7 December 2009

TIADA RESEPI RAHSIA !



Anak-anak saya tidak pernah jemu menonton cerita yang satu ini. Bahkan boleh dikatakan, saya dan suami juga masih belum bosan walau telah menatap dan menonton berulangkali. Melihat watak utamanya sahaja boleh mengundang ketawa, tidak kering gusi.

Sepanjang menonton, ada saja adegan-adegan yang lucu dan menggeletek hati. Masakan tidak, sebelum ini tidak dapat dibayangkan bagaimana seekor panda yang besar dan buncit perutnya boleh beraksi hebat sebagai pahlawan naga.

Kerana itu, DVD Kung Fu Panda antara senarai filem animasi yang menjadi pilihan saya dan keluarga.

Pada saya, kekuatan filem ini bukan sekadar pada garapan cerita yang sangat baik, humor yang cerdik dan animasi yang menarik. Akan tetapi lebih dari itu ia menghidangkan pesan moral yang cukup kuat walau hanya dipersembahkan dalam bentuk sebuah animasi.

LUAHAN
“Alhamdulillah…” saya mengucap syukur setelah selesai memasak dan mengemas dapur. Melihat sekilas ke arah jam di dinding, senyuman di bibir menguntum seiring. Solehah yang terlena saya biarkan terus berbaring.

“ Ada sedikit waktu sebelum Zuhur..” bisik saya mencongak masa. Cepat-cepat saya hidupkan komputer riba dan membuka kotak emel yang masih dipenuhi emel-emel yang belum berbaca.

Pantas saya membalas satu dua emel yang hanya memerlukan jawapan ringkas. Sejurus menekan butang’send’, hati saya disirami rasa puas dan lega. Sekian lama tertangguh membalas soal dan tanya dari pembaca, kali ini saya bersyukur dengan keluangan masa yang diizinkan-Nya.

Sambil menaip mata saya sesekali menjeling ke arah peti televisyen di sebelah. Melihat Khalil yang tidak berkelip menyaksikan putaran filem Kung Fu Panda sebelum bertolak ke sekolah.

Dalam keasyikan membaca dan membalas emel-emel yang ada, hati saya tersentuh menatap emel daripada seorang wanita bergelar ibu muda. Panjang dia bercerita. Nada ayatnya menggambarkan gelodak jiwa yang sedang dialaminya.

Perasaan cemas bergelar seorang ibu dan harapan untuk menjadi ‘seseorang’ yang berguna kepada keluarga dan masyarakat di sekitarnya.

“Saya teringin jadi macam akak, seorang ummi dan isteri yang cemerlang dan muslimah yang bermanfaat pada orang lain..” dia mengakhiri kata-kata yang menghadirkan bermacam rasa di hati saya.

CABARAN
Taipan tangan terhenti seketika. Fikiran saya ligat berputar mengimbau masa suka dan duka, pahit dan manis yang masih segar menyapa jiwa.

Siapalah saya untuk menafikan bahawa dalam usaha mengisi dan memaknakan hubungan sebagai seorang anak, adik, kakak, sahabat, pelajar dan kini telah berkeluarga, saya juga turut melalui saat sukar dan mencabar. Sehingga kini, cabaran dan dugaan itu sentiasa hadir dalam kehidupan.

Setiap orang akan melalui pengalaman pertama dalam apa jua perkara dalam hidup mereka. Dari kecil sehingga dewasa, segalanya bermula dengan pengalaman pertama. Pertama kali berjalan, pertama kali bercakap, pertama kali berkahwin, pertama kali menimang anak dan pelbagai lagi. Jadi, dari pertama kali itulah kita akan belajar banyak perkara kemudiannya.

Namun bukan semua pengalaman pertama yang bermula dengan gembira akan berpenghujung bahagia. Dan tidak semua yang berawal dengan sengsara akan berakhir dalam derita.

TERUSKAN USAHA
“ Ummi…look. Po..kelakar la...” Khalil ketawa. Saya mengangguk kepala sambil melempar senyuman mesra.

Memang melucukan. Melihat Po, yang seharian bekerja di kedai mi milik ayahnya. Memiliki impian untuk menjadi seorang pendekar Kung Fu walaupun menyedari dia tidak memiliki kemahiran untuk bertarung . Namun berkat percaya diri dan tidak putus asa, dia akhirnya mampu menjulang gelaran pahlawan ulung.

Saya yakin, tidak seperti Po, ada di kalangan kita yang mudah menyerah, gagal mencapai impian dek kerana terhalang oleh perasaan dan fikiran negatif diri sendiri.

Sewajarnya, jangan berhenti mengejar apa yang diimpi. Bak bicara Master Oogway yang cukup memberi bekas pada diri:


“Semalam adalah suatu sejarah, esok adalah misteri, sementara hari dan saat ini adalah suatu anugerah (gift), maka kerana itu ia disebut sebagai hadiah ( present) “


Justeru, jangan biarkan diri dihalangi oleh kegagalan masa lalu dan ketakutan masa depan. Sebagaimana Po yang terdorong untuk lebih gigih berlatih kung fu setiap kali disua makanan kepadanya, begitu jugalah sewajarnya setiap individu belajar dengan cara dan motivasinya yang tersendiri. Berusaha terus !

BAHAGIA ADA PADA SABAR
Saya kembali mengalihkan pandangan ke skrin komputer di hadapan. Balasan saya kepadanya saya mulai dengan suntikan semangat di jiwa.

“Bagi Kak Ina apa yang ukhti alami, adalah perasaan yang normal bagi sesetengah perempuan, malahan ia sangat baik. Baik..kerana dengan kesedaran itu, ukhti akan memastikan apa yang dilakukan adalah yang terbaik untuk anak dan suami."


Saya menginsafi setiap dari kita diberi ujian yang tersendiri oleh Ilahi. Kalau ada pun yang serupa tapi tetap tidak sama.


Cukuplah dengan merenungi firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya akan kami memberikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” ( Surah Al baqarah ayat 155 )

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sungguh seluruh perkara adalah kebaikan baginya. Yang demikian itu tidaklah dimiliki oleh seorangpun kecuali seorang mukmin. Jika mendapatkan kelapangan ia bersyukur maka yg demikian itu baik baginya. Dan jika ia ditimpa kemudaratan atau kesusahan ia bersabar, maka yang demikian itu baik baginya.”( Hadis riwayat Muslim )

Kebahagiaan ada pada sifat sabar. Dengan kesabaran,seorang hamba akan terpelihara dari kemaksiatan, berterusan menjalankan ketaatan, dan tabah dalam menghadapi berbagai dugaan.

Ibnul Qayyim rahimahullah pernah menukilkan, “Kedudukan sabar dalam iman laksana kepala bagi seluruh tubuh. Apabila kepala sudah terpotong maka tidak ada lagi kehidupan di dalam tubuh.”

BAHAGIA BILA KENAL DIRI DAN PENCIPTA
Allah SWT dengan sifatnya Yang Maha Mengetahui, Maha Berkehendak dan Maha Adil sangat berbeza ketetapan dan ketentuannya ke atas setiap manusia. Tanyalah kepada sesiapa sahaja bernama insan yang menghuni dunia, sudah pasti tiada di antara mereka yang mahu sengsara apatah lagi hidup berduka dan penuh ratap hiba.

Semuanya mengharapkan kebahagiaan berpanjangan. Senyum dan tawa menghiasi kehidupan. Tidak kunjung padam selagi hayat dikandung badan.

Namun, begitulah cara Allah memberi didikan. DIA mendatangkan kesusahan bukan bermakna untuk menjatuhkan, DIA mendatangkan kesenangan bukan pula untuk meninggikan. Akan tetapi kedua-duanya ujian untuk menilai keimanan. Meningkatkan ketaqwaan, sebagai pembeza sebenar darjat manusia di sisi Tuhan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kalian” ( Surah Al-Hujurat ayat 13 )

Ingatlah juga janji-Nya yang bermaksud :

“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya akan Allah berikan jalan keluar dan Allah akan berikan rezeki kepadanya dari jalan yang tidak disangka-sangka.” ( Surah At Thalaq ayat 2-3).

Justeru, antara jalan untuk berjaya dan merasa bahagia bertitik mula dari mengenal Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Mencipta lagi Maha Berkuasa. Mengenali untuk memahami dan meyakini bahawa segala sesuatu daripada-Nya pasti mengandungi hikmah yang tersembunyi.

TIADA RESEPI RAHSIA
Sejujurnya, baik saya mahu pun sesiapa saja, kita tiada resepi rahsia untuk berjaya dan kekal gembira. Saya meyakini setiap dari kita memiliki potensi dan kemampuan yang sama untuk mencerna bahagia . Tinggal lagi bagaimana potensi yang ada itu disedari, digilap dan dimanfaatkan seoptimumnya

Saya mengakhiri balasan emel dengan kata-kata :

“InsyaAllah,ukhti juga mampu melakukan yang terbaik. Cuma pada fasa ini, ukhti harus dan terus mengenali diri lebih lagi. Itu yang pernah Kak Ina alami sendiri sewaktu mula-mula bergelar isteri dan ummi.

Banyakkan merenung diri di samping mengenang masa lalu, tetapi jangan sampai ia mengganggu hidup ukhti hari ini.

Jadikan kenangan masa lalu sebagai motivasi untuk ukhti melakukan yang terbaik buat hari ini dan hari esok juga seterusnya.

Tidak ada manusia yang sempurna dan Kak Ina juga ada kelemahannya. Kak Ina pasti pada diri ukhti ada keistimewaan tersendiri yang belum digali. Teruskan mengenali diri. Jadilah 'seseorang' buat anak dan suami, InsyaAllah ukhti akan menjadi ‘seseorang’ kepada orang lain di luar sana suatu hari nanti. Percayalah !"

Saya menekan butang ‘send’ sambil menyaksikan saat-saat Po menyedari maksud dari gulungan Naga ( Dragon Scroll ) yang ternyata kosong. Sesungguhnya, kekuatan sebenar dari dunia ini terletak pada diri sendiri.

Setiap dari kita adalah unik, lalu berusahalah dengan keunikan masing masing berpandu ajaran Ilahi.

Benarlah, tiada resepi rahsia ! Yakini ini…

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsayAllah.

16 comments:

Anonymous said...

Salam.minta izin..untuk letak dalam blog na

Ummu Ammar said...

Salam ummuhusna

Terkesan dengan entry ni..nak kena pergi cari citer ni nampaknya..

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua.
Ya betul tu, kak setuju sangat dengan UmmuHusna. Cerita berlainan, maksud yang sama, namun tetap 'Berbeza dari Biasa' kerana 'tersendiri keistimewaannya'.

Wassalam

sisdee said...

my kids sgt suke cite nie..i pun suke sbb byk pelajaran dpt dlm cite nie wpun kartun..heheheh...

^inas^ said...

dear ummuhusna,

disney cartoons do have morals in them.. =)

“Semalam adalah suatu sejarah, esok adalah misteri, sementara hari dan saat ini adalah suatu anugerah (gift), maka kerana itu ia disebut sebagai hadiah ( present) “

i love the phrase! :-)

hanis said...

salam ina..
betul tu...bila byk muhasabah diri sendiri kita jadi lbh mengenali diri sendiri dan lebih mengenali Allah...dan dr situ kita jadi lbh sabar dan kuat bila menghadapi setiap ujian dr Allah..dan hasilnya kita jadi hambaNya yg bertambah hebat dlm mengharungi liku2 hidup yg penuh cabaran..:)
trima ksih ina buat entry yg cukup terkesan di hati hanis..semoga Allah melimpahkan lgi idea2 bernas buat ina utk di kongsikan bersama kami..ameen

baitulrahmah said...

sangat setuju dengan k ina dan kak nisha!

Ummu Husna said...

Salam,

ANONYMOUS : Ws, silakan. Semoga kita sama-sama beroleh manfaatnya.

Ros Illiyyuun said...

Assalamualaikum,

Perkongsian yang menarik.

Sikap cepat putus asa sebenarnya yang menoktahkan impian kita untuk mencapai bahagia. Bahagia itu milik semua. Jangan cepat melatah andai rebah di tengah jalah, teruslah bangun untuk sampai di hujung jalan.

Wallahu A'lam.

zaffankhalid said...

Salam buat semua

Betul, betul, betul.

Kenali diri agar proses berubah ke arah yang lebih baik boleh dimulakan dengan langkah pertama.

Ulasan yang cukup baik Kak Ina. Teruskan menulis. Teruskan memberi motivasi buat ibu dan para isteri.

Saya masih belum berumah tangga, sekadar menjadi pendengar ibu bercerita. Tentang rumah tangga...

Saya akan pegang kuat kata-kata akak, insyaAllah, "Permulaan yang baik tidak semestinya berakhir dengan baik".

Ertinya, jangan lalai. Beryukur dengan teruskan berusaha. Biji benih yang baik, andai tidak disiram dan dibaja, bagaimana hendak menikmati buah yang enak.

Wallahu`alam.

wfaiziah said...

Panjang entri kak ina kali nih.. bagus sangat.keep it up..tapi kalau pendekkan sikit lagi baik..hhehe sekadar pendapat individu yg agak malas spt saya. Nak g beli Kungfu panda lepas nih..:)

Ummu Husna said...

UMMU AMMAR : Ws, Ukhti..kena cari :) Banyak pengajaran yang berguna untuk motivasi diri.

KAK NISHA : Ws, terima kasih kak. Saya setuju dengan kata-kata Kak Nisha.

Kita semua ada keistimewaan kurniaan-Nya..jadi bersyukur dan berusahalah.

SISDEE : Betul..

Ummu Husna said...

INAS :Ada satu lagi kata-kata puitis yang mengusik hati :

You must believe..

HANIS : Betul Sis..Muhasabah adalah cara terbaik untuk kita menyedari kealpaan , berazam untuk memperbaiki kesilapan dan seterusnya berubah ke arah yang lebih baik dari semalam.

Terima kasih juga buat perkongsian Hanis..semoga terus tabah dan kuat ye :)Allah bersamamu

Anonymous said...

eleh.. tiru ustaz hasrizal

Ummu Husna said...

ANONYMOUS : Kepada Allah saya berlindung diri dari hati-hati yang hasad dan iri yang memusnahkan.

Jika anda teliti tarikh pada artikel saya, ia ditulis pada 7 Disember 2009, sementara artikel Ustaz Hasrizal ialah pada 24 Disember tahun yang sama, jika artikel yang anda maksudkan bertajuk " Jadilah Manusia Hebat".

Saya tidak meniru beliau, lebih-lebih lagi Ustaz Hasrizal yang sememangnya kaya dengan ilmu dan kemahuan diri untuk memberi.

Cuma, kami menulis menggunakan subjek yang sama sebagai inti, iaitu filem Kung Fu Panda yang mengandungi banyak pengajaran untuk hidup walau ia hanya sebuah animasi.

Semua ilmu dari Allah jua hakikatnya, maka biarlah ilmu yang ada itu semakin mendekatkan diri kepada Allah yang memiliki segala-galanya.

zaharuddin said...

Dalam dunia ni, memang banyak benda sama, kerana dunia kita kecil.

Tidak dinamakan tiru kalau cara presentation berbeza. Ford buat kereta pertama, dan adakah semua kereta lain 'tiru' kereta ford?.

Tidak juga, malah kalau tiru pun tiada cacat celanya, kerana ia bukan copy paste, bukan pulak plagiat. Ia the whole new story, penyampaian dan pendekatan.

Yang kamu dok jeles tu apasal? dan kalau tak suka, buat apa membaca di sini? ia lebih elok dari sibuk meninggalkan komen separa aqal waras dan menyakitkan hati orang. Jangan buat dosa free.

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net