2 February 2010

THAT'S NOT HIJAB !

Usai kuliah ‘online’ kedua pada hari Jumaat, 29 Januari yang lalu, saya menarik nafas dalam. Kesal dan sedikit kecewa. Lama saya termenung melayan gelodak rasa. Menatap beberapa perkataan yang membentuk sebaris tajuk : Aurat Wanita, apa batasnya ?

Sungguh, kuliah kali ini menghadirkan rasa kurang puas hati yang bukan sedikit di dalam jiwa, terutama bila mengingatkan masalah teknikal yang kerap terputus sehingga mengganggu tumpuan dan penyampaian saya.

Risau. Resah. Bimbang mengenangkan isi kuliah yang mungkin tidak dapat dihadam dengan baik oleh para pendengar.

“Janganlah kecewa. As dah buat yang termampu kan?” suami memujuk. Cuba menghiburkan hati yang rawan. Saya tersenyum, namun hambar sekali saya rasakan.

“Masalah teknikal yang berlaku di luar kawalan kita,” tambah suami. Masih berusaha mengubat luka di hati saya.

“Ya...tapi As tetap bimbang...abang” luah saya, sedikit membangkang.

“As bimbang jika penyampaian As tadi tidak difahami oleh para pendengar. Lebih malang, jika ada yang tersalah tafsir kata-kata As kerana selalu terputus-putus,” keluh saya sambil memandang wajah suami tercinta.

HARAPAN
Saya sebenarnya menaruh harapan yang tinggi terhadap kuliah ini. Sekian lama saya berhasrat untuk menyampaikan sesuatu berkait aurat atau lebih tepatnya mengenai ‘hijab’ ini kepada para pendengar yang kesemuanya wanita. Melalui perantara suara, bukan dari penulisan semata-mata.

Keinginan ini memuncak, terutama bila akhir-akhir ini saya melihat terlalu ramai pelajar lepasan agama, baik dari dalam mahu pun luar negara yang seakan mengambil lewa tuntutan dan kewajiban berhijab sebaiknya.

Pada saya, andai golongan agama tidak menjadi contoh yang baik dan terbaik di dalam masalah ini, bahkan sebaliknya bertindak berlebih-lebihan daripada mereka yang tidak memiliki latar pendidikan agama di sekolah atau di universiti, maka akan semakin kelabulah suasana menutup aurat dan penampilan Muslimah di negara kita ini.

Justeru, inilah ikhtiar yang dapat saya lakukan untuk membangkitkan kesedaran kepada para pendengar di luar sana ( biar pun mungkin tidak ramai ) bahawa seorang wanita hanya tidak wajib untuk berhijab 100% hanya kepada seorang lelaki bernama suami.

HIJAB
Hijab merupakan satu sistem di dalam ajaran Islam yang merangkumi antara lainnya, garis panduan berpakaian, adab dan akhlak memelihara pandangan dan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagai langkah mengatur interaksi sesama mereka di dalam masyarakat sesuai dengan maksud literal ‘ hijab’ itu sendiri iaitu sesuatu yang melindungi, menutup dan menyekat.

Justeru itu, hikmah dan manfaat dari arahan Allah SWT agar kaum hawa menutup aurat mereka, seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan ( menurut jumhur ulama’ ) ialah tidak lain demi menjaga kemuliaan dan ketinggian martabat mereka sebagai wanita Islam yang sentiasa terpelihara dari dipandang atau memandang, dikerling atau mengerling dengan jelingan mata hasil panahan syaitan.

Seterusnya, keadaan ini diharap akan membawa rahmat dan keberkatan yang melata di dalam masyarakat. Seorang perempuan, sama ada yang berkerjaya atau tidak akan dinilai kecemerlangannya berdasar kepada wibawa dan bakat yang ada pada dirinya, bukan kerana kecantikan dan keindahan kewanitaannya. Seorang suami hanya akan menyanjung kecantikan isterinya tanpa sedikit pun terusik dan tergoda dengan wajah rupawan perawan lain di luar rumahtangga mereka.

Alangkah indahnya suasana ini!

BUKAN KERANA ILMU
Akan tetapi, sayang seribu kali sayang. Bagaimana keadaan ini akan terhasil jika dalam keadaan mahu menutup aurat sekali pun, kaum wanita masih terlalu mementingkan penampilan sehingga akhirnya tanpa disedari telah melanggar syari’at Tuhan ? Bukankah bersolek, berhias, berwangian, berpakaian dengan gaya, warna dan fesyen yang memukau pandangan, masih bermaksud mahu dipandang cantik dan menarik ?

Bilakah akan tiba harinya keadaan ini bakal terlaksana, jika masih ramai Muslimah yang menutup aurat berebut-rebut memapar wajah indah mereka dengan pelbagai gaya di dalam majalah, televisyen dan dunia siber?

Inilah bahaya yang berlaku jika umat ini beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat dan peredaran masa. Tudung dan pakaian bukan lagi menjadi medium untuk melindungi dan menutup aurat , tetapi lebih sebagai alat untuk berhias. Wanita begini tetap menarik pandangan mata sang lelaki, sehingga dibimbangi mencetuskan perasaan syahwat di dalam diri. Di ketika itu, bukan pahala dengan menutup aurat yang akan diraih, tetapi malangnya wanita tersebut beroleh dosa kerana masih mempamer keindahan dan kecantikannya.

Sungguhpun seorang wanita dalam rangka mentaati perintah menutup aurat ini, boleh membuat pilihan dari pelbagai pandangan ulama’, dia mempunyai pilihan untuk memilih di antara pandangan itu selama mana ia memahami dalil dan hujah di sebaliknya. Justeru, perlu diingatkan, agar pilihan yang dilakukan bukan semata-mata kerana mencari kemudahan atau bersenang-senang dalam beramal, lantaran malu atau segan, hanya ikut-ikutan atau apa jua sebab-sebab lain yang bersifat keduniaan.


Juga perlu diingat, sesiapa pun yang mengamalkan syari’at kerana pengaruh sekeliling, dia hanya akan mampu bertahan dengan praktis amalannya, selama mana dia masih berada di dalam suasana begitu. Akan tetapi, bila keluar dari persekitaran tersebut, dia tidak mampu bertahan dan turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya. Godaan dan ujian yang sedikit sahaja pasti mampu menggoyah iman di dalam dada.

THAT’S NOT HIJAB
Akhirnya, bukanlah saya bermaksud mahu mendabik dada dengan mengatakan saya telah mencapai piawaian yang dikehendaki agama. Saya amat sedar dan sering memuhasabah diri, bahawa masih ramai di luar sana para Muslimah yang berpakaian dan berpenampilan lebih baik daripada saya. Mereka benar-benar menundukkan nafsu dan keinginan diri untuk melaksanakan arahan Ilahi. Patuh dan taat dengan penyerahan yang paling baik.

Mereka bersabar dalam meninggalkan larangan Allah, dan mereka juga sangat sabar dalam mematuhi perintah Allah. Sungguh, saya kagum dengan kemampuan mereka. Sabda Rasulullah SAW :-

خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

Maksudnya : “ Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya ..” ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

Lantaran itu, jadikan muslimah seperti mereka sebagai contoh ikutan. Mudah-mudahan kita akan bermotivasi untuk berubah kepada diri yang lebih baik pada hari ini dari semalam yang berlalu pergi.


Kita ini milik Ilahi. Bila sampai masa kita menemui-Nya, tiada apa yang dapat membantu selain amal soleh yang benar-benar ikhlas hanya kerana Allah semata-mata.


Saya akhiri ingatan dan pesanan lewat video di bawah ini. Semoga ada manfaat yang dapat kita ambil darinya. Terimalah : That’s not hijab!



Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

12 comments:

fArA jeFF said...

salamun alaik..
kak,saye dengar recording kuliah online minggu lepas..takde rezeki turut sama semasa on-air..walaupun ada halangan mengganggu fokus mendengar, saya rasa apa yg disampaikan itu tetap memberi manfaat nya..
saya rasa ulasan tentang aurat wanita ini banyak lg kan..mungkin lepas ini boleh dipanjangkan lg usaha ini dgn tajuk2 spt tabarruj, perhiasan ataupun batasan suara yg juga aurat..
syukran jazilan for the sharing..
may Ar-Rahim bless us always with mawaddah..

wslm..peace dr lufbra!!(^_~)

Haslina Mohamad said...

Salam kak Ina,

Tersentuh sungguh membaca entri Kak Ina kali ini.Perasaan bedebar2.

Sy sebenarnya dapat merasai kesungguhan, kebimbangan Kak Ina yg tidak henti2 menekankan soal aurat wanita.

Memang keadaan semakin parah, seolah2 tiada pembendung.Dan kita sbgai hamba cuba sedaya mungkin untuk memberitahu mereka dgn peluang2 yg terbentang di depan mata.

Syabas buat Kak Ina.Kata2 dlm penulisan Kak Ina adalah jihad seorang wanita untuk kesejahteraan sejagat..Ilmu yg ada dikongsi untuk manfaat bersama.

Penulisan Kak Ina dan suami telah menambat hati sy sekian lama..dan menjadi panduan hati yg sdg mncr kekuatan.Terima kasih kak.

Teruskan Kak Ina...Teruskan selagi ada kekuatan.Teruskanlah niat suci itu..agar dapat menggapai redha Ilahi..

Semoga Allah merahmatimu dan keluarga selalu..

Haslina

Sakinah said...

Salam kak,

Melihat kawan2 melalui facebook, sedih melihat ramai kawan yang dulu bertudung sekarang tidak, yang dulu pakai tudung labuh sekarang dah pakai tudung nipis dan tidak menutup bahagian dada..hampir semua kawan begitu..yang dah kahwin tu harap sangatlah suami mereka bimbing :(

Alimaz-Kembara Terasing said...

salam kak....saya suka baca majalah nur...tapi suami saya tak berapa galakkan...sebab dia kata majalah tu kata untuk wanita muslimah yang bekejaya...tapi saya tengok majalah tu bertudung tapi baju ketat sana ketat sini macam org tak pakai baju saja....patut ka saya baca lagi....any idea....

Na said...

dalam blog na kan ustazah, ada gambar na setiap posting na...x per ker , ker na dah buat silap jugak...

setuju dengan Sakinah, fenomena ini pun terjadi disekeliling na...

Ustazah, kalu boleh...sertakan lah contoh gambar2 untuk lagi jelas...

Anonymous said...

Assalamualaikum,

saya belum berkahwin, pakai tudung tiga segi menutup bawah dada cuma bukan tudung labuh seperti anda..dlm rumah saya pakai baby tee, skirt, gaun dan sluar pendek, cuma kini saya sikit malu lalu menukar dgn sluar panjang tapi masih seksi kiranya. Suatu hari nanti jika berkahwin saya mungkin kekal cara begini?

saya ada persoalan...kalo benar pakai tudung tapi tak bleh pakai cantik, tak bleh baju color, tak bleh bersolek wpun nipis diluar...
benarkah wanita yg bertudung litup seperti anda berhias semata-mata utk suami, waktu bila anda bergaya? katrumah?atau anda langsung tidak bergaya pakai cantik2 takut plak anak persoalkan?
ramai yg saya jupa berpakaian seprti anda tetapi berbau, nampak tidak bermaya.muka pucat. Adakah benar dlm hati suami org seperti anda suka melihat isteri begitu?

saya faham anda akan berhujah tentang kita ni milik Allah jadi kita kena ikut syariat yg ditetapkan. Pada anda, mungkin saya seorang yg tidak faham kerana pengetahuan agama anda high level berbanding saya. Maka itu saya mohon anda down grade sikit utk sampaikan sesuatu agar saya faham. Tak mustahil follower blog anda ialah org yg seperti anda, org biasa baca skali dan blalu pergi. Tak tahulah jika anda tidak kisah yg penting ialah menyampaikan saja.

Saya tidak berniat utk mempersoalkan saja tanpa membuka hati menerima pandangan anda tapi saya cuba dan mahu lagi perbaiki diri. Saya cuma ingin tahu dan minta anda jawab persoalan di atas kerana saya benar2 tidak tahu. Kehidupan dan cerita yg anda sampaikan terlalu sempurna. Saya dahulukan terima kasih – SERI

fiezaradzi said...

tul akak, perkara ni cam dah jadik feseyen.. bertudung, tapi tidak menutup aurat.. masyarakat kita pun dah ramai camni.. sedih bila tgk, malu bila terpandang..

Anonymous said...

Salam

ummul_husna,

nama saya Nur Izzah Bakar. penuntut Imperial College, London.
adakah akak sekeluarga masih berada di UK?

terlalu banyak persoalan yg saya ingin utarakan kepada akak dan ustaz, berkenaan fahaman salafi dan wahabi, dan bagaimana reaksi kita yg sepatutya bila berhadapan dgn situasi ini.

sahabat saya memerlukan penjelasan daripada org yg dipercayainya, dan suami akak antara orang yg beliau percayai.

jika akak dan keluarga sudi membantu, boleh tak hubungi saya di nuarizzah@yahoo.com

Jazakillah..

am0i Ida said...

Salam kak Ina..

Bagusnya entri kak nie..bagusla kalau setiap orang bagi komen dan bertanya..semoga setiap dari kita berlapang dada dalam menerima ilmu dan saling berpesan2 kpd kebenaran, kebaikan dan kesabaran..

pada pandangan peribadi Ida, semua masalah yang terjadi ini kerana wanita Islam kita tak faham konsep hijab itu sendiri!

Hijab bukan sekadar tutup aurat je tapi jaga pandangan, jaga akhlak, jaga pergaulan dan yg sewaktu dgnnya.

Berapa ramai wanita Islam diluar sana yang menutup aurat hatta dengan sempurna tapi masih bermaksiat, masih berpegangan tangan dengan bukan muhrim, masih berpandang2an dan menjeling2, masih bermain2 dengan perasaan terhadap lelaki..semua tu kerana iman yg semakin menipis, kerana peradaban manusia yang berubah..contohnya dulu wanita ramai yg duduk kat dapur, jadi surirumah, skang ramai yg berkerjaya, so bila dah berkerjaya kena bergaya dan sebagainya..

Bukan tak boleh kerja, tapi lihatlah situasi kerja itu sendiri bagaimana..jika kuat iman didada, boleh lah menepis segala godaan, tapi jika rapuh, tepuk dada tanya iman kita..

Disini nak salahkan 100% pada wanita juga tak boleh kerana ramai pihak berperanan tapi jika seorang wanita ada kekuatan utk berubah, insya Allah..satu hari nanti wanita sendiri takut nak keluar kerana bimbang dgn fitnah yg datang dari wanita itu sendiri..

wallahu'alam

Rohani said...

Salam,

Ina akak nak minta izin nak bagi sedikit maklum balas pertanyaan dari adik SERI: Alhamdulillah Seri terpanggil utk dtg ke blog ni. Pasti ada hikmahnya. Mungkin hidayah dari Allah! Akak ni bukanlah org yg bak kata Seri "high Level" dlm bidang agama kerana akak bkan dari bidang tersebut. Tapi akak ni jenis manusia yg ingin mencari ilmu tentang agama dari hati sendiri. Alhmdulillah Allah memudahkan byk jalan2 itu. InsyaAllah walau sedikit ilmu yg ada tapi hati ni terasa terlalu dekat dgn Allah, rasa takut akan azabNya, rasa kasih, sayang dan cinta pada Rab Tuhan yang satu. Semoga Allah sentiasa meningkatkan keimanan diri ini kepadaNya.InsyaAllah. Seri ilmu agama tidak semestinya kita ada segulung ijazah atau PHD. Kalau kita mahu, kita cari dan pasti kita akan menemui jalan2nya.


Berbalik kepada soal bertudung. Itulah fitnahnya kepada Islam bila seorg yg bertudung, Seri katakan berbau, kelihatan tidak bermaya, pucat. Bukankah kita tahu kebersihan itu sebahagian drpd iman, jadi bila begitu caranya, itu bkan dari ajaran Islam. Kita masih boleh kelihatan kemas, bersih dengan menutup aurat. Cuma kita tidak boleh menonjolkan kecantikan dengan perhiasan2 yg bertujuan utk menarik perhatian org. Cuba jawab pertanyaan akak ni seikhlas mungkin: Adakah bila kita bersolek atau memakai pakaian yg cantik2 bila keluar rumah dengan tiada niat utk menunjuk2 kepada org?

Islam tidak melarang kita berpakaian cantik tapi biarlah menepati syariat, warna yg tidak terlalu menyerlah, tidak menampakkan bentuk tubuh, tidak bermake up, tudung yg melepasi paras dada, berstokin dan yg penting kelihatan kemas, bersih dan tidak ada unsur2 riak!

Betul kata Seri, ada sesetengah wanita tidak menjaga penampilan di rumah. Sebenarnya di rumah la tempat utk kita bersolek, memakai pakaian yg menarik atau seksi (tapi perlu menjaga batas juga jika ada anak lelaki). Tapi itu semua hanya utk suami. Bukankah dlm Islam juga menyuruh kita menjaga penampilan didepan suami, jangan biarkan suami mu mencium bau yg tidak menyenangkan dari tubuh mu. Islam itu sangat indah. Allah juga amat sukakan keindahan, tapi jangan sampai keindahan diri kita dipamerkan kepada semua mata. Pasti sudah tidak ada keistimewaannya lagi andai semua keindahan milik kita dpt ditatapi oleh semua org. Brg yg kita sayang pun kita simpan ditempat yg baik inikan keistimewaan diri kita, berikanlah hanya utk suami tercinta sahaja! Biarlah suami merasa bertuahnya dpt memiliki isteri seperti itu.

Semoga Seri mendpt sedikit panduan dari penjelasan yg tidak seberapa ni tapi ikhlas dari hati akak. InsyaAllah.

Terima kasih Ina...

Makbonda said...

Alhamdulillah,satu brainstroming yang menarik.....

nur islah said...

assalamualaikum

boleh tahu email k.ina?