai manusia biasa dan suka saya mengingatkan bahawa pembaca bebas untuk menerima atau menolak pandangan yang ada.
Juga, ucapan terima kasih kepada suami tercinta dan anak-anak yang sentiasa melapangkan pemikiran, mencetuskan ilham serta idea dan menghadirkan ketenangan yang tidak ternilai harganya.

Jutaan terima kasih atas sokongan dan dokongan anda semua pelawat setia, sekali sekala dan pemberi komen membina di blog http://ummuhusna99.blogspot.com/ ini.

Semoga semua ini dikira sebagai amal soleh di sisi-Nya.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Zaharuddin said…
Alhamdulillah,

Tahniah atas kejayaan istiqamaha untuk terus menerus menulsi selama setahun ini. Alhamdulillah sudah ada juga syarikat penerbit buku yang melamar.

Istiqamahlah dan jangan difikir jumlah pengunjung yang turun dan naik.

Jangan juga dikesali kiranya gagal menatijah yang baik.

Yang dihitung Allah adalah usaha dan ikhlasnya kita.

Ikhlasnya kita mencapai cinta maha Pencipta.

Ameen..

Abu Husna @ Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
zue said…
Alhamdulillah.Semoga kakIna terus berkarya utk tatapan org2 spt zue ni insyaAllah.
Eja said…
salams kak ina...

Terima kasih yang tak terhingga kerana sudi menjadi 'AIS' yang sangat bermanfaat dalam hidup saya.... ;-)
Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa kak ina...
Ros Illiyyuun said…
Salam...
Selamat ulangtahun pertama :) Semoga terus bersemangat untuk berkarya demi kerana-Nya... :)
tahniah kak....dah setahun blog akak....macam2 ilmu saya dapat bila membaca disini...
Kak Nisha said…
Assalamualaikum semua,

Tahniah,
Walaupun tak dihargai
bukan pujian yang dinanti
bukan juga mengharap simpati
tapi kurniaan dari Ilahi
itulah yang lebih hakiki
semoga ummu Husna terus gagahi
Walaupun nyawamu hampir pergi.

Wassalam.
ibunoor said…
Salam ustazah...happy anniversary...I'm very proud of you, your family and your blog...Keep on writing as it will benefit others including me..."A pearl will always be a pearl. And you are one of the kind". Do visit my humble blog often...
fArhAnA said…
salam.insyaAllah moga2 kte mjadi 'ais' yang bguna tu.. ;)
tajnur said…
Salam!
Selamat Menyambut Ulangtahun Blog ini, semoga terus menerus menulis dan menceduk pengalaman bersama2 dgn komentar2. Biasalah yg memberi cetusan, ada negatif dan positif tetapi `be a positive thinker` Wassalam
Haslina Mohamad said…
Salam Kak Ina..

Tahniah..kerana telah setahun menulis.Selama setahun ini bergelut dengan pelbagai pengalaman suka duka dalam ber'blogging'.
Semoga semangat K.Ina menulis akan terus berkobar bersama perasaan ikhlas melakukannya kerana Allah S.W.T semata2.
Sy menunggu buku pertama dari K.ina..
haslina..
wahh..Ummu Husna (saya masih belajar, sepatutnya saya panggil Ummu Husna dengan gelaran apa ye? selalu silent reader je, jarang tinggalkan komen), katanya2, amat memberi motivasi, jazakillah... sebabnya sebagai seorang pemudi, kadang2 saya menghadapi masalah futur, jadi kata2 ini boleh saya jot down sebagai pengingat diri.. semoga dirahmati Alah :)

teruskan usaha menulis, semoga Allah bantu :)
Salam kak Ina,
Alhamdulillah.
Tahniah, sudah setahun usia blog akak.
Semoga terus berkarya dan istiqamah...bersyukur kerana dapat mengenali akak....
Terima kasih atas nasihat-nasihat dan ingatan menerusi tulisan-tulisan akak....
Ilal liqa' :)
Ummu Hasan said…
Salam Ummu Husna,

Saya salah seorang peminat tulisan anda yang sangat menyentuh hati dan banyak memberi manfaat. Moga Allah memberkati kita. Barakallahufeek..
Safiya_life said…
Assalamualaikum..dah lama xmenjengah sebab keja di pulau..namun xpenah lupa membaca karya Kak Ina.Semoga kita mendapat keredhaanNya biarpun cara berbeza dalam menyebarkan kebaikan..Salam keluarga..
Kak Ummi said…
Salam.

Tahniah Dik Ina!Semoga terus istiqamah.InsyaAllah Kak Ummi akan terus menjadi pembaca setia tulisan2 Dik Ina dan mengambil manfaat daripadanya...
ummi nazihah said…
salam k.ina, tahniah dan terima kasih. Barakallahufik.
Kak Noli said…
Semuga Allah sentiasa meilhamkan 'Ayat Ayat Cinta Nya'buat Dik Ina yg dikasihi utk sama2 kita hayati..
Cinta Illahi
alqasam said…
Askum

Kak Ina yang dihormati lagi disayangi.

Mabruk atas penulisan yang menyentuh, mengesankan dan konsisten.

Bagi saya, k.ina dah cukup konsisten dalam penulisan. Biar seminggu atau dua minggu sekali tetapi kami dapat tatapi selalu.

Aiwah. Umur itu juga hak ALLAH diberi pada kita untuk mengurusinya. Andai ianya untuk ibadah, maka bermanfaatlah ia untuk kita di hadapan ALLAH kelak. Antara salah satu saat antara semua manusia tidak akan mempedulikan insan sekeliling ditanya umurnya ke mana ia dihabiskan dll.

Teruskan menulis k.ina. Saya menanti buku kak pula. Saya dan suami memang peminat tulisan Ust Zaharuddin. Hampir kesemua buku sudah dimiliki.:)
Salam semua,

Terima kasih atas ucapan dan kata-kata peransang. InsyaAllah selagi ada kekuatan yang dikurniakan Alah ini, saya akan berkarya dan terus menulis.

Semoga manfaat darinya dapat dikongsi bersama. Selebihnya, hanya redha Ilahi yang diharap sentiasa.

Semoga kita semua sentiasa beroleh rahmat dan keampunan dari Allah SWT, ameen.
nuriL said…
terima kasih atas segala perkongsian yang bermanfaat.. :)

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA