4 January 2010

WAJAH-WAJAH DI KALENDAR


Sengaja saya letakkan kalendar dengan wajah tiga permata hati saya itu di meja kerja. Betul-betul di sebelah komputer riba yang banyak berjasa. Tempat saya berkarya dan mencurah ilham untuk ditinta.

Kalendar itu sebagai pembakar semangat dan pencetus idea. Menatap wajah ketiga-tiga mereka iaitu Kak Long, Kak Ngah dan Khalil yang sedang tersenyum manis, ia seolah-olah manifestasi keceriaan dan kebahagiaan mereka pada tahun sebelumnya. Dan InsyaAllah, diharapkan kesinambungannya akan terus berlaku pada tahun ini dengan bantuan saya dan suami.

Mereka menghadirkan pelbagai suasana dalam kehidupan saya. Gelagat dan telatah mereka cukup menghiburkan. Namun, tidak dinafi, ada ketikanya kerenah dan ragam mereka menyesakkan dada dan fikiran. Ringkasnya, mereka mengajar saya erti gembira. Dan mereka juga mendidik saya erti sabar dan tidak putus asa.

Bersama mereka saya mencipta kenangan yang tersendiri. Lantaran, setiap dari mereka masing-masing punya karektor dan peribadi.

KAK NGAH YANG CERIA
Setiap kali membaca cetusan minda dan rasa di blog Kak Ngah, setiap kali itu juga saya akan tertawa. Hingga adakalanya Kak Long juga kehairanan melihat keadaan saya.

“Kenapa Ummi…kelakar sangat ke?” Kak Long bertanya melihat saya ketawa.

Saya menggeleng kepala dalam tertawa yang belum reda. Entahlah. Saya sendiri sukar mengungkap, mengapa saya tercuit hati sebegitu rupa. Bukan kerana penggunaan Bahasa Melayunya yang agak ‘rojak’. Bercampur antara bahasa percakapan dan bahasa penulisan. Bukan juga kerana gaya penceritaannya yang agak kelakar.

Akan tetapi, kerana isinya yang menyentap kalbu saya sebagai seorang ibu. Mungkin pada orang lain yang membacanya, ia tidak memberi kesan apa-apa. Biasa-biasa sahaja. Tetapi ia berlainan kepada saya.

Ia berbunyi begini ( saya edit beberapa ejaan yang salah tanpa membetulkan struktur asal ayat ):

“Hari ini Najwa mahu cakap pasal syurga:


Siapa mahu masuk Syurga? Mesti semua orang mahu masuk syurga kan? Syurga ada di bawah tapak kaki ibu kita. Itu kita kena hormat kepada ibu kita, bukan saja kita kena hormat ibu kita, kat ayah pun dan semua. Kalau nak masuk Syurga kita kena buat baik, solat betul-betul, jaga diri, dan selalu sayang Allah S.W.T. Allah S.W.T suka tengok kita buat baik. Tapi Allah S.W.T tak suka kita buat benda yang tak elok. Allah S.W.T sayang kita, kita sayang Allah S.W.T. Syurga tempat orang yang baik tau. Kalau kamu nak masuk Syurga kamu mesti kena buat baik.


Tau tak Syurga macam mana? Syurga kita dapat apa-apa kita nak. Kita nak bicycle ke, nak kereta besar lah, semua kita akan dapat di Syurga. Kalau kita nak makan Ice cream kat dunia kan bila dah habis makan Ice cream kan kita kena gosok gigi sebab nanti rosak gigi, tapi kat Syurga kita punya gigi tak pernah akan rosak. Orang yang akan masuk Syurga adalah orang yang baik dan hormati. Kalau kita buat benda yang tak elok kita masuk....Neraka! Neraka tempat yang paling panas..api nya warna hitam..panas sangat..Syurga tempat kita boleh bahagia :) KALAU MAHU MASUK SYURGA KENA ADA KUNCINYA..APA KUNCINYA? KUNCINYA ADALAH DUA KALIMAH SYAHADAH.! :) Bila kita dah nak meninggal kita kena baca dua kalimat Syahadah dulu.”



KAK LONG YANG SUKA BERTANYA
“Ummi betul ke kita boleh dapat macam-macam dalam syurga?” Kak Long bertanya.

Saya menganggukkan kepala sebagai jawapan kepada persoalannya.

“ Boleh makan coklat..dan ais krim?” soalnya lagi. Kelihatannya dia masih belum berpuas hati.

“Ya..apa sahaja yang Kak Long minta, semua ada,” saya meringkaskan cerita.

“Apa-apa je? “ Kak Long bertanya lagi untuk lebih pasti.

“Ya..arak pun ada dalam syurga nanti tau,” rumus saya tiba-tiba. Kak Long terbeliak mata. Berkerut dahinya.

“Oo..kalau macam tu, H1N1 pun boleh makan lah ye di syurga nanti,” Kak Long pula membuat kesimpulan yang mengangakan mulut saya.

“Ishh..banyak lagi benda lain yang lebih sedap dari tu..” jawab saya tersipu-sipu. Malu sendiri.

KHALILUR RAHMAN YANG TEGAS
Dari tadi saya melihat Khalil diam. Mukanya masam. Bila dipanggil, dia tidak menyahut. Dipujuk, dia cepat-cepat menyorok.

“Kenapa ni..sayang?” saya bertanya sambil mengusap kepalanya. Biasanya, jika begitu keadaannya, pasti ada sesuatu yang menyinggung hatinya.

Khalil terus senyap. Sepatah pun tidak mahu bercakap. Melihat itu, saya bangun untuk meneruskan kerja-kerja membasuh.

“Ummi..Khalil cakap ni,” tiba-tiba Khalil bersuara.

“Ya..Khalil nak apa, sayang?” saya menjawab tanpa menoleh kepadanya. Terus membasuh periuk belanga di sinki dapur.

“Ummi..Khalil cakap ni,” kali ini suaranya semakin mendatar. Sebak dan sayu. Segera saya mendapatkannya.

“Ya..Khalil nak apa ni. Cuba beritahu Ummi,” saya memujuk lagi.

“Khalil cakap..Ummi pandanglah,” luahnya tegas. Saya pula yang terdiam.

HARAPAN 1431 H dan 2010 M
Kini, semua itu menjadi kenangan untuk tahun 1430 H dan tahun 2009 yang telah ditinggalkan beberapa hari lepas. Tiada mukaddimah yang sebaiknya melainkan ucapan syukur kepada Allah SWT atas detik-detik yang masih dipinjamkan kepada saya dan keluarga.

Ia tanda bermulanya hari untuk tahun 2010 yang penuh dengan impian dan harapan yang masih sama. Bagi saya secara peribadi, tiada agenda yang lebih utama selain pendidikan anak-anak dan kemajuan pencapaian mereka dalam segenap lapangan.

Semuanya bakal menjadi kenyataan asal sahaja tidak culas dan malas. Dengan izin daripada Allah, pastinya.

Saya akur, proses mendidik anak oleh ibu bapa bukanlah seperti suatu program atau kursus bina diri yang banyak terdapat pada hari ini, dengan menjadikan anak-anak sebagai peserta wajibnya. Pada saya, andai begitu cara pandang ibu bapa, sudah pasti perlakuan mereka kepada anak-anak akan menjadi tidak adil dan tiada pengertian jiwa. Tidak ‘manusiawi’ lagi.

Ia bagaikan membiarkan anak-anak membesar dengan acuan yang hanya sesuai dengan keinginan ibu bapa dan mengenepikan kehendak serta kreativiti anak-anak mereka. Bukan begitu sewajarnya yang berlaku!

Sebaliknya, perkara utama yang perlu difikir dan direncanakan ialah, bagaimanakah ibu bapa sebagai orang tua, dapat memimpin anak–anak menemukan diri mereka. Mengangkat potensi diri tanpa meminggirkan kelemahan yang perlu diperbaiki.

Untuk itu, caranya tentu tidak sekaku arena pendidikan formal seperti sebuah kursus, melainkan ia harus melalui peristiwa sehari-hari yang mampu memasukkan unsur-unsur pendidikan di dalamnya. Perancangan tetap ada,namun perlaksanaannya perlu lebih santai, ceria dan tidak menekan jiwa.

WAJAH-WAJAH DI KALENDAR
Wajah-wajah di kalendar itu akan terus menjadi inspirasi dan aspirasi saya untuk melewati hari-hari seterusnya.


Justeru, saya memulakan tahun ini dengan catatan sasaran saya untuk setiap dari mereka. Tidak dilupakan pastinya, pelan sasaran saya sendiri sebagai ibu untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan ilmu yang ada.

Sebagaimana suami saya pernah menegaskan, anak tidak boleh dididik secara spontan, ia memerlukan satu pelan perancangan khas untuk menjadikan lebih mudah dibentuk. Kita boleh menghantar mereka ke pelbagai jenis kursus dan kem untuk menyuntik sesuatu, namun pokok pangkalnya tetap di atas bahu kita selaku ibu bapa. Kalaupun anak telah berubah hasil tarbiyah di dalam kursus, mereka akan tetap melupakan nilai baik tersebut jika ibu bapa masih di takuk lama.

“Adik tak ada…”Solehah tiba-tiba menyapa. Melihat gambarnya tiada bersama kedua-dua kakak dan abangnya. Saya menoleh. Mengangkat dan meletaknya di atas ribaan saya. Pipi mulusnya saya cium.

Wajahnya mungkin tiada di dalam kalendar di sebelah saya, tetapi perancangan untuknya tetap tidak saya lupa. Saya tersenyum dan berdoa semoga Allah mempermudahkan semuanya, ameen.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

15 comments:

Min said...

sungguh tulus melihat wajah anak2 kan kak ina... mereka tidak berdosa. kita yang mencorakkan siapa mereka... semoga Allah berikan yang terbaik buat anak2 kita...

Nurul said...

Assalammu'alaikum Ummu Solehah..
Hee teringinnya nak jumpa akak and anakanda2 soleh solehah tue..

Terima kasih banyak atas perkongsian ini.

Mengingatkan kami untuk merancang pentarbiyahan diri dan famili.

cikguadilah said...

betul kata kak ina tu..saya pun, semlm..suami dah tegur bagi peringatan. Kawan anak baru masuk darjah 1, dah nak masuk Juz 4.. anak saya blm lagi..saya sedang berusaha ni, mencari masa dan tenaga untuk anak2 belajar Quran. Doakan saya juga ye..!

maryam yaseerah said...

salam kak ina, boleh tak akak tunjukkan contoh pelan tindakan akak utk anak2 tu... nak lebih jelas... cadangan buku2 utk mdidik anak2,kak?

eja said...

salams kak ina... memang anak2 nih penyejuk mata dan penenang hati kan.. akak, saya nak tanya la, macammana yek akak menangani pertanyaan anak2, apabila macam kita suruh dia i.e. menutup aurat, mengaji, solat dll sebab kiter orang islam, tapi dia jawab, "kenapa kakak tu tak pakai tudung ye mama? kan mama kata tutup aurat tu wajib bagi orang islam, kakak tu bukan islam ker?" saya bingung nak jawab soalan macam nih.. saya tak nak didik mereka cakap tak baik pasal orang lain,,,bantu saya kak..segala pandangan akak saya hargai sangat2 dan saya dahului dengan ucapan terima kasih..

Ummu Husna said...

Salam semua,

MIN : Betul. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya? (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

S

Ummu Husna said...

NURUL : InsyaAllah..mudah-mudahan ada jodoh kita berjumpa suatu masa nanti :)Teringin juga nak kenal dengan Nurul dan keluarga.

Kak Ina bersetuju dengan artikel terbaru Nurul: Dakwah dan tarbiyyah projek sepanjang tahun dan hayat.

Teruskan berkongsi ya dik..banyak yang Kak Ina belajar daripada Nurul..dan orang lain juga.

Alhamdulillah.

Ummu Husna said...

ADILAH : InsyaAllah Adilah boleh :)Antara 'iron lady ' juga Adilah ni...

Cuma dalam bab mengaji, Kak Ina ada pendirian yang mungkin lain daripada orang lain. Kalau Adilah pernah baca artikel Kak Ina tentang anak-anak mengaji, awal-awal dulu..boleh tahu apa pendirian tersebut.

Biar lambat, asal benar :)

Tapi, tak mengapa jika kejayaan anak orang lain kita jadikan pencetus semangat buat kita sebagai ibu bapa untuk melakukan yang terbaik kepada anak-anak. Bukan untuk perbandingan.

Ummu Husna said...

MARYAM : Ada banyak cara yang boleh difikirkan ibu bapa, tak semestinya sama. Setiap orang ada penekanan tersendiri melihat kepada kemampuan anak-anak juga.

Apa pun, InsyaAllah..nanti Kak Ina akan kongsikan serba sedikit dalam artikel :)

Ummu Husna said...

EJA :Anak-anak hari ini memang kritis dan bijak. Soalan yang sama pernah ditanya oleh anak-anak saya juga.

Saya sekadar menjawab, orang yang paling Allah sayang ialah orang yang taat kepada semua perintah-Nya. Kepada orang yang belum nak taat, kita doakan dia ye :)

Saya akui sukar nak menyatakan kebenaran kepada anak-anak dalam suasana hari ini yang penuh keliru. Perkara yang salah sudah dianggap betul dan diterima pakai dengan meluas dalam masyarakat.

Namun sebagai ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk terus berusaha menambah ilmu, dan kemudian memberi penjelasan yang sebaiknya kepada anak-anak.

InsyaAllah, semoga Allah membantu dan memberkati setiap usaha kita untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.

atie said...

Salam Husna...

Itulah kasih seorang ibu tak pernah jemu dengan telatah anak2.... semoga kita ibu2 sentiasa diberi kesabaran... anak2 adalah bahagia kita...

joegrimjow said...

ada gambar khalil di kalendar tu
;-)

baru dapat tahu yg dapat anak sdara baru
sayang tak boleh balik..

Ummu Husna said...

JOE : Itu gambar projek sekolah sebenarnya. Ada pelbagai pakej yang ditawarkan. Tertarik dengan yang ini, dua dalam satu.

Tahniah atas kelahiran seorang lagi anak saudara. InsyaAllah, tak lama lagi..bolehlah tengok..dah boleh main sekali agaknya.

ATIE : Alhamdulillah, ameen Ya Rabb.

ida said...

saya juga ada 4 org anak.. yang sulung baru menginjak 7 tahun.. kerana berkerjaya,agak sukar untuk menjadikan diri saya sabar dalam menghadapi kerenah anak2..walaupun sering mencuba untuk menghadapinya sesabar mungkin,tapi banyak yang terbabas..bila difikirkan balik di office dan ketika anak2 tiada di sisi,alangkah menyesalnya melayan mereka begitu...sedangkan banyak juga 'perangai' dan 'tabiat' mereka mewarisi saya .. bagaimana nak didik diri menjadi seorang yang sabar melayani kerenah mereka yang amat pelbagai...??

ummuitqan said...

I love this entry on children. They are such amazing people. I have two boys and two girls. Allah has blessed us all because of children.

It is a challenge especially listening to what they really wanted. Some can be so bold and literal while others tend to be more mysterious like Khalil. The ones that speak the least tend to be the ones that needed to be listened the most.

O Allah, Help us all to understand them and to fulfill their needs and rights.