16 February 2010

DI SEBALIK KERINDUAN INI

“Rindu itu adalah anugerah dari Allah…..
Insan yang berhati nurani punyai rasa rindu…
Rindu pada kedamaian , rindu pada ketenangan…
Rindukan kesejahteraan dan juga kebahagiaan…”


“Ummi rindu ayah ye?” tanya Kak Ngah. Mesra dan ramah. Mungkin dia mendengar berulang kali nasyid ‘Rindu’ itu dikumandangkan, Kak Ngah menghampiri untuk bertanya. Namun, menyaksikan redup matanya, saya bagai dapat menebak perasaan hatinya yang sedang gundah. Sememangnya anak kedua saya ini mudah menunjukkan rasa hatinya. Jika gembira, riuh rendah ketawanya. Andai berduka, senyap sunyi tidak bersuara.

“Kak Ngah pun rindu pada ayah,” luahnya tanpa diminta.

Saya memandang Kak Ngah sambil melempar senyuman. Walau telah beberapa kali berjauhan, kerinduan ini tetap berkunjung mengetuk pintu jiwa. Masakan dapat saya dan anak-anak menolak kehadirannya apatah lagi bila ia datang bersama ingatan kepada suami tercinta. Seseorang yang sentiasa mendorong, mendokong dan menitip nasihat buat diri yang selalu terlupa.

AKTIVITI
“Orang-orang bertaqwa rindu akan kebenaran…
Kejujuran dan keikhlasan keredhaan Tuhannya…
Orang mukmin merindukan anak-anak yang soleh…
Isteri-isteri yang Solehah, keluarga bahagia..”


Telinga saya terus menangkap lirik penuh makna dari nasyid kumpulan Hijjaz. Sambil itu, saya meneruskan kerja-kerja membasuh baju dan lansung menyediakan sarapan buat mengalas perut. Kak Long dan Kak Ngah membantu dengan mengemas ruang tamu yang agak bersepah. Khalil dan Solehah pula sudah duduk bersila di hamparan plastik bercorak bunga. Bersedia menanti hidangan pagi yang saya sediakan di dalam dulang bersaiz sederhana.

“Kita baca doa makan dan bismillah dulu ye,” saya berkata. Anak-anak mengikut dan mengaminkan doa yang dibaca.

“ Hari ini, dah masuk hari ketiga ayah balik Malaysia kan? “ saya bertanya. Kak Long mengangguk mengiyakan sambil mulut terus menyuap makanan. Berselera. Melihat anak-anak diam, saya meneruskan perbualan.

“Sepanjang ayah balik ke Malaysia dan selama seminggu cuti sekolah ni, Ummi nak buat beberapa aktiviti,” saya bersuara dengan nada sedikit ceria. Sengaja mahu memancing perhatian mereka.

“Kita nak buat apa Ummi ?” soal Kak Long, agak teruja mendengar kata-kata saya.

“Kita akan buat antaranya permainan bahasa, origami, hafazan, solat sunat dan ….”

“Apa lagi…Ummi ?” Kak Ngah bertanya tanpa sempat saya menghabiskan bicara.

“Pertandingan Busana Muslimah..” saya melengkapkan ayat dengan nada semakin ceria.


“Wah…seronoknya…” jerit Kak Long dan Kak Ngah serentak. Terlihat riak gembira di wajah kedua-duanya. Masing-masing mulai riuh membicarakan gaya pakaian yang akan diperaga.

“Anak perempuan,” bisik hati saya melihat mereka ketawa.


‘BERSAMA-SAMA’ BUKAN ‘BERSAMA
Sememangnya, setiap kali ketiadaan suami di sisi sering mengajar saya untuk lebih mandiri. Menyingkap hikmah di sebalik perpisahan sementara, terutama dalam melayan telatah dan ragam anak-anak yang berbeza minat serta kecenderungan setiap seorang daripada mereka. Sungguh, ia memerlukan kesabaran dan kekreatifan.

Hampir setiap malam saya melayan mata yang tidak mahu pejam. Otak laju memikirkan aktiviti yang dapat mengisi masa anak-anak di rumah. Bimbang bila mengenangkan kebosanan yang terpaksa mereka hadapi jika tiada sebarang perancangan aktiviti.

Bukan tidak merasa letih dan lelah. Andai mengenangkan rutin harian rumah yang tidak pernah habis, pasti waktu-waktu seumpama ini hanya dilalui nafsi-nafsi. Saya tahu, saya punya banyak cara lain yang lebih mudah. Tanpa perlu saya bersusah payah. Saya boleh saja memasang DVD untuk tontonan anak-anak sepanjang hari. Atau, saya juga boleh meminta mereka melakukan apa sahaja mengikut kemahuan sendiri.

Namun bila difikir-fikir kembali..Oh, tidak !


PILIHAN
Bukan begitu caranya seorang ibu mengisi masa-masa berharga bersama anak-anak tercinta. Luang waktu yang ada, harus diisi ‘bersama-sama’ bukan sekadar cukup dengan ‘bersama’ semata-mata. Itulah yang membezakan kualiti dan kuantiti masa antara ibu bapa dan anak-anak yang kerap disalahguna.

Lebih-lebih lagi bila mengenangkan anak-anak sebagai amanah yang dititipkan oleh suami sepanjang ketiadaannya, rasa penat itu perlu saya kesampingkan. Tambahan pula, sepanjang seminggu suami berada di Malaysia, anak-anak pula sedang bercuti pertengahan semester. Juga, musim dingin yang masih bersisa dengan cuaca yang tidak menentu awal hujungnya. Tidak begitu mengizinkan saya membawa anak-anak keluar bersuka ria.

Walaupun benar tidak salah untuk saya membuat pilihan, namun saya akur dan insaf bahawa setiap pilihan harus dipertanggungjawabkan. Kerap saya membayangkan, bagaimanakah agaknya reaksi suami bila pulangnya hanya disambut dengan cerita anak-anak tentang kartun dan filem animasi. Pasti naluri kebapaannya akan hiba melihat sedikitnya pengisian bermanfaat diberikan kepada anak-anaknya.

Dan yang paling utama, bila mengingatkan ketika tiba saatnya kelak Allah SWT bertanya :

“Anak-anakmu sebagai amanah daripada-Ku… apa yang telah kau lakukan kepada amanah-Ku itu ?”

Ya Allah, gerun hati ini memikirkannya. Mampukah saya menjawab dengan bicara yang lancar ? Atau, mulut ini hanya membisu, kelu bahkan terkunci kaku? Kerana itu, sabda Junjungan Rasulullah SAW sering saya sematkan sebagai pemangkin motivasi dan semangat di dalam diri. Baginda bersabda yang bermaksud :

“Setiap kalian adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas kepemimpinannya. Seorang imam adalah pemimpin dan bertanggung jawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggung jawab ke atas kepemimpinannya. Seorang isteri pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab ke atas kepemimpinannya ..” ( Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim )


PENGISIAN JIWA
“Kak Long, Kak Ngah…sebelum kita mulakan aktiviti, kita solat sunat Dhuha dulu ..ok? “ saran saya.

“Ok, Ummi,” balas kedua-duanya lalu terus berlalu ke tingkat dua. Berwudhuk dan memakai telekung seadanya.

Melihat itu, saya tersenyum lega. Keriangan mereka memulakan pagi hari, saya sambut dengan lafaz kesyukuran yang tidak bertepi kepada-Nya.

Ingatan saya kembali tersorot kepada ungakapan ayat-ayat cinta saya dan suami. Menyerap segar motivasi yang tersemat di sebalik kalam Allah Yang Maha Esa. Tujuan dari pernikahan tidak hanya sekadar mewariskan generasi, tetapi juga bagaimana menjadikan generasi pewaris tersebut sebagai pemimpin kepada orang-orang bertakwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Wahai Tuhan kami, kurniakan lah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata ( Qurratu’ayun ) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
( Surah al Furqan ayat 74 )


DI SEBALIK KERINDUAN INI
Sesungguhnya suamiku, di sebalik kerinduan ini ada didikan dari Ilahi. Tiada apa yang kuharapkan selain redhamu. Baktimu untuk agama dan masyarakat menjadi pendorong untukku mencurahkan cinta buat permata hati kita. Benar katamu, bahawa kemuncak kejayaan seorang wanita ialah pelaksanaan tugas tabiinya sebagai isteri dan Ummi di dalam rumah tangga.

Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keredhaan-Nya.

“ Para pencinta kebenaran rindukan suasana..
Masyarakat yang terjalin aman dan sejahtera
Merindukan tertegaknya kalimah di muka bumi
Dan dalam merindukan keampunan Tuhannya
“Dan seluruh umat itu merindukan cahaya… Yang menyinari kehidupan
Rindu kepada TuhanYa Allah….”

Bait-bait nasyid kumpulan Hijjaz itu terus berkumandang membaluti hati-hati kami dengan kerinduan yang akan berpenghujung beberapa hari sahaja lagi, InsyaAllah.

“Abang….tak sabar rasanya menunggu abang pulang,” saya berbisik sambil melihat anak-anak terus tertawa riang.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.




*** Di kesempatan ini saya ingin menjemput pembaca semua berkunjung ke kedai maya saya. Semoga kebahagiaan hidup kita akan lebih beerti dengan ilmu yang menghampirkan kita kepada-Nya, ameen.
Selamat menikmati juadah rohani anda.


29 comments:

Min said...

kak ina,

tima kasih kepada kak ina sekeluarga. melayan kami anak beranak. semoga sedikit sebanyak kerinduan terubat melihat keletah anak2...

zaharuddin said...

alhamdulillah,

Zawjati al-habibah,

Terharu membacanya.

Perpisah kerana perjuangan adalah asam garam para pejuang didikan rasul dan sahabat.

Itulah cara tarbiyah Allah. Melaluinya juga rumahtangga bertambah sedar erti kasih dan sayang, mendorong mengubat luka dan nanah yang sedang cuba membawa sakit.

Perpisahan sementara juga mengajar bahawa semua di sisi kita bukanlah milik kita seorang, ia juga mengajar agar lebih bersedia untuk perpisahan yang lebih panjang dan kekal, kerana kematian itu pasti.

Perpisahan seminggu tiada tandingan dengan keluarga Rasul dan sahabat beberapa minggu dan bulan serta tidak pasti akan masih hudip atau syahid di medan peperangan.

Alhamdulillah dan jutaan terima kasih atas tugas-tugas keibuan itu..ganjaran terbaik hanya di sisi Allah.

Abuhusna a.k.a
Zaharuddin Abd Rahman
Shah Alam, Malaysia

Ummu Bashir said...

Salam, terharu membaca catatan ummu Husna ini..jazakillah ia membuat saya terasa banyak kekurangan diri dan kelemahan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ummi. kagum dengan baitul muslim yang terbina di sana..salam ukhwah ",

seorang zaujah said...

Assalammua'laikum ya ukhti, entri ini bermanfaat, alhamdulillah, syukran jazilan,..[dan mencetuskan kerinduan pula pada suami saya di waktu subuh hari ini...]..

Jika rindu, ayuh mengisi rindu dengan perkara bermanfaat, ayuh menjaga amanah yang ditinggalkan suami...

Sedikit perkongsian...

Saya belum ada anak, tapi dalam keinginan dan kesedaran mentarbiyyah adik2 kandung sendiri, kadang2 rasa malas untuk menyediakan aktiviti padahal masa mereka itu sangat berharga..

Saya memang sering merindui suami, kerana saban minggu, masa saya bertemu suami lebih singkat dari masa saya berjumpa suami.

Namun saya harus membina ketabahan dan mandiri, kelak bila punya anak, bagaimana menyediakan mereka menghadapi keberaadaan ayahnya yang purata 48 jam seminggu di rumah..?

Moga jadual rumahtangga kami menjadi lebih baik satu hari kelak, kalau bukan di dunia, insyaALLAH di syurga yang berkekalan...

Lagipun, dari awal saya telah [berusaha] bersedia menjadi isteri pada suami yang sering ke luar negara kerana urusan kerja, sementelah suami juga ada isteri dan keluarga lain.

Fizikal sering terpisah, namun kasih dan cinta erat diikat oleh keimanan dan ketaqwaan hendakNYA..ameen.

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua,
Tahniah Ummu Husna. Nampaknya kita kena bersaing. Bersaing ke arah kebaikkan, bukan untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Betul tak? Semoga berjaya di dunia lebih-lebih lagi Akhirat. ameen.

wassalam.

ibusumaiyah said...

Salam..ukthie...

entry kali amat memberi pengajaran kepada saya...untuk berusaha lagi menjadi isteri dan ibu kepada suami dan amanah Allah itu...

Tahniah kepada kak ini untuk entry yang sentiasa memberi bonus kepada pembaca ...

Alimaz-Kembara Terasing said...

salam kak...saya suka baca entri kakak...banyak ilmu yang saya dapat...terutama dalam mendidik anak2....terima kasih kakak...bila kakak nak balik malaysia....

june said...

salam kak ina...
minta nasihat, saya seorang ummi yang bekerja 8 pagi-5 ptg. selalu rasa bersalah kerana anak-anak lebih lama dengan pengasuh berbanding dengan kita. sekarang saya perasan anak sulung (4 tahun) semacam dah jauh hati dengan saya, lebih2 lagi selepas saya melahirkan anak ke 3 setahun lepas. Ayat biasa yang dia luahkan 'ummi tak sayang kakak'. Rasa macam nak berhenti kerja on the spot je

tajnur said...

Salam!
Siapalah yg tidak rindu? Apabila Nabi Allah Ibrahim a.s. berdoa kepada Allah SWT dalam Surah AlBaqarah:126,`Dan ingatlah ketika Ibrahim telah berkata,`Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yg aman sentosa dan berikanlah rezeki dr buah2an kpd penduduk2 yg beriman..."
Dgn doa dan lambaian Nabi Allah Ibrahim a.s. myebabkan dada2 org beriman meruntun2 rindu utk pergi ke Mekah. Wallahualam

makbonda said...

Ya,rindu itu fitrah,semoga anak-anak pejuang tu sekuat ibubapanya.

Kalau Along nyanyi lagu "di Pondok keci" tentu ummi lagi sedihkan

Haslina Mohamad said...

Salam Kak Ina..

Sungguh...kerinduan itu sangat indah jika kerana Allah..
Kak Ina, hari ini meremang bulu roma sy membaca entri Kak Ina tentang kerinduan ini..
Sungguh berbeza cara kak Ina melayan anak2,tidak seperti kebanyakan yg sy lihat hari ini..Sy bertanya kepada diri, selama ini mmg sy sgt jauh dengan Allah..
Dan sy merasakan sudah tiba msnya untuk melayan kerinduan yg tidak pernah sy bayangkan selama ini..Kerinduan untuk memiliki cinta dariNya yg tidak pernah ada tolok bandingnya..
Sy ingin melewati hari2 ini dgn makna yg mendalam mencintai penguasa sekelian alam.Berjuang dalam kesungguhan yg tidak kenal erti penghujungnya.Berjuang dgn air mata yg selalu menjadi peneman namun merasakan kebahagiaannya dipenghujung hidup..insyaallah....ingin menjadi isteri yg solehah dunia akhirat..bukan asyik mengeluh...dgn dunia yg penuh pancaroba ini..
Sy insan lemah yang terlalu banyak kekurangan..
Haslina

Najibah Mustaffa said...

Assalamualaikum.

Terharu baca catatan kak ina, tapi muhasabah menjentik ke seluruh ruang hati.

Akak, saya baru saja bergelar ibu kepada anakanda berusia hampir 7 bulan. Sudi kiranya andai ada kelapangan masa, k ina kongsikan di blog ini, cara k ina dan ustaz mendidik anak2 dgn tarbiyyah islamiyyah sedari mereka masih bayi.

untuk pedoman dan panduan kami ibu bapa muda yang masih mentah ilmu mendidik anak2..

syukran. :-)

CT said...

Salam,

Terima kasih atas entry ini. Sungguh pengisiannya menimbulkan keinsafan pada diri saya lemah ini...

moga hasil bacaan kali ini dapat saya realisasikan dlm kehidupan...amminn

terima kasih kak ina

Ummu Husna said...

Salam semua,

MIN : Ws, patutnya Kak ina yang ucapkan terima kasih atas kesudian Min dan anak-anak termasuk Mawaddah yang comel bertamu ke rumah. Maafkan Kak Ina kalau ada kekurangan ye Min :)

Jangan serik berkunjung lagi.

Ummu Husna said...

SUAMIKU : Alhamdulillah, masih sempat menitip nasihat dan ingatan. Terima kasih abang.

p/s : Kalau makan mee goreng mamak tu..ingat-ingatlah kami di sini ye :)

UMMU BASHIR : Setiap dari kita ada kelebihan dan kekurangan. Sama-sama kita belajar dan memperbaiki keadaan ye.

Salam ukhuwwah daripada Kak Ina di sini.

Ummu Husna said...

SEORANG ZAUJAH : Alhamdulillah dan tahniah. Saya juga belajar erti sabar dab tabah membaca kisah ukhtie.

Terima kasih atas perkongsian.

KAK NISHA : Ws, kak. Ye betul.." fastabiqul khairat "

Bersaing secara sihat untuk bekalan akhirat.

Ummu Husna said...

IBU SUMAIYAH : Ws, ukhtie..Alhamdulillah..yang baik dari Allah jua. Segala puji hanya untuk-Nya yang memberi ilhan dan panduan.

Ye, mari sama-sama kita berusaha

ALIMAZ : Alhamdulillah..terima kasih Maz.

InsyaAllah balik terus ke Malaysia tahun depan. Doakan kami ye :)

Ummu Husna said...

JUNE : Ws, Kak Ina bersimpati dengan situasi yang sedang June hadapi. Diharapkan June sabar berhadapan dengan masalah ini dan terus berusaha tanpa putus asa untuk memenangi hati anak-anak kembali.

Antara yang boleh June lakukan ialah setiap kali bersama anak-anak di rumah, wujudkan masa yang benar-benar berkualiti bersama-sama mereka.

Menonton rancangan 'Jo Frost : Extreme Parental Guidance ' membawa Kak Ina kepada satu rumusan bahawa anak-anak hakikatnya tidak meerlukan hadiah yang mahal, pakaian yang berjenama daripad ibu bapa sebagai bukti kasih sayang.

Akan tetapi, apa yang sebenarnya mereka harapkan ialah perhatian, masa untuk berbual dan bercerita bersama ibu bapa dan seumpamanya. Ini lebih mereka hargai berbanding
pemberian dalam bentuk benda dan material semata.

Di samping itu, June dan suami boleh bercerita dan berbual secara santai dengan anak-anak ( terutama yang sulung )tentang tanggungjawab June ( sebagai ibu yang bekerja )untuk membantu menjana ekonomi keluarga menggunakan bahasa yang mudah mereka fahami.

Akhirnya, banyakkan memohon bantuan dari Allah SWT dalam menghadapi keletah dan ragam anak-anak. InsyaAllah, June mampu melakukannya.

Kak Ina doakan June dan kita semua sebagai ibu berjaya melaksanakan tugas ini dengan baik. Mudah-mudahan usaha kita pada hari ini akan melahirkan generasi yang dilimpahi rahmat Allah SWT pada masa akan datang dan seterusnya.

Ummu Husna said...

TAJNUR : Ws, ye benar..kerinduan kepada tempat yang berkat itu memang tak kunjung padam.

MAKBONDA : Ameen, terima kasih Makbonda.

'Di pondok kecil...' Lagu itu sangat meruntun jiwa..apatah lagi bila dialunkan oleh pemilik suara yang kini telah pergi menemui Ilahi.

Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya dan menempatkan beliau di kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh, ameen.

Ummu Husna said...

HASLINA : Ws, Alhamdulillah..itulah naluri dan rasa hati orang-orang beriman. Merindukan 'pertemuan' dengan Rabb yang Maha Agung.

Saatnya akan tiba, tiada siapa terkecuali..cuma selagi diberi nafas untuk meniti hari-hari mendatang ini, mari kita sama-sama berusaha menambah amal dan keimanan. Sesungguhnya hidup kita tidak lain adalah satu pengabdian.
Mari memaknakannya :)

( Ad Dzaariyat ayat 56 )

Ummu Husna said...

NAJIBAH : Ws,sesungguhnya yang baik dari Allah jua. Alhamdulillah..InsyaAllah akan Kak Ina kongsikan apa yang baik. Moga-moga manfaatnya dapat diikuti oleh semua.

Kak Ina juga banyak belajar dari Najibah.

p/s : Kak Ina baru membaca entri terbaru dalam blog Najibah. Rupa-rupanya topik kita menjurus kepada perkara yang sama.

Bukan kebetulan, bahkan semuanya telah diatur oleh Allah agar kita saling belajar dan mengambil iktibar. Syukran ukhtie :)

Ummu Husna said...

CT : Ws, Alhamdulillah..sama-sama kita berusaha ye :)

Hamizah said...

suka baca entry ni,kak ina..boleh dijadikan rujukan utkmdidik anak2.tq

nurhuda abdulrahman said...

suami akak bagi ceramah tanyalah ustaz..
hiiiiiii.
walaupun xpena tgk life ur husband tp bile tgk tv tuh terus teringat ur husband ada dlm blog...
hiiiiii

Asiah yusro said...

Salam ziarah
MasyaALLAH kak, tulisan yang sungguh menyentuh hati..
Ana juga rindu kak..
rindu pada Muhammad S.A.W
rindu pada ibu bapa
rindu pada suasana tarbiyah islam
rindu pada kebenaran islam
rindu pada tertegaknya Islam di bumi ini
rindu keampunan Tuhanku pada diriku yang berdosa ini
teruskan menulis... tulisan akak memberi inspirasi

Muslimat power (^_^)

almukhlis_su said...

assalamualaikum,
perkongsian yang memberi manfaat...walaupun belum mendirikan rumah tangga,namun input yg dikongsi dapat sedikit sebanyak memberi jalan pedoman bagi melengkapkan diri sebagai isteri dan ibu apabila telah berumahtangga nanti...harap puan dapat menulis dan terus menulis untuk dikongsi ...diri ini memerlukan bimbingan ke arah kemanisan iman yang dijanjikan Allah swt....

qaseh um masyitah said...

Salam ummuhusna
kak Ngah anak yang memahami hati seorang ibu.Teringat pula,sewaktu kecil saya, apabila ayah berkursus jauh,saya sering menjadi teman bicara ibu.
Moga rindu yang bertamu
yg bermukim di medan keimanan
diberkati olehNya selalu
KeranaNya,pertemuan & perpisahan..

Anonymous said...

Salam,

Kak Ina,
Saya pembaca senyap blog akak.
Amat tertarik dengan cara2 didikan akak n suami kpd anak2..Boleh kongsi tips2 atau cara2 mendidik anak2 supaya senang mendekatkan diri dengan ajaran Islam..Sementara ank pun br seorang dan masih kecil lagi.
Terima kasih.

Anonymous said...

Assalamualaikum...
sungguh saya rasa terharu apabila saya baca apa yg terkandung dlm blog ini.Saya akui memang agak kurang semua itu dalam keluarga saya...tapi saya percaya bahwa semua yang mak dan abah saya lakukan dlm keluarga kami adalah yang terbaik yg mereka mampu lakukan.sbg seorg anak kadangkala saya terfikir apa yg saya bleh lakukan untuk bahgiakan kedua ibu bapa saya malah apabila saya di sisi mereka saya tak mahu mereka sedih kerana saya dan saya lebih memilih untuk tidak menceritakan apa jua masalah saya kpd keduanya krn saya tahu mereka ada bebanan yg lebih penting mereka perlu perhatikan dan kadang kala apabila pergi membeli keperluan harian ,saya lebih suka tidak membli apa2 pun ...sekurang-kurangnya klu saya tak bli saya mampu mengurangkan perbelanjaan mereka malah menyenangkan mereka.Maaf saya bkan mahu uarkan apa yg saya lakukan pd kedua ibu bapa saya cuma saya amat mengharap saya mampu menjadi anak yg solehah buat mereka. Saya harap agar ustazah dpt bantu saya untuk menjadi anak yg berbakti kpd org tuanya...Insya Allah!