16 January 2010

BUKAN PERTANDINGAN !



Saya sebenarnya kurang selesa bila ada orang bertanya berapa juzukkah bacaan al-Quran anak-anak saya. Andai sekadar bertanya, masih tidak mengapa. Saya akan menjawab dengan penuh lapang dada. Akan tetapi, yang menjadi sebab ketidakselesaan saya ialah bila jawapan saya dibalas dengan pandangan mata seakan tidak percaya.

“Eh..takkan baru banyak tu. Anak saya, Alhamdulillah… dah nak khatam dah,” dia berkata dengan nada suara dan senyum sinis yang menyakitkan mata dan jiwa saya. Namun, saya tahankan hati. Buat-buat biasa, seolah-olah tidak terasa.

“Tak mengapalah…saya memang agak ‘keras’ dalam bab mengaji ni. Selagi belum betul-betul lancar, bacaan mereka tidak akan saya alih ke muka surat seterusnya,” penuh yakin saya menjelaskan pendirian.

Saya percaya, ada di kalangan pembaca yang pernah mengalami situasi sama seperti saya. Tidak tahu apa tujuan dan maksud dia berkata begitu. Bukanlah saya mahu menelah niat di dalam hatinya, cuma cara dia menyatakan kesyukuran atas pencapaian anaknya itu, seakan-akan satu sorakan kemenangan atas kekalahan saya dan anak-anak untuk bergelar juara.

Apakah maknanya?

PERTANDINGAN IBU BAPA
Saya melihat situasi ini sebagai sesuatu yang tidak sihat. Kebimbangan ini semakin meningkat, bila mana saya membaca komen-komen ibu bapa dari mana-mana blog yang saya lawati. Gaya mereka mengkritik, serta dalam masa yang sama menonjolkan kebaikan dan kejayaan anak-anak mereka, bagi saya amat tidak kena.

Seakan-akan mereka mahu menyatakan, merekalah ibu bapa yang mahir mendidik. Cara mereka, adalah cara yang terbaik dan seumpamanya.

Begitu juga dalam perbualan sehari-hari. Topik berbangga dengan kecemerlangan anak-anak hasil asuhan dan didikan mereka sering ditonjolkan dalam suasana penuh mendabik dada. Sebagai contoh, cuba anda teliti perbualan di bawah :

“Anak-anak saya susah betul nak solat tanpa disuruh,” keluh seorang ibu.

“Oh..anak-anak saya tak pula begitu. Masuk je waktu terus mereka solat bersama-sama. Syukur..mudah kerja saya,” balas ibu kedua dengan senyum simpulnya.

“Anak-anak saya pulak, solat ke, mengaji ke..semua mereka tahu buat sendiri. Tak payah saya bising-bising,” jawab ibu ketiga dengan senyuman melebar ke telinga.

Amat mendukacitakan! Ibu-ibu tersebut bagaikan cuba saling menyaingi antara satu sama lain. Seumpama mereka menyertai pertandingan sukan sahaja kelihatannya. Individu yang menang tersenyum puas melihat lawan lain yang kecundang. Semua yang ada tidak mampu mengatasi kehandalannya.

Bukankah lebih baik sekiranya perbualan tersebut berlansung begini :

“Anak-anak saya susah betul nak solat tanpa disuruh,” keluh seorang ibu.

“Oh, budak-budak memang begitu. Lebih-lebih lagi bila dah ada permainan atau cerita di depan mata. Tapi, kita sebagai ibu bapa tak boleh putus asa. Kena selalu ingatkan dan beri nasihat,” balas ibu kedua dengan kata-kata semangat.

“Ya, betul tu. InsyaAllah, kalau selalu diajak solat bersama, mengaji bersama..lama-lama mereka akan biasa. Lagi pun, itu untuk kebaikan mereka juga,” jawab ibu ketiga dengan kata-kata meransang jiwa.

FASTABIQUL KHAIRAT
Hakikatnya, Islam meraikan apa saja kaedah dan cara mendidik anak-anak, asal sahaja ia tidak bercanggah dengan ajaran agama yang mulia. Hikmahnya, untuk memberi peluang bersaing secara sihat dalam menggapai kebaikan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan “ ( Surah al Baqarah ayat 148 )

Namun perlumbaan yang digalakkan ini bukanlah perlawanan yang bersifat saling menjatuhkan, sebaliknya ia berkait rapat dengan sikap saling membantu ke arah ketaqwaan dan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa dan janganlah kalian tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” ( Surah al Maidah ayat 2 )

Justeru itu, pada saya, ibu bapa tidak sepatutnya saling cuba mengatasi antara satu sama lain. Kemahiran keibubapaan dan kejayaan anak bukanlah satu pertandingan yang sifatnya berlumba-lumba untuk menang. Sebaliknya ia adalah perlumbaan meraih kebaikan dalam keadaan tetap menjaga ukhuwwah dan nilai persaudaraan sesama Islam. Boleh menjadi kompetitif, tapi bukan dengan menjatuh dan melekeh!

Andai ada ibu bapa yang merasakan cara didikannya adalah cara yang baik dan boleh disebarluaskan, berkongsilah manfaatnya tanpa merendah-rendahkan kemampuan dan upaya orang lain. Sementara kepada yang masih belum berpuas hati dengan amalan dan gaya didikan, belajarlah dari ibu bapa lain dengan ikhlas tanpa membuat perbandingan.

SAYANGI SAUDARAMU
Inilah penegasan Rasulullah SAW tatkala Baginda menitipkan sabdanya yang bermaksud :

“Tidak beriman salah seorang dari kamu sekalian, sehingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Sesuai dengan saranan dari hadis di atas, dapat difahami bahawa kasih sayang merupakan elemen utama yang perlu ada dalam diri setiap Muslim terhadap saudara Muslimnya yang lain. Apa-apa kebaikan yang dinikmatinya, mahu terus dikongsi bersama. Manakala apa-apa keburukan yang menimpa, bersegera dia berdoa dan berharap agar tiada orang lain mengalami nasib serupa.

Lebih-lebih lagi jika kebaikan yang diperoleh berkait perkara-perkara agama yang pastinya penting untuk meraih kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat sana. Inilah keinginan kita semua. Namun, hal ini tidak akan pernah wujud dan sulit mencapainya jika tiada usaha bantu membantu dan tolong menolong untuk membuka jalan kearah keinginan tersebut.

Ingatlah, kedamaian dan keharmonian hidup di dunia ini tidak akan terhasil hanya dengan satu dua keluarga sahaja yang berjaya, atau satu dua keluarga yang anak-anaknya berakhlak belaka. Akan tetapi, ia dapat diperoleh bila setiap keluarga yang membentuk masyarakat itu juga berjaya dan berakhlak mulia.

Demikian pengajaran dari perjalanan hidup Rasul yang mulia. Bermula dengan persaudaraan suku Aus dan Khazraj seterusnya penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar, akhirnya melahirkan sebuah negara Islam yang mampan. Digeruni kawan dan lawan.


BUKAN PERTANDINGAN!
Akhirnya, setiap ibu bapa perlu yakin dengan corak didikan dan asuhan masing-masing. Seterusnya, berlapang dada terhadap ketidaksempurnaan yang mungkin ada. Apa yang perlu adalah sentiasa menambah baik apa yang ada dari semasa ke semasa. Terlalu berbangga dengan pencapaian keluarga dalam keadaan memandang sebelah mata kepada keluarga yang kurang berjaya, hanya akan mencambah benci dan hasad di dalam jiwa.

Kita semua manusia. Sifat riak, bangga diri, cemburu dan iri hati, semua itu merupakan jarum-jarum syaitan yang tidak membawa erti apa-apa.

Paling penting, kasihanilah anak-anak. Jangan jadikan mereka umpama ayam sabungan. Menangnya dijulang, tewasnya nanti alamat mati dipanggang. Mereka juga punya perasaan dan perlukan perhatian.

Jangan pula, anak-anak yang memiliki ibu bapa berdaya saing ini beranggapan, hanya dengan kecemerlangan zahir dan fizikal sahaja mereka akan dapat meraih perhatian istimewa ibu bapa. Nama mereka disebut-sebut setiap masa, sedangkan jika gagal, tiada lansung pandangan gembira apatah lagi keghairahan untuk bermesra sebagai satu keluarga. Lebih bimbang, sekiranya kegagalan spiritual tidak termasuk dalam senarai keutamaan ibubapa.

Lagi pula, bukanlah kejayaan masa kecil ini petanda kepada kejayaan yang konsisten di waktu dewasa. Mungkin sahaja, suasana akan bertukar sebaliknya. Realiti yang berlaku banyak mengesahkan hal ini.

Lalu, mengapa tidak kita mulakan hari ini. Berusaha menyapa sahabat-sahabat bergelar ibu bapa dengan perasaan ingin saling berkongsi kebaikan dari pengalaman yang ada (tentu saja dengan senyum yang ramah dan menyejukkan). Mudah-mudahan, secara tidak langsung kita sudah mengikat rantaian kasih sayang dan persaudaraan.

Semoga masyarakat Islam yang gemilang terbilang sama-sama dapat kita jelmakan! InsyaAllah.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

34 comments:

Sakinah said...

Assalamualaikum kak,

Lebih baiklah lambat khatam Quran jika itulah kemampuan untuk mendapat "hasil" yang berkualiti.

Mungkin situasi dalam entri ini berkaitan dengan situasi di mana apabila tiba musim Ramadhan orang asyik bertanya "awak dah baca Quran sampai juzuk berapa?"

sisdee said...

salam..

tak semestinya khatam alquran awal tu petanda mereka paham apa mereka baca..kdg2 ibu bapa lebihkan cepat khatam dari kelancaran anak2 itu sendiri...

anak2 itu sendiri kdg2 ada fasa2 yg mereka lalui tak sama antara satu sama lain..jika seorg itu jenis cepat maka cepat le mereka mempelajari sesuatu..jika mereka lambat..kita ibu bapa yg wajib membimbing mereka..

yea sekarang ramai ibu bapa yg sungguh2 bersaing sesama ibu bapa yg lain..akhirnya anak jadi mangsa!!!

Makbonda said...

”Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu adalah fitnah dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Al-Anfal: 28)

Ummu Ammar said...

Salam Kak Ina..

Terima kasih atas peringatan yang diberikan..entry2 K Ina selalu jer memikat minda dan jiwa saya..

Menyentuh mengenai khatam Al Quran, kalau kat tempat saya sangat dibangga2kan pencapaian anak2 umur 6-5 khatam Al Quran..thn ni dikatakan 4ribu lebih..thn dpn mesti nak ditambah lg..so, anak2 diajar mengaji utk kejar khatam bukan dpt baca Al Quran dgn baik..

Hakikatnya..anak saya sendiri walaupun termasuk dalam kelompok 'khatam' tersebut tapi masih lemah membaca dgn baik..sekarang kena mula dari awal..

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua,
Terima kasih Ummu Husna atas peringatan. Terasa dan tertanya-tanya pula pada diri akak sendiri. Adakah akak macam tu?

Wassalam.

Na said...

Ustazah, nanti bila na jadi ibu...na x nak jadi macam tur..

Anonymous said...

Salam ummu husna, masuk tahun ini saya telah menjangkau usia 22 tahun.

Alhamdulillah, ummi dan abuya mendidik kami adik beradik dengan didikan agama semampu mereka. Sangat bersyukur! semoga didikan ini dapat menjadikan kami muslim yang mu'min dan anak-anak yang soleh dan solehah..

Namun, sebagai seorang anak yang lahir dalam dunia yang penuh cabaran kini, sangat terasa bimbang dijiwa andai tidak mampu menjadi seorang anak yang menjadi kebanggaan ibu bapa.Bukan sahaja dalam bidang agama, malah dalam bidang akedemik dan lainnya.

Perhatian dan kasih sayang ibu bapa yang terKADANG tampak berbeza antara anak-anak menjadikan diri terasa jauh hati dengan mereka..

Tanggungjawab ibu bapa hari ini sangat mencabar bilamana mereka perlu *berlari dan *memecut dalam mencapai jiwa dan minda anak-anak yang terdedah dengan pelbagai cabang ilmu dan persekitaran yang memiliki pelbagai unsur negatif dan positif..

Setiap nasihat, bimbingan pandangan @ kritikan yang diberi pada anak-anak pelulah dibuat secara telus dan jelas supaya tidak di salah ertikan .. Berterus teranglah atas dasar kasih sayang wahai ibu bapa!

Saya sangat tertarik dengan entri ummu husna kali ini dan yang sebelum nya dengan tajuk~ *Ummi Suka Semua*..ia seolah-olah memberi satu motivasi pada saya supaya menerima segala sesuatu dengan berlapang dada dan dengan harapan saya mampu menerima kelebihan dan kekurangan zuriat-zuriat saya masa hadapan sebaik mungkin..Insyaallah!

Terima kasih dengan perkongsian ilmu dan catatan2 ini ummu husna..

Semoga Allah berikan kekuatan kepada setiap ibu bapa dalam menggilap potensi diri anak-anak agar cemerlang dunia akhirat.. amin

Mai said...

Salam k ina. Saya terjumpa satu video budak 2 thn dah boleh baca 3 qul dgnhafal. Saya pulak yg stress sbb najiyya dah 1 thn 8 bulan tapi baru blh sebut bbrp perkataan mcmn lah saya nak ajar iqra. Jadi stress pulak kot2 saya terlewat kenalkan dia dgn quran. Tapi bila baca entry k ina ni saya rasa lega sbb ia memberi panduan kpd saya. Syukran kak

nuriL said...

izinkan saya berkongsi coretan entry ini dengan teman2 yang lain?
Terima Kasih

Anonymous said...

assalammualaikum...
kalau sekadar membaca namun tidak memahami apa yang dibaca tidak ada gunanya.apa yg penting adalah setiap ayat di dalam al-quran itu penuh dengan pelbagi ilmu yang tersirat yang perlu dipelajari dan dicungkil demi diri sendiri dan juga orang lain.kita jgn lupa pada asasnya apa tujuannya al-quran dan hadith itu dijadikan panduan buat umat islam dari awal hingga akhir zaman.
wassalam...

atie said...

Salam Husna..

Memang ada orang yang macam tu.. bangga denga kelebihan anak2 mereka sedangkan itu sebenarnya menunjukan kelemahan mereka sendiri... saya selalu gak kena ngan kawan2 .. tapi bagi saya.. rezeki anak2 berbeza-beza tak perlu dipersoalkan tahap mana mereka.. tak perlu dibandingkan.. sebab manusia dicipta ada kelebihan dan kekurangan... telan aje kata2 mereka... yg tahu hanya kita ibu2 kpd anak2 kita

Musafir said...

Salam 'alaik..
saya x mau mengatakan cepat khatam or lambat khatam itu baik..cume bg saya,khatam dgn bacaan yg baik adalah yg terbaik.. ;-)

hanis said...


salam ina, mmg betul ungkapan spt ini selalu saya hadapi, malahn anak saya yg bongsu juga agak lambat naik Al-Quran tidak spt kakak dan abg2 mereka..tapi saya berikan jawapan yg positif kpd suami kala dia bimbang.."biar lambat tak ape, asalkan bacaannya betul dan cantik kan elok..sementelaah keupayaan anak2 kita semua kan berbeza..kenapa harus di bandingkan2 demi kebanggaan diri yg tak kemana pun.."
saya juga sama spt ina..acapkali menerima pandangan2 yg begitu dr org lain yg membangga2 kan diri..saya lebih selesa berdiam diri...asalkan kita tau niat kita mendidik anak bukan semata2 untuk berbangga-bangga...tapi kerana mmg tanggung jwb kpd Allah dan juga keluarga..

Alimaz-Kembara Terasing said...

salam kak...riak nya dia...

Ummu Husna said...

Salam semua,

SAKINAH :Ws, Kak Ina sebenarnya lebih selesa mengambil langkah berhati-hati dalam mengajar anak-anak membaca al Quran.

Melihat kepada pengalaman ketika bergelar guru suatu ketika dulu, Kaka Ina bimbang melihat anak-anak didik yang tidak boleh membaca dengan baik ( bertajwid dan fasih ).

Tambahan pula, Allah SWT sendiri menyuruh kita membaca kitab-Nya yang mulia ini secara tartil sebagaimana firman-Nya yang bermaksud :

"Dan bacalah Al-Quran itu secara tartil (bertajwid)" (Al-Muzammil: 4).

Semoga kita tergolong dalam kumpulan orang-orang yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sebaik-baik dikalangan kamu ialah org yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya” (Riwayat Bukhari, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa'i, dan Ibnu Majjah).

Ameen,InsyaAllah.

Ummu Husna said...

SISDEE : Kak Ina bersetuju bahawa tahap kemampuan anak-anak tidak sama antara satu sama lain. Kerana itu tidaklah perlu tergesa-gesa mengejar khatam tetapi dalam keadaan menekan anak-anak, diluar kemampuan mereka.

Walaubagaimanapun, meneliti perintah Allah SWT pada ayat pertama yang diwahyukan-Nya kepada Rasulullah SAW iaitu "Iqra" bermaksud bacalah, sememangnya ia bukan sekadar membaca semata-mata tanpa faham.

Justeru itu menjadi kewajipan kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak memahami al Quran sejak kecil. Pastinya dengan cara yang kreatif dan menyenangkan mereka untuk menerima.

Ummu Husna said...

MAKBONDA : “…Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berpikir. Tentang dunia dan akhirat…” ( Surah Al-Baqarah ayat 219-220 )

UMMU AMMAR : InsyaAllah masih belum terlambat untuk kita berusaha.

Semoga hasrat kita untuk melahirkan generasi masa depan yang celik al Quran akan berhasil berkat usaha yang padu dan ikhlas dari ibu bapa kepad anak-anak sejak usia kecil mereka lagi.

Ummu Husna said...

KAK NISHA : Peringatan ini untuk diri saya juga pastinya. Mungkin dalam perbualan seharian bersama teman-teman ada terkeluar bahasa-bahasa sebegini tanpa disedari.

Justeru, kepada Allah kita memohon keampunan dan melakukan perubahan agar lebih berhati-hati mengeluarkan perkataan.

NA : Ameen..InsyaAllah :)

Ummu Husna said...

ANONYMOUS : Terima kasih juga atas perkongsian pengalaman.

Sesungguhnya pengalaman hidup adalah didikan yang tiada nilai taranya, ia wajar diamati agar pengajaran yang ada tidak terlepas pandang begitu sahaja.

Memang tiada siapa suka dibanding-bandingkan, termasuk juga ibu bapa. Namun ada kalanya, sebagai ibu bapa perkara ini terjadi tanpa disedari. Maafkanlah mereka dan jangan mengungkit, sebaliknya terus belajar daripada kedua-duanya dari pengalaman hidup mereka yang pasti banyak pula kelebihannya.

InsyaAllah, saudari akan melalui pengalaman sebagaimana mereka membesarkan anak-anak suatu hari nanti. Semoga berjaya dengan doa restu mereka.

Ummu Husna said...

MAI : Rasanya bukan Mai seorang, Kak Ina dan ibu-ibu lain juga pastinya akan teruja melihat kemampuan anak-anak orang lain berjaya membaca dan menghafaz al Quran di usia muda.

Sebagai ibu bapa tentu sahaja kita mahukan yang terbaik.

Justeru itu, kita wajar mencontohi usaha ibu bapa yang memiliki anak-anak sebegini tanpa melupakan kemampuan anak-anak kita sendiri.

Teringat kata-kata ustaz :

"Membiarkan orang lain sahaja bermotivasi dan memperolehi pahala, bukanlah sifat orang yang beriman.."

Ummu Husna said...

NURIL : Silakan, semoga manfaat darinya dapat disebarluaskan kepada orang lain. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah, dan yang kurang itu dari kelemahan Kak Ina sebagai manusia.

ANONYMOUS : Ya, saya bersetuju. Membaca tanpa faham bukanlah anjuran agama yang mulia ini. Lebih-lebih lagi di zaman ini yang mana al Quran bukan lagi menjadi panduan dan rujukan kehidupan, tetapi hanya sebagai bahan bacaan ketika majlis-majlis ritual semata. Sangat menyedihkan.

Kerana itu, ibu bapa hari ini mempunyai tugas berat untuk menanamkan rasa cinta anak-anak kepada al Quran kerana ia bukan hanya mengandungi hukum hakam semata-mata, tetapi lebih dari itu.

Al Quran mengandungi fakta menakjubkan, seruan untuk berpikir, pertanyaan-pertanyaan membangkit rasa agar manusia lebih berprestasi, cerita yang sarat dengan panduan, sejarah penuh makna, seni dan keindahan, ilmu pengetahuan dan banyak lagi perkara-perkara menarik lainnya.

Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illah, Allahu akbar !

Syuhairah said...

Salam Kak Ina..

Dah lama saya tak online... dgn kata lain banyak juga miss tulisan2 dalam blog kak ina ni...

Saya harap Kak Ina akan terus menulis macam ni... sebab saya sentiasa menjadi pembaca setia Kak Ina... yg mana bagi saya banyak membantu saya

Ok... saya nak baca entry yg lepas2 yg miss..

Wassalam...

Anonymous said...

saya pun pernah ditanya sedemikian oleh jiran-jiran dan kawan-kawan.. anak saya sendiri dah 7 tahun tapi masih muqaddam,saya pun sependapat, biar lambat tapi berkualiti..itu yang lebih baik. jika dilihat pula, yang menegur dan bertanya tu pula,katanya,anak2nya klu umur dah macam tu dah khatam, tapi bila dilihat pada sahsiah,pakaian masih tidak menutup aurat dan agak terbuka .. jadi itu yang saya maksudkan kualiti .. saya mengharapkan agar wudhuk,solat dan Al-Quran dapat membentuk sahsiah dan peribadi ...bukan sekadar khatam pada nama ....

UmmuAhmad said...

Salam ummuhusna,

Seperti yg pernah saya tulis dulu....saya selalu baca blog ni, walau tak tulis komen. Suka membaca tulisan ummu husna yang sangat baik bahasa penulisannya, dan seringkali juga menyentuh dan meresap ke dalam hati, tanda penulisnya juga menulis dari hati...:)
Selain tu, komen pembaca juga sedap dibaca...dari segi bahasa dan perkongsian mereka...:)
Sehingga hari ini masih belum 'mampu' menulis blog, tapi selalu membaca blog orang lain. Saya setuju dengan ummu husna, ramai ibu bapa suka membandingkan pencapaian anak secara kurang sihat. Apa yang penting, setiap ibu dan bapa mendidik anak dengan penuh kesedaran untuk apa dia melakukan sesuatu itu...
Lebih parah bila anak-anak juga belajar drp ibu bapa untuk mengkritik rakan-rakannya.... sesuatu yang saya nampak dalam diri anak-anak kecil di malaysia dan amat mendukacitakan. Kami baru pulang dari london tahun lepas, jadi keadaan dan masyarakat (budaya ibubapa & anak2) malaysia agak berbeza pada pengamatan anak saya, maka banyak perkara yang perlu saya jelaskan pada dia....agar dia tidak ter'confuse'...hehehe...

Anonymous said...

asaalamualaikum,

saya cadangkan anda baca blog-blog ini..

konspirasi-teoris.blogspot.com
holywar-efairy.blogspot.com
mistisfiles.blogspot.com

- saudara kamu

wanshah said...

yup, bab mengaji ni kita kena ajar betul2. sebab nanti bile anak tu dah besar, bacaan dia pun baik, insyAllah dia akn ajar benda yang betul pada orang lain pulak. kalau kite dah ajar yang salah, then dia sampaikan benda yang salah, kita gak yang akan tanggung dosanya kelak.
ape pun, tuan blog bersabar la ye if ada orang bertanya mcm tu lagi.

p/s: jom melawat, follow dan share link di TKSB.
http://wanshah87.blogspot.com

Ummu Husna said...
This comment has been removed by the author.
Ummu Husna said...

Salam,

MUSAFIR & HANIS : Ye, saya bersetuju. Dan saya juga tidaklah menyatakan mana-mana anak yang khatam cepat tetapi elok bacaan mereka sebagai tidak baik. Itulah yang terbaik :) Dan lebih bagus jika anak-anak ini diajar makna dan tafsiran bagi setiap ayat-ayat yang dibaca.

Cuma, jangalah memandang rendah kepada anak-anak orang lain yang lambat menghabiskan bacaan ( khatam ).

Ringkasnya, bersyukurlah dan jangan membanding-bandingkan.Jika boleh membantu anak orang lain membaca dengan baik, itulah yang sewajarnya dilakukan.

Ummu Husna said...

ALIMAZ : Mungkin dia tidak berniat untuk riak, tetapi sekadar nak menunjukkan kegembiraan kerana anaknya akan khatam al Quran, cuma ayat dan lenggok nadanya sahaja kurang sesuai.

Tak mengapalah. Kita berpesan-pesan dan saling ingat mengingatkan.

Mudah-mudahan kebaikan yang ada dapat dikongsi, sementara yang buruk dapat dijauhkan, InsyaAllah.

Kunang-Kunang said...

Assalamualaikum Ummu Husna,

Alhamdulillah, kecik2 lagi anak-anak dah pandai baca la quran.

Kadang-kadang sesetengah orang riak secara tak sedar.

anjakanparadigma said...

salam buat Ummu Husna,

Ada manusia diuji dengan kelebihan yang mereka rasakan ada pada diri mereka. Islam mengajar kita menyebut masyaallah apabila dipuji atau memuji untuk menyelamatkan kita dari fitnah mulut manusia dan mengingatkan kita kepada Allah SWT tentang ujianNya. Wallahua'lam...

Semoga Puan terus istiqamah dalam mendidik anak2 puan mengikut acuan Al-Quran dan Sunnah, amiinn.

laureates said...

salam ummuhusna,
terima kasih atas artikel.
hurm, nak bertanya juga..
(tatau sesuai ke tak letak kat sini)

ada ke hak ibu tiri terhadap anak tiri? dah sebaliknya.. wajibkah anak tiri tadi melayan ibu tirinya sama seperti dia melayan ibunya yang sebenar?

sekadar pertanyaan..
(. .)v

Abu Usamah Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

Assalamualaikum wbt.

Setuju dengan ustazah,

saya waktu sekolah dulu selalu segan-segan, sebab dah darjah 5, tak khatam-khatam al-Quran lagi. Saya khatam al-Quran buat pertama kali ketika darjah 6.

Ustazah yang mengajar saya sangat strict, kalau satu hari dapat habis satu muka dah hebat dah. Selalunya separuh muka sahaja sebab ustazah saya nak pastikan tajwid betul semua.

Linda@DhiaZ said...

Assalamualaikum....
Tq atas N3 akak ini. Ia betul2 memberi peringatan & motivasi brguna utk sy sebagai ibu utk mmbesarkan ank2...
izinkan sy brkongsi artikel ini brsama2 rakan....