NILAM PURI: SUATU KENANGAN DAN INGATAN



“ Ha..ni lah biliknya..Alhamdulillah!” saya bersuara gembira. Impian penuh debaran sebelum menjejakkan kaki ke tempat ini suatu ketika dahulu, sudah menjadi suatu realiti.

Buat julung kalinya saya menjejakkan kaki ke Nilam Puri. Di sini, saya mengikuti Kursus Pra Akademi Islam yang merupakan program persediaan bagi pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah, Usuluddin dan Pendidikan Islam di kampus utama Akademi Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur.

Entah mengapa, sukar saya membayangkan perasaan berdebar ketika itu. Namun, teruja dengan sambutan ramah kakak-kakak urusetia, sedikit sebanyak memadam debaran di dalam jiwa.

Di sini, saya ditempatkan di asrama Al Malik Khalid, di mana bermula pengalaman bergelar penuntut institusi pengajian tinggi. Satu fasa baru selepas berakhir alam menengah di Kolej Islam Sultan Alam Shah.

Seingat saya, nama dan kemasyhurannya telah lama saya dengar. Kerana itu, mungkin, saya tidak berapa resah ketika ayah menolak permintaan Ustaz Samurin agar saya menyambung pelajaran ke Timur Tengah. Wallahu’alam.

Semuanya telah sedia tertulis dalam suratan Yang Maha Esa.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Itu pegangan saya.

BUKAN KERANA WAJAH
“ 007..macam nombor dalam cerita James Bond,” celah abang Apai ( Jaafar ) membaca nombor yang tertera pada pintu bilik saya. Seperti biasa, emak hanya tersenyum mesra.

“Agaknya…orang yang duduk di bilik ni nanti terkenal macam James Bond kot,” tambah Abang Apai mengusik.

“Ish..tak adalah..” saya menyanggah.

“ Satu bilik…muat untuk dua orang agaknya ye?” ayah menyoal dengan jawapan yang telah tersedia dalam pertanyaannya. Saya mengangguk, mengiyakan sahaja.

Mata saya meliar melihat suasana sekitar.

Walaupun bangunan asrama itu kelihatan agak lama sebagaimana bangunan perpustakaan di hadapan pintu pagar utama, namun kedamaian dan ketenangan yang meresap di jiwa ketika berada di sini, melebihi kekurangan yang ada.

Ya,pada saya, bukan kerana wajah bangunannya yang dapat menggambarkan keindahan tempat ini, sebaliknya mutiara ilmu dari para pendidiknya, menjadikan suasana suram itu bersinar dengan keberkahan, ketenangan dan kedamaian.

Pintu bilik yang sedia terbuka saya kuak sedikit. Kelihatannya, rakan sebilik saya di tempat baru ini telah lebih dahulu tiba.

“Assalamulaikum,” saya menghulur salam perkenalan. Tangan kami bertaut seiring dengan senyuman. Kami berbual seketika. Rezeki saya nampaknya. Berteman satu bilik dengan orang tempatan. Orang Kelantan.

“Boleh la Ina belajar kecek Kelate..” kata abang Apai sambil ketawa kecil. Masih bemaksud mahu mengusik.

“Ala..orang dah belajar dengan Kak Hasni la..” saya membalas dengan cebekan. Tanda gurauan. Mendengar nama Kak Hasni disebut, Abang Apai tersengih panjang. Adat orang baru bertunang! Kebetulan. Tarikh pendaftaran saya ke AIUM hanya selang beberapa ketika sahaja selepas tanggal pertunangan abang Apai dan Kak Hasni, anak jati Darul Naim, dari Pasir Puteh.

HALUAN KEHIDUPAN
Selesai sahaja kemasukan ke asrama, maka bermula “Minggu Haluan Siswa”, iaitu minggu orientasi untuk pelajar-pelajar baru di sini. Boleh dikatakan, setiap hari saya menemui pelbagai ragam manusia, dengan bermacam watak, dari negeri dan loghat bahasa yang berbeza. Walaupun suasana seumpama ini telah saya lalui ketika di KISAS dahulu, tetapi pengalaman kali ini ada perbezaannya. Saya merasakan itu.

Mungkin, oleh kerana, sebahagian besar dari kami berada jauh dari ibu bapa dan kaum keluarga, ditambah pula ketiadaan seseorang bergelar warden, juga kumpulan pelajar bergelar pengawas asrama, saya dan rakan-rakan lebih bebas mengatur kehidupan.

Kerana itu bagi saya Minggu Haluan Siswa di Nilam Puri ini bukan sekadar minggu pengenalan biasa sebagaimana ketika di sekolah menengah dahulu. Akan tetapi, ia bertindak sebagai mukaddimah kepada kehidupan kami menuju alam dewasa. Ia menyediakan ruang dan masa yang amat baik untuk kami menyediakan kekuatan diri. Jasmani dan rohani.

Di dalam minggu ini, kami diperkenalkan kepada corak kehidupan sebagai pelajar Akademi Islam. Kesedaran kami dipertingkat. Jiwa kami dipenuhi nasihat, bahawa tugas dan tanggungjawab yang terpikul sebagai penuntut aliran agama melebihi masa yang beredar cepat.

BI’AH SOLEHAH
Saya memerhatikan keadaan itu dari langkah pertama lagi. Melihat pergaulan siswa dan siswi yang ditugaskan sebagai urusetia, sangat sopan dan terjaga. Tiada gurau senda, jauh sekali dari bermain mata. Akan tetapi tatkala bersama rakan-rakan siswi sahaja, ukhuwwah sesama mereka terjalin penuh mesra. Ditambah pula dengan pakaian yang menepati ciri-ciri seorang Muslimah sejati, jubah tebal atau baju kurung yang sederhana coraknya, dilengkapi tudung labuh sebagai pelindung diri menambahkan kekaguman saya terhadap tarbiah di bumi kecil ini.

Setiapkali azan bergema, satu-satunya surau di asrama siswi ini akan diimarahkan sebaiknya. Ada kalanya, dewan makan bersebelahan juga kami manfaatkan untuk bersolat di samping fungsinya sebagai dewan acara utama. Kami berjamaah, bermunajat, memberi tazkirah dan saling mengingatkan. Hubungan antara kami menjadi rapat hanya dengan pertemuan setiap kali ketika solat. Selebihnya, kami memanfaatkan waktu dengan berkenalan lebih dekat. Berbincang peranan dan tugas sebagai muslimah pembangun ummat.

Justeru, suasana inilah yang selama ini amat saya damba. Mengimpikan setiap saat berlalu tanpa sia-sia. Berbekalkan sabda Rasul Junjungan yang bermaksud :

“Sentiasalah kaki anak Adam itu berdiri di hari kiamat dihadapan TUHANnya sehingga dia ditanya empat perkara: Umurnya kemana dihabiskannya.Masa mudanya dimana dipergunakan.Hartanya dari mana ia peroleh dan kemana dibelanjakannya serta ilmunya sejauh mana dia mengamalkannya." ( Hadis Riwayat al-Tirmizi )

SEUMPAMA IKAN ATAU LALANG ?
“Jadilah seumpama ikan di lautan dalam,” demikian peringatan yang selalu diberikan.

Seekor ikan, walau sepanjang hidupnya hanya di dalam lautan, namun, tidak sedikit pun rasa isinya yang manis dan segar terkesan dengan masinnya air di persekitaran. Kerana itu, pengalaman hidup di Nilam Puri ketika bergelar remaja berusia 18 dan 19 tahun ketika itu, cukup mengajar dan mematangkan. Ia bukan sahaja mendidik diri untuk menjadi seorang yang lebih berdikari, tetapi ia juga menghalakan tumpuan hidup ini untuk menjadi seseorang yang berbakti kepada agama yang suci ini. Menjadi agen perubah suasana bukan berubah kerana persekitaran yang melata di luar sana.

Ditambah lagi lingkungan hidup bersama rakan-rakan yang seiring sejalan dalam menuntut ilmu Islam, juga berperanan saling mengingatkan, menjadikan penghuninya kuat dan tidak cepat terpengaruh dengan rentak dan gaya di luar.

Hakikatnya kini, saya amat merindui pengalaman itu. Bukan sedikit pengalaman yang dapat saya timba. Saya pernah merasakan kemanisan menuntut ilmu, beribadah, ukhuwwah dan segala yang terbaik di dalamnya. Bangga dan syukur bergelar siswi pingitan Nilam Puri, namun tetap tangkas berpersatuan dan berbakti kepada masyarakat sekitarnya. Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang juga pernah menjadi salah seorang penghuninya, pasti jawapan yang sama akan mereka perkata.

Kerana itu, saya tidak dapat menafikan rasa sedih dan kecewa yang melanda akhir-akhir ini. Melihat sebahagian sahabat yang tidak lagi berpegang kepada prinsip yang pernah mereka perjuangkan suatu ketika dulu. Andai sewaktu di Nilam Puri, tabarruj dan solekan sangat dijauhi, mengapa kini setelah berada di alam kerjaya dan berumahtangga, perkara itu dilakukan tanpa rasa berdosa? Jika dulu, kita amat berhati-hati mempamerkan gambar dan foto sebagai seorang siswi Nilam Puri, mengapa kini foto-foto dengan pelbagai gaya dipaparkan tanpa rasa resah di dalam jiwa?
Saya bagai mendengar hujah-hujah sebegini diluahkan, ‘perlu berubah mengikut keperluan dan keadaaan’ , ‘tidak salah berubah selama mana syariat menjadi panduan’ dan pelbagai lagi. Namun adakah hujah tersebut lahir dari iman yang tulus atau sekadar nafsu yang menipu ?

Adakah dahulu kita BERUBAH KERANA ILMU atau sebenarnya kita hanya terikut dengan suasana yang mendominasi ? Adakah kita ini umpama ikan di lautan dalam, atau selayaknya kita hanya umpama lalang, meliang lintuk mengikut arah angin yang datang?


Lalu, adakah peranan seorang suami perlu dalam mencorak prinsip seorang isteri ?

Jawapannya ada di dalam diri kita.

NILAM PURI: SUATU KENANGAN DAN INGATAN
Memang mengenang sesuatu yang indah sangat menggamit kerinduan, apatah lagi jika ia merupakan sesuatu yang baik untuk dijadikan tauladan dan pengajaran. Mengimbau masa remaja yang terisi dengan suasana tarbiah dan penuh keimanan. Alangkah baik, sekiranya keadaan itu dapat dikekalkan.

Namun, sebagai manusia biasa, saya tetap sedar dan akur, bahawa tempoh dua tahun bukanlah penentu dan kayu ukur yang dapat meletakkan ‘produk’ Nilam Puri sebagai figure yang boleh menjadi contoh ikutan. Segalanya tetap terletak pada diri individu itu sendiri. Akan tetapi, ingatlah, sewajarnya asas ilmu yang kuat dan biah yang solehah mampu melahirkan muslimah yang hebat, InsyaAllah.

Tepuk dada, tanyalah iman di dalamnya.

Semoga kata-kata ini menjadi peringatan buat saya dan pembaca semua. Bukan menyindir, jauh sekali mahu menghina. Kita semua manusia biasa, namun kita mampu menjadi luar biasa jika kemahuan itu ada dan kita terus berusaha mencapainya. Ambil ia sebagai muhasabah kita bersama.

Akhirnya, khusus buat sahabat-sahabat Nilam Puri, terimalah bait-bait nasyid ini. Biar di mana pun kita ditakdirkan berada, walau bagaimana pun suasana persekitaran yang melata, kita sebagai insan-insan di dalamnyalah yang berperanan mencorak dan memberi warna. Jika baik, baiklah ia. Namun jika tidak, ia akan menjadi sebaliknya.

******************************************************************************

Di bumi ini kita ditemukan, di satu arah satu perjuangan,
Satu aqidah satu pegangan, atasnya terjalin ikatan.
Ukhuwwah fillah tidakkan musnah,
Walau pun ombak walau badai mendesah,
Tautan erat tak mungkin patah, dengan ismullah kita berbai’ah.

Bertemu berpisah hanya kerna-Nya semata,
Redha Allah kita cari, moga-moga kita kan dirahmati,
Dengan niat yang suci, bertemu kembali di negeri abadi.

Demikian manisnya mahabbah murni, limpahan kasih anugerah Ilahi,
Terpancar cahaya penuhi hati, an-nur suci dari-Mu Rabbi,
Semaian kasih di bumi ini, suburkan dengan perjuangan hakiki,
Bajai ia jangan dicemari, redha Al Wahhab dipohoni.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Unknown said…
assalamualaikum ina.
membaca soretan ina kali ni membuatkan kerinduan kakchik kepada kenangan hidup berjemaah semasa di usm terutama kenangan menghuni Riadhus Sakinah dan Raudhatul Mahabbah. apa yang ina cerita ini banyak persamaannya dgn apa yang kakchik lalui. bila diingat kembali dan diukur kini, memang byk yg telah berubah, yg paling nyata ialah pakaian. yang kedua ialah kerja2 Islam.
ummu_abdullah said…
menarik sangat cerita yang akak kongsikan ni.. memang banyak juga kenangan2 yang terbuai... =)
Rohani said…
Salam Ina,

Lama tak tinggalkan komen kat blog ina. Sibuk ngan proses pindah balik ke tanah tumpah darah, kelantan. Rupa-rupanya Ina pernah belajar kat UM, Nilam puri. Akak ni baru balik dari jumpa kawan kat situ. Kawan akak jadi penolong pengurus asrama kat situ. Dia dah dlm 13 tahu kerja kat situ. Sempat ke dgn Ina?

Tu la, akak pun sama kadang2 rasa sedih gak tengok perubahan kawan2 yg dulu kat universiti, ikut usrah dan memimpin pelajar, tapi kini jauh dari jalan2 itu dan ada yang hidup umpama tiada pernah melalui semua tu. Kita seolah-olah lupa akan indahnya saat kita menjalani hidup ketika berusrah, Qiam dan pelbagai program mendidik jiwa. Jiwa kita seolah-olah kosong sekrg. Mungkin tidak terus dibajai, maka ia jadi kering kontang dan kita mencari pengisian lain yg kadang2 kita sendiri tidak mengerti.

Semoga kita semua dikuatkan hati2 utk terus melayari kehidupan sebagai hamba Allah yang taat menuju syurga abadi. Itulah janji Allah buat mereka yang sabar dengan ujian duniawi yg hanya tipu daya belaka. Amin.
ummi nazihah said…
salam k.ina, membaca coretan k.ina menggamit kerinduan kepada suasana itu. sedih dan insaf melihat perubahan yang berlaku. Minta dijauhkan Allah daripada perubahan-perubahan itu. Semuanya bergantung kepada niat dan pergantungan kita kepada Allah s.w.t. Kalau niat tidak ikhlas kebergantungan juga akan terlepas.
Turquoise said…
salam...mengimbau kenangan di nilam puri membuatkan hati ini sebak, rindu akan suasana dan ukhuwah bersama rakan2...betul kata akak, saya insaf..dulu saya dan rakan2 berada dalam keadaan dan nasib yg sama...yelah..1 bilik, 1 kuliah, 1 u, buat assignment sama2. tapi lepas grad..semua akan menghadapi taqdir masing2 yg semuanya berbeza. ada bertambah baik, ada pula yang berjubah, bertudung labuh tetapi kini...seolah2 tidak pernah belajar apa yg dijar..suami pula tidak menegur.. Ya, Allah jauhkan aku daripada tidak mengingatimu..kekalkan rasa cintaku ini kepadaMu SELAMA2NYA..
Sakinah Omar said…
salam,
tahun bila di np?
ana tahun 86-88.
KAK SAKINAH :Ws, saya ni junior sangat banding dengan Kak Sakinah. Saya di Nilam Puri dari tahun 93 - 94 ( Pra 1 dan 2 AIUM ).
Anonymous said…
Salam alaikum Ina,

Coretan Ina yang ini sungguh berbekas di hati Akak. Justeru kita berkongsi perasaan yang sama. Bertahun-tahun memendam rasa melihat perubahan para sahabat kita... apakah perubahan lahir benar-benar kerana dakwah atau ia membayangkan cinta pada Allah di hati semakin pudar? Itu yang akak selalu fikirkan. Tangan ingin mencatat dan meluahkan namun hati tidak kuat menggerakkannya... bimbang tidak pandai menyusun kata... ramai pula yang menyimpan rasa terutama sahabat-sahabat seperjuangan sama ada di Nilam Puri atau dari Jordan.

Apa usaha yang mampu kita lakukan...

Cukup menyedihkan sebenarnya... Akak suka melihat Ina yang kelihatan menjaga diri dari menampilkan imej diri secara berlebihan baik dalam FB maupun dalam blog. Moga dirimu sentiasa istiqamah disamping mendapat dorongan suami tercinta.

Satu perkara yang akak ingat semasa mahu berblog ialah menjadikan para Ummahatul Mukminin sebagai idola. Akak berfikir tentang diri yang berniqab dan sejauh mana keperluan mengenalkan wajah kepada mad'u dalam media maya. Allah beri ilham, bahawa para Nabi dan Ummahatul Mukminin yang kita tidak kenali pun, kita masih boleh menimba ilmu dan teladan dari mereka... apa yang penting ialah membersihkan ruh dan menyucikan niat. Kekuatan daie dahulu kala adalah pada ruhnya yang mukmin dan muraqabah pada Allah.

Apa yang diperkatakan ini adalah khusus buat kita para muslimah. Lelaki sudah tentu berbeza keperluannya. Ia juga berbeza keperluannya apabila kita berkomunikasi di alam nyata.

Wallahua'alam.

Sekadar berkongsi pandangan.
Anonymous said…
salam kak ina...knal saya...fina...anak usrah akak kat ypm dulu...kole kat bangsar...sya asasi....ermmm thanks knalkan saya dgn jamaah....akhirnya...saya diislahkan...ISLAH 24.....thanks atas usrah kak ina...saya ingat sgt kat akak...kak yati sarawak....rindu.....
adilah said…
ada org berpakaian serta berkeperibadian mengikut amalan komunity yg dia sertai
bersekolah agama
degree juga bidang agama
maka pakaian amalan pun mcm org agama lah
bila dah grad, tgglkan varsity,
jejak alam pekerjaan baru tau realiti mcm mana
baru tau siapa betul2 ikhlas siapa sekadar ikut ikutan

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA